Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
84,711
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 10
10

TINA mundar-mandir berfikir. Bagaimana caranya membuat Ayumi bersetuju dan akhirnya pergi dari rumah itu. Dalam masa yang sama dia dapat keuntungan. Tina masih belum menemui cara yang dimahukan. Dia duduk bersila atas lantai. Dagunya digaru beberapa kali. Pesan arwah ibunya supaya menjaga Ayumi sebaiknya bermain di fikiran.

Selama ini dia tidak membenci Ayumi tetapi kurang senang dengan kehadiran gadis itu secara tiba-tiba dalam keluarganya sahaja. Ayumi datang dalam kehidupan mereka sebagai anak yatim. Lebih menyedihkan ibunya mengakui Ayumi sebagai anak Tini hanya kerana wajah Ayumi dari tepi jika dipandang mirip Tini. Huh! Senang betul ibunya mengecam cucu yang datang entah dari mana itu sebagai darah daging sendiri. Tina mencebik.

“Kalau pun betul dia anak Kak Tini, kenapa mesti datang sini berebut hasil kilang tu dengan aku? Bapak budak tu tak ada sedara ke?” tanya Tina sendiri. “Ah! Susah persoalkan masalah orang yang dah mati. Sekarang ni soal orang hidup.” Tina menegakkan sebelah lututnya dan menyangkut dagu di situ. Rasanya dia tidak buat dosa pun kalau menyuruh Ayumi berkahwin. Cuma calonnya sahaja yang menjelikkan.

“Alah, Natasa tu kan anak gadis. Dah besar pun. Kalau tak kahwin sekarang, bila lagi?” Tina bangun dari duduk. Suka tak suka dia mesti bercakap dengan Ayumi dan buat gadis itu rela mengahwini Pak Hamid.

Tina melirik jam antik yang diperbuat daripada kayu itu. 10.00 malam. Dia mencebik. Mungkin Ayumi sudah tidur. Tapi tak salah kalau dikejutkan sekejap. Tina ukir senyum dengan sebelah kening terangkat. Muka jahat. Bilik Ayumi ditujui.

“Sa, Sa...” panggil Tina sambil mengetuk pintu bilik Ayumi.

Ayumi tidak menjawab.

Tina rasa geram. Diketuk lagi pintu itu dengan lebih kuat. “Sa...”

Daun pintu terbuka. Ayumi terjongol dengan mata sekejap pejam, sekejap celik. “Ada apa auntie?” tanyanya mamai. Apa lagilah yang Tina mahu mengganggu tidurnya. Esokkan dia nak kena bangun awal. Kalau lambat Tina marah.

“Ada hal aku nak cakap,” beritahu Tina pintu bilik ditolak lebih luas dan melangkah masuk.

Ayumi mengangguk dan kembali ke atas katil.

Tina menarik kerusi dari meja tulis dan duduk. Ayumi yang sudah bersandar di kepala katil dipandang. “Kau dengar baik-baik apa aku nak cakap ni,” tegas Tina.

Ayumi mengangguk. Lagi cepat Tina cakap, lagi baik. Dia nak sambung tidur. Sebahagian dari otaknya dah tidur, tak mungkin memproses apa yang bakal Tina sampaikan dengan baik nanti.

“Ada orang dah lamar kau,” beritahu Tina sambil melihat reaksi Ayumi.

‘Lamar?’ Lambat-lambat otak Ayumi mentafsir perkataan itu.

“Rasanya kau tak payah banyak fikir. Terima aje. Lagipun tak ada siapa nakkan kau kat pulau ni. Lelaki tu aje,” kata Tina.

Ayumi buka mata. Otaknya berjaya mentafsir perkataan itu.‘Lelaki tu, Hadi?’ Tekanya. Mereka kan masih perang dingin. Hadi, Hadi... kenapalah degil? Tina dipandang.

“Itu aje aku nak cakap.” Tina memandang Ayumi. “Pejam, celik, pejam, celik. Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?” marah Tina. Bukan senang dia nak kumpul keyakinan untuk cakap semua tu.

Ayumi diam. Kalau dengan Tina ni bukan boleh salah cakap. Panjang bebelnya nanti tak dapatlah dia menyambung tidur. Hadi pun satu, dah bekali dia cakap tak nak kahwin. Tak faham ke?

“Kau bisu ni kenapa? Kalau orang zaman mak aku dulu, bisu macam kau ni dikira setuju,” bentak Tina. Macam tengah bercakap dengan sotong salai pun ada.

Ayumi menguap.

“Hoi!” Komik dari atas meja tulis Tina campakkan kepada Ayumi.

Pantas Ayumi menepis. Dia tak mahu, Tina pula mungkin tak suka dengar jawapan tu. Macam mana? “Auntie...”

“Alah, kau tak payah fikir. Setuju aje. Aku nak bagi jawapan segera,” potong Tina. Dia pun tak mahu berlama-lama dalam bilik Ayumi. Mengantuk.

Ayumi telan liur. Hatinya tak rela untuk mengatakan ya. Betul ke jodohnya memang dengan Hadi? Kalau dia kata ya malam ni, mungkin esok dia masih sempat berbincang dengan Hadi. Ayumi pandang Tina. Demi menutup mulut Tina malam tu dia mengangguk setuju.

“Dah angguk tu kau setujulah, kan?” tanya Tina.

Ayumi angguk lagi.‘Esok siap kau Hadi! Kau memang nak aku pergi dari pulau ni,’ marah hatinya sambil membayangkan muka Hadi.

Tina masih tidak percaya. Semudah itu Ayumi setuju. Atau mungkin Ayumi pun dah tak tahan bekerja dan tinggal dengannya. Ayumi mula terfikir hendak pergi tapi bimbang dia kecil hati. Dan mungkin lamaran itu alasan untuk Ayumi pergi?‘Bagus, bagus.’ Tina ketawa dalam hati.‘Kalau dari awal kau pergi, mesti kau tak payah kahwin dengan si tua tu.’

“Esok aku nak bagi jawapan. Kau jangan nak kata tak jadi pulak. Jangan malukan aku,” pesan Tina.

Ayumi diam.

“Dah! Pergi tidur. Karangpagi terpekik-pekik aku panggil kau bangun.” Tina bangun dari duduk dan segera meninggalkan Ayumi.

Ayumi pandang pintu biliknya yang kembali tertutup rapat.

“Susah betul kau nak faham, kan Hadi,” rungutnya sebelum kembali tidur.

DARI tadi Ayumi hanya menyanyi sendiri. Mereka tengah perang dingin apa yang hendak dikatakan. Lagipun Ayumi rasa sakit hati memikirkan kata-kata Tina malam tadi. Hadi sengaja mahu memanjangkan masalah mereka dengan melamarnya pula. Habis menyanyi Ayumi bersiul.

Sekilas Hadi menoleh. “Hoi! Jangan bersiul boleh tak?” Tegurnya garang.

Ayumi buat tidak peduli.

“Hoi! Pekak ke? Perempuan tak elok bersiul,” tegur Hadi lagi.

Ayumi berhenti bersiul dan memandang Hadi.

“Tak ada undang-undang yang cakap perempuan tak boleh bersiul, lelaki aje yang boleh,” jawab Ayumi.

Hadi hembus nafas bengang. Ayumi ni sengaja mahu pagi mereka terus berbahang. “Ikut aje apa yang aku cakap tak boleh ke?”

“Kenapa aku kena ikut semua cakap kau? Kau siapa nak tentukan hidup aku?”

Dahi Hadi berkerut. Kata-kata Ayumi mengganggu tumpuannya. Dia tak boleh memandu dengan baik. Kenapa Ayumi naik angin?

“Sa, aku tak maksud macam tu. Hidup kau hak kau. Aku bukan sesiapa,” kata Hadi perlahan di hujung kata. Tahukah Ayumi hatinya luruh ketika itu.

Ayumi diam. Pandangan dibuang ke luar tingkap.

Hadi juga diam. Dia tak faham kenapa pagi itu Ayumi kelihatan lain. Kesalahan apa lagi yang sudah dilakukan? Ayumi menolak dirinya, dia cuba terima. Tapi dia perlukan sedikit masa untuk memujuk hati dan kembalikan persahabatan mereka seperti biasa.

“Hadi...” tanpa pandang Hadi, Ayumi bersuara.

Hadi sekadar mendengar.

“Betul ke kau serius nak kahwin dengan aku?” tanya Ayumi perlahan. Entah kenapa pertanyaan itu buat wajahnya menjadi lebih muram. Dia benci kalau Hadi kata, ya.

Pertanyaan Ayumi buat Hadi hilang kawalan.

“Woi! Apahal kau makan jalan ni?” tegur Ayumi cuak melihat van yang dipandu Hadi sedikit memasuki laluan bertentangan.

Hadi cepat-cepat memutar stereng dan memasuki laluan yang betul semula.

“Mahunya tak makan jalan kalau kau merepek bukan-bukan pagi-pagi buta macam ni!” Marah Hadi. “Aku dah tak nak cakap pasal semua tu, kau janganlah nak mulakan pulak,” cukup-cukuplah Ayumi buat dia rasa bodoh sebelum ni. Takkan nak tambah lagi.

Ayumi terasa hati dimarah begitu. Berubah benar sikap Hadi. Sudahlah membabitkan Tina dalam hal mereka. Sekarang tak mahu menyelesaikan masalah itu pula.

Sampai di dermaga Hadi turun dan menghempas kuat pintu van.

Ayumi sekadar memerhati. Ketika Hadi menurunkan troli dari belakang van dia memerhatikan dermaga yang sekadar diterangi lampu itu. Suka ke dia dengan tempat tu? Mahu ke dia berkeluarga di situ?

“Sa, cepatlah!” arah Hadi mula mahu menarik troli. Dia cuba untuk lupakan apa yang berlaku tadi.

Ayumi memandang Hadi. Tidak tahu kenapa kakinya tidak mahu turun hari itu.

“Kau pergilah dulu. Kejap lagi aku datang,” suruh Ayumi tiada hati mahu bersama-sama Hadi melangkah ke dermaga.

Hadi jatuh bahu dan kembali mendapatkan Ayumi. Pintu van dibuka. “Kau jangan nak mengada.” Lengan Ayumi ditarik. Dia tak sampai hati melihat muka tidak gembira Ayumi.

Kerana sudah ditarik Ayumi terpaksa menurut.

Hadi cuba tersenyum. Troli kembali didapatkan dan menolaknya mendekati Ayumi.

“Naik,” suruh Hadi berusaha menggembirakan Ayumi. Bukankah setiap pagi mereka begitu. Dia akan menyorong Ayumi hingga ke tempat Pak Hamid.

Ayumi memandang troli itu, kemudian Hadi. Dia tahu Hadi cuba memujuk. Tidak baik ke Hadi? Lelaki itu sering memanjakan dirinya. Salah ke kalau dia memberi Hadi peluang dan cuba membuka pintu hati agar mereka bahagia bersama? Ayumi cuba ukir senyum. Perlahan Ayumi naik ke atas troli itu.

Melihat Ayumi tidak lagi marah Hadi tersenyum senang.

Dari jauh Pak Hamid memerhatikan kemesraan dua orang anak muda itu. Dia mencebik.

“Macam budak-budak!” tegur Pak Hamid ketika Hadi dan Ayumi sampai berhampirannya.

Ayumi dan Hadi sedar kemesraan mereka canggung di mata orang tua seperti Pak Hamid. Kerja memunggah bakul berisi ikan ke atas troli terus sahaja mereka lakukan.

Pak Hamid cuba membantu. Sayang sekali pinggang tuanya tidak mampu menampung beban lalu tergeliat. Pak Hamid mengeluh menahan sakit.

Hadi dan Ayumi saling berpandangan sebelum memandang Pak Hamid semula.

“Itulah Pak Hamid. Saya kata, tak payah. Pak Hamid dah tua, duduk aje tengok. Kita orang boleh buat,” kata Hadi.

Tersentap hati Pak Hamid mendengar perkataan tua itu. Namun, dia berusaha juga menegakkan badan. Mulalah Pak Hamid mahu ke bandar berdekatan untuk mewarnakan rambut berubannya kepada warna hitam, biar nampak muda sikit. Kalau di bandar itu ada rawatan mencucuk kolagen dan vitamin C pun hendak di cuba, biar wajahnya setanding Hadi yang celupar mengatanya tua itu.

“Pak Hamid,” panggil Ayumi perlahan. Entah ke mana fikiran Pak Hamid melayang.

Pak Hamid memandang Ayumi.

“Kita orang dah habis,” beritahu Ayumi. “Pinggang Pak Hamid tu mungkin cedera teruk. Pergilah klinik.”

“Eh, tak apa. Sikit aje ni. Kuat lagi ni,” jawab Pak Hamid berlagak gagah. Tidak menyangka Ayumi mengambil berat tentang dirinya. Ketika cuba berdiri tegak Pak Hamid terseringai. Pinggangnya terasa sakit.

Ayumi menggeleng.

“Kami pergi dulu Pak Hamid,” kata Hadi dan terus menolak troli yang sudah penuh ke van.

Ayumi ikut Hadi dari belakang.

Previous: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.