Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,813
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 5



Lega sedikit hati Melah walaupun gagal mengutip semua hutang lapuk pelanggan tapi sekurang-kurangnya masih ada yang sudi melunaskan.

Duit yang ada boleh digunakan untuk membeli keperluan dapur dan membeli pakaian. Sebahagian lagi bolehlah dia menambah tabungan yang ada bagi membayar sewa rumah.

Melah melenggang masuk ke halaman rumah dengan gembira. Peluh yang menitis hari itu terbayar juga biarpun tak sepenuhnya. Selain daripada itu dia juga berjaya menjual seutas rantai leher dan seutas rantai kaki yang dibayar tunai.

“Pintu terlapang! Ibu ni... kan Melah dah pesan kalau Melah tak ada jangan suka-suka bukak pintu.”Berdebar dada Melah. Macam ada yang tak kena saja.

Melah tak sedap hati sebaik melihat pintu depan rumahnya terbuka. Dia melajukan langkahnya. Beg hijau keras yang berisi barangan kemas digenggam kuat. Kainnya diangkat sedikit untuk memudahkannya melangkah.

“Ibu! Buuu!” Belum sempat kakinya melangkah muka pintu dia sudah melaung Mak Chah. Senyap, tak ada jawapan dari dalam.

“Allah!... ibu, ibu.”

Terkejut bukan kepalang Melah. Spontan beg hijau kerasnya dihumban ke lantai. Sebaik menjenguk, dia panik melihat ruang tamu yang tunggang-langgang. Dari celah kerusi Melah ternampak kaki Mak Chah. Orang tua itu terbaring dengan erangan perlahan.

“Melah. Pening kepala ibu ni.” Adu Mak Chah sebaik Melah menarik tangan Mak Chah supaya orang tua itu dapat duduk.

“Apa yang dah jadi bu?” Melah menerkam dan cepat memapah Mak Chah lalu membaringkannya di atas kerusi panjang.

Pantas Melah mengambil minyak angin untuk disapu pada dahi ibunya. Terpejam celik mata Mak Chah sebaik bau minyak angin meresap ke hidungnya. Terasa segar sedikit mata tuanya. Dada Mak Chah juga dilumur dengan minyak angin supaya lega pernafasannya.

“Siapa lagi Melah kalau bukan bekas laki kamu tu... hmmm, anak ibu sendiri buat macam ni kat ibu.” Kesal betul Mak Chah mengenangkan sikap anak lelakinya yang melampau itu.

“Dia mintak duit tapi ibu mana ada duit. Sudahnya dia ragut rantai ibu. Itulah satu-satunya yang tinggal.” Mak Chah bersuara lagi dengan perlahan. Menitis air matanya. Berjejeran. Sedih betul dia.

“Ya ALLAH... melampau betul! Dah melarat sangat ke hidup dia tu bu? Dah macam perompak aje Melah tengok.” Melah juga kesal dengan apa yang berlaku.

Setahu Melah dengan kerjaya Arief sebagai pegawai bank gajinya lebih daripada cukup. Semasa mereka menjadi pasangan suami isteri dulu, tak pernah sekali pun mereka kekurangan duit ringgit.

“Katanya dah lari bini barunya tu. Arief dah tak ada apa-apa lagi. Semua harta dah pindah milik ke tangan perempuan tak guna tu.” Mak Chah mengusap dada.

“Entah apa dimandremnya Arief sampai jadi bodoh. Semua yang perempuan tu nak, dia serahkan bulat-bulat. Bila fikiran dah serabut dia berenti kerja,” sambung Mak Chah.

Sesak dada Mak Chah semasa bercerita. Kesalnya bertingkat-tingkat. Kalau dia tak menjadi pemusnah rumah tangga Melah dan Arief sudah tentu semua itu tak berlaku. Cuma disebabkan Melah bukan orang berada, Mak Chah membencinya. Sudahlah miskin, tak ada keluarga pula. Kedua-dua tua Melah sudah meninggal dunia semasa dia kecil lagi.

Pada masa itu fikiran kotor Mak Chah tak dapat menerima kenyataan bahawa ibu bapa Melah sudah meninggal dunia. Fikiran yang sudah sedia kotor diracuni pula oleh gadis yang tergila-gilakan Arief. Otaknya disumbat dengan cerita yang mengatakan Melah dikutip dari tong sampah lalu dihantar ke rumah anak-anak yatim.

Misi gadis rakus itu berjaya merasuk akal waras Mak Chah. Maka Mak Chah pun bersungguh-sungguh mahukan gadis itu menjadi menantunya dan menggantikan Melah yang tak berkenan di hati.

Sesudah sebulan perkahwinan baru Arief, Mak Chah dihalau dari rumah sewaktu Arief bekerja di luar daerah. Menantu pilihannya tak mahu Mak Chah tinggal bersamanya. Barulah Mak Chah tahu tinggi rendahnya langit.

Seminggu Mak Chah merayau-rayau tak ada tempat tinggal. Tanpa diduga dia bertemu Melah di depan kedai emas sadur Billion semasa Melah mendapatkan stok jualannya. Atas nama kemanusiaan Melah menawarkan Mak Chah untuk tinggal bersamanya di Kampung Kemboja.

“Dahlah bu, nasi dah jadi bubur. Itukan menantu pilihan ibu.” Suara Melah mematikan ingatan Mak Chah yang melayang-layang.

Sempat juga Melah mengenakan Mak Chah. Mak Chah tunduk sambil mengelap air mata. Dia terpaksa menelan kata-kata Melah. Memang betul, dia yang bersalah. Telan sajalah apa yang Melah katakan.

Ibu ada luka kat mana-mana tak?” risau pula Melah.

Diperiksa seluruh badan Mak Chah. Mana tahu ada bengkak atau lebam. Melah lega bila melihat tak ada yang luka, cuma lebam sedikit pada leher orang tua itu. Mungkin itu kesan daripada rantai emas yang direnggut dari lehernya.

“Alhamdulillah ibu okey. Dia dah pergi bu?” Barulah Melah terfikir untuk bertanya tentang Arief. Mana tahu lelaki tak guna itu menyorok di mana-mana.

“Dah... cuba kamu masuk bilik kamu. Tengok apa yang hilang. Tadi dia ada masuk ke situ.” Ujar Mak Chah lemah.

Terkocoh-kocoh Melah masuk ke bilik tidurnya. Lagi sekali dia terkejut. Terlopong mulutnya. Cadar katil dan bantal bersepah di atas lantai. Paling membuat dadanya berombak kuat bila melihat tabung besarnya turut terjatuh ke lantai.

Duit syiling berserakan. Lemah badan Melah. Cepat dia menyambar tabung itu. Tabung diangkat tinggi dan digoncang. Ringan. Fikiran Melah juga kosong dan ringan.

“Allah... Allah... Allah, kuatkan hati ku ya Allah.”

Tangan gigilnya membuka penutup tabung besar. Dia tahu tabung itu sudah kosong tapi untuk meyakinkan dan memuaskan hatinya, dia tetap mahu melihatnya.

Sayu pandangannya bila melihat tak ada apa yang tinggal. Melah berteleku lama sambil memujuk sabarnya. Nafas padatnya masih turun naik dengan payah.

“Duit nak bayar sewa rumah dah hilang. Duit ubat ibu... duit untuk modal emas 916 semua dah lebur. Allah... aku berpenat lelah orang lain yang nikmati hasilnya,” keluh Melah sendirian.

Melah tunduk merenung tabung yang sudah kosong. Setitis demi setitis air matanya jatuh ke pipi. Mengalir lesu dan menitik ke lantai. Satu, satu. Kali ini dia membiarkan saja dirinya dibanjiri air mata. Air mata bukan tanda Melah sudah lemah. Hanya sekadar mahu melegakan perasaan yang lesu.

“Ariefff... tak sudah-sudah kau sakitkan hati aku! Aku benci kau! Badigol! Samdol! Dogol! Hampeh punya jantan!” Berombak-ombak bahu Melah menahan geram.

Dia tak peduli lagi kalau air mata yang keluar sebanyak air hujan. Selama ini dia tak mampu menangis. Bukan sebab sudah habis air mata tapi sangat tak berbaloi kalau menangis untuk seorang lelaki tak guna bernama Arief. Baginya Arief memang haprak!

Diceraikan Arief merupakan kemerdekaannya. Merdeka dari sangkaan-sangkaan buruk lelaki itu. Semuanya kerana hasutan Mak Chah. Apa guna berumah tangga kalau hidup umpama disalai atas pemanggang. Kalau yang dipanggang itu udang atau ketam sedap juga.

Sebaliknya hati dan perasaannya yang terpanggang atas bara. Suami yang diharapkan menjadi pelindung rupa-rupanya penyangak besar yang suka membuli jiwanya.

Sesudah penat berteleku, Melah berbaring di lantai yang sejuk. Mana tahu hati yang panas akan turut sejuk. Perlahan-lahan dikesat pipinya yang basah. Nafasnya ditarik perlahan dan dilepaskan.

Hatinya pula belum berhenti daripada menyebut nama Allah. Cuma nama besar itu yang menjadi sumber kekuatannya selama ini.

“Melah.” Tak sedar bila Mak Chah muncul. Tahu-tahu tangannya sudah menyentuh bahu Melah yang berbaring membelakangi Mak Chah.

“Ya bu.”

Melah duduk. Cadar dan bantal yang bersepah di lantai diletak semula di atas katil. Melah mengesat pipinya sekali lagi supaya sisa air mata terus kering. Hatinya dipujuk supaya tenang semula.

“Ibu malu dengan kamu, Melah.” Mak Chah duduk di tepi katil. Tangan Melah ditarik lalu digenggam kuat.

“Sudahlah ibu... jangan bangkitkan lagi.” Melah cuba senyum walaupun bibirnya terasa bergam.

“Macam mana ibu tak bangkitkan. Arief tu memang dah melampau. Ibu rasa nak masukkan dia semula dalam perut ibu ni. Tak payah lahir-lahir lagi. Tak payah nak menyusahkan orang. Panas rasa perut ibu ni.” Bebel Mak Chah

“Eh, jangan bu. Tak dapat Melah bayangkan kalau orang tu masuk semula dalam perut ibu. Mau lanjut sampai ke lantai perut ibu.”

“Macam mana ibu nak berjalan? Berat tu bu. Berat badan campur berat dosa.” Malas Melah hendak menyebut nama Arief yang menjadi badi dalam hidupnya.

“Isyyy... kamu ni, main-main pulak.” Geleng-geleng Mak Chah melihat sikap Melah.

“Betullah bu. Kalau Melah tak sanggup.” Melah buat-buat ketawa walaupun macam bunyi angsa. Mak Chah menarik nafas.

Tangan kedut Mak Chah membelai rambut Melah. Menantu yang sangat dibencinya satu masa dulu. Dulu hati Mak Chah hitam legam berkarat mengalahkan buntut kuali yang berbulan tak dicuci. Ada-ada saja cara yang dilakukan untuk meluahkan bencinya terhadap Melah.

“Melah... Melah. Sepatutnya budak tak guna tu yang jaga ibu. Sediakan makan dan tempat berlindung untuk ibu. Ini tak... kamu yang bersusah untuk ibu.” Kesal betul orang tua itubila mengenangkan Arief yang asyik ikut telunjuk bini selepas berkahwin baru.

“Ermmm... dia anak ibu. Janganlah ibu cakap macam tu. Ibu jangan sumpah dia. Doa banyak-banyak bu, supaya dia sedar.”

“Entahlah, ibu sedih tengok nasib kamu ni.”

“Sedih tu memanglah sedih bu. Melah bukan malaikat tapi benda dah jadi, apa nak buat.”

Di depan Mak Chah, Melah tak mahu menunjukkan kesedihan akibat kejadian tadi. Dia tak suka melihat orang tua itu terus rasa bersalah walaupun pada hakikatnya dia memang bersalah.

Cuma Melah tak mahu menghukum seorang tua yang sudah tak berdaya. Dia bukan malaikat tapi taklah sampai hatinya dipenuhi kehendak syaitan.Yang sudah berlalu tak boleh diundur semula.

“Yang ibu tak tutup pintu kenapa? Kan ibu jugak yang susah.” Mak Chah pula yang dikisahkan.

“Memang ibu tutup tapi berkali-kali dia memanggil. Sekali dua tu bolehlah ibu buat-buat pekak. Dah banyak kali, terkulai jugak hati ibu ni.”Mak Chah masih berbaur kesal.

“Apa yang hilang dari bilik kamu?” soal Mak Chah pula.

Tabung yang terbongkang di lantai dipandang lagi. Entah sudah beberapa bulan dia tak ke bank. Bukan tak mahu menyimpan duit di bank tapi dia susah hendak bergerak sebab tak ada kenderaan sendiri. Sudah malu menumpang orang untuk pergi ke pekan.

“Semua hilang. Yang ditinggalkan itulah... entah berapa sen.”

“Katanya, dia nak balik pada kamu.” Berat untuk Mak Chah memberitahu tapi Melah mesti tahu perkara itu.

Mak Chah bercakap perlahan saja tapi sudah cukup untuk menendang lubang telinga Melah. Cakap-cakap Mak Chah berebut-rebut masuk ke otaknya. Bila sudah sampai di otak, akalnya mengambil masa untuk berfikir. Hendak ketawa atau menangis?

Melah tenang saja walaupun terasa hendak ketawa terbahak-bahak. Mujur ada Mak Chah di situ. Kalau tak, sudah lama dia terguling-guling ketawa.

Memang sudah berkali-kali dia mengingatkan diri sendiri, tak guna menangis untuk lelaki yang tak macam lelaki itu. Muka lawa tapi akalnya diletak pada kepala lututnya. Baru hendak masuk setahun perkahwinan, sudah berantakan.

Arief yang dikenali sewaktu bercinta sangat berbeza dengan Arief yang melafazkan talak ke atasnya. Tak ada angin dari kaji cuaca, tiba-tiba taufan melanda. Melah diceraikan tanpa sebab munasabah. Semuanya gara-gara mulut Mak Chah yang bisanya mengalahkan racun tikus.

“Lebih baik Melah kahwin je dengan Jelan tu, bu.” Sahut Melah main cakap saja.

“Astaghfirullah... kamu ni. Jelan tu kan gila. Kamu nak kahwin dengan orang gila?” Mak Chah yang menganggap serius cakap-cakap Melah geleng tak sudah.

“Kan orang tu pun gila jugak bu. Lebih gila daripada Jelan... bagi Melah, Jelan tak gila. Dia cuma tak sihat je.” Selama ini memang itulah pendapat Melah terhadap Jelan.

“Haaa... ya, anak ibu memang gila.” Seorang ibu melepaskan keluhan berat.

“Kan... ibu pun setuju. Kalau tak gila, dia tak akan ada hati nak balik pada Melah ni bu. Bukan sikit-sikit talak dia bagi kat Melah. Dia hadiahkan Melah talak berhantu, mana boleh rujuk balik.”

Tanpa Melah sedar pipi kedut Mak Chah dibasahi air mata. Sedih betul hatinya bila mengenang sikapnya yang melayan Melah dengan buruk semasa Melah menjadi menantunya.

Kebaikan Melah tak pernah dipandang dan keburukan yang tak ada akan diada-adakan. Bila mengingati itu semua Mak Chah akan mengutuk dirinya sendiri.

“Ibu ni... dah menangis lagi.” Sudahnya Melah nampak juga air mata bekas mertuanya.

“Ibu berdosa... sebab ibu, anak menantu ibu bercerai berai. Sebab ibu, anak ibu dah gila talak.”

“Sebab ibu, menantu ibu bawak diri jauh ke tempat orang. Bila dah hidup sendiri kamu dicaci dihina sebab kamu janda muda.”

Tangisan Mak Chah semakin laju. Air mata sudah bercampur dengan air hingusnya. Melah mencapai kotak tisu di atas almari solek lalu dihulurkan kepada Mak Chah. Mak Chah mengeringkan air mata dan menghembus hingus ke atas tisu itu.

Sayangnya air mata orang tua itu masih keluar. Melah terus menghulurkan kotak tisu untuk memudahkan Mak Chah mengambil tisu. Banyak betul air matanya.

Banyak juga air hingus cairnya. Melah tak mahu memujuk. Dia tahu dengan menangis, Mak Chah akan lega lalu dia membiarkan saja.

“Salah ke kalau Melah ni janda, bu? Melah tak pernah mintak jadi janda. Malah tak pernah pun terlintas Melah akan jadi janda.”

“Semua macam silap mata. Belum setahun kahwin Melah dah pegang gelaran yang menakutkan ni.”Melah sedih walaupun tanpa air mata. Dadanya sebak jangan dikata.

Srottt... semakin kuat Mak Chah menghembus hingus. Tisu yang digunakan untuk mengelap air mata pun hampir habis. Melah mengintai ke dalam kotak tisu, hanya tinggal beberapa helai tisu yang ada. Dia bangkit lalu mengambil tuala mandi yang agak kecil lalu diberi kepada Mak Chah.

“Kamu macam perli ibu je.” Sambil tangannya mengambil tuala yang diberi.

“Itu je yang ada, bu.” Balas Melah lalu duduk semula.

“Kamu tak pernah salah. Ibu yang salah. Mulut-mulut orang yang salah. Kalau ibu tau macam ni kesudahannya, tobat lahum ibu tak buat apa yang ibu dah buat.” Kesal betul Mak Chah.

“Hmmm... nasi dah jadi bubur bu. Apa nak buat lagi. Makan ajelah. Nak bagi sedap, letak lobak asin atau telur asin. Makan masa panas-panas... umphhh, sedapnya bu.”

Selamba saja Melah walaupun hati di dalam menangis, menjerit-jerit tak sudah. Selagi boleh dia tak mahu menjadi perempuan yang lemah. Lembik.

“Kamu ni, ke situ pulak perginya.” Mak Chah selamat menggunakan tisu terakhir. Selepas ini dia akan memanfaatkan pula tuala mandi yang diberi oleh Melah.

“Dah tak tau nak ke mana, bu. Yalah bu, nak meratapi nasib pun tak guna. Teruskan je hidup kita yang tak berapa nak indah ni.”

“Melah ingat satu je... kalau banyak dugaan dalam hidup kita maknanya Allah sayang kita.”

Diam-diam Mak Chah kagum dengan Melah. Umurnya masih muda, 25 tahun satu angka yang terlalu awal untuk Melah menjadi janda.

Sejak diceraikan dia tak pernah melihat Melah menangis disebabkan perceraiannya. Dia hanya akan menangis bila Pak Sood si tua kerepot yang tak sedar diri selalu mengganggunya.

“Kamu masih sayang Arief?” terluncur soalan yang tak disengajakan. Mak Chah terasa hendak menampar mulutnya sendiri. Biasa betul mulutnya!

“Sayang? Masih berharga ke sayang Melah ni bu?” soal Melah pula.

“Errr... ibu silap! Tak sepatutnya ibu tanya macam tu.”

“Melah tak sayang dia tak apa. Tapi ibu tetap kena sayang dia... dia anak ibu. Doakan dia bu, supaya dia insaf.”

Begitulah Melah. Itu bukan kali pertama dia mengingatkan Mak Chah. Soal dirinya dan Arief soal lain, soal Mak Chah dan Arief soal lain. Sebagai sesama manusia Melah masih ada perikemanusiaan.

Paling ditakutinya kalau Mak Chah meluahkan kata-kata berbau sumpahan. Dia tak mahu Arief disumpah jadi katak besar atau jadi jongkong emas. Eiii, ngeri!

“Nak sayang macam mana kalau perangai mengalahkan siamang.” Keluh Mak Chah.

“Eleh, tu mulut ibu yang cakap. Dalam hati lain kan, bu. Bukan Melah tak tau.” Usik Melah.

“Arief... Arief.” Keluh Mak Chah.

Melah merenung sayu, kasihan melihatnya. Sejujurnya setiap kali berdepan dengan Mak Chah hatinya selalu berperang. Sebahagian dirinya masih terkenang-kenang layanan buruk orang tua itu satu masa dulu.

Sebahagian lagi cuba menyayangi bekas mertua yang sudah dihalau oleh menantu barunya. Belas kasihannya yang memaksa dia membawa Mak Chah untuk tinggal bersamanya.

“Ibu keluar dululah... kamu kemaslah bilik ni.” Sudah malas mahu mengenang anak sendiri.

“Baik bu.” Melihat Mak Chah berlalu, fikiran Melah mulai melayang-layang.



“Kalau cakap aku kau tak nak percaya, tak gunalah aku jadi ibu kau Arief.” Bentak Mak Chah keras.

“Bukan macam tu bu. Apa-apa pun kena ada bukti. Tak boleh tuduh-tuduh.” Sahut Arief dengan suara agak rendah.

“Alah! Nak bukti apa lagi? Dah memang bini kamu tu suka melayan jantan. Kalau kamu kerja luar, hah! Panjanglah langkahnya.” Asak Mak Chah lagi.

Arief yang baru balik dari out stationrasa kecamuk. Penat belum hilang sudah dihidang dengan laporan daripada ibunya sendiri. Dia tahu dari awal lagi ibunya tak menyukai Melah. Entah apa silapnya Melah pada pandangan mata ibunya. Ada-ada saja yang tak kena.

“Arief nak mandi dululah bu. Panas rasa. Lain kali je kita cakap perkara ni.” Arief terus berlalu.

Sudahlah badannya penat, diasak pula dengan macam-macam cerita tentang Melah. Tempurung kepalanya terasa sesak dan hendak pecah.

Lebih baik dia berendam dalam tub mandi supaya suhu hatinya yang panas menjadi sejuk sedikit. Tanpa mengendahkan ibunya yang masih tak berpuas hati, Arief masuk ke dalam bilik.

“Eh, Mellia?” Arief terkejut bila melihat Emellia di sebalik daun pintu. Emellia adalah nama sebenar Melah.

“Ya bang... Mellia dah dengar semuanya. Ini bukan kali pertama Mellia dengar. Dah berkali-kali. Abang percaya?”

Rupa-rupanya Melah memasang telinga. Jarak bilik mereka dan ruang tamu taklah terlalu jauh letaknya.

“Mellia nak tambahkan tension abang lagi ke? Bagi peluang abang mandi dulu boleh tak?” Kusut betul fikiran Arief. Bukan dia tak sayang Melah tapi cakap-cakap ibunya selalu membuat dia pening. Serabut! Sudahnya dia selalu kebingungan.

“Maafkan Mellia, bang. Pergilah mandi.” Rasa bersalah pula Melah sebab menambah penat Arief yang sudah sedia penat.

Arief mengambil tuala pada penyangkut. Sebelum masuk ke bilik mandi, dia menoleh memandang Melah yang masih merenungnya. Melihat muka Melah yang lembut agak sejuk hatinya. Melah dihampiri.

“Sayang... abang janji tak akan tinggalkan sayang walau apa yang jadi.” Dipegang kedua-dua bahu Melah. Melah merenung mata Arief untuk mencari kepastian.

“Jangan berjanji pada Mellia, bang. Mellia takut tak tertunai.”

“Tak! Abang tak akan sia-siakan sayang. Sampai bila-bila.”Arief meyakinkan Melah.



“Bencinyaaa! Kenapalah aku asyik teringat benda-benda ni. Adoi! Setiap kali aku cuba nak sayang orang tua tu, setiap kali tu jugak kepala aku ni ingat macam-macam.” Sebolehnya Melah cuba mengawal suara supaya tak didengari oleh Mak Chah.

Cepat-cepat dia mengunci pintu dari dalam. Huh! Kenangan manis yang dah hilang manisnya itu juga yang datang mengacau. Geram betul Melah. Susahnya hendak melupakan lelaki yang sudah menyusahkan hidupnya itu.

“Hari-hari macam ni boleh buat aku sakit jiwa! Fuuu... tarik nafas bagi lega.” Melah bercakap sendirian.

Sudahlah namanya yang glamor bertukar menjadi Melah. Semua gara-gara lidah Mak Chah yang keras mahu menyebut Emellia atau Mellia. Orang kampung yang mendengar Mak Chah memanggilnya Melah turut menggunakan nama itu. Lekatlah namanya sebagai Melah.

“Ermmm... mintak-mintak esok aku terserempak dengan Jelan. Tak ada tempat nak meluah, Jelan pun okeylah. Allah... kuatkan aku ya Allah.” Ingatan dikembalikan kepada Allah.

.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.