“Huh!Tak boleh ke kalau tak ada lelaki dalam dunia ni.
Penatlah aku macam ni! Kenapa lelaki suka sangat cipta masalah untuk aku...
eiii!”
Penat betul
Melah. Sudahlah di pekan tadi dia bertembung dengan lelaki yang tidak pernah
sedar diri. Suka berlagak muda! Sakit hati Melah! Di mana-mana ada saja Pak
Sood.
Sudahlah
begitu, sesuka hati saja orang tua itu hendak mengganggunya. Senang-senang
berkelakuan seperti dirinya itu buah hati pengarang jantung orang tua itu.
Nasib baik
ada Ejul. Hairan juga Melah. Semuanya seperti kebetulan saja. Ejul ke pekan
pada hari yang sama. Bezanya Melah menaiki bas sedangkan Ejul dengan kereta
Sartia Neo kesayangannya.
Sebaik Pak
Sood ternampak Ejul menghampiri Melah, kelam-kabut dia pergi. Ejul sudah
menyelamatkannya. Sesudah berbasi-basi, Melah minta diri. Kalau dia tidak
melayan Pak Sood, dia juga tidak akan menghabiskan banyak masa dengan Ejul.
Mereka adalah lelaki!
Sebelum hari
terlalu petang, Melah menahan bas untuk balik ke rumah. Ejul seolah-olah tahu waktu
baliknya. Entah daripada mana dia muncul, Melah langsung tidak menyedari.
Seperti adamagicpula cikgu muda itu.
Ejul
menawarkan diri untuk menumpangkan Melah, tapi Melah terpaksa menolak. Bukan
hendak jual mahal, tidak sopan kalau dia menumpang kereta orang bujang.
Biarlah
dia bersusah payah menaiki bas asalkan tidak menjadi buah mulut orang yang
selalu memandang serong kepadanya. Melah juga takutkan kemarahan ALLAH kalau
dia berdua-duaan dengan Ejul di dalam kereta.
“Nak keluar
ke tak ni? Kalau aku tak keluar, parah pulak ibu.” Gelisah dan tak senang duduk
Melah dibuatnya. Punggungnya terasa panas pijar.
Hati Melah
bengkak. Sebaik sampai di rumah, Arief sudah menunggunya di ruang tamu.
Cepat-cepat Melah masuk ke dalam bilik dan mengunci pintu dari dalam.
Berkali-kali Mak Chah memanggilnya. Melah buat-buat pekak.
Beg hijau
kerasnya dihumban ke katil. Nafasnya turun naik tidak keruan. Kalau diikutkan
hati mahu saja dia menjerit supaya Arief tahu dia tidak mahu berjumpa lelaki
itu. Arief bukan suaminya lagi.
Dalam
keadaan penat perasaan marah memang mudah datang. Lebih-lebih lagi bila
terpaksa berdepan dengan dudanya yang asyik menagih cinta.
“Apa lagi
yang dia nak? Tak larat aku nak layan.” Sakit hatinya.
Badan yang
memang penat bertambah penat. Melah sedar selagi Mak Chah duduk bersamanya,
Arief akan selalu datang ke rumah itu. Mahu saja Melah meminta bekas ibu
mertuanya keluar dari rumah itu dan tinggal bersama Arief... tapi tidak sampai
hati pula hendak meluahkan.
“Nak...
keluarlah sekejap. Kalau bukan untuk Arief, buat untuk ibu ya.”
Pujukan Mak
Chah di luar bilik membuat Melah rasa lemas. Apa lagi yang lelaki tak
berguna itu mahukan? Mak Chah pula tidak faham-faham yang dia selalu mengelak
untuk berjumpa Arief. Ada masanya orang tua itu memang menyebalkan.
“Melah
penatlah bu... Melah nak rehat.”
Mahu atau tidak,
Melah tidak boleh berdiam. Dia menghampiri pintu bilik dan menjawab perlahan.
Dalam hati kecilnya mengharapkan supaya Mak Chah faham. Sayangnya Mak Chah
masih tetap memujuknya.
‘Hah! Aku
masih perlu ikut kata dia ke? Dia siapa? Bencinya!...”
Melah mengetap bibir. Menahan marah
dan sakit hati. Kepada siapa? Dia sendiri tidak pasti. Selalu juga dia memarahi diri sendiri sebab mencari
masalah dengan menumpangkan Mak Chah di rumah itu.
Bila fikiran
waras mengganti kemarahan, dia memujuk hati. Tidak salah membantu orang
yang memerlukan. Tolong-menolong sesama saudara seagama amat digalakkan.
Tapi... hah! Dia selalu tersepit dengan keadaan.
“Sekejap
aje, nak. Selesaikan masalah dengan baik.” Pujukan Mak Chah masih masuk ke telinga
Melah.
“Masalah apa
lagi bu? Semua dah selesai kan?” suaranya cuba dikawal sebaik mungkin.
Dia juga
cuba memahami yang kasih ibu kepada anaknya tidak pernah berkesudahan. Tidak
ada tepiannya. Beritulah keadaan Mak Chah sekarang ini.
“Hmmm...
entahlah Melah. Cuma ibu minta... Melah keluarlah. Kalau tak, Arief akan lebih
lama lagi dalam rumah ni.”
Ada juga
munasabahnya alasan Mak Chah. Melah menarik nafas untuk menenangkan sedikit
fikirannya. Dia cuma bersimpati terhadap wanita itu. Untuk, entah kali yang ke
berapa.
‘Arghhh!...
lelaki memang memenatkan. Sana sini lelaki. Nak elak lelaki, tetap ada juga
dorang ni! Sampai dalam rumah aku pun ada lelaki!’ omel Melah dalam hati.
Dek rasa
marah Melah hampir terlupa akan fitrah dunia. Mana ada dunia yang tidak ada
lelaki? Kaum Adam ada di mana-mana saja. Selagi ada wanita, sudah tentu adanya
lelaki. Lelaki dan wanita saling lengkap melengkapkan antara satu dengan lain.
“Melah!”
suara di luar pula tidak bosan-bosan memanggilnya. Huh! Terasa hendak keluar
tanduk Melah. Marah yang cuba dikawal tetap menggoda nafsunya.
“Iya, bu...
yalah, Melah keluar ni.” Hembusan nafas kuat dilepaskan lagi. Sebal alias
jengkel!
Dengan malas
daun pintu ditarik lalu Melah keluar dengan macam-macam perasaan yang bergabung
menjadi satu. Dasar lelaki! Jangan ingat dirinya sebiji bola. Ditendang bila tidak suka, diambil semula bila dikehendaki.
Kalau diberi
pilihan dia lebih rela menjadi bola ragbi. Sentiasa direbut-rebut bila diperlukan
dan dipeluk-peluk bila sudah berjaya dimiliki. Dipertahankan sampai ke titisan
peluh yang terkahir.
Masih adakah
lelaki yang sudi mempertahankannya sebegitu? Kalau ada alangkah bahagianya...
Jelan? Ah! Jelan lagi yang muncul dalam kepalanya. Apalah yang lelaki
senteng itu boleh lakukan? Hendak menjaga diri sendiri pun dia tidak
mampu.
“Jelan...
Jelan. Janganlah kau goda aku!” Tanpa sengaja bibir Melah menyebut nama Jelan.
Selepas itu dia tersenyum-senyum sendiri.
‘Ada harapan
ni! Dia senyum dengan akulah!’ desis Arief suka.
Arief yang
melihat Melah berjalan menghampirinya sudah perasan sendiri. Kalau Melah sudi
menghadiahkan senyuman kepadanya bermakna janda talak tiganya itu sudah memaafkan
kesalahannya. Ini peluang baik! Dia membuat telahan sendiri.
‘Senyum...
senyum. Lempang sekali, baru tau!’ gerutu Melah pula sebaik melihat Arief asyik
tersenyum tersengih memandangnya. Nasib baik Arief tidak mendengar bisikan
hatinya.
“Melah,”
sapa Arief sebaik Melah sudah dekat. Melah angguk sedikit sambil mengintai Mak
Som. Ke mana pula orang tua itu? Tidak nampak batang hidungnya. Ke dapur
agaknya.
“Ada apa
datang rumah ni?” tanya Melah mahu tidak mahu saja. Dia tidak mahu hatinya cair
dek renungan Arief yang menggoda.
Pandangan
mata itulah yang sudah membuatnya jatuh cinta kepada lelaki itu... itu dulu.
Sekarang dia sedang berusaha memadam nama lelaki itu daripada hatinya. Kalau tidak
boleh dipadam dengan getah pemadam, dia akan memadamnya dengan perkataan TALAK
TIGA.
Melah perlu
sentiasa ingat pada empat suku kata perkataan itu supaya rasa cintanya terhadap
Arief akan pudar dan terus mati. Sayangnya menunggu masa dia dapat betul-betul
melupakan Arief adalah sangat payah buat dirinya.
“Nak tengok
keadaan Mellia... nak...”
“Untuk apa?”
pintas Melah pantas.
“Sayang!...
sebab abang sayang Mellia abang datang ke sini.” Arief memberanikan diri.
Bulat mata
Melah. Sesak nafasnya. Suara jantan Arief sedang merayunya. Suara itu masih
sama sewaktu kali pertama mereka berkenalan. Romantis... ah! Melah mesti kuat!
Semua itu mesti ditepis semahu-mahunya. Usah diikut kata hati, jangan diruntun
jiwa muda. Itu amaran Melah kepada dirinya sendiri.
"Selama
mana aku kasih, cinta dan cuba melengkapkan hidup kau dulu, tapi kau tak pernah
membalas dengan sewajarnya... masa tu aku sangat kecewa. Sakit! Ngilu! Kau tak
rasa, kan?
Tapiii...
aku pasti ALLAH dah membayar kerugian tu untuk aku. Sekarang kau bukan lagi
suamiku. Masa silam kita dah pun berlalu. Talak antara kita tak akan pernah
dapat ditebus lagi."
Susahnya
Melah meluahkan. Dia sedar apa yang sudah berlalu tidak mungkin akan berpatah
balik. Dia mesti melawan kemahuan hati yang bertingkah dengan hakikat. Darah
mudanya masih menginginkan untuk bersama Arief, tapi akalnya membentak-bentak
melarang.
"Kita
masih ada jalan! Apa kata, cina buta?"
Arief tetap
tidak dapat menerima kenyataan. Kenyataan yang dia sudah gila talak. Beria-ia
dia memberikan cadangan yang tidak masuk akal itu.
Mukanya
dipenuhi harapan. Mengharap kepada Melah yang sudah diperlakukan dengan buruk
sebelum ini. Tidak ada perkara yang lebih buruk untuk Melah melainkan hadiah
talak tiga daripada Arief.
"Hukum
mana yang kau nak halalkan? Kalau dulu kau berfikir seribu kali sebelum
menyebut perkataan puaka tu, semua ni tak akan berlaku."
Bagi Melah,
ia tidak semudah itu. Dia tak perlu berlembut lagi dengan Arief. Mereka sudah tidak ada hubungan istimewa lagi.
"Abang
menyesal... sumpah! Percayalah! Abang betul-betul menyesal. Kalaulah abang tau
kehilangan Mellia seumpama hilang sebahagian anggota..." Terhenti. Arief
tunduk.
"Syhhh...
tak usah kau katakan lagi. Semua dah terlewat.” Dipintas lagi kata-kata Arief.
Panas dan
pedih kolam mata Melah. Seakan dimasuki habuk. Bila-bila masa saja air matanya
pasti akan berjejeran. Dia mesti bertahan! Mana boleh menunjukkan kelemahan
depan lelaki. Buku limanya digenggam untuk memberi semangat kepada hati supaya
terus berpegang pada pendirian.
“Mellia!
Janganlah buat abang macam ni... Mellia tau tak? Mellia tak pernah lekang dari
ingatan abang. Siang malam abang rindukan Mellia. Nak tidur terbayang Mellia,
nak makan teringat Mellia, nak mandi terkenang Mellia. Boleh jadi gila kalau
hari-hari macam ni.”
Sendu saja
muka Arief. Tidak ubah seperti tapai basi. Dia tunduk merenung lantai dengan
ibu jari kakinya menguis-nguis kaki meja kopi. Arief hendak mengumpan rasa
simpati Melah terhadap dirinya.
‘Nasiblah!
Ada aku kisah?’ bisik Melah mengejek sambil cuba menutupi perasaan sebenar.
Bohonglah
kalau dia tidak sayang Arief lagi. Susah betul mahu melupakan lelaki yang sudah
mengoyak hatinya menjadi serpihan-serpihan kecil itu.
Bukan mudah
dia hendak menampal hati yang sudah berlubang-lubang di sana-sini. Susah!
Hatinya yang dulu berwarna merah sudah lebam birat dek torehan luka yang lelaki
itu hadiahkan. Sekarang baru dia tahu rasa! Padan muka!
“Kalau
setahun dulu, masa aku jadi isterimu... kau bebas untuk ucapkan rindu sebab aku
adalah hakmu. Sayangnya dalam keadaan sekarang, kalau kau sangka perasaan itu
satu kerinduan yang tak boleh kau tahan-tahan... kau dah tersilap.”
Melah
merenung jauh ke luar tingkap yang terbuka lebar. Angin petang menampar-nampar pipinya yang mulus. Nasib baik angin memahami
bahang hatinya. Tiupan lembutnya membantu memberi kesejukan yang sangat nikmat.
“Maksud
Mellia?” Merah muka Arief. Malu. Dalam hati pula sudah sarat dengan kekesalan.
“Ya, kau
silap. Tak akan ada rindu seorang lelaki yang dah menjatuhkan talak pada
pasangannya.” Melah menjeling Arief yang terus tunduk.
“Yang ada
cuma nafsu, ego dan sesalan. Ucapan rindu seorang lelaki sebenarnya satu
pembohongan bila dia tergamak mencuri tabungan seorang perempuan yang sedang
cuba hidup berdikari. Sadis!”
Inilah
masanya untuk mengenakan lelaki tidak berguna itu walaupun dalam masa yang sama
dia terpaksa memerangi keinginannya sendiri. Keinginan untuk terus mencintai
Arief. Tidak mudah untuk Melah jatuh cinta dan tidak mungkin ada cinta kali kedua
selepas Arief.
Dia sedar
manusia tidak boleh terus hidup hanya dengan cinta semata. Kalau cinta sekadar
mainan bibir, ia cuma akan mengenyangkan nafsu. Nafsu akan mempermainkan akal.
Akal akan ditakluk oleh tipu daya syaitan.
Manusia
selalu tertipu oleh cinta. Salah seorang daripadanya ialah Arief... dudanya
yang selalu terlupa bahawa mereka bukan lagi pasangan yang sah.
“Abang...
abang... sebenarnya bukan niat abang nak curi. Abang cuma nakkan perhatian
Mellia. Ni hah... hah, abang pulangkan semula.”
"Tarik
perhatian? Kau dah macam psiko! Macam orang sakit jiwa!" tempelak Melah
lalu mengetap bibir. Arief bertambah malu.
Kelam-kabut
Arief menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan wallet dari dalamnya lalu
menarik beberapa keping rm50. Duit itu dihulurkan kepada Melah. Melah terkedu.
Dia merenung lama duit itu tanpa ada niat hendak mengambilnya. Tawar hatinya.
“Ambillah...
jangan buat abang rasa bersalah. Lepas ni abang akan bahagiakan Mellia!
Abang janji abang tak akan sia-siakan Mellia lagi!” senyum
Arief kembang besar. Dalam kepalanya sedang menggambarkan yang indah-indah. Dia
hendak membahagiakan Melah.
“Arief!...
kau sedar tak apa yang kau cakap? Kita tak akan mungkin bersama lagi! Kau kena
terima hakikat... antara kita dah tak ada apa-apa lagi.” Melah menegaskan.
Tanpa sedar
air matanya sudah jatuh ke pipi. Tidak tahan melihat betapa Arief beria-ia mahukan
mereka bersatu semula. Mengapa susah untuk Arief memahami semua itu? Talak
sudah keluar daripada mulutnya, tapi dia selalu saja terlupa.
Melah juga
susah untuk menafsirkan perasaannya sendiri. Dendam dan bencikah dia kepada
Arief? Masih ada cinta yang berbungakah? Ah! Peduli apa dia! Benci atau cinta
sudah tidak memberi apa-apa makna. Semuanya sudah berakhir! Noktah!
“Masih boleh
kalau Mellia dengar cakap abang. Kita cari cina buta!” pujuk Arief sayu. Sendu
sungguh hatinya waktu itu.
“Semua tu
karut! Aku bukan anak patung... suka-suka kau buang, suka-suka kau nak pungut
semula.”
Jari-jari
Melah menyapu air mata di pipi. Dia tidak suka menangis, tapi air matanya murah
benar waktu itu. Entahlah... semuanya bercampur aduk. Dalam diri Arief,
tersimpan kenangan mereka bersama.
Arief pernah memeluknya dengan kasih
sayang. Pernah menghiburkan hatinya semasa sedang berduka. Lelaki itu juga
pernah memberinya impian. Sayang sekali impian itu sudah punah dalam sekelip
mata.
“Mellia
menangis? Itu tandanya Mellia masih sayang abang, kan? Masih cinta
abang?”
Pipi Arief
turut basah. Dia juga tidak sedar air matanya sudah mengalir di pipi.
Cepat-cepat air mata itu dikeringkan dengan tapak tangannya.
“Tak!...
bahkan aku tertekan! Aku terseksa! Tolonglah Arief... jangan ganggu aku lagi,”
rayu Melah dengan pilu.
“Mellia
bohong! Mustahil Mellia dah tak sayang abang lagi! Tak cinta abang lagi!” desak
Arief yang sukar mahu menerima kenyataan.
“Ya! Ya! Ya!
Aku tak cinta kau lagi! Aku benci kau! Aku benci!” esakan Melah mula
kedengaran. Dia betul-betul tertekan. Ketika dia sedang berusaha untuk bahagia,
Arief selalu saja merosakkan semua itu.
Duit dalam
genggaman Arief jatuh sekeping-sekeping ke lantai. Dibiarkan saja. Pada waktu
seperti itu terasa duit sudah tidak berguna lagi. Tidak memberi sebarang makna.
Barulah Arief sedar, kebahagiaan sebenar merupakan kasih sayang dan pengertian
antara dua hati.
“Abang tau
Mellia tipu diri sendiri. Abang yakin Mellia masih sayang abang.” Kali ini
suara Arief terdengar lirih. Dia sudah mula hilang semangat.
Tidak
sudah-sudah Melah mengelap air mata. Tidak penat-penat pula air mata itu
mengalir. Sebal betul Melah. Air mata bermakna dia sedang memberi kemenangan
kepada Arief. Apa boleh buat, air jernih itu memang degil. Dilarang keluar
masih juga mahu mengalir.
“Kalau
sayang pun apa gunanya? Semua dah terlambat. Kita tak boleh putar masa lalu
kita. Kita tak boleh ubah takdir yang dah berlaku. Kita kena sama-sama terima
kenyataan. Jangan berharap lagi.”
Suara Melah
juga sudah lemah. Seakan habis tenaganya. Kemelutnya bersama Areif membuat dia
tidak berdaya lagi. Melah juga sedar hari esok masih perlu ditempuh. Suka atau
tidak, hari esok tidak akan pernah sama dengan hari-hari yang sudah
ditinggalkan. Sedih!
“Mellia!”
Melah
tersentak sebaik mendongak. Arief sudah berdiri sangat hampir dengannya. Lelaki
itu seakan hendak memeluknya. Melah yang tersentak, terus terpaku. Seluruh
badannya sudah gementar. Apa yang Arief cuba hendak lakukan? Berpeluh Melah
dibuatnya.
“Peluklah
abang... sekali ni, Mellia.” Arief mendepangkan tangan. Matanya ditutup rapat.
Penuh mengharap untuk melepaskan rindunya pada Melah.
“Abang...”
Hampir lebur keteguhan hati Melah. Sudah lama dia tidak merasai kasih sayang
Arief. Sejujurnya dia juga merindui masa lalu mereka. Melah sudah bersedia
tenggelam dalam pelukan Arief.
“Astaghfirullah!...
jangan! Jangan! Apa kita nak buat ni? Ni semua dosa!...” Belum sempat badan
Arief rapat ke badannya, Melah cepat-cepat mengelak. Dia seakan baru tersedar
daripada mimpi yang mengkhayalkan.
Tanpa
memberi peluang Arief menyatakan sesuatu, Melah sudah berlari laju. Ruang tamu
dan Arief ditinggalkan begitu saja.
Melah masuk
ke dalam bilik semula dan mengunci dari dalam. Dia menghempaskan badannya ke
katil sambil menangis teresak-esak. Mukanya disembamkan ke atas tilam untuk
menyorokkan bunyi tangisan.
“Mellia...
maafkan aku. Aku selalu menyusahkan kamu. Tapi... tapi, aku tak berdaya
melupakanmu, Mellia.” Punggung Arief terhenyak ke kerusi kayu. Pandangannya
sudah kabur dengan air mata.
“Baliklah,
nak. Melah bukan isteri kamu lagi... maafkan ibu. Ibu berdosa pada kamu
berdua.”
Rupa-rupanya
Mak Chah mendengar semua perbualan mereka. Dia berdiri di sebalik dinding dapur
sambil memasang telinga. Sama seperti Arief, pipi Mak Chah basah. Dia kesal
kerana sudah menggadai masa depan anak menantunya sendiri.
“Arief pergi
dulu bu... Arief akan datang lagi bila-bila masa. Maafkan Arief juga dah
lepaskan geram pada ibu. Rantai leher ibu ada Arief simpan... duit ni semua ibu
tolong serah pada Mellia.” Arief membongkok dan mengutip duit yang berserak di
atas lantai.
“Jangan
ganggu Melah lagi, nak... kesian dia,” pujuk Mak Chah. Pilu hatinya melihat
keadaan Arief.
“Arief
sayang dia bu... tak apalah, Arief pergi dulu.” Sesudah menyerahkan duit kepada
Mak Som, Arief terus pergi dengan tekad akan datang lagi untuk bertemu Melah.