Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia Suami Rahsia
Dia Suami Rahsia
Sweet Jasmine
16/11/2021 19:14:05
48,621
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 13
TENTANG IKHLAS



     SYUHADA siap mengenakan jubah moden warna ungu dan tudung bawal hitam dengan bunga serona jubah. Tapi dia tak terus bangun dari kusyen bulat hadapan cermin meja soleknya seperti biasa. Diam saja memandang Zaidan melalui cermin. Suaminya itu sedang meniarap di atas katil sambil bermain permainan dalam telefon bimbit. Kopiah yang dipakai waktu solat subuh tadi pun masih melekat di kepala. Bunyi senapang, pistol dan bom segala bagai dari permainan itu mengisi ruang kamar.


Otak merangka cara untuk menarik perhatian Zaidan sebenarnya. Sejak isu 'boyfriend' semalam, dia tahu Zaidan merajuk tapi bukan senang nak pujuk. Kenapa? 


Sebab Zaidan sejenis yang pemendam. Hati ada rajuk tapi muka buat-buat tak merajuk. Bila ditanya, masih menjawab. Bila diseru, masih menyahut. Bila berlaga mata, masih melempar senyum tapi semua itu terlihat hambar, kedengaran hambar. Jadi susahlah dia nak pujuk sebab lelaki itu 'tak merajuk'. Kalau meringkuk bucu bilik dengan muncung sedepa senanglah dia nak pujuk kan? 


   "Abang dah mula rotate syif harini kan?" dia bersuara akhirnya bila tak menemui sebarang cara. Nanti juga Zaidan akan terubat sendiri. Seperti kebiasaannya.


Zaidan yang fokus pada permainan menoleh pada Syuhada cuma sesaat. "Yup."


   "Lunch nanti nak keluar makan sama-sama kat luar?"


   "Tak takut orang nampak ke?" bersahaja Zaidan memerli tanpa memandang. Ada senyum di wajah. Seolah-olah ucapan itu sekadar gurauan meski hati benaran terkilan.


Syuhada diam lagi. Gigit dinding sambil merenung muka sang suami. Inilah Zaidan. Selalu buat dia rasa bersalah. Ah.


Dia kemudian bangun berdiri. Mencapai beg galasnya sebelum mampir di sebelah katil. Tangannya dihulur tanda meminta tangan Zaidan untuk disalami.


   "Salam."


Zaidan menoleh sekilas. Betul-betul tumpuannya pada skrin telefon sampaikan berkerut satu dahi. Dengan posisi masih meniarap, satu tangan dihulur, satu lagi lincah menekan-nekan skrin telefon. 


Nak tak nak, Syuhada jua lah yang terpaksa menyua tubuh ke depan agar dapat menyalami tangan Zaidan. Kemaruk sangat main permainan dalam talian suaminya ini seorang. Sakit hati betul!


   "Lunch nanti macam mana?" soal Syuhada sekali lagi dengan bibir sedikit mencemik. 


   "Tak kut. Abang nak keluar dating."


   "Dating dengan siapa?" Syuhada kerut dahi.


   "Girlfriend abanglah. Ingat sayang sorang aje ke ada boyfriend?" 


   "Macam budak-budak," getus Syuhada menjeling mata. Langkah kaki dihayun keluar dari kamar dek geram dengan sikap Zaidan.


   "Dia yang macam budak sekolah, kata orang pulak," balas Zaidan bila tubuh kecil molek Syuhada hilang di balik pintu. 


Dia masih dengan pertempuran dalam talian. Masa depan pasukan tenteranya berada di bawah kendaliannya sekarang. Perut lapar pun ditahan. Kira-kira 20 minit kemudian, barulah peperangan berakhir. Kali ini pasukannya menang memandangkan dia beri fokus sepenuhnya. Kalau kat tempat kerja, baru pegang telefon sekejap, anak buahnya 4 orang ada saja masalah dibuat. Jadualnya juga padat.


Dia segera turun dari katil. Menggeliat lama membetulkan tulang belikat yang lenguh. Kopiah ditanggalkan dan dia letak di atas meja lampu sebelum bergerak ke dapur. Mengisi perut kosong dengan bijiran dan susu. Selera veterannya bukanlah makan sangat sarapan orang putih ini tapi dah itu saja yang ada dalam dapurnya. Nak keluar beli sarapan pun malas. Lagipun dia memang nak keluar sebentar lagi.


Hari ini...


Dia merenung lama jam dinding bertentangan meja makan. Tarikh hari ini tertera jelas di bawah jam digital itu. Seraut wajah pucat mengalirkan air mata memenuhi layar pandangannya tika ini. Wajah itu pucat namun ada senyum. Dingin tangan empunya wajah menggenggam tangannya masih terasa hingga ke dasar hati.


12 tahun telah pun berlalu, mengapa semuanya masih begitu jelas?



_______________________ 



   "TSK," decitan kesepuluh keluar dari mulut Syuhada. Muka yang cantik manis pun tercalit kerutan. Mulut memuncung tanpa sedar. Dia duduk sendirian di meja dekat dinding kaca. Niat nak menikmati sarapan tapi seleranya hilang gara-gara memikirkan ucapan Zaidan. 


   "Girlfriend?" monolognya dicuit cemburu. 


Kedua-dua lengan disilang di atas meja sambil pandangan dilempar ke luar bangunan. Langit cerah tidak dapat menyamankan hati. Dia mengeluh pula.


   "Yelah tu girlfriend." 


Akhirnya dia mencapai telefon bimbitnya dari atas meja. Sempat anak mata melilau sekeliling memastikan tiada orang berdekatan. Sekelilingnya meja kosong memandangkan dia duduk di bahagian yang sedikit jauh dari kaunter makanan. 


Bila yakin tak ada orang yang akan mendengar suaranya, barulah dia menghubungi nombor Zaidan. Pandangan matanya tampak berwaspada.


   "Hello?" suara garau Zaidan kedengaran menyapa di hujung talian.


   "Hello? Assalamualaikum, abang." perlahan Syuhada memberi salam. Tubuh dipaling ke arah dinding.


   "Waalaikumussalam. Siapa ni?" 


Syuhada kerut dahi. Bingung beberapa detik. Dia melihat sekilas skrin telefon. Ha. Betullah nombor suami sendiri yang dihubungi.


   "Abang, ni Ayu."


   "Ayu? Ayu mana? Ayu manis ke, Ayu Raudhah?"


Mendengar itu, barulah Syuhada jeling mata terbalik. Sah, dia tak salah nombor.


   "Ini Ayu yang tidur sebelah abang semalam," giatnya geram.


   "Sebelah kiri ke sebelah kanan?"


   "Tsk. Tak nak main-mainlah, abang."


   "Awak yang nak mainkan saya kan? Awak cari siapa ni? Dapat dari mana nombor saya?" Konsisten betul Zaidan nak neneruskan permainannya. Tiada langsung gurauan dalam suara. 


   "Abang ada kat mana?"


   "Abang siapa? Saya anak tunggal."


   "Okay, fine." Syuhada terpaksa akur. 

"Ayu minta maaf kalau Ayu buat abang marah semalam. Mungkin betul kata abang. As long as abang tahu hal sebenar, Ayu tak perlu risaukan khabar angin tu. I'm sorry okay?"


  "Telefon awak ada internet?" soal Zaidan mengundang lapisan di dahi Syuhada.


   "Ada. Kenapa?"


   "Awak google, macam mana nak minta maaf dengan ikhlas. 'okay,fine' is so not the way to apologize. Work on it."


Syuhada terdiam sejenak. Dalam diam mengakui teguran dari Zaidan itu. Jika diimbas semula nada yang diguna barusan pun, jelaslah dia bukan meminta maaf kerana tahu salahnya tapi cuma kerana tak mahu meneruskan perbalahan. 


   "Abang dah sarapan?" dia bertanya mengubah topik perbualan. Bila sudah muhasabah diri, baru dia minta maaf seikhlas hati nantinya.


   "Dah. Kat rumah awak ada cereal dengan susu je." Tak habis lagi Zaidan nak ber'awak saya'.


   "Susu? Susu mana?" Laju Syuhada menyoal. 


   "Susu dalam peti. U... DL? UKL? UHL? Entah apa nama susu tu."


   "Susu tu dah rosaklah, abang. Dah seminggu lebih rasanya. Semalam bau masam tapi Ayu lupa nak buang."


   "Oh... Patutlah rasa lain macam."


   "Habis tu abang makan je dah tahu lain macam?"


   "Manalah saya tahu dah basi... Ingatkan perasa tambahan ke apa."


   "Abang ni. Nanti sakit perut."


   "Apalah sangat sakit perut jika nak dibandingkan dengan sakit hati kan? Saya dah biasa disakiti." Eh eh. Tiber pulak si Zaidan layan jiwa. Sedih benar bunyinya tu.


Syuhada mengeluh perlahan. Selagi tak berdamai, selagi itulah Zaidan yang pandai berkata-kata itu akan memerlinya. Percayalah.


   "Lunch nanti kita keluar makan sama-sama di Restoran Dapur Abah. Abang jangan lewat."


   "Tengoklah. Saya kena tanya wife saya dulu."


   "Abang."


   "Dahlah, Cik Ayu. Saya tengah drive ni. Nanti langgar divider, tak sempat nak dengar orang tu minta maaf."


   "Abang nak pergi mana tu?"


Tit.... Panggilan dimatikan meninggalkan soalan Syuhada tergantung sepi.


Syuhada mencemik. Skrin telefon yang sudah gelap dipandang dalam sebal. 


   "Nak pergi mana pagi-pagi ni?"




____________________




   ENJIN kereta dimatikan sebaik pacuannya itu berhenti di hadapan pagar tanah perkuburan islam. Telefon bimbit dilempar perlahan ke tempat duduk sebelah, dia memandang ke dalam pagar. Tanah yang luas hampir penuh. Terdapat juga pohon kemboja dan beberapa pohon lain di dalamnya. 


Berat kaki nak melangkah keluar jadi dia duduk termenung di dalam perut kereta dibelit rasa sayu untuk 20 minit sebelum akhirnya, dia keluar jua membawa Al-Quran bersaiz tapak tangannya bersama. Kopiah putih menutup kepala.


Kaki dihayun memasuki pagar perkuburan. Selangkah demi selangkah dan berhenti di satu pusara yang terletak betul-betul di bawah pokok tembesu. Tidak berlengah, dia segera membersihkan pusara itu yang dijalari rumput liar. Usai membersihkannya, dia duduk bersila mengadap sisi pusara lalu membaca surah Yassin. 


Bacaan yang pada awalnya lancar, tersekat di pertengahan dek sebak memamah jiwa. Air mata mengalir di pipi, tumpah ke tanah sebelum sempat diseka. Angin yang bertiup pun tidak sempat mengeringkan air jernih itu.


Pabila bacaan berakhir, tangannya perlahan-lahan menyentuh batu nisan warna putih yang hampir luntur putihnya. Sebaris nama yang terukir di batu nisan itu diusap-usap. Bergetar bawah bibir agar tidak melepas esakan. Rasanya seperti dia menggores luka di hati. Jadi air matanya mengalir lagi tanpa suara.


Sumpah dalam jiwanya sesak terasa. Gilakah dia kalau dia terfikir untuk menggali kubur di depannya ini? Dia... ingin sekali menghangatkan tangan yang dingin itu. 


   "Berani kau datang sini?" satu suara tiba-tiba mennerjah telinga Zaidan.


Zaidan membuang air mata di muka sebelum bangun dan berpaling ke belakang. Seorang gadis berbaju kurung dengan selendang biru tercegat memeluk tikar dan secerek air putih.


   "Tak faham bahasa ke? Kami tak nak kau jejak kaki kau kat sini. Tapi kau malah tunjuk muka kau depan Haz? Tergamak kau?" Berkaca bola mata Mardhiah mengawal amarah yang tidak pernah surut. 


Zaidan diam. Sebak, sedih, hiba. Giginya diketap kuat. Tak sanggup dia melihat ke dalam kesedihan Mardhiah. 


   "Pergi dari sini sekarang, Zaidan. Sebelum mak dengan ayah datang, kau pergi sekarang. Jangan sesekali kau datang sini. Kami tak pernah, dan tak akan maafkan kau," ujar Mardhiah melarikan pandangan ke arah lain seolah begitu jijik nak memandang Zaidan.


Zaidan masih berdiri kaku. Hati ingin berkata sesuatu tapi tak bisa. Mulutnya terkunci rapat. Tumpah lagi air matanya di pipi  kerana sakit dimamah hiba. Sempit dalam dada menahan tangisan yang mungkin meledak bila-bila masa saja.


Akhirnya, kaki diangkat pergi meninggalkan tanah  perkuburan. Dia tak mahu sampai Mardhiah menangis di pusara ini. Biarlah dia yang pergi...

Previous: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Sweet Jasmine