3
RAJUK Ayumi memang tidak lama. Selesai
tugasnya bersama Hadi di kilang mereka bersiar-siar di dermaga pula. Jam hampir
3.00 petang. Biar pun cuaca masih panas mereka tidak kisah. Berkejaran sambil
bergurau senda di atas batas ban tempat nelayan pulau itu menjemur hasil
tangkapan sudah menjadi kebiasaan mereka setiap hari. Sambil menikmati hembusan
bayu laut fikiran mereka terasa bebas dan tenang. Penenang dari alam semula
jadi memang selalu menyenangkan. |
Ayumi berhenti berlari. Kadangkala
seronok juga menjadi budak-budak. Taklah terasa dunia orang dewasa terlalu
tegas dan tegang. Orang dewasa selalu tertekan kerana hilang sifat keanak-anakan
dalam diri. Sifat itu sebenarnya unik dan tak patut semuanya dibiarkan pergi
dari diri. Paling tidak biarlah 10% masih tersimpan sebagai terapi diri.
“Hadi, dahlah. Aku dah tak larat nak
lari,” beritahu Ayumi lalu duduk atas permukaan batas ban yang diperbuat
daripada simen.
Hadi yang mengejar turut berhenti.
Dia tercungap-cungap kepenatan. Tubuhnya dibongkokkan sedikit. Berusaha
menenangkan pernafasan semula. Seketika kemudian Ayumi dipandang. Sekejap
sahaja gadis itu sudah memulakan seisi berbicara dengan ombak melalui hati ke
permukaan laut. Kenapa tak dibicarakan saja segala yang tersimpan dalam hati tu
kepadanya? Ombak yang bisu bukannya boleh dijadikan teman mencurah rasa.
Memendam rasa bolehlah.
“Sa...” panggil Hadi perlahan.
Ayumi menoleh.
“Ada apa-apa yang kau nak kongsi
dengan aku?” tanya Hadi perlahan. Manalah tahu pintu hati Ayumi terbuka meluah
rasa dengannya. Merekakan kawan baik, jadi wajarlah seorang kawan juga menjadi
pendengar yang setia.
Ayumi tersenyum lemah. Hidupnya
kebelakangan ini mana ada yang menarik. Hadi pula janganlah bersikap bagaikan
pelindung. Sebabnya dia memang tidak sedia mahu berkongsi apa-apa dengan siapa
pun. Kini dia mahu berhati-hati. Cukuplah sekali diperbodohkan dulu.
“Tak ada apalah,” jawab Ayumi. “Aku
suka pejam mata sambil dengar bunyi ombak menghempas pantai,” dalihnya. Lagipun
setakat di situ masalahnya hanya tidak mempunyai hubungan baik dengan Tina
sahaja. Takkan itu pun Hadi mahu tahu. Masalah keluarga adalah hal peribadi
yang tidak perlu dihebahkan kepada siapa-siapa. Biarlah perlahan-lahan dia dan
Tina selesaikan bersama.
Hadi mengeluh. Susah sangat hendak
mengorek cerita. Manakan tidak Ayumi dikatakan gadis alien. Penuh rahsia dan
misteri, sama macam planet-planet lain diruang angkasa yang gelap sana. Ada
tapi sukar dilihat. Ayumi ni pun ada tapi tak tahu apa cerita asal-usul gadis
itu. Makin dia teringin hendak tahu, semakin Ayumi mencipta helah. Mungkin
kalau mereka jadi pasangan kekasih baru Ayumi tidak banyak berahsia.
“Dah lama kita kenal. Tapi aku rasa
kau macam masih tak percayakan aku,” keluh Hadi sedikit berkecil hati.
Keikhlasannya selalu Ayumi ragui. Kalau begini mungkinkah hubungan mereka mampu
pergi lebih jauh? Seorang kawan baik akan menjadi lebih baik jika saling
mempercayai. Sayangnya dia tidak mendapat kepercayaan. Atau sebenarnya gadis
bandar itu rasa anak pulau sepertinya tidak bijak berfikir untuk menyelesaikan
masalah orang lain? Hadi bertambah kecil hati.
“Bukan macam tu.” Ayumi jadi serba
salah. “Aku memang tak ada masalah,” katanya mahu Hadi percaya dan yakin
sikapnya memang begitu.
“Okey, kalau kau tak ada masalah.
Ceritalah tentang kehidupan kau sebelum ni. Dah lama aku teringin nak tahu
cerita kau masa tinggal kat KL dulu,” pinta Hadi cuba kembali ceria. Terlalu
memaksa nanti Ayumi kata dia penyibuk pula. Tapi dia benar-benar mahu
mengetahui banyak tentang Ayumi. Kebelakangan ini perasaannya terasa lain.
Hatinya seakan cuba menyapa hati Ayumi. Namun dia lelaki, ada keegoan yang
tinggi untuk mengakui perasaan seperti itu dan lebih takut lagi andai ditolak
dan dibenci.
Apalah yang menarik mengenai
kehidupannya? Percayakah Hadi jika diberitahu yang dirinya adalah seorang
puteri malang dari kisah Snow White. Bezanya dia tidak dihukum bunuh oleh ibu
tiri yang kejam, tapi diusir pergi oleh saudara yang iri hati. Ayumi menopang
muka dengan kedua-dua tapak tangan. Matanya kembali melihat laut. Alunan air
laut yang kebiruan ditiup angin sebelum bertukar menjadi ombak yang menghempas
ke tepi batas ban diikut dengan gerak mata.
Hadi memerhatikan Ayumi. Dia yakin
Ayumi seorang yang berpendidikan tinggi tapi sengaja menyembunyikan kelebihan
diri di situ. Bukan ke seronok kalau dia tahu kenapa Ayumi rela bersembunyi di
situ. Hidup susah dan dikawal Tina. Kenapa Ayumi tidak memilih tempat kerja
yang berhawa dingin dan duduk selesa di atas kerusi empuk beroda? Gadis ini
memang misteri.
“Sa...” panggil Hadi bila Ayumi masih
bisu.
Ayumi garu dahi. Cerita hidup di KL?
Mana dia tahu apa ada di sana. Kalau Tokyo dia tahulah. Hadi dipandang.‘Jangan
nak perangkap aku dengan bertanya pelik-pelik macam tulah.’
“Kau ni macam tak ada kerja lain.
Elok fikiran tu lapang dan tenang boleh pula disemakkan dengan memikirkan aku.
Tak ada apa aku nak ceritalah. Yang lepas, biar lepas. Hidup jadi tak indah kalau
asyik mengungkit,” tolak Ayumi.
Ayumi selalu sangat buat Hadi kecewa
dengan jawapan macam tu.
“Ala, apalah salahnya kalau aku nak
kongsi cerita sedih kau tu.” Hadi tidak mahu mengalah. Manalah tahu dengan
berkata begitu akan buat Ayumi sedar selama ini dia memang ambil berat dengan
apa sahaja yang terjadi pada Ayumi.
“Aku nampak muka tak gembira kau tu.
Banyak kali aku dengar kau mengeluh. Itu maknanya masa lalu kau ada masalah
tapi kau tak ada tempat nak meluah. Ceritalah. Jangan simpan dalam hati lama-lama.
Nanti kau kena kanser,” pujuk Hadi belum putus asa. Dia bukan mahu menjaja
cerita Ayumi, dia mahu mengurangkan beban di hati Ayumi sahaja. Tidak salah
rasanya.
Kening Ayumi bercantum.‘Eee...
Hadi ni, biar benar? Takkanlah sampai boleh kena kanser.’
Ayumi sedikit mengeluh.
“Kau ni macam penyiasat. Apalah pasal
aku yang kau nak tahu sangat tu, kan? Hidup aku ni mana ada benda menarik,”
balas Ayumi sambil menoleh Hadi yang baru sahaja duduk di sebelahnya. Dia sedar
mereka kawan baik tapi tidak mungkin segala hal berkaitan dirinya boleh
dikongsi seenak rasa. Lagipun mereka berlainan jantina, itu bermakna sesetengah
hal harus dikunci rapi di dalam pengetahuan sendiri.
Hadi buat muka tak puas hati. Dia
selalu rasa hampa bila Ayumi mengelak memberikan jawapan yang diinginkan.‘Kalau
terus bercerita tak boleh ke?’
rungut hatinya.
“Sa, siapa tahu... mungkin aku dah
mula jatuh cinta pada kau,” beritahu Hadi dengan bahu yang dinaikkan sedikit.
Dia cuba menduga hati Ayumi pula.
Ayumi mencebik dan buat muka tidak
berperasaan. Pandangannya beralih ke laut. Dia tidak suka antara mereka ada
perasaan lebih daripada seorang kawan.
“Hadi... kalau kau suka aku. Suka
yang macam mana?” tanya Ayumi mula terasa hambar dengan hubungan persahabatan
itu. Janganlah warna ceria bertukar hitam hanya kerana kebodohan hati Hadi
jatuh cinta kepadanya. Hadi tidak mampu membuat hatinya tertawan. Hatinya masih
terasa dengan apa yang terjadi dulu. Kalaulah Hadi berjaya membuat hatinya
melupakan Hiroshi, pasti dia sudah menerima Hadi. Kebaikan Hadi tidak mampu
memukau dirinya. Mungkin kah? wujud seorang lelaki yang sekali sahaja dipandang
akan membuat dia lupa tentang semua kesedihan dirinya? Yang boleh buat dia rasa
bahagia bersama lelaki itu?
Hadi terdiam. Nak jawab apa? Kenapa
Ayumi buat dia rasa kurang selesa dengan bertanya begitu? Memanglah dia suka
Ayumi dan hampir sampai ke tahap cinta pun. Tapi Ayumi ni maksudkan suka yang
bagaimana? Suka kerana selesa bersama atau suka hendak hidup bersama?
Ai, Hadi terkeliru pula. Mungkin suka
di antara mereka kini berada di fasa yang ketiga. Kawan baik.
“Suka yang tak ada alasan,” jawab
Hadi yakin suka yang dimaksudkan Ayumi berada di tengah-tengah, selesa bersama
dan akan menuju ke jalan selesa mahu hidup bersama. Dia berharap sangat
hubungan mereka ke fasa yang kedua. Jatuh cinta. “Tapi aku suka sifat biasa dan
sederhana pada diri kau tu,” jawab Hadi.
Ayumi ketawa kecil. Hadi memberi
jawapan sekadar tidak mahu mengecewakannya saja. “Okey. Tapi macam mana kalau
aku ni perempuan luar biasa yang datang dari Zuhal, kau suka juga ke?”
‘Ayumi
ni suka main-main,’
bisik hati Hadi. Dia pun tak keberatan mahu melayan. Ikutkan saja asal Ayumi
gembira.
“Wow! Suka gila. Orang lain tak dapat
kawan dengan orang planet. Aku aje. Masa tu aku buatlah bilik pameran, kutip
duit tiket siapa yang nak tengok kau.” Selain Bumi mana ada planet lain yang
dihuni manusia. Ayumi ni mengarut.
Eee... kejamnya niat Hadi tu. Tidak
pasal Ayumi bangun dari duduk. Dia rasa Hadi dan Hiroshi tiada bezanya. Mungkin
satu hari nanti sekali lagi dia akan dipermainkan oleh lelaki seperti itu.
“Eh, kenapa ni?” tanya Hadi. Pelik
tiba-tiba Ayumi merajuk. Dia bangun mengikuti langkah Ayumi dari belakang.
Menonong Ayumi meninggalkan Hadi.
Agaknya semua orang yang ditemui memang gila duit. Hubungan persahabatan yang
dibina atas dasar kepercayaan pun sanggup dijual beli. Teruk!
“Alamak! Sa, kenapa ni?” tanya Hadi
setelah berjaya mencapai bahu Ayumi.
Ayumi mengerakkan bahunya. Tidak mahu
disentuh Hadi. Dia masih berjalan perlahan.
“Aku rasa sedih kalau kau betul-betul
buat macam tu. Tak kesian sikit pun kat aku yang tercampak sendiri ke bumi
tanpa keluarga dan siapa-siapa yang aku kenal.” Ayumi buat dialog sedih. Walau
hatinya terkilan dengan kata-kata Hadi tadi tapi dia tak mahu bermasalah dengan
Hadi.
“Sa, takkanlah aku nak buat kau macam tu.”
Hadi rasa Ayumi merajuk dengan jawapannya tadi. “Kalau kau makhluk asing dan
kawan aku, mestilah aku nak lindungi kau daripada dicederakan atau diapa-apakan
oleh orang lain. Aku akan pertaruhkan nyawa aku untuk selamatkan kau,” tambah
Hadi bersungguh.
Ayumi berhenti berjalan. Hadi
dipandang dengan muka menahan senyum. “Itulah kawan,” katanya nakal.
“Itu aje?” Hadi tidak percaya.
Ayumi mengangguk kecil. “Kau nak
dengar cerita tentang aku, kan?”
Hadi pula mengangguk. Memang dia nak
tahu sangat.
“Okey. Kau nampak tiang lampu yang
jauh tu?” Ayumi menunding lampu yang sayup kelihatan dari situ. Sekarang Ayumi
memang pandai mencari alasan untuk mengelak. Sudah tahu Hadi takkan
mendahuluinya sampai ke sana, sengaja dia mengumpan juga.
“Nampak,” jawab Hadi lurus.
Kadang-kadang apa yang dirancang hati Ayumi gagal diteka. Maka, itu dia
terkena.
“Kalau kau sampai sana dulu, aku cerita
semua yang kau nak tahu,” beritahu Ayumi dengan muka nakal.
Hadi besarkan mata. Dengan perut
boroi ke depan tu boleh ke dia memenangi pertandingan lumba lari tu?‘Tak guna
punya kawan! Berani kau mainkan aku. Memang nak kena buang dalam laut.’
Kedua-dua tangannya diangkat mahu mencekik manja leher Ayumi.
Ayumi cepat-cepat lari. Perangai Hadi
yang satu itu sudah dihafal dan mudah diduga.
Hadi mengejar. Ternyata Ayumi memang
juara pecut. Tidak cukup kaki mahu mengejar gadis itu. Buat letih dirinya saja
mengejar. Ayumi sudah jelas tidak sudi bekongsi apa-apa cerita dengannya. Hadi
berjalan kaki pula. Lambat pun menemui Ayumi di garisan penamat dia tidak
kisah. Biar Ayumi menunggu lama di situ. Siapa suruh menjadi pembuli.