Home Novel Komedi/Romantik Komedi P.A Lelaki 'Kerek'
P.A Lelaki 'Kerek'
Rose Eliza
15/12/2014 14:20:52
118,847
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

“PEGANG elok-elok la,” tegur Tengku Irfan, serius.

Irdina mendengus kasar. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu.

“Awak nak saya maafkan awak, kan?” suara Tengku Irfan lagi.

Irdina tidak membalas. Wajah Tengku Irfan ditatap tajam. Rasa kesal menghuni di hati ketika ini. Kesal berjumpa dengan pemuda itu.

“Pegang ni!” arah Tengku Irfan sambil menghulur sehelai baju kepada Irdina.

“Awak tak nampak ke tangan saya dah penuh dengan barang?” tegur Irdina, menekan.

“Aku peduli apa,” balas Tengku Irfan, selamba.

Dia segera masuk ke dalam bilik persalinan pakaian. Senyuman sinis menghiasi bibir. Niatnya untuk mengenakan Irdina terlaksana sudah. Rasa sakit di hati pada peristiwa malam itu masih lagi bersisa. Tidak semudah itu dia akan memaafkan gadis itu.

“Haishh!!! Sakit hati aku dengan mamat tu,” luah Irdina, geram.

Dicampak beg kertas yang dipegang sedari tadi. Melepaskan kemarahan kepada Tengku Irfan. Marah terhadap Irshad turut sama menumpang di hati. Jika bukan disebabkan Irshad, tidak mungkin dia akan menghadapi situasi sebegini.

Tengku Irfan mengintai dari dalam bilik. Dia tersenyum kemenangan melihat tingkah laku Irdina. Terlalu mudah untuk dia mengenakan Irdina.

“Kau kata aku main macam orang cacat, kan? Sekarang, terimalah nasib kau,” kata Tengku Irfan, puas hati.

Irdina mundar-mandir di hadapan butik. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika. Masa sudah merangkak ke pukul empat petang. Terlalu lama dia berada di butik itu. Menanti Tengku Irfan selesai membeli-belah.

Tanpa berlengah, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam beg tangan. Nombor telefon Encik Razman didail. Dia perlu mengkhabarkan kelewatannya itu. Niatnya sekadar untuk berjumpa dan meminta maaf. Tetapi, lain pula yang jadi. Bagaimana untuk menjelaskan perkara yang sebenar kepada Encik Razman?

Sudahlah tadi dia diberi tugasan yang agak sukar untuk dilaksanakan. Tugas di mana dia perlu menjadi pembantu peribadi kepada Tengku Irfan Haiqarl sepanjang program team building berlangsung. Kenapa dia yang dipilih? Tidak ada staf lain lagikah yang boleh dijadikan pembantu lelaki itu?

“Tengku Irfan Haiqarl?” ulang Irdina, berkerut.

Seperti pernah mendengar nama itu. Bukankah nama itu yang dilihatnya di bilik Irfan? Adakah orang yang sama? Adakah bos Irfan bernama Tengku Irfan Haiqarl?

Dipandang Tengku Irfan yang sudah menapak keluar dari kedai. Di tangan pemuda itu beberapa beg kertas. Pasti pemuda itu membeli pakaian lagi, fikir Irdina sendirian.

“Nah! Pegang ni!” arah Tengku Irfan.

Irdina sedikit tersentak. Lamunannya yang pendek berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke arah beg kertas yang dihulur oleh Tengku Irfan.

“Saya?” tanya Irdina kemudian.

“Yalah! Kau ingat aku nak pegang semua ni ke?” balas Tengku Irfan.

“Ini sudah lebih. Dia ingat aku ni kuli dia ke?” geram Irdina, berbisik.

“Semua ni bos aku, Tengku Irfan Haiqarl yang punya. Dia mintak aku tolong ambilkan di butik,” beritahu Tengku Irfan.

Sengaja dia berkata begitu. Tidak mahu Irdina mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Lagipun, pada permulaan perkenalan dia menggelarkan diri sebagai ‘Irfan’ dan bukannya ‘Tengku Irfan Haiqarl’.

“Bos awak?” Irdina terjerit kecil. Wajah selamba Tengku Irfan ditatap benci.

“Ya. Bos aku. Kenapa?” soal Tengku Irfan, tenang.

Irdina mengeluh berat. Dia meraup kasar wajahnya. Terasa diri dipermain-mainkan. Tengku Irfan sengaja menyuruh dia ikut ke butik semata-mata untuk dijadikan kuli membawa barangan milik bos pemuda itu. Rasa nak belasah saja mamat di hadapannya itu.

Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Tidak dihiraukan panggilan Tengku Irfan. Apa yang pasti, dia perlu meredakan kemarahan di hati.

Tengku Irfan ketawa melihat tingkah laku Irdina. Senyuman puas terbias di wajah. Puas hati mengenakan gadis itu. Telefon bimbit dari dalam poket seluar dikeluarkan. Nombor pengawal peribadi didail.

Pengawal peribadi yang diupah oleh Tengku Iqbal untuk mengekorinya ke mana sahaja. Walaupun dia berasa rimas dengan keadaan itu, nak tak nak, terpaksa juga dia menerimanya. Sebagai memenuhi permintaan Tengku Iqbal.

Setelah berbual selama beberapa minit, kelibat pengawal peribadinya menyapa mata. Sengaja dia meminta pengawal itu tidak mengekori terlalu rapat. Tidak mahu Irdina mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Belum tiba masanya untuk dia memperkenalkan diri sebagai Tengku Irfan Haiqarl Bin Tengku Iqbal.

“Bawakan semua barang ni ke kereta,” arah Tengku Irfan.

“Baiklah, tengku!” balas pengawal peribadi yang bernama Shamin itu.

Tengku Irfan beredar dari situ. Entah kenapa senyuman terbit dengan tiba-tiba. Peristiwa sebentar tadi bermain di minda. Rasa seronok mempermainkan Irdina. Adakah dia berpeluang mempermainkan gadis itu lagi?


“JUMPA kau esok,” suara Melisa.

Tersentak Irdina dek kerana suara Melisa. Lamunannya pada peristiwa siang tadi termati begitu sahaja. Terlalu lama dia mengingati peristiwa itu sehinggakan tidak sedar siang sudah pun berganti malam.

“Esok jangan lupa. Kita nak pergi beli barang-barang keperluan untuk team building tu,” kata Melisa, mengingatkan.

“Barang?” Irdina berkerut dahi.

“Kita kan AJK hadiah. So, kena la beli hadiah untuk program tu.”

“Tapi, aku….”

“Kenapa? Pasal arahan Encik Razman tu ke?”

Irdina mengangguk perlahan.

“Hurm… Aku pun tak tahu la. Kenapa Encik Razman tu pilih kau?” suara Melisa sambil berfikir. Berkerut-kerut dahinya cuba untuk memikirkannya.

Irdina tidak membalas. Otaknya turut sama ligat berfikir.

“Haa… Jangan-jangan Tengku Iqbal berkenan dengan kau tak? Nak jadikan kau sebagai isteri dia. Sebab itulah dia mintak kau jadi pembantu peribadi Tengku Irfan. Yalah, suruh kau berkenalan dengan anak dia,” kata Melisa sekadar menduga.

Bulat mata Irdina mendengarnya. Tidak masuk dek akalnya yang waras sebarang kemungkinan Melisa itu.

“Mengarutlah kau ni Mel. Tak ada benda lain ke yang kau boleh fikir? Benda mengarut dan tak masuk akal tu juga yang kau fikir,” geram Irdina.

Tergelak Melisa mendengarnya. Sengaja menduga perasaan Irdina. Selama ini, belum pernah lagi dia mendengar Irdina menyukai seorang lelaki. Adakah Irdina tidak mempunyai perasaan terhadap lelaki?

“Along!” panggil Irdina kemudian.

Irshad yang sedang melangkah menuju ke pintu rumah menghentikan langkah. Dihalakan mata ke arah Irdina yang sedang duduk di halaman rumah.

Irdina bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menghampiri Irshad berserta senyuman di bibir.

“Along dah makan?” tanya Irdina, berbasa-basi.

“Dah!” jawab Irshad, acuh tak acuh.

Irdina mengangguk. Matanya menatap wajah Irshad yang beriak kelat. Adakah Irshad masih bersikap dingin dengannya?

“Along masuk dalam dulu,” pamit Irshad memulakan langkah.

“Along nantilah dulu,” tahan Irdina seraya memegang lengan Irshad.

Termati langkah Irshad dek kerana pegangan itu. Dengusan terlepas daripada bibir.

“Sampai bila along nak marahkan Dina?” soal Irdina ingin tahu.

“Irfan dah maafkan Dina?” soal Irshad pula.

“Dina dah pergi mintak maaf kat dia. Tapi, dia main-mainkan Dina. Dia…” Kata-kata Irdina terhenti tatkala Irshad berlalu dari situ.

Irshad tidak mengendahkan Irdina. Dia menapak masuk ke dalam rumah. Seharian bekerja, sungguh memenatkan. Bertambah dengan masalah Irdina, membuatkan otaknya tidak berfungsi dengan baik.

Bukannya dia sengaja berbuat begitu. Sekadar untuk menyedarkan adiknya itu. Selama ini, adiknya suka bersikap acuh tak acuh. Mungkin dengan cara ini, Irdina akan lebih bersikap bertanggungjawab.

“Kau janganlah risau, tak lama kemarahan along tu,” suara Melisa dari arah belakang.

Irdina mengeluh berat. Wajah diraup kasar.

“Aku balik dulu. Jumpa esok!” pamit Melisa dan beredar dari situ.

Irdina hanya memandang. Setelah kelibat Melisa menghilang, dia segera masuk ke dalam rumah. Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Bagaimana untuk meminta maaf daripada Irfan? Lelaki yang telah menyusahkannya ketika ini.


“APA cerita?” tanya Naufal tidak sabar.

“Cerita? Cerita apa?” soal Tengku Irfan, berkerut.

“Irdina!”

“Irdina?”

“Dia ada datang jumpa dengan kau tak siang tadi?”

Tengku Irfan sekadar mengangguk.

So, betul tak dugaan aku? Dia datang jumpa kau nak mintak maaf, kan?”

“Memang dia datang nak mintak maaf dengan aku. Tapi, dia datang bukan atas kerelaan hati dia. Terpaksa sebab abang dia.”

“Maksud kau?”

“Dia beritahu aku, dah dua hari abang dia dingin dengan dia. Sebab kes malam tu.”

“Hai, takkan sebab tu kut?”

“Kau sendiri dengarkan apa yang dia cakap hari tu. Bengang juga aku masa tu.”

Naufal berfikir sejenak. Seminit kemudian, dia mengangguk. Mengiyakan kata-kata Tengku Irfan.

“Abang dia siap mintak bukti lagi. Bukti yang menyatakan aku dah maafkan dia. Kelakar pulak aku rasa,” cerita Tengku Irfan lalu ketawa kecil.

Naufal berkerut dahi. Wajah ketawa Tengku Irfan diperhati dalam diam.

“Aku kenakan dia cukup-cukup tadi. Aku bawa dia pergi mall dan suruh dia pegang barang-barang aku. Last-last aku beritahu dia yang barang-barang tu semua bos aku yang punya.”

“Maksud kau?” tanya Naufal kurang faham.

“Aku cakap yang barang-barang tu bos aku yang punya dan bos aku tu nama dia ialah Tengku Irfan Haiqarl,” jelas Tengku Irfan, tergelak.

“Kau biar betul?”

“Dia ingat aku Irfan, pembantu Tengku Irfan Haiqarl. Dia tak tahu yang Irfan dan Tengku Irfan Haiqarl adalah orang yang sama.”

Ketawa kecil Naufal mendengarnya. Begitu sekali Tengku Irfan mempermain-mainkan Irdina. Tidak menyangka juga yang Tengku Irfan berubah sebegitu sekali.

“Aku suka tengok kau macam ni, Ir,” ujar Naufal sebaik sahaja ketawa reda.

Tengku Irfan mematikan ketawa. Wajah Naufal ditatap berserta kerutan di dahi.

“Dah lama aku tak tengok kau ketawa macam ni,” jelas Naufal lalu tersenyum.

Tengku Irfan tidak membalas.

“Aku rindukan Tengku Irfan Haiqarl yang aku kenali dulu. Sebelum peristiwa itu berlaku dalam hidup kau.”

“Aku…” Sukar untuk Tengku Irfan membalas. Dia menunduk memandang kaki sendiri.

“Aku faham, Ir. Walau apa pun, aku bersyukur dengan perubahan kau sekarang ni.”

Tengku Irfan membisu. Kata-kata Naufal bermain-main di minda.

“Mungkin juga disebabkan Irdina Asyikin,” usik Naufal sambil tersenyum makna.

Terangkat wajah Tengku Irfan mendengarnya. Irdina Asyikin? Hatinya mengulangi nama itu. Kenapa Naufal mengaitkan Irdina dalam perubahannya itu?

“Gadis tu menarik dan kelakar. Walaupun kurang cantik. Tapi, sedap mata memandang,” puji Naufal kepada Irdina. Senyuman masih menghiasi bibir.

Tengku Irfan tidak membalas. Otaknya cuba menerima pujian Naufal terhadap Irdina. Menarik? Kelakar? Sedap mata memandang? Naufal ni memang dah buta. Minah macam tu bukannya bagus sangat. Macam sengal adalah. Tengku Irfan bermonolog.

“Kau pergi team building tu?” tanya Naufal sekadar ingin tahu.

Tengku Irfan tersentak. Dia mengangguk sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Naufal.

“Kalau aku tak ada apa-apa, aku follow. Papa kau ada beritahu aku pasal ni.”

Hope kau boleh follow,” kata Tengku Irfan, berharap.

Naufal sekadar tersenyum. Wajah Tengku Irfan masih menjadi tatapan mata. Jauh di sudut hati, dia mengucap syukur. Bersyukur akan perubahan Tengku Irfan. Semoga Tengku Irfan kembali pulih seperti sediakala. Doa Naufal buat Tengku Irfan.


IRDINAmengeluh berat. Diperhatikan Irshad dari arah ruang dapur. Abangnya itu sedang khusyuk menatap laptop. Bagaimana untuk memulakan perbualan. Sejak dari pulang, abangnya itu hanya membisu dan dingin. Pasti Irshad masih menyimpan perasaan marah. Rasa sesak nafas memikirkan sikap Irshad ketika ini. Perlukah dia memujuk dan merayu Irshad?

Tanpa berlengah, langkah dibawa menuju ke ruang tamu. Didekati Irshad dan berdehem buat seketika. Sekadar menarik perhatian daripada Irshad.

Irshad menyedari kehadiran Irdina. Matanya tertumpu ke skrin laptop.

“Along!” panggil Irdina, lembut.

Irshad mengerling buat seketika. Kemudian, dijatuhkan ke skrin laptop.

“Dina mintak maaf. Dina janji lepas ni Dina tak buat macam tu lagi,” janji Irdina sambil mengangkat tangan. Berharap, Irshad dapat menerima kemaafannya itu.

Irshad yang mendengar mengangkat wajah. Irdina yang sedang mengangkat tangan dipandang buat seketika.

“Along!” panggil Irdina lagi.

Dia segera melabuhkan duduk di sisi Irshad. Lengan abangnya itu dipeluk kejap. Melepaskan kerinduan selama dua hari ini.

Selama ini, jarang sekali Irshad bersikap dingin dengannya. Kenapa disebabkan lelaki bernama Irfan itu telah menyebabkan Irshad jadi begitu?

“Along maafkan Dina?” tanya Irdina seraya memandang ke wajah Irshad.

Irshad menghela nafas ringan. Wajah Irdina ditatap kasih.

“Along…” rengek Irdina, manja.

“Along maafkan. Lain kali jangan buat lagi,” kata Irshad, serius.

“Dina janji. Dina janji takkan buat lagi.” Irdina berjanji buat kali yang kedua.

Irshad yang melihat ketawa kecil. Ditarik tangan Irdina dan tersenyum kepada adiknya itu. Sungguh, dia amat menyayangi Irdina.

“Pengajaran buat Dina. Jangan sakitkan hati orang. Ingat lagi tak pesanan ummi pada kita dulu?”

Irdina mengangkat muka. Otaknya cuba mengimbas semula kata-kata Hajah Basyirah tidak lama dahulu.

“Jaga tutur kata kita. Jangan sesekali sakitkan hati orang. Kita tak tahu hati orang macam mana. Kalau kita bersalah, kita mintak maaf. Dengan kata-kata maaf, hati yang keras dapat dilembutkan,” nasihat Hajah Basyirah, lembut.

“Ingat lagi tak?”

Irdina sekadar mengangguk. Senyuman diberikan kepada abangnya itu.

“Cuma satu along nak tanya Dina.”

“Apa dia?” tanya Irdina, berdebar.

“Dina ada pergi jumpa dengan ‘dia’?” tanya Irshad, serius.

Tersentak Irdina mendengarnya. Air liur ditelan terasa kelat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Irshad?

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.