Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
118,902
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 13

“LAMA Dina tak ke sini. Along tak datang sama?” kata Datin Iznaini.

Irdina menyalami Datin Iznaini. Keluhan ringan terlepas daripada bibir. Persoalan yang sering singgah di cuping telinga. Apa jawapan yang harus diberikan kepada ibunya itu?

“Lama ibu tak jumpa dengan along,” suara Datin Iznaini.

“Along sibuk la ibu. Business along makin berkembang. Pekerja pun kurang. Jadi, along tak ada masa nak lawat ibu.” Irdina berasalan. Berharap Datin Iznaini dapat menerima alasan itu.

“Itu saja alasan Dina. Along sibuk! Along sibuk! Tak ada alasan lain lagi ke yang boleh Dina bagi pada ibu?” balas Datin Iznaini bernada kecewa.

Irdina terkedu. Wajah kecewa ibunya menyapa mata. Sungguh, dia berasa bersalah kerana membohongi Datin Iznaini. Tetapi, dia tidak ada jalan lain selain daripada berbohong.

“Sampai bila-bila along takkan maafkan ibu,” luah Datin Iznaini, sebak.

“Ibu… Janganlah macam ni,” pujuk Irdina, lembut.

“Ibu menyesal dengan apa yang telah ibu lakukan dahulu pada kamu adik-beradik. Tapi….” Datin Iznaini mematikan ayat. Rasa kesal membelenggu diri.

“Ibu, sudahlah! Kan Dina ada beritahu dulu. Satu hari nanti, along pasti akan maafkan ibu,” jelas Irdina, memujuk. Wajah tua ibunya ditatap kasih.

Datin Iznaini tidak membalas. Senyuman hambar menghiasi bibir tuanya.

“Dina lapar! Ibu ada masak apa hari ni?” adu Irdina, manja.

“Ibu masak ayam masak merah. Dina nak makan?” balas Datin Iznaini.

“Mestilah nak makan. Perut Dina dah buat konsert Search ni,” rengek Irdina sambil menepuk lembut perut sendiri. Sengihan diberikan kepada ibunya itu.

Datin Iznaini ketawa kecil. Kepala menggeleng melihat tingkah laku Irdina.

“Jom ibu!” ajak Irdina sambil memaut lengan Datin Iznaini.

“Anak ibu ni gembira semacam saja, kenapa? Ada yang ibu tak tahu ke?” tegur Datin Iznaini. Itulah yang dilihatnya kepada Irdina. Wajah ceria anaknya itu.

“Mana ada apa-apa la ibu. Kan Dina sentiasa ceria dan gembira.”

“Iya ke ni? Anak ibu ni macam orang tengah angau bercinta saja.”

“Bercinta? Tak adalah!”

Datin Iznaini tersenyum. Dia yakin yang Irdina sedang dilamun cinta. Cuma anaknya itu tidak menyedari akan keadaan itu.

“Siapa jejaka bertuah tu?” Datin Iznaini masih tersenyum.

Irdina tersenyum kelat. Siapa yang dimaksudkan oleh ibunya itu? Kenapa Datin Iznaini berkata begitu? Benarkah dia sudah jatuh cinta dengan seseorang?


“KAU biar betul, Ir?” soal Naufal inginkan kepastian.

“Kenapa? Kau ingat aku main-main ke?” soal Tengku Irfan pula.

“Aku tak kata kau main-main. Cuma aku pelik saja.”

“Pelik? Apa yang nak dipelikkan?”

“Ir, aku tak pernah tengok kau macam ni.”

“Macam mana apa?”

“Perasaan! Kau dah ada perasaan.”

Tengku Irfan berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Naufal.

“Aku gembira dengan perubahan kau.”

“Sebelum ni kau tak gembira ke?”

Naufal sekadar mengangguk. Sungguh, dia bersyukur dengan perubahan Tengku Irfan.

“Kau dengan papa aku sama saja. Apa yang peliknya pun aku tak tahu.”

“Ir, dulu kau tak macam ni. Kau suka menyendiri dan termenung. Kau seperti orang yang tidak berperasaan. Masalah kemurungan kau menyedihkan hati papa kau. Walau banyak kali kami nasihat, kau tetap sama,” jelas Naufal, tenang.

Tengku Irfan berfikir sejenak. Otaknya cuba merencana penerangan Naufal. Ada benarnya kata-kata Naufal itu. Tidak dinafikan dulu dia seorang yang tidak berperasaan. Suka merisaukan hati Tengku Iqbal. Rasa bersalah mengepung diri.

“Siapa yang buatkan kau jadi macam ni, Ir?” tanya Naufal ingin tahu.

Dia yakin. Perubahan Tengku Irfan berkait rapat dengan seseorang. Adakah Irdina yang telah mengubah Tengku Irfan?

“Tak ada sesiapa,” jawab Tengku Irfan.

Nama Irdina meniti di benak hati kala ini. Kenapa dia berasa berdebar-debar tatkala nama itu meniti di benak hati?

“Irdina Asyikin?” tebak Naufal sambil mengangkat kening.

“Minah tu? No way!” bidas Tengku Irfan, keras.

Naufal ketawa. Geli hati melihat wajah tegang Tengku Irfan. Begitulah Tengku Irfan setiap kali nama Irdina meniti di bibir.

“Minah sengal! Aku suruh dia, dia suruh aku pulak. Siapa bos? Aku ke dia?” luah Tengku Irfan tidak puas hati.

“Apa yang dia dah buat pada kau?”

“Aku suruh dia siapkan kerja. Boleh pulak dia suruh aku balik.”

“Kerja apa?”

“Aku mintak dia taipkan report yang aku dah draf. Dia kata dia tak tahu menaip komputer. Mustahil dia tak tahu. Alasan bodoh pulak tu yang dia bagi.”

“Habis tu, dia buat tak kerja kau tu?”

“Okeylah. Alasan yang dia bagi tu boleh difikirkan logik. So, aku tunjuklah kat dia macam mana nak buat. Alih-alih, aku yang taip semua draf report tu,” bengang Tengku Irfan.

Tergelak Naufal mendengarnya. Kepala menggeleng memikirkan tingkah laku Irdina. Gadis itu bukan calang-calang orang. Gadis itu seorang yang bijak.

“Haishh… Sakit hati aku memikirkan pasal dia,” luah Tengku Irfan pula.

“Hai… Setiap hari ke kau fikirkan pasal dia?” tanya Naufal sekadar menduga.

“Err…” Tengku Irfan terkedu. Adakah dia tersalah berbicara?

“Kau dah…”

Nonsense!” pintas Tengku Irfan, tegas.

Naufal ketawa. Wajah tegang Tengku Irfan menyapa mata.

“Aku nak kenakan dia. Kali ini aku takkan lepaskan dia,” kata Tengku Irfan sambil menggenggam erat tangan.

“Ir… Ir…. Aku suka tengok kau macam ni berbanding dahulu,” ujar Naufal pula.

Tengku Irfan menghalakan mata ke wajah Naufal.

“Aku bersyukur dengan perubahan kau.”

“Aku bersalah pada papa aku.”

“Kau dah tebus rasa bersalah kau tu dengan apa yang kau buat sekarang ni, Ir.”

“Aku tetap rasa bersalah, Naufal. Aku banyak susahkan hati papa aku. Insya-Allah, mulai sekarang aku takkan susahkan papa aku lagi. Aku akan buktikan pada papa aku yang aku benar-benar dah berubah. Aku nak buang jauh-jauh kenangan tu semua,” jelas Tengku Irfan, tenang.

“Aku tahu Ir. Peristiwa tu terkesan di hati kau. Malah, peristiwa tu juga buatkan kau berasa rendah diri dan kekurangan. Mungkin ada hikmah kenapa kau alami semua tu,” balas Naufal, tersenyum. Wajah Tengku Irfan ditatap mesra.

“Selama-lamanya aku akan berasa rendah diri, Naufal. Tangan aku….”

“Insya-Allah, Ir. Aku yakin suatu hari nanti tangan kau pasti pulih.”

Tengku Irfan tersenyum hambar. Tangan kanannya dipandang sayu. Disebabkan itu, dia berasa rendah diri dan kekurangan. Semoga dia dapat menghadapi kekurangan itu seikhlas hati.


“CINTA! Ibu aku tu dah mengarut. Aku jatuh cinta? Please!!!” kata Irdina kepada dirinya sendiri. Kakinya melangkah menyusuri gerai-gerai di pasar malam itu.

“Mel pun sama macam ibu. Kata aku dah jatuh cinta. Dengan siapa aku jatuh cinta?” sambung Irdina lagi. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Tengku Irfan? Gila! Mustahil dia!” tukas Irdina, menggeleng laju.

Langkah dihentikan di sebuah gerai menjual cakoi. Setelah membeli, dia menyambung langkah menuju ke rumah. Entah kenapa fikirannya memikirkan Tengku Irfan. Adakah benar dia jatuh cinta kepada Tengku Irfan?

“Daripada tengku poyo tu, baik aku jatuh cinta dengan Naufal. Lelaki tu hebat. Cool. Handsome dan macho.” Irdina memuji Naufal. Tersengih-sengih dia ketika itu.

“Macam mana kalau aku betul-betul jatuh cinta dengan Naufal?” Irdina menduga sendiri. Senyuman malu menghiasi bibirnya pula.

“Oh mak kau jatuh tergolek!” latah Irdina tatkala bahunya berlanggar dengan seseorang.

Tengku Irfan terkejut. Dihalakan mata ke tubuh yang dilanggarnya sebentar tadi.

“Haishh…. Jalan tak tengok orang. Inilah padahnya,” rengus Irdina, keras.

“Maaf, tak sengaja,” ucap Tengku Irfan tanpa menyedari Irdina.

“Irdina?” tegur Naufal, tiba-tiba.

Irdina terkedu. Wajah Naufal dan Tengku Irfan menyapa mata.

“Awak buat apa kat sini?” tanya Naufal, prihatin.

“Baru lepas main kejar-kejar dengan Melisa,” jawab Irdina, selamba.

Berkerut dahi Naufal mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Irdina itu?

“Tak adalah, Encik Naufal. Saya gurau saja,” sengih Irdina.

Naufal hanya mengangguk dan tersenyum. Wajah Irdina masih menjadi tatapan mata.

“Eh… Tengku pun ada juga,” tegur Irdina tatkala terpandang Tengku Irfan.

Bukannya dia tidak menyedari kehadiran Tengku Irfan di situ. Sengaja buat-buat tidak nampak. Sengihan diberikan kepada Tengku Naufal.

“Seorang saja ke?” tanya Naufal lagi.

“Dengan pakwe!” balas Irdina, tersenyum malu. Sekadar mengusik pemuda itu.

“Awak… Dah ada boyfriend?” soal Naufal ingin tahu.

Irdina hanya tersenyum. Perlukah dia menjawab pertanyaan Naufal itu?

“Dari mana?” tanya Irdina kemudian.

“Jalan-jalan. Cuci mata sambil hirup udara malam,” beritahu Naufal, tersenyum.

Irdina mengangguk faham. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Hanya cebikan yang diberikan oleh pemuda itu.

“Tak apalah. Saya jalan dulu,” ujar Irdina, lembut.

“Apa kata kita minum dulu,” cadang Naufal.

Tengku Irfan yang mendengar pantas menyiku lengan kawan baiknya itu. Kurang senang dengan cadangan Naufal.

“Errr… Tak apalah Encik Naufal. Dah lewat malam ni. Nanti along saya risau pulak,” tolak Irdina, ramah. Khuatir akan kemarahan Irshad atas kelewatannya nanti.

“Saya akan jelaskan pada along awak nanti,” balas Naufal sambil memandang Irdina.

Irdina menggaru kepala yang tidak gatal. Serba salah ketika ini. Ditatap wajah Tengku Irfan buat seketika. Pemuda itu hanya membisu dan mencebik sedari tadi. Adakah Tengku Irfan kurang senang dengan kehadirannya? Bagaimana untuk mengelak pelawaan Naufal?

So? Macam mana Irdina?” soal Naufal sambil mengangkat kening.

Irdina berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia mengangguk tanda setuju.


“HAISHHH!!!” Luah Irdina, geram.

“Kenapa dengan adik along ni?” tegur Irshad dari muka pintu bilik.

Irdina menghalakan mata ke arah pintu bilik. Diramas bantal sambil melepaskan kemarahan ke atas bantal itu. Apa yang berlaku beberapa jam yang lepas memanaskan hatinya.

“Kenapa ni?” tanya Irshad lagi.

Dia menapak masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di birai katil. Wajah tegang adiknya ditatap seketika.

“Marah!” balas Irdina, sepatah.

“Marahkan siapa pulak kali ni?”

“Tengku poyo!”

Irshad berkerut dahi. Siapa yang dimaksudkan oleh Irdina? Adakah Tengku Irfan?

“Geram betul!” luah Irdina, keras.

“Apa yang tengku tu dah buat?” tanya Irshad, berminat.

Irdina mendengus kasar. Sakit hatinya mengingati peristiwa yang berlaku beberapa jam yang lepas. Ikutkan hati, mahu ditumbuk sahaja wajah Tengku Irfan ketika itu juga.

Why? Kau takut?” soal Tengku Irfan, sinis.

“Takut? Bila masa saya takut?” bidas Irdina, keras.

“Kalau kau tak takut, kenapa muka kau pucat?” Tengku Irfan masih lagi sinis. Wajah pucat Irdina ditatap.

Irdina menelan liur. Kelat! Memang dia takut sebenarnya tetapi dia berpura-pura tidak takut. Sesiapa pun akan berasa perasaan yang sama.

“Hakikatnya kau memang seorang yang penakut. Kau tu perempuan. Buat saja cara perempuan. Ini tidak. Nak berlagak macam lelaki,” kata Tengku Irfan, mengutuk.

Irdina yang mendengar mengetap bibir. Semakin sakit hatinya mendengar kata-kata sinis Tengku Irfan. Memang dia mengaku yang dia benar-benar takut kepada ketinggian. Disebabkan peristiwa lama, dia tidak berani untuk berada di kedudukan yang tinggi. Peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam sehingga ke hari ini.

“Saya tak takut!” balas Irdina, serius.

“Okey! Kalau kau betul-betul tak takut, esok kita jumpa di sini. Kalau kau datang, memang kau bukan seorang perempuan yang penakut. Tapi kalau kau tak datang, kau faham-faham sendiri la,” putus Tengku Irfan lalu tersenyum sinis.

“Tengku belum kenal dengan saya lagi. Kita tunggu dan lihat. Siapa yang terkena nanti?” balas Irdina tidak mahu mengalah.

Tengku Irfan ketawa kecil. Wajah Irdina ditatap tajam. Nak berlagak dengan aku. Tunggu kau, aku kerjakan kau nanti, bisik Tengku Irfan dalam hati.

“Dia fikir dia hebat. Tau la macam mana aku nak buat esok,” bisik Irdina kepada dirinya sendiri. Matanya memandang riak selamba Tengku Irfan.

“Jom!” tegur Naufal, tiba-tiba.

“Oh mak kau terjatuh!” latah Tengku Irfan dan Irdina serentak.

Berkerut Naufal melihat tingkah laku Tengku Irfan dan Irdina. Seminit kemudian, dia ketawa dengan tingkah laku Tengku Irfan dan Irdina sebentar tadi.

“Hahahaha…” gelak Irshad, tiba-tiba.

Irdina tersentak. Dihalakan mata ke wajah ketawa Irshad.

“Apa la Dina ni. Pasal tu pun nak mengamuk bagai,” kritik Irshad, menggeleng.

Irdina memandang tajam wajah Irshad. Rasa nak hempuk sahaja abangnya itu.

“Buku bertemu dengan ruas,” ujar Irshad masih ketawa.

“Maksud along?” tanya Irdina kurang faham.

“Sebelum ni tak ada sesiapa yang boleh lawan Dina. So, sekarang Dina dah ada pesaing.”

“Alah… Setakat tengku poyo tu. Ingat Dina takut ke?”

“Eleh… Action saja lebih. Hakikatnya Dina memang seorang yang penakut.”

“Along jangan nak kutuk Dina pulak. Belum cuba belum tahu.”

“Dina… Dina… Dina dah lupa ke yang Dina takut dengan tempat tinggi?” Irshad mengingatkan. Wajah Irdina ditatap kasih.

Irdina terdiam. Kata-kata Irshad ada benarnya.

“Along tak yakin Dina berjaya.”

“Dina… Dina…” Sukar untuk Irdina membalas. Keluhan berat terlepas daripada bibir.

“Sudahlah! Kadang kala, kita perlu mengaku kalah,” ujar Irshad bingkas bangun. Tanpa menunggu, dia menapak keluar dari bilik.

“Tapi kan, along dapat rasakan yang perasaan cinta dah mulai bercambah dalam hati Dina,” beritahu Irshad seraya menoleh. Wajah berkerut adiknya menyapa mata.

“Cinta? Gila!” tukas Irdina, keras.

Irshad ketawa. Dia segera beredar dari bilik itu. Geli hati mengenangkan tingkah laku Irdina. Belum pernah lagi dia melihat adiknya sebegitu. Adakah Tengku Irfan telah mengucar-kacirkan hidup Irdina? Dia menjungkitkan bahu tanda tidak tahu.

Irdina hanya memandang. Kata-kata Irshad terngiang-ngiang di minda.

“Jatuh cinta? Along, Mel dan ibu memang dah gila,” putus Irdina mendengus ringan.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.