Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
137,816
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 4



“Melah! Amboi... sombongnya! Dah banyak kali aku panggil, kau buat tak dengar je.” Herot-herot mulut Zara. Dia bercekak pinggang menunjukkan lagaknya.

“Kau nak ambik barang lagi ke? Atau nak bayar hutang?” balas Melah yang sudah mendekati Zara dalam keterpaksaan. Zara cuma tergelak-gelak untuk menutup malunya.

Kalau tak disebabkan sudah berkali-kali Zara melaungnya, mahu saja Melah berjalan laju-laju ala-ala lumba jalan kaki. Dia tak suka berurusan dengan Zara. Zara selalu membuat dia rasa sesak nafas.

Zara sudah banyak kali melihat-lihat barang kemas jualannya tapi dia cuma membeli sebentuk cincin berbatu. Itu pun berhutang. Hendak menagih hutang daripadanya satu hal pula. Kadang-kadang Zara memanggilnya cuma hendak menyakitkan hatinya saja.

“Alah kau ni... baru berapa sen sangatlah hutang aku tu. Itu pun kau dah macam ayam bertelur. Kokk kokk ketokkk, kokk kokk ketokkk tak sudah-sudah. Pejam mata pun aku boleh bayarlah.” Sudah berhutang, cakap besar pula. Siap dengan mimik muka yang menyebalkan.

Mereka berdiri berdepan. Melah pandang tepat muka Zara. Diamati. Tahi lalat buatan di tepi bibir Zara sudah mula luntur oleh peluh. Nampak comot. Maskara murah yang digunakan juga sudah mengotori sekeliling kedua-dua tepi mata Zara.

Nampak macam pelakon wanita dalam cerita Vempire. Tinggal lagi tak ada gigi taring dan kesan darah di tepi mulutnya. Tak pada cuma berjalan depan rumah, Zara memakai kasut tumit tinggi berwarna merah yang baru dibeli oleh Pak Sood.

“Aku memang tau kau mampu bayar sebab tu aku nak kutip hutang kau ni. Ada tak?”

“Sekarang ke?”

“Iyalah, sekarang... now!Terlanjur dah jumpa, bagi ajelah,” suara Melah keras. Geram!

“Errr... kalau sekarang... ermmm, sekarang.” Zara pula terkebil-kebil tak sudah.

“Nak bagi ke tak?” tanya Melah lebih kuat. Dia mula hilang sabar. Zara tersentak.

Berani betul Melah meninggikan suara. Dasar pendatang yang tak sedar diri, datang ke kampung orang hendak menunjuk lagak. Zara betul-betul tak puas hati. Rasa hendak ditangan saja mulut Melah. Biar bibirnya pecah berdarah.

Keinginan itu terbantut pula bila memikirkan Melah garangnya boleh tahan juga. Bukan tak pernah mereka bertegang leher semata-mata dia berdegil tak mahu membayar hutangnya. Hutang lapuk yang dia buat-buat lupa untuk membayarnya.

“Sampai masa aku bayarlah.” Zara tetap memberanikan diri walaupun hatinya jadi kecil dan kecut.

“Maksudnya sampai masa kau dah nak mati?” sinis Melah yang sudah bosan dengan ragam Zara.

Melah sudah bosan diperbodohkan Zara. Disebabkan mulut kompang Melah, orang kampung beranggapan dia sedang bercinta dengan si tua bangka yang sudah renta. Macam dia kebulurkan Pak Sood yang cuma ada motosikal semput itu. Handsome jauh sekali.

Fitnah Zara bukan sekecil anak tapi fitnah itu boleh membakar sekampung. Zara memang tak pernah sayang mulutnya. Anak dan abah sama saja. Melah cuma menghormati Mak Biah yang baik dengan semua orang kampung. Wanita tua itu juga ramah dengannya.

“Kasarnya kau, Melah!” Zara angin.

“Kalau aku berlembut, lemah gemalai... sampai kiamat kau tak bayar. Kau tau kan, ini punca rezeki aku. Kerja aku. Dah hutang kenalah bayar.” Tegas Melah.

Dari tepi jalan itu Melah dapat melihat Pak Sood sedang mengintai-intainya. Nasib baik Mak Biah sedang duduk di anjung, kalau tak sudah pasti orang tua itu akan mendekatinya. Menggelodak isi perut Melah setiap kali nampak muka Pak Sood.

Yang pasti orang tua tak cukup gigi itu sedang gelisah sebab tak dapat bercakap dengannya. Meluat Melah bila menyedari orang tua itu terintai-intai tak sudah. Bilalah orang tua itu hendak bertaubat?

Di tepi parit pula Jelan sedang tertonggeng-tonggeng mencari berudu. Jelan langsung tak menghiraukan Zara dan Melah. Dia cuma bersinglet putih kusam dan berlubang-lubang.

Seluarnya pula singkat sebelah. Macam biasa, sebelah selipar buruk akan terselit pada lengannya. Lama Melah merenung Jelan. Entah kenapa, rasa damai hatinya. Dia senyum.

“Jomlah, ke rumah. Aku nak tengok barang lagi. Mesti ada design baru kan? Abah aku pun ada tau. Mesti dia belikan rantai tangan untuk aku satu.”

Zara mahu Melah melupakan sekejap soal hutang. Dasar muka tembok, dia memang tak tahu malu. Mendengar suara Zara, lenyap senyuman Melah. Sedangkan ekor matanya masih tetap memerhati Jelan.

Bagi Melah, Jelan ada daya tarikan yang dia sendiri tak tahu untuk menjelaskannya. Agaknya sebab Jelan nampak lurus dan tak pernah menyusahkan orang lain. Jelan dengan halnya sendiri saja.

“Tak boleh! Selagi tak bayar hutang, tak boleh ambik barang lain. Lagipun yang kau sebut-sebut abah kau tu kenapa? Apa kaitan dengan aku?” sebal betul Melah. Pandangannya beralih kepada Zara pula.

“Tak adalah... kau kan bakal mak tiri aku.” Sesedap rasa saja mulut Zara.

Melah mengetap mulut sambil menahan nafas lalu dilepaskan keras. Dia mencuba lagi mengumpul baki sabar yang ada. Mungkin sabar yang tinggal cuma sebesar habuk. Bila-bila masa saja akan lenyap dan terbang dibawa angin.

Kalau boleh dia tak mahu bergaduh dengan Zara. Buruk bila perempuan berkelahi di tepi jalan. Pergaduhan tak akan pernah dapat menyelesaikan apa-apa. Bahkan akan tambah merumitkan keadaan.

“Apalah punya anak... sanggup khianati ibu sendiri. Kalau setakat abah kau tu, lebih baik aku menjanda sampai mati. Silap-silap aku pulak jadi tukang ganti pampers abah kau.” Sindir Melah geram.

“Maksud kau?” Zara tak memahami apa yang dikatakan Melah.

“Maksudnya, abah kau tu dah tua. Lama manalah sihatnya. Bila dah sakit terlantar, tak aku yang teruk?”

Merah padam muka Zara. Marah betul dia. Kalau diikutkan hati terasa hendak saja dicabut kain tudung Melah supaya dia boleh menarik rambut janda itu kuat-kuat. Biar akar rambutnya tercabut dari kulit kepala.

Tak peduli siapa kalah, siapa menang. Janji puas hati. Sayangnya bila memikirkan semula peratus kekalahan akan berpihak padanya, Zara cepat melupakan niat busuk itu. Dia belum bersedia untuk dapat malu.

“Eh, bukan main sombong kalau kau bercakap ya!” hanya itu yang mampu dilakukan Zara sebagai mengganti keinginan yang mustahil itu.

“Aku sombong dengan orang yang kurang ajar. Yang baik dengan aku, aku seribu kali baik. Dahlah! Kalau tak mampu nak bayar hutang, aku hanguskan hutang kau. Tak payah bayar... lagi satu, jangan panggil-panggil aku lagi.”

Hanya itu caranya untuk mengelak dari berjumpa Pak Sood yang tak cukup gigi. Biar dia rugi sedikit asalkan hatinya aman dan tenang. Duit bukan segala-galanya.

Di Kuala Lumpur Melah juga sudah hilang semuanya. Hidupnya musnah disebabkan seorang lelaki bernama Arief yang pernah menjadi suaminya. Dia tak mahu mengingati semua itu lagi.

“Kau pun sama! Kurang ajar!” Zara tak puas hati.

“Kak Zara! Jangan bisinglah! Berudu tengah tidur!”

Bukan Melah yang bercakap tapi Jelan yang bersuara. Bengkak hati Zara. Dia bercekak pinggang sambil melototkan mata. Geli hati Melah melihatnya. Baru padan muka!

“Weiii! Jelan senget! Kau tu dah tua, jangan nak panggil aku kakak! Dahlah tua, gila pulak!” herdik Zara keras.

“Zara! Kau jangan nak hina Jelan ya. Dia tak gila... dia tak bernasib baik je.” Melah mengingarkan dengan suara yang agak lembut. Dia tak suka Zara menghina Jelan, kawan baiknya.

“Diamlah kau!” Sebaliknya Zara tak menerima teguran Melah. Merah padam mukanya.

Belum sempat Melah membalas, Jelan sudah berlari-lari ke arah mereka. Semakin panas hati Zara. Dia tak suka Jelan, bercakap dengan Jelan atau menyebut nama Jelan. Baginya Jelan tak ubah sampah di tempat longgokan sampah. Busuk!

“Zara... kau nak kahwin dengan aku?” soal Jelan.

Sebaik berdiri di sebelah Zara. Zara cepat menjauh. Hidungnya kembang kuncup menunjukkan jijiknya pada Jelan. Jelan cuma sengih tak sudah. Hendak dicolek bahu Zara tapi Zara pantas menjauh.

“Apa nak pegang-pegang pulak ni!” marah Zara.

“Jelan nak kahwin dengan Zara.”Jelan tersipu-sipu bila mengatakan perkara itu..

Gatal pula belakang Jelan. Diambilnya selipar buruk yang terselit pada lengannya lalu dijadikan penggaru untuk menggaru belakangnya. Terkial-kial Jelan. Zara menjeling meluat. Sebaliknya Melah kasihan melihat Jelan lalu dia menghampiri pemuda tak cukup akal itu.

“Sini Jelan... biar aku garu.”

“Suka! Suka!” Jelan melompat-lompat.

Melah mengambil sebatang ranting di tepi parit lalu menggaru belakang Jelan dengan ranting itu. Jelan menyengih kegelian. Nikmat betul bila Melah sudi membantu menggaru belakang yang mengenyam gatalnya.

“Uweksss! Loya aku,” ejek Zara.

“Tak baik kau ni. Dia pun manusia jugak kan.”Melah sebal dengan perangai Zara.

Zara menarik muka. Peduli apa dia. Sudah sememangnya dia jijik melihat Jelan senget yang kotor. Muka saja boleh tahan tapi tak siuman, apa gunanya.

“Jelan... jom kita pergi. Kat sini berbahang. Panas!” ajak Melah. Jelan cepat angguk.

“Ala, bagilah aku tengok barang kemas kau dulu.” Pujukan Zara diulangi.

“Takde, takde. Kalau nak beli, beli cash.” Melah tetap dengan pendiriannya.

Dia tak ingin berurusan dengan manusia yang tak tahu malu macam Zara. Sudahlah hutang tak dibayar, ada hati hendak membeli lagi. Muka tembok betul!

“Eleh... baru jual emas sadur pun dah menyombong. Bukan boleh kaya pun!” Zara tak mahu berdiam diri.

“Tunggu satu hari nanti, aku jual emas 916. Masa tu kau jangan ada hati nak menempek kat aku ya.” Balas Melah lalu melangkah untuk pergi dari situ.

Melayan Zara lebih menyakitkan hati berbanding melayan Jelan. Padanya Zara jauh lebih gila berbanding Jelan senget. Bila bersama Jelan senget hatinya aman selalu. Jelan tak pernah menyakitkan hatinya. Jauh sekali mahu menghinanya sebagai janda muda yang suka mengacau suami orang.

“Setakat jual emas, apa barang! Kau tengoklah nanti, aku akan kahwin dengan tauke Poh Chong tuan punya kedai emas kat pekan tu.” Angkuh betul Zara. Macam tahu-tahu saja jodohnya dengan siapa.

“Aku doa-doa angan-angan Mat Jenin kau nak jual emas 916 tu cuma tinggal angan-angan je!” sambungnya dengan bangga.

“Nama pun dah akan-akan pocong... tapi baguslah, aku harap kau Islamkan dia dulu ya,” sinis Melah.

Zara menjeling tajam. Geram dengan Melah yang tak mahu kalah. Memang padan, barulah bertemu buku dengan ruas. Sindiran Melah membuat Zara terus terdiam. Bibirnya muncung ke depan.

Meluat betul Melah melihatnya. Dia tak mahu berlama-lama di situ. Tak guna melayan orang yang sakit jiwa macam Melah. Memenatkan mental dan fizikal saja. Lebih baik dia pergi dari situ.

Melah dan Jelan berjalan bersaing. Macam biasa, jalan Jelan tak pernah lurus ke depan. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Terhibur Melah melihatnya. Lebih-lebih lagi muka Jelan yang kelakar membuat Melah tak bosan bila bersamanya.

“Zara tak nak kahwin Jelan.” Adunya. Melah senyum lebar.

“Tak apa... kau kahwin dengan aku.” Sahut Melah seadanya. Dia cuma main-main sambil memujuk Jelan supaya tak bersedih dengan penolakan Zara.

“Betul, betul... Jelan memang nak kahwin dengan Melah. Nanti kita sanding bawah jambatan, kan Melah.”

Yakin betul Jelan. Baginya di bawah jambatan merupakan tempat yang paling sesuai. Di situ selamat.

Melah menahan ketawa. Dia tahu akal Jelan tak waras tapi itu bukan alasan untuk dia mentertawakan pada setiap apa yang diperkatakan oleh Jelan. Seboleh-bolehnya Melah mahu menghormati Jelan sama macam orang lain. Macam orang yang sempurna akal fikirannya.

“Laa, kenapa kat bawah jambatan? Kalau jambatan tu roboh macam mana? Mesti kita kena hempap dengan kereta yang jatuh dari jambatan tu.”

Melah layan saja. Sekurang-kurangnya taklah bosan sangat. Misi Melah hari itu adalah untuk mengutip hutang-hutang lapuk pelanggannya. Dapat bersembang dengan Jelan tak terasa kakinya penat melangkah. Melah hendak ke rumah Gayah yang bersusun jumlah anaknya untuk mengutip hutang.

“Kereta tak jatuh sebab Jelan dah sambut dengan sebelah tangan. Lepas tu Jelan letak kereta kat tepi pelamin.” Balas Jelan dengan muka tak bersalah.” Mendengar itu Melah cuma sengih.

“Jelan... Jelan.” Melah geleng-geleng.Ada rasa kelakar dan dalam masa yang sama kasihan pula melihat Jelan yang setengah tiang itu.

“Apa?” Jelan kurang faham maksud gelengan Melah tapi peduli apa dia.

“Tak ada apa. Aku suka kau. Kau tak pernah susahkan aku, malahan kau selalu buat aku gembira.” Pujian Melah ikhlas. Itulah yang dirasainya setiap kali dapat bersama Jelan.

“Gembira sebab aku nak kahwin dengan kau?” soal Jelan yang kurang masih faham maksud Melah.

“Iyalah tu... lebih kuranglah.” Melah ketawa kecil.

Sedang mereka berjalan, nampak sebuah kereta dari arah bertentangan. Sah! Itu kereta Ejul. Cepat-cepat Melah menarik ke depan kain tudungnya. Ejul selalu menyapanya tapi dia sentiasa berjaga-jaga.

Ejul orang bujang dan dia janda, tak manis bila terlalu mesra. Melah tak mahu Ejul menjadi umpat keji orang sebab melayani mak janda macam dirinya.

“Assalamualaikum Cik Melah.” Salam diberi sebaik kereta berhenti di sebelah Melah dan Jelan. Itu bukan suara Ejul. Cepat Melah menoleh untuk memastikan.

Ekor mata Melah mengintai ke belakang kereta. Mana tahu Ejul duduk di belakang. Tak nampak pula guru muda itu di situ. Khairil yang memandu kereta Ejul tak sudah-sudah memandang Jelan yang berdiri di sebelah Melah. Jelan sengih dan Khairil juga menyengih.

Bila Khairil bermain mata, Jelan membalasnya.

“Cari Ejul ke Cik Melah?” tanya Khairil yang menyedari Melah seperti sedang mencari-cari.

“Eh, errr...tak adalah, cikgu.” Melah tersipu. Merah mukanya.

“Entah ke mana Ejul merayau. Saya tengok dia tak ada kat rumah, saya rembatlah kereta dia.”

“Saya ke pekan sekejap cari barang dapur. Nak masak dah tak ada apa yang boleh dimasak. Saya dah beli barang-barang ni, giliran Ejul pulak memasak nanti. Cukup rajin dia tu kalau bab masak-memasak. Sedap pulak tu.”

Tanpa diminta Khairil menceceh panjang lebar. Daripada gayanya, dia seakan sedang berkempen untuk Ejul saja. Khairil tahu Ejul gilakan Melah. Apa salahnya membantu kawan yang berangan-angan hendak menegakkan masjid.

Mendengar cakap-cakap Khairil, Jelan senyum-senyum tak sudah. Entah apa yang ada dalam kepalanya. Sesekali dia menjeling Melah pula.

“Oh... macam tu.” Cuma itu balasan daripada Melah.

‘Dia ni tak ada perasaan ke? Penat aku melobi, pendek tu je dia jawab.’ Sungut Khairil dalam hati.

“Jalan dulu ya.” Malahan Melah minta diri hendak pergi. Dia keluar rumah untuk bekerja mencari rezeki yang halal. Bukan untuk melayan semua lelaki dalam kampung itu.

“Si... sila, sila.” Khairil gugup sekejap. Diam-diam dia menghormati sikap Melah.

“Hei! Jelan! Kau tak nak balik dengan aku ke?”

Khairil mempelawa. Jelan merenung Khairil dengan muka yang tak menyenangkan. Cepat-cepat Khairil sedar, Jelan tak suka pada pertanyaannya.

“Bukan... maksud aku, kau tak nak tumpang ke? Mesti kau dah penat kan, Jelan. Aku kesian tengok kau sebab tu nak tolong hantar kau balik.” Jelas guru muda itu supaya Jelan faham.

“Aku nak kahwin dengan Melah, bukan nak balik!”

“Oh, ya jugak kan. Kalau macam tu aku jelah yang balik.”

Khairil geli hati melihat muka Jelan yang beria-ia. Terasa hendak diluku kepala Jelan senget. Bukan main lagi Jelan, mentang-mentang dapat berjalan dengan Melah sudah lupa dunia.

“Pergi! Pergi!”

“Yalah Jelan... aku pergilah ni. Kau jaga Cik Melah tu baik-baik, Jelan. Jangan sampai ada yang colek pipi Cik Melah tu.” Khairil memang suka menyakat. Jelan senget pun hendak disakat juga.

“Aku taulah nak buat apa, Ril. Kau tak payah ingatkan.”

“Apa kau kata?” soal Khairil sebaik mendengar jawapan Jelan. Sesudah itu dia senyum tak sudah. Percakapan Jelan senget macam orang yang normal pula. Tersusun dan tepat.

“Eh, silap! Aku nak kahwin dengan Melah.” Cepat-cepat Jelan membetulkan. Dia berharap Melah tak terdengar apa yang sudah diucapkan sebelum ini. Jelan garu-garu kepala bila melihat Melah sedang merenungnya.

‘Lain aje cara dia bercakap tadi.’ Sedangkan Melah juga dapat merasai perbezaan cara Jelan bercakap.

Melihat Melah memandang Jelan lama dengan muka yang kehairanan, Khairil segera menukar gear, menekan pedal minyak lalu pergi dari situ. Kereta Satria Neo kepunyaan Ejul meluncur laju.

“Apa kau cakap tadi Jelan?”

“Tak ada... aku nak kahwin dengan Melah.”

“Bukan yang itu, yang sebelumnya.” Melah betul-betul hendak tahu.

“Tak! Tak! Aku nak kahwin dengan Melah.”

Ulang Jelan tanpa memandang Melah. Selepas itu dia berjalan laju meninggalkan Melah.

Jelan tak suka disoal siasat. Mak Janda muda ditinggalkan dalam kebingungan. Rupa-rupanya berkawan dengan orang gila tak semudah yang Melah sangka. Melah melepaskan nafas berat sebaik melihat Jelan terus jauh.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.