Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,572
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10



Melah merenung beg hijau keras. Isi di dalamnya sudah mula berkurangan. Itu bererti jualan emas sadurnya agak laris. Semuanya hasil kerja keras dengan keyakinan ALLAH akan selalu membantu kepada orang yang kuat berusaha.

Sepatutnya Melah gembira dengan hasil usahanya, tapi entah kenapa dia merasakan semuanya kosong tak bermakna. Bukan tak bersyukur dengan rezeki yang ALLAH berikan kepadanya, cuma ada sesuatu yang susah untuk ditafsir sedang bermain di dalam hatinya.

‘Ya ALLAH, peliharalah diriku. Aku tak mahu menjadi fitnah dunia. Aku juga takut akan menjadi isi neraka. Mohon Engkau kuatkan hati dan imanku daripada pelbagai godaan dan cubaan dunia. Aku tak kuat, ya ALLAH.’

Sedih benar hatinya semasa membisikkan doa itu. Sebak dan pilu. Melah tunduk. Mata terasa kabur. Sekali lagi air matanya tak malu-malu mengalir. Hangat dan laju. Air mata itu menitis ke kain baju kurungnya.

Seandainya ada seseorang yang memeluk dan memujuknya supaya bertenang, alangkah gembiranya. Kalaulah dia ada seorang sahabat baik yang mengerti akan sekeping hati, itu sudah mencukupi. Sayangnya dia selalu saja keseorangan.

Hanya satu nama yang dirasakan selalu saja membuat dia tenang. Jelan! Ah! Mustahil dia akan membenarkan Jelan memeluk dan memujuknya. Yang pasti mereka berbeza cas. Positif dan negatif sangat berbahaya untuk berdekatan. Kalau dilakukan juga sudah pasti akan berlaku letusan perasaan yang tak diingini.

“Minumlah air tu Melah! Apa dibiar tak bersentuh. Itu aje yang ada dalam rumah ni Melah. Akak belum sempat membeli barang dapur.”

Mendengar langkah Gayah dan suaranya, cepat-cepat Melah membersihkan air matanya. Malulah kalau Gayah tahu dia sedang menangis. Beg hijau keras dizip dan ditolak ke tepi. Dia melemparkan senyuman buat Gayah.

“Lemah aje senyuman kamu, Melah.”

Gayah meletakkan punggung di sofa lusuh, berdepan dengan Melah. Dipandang lama muka Melah. Melah cuba melarikan pandangan matanya daripada bertembung dengan mata Gayah.

“Biasa aje akak... penat agaknya. Tu yang nampak letih.” Melah berbasa-basi.

“Hmmm... kalau sebab akak lambat bayar ansuran gelang tangan tu, akak minta maaf banyak-banyak. Akak janji akak akan bayar sebelum habis bulan ni. Tah kenapa gaji abang kamu lewat dapatnya bulan ni.”

Rasa bersalah menendang-nendang dada Gayah. Apa boleh buat, dia memang tak ada duit di tangan. Duit yang diberi oleh suaminya setiap hari pun cukup-cukup untuk belanja dapur.

“Eh, taklah akak. Tak apa... saya faham masalah akak. Saya percaya kat akak. Jangan risaulah.”

Sebenarnya Melah pun tak berniat untuk datang ke rumah Gayah. Selalunya Gayah yang akan datang ke rumahnya untuk membayar hutang. Hanya yang Melah tahu fikirannya sedang serabut bila terlalu asyik memikirkan tentang Arief.

Lebih serabut, bila setiap hari terpaksa menghadap muka Mak Chah. Bukan benci, cuma macam ada yang tak kena saja. Bila merenung Mak Chah, muka wanita itu tak ubah macam pitam rakaman. Semua yang sudah berlalu tergambar-gambar semula mengganggu emosinya.

“Kamu menangis ya Melah? Akak tengok merah mata kamu tu.” Gayah masih tak sedap hati.

“Haaa... kalau saya kata masuk habuk, alasan tu dah klise sangat kan akak? Jadi saya mengaku ajelah, memang saya dah termenangis tadi.” Diikuti ketawa berat Melah. Dia sedang mentertawakan diri sendiri.

“Kamu ni... dalam sedih pun masih sempat nak berseloroh.” Gayah sama ketawa.

“Yalah akak, tak ada siapa yang akan pujuk kalau saya terus sedih dan menangis. Jadi saya mesti cepat-cepat ketawa semula.”

Tangan kanannya pula mengambil gelas yang berisi air sirap limau di atas meja kopi. Perlahan-lahan diteguknya air yang dihidangkan oleh Gayah. Segar tekaknya. Alhamdulillah, nikmat daripada ALLAH.

“Kamu ada masalah ke Melah?” Gayah berminat untuk tahu.

“Dalam dunia ni mana ada orang yang tak ada masalah, akak. Cuma kecik atau besar aje masalah tu.”

Selepas itu Melah menghirup saki baki air sirap limau di dalam gelas. Gayah yang mendengar mengangguk setuju.

“Orang paling kaya dalam dunia pun tetap ada masalah. Susah nak tidur... asyik fikirkan fasal nak menambah harta dunia.

Yang miskin apatalah lagi. Tak boleh tidur sebab fikirkan duit dalam poket tak pernah cukup,” sambung Melah lagi.

“Yang kedua tu akaklah orangnya.” Gayah ketawa. Dia memang orang yang selalu sedar diri walaupun suka berhutang emas saduran.

“Kita sama aje akak. Saya pun dalam ketegori itu juga. Udahlah sebatang kara.”

Gelas yang sudah kosong diletakkan di meja kopi. Kedua-duanya bertukar senyum. Setuju dengan nasib masing-masing.

Diam-diam Gayah mengagumi ketabahan Melah. Melah pandai membawa diri. Dia orang baru di kampung itu tapi tak kekok bergaul dengan masyarakat setempat. Malangnya ada saja penduduk kampung yang busuk hati dan suka mencari-cari salah Melah. Kasihan Melah.

Sepanjang perkenalan mereka, Melah tak pernah memberi masalah. Kadang-kadang Gayah hairan bila mendengar sok sek yang mengatakan Melah suka menggoda suami orang. Setahu Gayah belum pernah sekali pun Melah bermain mata atau mengurat suaminya.

“Kalau ada, akak boleh tadah telinga untuk Melah. Akak ni pandai sangat nak selesaikan masalah tu tak adalah juga, tapi sekurang-kurangnya kamu akan rasa lega bila dapat luahkan pada seseorang.” Sesudah senyap sekejap, Gayah bersuara.

Melah membetulkan duduk, kemudian berfikir seketika. Perlukah dia menceritakan hal Arief kepada Gayah? Berat pula mulutnya. Lebih berat lagi hatinya. Kata orang jangan mudah percaya kepada orang lain. Terutamanya orang yang belum lama dikenali. Bukan Melah tak percaya tapi dia hendak berhati-hati.

“Ala, masalah kecil aje. Cuma saya ni yang gedik... suka fikirkan benda tu berlebih-lebih. Agaknya masalah akak lagi besar berbanding masalah saya ni.” Diakhiri dengan ketawa kecil. Gayah sengih.

“Tapi kan akak...”

“Apa dia?” Cepat betul tindak balas Gayah. Mungkin dia memang betul-betul hendak membantu meringankan beban Melah.

“Errr... nak tanya sikit.” Melah tersipu.

“Tanyalah... malu-malu pulak. Macam pengantin baru,” usik Gayah.

Merah muka Melah. Sensitif betul perkataan ‘pengantin baru’. Apa taknya, waktu yang menyeronokkan itu sudah berlalu. Yang tinggal cuma perkataan, talak tiga.

Huh! Jangan dikenang lagi cerita dulu. Lupakan dan buka buku baru. Samangat Melah! Semangat! Bukan Melah namanya kalau kalah dengan perasaan walaupun kadang-kadang dia tertiarap juga. Bukan senang hendak menyandang gelaran janda. Susah!

“Akak kenal rapat dengan Jelan, tak?”

Alang-alang mandi biar basah. Hati sudah menguit hendak bertanya, lebih baik bertanya saja. Bukan senang hendak mencari peluang bergebang dengan Gayah. Jadual harian Gayah selalu saja padat dengan agenda keluarga.

“Tak juga... cuma satu yang akak pelik dengan si Jelan ni.”

“Apa dia, akak?”

“Hmmm... dia ni entah dari mana datangnya. Sebelum kamu datang ke kampung ni, si Jelan memang tak pernah wujud.

Perasan akaklah, rasanya selepas sebulan kamu menyewa barulah Jelan datang. Itu pun entah datang dari mana.” Di hujungnya, Gayah mengulang perkataan yang sama.

Melah garu kepala. Kurang faham apa yang diperkatakan Gayah. Isyyy... takkan pulaJelan datang dari langit, atau dari planet Marikh. Keinginannya untuk bertanya lebih banyak lagi tentang Jelan terpaksa dilupakan.

Untuk membuang rasa kecewa, Melah memandang ke tingkap. Wow! Bukan kelegaan yang diperolehi, sebaliknya satu kejutan besar. Zara sedang menapak ke halaman rumah Gayah dengan laju. Bosan!

Nasib baik itu rumah Gayah. Kalau di rumahnya, sudah tentu Melah akan berkejar untuk menutup rapat pintu dan semua tingkap rumah. Zara tak ubah macam makhluk perosak yang membawa kuman berbahaya.

Makin lama Zara makin dekat. Melah makin penat melihat langkah Zara dengan kasut tumit tinggi merahnya. Macam kartun saja. Kelakar melihat Zara yang tak pernah lekang dengan kasut yang dihadiahkan oleh abah kesayangannya itu.

“Ooo, Kak Gayah! Kak!”

“Siapa ke tu, tak reti bagi salam agaknya.” Gayah mengomel sambil mengangkat punggung. Meninjau siapa yang datang.

“Ratu cantik tu akak,” Melah ketawa. Gayah geleng tak sudah.

“Hah! Kamu... apa halnya, Zara?” Gayah yang sudah berdiri di muka pintu menyapa Zara.

Zara menjeling kasut tak bertumit kepunyaan Melah. Dia kenal sangat dengan kasut yang dipakai oleh Melah setiap hari. Dikuis kasut itu ke tepi. Gayah geleng lagi. Pening melihat ragam Zara. Dia sudah sedia maklum, Zara sangat memusuhi Melah.

“Tak ada apalah. Nak cerita sikit aje ni. Marilah kak.” Zara sudah duduk di anak tangga paling bawah.

“Kalau ya pun, naiklah dulu. Tak elok anak dara duduk atas anak tangga.” Pelawa Gayah.

Diikutkan hati memang malas menjemput Zara naik ke atas rumah, tapi tetamu perlu dihormati. Bila Zara menolak, seronok betul Gayah. Sudahnya Gayah duduk di anak tangga pertama.

“Kak... semalam saya nampak ada jantan keluar dari arah rumah mak janda tu.”

Sengaja Zara meninggikan tonasinya. Dia tahu Melah ada di atas rumah. Kepalanya mendongak supaya mudah memandang Gayah. Hendak naik ke atas, malas pula membuka kasut bertumit tinggi merahnya.

Semasa Zara mendongak, Gayah memberi isyarat menyatakan Melah ada di atas rumah. Zara buat-buat tak faham, walaupun dia lebih dari faham.

‘Peduli apa aku! Baru padan dengan muka dia! Dah memang gatal pun,” bisik Zara, mengata Melah.

“Kita mana nampak, kak... apa yang dia buat dengan jantan tu dalam rumah. Agaknya buat kerja ‘part time’. Nak, naknya tak ada siapa sedar... fuuu, apa lagilah dia.” Herot-herot mulut Zara.

“Isyyy... kamu ni! Sudah! Sudah! Malas akak nak dengar.”

Serba-salah Gayah dibuatnya. Dia takut ada perang besar meletus. Mulut Zara memang boleh tahan jahatnya. Bila bercakap, lupa dosa pahala. Gayah menoleh untuk memastikan Melah duduk dengan tenang-tenang saja. Dia berharap Melah tak mendengar apa-apa.

Harapannya punah bila melihat Melah sudah bangkit dari duduknya dan sedang berjalan menuju ke arah pintu. Mukanya kelam saja. Langit mendung pun tak sekelam itu. Gerun Gayah jadinya.

“Weiii, Zara! Apa kau kata tadi?”

Gayah tersentap mendengar suara kuat Melah. Dia beralih ke tepi sedikit untuk memberi laluan kepada Melah untuk turun ke bawah. Langkah Melah agak tenang. Dalam hati siapa tahu?

“Ada, kau.” Zara buat-buat tak tahu yang Melah berada di rumah Gayah.

“Ada... aku masih hidup lagi. Masih bernyawa. Cuma aku ni tak adalah gunakan nyawa yang ALLAH bagi untuk tabur fitnah. Bawa mulut ke sana ke mari. Kau tak penat ke Zara?”

Kali ini suara Melah tak terlalu kuat. Tangannya pula berpegang kejap pada tepi tangga. Masih cuba bersabar. Tak ada faedahnya memaki-maki orang yang tak reti bahasa macam Zara. Penat memaki, perangainya akan tetap macam itu juga.

“Penat kenapa pulak? Pagi ni aku langsung tak buat kerja rumah. Semua ibu buat.”

Memang dasar bebal, sampai bila-bila pun akan bebal. Zara bukan bodoh dan tak memahami maksud Melah, tapi dia sengaja hendak menyakiti hati Melah. Bila dia dapat mengenakan Melah, puas hatinya.

Gayah yang melihat berasa geram. Kalau boleh, hendak dihempuk muka Zara dengan tong sampah kecil di sebelah pintu. Memikirkan dia perlu bersikap adil dan tak menyebelahi mana-mana pihak, dilupakan saja niat itu.

“Bagusnya... patutlah kau ada banyak masa nak menjaja nama aku,” bidas Melah.

“Apa pula bawa mulut. Dah memang betul. Mata aku sendiri nampak ada jantan keluar dari laman rumah kau petang semalam. Macam bukan orang kampung ni aje.”

Tegas Zara yang sudah melihat Arief meninggalkan perkarangan rumah Melah. Dia yakin Melah sudah melakukan perbuatan keji dengan lelaki itu.

“Sudahlah, Zara... agaknya sedara si Melah ni hah. Apa nak diriuhkan pagi-pagi ni?” Sudahnya Gayah bersuara juga. Dia tak percaya Melah seburuk itu.

“Sedara ke pelanggan? Eleh! Akak macam tak tau aje. Manalah cukup kalau takat jaja emas sadur yang tak berapa nak laku tu. Mestilah kena buat kerja sampingan.”

Sebaliknya Zara langsung tak menghiraukan teguran Gayah. Dia tetap dengan sikap sombongnya. Memang niatnya ke rumah Gayah untuk bersemuka dengan Melah. Sebelumnya dia ke rumah Melah, tapi Mak Chah memberitahu Melah berada di rumah Gayah.

“Akak, boleh pinjam barang dapur kejap tak?” soal Melah.

Janda muda itu seakan tak menghiraukan hinaan Zara, sebaliknya mahu mencari sesuatu di dapur Gayah. Cepat Gayah angguk sambil tergaru-garu pipi. Dia tak faham apa yang cuba dilakukan oleh Melah.

Kaki Melah cepat melangkah naik. Dia berjalan laju ke dapur Gayah. Berdiri sekejap dengan mata liar, mencari-cari apa yang diperlukan. Apa yang dicari tak ada di atas para. Melah membuka pintu peti sejuk. Tangannya mencapai sesuatu dengan muka kelat.

“Tau takut!” Di atas anak tangga, Zara mengejek Melah. Dia rasa menang. Awal-awal lagi Melah sudah melarikan diri.

“Akak kata, sudah tu sudahlah. Jangan memanjang-manjang. Besar dosa fitnah tu Zara!” Gayah mengingatkan lagi.

“Peduli apa saya!” Zara tetap degil.

“Ke sana sikit akak, nak lalu.” Tiba-tiba badan Gayah disentuh dari belakang. Melah sudah datang semula. Gayah bergerak sedikit, memberi laluan untuk Melah.

Sewaktu Melah turun, Gayah nampak tangannya memegang sesuatu. Ah! Sudah! Di tangan Melah ada cili api merah menyala. Tak tentu arah Gayah dibuatnya. Untuk menahan Melah dari bertindak, malas pula. Separuh hatinya menunggu tindakan Melah. Suka!

“Ingatkan dah menyorok kat dapur Kak Gayah tadi,” sindir Zara dengan muka yang menyebalkan. Dia tak sedar apa yang ada di tangan Melah.

“Ehhh... tak. Apa pula nak main sorok-sorok. Aku naik sebab nak ambil benda ni.”

Melah menunjukkan dua biji cili api yang sudah dipatahkan menjadi dua bahagian. Tangannya yang baru memegang sekejap cili itu sudah rasa pijar. Inikan pula... kalaulah...

“Isyyy... nak masak sampai meminjam-minjam cili. Apa rasanya takat dua biji tu?” Beria lagi Zara menyindir.

“Rasanya macam ni...”

Badan Melah dibongkokkan sebab Zara duduk di anak tangga paling bawah. Zara yang mendongak masih tak menduga apa-apa. Dia tertanya-tanya dengan mulut ternganga, apa yang Melah hendak lakukan.

“Haaa... macam ni!”

Cili-cili itu ditonyoh-tonyoh ke mulut Zara yang ternganga sedikit. Tak sempat untuk Zara mengelak. Kepala Zara ditekan ke papan anak tangga. Cili ditekan-tekan lagi dan digesel ke berisan gigi Zara. Zara meronta-ronta. Gagal untuk bangun. Gayah pula terkedu. Terkaku.

“Huuu... haaa... huuu... haaa... huuu... haaa. Pedaslah bodoh!” jerit Zara sesudah kepalanya dilepaskan oleh Zara. Dia melompat-lompat depan tangga dengan kasut bertumit tinggi merahnya.

Air mata Zara berjejeran ke pipi. Bukan sedih, tapi kepedasan. TUHAN saja yang tahu betapa pedas dan pijarnya cili api kepunyaan Gayah. Bibirnya terasa tebal bukan kepalang. Yang pasti bibirnya sudah merah dan menggeletar.

Melah bercekak pinggang di atas anak tangga. Puas hatinya. Dia sudah penat hendak berbalah dengan Zara. Mulutnya sudah letih. Cuma itu saja caranya untuk mengajar mulut longkang anak dara Pak Sood itu. Itu pun kalau Zara sedar diri.

“Macam mana? Dah rasa?” Kali ini giliran Melah pula menyindir. Memulangkan paku buah keras.

“Nanti kau! Kau ingat aku takut? Aku tak akan diam diri. Tunggulah!” balas Zara sambil mengelap air matanya. Bibir pula masih rasa tebalnya.

Dituding-tuding jarinya ke arah Melah. Melah selamba. Matanya saja yang tak sudah-sudah merenung Zara. Kadang-kadang Melah hairan, Zara memusuhinya tanpa dia tahu sebabnya.

“Buatlah apa kau nak buat. Aku dah penat layan orang tiga suku macam kau. Setengah tiang!” tempelak Melah.

“Hiii... geramnya aku! Tunggulah kau!” Zara memberi amaran sekali lagi.

Selepas memberi amaran, Zara memusingkan badan untuk pergi dari situ. Terkocoh-kocoh langkahnya. Sesekali jalannya jadi senget bila kasut tumit tingginya hampir terbenam ke tanah halaman rumah Gayah yang agak basah.

Melah dan Gayah memerhati sampai Zara hilang di hujung jalan. Melah terduduk di atas anak tangga. Sedih betul dia. Pilu. Hatinya menangis, meronta-ronta. Dia rasa terhimpit, tersepit. Hinanya menjadi janda.

“Maafkan Melah, akak. Melah dah buat kacau kat rumah akak. Tak sopan, kan akak.” Perlahan suara Melah. Menahan air mata dari merembes keluar.

“Tak apa dik... akak faham. Kalau akak kat tempat Melah pun, akak akan buat macam tu. Zara memang melampau.”

Melah tak lagi mendengar jawapan Gayah. Fikirannya sedang melayang entah ke mana. Menerawang dan berlegar-legar. Kosong. Dalam kosong itu, yang ada cuma ALLAH, ALLAH dan ALLAH. Melah sedang menyabarkan hatinya. Lagi dan lagi.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.