Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
84,706
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 9
9

AYUMI ingat setelah minta maaf Hadi akan okey. Tapi dia silap. Hadimasih juga mahu mendera perasaannya. Sengaja buat dia serba salah dengan kebisuan yang ditunjukkan. Kata dah minta maaf. Kenapa tiada sepatah perkataan pun yang didengar dari mulut Hadi? Ucapan selamat pagi yang diberi tadi pun Hadi biarkan sepi. Di dermaga tadi pula Hadi buat tidak peduli dengan dirinya. Dia rindu gurau senda mereka sebelum ini. Kalau lebih lama berterusan begitu pasti hubungan persahabatan mereka semakin keruh.

“Kau nak mogok sampai bila?” suara Ayumi. Renungan tidak puas hati dilemparkan.

Hadi buat tidak dengar. Tumpuan penuh diberikan kepada stereng van yang sedang dikawal. Tapi mukanya kelihatan sedikit berubah dengan pertanyaan itu. Kenapa dia sakit hati ditanya begitu?

“Mungkin kau dah tak suka aku ada kat sini. Kau nak aku pergi,” keluh Ayumi. Masakan dia tidak rasa dibenci kalau Hadi terus menyisihkan dirinya. Kalau dah benci cakaplah, dia sedia untuk menjauhi hidup lelaki itu.

Kata-kata Ayumi buat Hadi semakin sakit hati. Kelajuan van itu ditambah. Biar Ayumi sedar yang hatinya sedang sakit. Kenapa Ayumi hendak mengugut meninggalkan dirinya? Bukan itu yang dia mahu. Dia mahu Ayumi faham apa yang ada dalam hatinya.

Ayumi menoleh Hadi. Tindakan Hadi buat dia terkejut.

“Hadi! Kelmarin kau hampir-hampir buat aku melekat kat cermin. Hari ni kau nak aku terpelanting keluar merempuh cermin pulak ke?” marah Ayumi. Kecut perutnya ketika Hadi bersahaja membelok di selekoh jalan berhampiran lereng bukit itu. Kalau jatuh ke gaung bagaimana? Kalau Hadi bersedia untuk mati tidak pula untuk dirinya. Dia masih ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Rumah keluarganya mesti didapatkan kembali daripada Hiroshi. Bagaimana? Ayumi masih memikirkannya.

Hadi memperlahankan van dan berhenti di tepi jalan. Ayumi yang memandangnya dipandang.

“Sa, kahwin dengan aku? Aku suka kau,” pinta Hadi tidak mahu kehilangan Ayumi. Lagipun kata-kata ibunya benar. Kalau dia hanya memendam perasaan sampai bila Ayumi faham apa yang ada dalam hatinya.

Bulat mata Ayumi memandang Hadi. Dia hembus nafas dan memandang sekeliling mereka. Sekejap matanya melihat bakul-bakul berisi ikan yang ‘cantik’ tersusun di belakang van, sekejap dia memandang dirinya yang berpakaian selayak kelindan van. Sekarang dia kembali memandang Hadi yang bert-shirt lusuh dan tuala kecil melingkari leher pemuda itu. Ayumi tersengih dan menggeleng kecil.

Melihat gelengan Ayumi, Hadi kerut dahi. Ayumi menolak?

‘Gila apa ajak anak dara orang kahwin dalam situasi macam ni?’ protes hati Ayumi. Dia tidak percaya sependek itu pemikiran Hadi. “Dahlah. Jangan nak main-main.”

Hadi menghembus nafas. Mata Ayumi masih dipandang. “Aku serius,” beritahunya. Itulah yang dia tidak suka. Ketika hatinya benar-benar bersedia meluahkan perasaan, Ayumi buat tak faham. Sia-sia dia merajuk, Ayumi tetap sahaja tidak sudi.

“Apa hal kau ni? Tak pasal ajak aku kahwin. Ish! Aku tak boleh fikirlah semua tu,” bentak Ayumi rasa mahu lari meninggalkan Hadi di situ.

“Kenapa? Sebab aku tak handsomemacam lelaki yang kau jumpa tu? Aku tak kaya? Tak pakai kot?” pertikai Hadi berani. Memang dia rasa kerdil jika dibandingkan dengan Encik Ikan Masin.

Cara Hadi buat Ayumi baran. “Aku tak nak kahwin bukan sebab kau tak handsome! Tak kaya! Tapi...” kata-kata Ayumi mati di situ. Aduhai... dia tak mampu memberitahu hal sebenar. Biarlah rahsia.

Hadi menunggu Ayumi menyambung kata-kata itu.

Ayumi tarik nafas. “Dahlah. Jom hantar ikan tu. Karang mesin tak beroperasi, mulut auntie aku pulak yang macam mesingan,” pujuknya mahu Hadi sedar dengan tugas mereka yang belum selesai. Lagipun perkahwinan bukan gurauan, apa lagi berkahwin dengan orang yang tidak dicintai. Hadi bukan tak layak. Cuma untuk berkongsi kehidupan dalam sebuah perkahwinan dia rasa Hadi bukan orangnya.

“Apa yang kau nak cakap tadi? Selagi kau tak jawab, kita takkan ke mana-mana,” desak Hadi separuh mengugut. Dia benci Ayumi bercakap tergantung begitu.

Ayumi benar-benar sesak nafas. Selepas ini dapatkah persahabatan mereka diselamatkan?

“Hadi, aku tahu kau baik. Aku suka kawan dengan kau. Kau pun handsome.Tapi kahwin memang tak ada dalam fikiran aku sekarang,” tegas Ayumi dengan suara yang sudah direndahkan. Dia harap Hadi faham.

“Tak! Bukan tu sebabnya.” Hadi merenung Ayumi. “Kau tolak aku sebab kau jatuh cinta dengan lelaki tu. Kalau dia tak datang kat pulau ni dan terserempak dengan kau, kau mesti tak tolak aku.” Dia boleh rasa alasan yang Ayumi beri tak jujur.

“Hadi, kalau tu yang kau nak dengar. Baiklah, aku mengaku. Aku memang sukakan lelaki tu tapi tak bererti aku cinta dia.” Kalau pengakuan itu boleh buat Hadi puas hati Ayumi sanggup katakan. Masalahnya dia tahu Hadi akan makin terluka. Huh!

Hadi mengalih pandangan ke luar van. Pahit hatinya. “Aku tak nak kehilangan kau, Sa.” Suaranya semakin perlahan. Pokok-pokok yang tumbuh segar di lereng bukit dipandang.

“Keluarga aku ada kat pulau ni aje. Aku takkan ke mana-mana pun.” Ayumi cuba mengembalikan Hadi ke dunia persahabatan mereka yang langsung tiada berkaitan dengan mainan perasaan bernama cinta. Dia juga tidak mahu kehilangan Hadi tapi sebagai kawan. Hanya kawan!

“Kau janganlah fikir bukan-bukan. Tak pasal cemburukan aku dengan Encik Ikan Masin tu. Aku kenal dia setakat sekali tu aje. Nama pun aku tak tahu. Yang aku tahu dia dah balik KL. Nombor telefon dia pun aku tak ada,” beritahu Ayumi. Hadi tak perlu fikirkan lelaki yang dia suka tu lagi. Hubungan mereka setakat sehari itu sahaja.

Hadi hembus nafas. Dia tidak mahu memaksa lagi. Perjalanan ke kilang diteruskan. Kalau benar Ayumi dan lelaki itu tidak mungkin berhubung lagi dia rasa lega.

ZIP beg tangan dibuka. Sampul surat berwarna putih dikeluarkan. Rutin mingguan yang wajib Tina penuhi. Jika tidak berbuat demikian bekalan ikan tidak akan sampai kekilangnya. Pak Hamid dipandang.

“Ini bayaran untuk minggu ni. Pak Hamid kiralah,” sampul surat berisi wang Tina letakkan atas meja.

Pak Hamid mengambilnya. “Cukup ke?” Isi sampul surat itu dilihat. Seperti lazimnya berhelai-helai not RM50 diterima. Hasil membekalkan ikan kepada kilangmakanan laut Tina.

“Cukup. Takkanlah saya nak menipu,” balas Tina.

Pak Hamid menutup sampul itu semula, dilipat dua dan dimasukkan dalam poket bajunya. Cermin mata yang sengaja dibiarkan melorot atas batang hidung dibetulkan. Tak payah kira. Kalau pun sesekali Tina ada terkurang RM50 dia halalkan.

“Pak Hamid, saya ingat nak tambah ikan lagi sikit. Permintaan keropok semakin banyak. Boleh tak Pak Hamid sediakan?” tanya Tina sambil mengibas selendang yang melilit lehernya ke badan. Panas. Kipas di pejabat Pak Hamid tidak mahu berpusing. Barangkali telah rosak kerana terlalu buruk.

“Alhamdulillah. Maju perniagaan kau untung juga aku. Tentang bekalan tu tak jadi masalah. Bila-bila pun aku boleh dapatkan. Yang penting...” Pak Hamid mengerakkan ibu jari dan jari telunjuknya yang bercantum. “Duit,” tambahnya kemudian. Pak Hamid peraih yang adil dan baik hati, berebut-rebut nelayan mahu menjualkan hasil tangkapan kepadanya. Bertahun-tahun bersaing dengan peraih yang lain dia masih juga menjadi pilihan utama penduduk di situ.

Tina tersenyum. Masalah duit tu hal kecil. “Kalau macam tu, nanti... bolehlah Pak Hamid bagi diskaun lebih sikit. Sebab untung saya, untung juga Pak Hamid.” Tina cuba tawar-menawar lagi. Adat orang berniaga kalau boleh tidak mahu rugi, hendak terus untung sahaja.

Pak Hamid tersengih. “Kalau kena dengan syaratnya. Separuh harga aku bagi kau Tina.” Ada sesuatu menjelma di fikiran lelaki tua itu.

“Ai, sejak bila pula kita kena tandatangan memorandum ni Pak Hamid? Bersyarat bagai,” seloroh Tina. Bertahun-tahun mereka berurus niaga. Semenjak dari zaman ibunya hidup lagi, selain dari menerima invois pembayaran dari Pak Hamid tidak pernah pula mereka menandatangani apa-apa surat perjanjian jual beli. Pak Hamid bercadang mahu menjadi peniaga moden pula ke?

“Macam ni Tina...” Pak Hamid berhenti seketika. Tidak pasti dari mana dia hendak bermula. Tapi dia kena cakap juga. “Sejak anak saudara kau si Natasa tu datang...” Pak Hamid berhenti lagi.

Tina kerut dahi. Pak Hamid direnung. Hatinya cuba meneka apa yang telah Ayumi lakukan sehingga Pak Hamid terfikir mahu memberi syarat perniagaan kepadanya. Anak saudaranya itu jangan macam-macam hendak merosakkan perniagaannya. Dicampak ke laut macam kisah Hang Nadim nanti. Biar kenyang jadi santapan jerung. Tapi lautan pulau tu ada jerung ke? Tina buat muka sengal. “Tak fahamlah saya. Cuba Pak Hamid cakap bagi habis.”

Pak Hamid garu telinganya yang gatal. Kalau gemuruh semua anggota badannya terasa gatal.

“Hmm... macam ni... aku ni dah lama hidup sorang. Aku berkenan dengan Natasa tu. Kalau kau kahwinkan dia dengan aku, aku kurangkan 10% lagi harga ikan untuk kau. Macam mana?” beritahu Pak Hamid. Lega hatinya dapat menyampaikan hasrat itu kepada Tina.

“Apa dia Pak Hamid?” Tina sedikit terjerit. Biar betul? Banyak dia boleh jimat tu. Kepalanya hanya memikirkan keuntungan yang bakal diraih bukan Ayumi.

“Aku bukan suruh kau buat kerja susah. Kahwinkan anak sedara kau tu dengan aku. Kau pun senang tak payah fikirkan dia lagi. Biar aku yang jaga,” kata Pak Hamid.

“Hisy, Pak Hamid ni! Natasa tu dengan Pak Hamid macam langit dengan bumi. Boleh dibuat cucu dah budak tu,” tolak Tina tidak mahu kelihatan terpengaruh dengan tawaran Pak Hamid. Kalau dia terima buta-buta begitu pasti dirinya akan dituduh menganiayai Ayumi. Mulut orang kampung itu boleh tahan juga berbisanya. Lainlah kalau Ayumi sendiri rela.

Pak Hamid sengetkan mulut.

“Aku nak buat bini, bukan cucu,” tekan Pak Hamid. Lelaki lanjut usia sepertinya tidak layak ke beristerikan gadis muda secantik Ayumi? Rasanya tiada masalah. Dia masih mampu menanggung Ayumi.

Tina terdiam memikirkan perangai miang Pak Hamid yang sudah sampai ke pucuk kelapa laut Afrika. Hilang kata-katanya sekejap.

“Aku bukan nak aniaya anak saudara kau tu. Aku nak bagi dia kesenangan. Senang dia, senang kau juga,” pujuk Pak Hamid lagi. Alah, dia kenallah Tina itu jenis manusia bagaimana. Dia yang melihat Tina membesar. Tina tu gila duit.

Tina buat muka bermasalah.

“Pak Hamid, ni bukan hal main-main. Saya kena tanya Natasa dulu.” Gelap seketika fikiran Tina. Kalau dibayangkan dari segi perniagaan memang banyak untungnya. Tetapi nanti orang kampung mengata. Dia tidak mahu dituduh menukar Ayumi dengan ikan pula. Tapi sudah lama dia mahu Ayumi pergi dari rumahnya. Kalau Ayumi berkahwin dengan Pak Hamid bererti amanah arwah ibunya supaya menjaga Ayumi telah disempurnakan. Selepas Ayumi berkahwin, gadis itu bukan tanggungjawabnya lagi. Tak perlulah dia memandang muka Ayumi di dalam rumahnya setiap hari. Penat dia mendera Ayumi secara halus, gadis itu masih juga tidak mahu meninggalkan pulau itu.

‘Nasib kaulah Natasa, siapa suruh degil sangat. Aku mesti pastikan kau kahwin dengan Pak Hamid,’ bisik Tina dalam hati.

“Tina, kau ni bijak. Aku tahu kau boleh pujuk Natasa tu. Lagi cepat kau uruskan, aku lagi suka,” kata Pak Hamid. Nampak sangat muka tidak sabar mahu beristeri barunya tu.

Tina pandang Pak Hamid.‘Macam ikan tak dapat air. Pak Hamid ingat Pak Hamid tu muda lagi ke nak buat muka tak sabar macam budak remaja dapat girlfriend?Cemuhnya dalam hati.

“Hmm, yelah Pak Hamid. Nanti saya cuba. Tapi tak janji,” setuju Tina sekadar menyedapkan hati Pak Hamid. “Saya balik dulu.” Dia bangun dari duduk. Malas hendak melayan Pak Hamid lagi.

“Cepat sikit tahu Tina,” pinta Pak Hamid.

“Yelah.” Tina mengangguk sebelum mendapatkan kereta-nya.

Sambil memerhatikan Tina masuk ke kereta Pak hamid tersenyum riang. Nampak gaya nasibnya memang selalu beruntung. Gadis secantik Ayumi itu didatangkan khas untuk menemani hari-hari dalam hidupnya di pulau itu.

SAMBIL memandu Tina memikirkan permintaan Pak Hamid. Bagaimana dia hendak memujuk Ayumi? Bagaimana pula supaya dirinya tidak kelihatan seperti memaksa Ayumi menerima Pak Hamid? Dia tidak mahu imej baiknya di pulau itu tercalar kerana mengahwinkan Ayumi dengan Pak Hamid. Tina mencebik. Dia mesti cari jalan supaya dirinya tak nampak seperti memaksa Ayumi. Dia perlukan saksi. Siapa? Tina berfikir lagi. Seketika kemudian dia tersenyum. Orang yang paling boleh dipercayai dan mempercayainya selama ini hanya ada seorang sahaja di pulau itu. Tina tersenyum. Dia segera memandu ke rumah kawan sepulaunya itu.

“Kak Piah! Sihat ke? Buat apa tu?” laung Tina dari dalam kereta. Enjin dimatikan. Mak Piah yang sedang terbongkok-bongkok di halaman rumahnya dipandang.

Mak Piah angkat muka sebelum mencampakkan parang di tangannya ke tepi. Suara yang menyapanya dicari.

“Hah, Tina. Aku tengah kupas kelapa,” beritahu Mak Piah. Rutin harian ibutunggal yang tiada aktiviti perniagaan seperti Tina. Memasak dan mengemas rumahlah yang dilakukan.

Tina tersenyum dan mengangguk. Dia turun dari kereta mendapatkan Mak Piah. Mereka berjabat salam.

“Duduklah Tina,” pelawa Mak Piah senang menerima kehadiran Tina awal pagi itu.

Tina tidak menolak. Punggungnya didaratkan atas pangkin di halaman rumah Mak Piah.

Mak Piah turut duduk. “Kau dari mana?” jarang Tina bertandang ke rumahnya. Tiba-tiba muncul begitu pasti ada sebabnya.

“Hantar duit ikan Pak Hamid,” jawab Tina.

“Ooo...” Mak Piah mengangguk.

“Kak Piah, orang nak tanya sikitlah.” Tina buat muka resah. Lutut Mak Piah disentuh.

“Tanyalah. Apa dia?” kata Mak Piah sudi mendengar. Dulu-dulu masa Tina remaja dan bermain cinta dengan pemuda dari pulau sebelah dia juga tempat Tina mencurah cerita. Ketika pemuda itu mahu masuk meminang dia juga yang menjadi orang tengah menyampaikan hajat kepada ibu Tina. Ketika Tina bercerai dia juga yang menjadi tempat Tina meluah rasa, bererti dia orang kepercayaan Tina dan dia memahami Tina.

“Pak Hamid...” beritahu Tina tergantung.

Mak Piah kerut dahi. “Kenapa? Tak sihat ke orang tua tu?” Tak sabar pula dia mahu tahu bila lihat muka masalah Tina.

Tina tarik nafas berat. Biar nampak dia terlalu memikirkan masalah itu. Kalau tak nanti Mak Piah menuduh dirinya tidak sayangkan Ayumi. Terkelip-kelip Mak Piah dipandang.

“Cakaplah Tina, kenapa?” pujuk Mak Piah. Dia tahu ada yang tidak kena.

Tina kemam bibir. “Pak Hamid pinang Natasa,” beritahunya.

“Hah? Pak Hamid pinang Natasa untuk siapa?” Tak sabar Mak Piah hendak tahu. Dia baru merancang mahu masuk meminang ada orang lain pula potong jalan. Galak matanya memandang Tina.

“Ish, Kak Piah ni. Janganlah pandang orang macam nak telan. Orang ni sayangkan Natasa tu. Orang nak dia hidup senang tapi orang tak nak paksa dia kahwin dengan Pak Hamid,” jelas Tina mahu nampak baik depan Mak Piah.

“Dah tu kau cakap apa kat dia? Kau terima?” selidik Mak Piah garang.

Laju Tina menggeleng. “Ini urusan masa depan Natasa. Saya kena tanya dia dulu,” jawab Tina.

Mak Piah merenung Tina. Kenapa dia macam tak percaya dengan kata-kata Tina? Kalau betul Tina sayangkan Ayumi, perlukah Tina mendapatkan persetujuan atau penolakan Ayumi? Tina sendiri boleh buat keputusan untuk menolak niat Pak Hamid tu.

“Hmm... aku pun fikir elok kau tanya Natasa. Jangan kau pandai-pandai nak terima,” setuju Mak Piah namun sempat mengingatkan Tina.

Tina senyum segaris. “Taklah Kak Piah. Saya janji dengan akak takkan paksa Natasa tu. Tapi kalau dia yang setuju apa saya nak kata. Budak-budak sekarang memang suka cari suami tua. Tua-tua berharta,” bisik Tina di akhir kata.

Mak Piah buat muka tak percaya. “Budak lain mungkin. Kalau Natasa tu aku tak percaya akan buat macam tu,” balas Mak Piah.

Tina tersenyum sebelah bibir pula. Mak Piah ni lebih-lebih. Siapa yang ibu saudara Ayumi sebenarnya? Dia ke Mak Piah. Hish!

“Harap-harap begitulah Kak Piah. Ni dah luahkan masalah ni kat Kak Piah, lega saya rasa. Saya balik dululah Kak Piah.” Tina sudah mahu pergi. Yang penting Mak Piah dah tahu dia tak berapa setuju dengan permintaan Pak Hamid. Lepas ni kalau Ayumi berkahwin dengan Pak Hamid itu atas kerelaan Ayumi sendiri. Dia ikutkan sahaja. Sambil berjalan ke kereta Tina tersenyum jahat.

Mak Piah menggeleng. Pak Hamid! Pak Hamid! Dah nak jumpa TUHAN pun masih ada hati lagi nak beristeri muda. Kalau ya pun nak cari peneman hidup yang baru, biarlah yang sesuai. Ini tidak, Ayumi yang diimpikan. Mak Piah memandang kereta Tina berlalu pergi.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.