Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 39


Jam pada dashboard yang menunjuk angka satu dipandang sekilas sebelum lirikan kembali terarah ke hadapan. Melihat seorang pelanggan lelaki yang semenjak tadi menanti akhirnya menerima pesanan. Kemudian, lelaki itu beredar dengan menunggang motosikal.

"Bang, nak order ke?.. Sorry, bang. Saya dah closing ni. Abang terlambat sikit je. Maaf ye, maaf." ujar si lelaki penjual burger itu dengan riak serba-salah di balik gerai yang sedang dikemaskan.

Mata, mengerling sekilas kepada ruang yang memisahkan kedudukan. Tiada apa-apa di atas kaunter gerai burger jalanan itu kecuali lapang. Kosong tanpa sebarang alatan memasak waima barangan.

"Aku cari Kil," ujarnya bersahaja dengan kedua tangan menyeluk poket jeans.

Si penjual burger serta-merta terkaku. Mata bertentang mata. Lirikan itu sarat dengan seribu satu makna. Mengenang sesuatu. Menduga sesuatu.

"Hai. Lama tak jumpa. Ingat aku lagi? Adrian." tambahnya.

Lantas, wajah tegang itu berubah resah.

"Oh. Erm... A-Adrian yang mana, ye? S-saya banyak rakan nama Adrian, bang." tutur lelaki itu sedikit gugup. Kedua tangan dibawa ke belakang lalu mengesat ia beberapa kali. Senyuman kelat yang dipamer cuba membohongi kelakuan yang terserlah.

"Yang tinggal di rumah Ibu Aisyah."

Kali ini, sebaik mendengarkan jawapan itu, wajah itu mencerminkan ketakutan pula. Sepasang mata yang cengkung dan dalam itu bulat membalas tatapannya.

"Oh. K-kau... Kau sihat Adrian? M-mana tahu aku niaga dekat sini?" soal lelaki itu tersangkut-sangkut.

"Rumah kau pun aku tahu. Flat Desaria blok F nombor-.."

"Adrian!! K-kau nak apa? Aku...A-aku takde duit nak bagi kau." sahut lelaki itu cemas.

Sinis, dia tersenyum.

"Rilek, Kil. Aku datang nak tanya khabar je. Rindu dekat kau. Aku cao dulu." tuturnya lantas berlalu.

Bunyi hon kereta di jalanan membuatkan lamunan yang terkenangkan pertemuan beberapa bulan yang lalu itu terganggu. Dahulu, hadirnya ketika waktu itu juga. Sengaja. Memilih waktu lelaki itu berseorangan supaya pertemuan itu lebih terkesan. Semestinya kepada lelaki itu.

Dr. Adrian, memerhati lagi keadaan Kil yang sedang bersendirian ketika ini. Sudah mahu tutup gerai agaknya kerana lelaki itu mulai mengemas alatan dan barangan.

Sebenarnya, sudah hampir setengah jam dia berada di situ. Menantikan waktu yang tepat untuk memunculkan diri. Memori kelmarin sesekali bermain-main di dalam kepala sambil dia memerhati Kil berkemas. Ketika baki air di dalam sebuah tong cat dibuang ke dalam longkang, dia tahu lelaki itu hampir selesai dengan pekerjaannya. Namun, perasaannya tiba-tiba diketuk tatkala melihat lelaki itu merungkaikan lilitan tali di setiap tiang gerai. Bidang kanvas biru yang dijadikan atap itu ditarik lalu dilipat. Kanvas itu kemudian disimpan di dalam ruang kabinet bawah gerai sebelum pintu itu dikunci. Setelah memeriksa beberapa kali keadaan gerai itu segulung rantai besi dililitkan pula ke sekeliling gerai lalu dimanggakan.

Menyedari perbuatan yang hampir selesai itu, enjin kereta lantas dimatikan. Tatkala melihat lelaki itu mula menolak gerai beroda itu ke arah sebuah lorong di antara dua bangunan kedai, dia pun turun dari kereta. Suasana awal pagi yang tidak terlalu sunyi. Sesekali kedengaran bunyi kenderaan melewati laluan yang berdekatan. Hanya kawasan bangunan kedai itu sahaja yang jelas lengang.

Kaki dipercepat melangkah untuk mengekori. Sebaik memasuki lorong, dia melihat Kil masih menolak gerai tersebut sebelum berhenti dan membetulkan kedudukan gerai beroda itu berdekatan dengan sebatang tiang elektrik. Barangkali di situlah tempatnya menyimpan aset niaganya supaya tidak menjadi gangguan pada waktu siang hari kepada pengguna jalan dan lorong di kawasan itu.

"Ehem!.."

Sengaja, dia berdehem bagi menarik perhatian lelaki itu. Kil yang sedang tertunduk melilitkan satu rantai besi pendek pada tiang elektrik bingkas berpaling. Wajahnya berlumur kejutan.

"Adrian! Ada a-.."

Belum sempat lelaki itu menyoal, satu tumbukan padu kepada lelaki yang berketinggian tidak sampai lima kaki lima inci itu dilontarkan. Tepat pada wajah. Tersungkur lelaki itu jatuh. Dia, diam memerhati. Nafas yang dihela tenang ditarik kemudian hembus. Nyeri, kembang kuncup di buku jari. Namun, kesakitan itu terlalu kecil bagi dirinya.

Kil yang tersungkur kembali bangkit dan berhadapan meski kelihatan sedikit terhuyung-hayang. Sebelah tangannya memegang sebelah pipi yang mula memerah lebam. Kedudukan, dibawa dalam keadaan bersedia untuk menyerang. Sebelah tangan di sisi menggenggam buku lima. Sebelah lagi di hadapan. Kaki, terbuka bersedia. Bersedia menerima sebarang tindak balas.

"A-adrian, a-aku-.."

Sekali lagi, satu tumbukan di wajah itu diberikan. Berganda rasa yang menyengat di hujung buku jari sebaik tubuh yang rendah darinya itu tumbang. Seperti tadi, Kil bangkit lagi. Nampaknya pukulan yang diberikan tidaklah kuat melihat Kil mampu untuk bangun kembali dalam masa yang singkat.

Wajah gembira ketika melayani pelanggan terakhir ketika berada di gerai tadi, berganti dengan pipi yang berbirat dan bibir yang berdarah. Lelaki itu kelihatan tercungap-cungap kelelahan. Tetapi dia tahu, lelaki itu belum berputus asa.

"A-aku-.."

Tidak lagi menunggu lama, satu tendangan di perut pula diberikan. Kil, terperosok jatuh ke belakang. Lelaki itu langsung tidak bersedia. Atau, pura-pura tidak bersedia?

Seperti tadi, sekali lagi Kil berusaha untuk bangkit kembali. Sebaik berjaya, tubuh itu membongkok sedikit menahan kesakitan akibat tujahan yang baru sebentar diterima. Sejuring senyuman kilas terlakar mengenang sikap tidak kenal erti lelah yang ada pada lelaki itu.

"Aku nak-.."

Tanpa memberi sebarang peluang untuk Kil bersuara, kaki yang bersedia dilengkukkan dilayangkan tepat ke atas kepala Kil. Untuk kali keempat, Kil kembali ke tanah.

"Aku tak perlu apa-apa pun dari kau." tuturnya dengan tenang. Diam dia memerhati lelaki itu buat seketika. Sedang mengerang kesakitan dalam keadaan tertiarap sebelum kakinya dibawa pergi.

"Hahahahaha!!!"

Terkebil-kebil dia memandang tiga budak lelaki yang berusia lebih dua tahun darinya itu. Mereka sedang mengelilinginya yang berada di atas katil dengan perasaan hairan. Baru sahaja berhajat mahu lelap, kehadiran tiga budak lelaki itu menganggu istirehatnya. Diperhati sejenak sebelum debaran di dada mula bergema sebaik dia mula mengecam ketiga-tiga budak lelaki itu.

"Lembik! Baru kena sikit dah demam! Hah!!"

Satu ketukan di atas kepala dirasakan. Spontan dipegang kuat kepalanya dengan sebelah tangan.

Budak lelaki yang menjadi ketua pada malam tadi terus dicamkan. Walaupun saiz badannya paling kecil di antara mereka bertiga namun, kekuatannya agak luar biasa.

"Tu arr, Kil... Kau baik sangat!.. Tak sampai sepuluh minit dah bebas. Malam ni kita rendam lama sikit." cadang si tinggi lampai yang menjadi penyampai semalam. Bercekak pinggang memerhati dirinya yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Seorang lagi tiba-tiba menuju ke arah pintu. Tidak lagi mengendahkan aktiviti teman sekepala.

"Ah!.. Betul jugak tu. Kau, budak baru! Malam ni kita jumpa lagi..." kata budak bernama Kil itu sambil terangkat-angkat kedua kening ketika bercakap dengannya.

"Eh, diorang dah sampai. Cao weh!!" tutur budak lelaki yang berdiri di muka pintu. Mungkin menjaga keadaan. Tanpa membuang masa, kelam-kabut mereka bertiga meninggalkannya dari bilik lapan katil yang dikunci dari dalam itu.

Ngauman beberapa buah motosikal menarik Dr. Adrian keluar dari kenangan lalu. Dia, masih melangkah kembali ke kereta. Nafas, panjang dihela. Sebaik pintu kereta dibukakan, dia terhenyak kasar. Kelopak mata dipejamkan. Jemari kuat mencengkam pada stereng kereta.

"Awak, terlalu baik."

Berdesing telinganya mendengar pujian yang makin kerap diterima dari gadis itu. Dia tidak baik! Dia bukan orang yang baik! Mengapa gadis itu mudah benar tertipu hanya dengan melihat luaran sahaja?

Kepala, dibawa dekat kepada stereng. Kedua tangan yang menopang dahi perlahan-lahan dijatuhkan. 'Berterus-terang?' Hati kecil berbisik. Tak mungkin. 'Habis tu?' Entah. Dia belum mempunyai jawapan. Perasaannya terhadap gadis itu semakin hari semakin dalam. Dia enggan membohongi namun, buat masa ini dia memilih untuk berdiam diri. Suatu masa, apabila tiba waktunya dia pasti segala-galanya akan dikhabarkan kepada gadis itu. Segala-galanya. Itulah janjinya pada dirinya sendiri.

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.