"Kita dah boleh gerak."
Fokus dua orang temannya yang sedang sibuk memunggah kotak ais dan peralatan memancing ke dalam bot laju terhenti sebentar sebelum masing-masing mempercepatkan kerja-kerja memunggah.
Usai memindahkan barangan, dia melompat ke dalam bot sebelum bot itu bergerak ke arah laut lepas kira-kira satu kilometer dari Pulau Dua. Dia, tidak memandang kiri dan kanan. Menjadi pemerhati sebahagian isi alam yang terbentang di depan mata. Keheningan senja yang gemilang dipecahkan oleh bunyian enjin bot yang sudah berusia itu. Angin yang berhembus sederhana memercikkan ombak kecil sepanjang perjalanan. Bunyian camar laut yang berterbangan tampil meriuhkan suasana.
Sebenarnya, sudah tiga bulan berturut-turut mereka bertiga ke situ. Melakukan aktiviti memancing di sekitar Pulau Pangkor yang memang memberikan hasil yang lumayan. Tangkapan yang diperolehi terkadang dilepaskan kembali. Terkadang, Zaf sudah siap sedia dengan perancangan untuk berkhemah dan BBQ. Aktiviti yang dilaksanakan sekali sebulan itu berlalu dengan rapi dan terancang. Tetapi, tidak kali ini. Kali ini, dia merancang untuk kali yang terakhir.
"Adrian, hati-hati." pesan Zik sebelum dia mudik di jeti tadi.
Kebiasaan mereka bertiga tidak berlaku pada senja itu. Rancangan itu memerlukan dia bersendirian. Cuma, perancangan klimaks itu dilakukan tanpa pelan tindakan. Rancangan terakhir dengan untung rugi diserahkan kepada nasib semata-mata. Seandainya tidak berjaya, dia akan cuba untuk kali yang lain sehinggalah dia berjaya juga.
Di atas bot yang sedang bergerak itu, dia melihat bergemerlapan lampu yang menghiasi sebuah kapal layar yang mewah. Menerangkan suasana sekitar yang mulai gelap tatkala waktu teja beransur pergi.
Seperti dijangkakan, tepat jam lapan malam sebuah bot laju akan tiba di perairan itu. Mendekati kapal layar itu sebelum barangan di dalam bot laju itu dipindahkan. Namun, yang menjadi kehairanan, bot yang datang dan pergi pasti bersilih ganti. Tidak pernah menggunakan bot yang sama. Malah, bot-bot sebelum ini juga seperti tidak wujud lagi di perairan pulau ini. Lesap begitu sahaja.
"Hati-hati." ucap Pak Din ringkas ketika dia membetulkan lampu di kepala lalu terjun ke laut.
Dia melihat sekilas ke belakang. Bot Pak Din kelihatan memecut menjauhinya. Bot itu sepatutnya beredar kira-kira lima ratus meter dari lokasi kapal mewah tersebut. Namun, tidak sampai sejauh itu pelan tindakan telah dimulakan.
Kira-kira sepuluh minit menanti barulah dia memulakan gerak pertama. Menepati perancangan dan lokasi untuk memulakan pelan itu. Air yang sejuk dan dalam tidak menakutkan dirinya. Keazaman yang dia punyai menewaskan segala-gala yang cuba menghalangi ketika ini. Kayuhan demi kayuhan yang dilakukan oleh kedua belah tangannya mulai memberikan kesan. Bahunya terasa perit. Bergelut dengan arus meski tidak kuat memaksanya menggunakan sehabis tenaga yang dimiliki untuk tiba di destinasi.
"T-tolong..." ucapnya lemah sebaik berpaut pada bot laju berwarna biru metalik yang ditambat di hujung dek rendah kapal layar mewah tersebut.
Seorang lelaki tiba-tiba datang menerpa. Memekik beberapa nama. Tiga orang lelaki yang lain tergesa-gesa datang. Salah seorang dari mereka spontan terjun ke dalam bot. Rapat memerhati dirinya.
"Siapa kau?" suara garau dan besar kedengaran.
"Pak Din... Aku pergi memancing dengan Pak Din. Enjin bot rosak. Tolong aku. Tolong hantarkan aku ke jeti. Tolong..." tuturnya terketar-ketar. Tubuhnya ketika ini sejuk seperti ais. Ditambah pula kelelahan akibat perlu berenang kira-kira tiga ratus meter sebentar tadi.
"Danny..."
Dia mendengar satu suara dari dalam kapal mewah itu berkata-kata. Kesemua mereka tegak berdiri termasuk lelaki bersuara garau yang sedang membongkokkan badan itu.
"Mizo! Hantarkan dia. Orang yang dalam kesusahan perlu dibantu." Suara tegas itu kedengaran lagi.
Dia menarik nafas lega. Beberapa orang lelaki menariknya masuk ke dalam bot lalu, salah seorang pula mencampakkan sehelai selimut tebal. Dia menundukkan kepala sambil membungkus badannya. Hanya telinga dipasang mengikuti perbualan dan perbuatan mereka.
"Kau, nak ke jeti?"
Seorang lelaki bertubuh sederhana menyapa sebelum terjun ke atas bot. Spontan dia mengangkat kepala.
"Pak Din ada bot lagi satu." ujarnya ringkas.
"Bot ada dua tapi walkie-talkie tak ada?"
"Bot Pak Din bukan bot canggih." sahutnya sekadar menutupi ruang curiga dari meloloskan diri.
"Hmm... Betul jugak tu. Dia pernah datang sini jualkan ikan yang dia tangkap. Bot usang macam tu, berani dia bawak. Dan kau orang kaki-kaki pancing ni jangan kedekut sangat. Carilah tekong bot yang betul. Mahal takpe asal nyawa selamat."
Sebaik lelaki itu selesai berucap, dia mendongakkan kepalanya. Satu senyuman bermain di bibir. Lelaki itu membalas. Sebentar sebelum melepaskan tali penambat lalu menghidupkan enjin bot.
Tiada lagi sebarang bicara. Perjalanan yang diredah terasa singkat tatkala gemerlapan cahaya lampu di jeti mulai kelihatan.
Sesampai di situ lelaki itu kelihatan santai duduk di dalam botnya. Seperti menanti dia turun dari bot tersebut.
"Err, kau tak turun?" soalnya.
"Tak. Aku punya park dekat lain." sahut lelaki itu sambil memetik pemetik api lalu menyalakan sebatang rokok yang dikepit di bibir.
"Boleh tolong tarik aku? Aku rasa lemah sangat ni."
Tanpa berlengah lelaki itu bangun dan melompat ke atas jeti. Dia menarik panjang. Permintaannya mudah dilaksanakan. Spontan selimut yang membalut dibebaskan dari tubuh. Tangan yang dihulurkan segera disambut. Sebaik dia berjaya berdiri di atas jeti itu, dia terus memeluk lelaki itu. Erat.
"Seronok dapat jumpa kau, Mizi." ucapnya sebaik pelukan itu dileraikan. Wajah di hadapannya ditatap sinis. Lelaki itu kelihatan tidak keruan tatkala empat orang lelaki berpakaian gelap dan bertopi menghampiri.
"Adrian, diorang dah raid kapal. Dan Pak Din selamat." ujar satu suara wanita yang baru tiba di situ.
Pandangan yang belum diputuskan terhadap lelaki itu dalam ke dasar. Wajah ketakutan itu terserlah. Dan dia, meraikan reaksi itu dengan puas.
Hampir setengah jam dia duduk di dalam kereta. Sambil memerhati, kenangan lalu yang seringkali menghantui diri galak terimbau. Usai menetapkan keputusan, dia mematikan enjin kenderaan. Sebaik turun dari kereta, dia terus beredar ke arah sekelompok orang yang sedang menanti makanan dari sebuah gerai di tepi jalan itu.
Dua buah meja disediakan. Namun, hanya sebuah sahaja yang sedang digunakan oleh dua orang perempuan dan seorang lelaki. Empat orang pemuda pula sedang berbual-bual sambil duduk di atas motosikal yang diparkir berdekatan.
Sebaik kehadirannya disedari, reaksi si peniaga yang sedang memasak itu jelas berubah. Namun hanya sebentar sebelum kembali sibuk dengan aktiviti yang sedang dilakukan. Barangkali yakin bahawa kedatangannya dalam suasana yang agak meriah dengan pelanggan tidak memungkinkan perbuatan dahulu diulangi dengan sewenangnya.
Apabila dia menghampiri sebuah meja yang betul-betul diletakkan berhadapan dengan kaunter gerai itu, tingkah si peniaga terhenti seketika. Sebaik dia menarik satu kerusi untuk duduk peniaga itu tetap memerhati sebelum menarik nafas yang lega apabila melihat dia hanya duduk memerhati keadaan sekeliling.
"Nak order, bang?"
Seakan-akan baru pertama kali bersua, Kil menyoal dengan santun. Dia membawa lirikan tepat ke dalam mata yang cengkung itu. Satu gelengan diberikan.
"Minum? Tapi, air tin je. Ada dalam ice box tu."
Sekali lagi dia menggeleng. Reaksi bisu itu mendapat perhatian sejenak dari pelanggan yang ada sebelum masing-masing membuat hal sendiri. Kali ini, apabila duduk berhadapan begitu dia melihat dengan kedua matanya bagaimana seorang peniaga burger di jalanan melakukan operasi. Lincah kedua tangan Kil menggunakan sudip dan penekan ketika memasak bahan-bahan yang diperlukan. Kemudian, menolak lebihan minyak ke satu sudut bagi membuang ia di celahan pemanas lebar itu sebelum dipecahkan beberapa biji telur dan diratakan pula. Bunyian dan bauan yang terhasil mampu menjadi satu terapi kepada telinga yang mendengar. Tetapi, tidak kepada dirinya.
"Dah lama kau buat kerja ni?" soalnya agak kuat.
Pergerakan Kil terhenti. Lelaki itu kelihatan merenungnya sebentar sebelum menarik segaris senyuman.
"Dua tahun."
"Dua tahun? Dua tahun kau masih dekat tepi jalan ni meniaga?" kecamnya selamba. Wajah Kil yang tenang tidak kelihatan segan atau malu. Mungkin, dah terbiasa menerima soalan itu.
"Alhamdulillah. Cukup rezeki aku." jawab Kil sebelum menyibukkan diri membungkus pesanan yang sedang disiapkan itu.
"Betul ke cukup? Anak kau dengarnya makin bertambah." duganya lagi. Kil dipandang dengan bersahaja. Duduknya kini bersandar ke kerusi sambil kedua kaki di bawah meja terjulur.
"Alhamdulillah. Anak pembawa rezeki."
Kil, tetap tenang melayani kehadirannya.
"Kalau macam tu, tiap-tiap tahun kau menambah anak ajelah." sindirnya lagi. Kiri dan kanan yang mendengar mula menarik perhatian untuk memerhati perbualan yang sedang berlangsung. Dia, tidak mempedulikannya.
"Inshaallah." sahut Kil tanpa mengangkat pandangan. Dua bungkusan burger istimewa baru saja disiapkan sebelum bungkusan terakhir sedangkan dilaksanakan pula.
"Mulut kau masih tak berubah, kan? Agama jadi bahan untuk kau." Dia menambah.
Kali ini tidak lagi Kil menjawab. Diam meneruskan kerja.
"Order special siap!" laung Kil kepada pelanggan yang membuat pesanan. Seorang pemuda di awal dua puluhan yang duduk di meja bersebelahan bingkas mendekati kaunter gerai. Bayaran dan barangan bertukar sebelum pemuda itu kembali ke meja dan mengagihkan pesanan. Ketiga-tiga pelanggan itu mahu menikmati hidangan yang disediakan di situ sahaja.
"Aku dapat berita, Mizi kena penjara seumur hidup. Kau tak pergi melawat dia?" Dia menyoal lagi. Matanya memerhati Kil yang sedang membuka bungkusan yang berisi kepingan daging sebelum kepingan itu dibakar pula di atas pemanas.
"Aku dah lama tak contact dia." sahut Kil seraya mengerling ke arahnya sekilas.
"Eh, kawan punya baik kau tinggal macam tu je? Apehal? Sebab dia junkie?"
Diam.
Dia, merenung Kil yang masih bersahaja di balik kaunter. Luaran kelihatan tenang tetapi, siapa yang tahu di dalam?
"Aku memang dah lama tak contact dia." ucap Kil bersungguh. Sepasang matanya merenung sejenak kepada tetamunya itu. Kemudian, diteruskan kerjanya.
Pertama kali, dia melihat secalit keyakinan dalam tatapan itu untuk pertemuan kali kedua itu. Tidak teragak-agak dan takut seperti sebelum ini.
"Berapa lama?" Seperti belum puas, dilontarkan lagi persoalan.
"Lama jugaklah."
"Sejak korang kena buang?"
Kil menyepikan diri. Dia, sinis tersenyum.
"Dan aku, ada jumpa Apek. Dekat rumah family dia. Dia tak ingat kat aku. Haha!.. Tak ingat... langsung!" maklumnya lantas menarik perhatian Kil untuk tetap merenung ke arahnya sebelum bunyi desiran minyak menarik tumpuannya untuk kembali fokus.
"Aku teka, Apek pun kau tak contact,"
Kil, kelihatan menunduk membuat kerja. Namun, riak wajah itu jelas pada pengamatannya.
"Dia hilang ingatan. Accident." ujarnya menambah riak-riak cemas di wajah sedia tegang yang muncul selepas nama Apek disebut tadi. Dia sedar maklumat yang sengaja diberikan itu menarik perhatian Kil meski lelaki itu kelihatan bersahaja. Dua orang teman yang satu kepala suatu masa dahulu mana mungkin dengan mudah dilupakan. Bukan sedikit kerosakan yang mereka tinggalkan dan berikan. Tak kan mungkin terhapus begitu sahaja memori itu.
"Malam ni, kita ada free show!!" ucapan si ketua membuatkan hilaian tawa dan sorakan kedengaran. Namun, dikawal cermat bimbangkan warden asrama yang bila-bila masa sahaja bakal muncul andai bunyi gegak-gempita itu jelas didendangkan.
Dia, menanti dalam debar. Ketika mahu menggunakan bilik air yang luas itu tadi, telah dipastikan tiada muka-muka itu di situ. Tatkala sekumpulan pelajar yang lebih muda darinya masuk ke situ, cepat-cepat dia ikut masuk. Lega kerana bilik air itu kosong pada waktu itu. Dia mahu menggunakan ia sebelum masuk tidur sebentar lagi. Muka-muka yang ada ketika ini langsung tiada tadi namun, sebaik dia mahu keluar dari situ sekumpulan pelajar itu telah sedia berbaris di luar untuk masuk. Pergerakannya lantas ditahan. Dia terpaksa melangkah kembali ke dalam bilik air itu dengan kanan dan kiri diapit oleh dua budak lelaki sebelum ini.
Apek dan Mizi. Tersengih-sengih, kedua senior itu membawanya rapat ke dinding yang mempunyai barisan sinki.
"Apek, kau dulu." arah si ketua dengan wajah bengis memandang ke arahnya.
Tuala yang bersidai di bahu direnggut lantas dicampakkan ke lantai. Sehelai t-shirt berlengan pendek yang dikenakan pula dibuka. Dia cuba melawan namun belum sempat pergerakannya pergi jauh, satu tumbukan di perut dirasai. Kemudian, satu ketukan di kepala pula. Pedih! Terbongkok dia menahan sakit yang mencengkam itu sambil merelakan pakaian yang tersarung di tubuh ditanggalkan satu demi satu. Dia malu. Benar-benar malu dengan dirinya yang menjadi perhatian meski kesemuanya adalah sejenis dengannya.
"Kalau kau nak lepas, kau tawaf keliling kolah ni tiga kali," arah sang ketua lagi.
Tepukan dan siulan kedengaran bersambut-sambutan.
"Tak payah nak malu-malu. Arab jahiliah dulu pun ada yang berbogel sambil tawaf depan kaabah. Kau bersyukurlah sebab aku suruh tawaf kolah air bukannya dorm."
Siulan, makin galak kedengaran. Tatkala langkah pertama itu dilakukan, maruahnya hancur-sehancurnya tanpa dapat ditemukan lagi. Hati serta jiwanya, mati di situ pada malam itu juga.
"Dik, order adik dah siap!!"
Laungan Kil kepada pelanggannya itu menghapus memori hitam yang terawangan. Wajah Kil ditatap dengan renungan yang dalam.
"Budak junkie tu aku yang kenakan. Dah lama aku tunggu masa yang sesuai nak serahkan dia pada polis. Dan Apek..."
Bingkas dia bangun sebelum satu senyuman sinis dihantar kepada Kil yang pucat lesi mendengarkan pengakuannya itu.
p/s : Bab ini agak emosional bagi saya kerana saya sedar kejadian buli masih berleluasa di kalangan pelajar2 sekolah juga di tempat kerja. Kepada ANDA yg pernah atau sedang menjadi mangsa buli, sy berharap anda luahkan dan ceritakan kepada orang yang benar-benar boleh dipercayai.
Percayalah, anda tidak sendirian ^^❤️~