Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 14


Jam di tangan dikerling lagi. Orang yang ditunggu belum berkunjung tiba. Sebenarnya, dia yang awal. Memang sudah menjadi sikapnya yang tidak gemarkan orang lain tertunggu-tunggu akan kehadirannya. Bosan berdiri, dia duduk di tangga. Tetapi, memilih sudut yang agak tersorok dari pengunjung yang ramai itu. Jam di pergelangan sekali lagi ditilik. Ada lebihan masa sepuluh minit sebelum waktu yang dijanjikan.

Hati kecil merungut sedikit. Dia, tidak biasa keluar ke tempat yang sesak begitu sendirian. Apakan daya Hanis masih belum pulang. Dan, Zamri pula seakan memaksa untuk bertemu. Ikutkan hati lebih baik berjumpa di pejabat sahaja. Namun, alasan Zamri membuatkan dia mati akal untuk mengelak. Kata Zamri, minggu hadapan dia sudah tiada lagi di pejabat. Barulah Suraya teringat akan perletakan jawatan lelaki itu.

Memikirkan lelaki itu bersungguh-sungguh dan serius, mungkin ada sesuatu yang mustahak ingin disampaikan. Boleh jadi, mahu memulangkan peralatan syarikat yang belum sempat dipulangkan. Cuma, dia sedikit hairan kerana tempat pertemuan yang dipilih itu adalah di SOGO. Kenapa tidak di apartmen sahaja. Bolehlah dia turun dan ambil alatan tersebut tanpa perlu keluar ke tengah kota.

Belum puas dia memerhati kesibukan para pengunjung yang bolak-balik ke sana sini, telefon pintar di dalam beg silang berbunyi. Pantas dia mencapai. Dan sebaik nama pemanggil dikilas, ikon hijau ditekan.

"Anne, apa kata Anne tunggu abang dekat coffee shop. Abang nak cari parking ni." maklum Zamri sebaik telefon itu dibawa ke telinga.

"Okay." sahut Suraya.

"Abang nak Cappuccino." pesan Zamri sebelum menamatkan panggilan.

Disimpan kembali telefon pintar dan kepala ditoleh ke belakang. Sebuah kafe kopi berada di situ. Mengikuti arahan Zamri, dia masuk ke premis itu. Memesan secawan Cappuccino. Americano pula untuk dirinya. Kemudian, dia mencari sebuah meja yang tidak terlalu tersorok kedudukannya. Belum panas punggung duduk menunggu, Zamri muncul dengan senyuman yang tidak putus dari bibir. Suraya senyum pendek menyambut kedatangan lelaki itu. Tetapi, lirikannya dikutik rasa hairan kerana tiada sebarang beg atau barangan lain mengiringi. Lelaki itu datang berlenggang kangkung.

"Nak makan?"

"Tak. Tak lapar. Terima kasih." tolak Suraya sopan.

Zamri lantas mencapai minuman. Mengeluarkan telefon pintarnya sebelum bermain-main dengan alat itu. Suraya ternanti-nanti akan tujuan pertemuan itu. Tidak senang duduknya melihat lelaki itu seperti sengaja melengahkan waktu dengan pura-pura sibuk dengan hal peribadi.

"Parents Anne, sihat?" soal Zamri tiba-tiba.

Suraya tersentak sedikit. Rungutannya seperti dapat didengari oleh lelaki itu.

"Sihat. Kenapa?"

Menerima pertanyaan yang langsung tiada kaitan dengan hal ehwal kerja atau syarikat memang mengejutkan dirinya. Namun, dia cuba bersikap tenang. Membalas pandangan lelaki itu sepintas lalu sebelum jatuh ke arah minuman. Pura-pura menilik minumannya padahal benaknya makin ligat berteka-teki.

“Tak ada apa... Saja tanya. Anne ada boyfriend tak?” soal Zamri membuatkan dia sekali lagi tersentak.

Namun wajahnya tidak ditonjolkan sebarang reaksi. Lakonan, diteruskan. Cuma, dia mula berasa tidak tenang dengan soalan demi soalan yang diterima itu.

'Sabar.'

Hati kecil memberi nasihat. Janganlah jumud sangat. Lagipun Zamri hadir dengan makluman awal. Siap bertemu janji. Bukan sebarangan seperti tingkah laku Dr. Adrian kelmarin. Huh! Tersebut nama lelaki itu sedikit sebanyak menyedarkan dirinya bahawa dia masih trauma dengan kejadian itu. Meskipun Zamri antara kenalan yang sudah biasa dia berhubungan namun, kebimbangan peristiwa kelmarin berulang menyelit di dalam dada.

“Tak ada.” jawab Suraya ringkas. Prasangka ditolak ke tepi sebentar. Mana boleh pukul rata meskipun kali pertama melalui pengalaman itu. Namun, tidak bermaksud dia dengan mudah melayani semua pertanyaan. Hal peribadi bukanlah sesuatu yang akan sewenang-wenangnya dikongsi.

“Baguslah. Keluarga Anne boleh terima ke kalau Anne kahwin awal?” soal Zamri tidak sabar. Senyuman yang lebar bermain di bibir kelihatan makin melebar.

Hisy! Menjadi-jadi pulak soalan. Nak husnuzon lagi ke? Duduk Suraya dirasakan makin tidak selesa. Mahu saja dia angkat kaki dari situ. Spontan, melintas pula di fikiran amaran demi amaran daripada Hadi dan Aidil sebelum ini. Tetapi, hati kecil terus memujuk,

'Sabarlah... Mungkin Abang Zam saja-saja nak bergurau kot?'

“Diorang tak kisah awal atau lambat. Asalkan Anne gembira dengan pilihan Anne.” Dijawab lambat-lambat. Bibir, menguntum senyuman yang kelat.

“Sebenarnya, abang berkenan dengan Anne. Abang tak tahu macam mana nak cakap tapi, percayalah... Abang, takkan sia-siakan Anne. Lagipun, isteri abang dah setuju benarkan abang kahwin lagi.” sahut Zamri tanpa segan-silu. Perasaan teruja yang terpancar umpama khabar itu merupakan khabar yang dinanti-nantikan oleh mereka berdua selama ini.

Suraya, membulatkan biji mata.

'Apa?? Kahwin??'

Sepantas kilat, dia sudah berada di luar gedung membeli-belah tersebut. Suraya benar-benar tidak menyedari betapa pantas sepasang kakinya membawa dia keluar dari situ. Mungkin akibat terlalu terkejut sebaik mendengar ucapan Zamri tadi. Hati, berdongkol geram. Memang tak salah dia berprasangka sejak dari awal. Tetapi, hati kecil masih berlembut mahu mengalah. Cisss!!!

"Anne!.."

Dia terdengar namanya dilaungkan. Sekilas, dia menoleh sebelum langkah yang besar diambil. Bimbang langkah itu tidak memadai, dia hampir berlari anak menjauhi langkah laju yang mengekori. Kedengaran namanya terus diseru. Cuma dia, pura-pura tidak mendengar.

“Hei!!” tempiknya.

Nampaknya, Zamri tidak berputus asa. Berjaya menyambar lengannya sebelum pantas dia menarik kembali. Namun, makin kuat pula tindak balas lelaki itu. Keadaan itu sekaligus mengingatkan Suraya akan peristiwa bersama Dr. Adrian kelmarin. Panas hatinya apabila situasi yang hampir sama benar-benar berulang. Cuma, kali ini dia telah bersedia. Pisang tak mungkin berbuah dua kali!

Dalam kedudukan bersedia, dia membalas kedegilan Zamri dengan memulas lengannya yang sedang dipegang itu. Mungkin kerana tidak menjangkakan pertahanan itu, Zamri terus terpusing ke belakang. Ditendang pula belakang lutut lelaki itu sekuat hati. Zamri terjatuh melutut sambil mengerang kesakitan.

'Huh! Puas hati aku! Patutnya Dr. Adrian pun kena macam ni hari tu!!'

Tanpa menunggu lama, Suraya berpaling untuk melangkah pergi. Tetapi, tidak jadi. Langkah kembali diambil menghadap Zamri yang masih berlutut. Gerak-geri itu menunjukkan lelaki itu sedang terkial-kial untuk bangun tetapi tidak berjaya. Mungkin, kedua lututnya sudah tercedera akibat tendangannya sebentar tadi.

'Hmm... Ade aku kisah?'

"Maaf, Abang Zam. Saya tak berniat nak pukul abang. Tapi, keadaan memaksa. Terus terang saya cakap, saya takde sebarang perasaan pun pada abang." ujar Suraya seolah-olah sedang berdiplomasi. Padahal, dia sepatutnya mengecam dan mengherdik tindakan lelaki itu.

Appear weak when you are strong, and strong when you are weak.

Kata-kata salah seorang jeneral terhebat Cina yang baru dibaca di dalam sebuah buku motivasi berlegar-legar dalam mindanya. Jika tidak dikawal kemarahannya itu, boleh jadi malam nanti lelaki itu bakal menginap di wad hospital. Namun, kerana akal yang masih waras dia menahan dirinya dari memperlakukan selayaknya. Lelaki itu, tetap pernah menjadi seorang guru kepadanya selama tempoh dua bulan setengah yang telah berlalu.

Suraya ingin segera beredar. Melihatkan segelintir orang awam yang mula meninjau, rasa segan mula berarak mendekatinya. Namun, baru selangkah dia menapak, dia berpaling lagi.

"Aaa... lagi satu, thanks ragging saya sejak dari awal saya masuk kerja. Saya anggap ia sebagai work out or hidden skill drills."

Dengan itu, dia berlalu dengan perasaan gementar dan menggeletar yang merenjat ke seluruh tubuh. Tidak dihiraukan lagi seandainya insiden itu menjadi tumpuan ramai. Hati yang sedia bengkak makin bongkol. Perasaan yang sedia luka makin terhiris. Dia geram. Terlalu geram. Maruahnya lebih bernilai dari segala-galanya. Dan,

'Apa dah jadi dengan dua orang staf TSL ni? Dan kenapa aku jugak yang harus jadi mangsa?'

Arghhh!!!

Satu tin minuman bergas di atas meja kopi itu ditenung lama. Meski mendengar lantunan ketawa yang berbondong-bondong dari arah peti televisyen, The Nanny tidak lagi mencuit hatinya. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Duduknya di sofa itu pula langsung tidak tetap. Ada sahaja yang tidak kena. Akhirnya dia bersandar malas sambil kepala terteleng memandang skrin televisyen dengan pandangan yang kosong.

"Sudah-sudahlah tu. Benda dah jadi... Kau pun tak sangka Zamri tu akan cakap macam tu, kan?"

Teguran yang datang dari Hanis membuatkan Suraya membetulkan kedudukannya. Hanis bingkas duduk di samping. Suraya menghela panjang. Harum semerbak wangian syampu rambut yang digunakan oleh temannya itu menusuk ke lubang hidung. Dijeling sekilas. Patutlah. Hanis baru sahaja selesai mandi. Rambutnya kelihatan masih basah. Sehelai tuala kecil pula tersidai di atas bahunya.

“Itulah... Tak sangka pulak dia ada niat lain dekat aku. Selama ni aku ingatkan kebaikan tu semata-mata sebab aku ni staf baru.”

Sakit di hati kembali bernanah apabila nama lelaki itu disebut. Ada udang di sebalik batu rupanya pada setiap perhatian yang diberikan oleh lelaki itu kepadanya.

“Tulah... Kena waspada juga kalau bekerja dengan orang lelaki ni. Kalau dia bujang aku tak kisah. Tapi ni, laki orang.” ulas Hanis.

Suraya memuncungkan bibir. Mati akal untuk menjawab. Semua salahnya. Kalaulah dia mendengar amaran yang diberikan oleh Hadi dan Aidil dahulu tentu perkara itu boleh dielakkan dari berlaku.

“Zamri tu mesti tunggu masa yang sesuai untuk bagitahu kau, kan?” getus Hanis lagi.

Suraya mengangkat kedua kening memandang teman baiknya itu.

"Ha'ah. Pandai kau teka. Last week minggu last dia bekerja di syarikat," maklumnya dengan suara yang lemah.

"Sudahlah."

Sikunya melihat Hanis memberi reaksi yang berlebihan. Mulutnya ternganga dan mata yang sedia bulat itu dibulatkan.

"Dah…dah. Tak payah nak marah ke apa. Bukan kau yang kena reject." ujar Hanis lembut melihatkan Suraya yang masih bermurung.

"Aku tak marah. Tapi bengang. Kenapa orang lelaki ni ada perangai yang pelik-pelik, ye?" soalnya tidak berpuas hati.

Hanis ketawa kecil. Suraya menjeling tajam.

'Apa yang kelakar?'

"Kau tak pernah berkawan rapat dengan lelaki, sebab tu mudah je kau cakap macam tu. Sebenarnya, sikap diorang takde lah pelik pun. Cuma diorang ni kadang-kadang ada sikap tak sabar. Alah, sama je macam kita. Tak perlu main blame game." tutur Hanis sabar melayani mood tidak baik sahabatnya ketika ini.

Suraya diam membisu. Memutar kata Hanis mengingatkan diri kepada momen bersama Dr. Adrian.

'Jadi alasan lelaki itu adalah kerana tidak sabar? Tidak sabar untuk apa? Dia merenung dalam. Apa yang Dr. Adrian mahu sebenarnya? Dia suka something yang ada pada aku? Apa yang aku ada?'

Dibelek dirinya sendiri. Tiada apa yang menarik. Biasa-biasa sahaja. Kalau mahu dibandingkan dengan Hanis, gadis itu jauh lebih cantik dan jelita.

'Apa, ya?'

Hanis, menggelengkan kepala melihat telatah temannya itu. Ditepuk lembut peha Suraya berkali-kali sebelum mendengar bunyi deringan yang bertalu-talu datang dari biliknya.

"Dah... Tak perlu fikir apa-apa lagi. Aku masuk bilik dulu." ujar Hanis sebelum buru-buru menghilang.

Lamunan Suraya bertempiaran. Alat kawalan televisyen dicari. Setelah menjumpai, dia menekan butang OFF. Dengan perasaan malas, tin minuman itu disambar lalu dia beredar ke bilik. Dicapai telefon di atas katil. Nombor kediaman orang tuanya ditekan. Suara mummy kedengaran ceria di hujung talian. Dipejamkan mata sambil bibirnya mengukirkan sebuah senyuman. Ubat penenang yang sentiasa mujarab!

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.