6
Dengan muka manis Encik Ikan Masin duduk bersandar. Wajah Ayumi
diperhatikan. Banyak kali gadis itu bertanya, banyak kali juga dia diam. Pasti
sabar gadis itu kian menipis. Dia rasa emosi gadis itu akan semakin terganggu
dengan jumlah yang bakal disebut. “Kalau saya kata RM 200, macam mana?” tanya
Encik Ikan Masin serius. |
Ayumi kerut dahi. Mata Encik Ikan
Masin direnung.
“Biar betul? Nak membuli pun
agak-agaklah,” protesnya benci dipermainkan. ‘Elok tadi muka dia ni nampak handsome
dan menenangkan, sekarang dah macam hantu laut pula.’ Dia tidak puas hati
dengan jumlah itu. Jangan-jangan lelaki itu menuntut harga dobi untuk semua
pakaian yang telah di dobinya. Melampau!
“Saya tak buli awak. Memang itu harga
yang perlu awak bayar. Kenapa? Awak ada masalah nak bayar ke?” tanya Encik Ikan
Masin tenang.
“Awak ingat saya ni tak ada duit nak
bayar? Kalau iye pun nak suruh saya bayar biarlah nilai yang awak minta tu
masuk akal! Awak fikir saya ni bodoh sebab tinggal kat pulau yang terpencil.”
Muka tenang dengan senyuman manis masih Ayumi pamerkan, walau dalam hati terasa
mahu mencucuk muka Encik Ikan Masin dengan garfu. “Saya anggarkan upah mendobi
dan menggosok kot awak tu sampai licin, lebih kurang dalam RM 20.00 aje. Jadi
tak payahlah nak mengarut sangat,” tambah Ayumi.
Kata-kata Ayumi buat Encik Ikan Masin
tersenyum nipis. Ayumi memang berani. “Saya belum buat penjelasan, awak dah
buat andaian bukan-bukan tentang diri sendiri. Saya tak cakap pun awak tak
boleh bayar.”
Ayumi hembus nafas. Encik Ikan Masin
ni berbelit-belit.
“Awak tahu... air dari ikan yang
belum kering tu dah pun rosakkan warna kot saya. Mungkin bahan kimia yang
digunakan untuk memerap ikan tu terlalu banyak atau terlarang. Mungkin juga itu
bahan eksperimen kanak-kanak,” jelas Encik Ikan Masin. Siapa tahu mungkin dalam
bakul itu ikan yang telah dibuang dan menjadi permainan pondok-pondok
budak-budak di sana.
Ayumi terdiam. Alasan lelaki itu
masuk akal juga.
“Saya tak mintak awak ganti kot tu.
Tapi...” Encik Ikan Masin buat muka penuh muslihat. Kopi yang belum habis
diteguk.
Ayumi merenung lelaki itu. Entah apa
lagi permintaannya.
“Tak payahlah banyak sangat alasan.
Saya boleh bayar ganti rugi tu. 200 bukannya dua juta,” beritahu Ayumi. Jangan
harap nak membuli.
Encik Ikan Masin tergelak kecil.
Ayumi ni kelakar dan mencuit hati. Tapi dia tidak mahu begitu. “Kalau duit saya
pun ada. Tapi saya nak awak bayar ganti rugi dengan sesuatu yang lain.”
“Maksudnya? Jangan minta saya masuk
bilik awak dah lah. Saya bukan perempuan macam tu,” kata Ayumi mengingatkan.
Kalau sudah sejelas itu dia berkata-kata tapi Encik Ikan Masin masih juga
berniat salah memang nak kenalah tu.
Encik Ikan Masin merenung Ayumi
seketika. Hatinya semakin tercuit. Dia senyum sebelah bibir. Dalam berani
penakut juga gadis itu rupanya. “Jangan risau. Saya tak minta benda yang
bukan-bukan.”
“Okey, awak nak apa?”
“Teman.”
“Teman?” Ayumi buat muka pelik. Tadi
dia dah cakap dia bukan peneman sosial, kan. Tak faham ke?
Encik Ikan Masin mengangguk. “Sudi
tak awak temankan saya ambil angin di pulau ni sekejap?” Cawan di tangan
diletakkan atas piring semula.
Itu aje? Ayumi berfikir sejenak.
“Lepas tu semuanya selesai? Awak tak cipta helah yang lain?” Dia mahukan
kepastian. Manalah tahu cerita lain pula yang jadi. Biarpun dia jatuh suka
dengan Encik Ikan Masin, dia masih perlu berhati-hati kerana mereka tidak
saling kenal.
Encik Ikan Masin mengangguk. “Ya.
Kalau setuju jomlah kita pergi sekarang,” Tidak sabar rasanya hendak
menghilangkan kebosanan pada hari-hari terakhir dia di situ.
Ayumi pandang Encik Ikan Masin
seketika. Mencari kejujuran yang mungkin terpancar dari mata lelaki itu.
Teragak-agak juga dia mahu mengikut lelaki itu. Jadi manusia harus bijak
meletakkan diri di posisi yang betul. Selagi tidak melanggar hukum alam dan Tuhan, dia perlu memenuhi permintaan
lelaki itu.
AYUMI menemani Encik Ikan Masin ke
pasar malam yang ada dua kali seminggu di pulau kecil itu. Kebiasaannya ramai
penduduk atau pelancong ke situ. Suasana petang agak meriah walaupun aktiviti
jual beli baru sahaja bermula.
Hilang rasa terpaksa Ayumi tadi. Dia
jarang dapat bersiar-siar di pulau kecil itu biarpun hanya bersebelahan dengan
pulau tempat tinggalnya. Di pulau tempat tinggalnya tiada pasar malam seperti
itu, kebanyakan penduduk akan ke tanah besar untuk membeli keperluan. Mungkin
kerana pulau kecil itu ada banyak resort dan ramai pelancong maka penduduk di
sekitar mengambil peluang berniaga. Pelancong pula boleh menikmati pelbagai
jenis masakan tempatan dan membeli hasil kraf dengan lebih mudah.
Encik Ikan Masin memegang sebuah
topi. Pasar biasa seperti itu pun boleh menggembirakan hati gadis itu.
Nampaknya gadis itu seorang yang sederhana. Topi yang disukai, dibayar. Satu
untuk lelaki, dipakai ke kepala sendiri dan satu lagi untuk perempuan,
dipakaikan ke kepala Ayumi.
Ayumi agak tergamam dengan tindakan
Encik Ikan Masin.‘Kenapa?’ tanya
hatinya. Ah, Encik Ikan Masin... janganlah nak mencuri hati pula.
Perasan dengan reaksi muka Ayumi yang
salah faham Encik Ikan Masin bersuara. “Tak ada niat tersembunyi. Awak pakai
topi tu untuk elak apa-apa yang terbang menimpa kepala.” Sebenarnya topi itu
cantik dan dia menyukainya. Kebetulan hanya Ayumi bersamanya, tak salah
dihadiahkan sahaja sebagai balasan menemaninya bersiar-siar.
Ayumi tersenyum malu. Agaknya kalau
kapal terbang yang jatuh dari langit dan menimpa ke atas topi tu boleh ke
mereka terselamat? Dia mencuri pandang Encik Ikan Masin lagi dan tersenyum
ketika pandangan mereka bertaut.
Manis. Rasa cukup serasi pula
bertemankan gadis itu. Encik Ikan Masin mengalihkan pandangan. Boleh cair
hatinya melihat bibir kecil gadis itu dari tadi asyik mengukir senyuman.
Setelah membeli kudapan yang
diinginkan mereka berjalan menuju ke jambatan tempat orang memancing. Di atas
jambatan panjang itu masih ramai pengunjung yang menjamu mata dengan melihat
anak-anak ikan berwarna-warni berenang di bawah jambatan. Mereka mengambil
tempat yang agak jauh ke tengah.
“Banyak anak ikan kat sini, bang?”
tanya Encik Ikan Masin sekadar beramah mesra dengan seorang pengunjung yang
membawa anak kecil. Jika di Kuala Lumpur semua itu perlukan bayaran. Ikan yang
luar biasa pula hanya boleh dilihat di dalam tangki gergasi Aquaria KLCC.
“Ha’ah, budak-budak suka,” balas
pengunjung itu.
Encik Ikan Masin membalas kata-kata
pengunjung itu dengan senyuman sebelum mengambil keropok losong yang Ayumi
hulurkan. Dia bersandar ke bahagian pengadang jambatan.
“Sebelum ni saya kerap juga ke sana
tu, tapi tak pernah jumpa awak,” kata Encik Ikan Masin sambil memandang pulau
tempat tinggal Ayumi yang boleh dilihat dari jambatan itu. Setiap kali ke sana
dia suka juga memerhatikan wajah-wajah orang di situ.
“Mungkin awak tak perasan. Lagipun
kat pulau tu ramai orang,” balas Ayumi. Manalah mereka boleh berjumpa kalau
tugasnya awal pagi ke dermaga dan selepas itu pulang ke rumah untuk tidur.
“Mungkinlah.” Setuju Encik Ikan
Masin. Untuk seketika matanya terpukau lagi menatap wajah Ayumi.
“Awak ni macam Sizuka.” Entah kenapa
wajah watak kartun dalam siri Doraemon itu menerpa ingatannya.
Ayumi menyentuh pipinya. Dia macam
Sizuka? Tak cantiklah tu.
“Awak pun handsome. Mesti dah
ada girlfriend?” balas Ayumi semakin selesa berbual.
Encik Ikan Masin senyum tak sudah.
Amboi! Ke situ pula yang ditanyakan gadis itu. Sensitif pula hendak dijawab.
“Saya belum ada boyfriend?”
beritahu Ayumi. “Kalau awak dengan saya, nampak macam sepadan,” usik Ayumi
pula.‘Agaknya
mereka ada peluang menjalin hubungan lebih jauh tak?’ Hatinya berangan sendiri.
Encik Ikan Masin angkat kening.
Terkedu diusik begitu. Biar betul? Ini dah kes getah paip cari kepala pili. Ah,
sudah! Encik Ikan Masin rasa lain macam.‘Gempa bumi ke?’ tanya
hatinya. Rileks. Rileks... kau kena berdiri di paksi yang betul. Gadis ni
mengarut aje. Ayumi dipandang dengan lidah terkelu.
“Hmm... rasa meremang bulu roma.
Petang-petang ni sejuk pula angin bertiup. Jomlah balik. Saya teman awak sampai
jeti.” Encik Ikan Masin melangkah lebih dahulu ke hadapan. Berlama-lama dengan
gadis itu bererti bahaya.
Ayumi mengikut dari belakang. “Awak
ni pelik. Kenapa tergesa-gesa? Kita baliklah kejap lagi. Banyak lagi masa ni,”
kata Ayumi. Setelah dia membiarkan Hadi menunggu di sana boleh pula Encik Ikan
Masin menarik diri dari terus menjadi pelancong yang dipandu.
“Tak ada apa. Saya kesian awak
mungkin penat kalau saya ajak pusing satu pulau ni,” dalih Encik Ikan Masin.
“Taklah. Mana ada. Saya seronok dapat
temankan awak,” beritahu Ayumi lurus.
Encik Ikan Masin berhenti melangkah.
Ayumi dipandang. Dia tiada alasan lagi. Macam mana? Tapi kenapa dia nak larikan
diri? Gadis tu kan mengarut aje. Sama macam dia yang suka mengusik juga.
“Kalau awak tak nak saya teman awak
lagi. Kita tukar tempatlah,” cadang Ayumi.
“Tukar tempat?” Encik Ikan Masin buat
muka pelik.
Ayumi mengangguk. “Awak pula teman
saya tengok pulau ni,” pinta Ayumi dengan senyuman.
“Boleh pula macam tu?” Sekarang ni
siapa yang teman siapa? Encik Ikan Masin terkeliru.
Ayumi mengangguk lagi. “Kenapa tak
boleh? Jomlah kita pergi main layang-layang,” ajak Ayumi. Hujung lengan baju
Encik Ikan Masin ditarik mengikutinya.
“Eh...” Encik Ikan Masin tidak selesa
tapi terpaksa juga mengikut.
Puas bermain layang-layang Encik Ikan
Masin mengajak Ayumi ke masjid pula. Leka bermain waktu asar kian berlalu. Dia
rasa hidup tidak lengkap andai meninggalkan satu dari lima waktu wajib itu
dengan sengaja. Setelah TUHAN memberi nikmat hidup secara percuma, takkan dia
tidak tahu cara hendak berterima kasih pula.
“Kenapa awak nak sangat ke sini?
Gerai jual ikan bakar berhampiran jeti kan lagi menarik. Ada karaoke,” tanya
Ayumi. Masjid di hadapan mereka di pandang.
“Nak solatlah.” Pertanyaan Ayumi buat
Encik Ikan Masin kurang selesa. Merekakan berbeza. Perempuan ada hari cuti,
lelaki tidak. Janganlah seret dia sekali dalam cuti yang sedang Ayumi lalui
itu.
“Solat?” Ayumi kerut dahi.
Encik Ikan Masin garu kepala. Takkan
solat pun tak tahu? Ni bukan kes cuti, ni kes lain.
“Sembahyang?” tanya Ayumi mahukan
kepastian. Dia tahu orang Islam ke masjid untuk bersembahyang.
Encik Ikan Masin menjeling ke atas.
Laa... keliru perkataan rupanya gadis ni.
“Kalau sebut solat kan lebih manis,”
balas Encik Ikan Masin.
Ayumi masih dengan muka tidak faham.
Dia tidak pernah singgah ke situ. Kalau lalu selalu.
“Perkataan sembahyang tu digunakan
sebelum zaman kedatangan Islam oleh orang-orang yang memberi persembahan kepada
Tuhan yang bernama Yang. Jadilah sembahyang. Tapi bila Islam bertapak, kita
diajar untuk bersolat, bukan sembahyang. Faham?” jelas Encik Ikan Masin sekadar
berkongsi apa yang dijelaskan ustaz di sekolah agamanya dulu. “Awak tak nak
solat?”
Ayumi menggeleng.
“Tak apalah, saya faham. Saya pergi
dulu. Awak tunggu aje kat sini.” Sudah Encik Ikan Masin jangkakan Ayumi
bercuti. Jadi untuk seketika Ayumi ditinggalkan berhampiran kerusi batu di
hadapan masjid itu.
Ayumi memandang Encik Ikan Masin
hingga menghilang. Dia Islam, Encik Ikan Masin juga Islam walaupun bangsa
mereka berbeza. Tetapi kenapa hala tuju hidupnya tak sama? Dia tidak pernah
solat. Dia juga tidak pernah melihat Tina dan Zaki bersolat.
Menjelang senja Encik Ikan Masin
menemani Ayumi ke jeti. Dalam diam dia seronok ditemani atau menemani Ayumi.
“Arigato,” ucap Ayumi sebaik turun dari van yang mereka naik.
“Minggu depan kalau awak free, boleh kita keluar lagi,” tawar Ayumi.
‘Dah serik!’ jerit hati Encik Ikan
Masin.‘Tak
mahu! Tak mahu! Bahaya kalau terpikat dengan Sizuka tu nanti,’ laung
hatinya lagi. “Esok saya dah nak balik KL.”
“Ooo...” Ayumi buat muka hampa.
Hatinya yang tertarik kepada Encik Ikan Masin berlagu kecewa. Ketika bot yang
dinaiki mula bergerak Ayumi melambai Encik Ikan Masin. ‘Semoga jumpa lagi,’
bisik hatinya.