Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
139,607
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6



Sengaja Melah menunggu Jelan sebelum ke rumah pelanggan. Dia duduk di gerai nasi lemak yang sudah tak digunakan lagi. Tuan punya gerai memang tak pandai berniaga. Hendak pusing modal duit untung entah ke mana. Sudahnya gerai itu ditinggalkan begitu saja.

Melah tak menghiraukan orang yang lalu-lalang. Dia berharap benar Jelan akan muncul. Dia perlukan kawan untuk meluahkan apa yang terbuku di dada supaya hatinya akan lega. Sama ada Jelan faham atau tak, itu soal kedua. Yang penting ada yang mendengar.

“Mana dia ni?” Melah mula gelisah bila melihat jam di tangan. Sudah hampir 2 jam dia menunggu di situ. Dia tertinjau-tinjau ke kanan dan ke kiri jalan.

“Melah!” Bukan Jelan yang muncul, sebaliknya Gayah yang melambai-lambai. Melah malas mahu mendekati lalu dia melambai semula jirannya itu.

“Kak! Sini!” panggil Melah.

Laju saja Gayah datang ke tempat Melah. Melah senyum tak sudah. Terasa-rasa ada rezeki yang akan masuk. Bayar tunai atau hutang dia tak pasti lagi. Dia percaya jirannya yang seorang itu. Sudah dua kali membeli barang kemas daripadanya.

Beberapa hari lepas Gayah sudah membayar baki hutangnya. Kadang-kadang Gayah liat juga dan banyak alasan tapi dia tetap akan membayar hutang sebaik saja suaminya mendapat gaji.

“Amboi! Kamu Melah... tunggu siapa ni?” soal Gayah itu bila sudah berada di tempat Melah menunggu Jelan.

“Jelan... tak nampak pulak batang hidungnya. Akak ada nampak dia?” ujar Melah jujur.

Tak ada yang perlu disembunyikan. Dia bukannya hendak melakukan perkara yang tak baik. Lagi pun Jelan tak ubah macam budak-budak. Entah bernafsu dengan perempuan, entahkan tak.

“Entah ya. Tak nampak pulak. Keluar je dari rumah kamulah orang pertama yang akak nampak. Akak pun apa lagilah.” Gayah macam tak sabar saja hendak mengatakan sesuatu.

“Banyak lagi barang kamu, Melah?” Matanya menjeling beg hijau keras di tepi Melah.

“Ada je kak. Akak nak apa ya?”

“Aku ni nak ikut rombongan. Tu yang nak melaram sikit.” Lalu jiran itu sengih tak sudah.

“Wah! Bestnya akak! Ke mana tu?” teruja juga Melah mendengarnya.

“Tak le jauh mana, ke Cameron Highland je... tapi aku nak bergayalah jugak. Gelang tangan yang gedabak hari tu ada lagi ke Melah.” Teruja jirannya berganda lagi.

Tanpa diminta Melah membuka zip beg hijaunya. Berkilau emas sadur Billion di dalam beg itu. Kalau sekali pandang tak ubah emas 916. Warnanya saling tak tumpah. Saduran emas 24 karet memang berkualiti.

Orang yang peluhnya masin macam garam laut saja akan mempercepatkan saduran emas itu memudar. Kalau tak, memang langsung tak bermasalah. Selain daripada itu emas sadur alah pada cuka.

“Yang ni ke akak?” Melah mengeluarkan gelang daripada beg itu.

“Ermmm... aku rasa bukan yang ni. Kalau tak silap ada campur emas putih.

Melah cuba mengingati gelang tangan yang dimaksudkan jirannya itu. Matanya pula sesekali merayau mengharapkan Jelan akan muncul. Hampa. Masih tak nampak kelibat Jelan dengan sebelah selipar buruknya.

“Yang corak dia melintang ya akak?” Melah hendak memastikan.

“Hah, yang tu!”

“Ala, akak... yang tu dah ada orang lain ambik. Apa kata akak ambik yang ni je. Ni design baru tau, akak. Ramai orang bandar pakai yang ni. Kalau akak pakai, perghhh! Macam mak datin je.” Ampu Melah untuk menarik perhatian pelanggan.

Bukan bodek tak ikhlas. Memang reka bentuk gelang itu paling laris jualannya. Harga pun berpatutan. Dengan jirannya yang seorang itu Melah akan berlebih kurang. Tiga kali ansuran pun dia tak kisah. Bila orang baik, seribu kali Melah akan membalas kebaikan itu.

“Phewittt! Hai Melah janda!”

Melah menoleh ke kanan jalan. Sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang anak muda melewati tempatnya berdiri. Dia melihat anak muda itu tersengih ke arahnya. Gatal! Hatinya menggerutu geram. Sempat lagi anak muda itu mahu menguratnya. Melah malas hendak melayan.

“Kurang ajar mulut tu!” Sebaliknya jiran Melah yang geram.

“Biarlah akak. Melah dah lali. Buat tak tau sudah.” Itulah pendirian Melah.

“Oh ya, yang akak nak tu dah tak ada. Yang ni boleh ke akak? Atau kalau akak nak yang macam tu jugak, bagi saya masa. Saya akan ambik stok kat bandar.” Lebih baik dia bercakap tentang jualan daripada memikirkan mulut-mulut longkang yang busuk.

Gayah diam sekejap. Tangan kanannya mengusap-usap dagu. Rombongan itu akan bertolak dalam masa 2 hari lagi. Takut pula Melah kesuntukan masa. Kalau tangannya bogel tak bergelang semasa rombongan nanti, tak seronok pula.

Kawan-kawan yang lain lip lap lip lap barang kemas mereka. Tak mampu membeli emas 916, yang sadur pun jadilah. Bukan orang tahu dia memakai emas sadur. Tak nampak perbezaan warna emas sadur 24 karet dengan emas 916.

“Dah suntuklah Melah. Akak ingat ambik yang ini je.” Keputusannya bulat. Nekad.

“Boleh akak... boleh.” Laju saja Melah membalas. Kata orang rezeki yang ditolak.

“Errr... tapi aku dah banyak habis duit. Duit tambang... duit jajan kat sana nanti.” Berkias-kias pula dia. Hendak main redah malu pula. Dalam hati sudah mengenyam hendak gelang sadur Melah.

“Akak ni macam tak biasa je. Melah faham... tiga kali bayar ya akak.” Tawar Melah dengan senyum ramah. Spontan Gayah angguk laju-laju. Melah sengih melihatnya.

Sesudah angguk laju, Gayah tergaru-garu kepala pula. Agaknya ada kutu yang sedang berpesta di sebalik helaian rambut yang diserkup dengan kain tudung. Melah pula mengintai-intai ke kanan dan kiri jalan. Hampa... Jelan masih belum muncul.

“Nak cakap sikit ni Melah.” Puas menggaru kepala jirannya bersuara.

“Ya, akak.”

“Aku nak bayar deposit pun tak cukup duit. Macam mana ya?” Mulalah dia malu-malu kucing. Melah yang sudah menjangka keadaan itu tenang saja.

“Tak apa akak. Bayar ansuran terus.” Dia pun bertolak ansur.

Bukan main suka lagi jiran Melah. Kembang hatinya. Nampaknya dia tak kalah bergaya berbanding kawan-kawannya nanti. Pergelangan tangannya akan lip lap lip lap juga. Tak kalah dengan kawan-kawan rombongannya.

Melah ikut seronok bila melihat pelanggannya gembira. Tak kisahlah kalau duit jualan lambat sampai ke tangannya. Berniaga sendiri perlu kesabaran. Melah selalu berdoa mudah-mudahan satu hari nanti dia akan mampu menjual emas 916 yang jauh lebih mahal harganya.

Melah memberi kad jaminan untuk menyadur semula gelang tangan itu kalau warnanya sudah pudar. Gelang tangan itu dimasukkan ke dalam bekas baldu lalu diserahkan kepada pembeli.

Besar senyuman Gayah yang akan menyertai rombongan ke Cameron Highland. Dia mengucapkan terima kasih kepada Melah. Dia juga berjanji akan membawa ole-ole untuk Melah. Sudah tentu buah Strawberi dan serbuk teh yang wangi.

“Aku balik dulu ya Melah.” Dia minta diri lalu Melah angguk dan senyum. Semasa dia memusingkan badan, telinga jirannya menangkap bunyi motosikal yang tersengguk-sengguk. Dia menoleh ke kanan jalan kemudian memberitahu sesuatu kepada Melah.

Melah menunjukkan muka bosannya. Lagi-lagi dia! Stok yang sudah sampai tarikh luput tapi tetap berlagak muda. Berdepan dengan orang tua itu boleh buat Melah sakit jiwa, sakit hati dan sakit segala-galanya.

Sesudah memberitahu, jirannya itu berjalan laju balik ke rumah. Tak sabar hendak mempamerkan gelang tangan baru kepada suaminya. Dia tak peduli kalau suaminya yang bekerja sebagai tukang kebun di sekolah membebel memarahinya sebab berhutang lagi.

Melah yang ditinggalkan kelam-kabut mengemas isi beg hijau kerasnya. Dia mahu cepat pergi dari situ. Bala sedang menghampiri. Buat apa ditunggu lagi. Melah berdoa supaya bala itu jangan mendekatinya.

“Alaaa... orang nak cepat, jatuh pulak rantai leher ni.”Melah tunduk untuk mengambil rantai leher yang jatuh. Bila hendak cepat ada-ada saja yang tak kena.

“Melah... tak sia-sia abang lalu sini. Macam diseru-seru je. Macam ada jodoh je.”

Harapan Melah sia-sia. Bala sudah ada depan mata. Macam biasa Pak Sood menyengih-nyengih kegatalan. Melah terasa macam disengat kala jengking. Bosannya dia! Jelan yang ditunggu, Pak Sood yang datang.

Orang tua yang terlebih akal berbanding Jelan itu memang tak tahu malu. Sudahlah hidungnya memang tak mancung, pipinya pula tersorong-sorong. Terhegeh-hegeh tak sudah-sudah.

Melah memerhati Pak Sood dari atas sampai bawah. Bergaya betul orang tua itu. Dalam cuaca panas sanggup dia memakai kot hitam tahun 70annya. Agaknya kot zaman mudanya. Seluarnya yengkinya menampakkan Pak Sood macam badut tua. Out of date!

Jambul Pak Sood bukan main lagi. Entah sudah berapa kali rambut putihnya diwarnakan. Warna hitamnya tak nampak asli lagi. Cermin mata hitam sengetnya jangan dikata. Kelakar! Agaknya Pak Sood sudah rasa cukup lawa bila berpakaian macam itu.

“Merepek!” tempelak Melah sesudah puas melihat fesyen ketinggalan zaman Pak Sood.

“Eiii... semakin Melah marah semakin geram abang nengoknya.” Dasar Pak Sood yang memang tak tahu diri. Ukur baju memang tak pernah padan dengan badan sendiri.

“Atuk! Jodoh atuk tu lebih dekat dengan batu dua. Sudah-sudahlah atuk, bawak-bawak insaf.” Tak kuasa lagi untuk Melah bersopan santun.

Dia mengambil beg yang sudah dikemas dengan keras. Melah mahu pergi dari situ. Tak mengapa kalau tak dapat berjumpa Jelan, esok dia akan menunggu kawan baiknya itu lagi. Dia sudah jelak dengan kerenah Pak Sood.

Melah melangkah untuk pergi supaya tak perlu berdepan dengan si tua kerepot lagi. Hari demi hari rasa hormatnya kepada Pak Sood semakin hilang. Bukan salahnya tapi orang tua itu sendiri yang mencari fasal.

“Kita dating dululah Melah, masih awal lagi ni. Jangan balik dulu.” Pantas pula Pak Sood menghalang laluan Melah.

‘Orang tua ni faham ke apa benda dating tu? ke main sebut je?’ ejek Melah dalam hati.

“Tak fahamlah. Apa benda dating tu?” suara Melah keras. Biar orang tua tak cukup gigi itu benci mendengarnya.

“Jumpa-jumpa. Kekasih jumpa kekasih.” Yakin betul Pak Sood.

Senyuman Pak Sood membuat Melah hendak muntah. Kenapalah abah si Zara lupa diri? Sedangkan umurnya dan umur Zara tak jauh jaraknya. Salah seorang cucu Pak Sood pun umurnya lebih kurang Melah saja. Dasar buaya tua yang gatal!

“Kekasih atuk kat rumah nun. Saya ni dah pangkat cucu.” Entah kali yang ke berapa Melah mengingatkan perkara yang sama. Agaknya orang tua itu sudah nyanyuk.

Muka tak bersalah Pak Sood semakin menyakitkan hati. Kalau diikutkan hati Melah mahu saja dicabutnya baki gigi orang tua itu. Tak kiralah dengan apa. Kalau terpaksa gunakan penumbuk pun Melah sanggup. Sudah tentu tunggul gigi orang tua itu sudah tak kuat lagi.

“Tepilah orang nak lalu!” marah Melah lagi.

“Abang tak akan lepaskan Melah.” Goda Pak Sood dengan mata yang dikecilkan.

‘Tak terliur langsung!’ umpat Melah.

“Atuk, saya cakap baik-baik ni. Ke tepi, saya nak lalu. Saya nak bekerja, cari rezeki.” Kali ini Melah agak berlembut. Mana tau Pak Sood yang mendengar kata.

“Kerja, kerja jugak Melah. Abang tau dah tentu kamu rindu lelaki. Malam-malam mesti kamu sunyi. Dah lama kamu sendiri kan?” godaan Pak Sood memang jijik!

Tebal telinga Melah mendengar karut marut Pak Sood. Terasa hendak terkeluar tahi telinganya. Apalah bebalnya orang tua itu. Dalam umurnya yang sudah bangka tak seharusnya dia bercakap perkara yang tak sopan macam itu.

Tangan Melah sudah terasa ringan hendak melempang muka Pak Sood tapi bila difikirkan tapak tangan halusnya akan tersentuh kulit kerepot orang tua itu, dia membatalkan niatnya. Melah tak rela tapak tangannya dinodai kulit muka Pak Sood yang kasarnya macam kertas pasir itu.

Melah mencari akal. Dia hendak melakukan sesuatu yang akan membuat Pak Sood serik untuk mengacau dan menggodanya lagi. Biar berbekas di hatinya. Pantang betul Melah bila ada orang yang memandang rendah pada status mak jandanya.

Dia masih ada pegangan dan belum kebulurkan lelaki. Malahan dia takut untuk bercinta lagi. Apa yang sudah berlaku dalam rumah tangganya membuat dia serik. Sesedap rasa saja orang tua itu menganggap dirinya yang bukan-bukan.

‘Motor tu ada gunanya jugak.’ Motosikal semput Pak Sood dijeling Melah. Melah senyum besar. Dia sudah dapat akal.

“Abang Sooddd... abang suka Melah kan?” Kali ini mata Melah pula yang dikecilkan.

“Isyyy... macam tulah. Bukan saja suka tapi sayang. Abang sayang Melah. Eiii, geramnya abang.” Bergandalah gatalnya si tua bangka.

‘Uwekkk... nak pengsan aku! Nanti kau!’ bisik Melah yang sudah mula mual.

“Kalau sayang, abang mesti belikan Melah Harley Davidson.”

Melah bercakap separuh hati sambil menahan gelodak perutnya. Rasa hendak terberak bila melihat ulat bulu tua sudah naik daun lagi.

“Oh, yang macam unta padang pasir tu?” soalnya lalu Melah angguk.

“Mesti! Abang akan belikan untuk sayang abang.” Beria betul Pak Sood.

‘Tolong! Tak boleh nafas! Oksigen! Oksigen!’ ejek Melah dalam hati. Rasa hendak ketawa, sekali gus hendak menangis bila berdepan dengan makhluk yang tak sedar diri.

Motosikal Pak Sood dihampiri. Melah duduk di belakang motor. Diusap-usap badan motor itu kemudian dicium pemegangnya. Dia senyum tak sudah. Bukan senyum menggoda tapi senyum hendak mengena. Biar Pak Sood tahu rasa.

“Bawak Melah pusing-pusing kampung, boleh tak Abang Sood?” lalu Melah senyum lagi.

Pak Sood apa lagi. Cepat saja dia hendak melangkah mendapatkan Melah. Sebaik kakinya diangkat dia menyeringai. Sakit pinggangnya datang tiba-tiba. Maklumlah pinggang tuanya sudah bergred C. Cuma hatinya saja yang masih muda belia. Itulah sebabnya dia masih hendak menggatal

Untuk tak memalukan diri sendiri, Pak Sood berlagak macam biasa. Sakitnya ditahan-tahan. Mana boleh lepaskan peluang membonceng Melah. Siapa yang tak bangga kalau dapat membawa Melah lawa yang bergetah itu. Lebih bangga bila dia dapat mengalahkan pemuda-pemuda kampung yang merebutkan Melah.

“Cepatlah abang.” Panggil Melah lagi.

“Ya... ya, abang datang ni.”

Dengan terdengkot-dengkot Pak Sood cuba berjalan cepat. Geli hati Melah melihatnya. Sebaik saja Pak Sood sudah menghampiri motosikal semputnya, Melah bangun lalu beralih ke sebelah sana motosikal.

Pak Sood terhenti sambil memerhati. Kata hendak pusing-pusing kampung, kenapa pula Melah turun dari motosikalnya? Agaknya Melah hendak bermanja-manja.

“Mari Melah sayang.” Beria-ia betul Pak Sood.

“Jom atuk! Kita ronda kampung!” Sepantas kilat Melah menolak motosikal cabuk Pak Sood. Pak Sood yang tak sempat hendak melompat sudah tertindih kakinya.

“Adoi! Kau nak kenakan aku rupanya!” erang Pak Sood yang sudah terbaring di atas rumput.

Mujur yang menindih hujung kakinya cuma tempat duduk motosikal yang kurang keras. Kalau tak sudah tentu patah pergelangan kakinya.

“Pandai-pandailah atuk nak bangkit. Lain kali jangan hina saya macam tu lagi. Saya masih ingat Tuhan, belum kebulurkan jantan. Lagi-lagi jantan kerepot macam atuk ni.”

Puas hati betul Melah. Rancangannya sudah berjaya. Dia berharap orang tua itu tak akan berani mengganggunya lagi selepas ini.

“Sampai hati kamu Melah.” Suara Pak Sood tersepit macam kakinya yang tertindih tempat duduk motosikal.

“Bye! Selamat tinggal atuk... tunggu ajelah kot-kot ada orang yang lalu kejap lagi.” Melah pergi dengan gembira.

Pak Sood cuba menarik kakinya tapi tak berjaya. Malahan simpul mengkarung pula datang menyerang. Berkerut-kerut dahinya menahan sakit. Sudahnya dia terus terbaring di atas rumput.

Pak Sood mengerang seorang diri. Dia mengharapkan akan ada orang kampung yang menolongnya. Tak kisahlah siapa, Jelan senget pun tak apa walaupun dia tak suka Jelan yang selalu dapat bersama Melah.

“Melah... abang tak marah Melah. Abang makin sayang Melah. Nakalnya Melah.”

Kalaulah Melah mendengar apa yang Pak Sood katakan sudah tentu dia menangis guling-guling. Sudah dikenakan cukup-cukup masih juga tak sedar diri.

Apalah malangnya nasib Mak Biah, dapat suami berjiwa muda walaupun sudah masuk dalam kategori antik dan layak dijadikan bahan pameran di Muzium Negara.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.