Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
118,580
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 12

“KATA kunci. Bagaimana nak kenakan lelaki. Search!” kata Irdina sambil jari-jemarinya menaip di keyboard komputer.

Melisa yang mendengar ketawa. Apa yang Irdina ingin lakukan?

“Pak cik google mesti boleh beritahu aku macam mana nak kenakan lelaki. Along tu tak boleh diharap. Baru nak tanya, dah pusing sana pusing sini,” bebel Irdina pula.

Melisa masih lagi ketawa. Geli hati mendengar bebelan Irdina.

“Aha!!! Dah jumpa!” girang Irdina.

Melisa yang mendengar segera menghampiri Irdina. Matanya terpahat ke skrin komputer.

“Hurm… Tak ada yang mencabar langsung,” kata Irdina sehabis sahaja membaca.

Melisa masih lagi membaca. Berkerut-kerut dahinya sambil cuba memahami maksud tersirat pada penerangan yang terdapat di dalam blog itu.

“Kau ada idea tak Mel? Macam mana nak kenakan mamat tu?” tanya Irdina seraya memandang Melisa. Keluhan ringan terlepas daripada bibir.

Melisa tidak membalas. Ralit membaca.

“Mel! Kau dengar ke tidak ni?” tegur Irdina, menekan.

“Jatuh cinta!” ujar Melisa, selamba.

“Jatuh cinta?” ulang Irdina, berkerut dahi.

“Ni ha… Cuba kau baca perenggan ni,” unjuk Melisa.

Irdina membaca perenggan yang dimaksudkan. Semakin berkerut dahinya itu.

“Mudah, kan?”

“Gila!”

“Apa yang gila?”

“Kau nak aku tackle tengku poyo tu?”

“Yalah! Cara yang paling berkesan untuk kau kenakan dia.”

“Hisy! Tak nak aku main-mainkan perasaan orang.”

“Kenapa? Kau takut jatuh cinta betul-betul ke?” tebak Melisa sambil mengangkat kening.

“Eh… Bukan itu maksud aku. Aku… Aku takut!” jujur Irdina.

Tergelak Melisa mendengarnya.

“Yang kau takut, kenapa? Apa salahnya kalau kau jatuh cinta betul-betul.”

“Aku takkan ambil kesempatan atas kebaikan orang Mel.”

“Maksud kau?”

“Aku tahu, Tengku Irfan bukanlah jahat benar dan bukanlah teruk benar. Dia…”

“Habis tu? Yang kau pergi search kat pak cik google tanya bagaimana nak kenakan lelaki tu, kenapa?” soal Melisa, pelik.

“Aku memang nak kenakan dia,” tegas Irdina.

“Tak faham aku dengan kau ni, Dina. Sekejap kau kata macam ni. Sekejap kau kata macam tu. Kau dengan dia sama-sama pelik.”

Irdina tidak membalas. Kata-kata Melisa berlegar-legar di minda.

“Aku balik tempat dulu. Nanti tak pasal-pasal, marah pulak Encik Razman tu,” ujar Melisa sambil melangkah menuju ke muka pintu bilik.

Lunch nanti kita makan sama,” cadang Irdina sebelum Melisa keluar.

Melisa sekadar mengangguk. Dia segera beredar dari bilik Irdina. Rasa kelakar dengan tingkah laku Irdina. Aku pasti kau dah jatuh cinta kepada Tengku Irfan, Dina. Melisa menduga.

Itulah yang dirasai melihatkan tingkah laku Irdina tatkala berhadapan dengan Tengku Irfan. Tapi, macam mana dengan Naufal? Persoalan itu meniti di minda Melisa dengan tiba-tiba.


“MACAM mana dengan kerja Ir sekarang?” tanya Tengku Iqbal, prihatin.

“Setakat ni, alhamdulillah. Banyak yang Ir kena belajar dan Encik Razman banyak bantu Ir,” beritahu Tengku Irfan.

“Baguslah kalau macam tu. Papa nak Ir kembangkan Suria sama seperti Mutiara.”

“Insya-Allah, papa. Ir akan cuba.”

Tengku Iqbal mengangguk. Matanya memandang segenap ruang dalam bilik pejabat Tengku Irfan. Anaknya itu seorang yang menitikberatkan kesempurnaan.

So, macam mana dengan pembantu Ir?”

“Pembantu? Maksud papa, Irdina Asyikin?”

Tengku Iqbal sekadar mengangguk.

“Bolehlah! Seorang pembantu yang mendengar kata.”

“Dia ada mendatangkan masalah pada Ir?”

“Buat masa sekarang ni tak ada papa.”

“Baguslah kalau dah macam tu. Tak adalah papa risaukan Ir lagi.”

Tengku Irfan hanya tersenyum. Wajah tua Tengku Iqbal ditatap kasih.

“Kalau dia ada mendatangkan masalah pada Ir… Ir beritahu pada papa. Tahulah macam mana papa nak buat,” beritahu Tengku Iqbal bernada serius.

“Tak apalah papa. Ir boleh settlesendiri,” tolak Tengku Irfan, lembut.

Tengku Iqbal tersenyum senang. Rasa lapang di dada melihat perkembangan positif Tengku Irfan. Rasa bersyukur turut menumpang di hati.

“Kalau Ir nak tanya sesuatu boleh?” ujar Tengku Irfan, perlahan.

“Apa dia, Ir?” tanya Tengku Iqbal dan memberi sepenuh perhatian kepada Tengku Irfan.

“Kenapa papa pilih Irdina Asyikin?” tanya Tengku Irfan.

Persoalan itu yang sering berlegar di minda. Kenapa Tengku Iqbal memilih Irdina sebagai pembantu peribadinya? Kenapa tidak orang lain?

Tengku Iqbal tidak membalas. Hanya senyuman yang meniti di bibir.

“Kenapa papa?” soal Tengku Irfan lagi.

“Encik Razman yang rekemenkan Irdina pada papa. Mungkin ada sebab kenapa Encik Razman memilih Irdina,” terang Tengku Iqbal.

Tengku Irfan mengangguk faham. Otaknya sedang ligat berfikir.

“Mungkin juga perwatakan Irdina itu sendiri. Seorang gadis yang mendengar kata dan kualiti kerjanya bagus,” sambung Tengku Iqbal.

“Mungkin juga,” sahut Tengku Irfan.

“Ir tak perlulah nak fikirkan tentang tu. Apa yang penting sekarang, Irdina jalankan tugas sebagai pembantu Ir sebaik mungkin. Kalau Irdina mendatangkan masalah pada Ir, beritahu saja pada papa dan Encik Razman. Tindakan akan diambil terhadap Irdina,” jelas Tengku Iqbal bernada serius. Wajah Tengku Irfan ditatap kasih.

“Baiklah papa. Kalau Ir ada masalah, Ir beritahu pada papa,” balas Tengku Irfan.

Tengku Iqbal tersenyum. Semoga Tengku Irfan dapat menjalankan tugas sebaik mungkin. Hanya Tengku Irfan harapan untuk mewarisi segala harta yang dimiliki.


“PERUT aku dah buat konsert ni,” beritahu Irdina sambil mengusap perut.

“Lagu apa?” tanya Melisa sekadar mengusik.

“Lagu Cinta Satay,” beritahu Irdina, tergelak.

Melisa turut sama tergelak. Kepala menggeleng kecil melihat tingkah laku Irdina.

“Hurm… Nak makan apa ni? Semuanya sedap!” ujar Irdina sambil membesarkan mata.

“Kau tu memang. Semuanya sedap. Yang tak sedap pun jadi sedap,” tegur Melisa.

Irdina tersengih. Tanpa berlengah, pinggan dicapai lalu memasukkan nasi dan lauk pauk ke atasnya. Setelah itu, dia segera ke kaunter untuk membuat pembayaran.

“Mel, aku cari tempat dulu,” beritahu Irdina.

Melisa hanya mengangguk. Dia turut bertingkah laku yang sama dengan Irdina.

Irdina melilaukan mata. Mencari tempat kosong untuk diduduki. Namun, kesemua meja sudah diduduki oleh pelanggan. Dia mengeluh ringan. Di mana dia dan Melisa perlu makan?

“Irdina?” tegur seseorang daripada belakang.

Irdina terkejut. Dia menoleh ke belakang untuk melihat. Terkedu dia buat seketika tatkala wajah Tengku Iqbal menyapa mata.

Come! Join us!” pelawa Tengku Iqbal, ramah.

“Errr… It’sokey tengku. Saya datang dengan kawan,” tolak Irdina, lembut.

“Tak apa. Jemput sekali kawan ke sini,” balas Tengku Iqbal pula.

Irdina berkira-kira dalam hati. Perlukah dia menerima pelawaan Tengku Iqbal? Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Tenang sahaja wajah itu dilihatnya.

So?” soal Tengku Iqbal. Matanya tepat ke wajah Irdina.

Irdina menghela nafas ringan. Anggukan diberikan sebagai tanda setuju.


SUASANA sunyi menemani mereka berempat. Irdina ralit dengan makanannya. Tidak dihiraukan pandangan Tengku Iqbal dan Tengku Irfan. Apa yang penting, perut yang terasa lapar dapat diisi. Walaupun dia menyedari pandangan mereka tertumpu kepadanya, dia tidak peduli. Nikmat menjamah makanan tidak mungkin disia-siakan.

“Macam mana dengan Tengku Irfan, Irdina? Selesa bekerja dengan Tengku Irfan?” tanya Tengku Iqbal menceriakan suasana.

Irdina tidak membalas. Otaknya cuba mencari jawapan kepada pertanyaan Tengku Iqbal. Perlukah dia bercakap jujur atau sebaliknya?

“Tengku Irfan ada menyusahkan awak, Irdina?” soal Tengku Iqbal lagi.

“Haaa… Soalan tu yang saya tunggu,” balas Irdina seraya mengangkat wajah.

Berkerut dahi Tengku Iqbal mendengarnya. Wajah Irdina ditatap. Tengku Irfan turut memberi sepenuh perhatian kepada Irdina. Menanti butir bicara daripada gadis itu.

“Dina!” tegur Melisa, berbisik. Khuatir Irdina akan bercakap yang bukan-bukan.

“Memang menyusahkan. Benda senang pun nak suruh saya buat. Lepas tu membebel macam orang tua. Muka tu cuba la senyum sikit. Ini tidak, masam memanjang. Macamlah handsome sangat muka tu. Kalau handsome macam Arjun Rampal ke, Shahid Kapoor ke, okey la jugak. Ini tidak, muka tu dah macam Amir Raja Lawak. Lagi tengok lagi menyampah.”

Selamba Irdina meluahkan. Rasa puas sebaik sahaja meluahkan kesemua itu di hadapan Tengku Iqbal. Dia tidak peduli jika ditegur atau diberhentikan. Asalkan rasa sakit hati dihamburkan kepada Tengku Iqbal.

“Kau kata muka aku macam Amir Raja Lawak?” tegur Tengku Irfan menekan.

“Tak! Amir tu lagi handsome daripada tengku,” balas Irdina masih selamba.

“Kau kata dia handsome? Aku lagi handsome daripada dia,” tegas Tengku Irfan.

“Perasan!” cebik Irdina, meluat.

Tergelak Tengku Iqbal mendengar dan melihat tingkah laku Tengku Irfan dan Irdina. Wajah Tengku Irfan dan Irdina ditatap silih berganti. Pertama kali melihat Tengku Irfan beriak begitu. Jika sebelum ini, hanya riak tidak berperasaan yang terlukis di wajah anak tunggalnya itu.

“Kau ingat kau tu cantik sangat ke?” kutuk Tengku Irfan tidak mahu mengalah.

“Cantik! Kalau tak cantik, tengku takkan syok kat saya, kan?” kata Irdina turut tidak mahu mengalah. Dicebikkan bibir tanda meluat dan menyampah dengan Tengku Irfan.

“Bila masa aku syok kat kau?” soal Tengku Irfan dalam nada serius.

“Alah! Tak nak mengaku. Saya ni cantik, kan?” kata Irdina sekadar mengusik. Kening diangkat. Lagak seperti penjahat.

“Kau….” Tengku Irfan menahan kemarahan. Tangan dikepal. Erat!

“Sudah… Sudah… Jangan nak gaduh-gaduh,” tegur Tengku Iqbal.

“Dina… Apa yang kau dah buat ni? Kau sedar tak dia tu siapa?” tegur Melisa yang sejak dari tadi mendengar dan membisu.

“Dia kerek dengan aku,” rengus Irdina, keras.

Tengku Irfan mendengus kasar. Dia bingkas bangun lalu beredar dari situ. Sakit hatinya tatkala Irdina berkata begitu. Sejak bila aku syok kat dia? Perasan! Geram Tengku Irfan dalam hati. Ikutkan hati, mahu disumbat mulut lancang Irdina dengan kepala ikan yang berada di pinggan nasinya tadi.

“Saya harap awak dapat jalankan tugas sebaik mungkin,” ujar Tengku Iqbal, tersenyum.

Irdina hanya tersenyum. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.

“Saya mintak diri dulu,” sambung Tengku Iqbal bingkas bangun dari duduk.

Irdina dan Melisa turut sama bangun. Senyuman menghiasi bibir masing-masing. Mata mereka mengekori langkah Tengku Iqbal sehingga hilang dari pandangan. Seminit kemudian, terhambur ketawa mereka yang ditahan-tahan sedari tadi.

“Gilalah kau ni, Dina. Selamba badak saja kau kutuk tengku poyo tu,” puji Melisa.

“Padan muka dia!” balas Irdina, tergelak.

Melisa masih lagi ketawa. Kepala menggeleng kecil melihat tingkah laku Irdina. Kagum dengan keberanian Irdina. Tidak menyangka kawan baiknya itu begitu berani di hadapan Tengku Iqbal dan Tengku Irfan. Dia sendiri pun tidak berani untuk bertingkah laku seperti tadi.

“Macam mana kau boleh kata yang dia syok kat kau?” tanya Melisa ingin tahu.

Termati ketawa Irdina. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Melisa?


“SAYA nak awak arrange appointment saya dengan pengedar di sana,” arah Tengku Irfan bernada serius. Fail di tangan diserahkan kepada setiausahanya, Fatimah.

“Baiklah tengku. Ada apa-apa lagi tengku?” tanya Fatimah, ramah.

“Irdina mana?” soal Tengku Irfan pula.

“Irdina? Dia belum masuk lagi, tengku. Dia…”

“Belum masuk? Dah pukul berapa ni?” pintas Tengku Irfan, keras. Dikerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke pukul 3.00 petang.

Fatimah tidak membalas. Wajah tegang Tengku Irfan menjadi tatapan mata.

“Awak call dia sekarang!” arah Tengku Irfan pula.

“Err… Baiklah tengku,” balas Fatimah lalu beredar dari situ.

Tengku Irfan mendengus kasar. Ke mana Irdina pergi ketika ini?

“Suka hati dia saja nak masuk pukul berapa. Macam office ni bapak dia yang punya.” Tengku Irfan membebel sendirian.

“Hai tengku!” sapa Irdina dari arah muka pintu bilik.

Terkejut Tengku Irfan mendengar sapaan itu. Diusap dadanya yang berombak kencang.

“Alamak! Tengku terkejut ke?” tanya Irdina, prihatin.

“Kau ni tak reti nak ketuk pintu ke?” geram Tengku Irfan.

“Ketuk? Ala… Takkan dengan saya pun tengku nak berkira. Kita kan adik-beradik,” sengih Irdina. Dihampiri meja Tengku Irfan dan menatap wajah pemuda itu.

“Kau ke mana? Baru sekarang nampak batang hidung.”

“Jalan-jalan!”

“Jalan-jalan? Siapa bagi arahan pada kau suruh pergi jalan-jalan?”

“Tak ada sesiapa.”

“Kau tahu tak sekarang ni waktu bekerja?”

“Hisy tengku ni. Asyik nak marah saja. Cubalah cool macam Encik Naufal tu.”

Tengku Irfan berkerut dahi. Kenapa Irdina mengaitkan dirinya dengan Naufal?

“Tengku!” panggil Irdina, lembut.

Tengku Irfan tidak membalas. Wajah Irdina ditatap curiga.

“Nak tanya boleh?”

“Tanya apa?”

“Errr… Encik Naufal tu dah ada girlfriend?” Malu-malu Irdina bertanya. Panas pipinya ketika itu. Menahan malu yang amat sangat.

“Apasal kau tanya?” soal Tengku Irfan, curiga.

“Saya nak tackle Encik Naufal. So, saya kenalah siasat hal peribadi dia dulu,” jawab Irdina, tersenyum malu.

Terkejut Tengku Irfan mendengarnya.

“Tengku…” seru Irdina, lembut.

“Dia dah ada girlfriend!” balas Tengku Irfan, keras.

Entah kenapa perasaan lain hadir dengan tiba-tiba. Perasaan apa, dia sendiri tidak tahu. Kata-kata Naufal terngiang-ngiang di minda ketika ini. Niat Naufal untuk mengenali Irdina turut sama bergema di cuping telinga.

“Hurm… Masih boleh tackle.”

“Maksud kau?”

“Selagi tak kahwin, dia belum milik sesiapa. Betul tak, tengku?”

Tengku Irfan tidak membalas. Otaknya cuba merencana penjelasan Irdina.

“Saya keluar dulu. Sorry atas kelewatan,” ujar Irdina lalu beredar dari situ. Dia mengekek ketawa melihat wajah kelat Tengku Irfan.

Tengku Irfan hanya memandang. Rasa sakit hati dipermain-mainkan oleh Irdina.

“Memang nak kena minah ni,” geram Tengku Irfan sendirian.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.