Home Novel Komedi/Romantik Komedi BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
BILA CINTA MENGGILA (SAAT CINTA MEMBARA~AYAT-AYAT GATAL)
AD Rahman Ahmad
24/11/2014 06:56:05
93,190
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7
Yazid memincingkan mata saat melangkah keluar dari kamarnya. Dikitari sekeliling. Agak hairan melihatkan keadaan. Kelihatan, agak berbeza dari hari-hari biasa. Dapat Yazid merasakan kelainan yang ada.

Di meja makan, Haiza dan ibunya sedang duduk bersebelahan menghadap hidangan. Tetapi sedikit pun tidak disentuh makanan itu. Ada sepinggan lagi yang terhidang.

"Nak... mari sini sayang kita makan sama," panggil ibunya lembut dan mesra saat bertembung mata dengan Yazid. Pandangan mata ibunya membelai. Senyuman menyilang di wajah.

'Erkkk! Anak? Sayang? Sejak bila pulak panggilan untuk aku boleh jadi anak dan sayang? Macam bermimpi aja aku ni!' Bisik hati Yazid dengan penuh kehairanan. Keningnya hampir bercantum. Jambul Nusantaranya bergerak-gerak.

"Bang Yazid... marilah. Dah lama ni kita tunggu," Haiza turut menjemput. Dengan mesra juga. Sorot mata berkilat-kilat menyapu wajah Yazid. Bibirnya mengirim senyum.

'Aikkk! Lain macam aja semua hari ni! Apa hal? Apa cerita?Tetiba aku dilayan macam bintang aja hari ni!' Bisik hati Yazid lagi. Rasa hairan kian merempuh jauh.

Perlahan Yazid menuju ke meja makan itu. Dilabuhkan punggung menghadap ibunya dan Haiza yang menyambut dengan senyuman termanis. Seketika Yazid merenung mereka dengan rasa hairan lalu dikalihkan pandangan. Mata tertuju ke arah apa yang terhidang.

'Wahhhh... sosej! Ada telur hancur! Baked bean! Jus oren pun ada? Fullamak! Ini makanan 'favorite' aku! Apa cerita ni hari ni? Lain macam aja aku tengok. Ni mesti ada udang di sebalik batu! Hmmm... '

Yazid benar-benar di dalam kehairanan. Matanya yang mahu membulat besar melihat apa yang terhidang, dihalang. Yazid berlagak seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa kelainan yang sedang berlaku. Sama sekali tidak memperlihatkan rasa keghairahan juga terhadap makanan kegemarannya. Dia nampak tenang. Biasa-biasa sahaja.

"Zid, kau ni... sebenarnya ada terlibat dalam bidang lakonan ke?"

Hampir tersembur sosej yang sedang dikunyah Yazid. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengar. Sungguh luar biasa dan di luar dugaan pertanyaan ibunya. Pantas jus oren disambar dan diteguk dengan gopoh.

"Kenapa pulak mak cakap macam tu? Semalam kan mak yang sendiri cakap kalau orang jadi pelakon, semua Tv akan rosak?" Ujar Yazid sinis. Haiza menutup mulutnya. Mata tersengih.

"Alaaa... kau ni janganlah sensitif sangat. Semalam tu mak cakap gurau aja. Saja-saja nak sakat engkau. Nak bermesra. Bukannya betul-betul. Kau ni pun... sikit-sikit nak merajuk. Macam comel aja kau ni," kata ibunya sambil menjeling sayang. Haiza gelak kecil melihat aksi spontan ibunya.

"Abang Yazid... kalau ada bakat apa salahnya jadi pelakon," sampuk Haiza sebentar kemudian, "sedangkan pelakon yang dekat Tv tu pun kebanyakkan bukannya ada bakat. Harapkan muka aja cantik dan hensem. Tapi berlakon, alahaiii... kakunya mengalahkan kayu. Macam mana industri perfileman nak maju jika yang terlibat sendiri mencemarkan mutu?"

"Eh! Kau ni dah kenapa? Siapa ni yang nak jadi pelakon, hah? Aku ada cakap yang aku ni nak jadi pelakon? Ada?" Yazid membentak. Biji mata galak dibeliak.

"Memamglah Abang Yazid tak cakap... tapi... " Haiza terhenti di situ saat ibunya menendang kakinya di bawah meja. Mengenyit mata saat Haiza memandangnya. Haiza mengerti maksudnya dan tidak meneruskan kata-kata.

'Eh! Kenapa ni dari semalam dia orang semua asyik cakap pasal berlakon-berlakon? Apa... memang aku ni ada aura seorang pelakon ke? Ada ke? Hmmm... mungkin agaknya kot. Tu sebablah tak habis-habis dari semalam bual pasal berlakon! Hmm... boleh tahan juga aku ni rupanya ye!' Membelon hati Yazid berbisik. Jambul Nusantara yang terletak dengan megah di atas kepala disentuhnya sebentar dengan tangan kiri.

"Betul apa yang Haiza tu cakap, Zid," terhenti begitu sahaja lamunan Yazid dengan celahan ibunya, "macam mana penonton nak menjiwai cerita kalau pelakon tu sendiri tak boleh nak menjiwai watak? Kalau setakat rupa nak dijadikan modal untuk tarik perhatian orang... dok kat McDonald pun boleh tengok yang cantik-cantik! Betul tak? Isshhh... tak fahamlah aku!"

Yazid berdiam tidak menjawab. Fikiran melayang teringatkan mesejnya tempoh hari pada Liza Wati yang dia bercita mahu menjadi seorang pelakon. Tapi itu bukan betul-betul. Itu cuma satu alat untuk memikat Liza Wati.

"Hah, Zid... tadi kau cakap ada perkara penting hari ni, yang kau nak ceritakan. Apa bendanya yang penting sangat?" Tanya ibunya kemudian.

Yazid yang sedang khusyuk menjamu selera, membaham apa yang ada, mengangkat muka. Wajahnya setenang air di kolam.

"Hari ni orang ada temu-janji kerja," beritahu Yazid setelah agak lama berdiam, "nanti hutang tu... orang bayar bila gaji ye."

"Itu pun kalau dapat kerja," kata Yazid lagi apabila ibunya baru ingin membuka mulut bersuara.

"Zid... " lirih ibunya, "mak tak mintak pun kau bayar. Kalau kau nak bayar, kau bayar. Kalau kau tak bayar pun tak apa. Mak tak kesah."

"Orang tahu. Tapi... bila dah sebut hutang, tu bukan lagi kira mintak. Lainlah kalau mintak, tak bayar pun tak apa. Tapi kalau dah namanya hutang, bila tak bayar... nanti kat akhirat orang kena jawab pulak. Jadi... bila mampu tu baiklah orang bayar, kan?"

Terkunci seketika pandangan, begitu Yazid dan ibunya saling berbalas senyuman. Haiza turut tersenyum, berasa kagum dan bangga dengan pendirian abangnya.

"Doakan orang dapat kerja nanti ye. Nak gerak dulu. Takut lambat pulak nanti temu-janji."

Meneguk jus oren yang bersisa, tanpa lengah Yazid bingkas bangun. Mencapai topi keledar yang diletaknya di tempat biasa, di atas meja ruang tamu, Yazid terus menuju ke arah pintu utama.

"Zid... " Yazid perlahan menoleh saat panggilan ibunya menyinggah ke telinga.

"Selamat hari lahir, nak. Selamat hari lahir yang ke dua puluh-lima. Mak doakan moga kau dapat kerja nanti. Dan mak sentiasa doakan engkau selalu selamat dan berjaya dunia akhirat."

Kalimat itu diakhiri ibunya dengan senyuman mesra menyilang di wajah.

"Selamat hari lahir Abang Yazid. Za doakan yang sama juga buat abang," sahut Haiza ceria dengan senyuman juga. Mata memanah rasa sayang.

Yazid hanya mengangguk tanpa bersuara. Dengan tenang, dia meneruskan langkah ke luar. Langkahnya sepi.

Berdiri di perkarangan rumahnya, menghela nafas, sekitar dilepaskan pandangan. Begitu air mata mencurah di pipi. Lebat dan basah bagaikan hujan yang turun tatkala musim tengkujuh datang menjengah. Sebak! Begitu sebak mengingatkan ucapan ibunya dan Haiza. Sama sekali tidak disangka, sama sekali tidak teringat, hari ini rupanya adalah hari lahirnya.

'Aamiin. Terima kasih, mak. Terima kasih kerana melahirkan Yazid ke dunia ini. Moga Allah lemparkan rahmatNya buat mak. Terima kasih, Haiza. Moga Allah kabulkan doa kita semua. Amin.' Bisik hati Yazid penuh sayu.

Mengesat air mata dengan lengan kanan bajunya, tanpa lengah dia mendapatkan Biru yang sudah lama menunggu. Mencangkung di depan Biru, seperti biasa membelai badan Biru dengan kain pengelap.

"Biru... hari ini, hari lahir aku tau. Kau tak nak ucapkan Selamat hari lahir ke?"

Yazid tersenyum. Sepertinya, membalas senyuman Biru. Berdiri lalu menyarung jaketnya, mengalas kepala dengan topi keledar, menggagahkan wajah dengan kacamata hitam. Tanpa lengah Biru ditunggang.

Seperti biasa, ayam-ayam jiran yang sedang berkeliaran di perkarangan rumahnya, bertempiaran saat Biru mengaum. Seperti biasa juga, Yazid bagai digeletek melihatkan. Tergelak Yazid. Hilang rasa hiba yang sebentar tadi mendakapnya.

Begitu angin menampar-nampar wajah saat Yazid meredah menuju ke arah tujuan. Laju dia memecut dengan penuh hati-hati. Sesekali jam tangannya dijeling. Yazid mengerti, janji adalah jadual. Harus didatangi tepat pada waktu. Falsafah hidup yang menjadi pegangannya selama ini.

Tidak lama kemudian, bangunan yang dicari tersergam di depan mata menyambut pandangan. Kagum Yazid melihat bangunan empat tingkat itu yang berdindingkan kaca kesemuanya. Memarkir Biru ditempatnya, bersenjatakan Bismillah, Yazid melangkah masuk.

Terpegun Yazid saat mengitari sekeliling. Ruang dalamnya bukan sahaja luas, malah dihiasi dengan perabot-perabot yang cantik bermutu dan pasti mahal harganya. Matanya jatuh ke arah seorang gadis yang duduk di belakang kaunter. Tanpa membuang masa, menjungkitkan kening, Yazid hampiri.

"Hmmm... selamat tengah hari, Cik. Boleh... saya tumpang tanya?" Yazid bersuara dengan penuh hormat sebaik menghampiri.

"Ye, selamat tengah hari. Saya Liena Zalie, penyambut tamu. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"

Terpana Yazid saat penyambut tamu itu mengangkat muka dan melontarkan senyuman yang manis. Pada pandangan Yazid, gadis comel yang berambut panjang yang sedang memandangnya, tidak ubah seperti bulan dipagar bintang. Indah sinaran matanya, seindah senyuman. Mulutnya yang lebar sederhana, bibir tidak tebal juga nipis, sungguh mempesona.

Tiba-tiba entah kenapa Yazid jadi malu. Tersipu-sipu menundukkan wajah dengan penuh perasaan. Mencuri-curi pandang menjeling penyambut tamu itu secara terang dengan senyuman lebar hingga ke telinga.

"Eh! Awak ni dah kenapa? Tetiba jadi malu-malu pulak?" Tanya penyambut tamu itu dengan mengerut dahi. Alisnya yang halus bersambung.

"Errrrr... maaf... Itu sifat semula jadi saya. Hmmm... awak marah ke?" Tanya Yazid sambil menggoyangkan badannya ke kiri-kanan. Tetap menunduk Yazid.

"Saya tak marah. Tapi menyampah! Macam meluat tengok," tegas Liena Zalie penyambut tamu itu yang terasa diri diganggu Yazid.

'Macam nak mintak diselipar aja muka si sengal ni!' Jerit hatinya.

"Awak nak apa sebenarnya ke sini? Cuba awak jelaskan,"

Yazid mendongakkan wajah saat mendengar pertanyaan itu. Masih tetap mengekalkan wajah dan aura seorang jejaka pemalu. Liena Zalie direnung. Sorotan mata lembut menikam. Begitu sekali mengancam sinaran mata dibenam ke bola mata penyambut tamu itu. Kad bisnis yang menjadi harapan, perlahan dihulurkan.

"Awak ada temu janji dengan orang ini?" Tanya Liena Zalie sebaik kad bisnis yang dihulurkan Yazid, dibacanya.

Tidak bersuara, Yazid hanya mengangguk.

"Awak naik lif tu ke tingkat paling atas... " jelas Liena Zalie sambil menuding ibu jari ke satu sudut, "keluar lif nanti, awak akan nampak satu pintu besar. Itu pejabatnya."

"Awak... " suara Liena Zalie saat Yazid baru mahu bergerak pergi. Yazid menoleh, "maaf cakap... lain kali kalau jumpa saya, muka tu awak tolong jangan ayu-ayukan ye. Juga tolong jangan nak mengsyahdu-syahdukan mata awak bila tengok saya. Saya tak suka sebenarnya. Saya jadi meluat dan menyampah kalau awak nak tahu! Tugas saya di sini pun... buat pengetahuan awak... bukanlah untuk dimengurat! Faham?"

Berdiam tidak menjawab, memutar kepala menundukkan wajah, perlahan Yazid meneruskan langkah.

'Entah apa-apa aja si minah skema ni. Aku pun meluatlah tengok muka kau sebenarnya! Aku datang sini nak mintak kerjalah. Bukan nak mengurat kau! Macam comel aja!' Yazid menyumpah di dalam hati sambil memuncungkan bibirnya.




Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.