Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 65


"Hoi!! Kau pergi hantar baldi ni ke tandas. Bagi pada Apek."

Dia, yang sedang mengemas lokar terpempan. Pandangannya beralih kepada sebuah baldi kecil yang sedang terhulur ke arahnya. Kemudian, melirik pula ke arah seorang pelajar yang berusia lebih tua dari dirinya. Bertubuh tinggi melampai namun, badannya kurus keding. Tanpa mengesyaki sesuatu, pantas huluran tersebut disambut.

Sepanjang perjalanan singkat ke kawasan tandas yang terletak di hujung blok asrama itu, dia diiringi perasaan hairan kerana budak lelaki kurus itu turut mengekori dari belakang. Masuk sahaja ke dalam kawasan bilik air yang mempunyai sebuah kolah besar di tengah-tengah itu, dia disambut oleh sekumpulan pelajar lelaki yang rata-rata lebih tua darinya.

Klik!

Dia menoleh. Melihat pintu tandas itu ditutup rapat oleh budak tinggi itu sebelum dikunci.

"Nama kau, Adrian Rudy kan?" soal seorang pelajar yang sedang duduk di atas tembok kolah.

Dia kenal akan budak lelaki itu. Imam yang mengetuai jemaah ketika bersolat Maghrib dan Isyak di surau tadi. Dan, dia juga ada bersalaman dengan Imam itu usai bersolat.

"Perghhh!!... Nama kau tak nak kalah. Macam orang putih siot! Hahahah!!!" sampuk salah seorang yang berdiri sambil bercekak pinggang.

Kata-kata itu disahut oleh tawa yang ramai namun, tidak bergema. Seakan-akan cuba disembunyikan dari ia menggamatkan suasana.

"Padahal, asal orang kampung. Kau orang mana? Penajis kan? Ke...tak mengaku? Kahkahkah..." ujar suara yang lain pula.

Dia, tetap berdiam diri sebelum tangan yang membawa baldi kecil itu diangkat.

"Ni baldi Apek. Saya letak sini." tuturnya sopan seraya meletakkan baldi biru itu di atas tembok kolah. Dia tidak tahu apa tujuan mereka semua. Sekadar mendengar ejekan dia tidaklah hairan. Apa yang dia tahu tugasnya sudah selesai. Dia mahu kembali ke dormitori, seterusnya menyelesaikan kerja mengemas lokar pula.

"Apek! Mizi! Pegang dia!!"

Tanpa sempat dia berpaling, tubuhnya dihimpit rapat ke arah tembok kolah. Kolam air yang penuh itu dipandang sekilas sebelum kiri kanan dia memerhati cemas. Menanya-nanya apakah yang sedang berlaku ketika ini. Imam, yang pasti si ketua itu pantas menerpa dan mencengkam kepalanya.

Burrrrr!!!

Belum lagi rasa sakit di kepala siap terzahir, mata, mulut dan hidung terasa pedih sebelum dadanya turut terasa padat dan ketat.

"Kurang ajar!!!"

Sekali lagi belum sempat dia melepaskan keperitan yang menghentam, kepalanya diselamkan lagi ke dalam kolah air itu.

"Baru datang dah kerek! Apa ingat muka hensem kau boleh buat kau jadi anak emas Ibu Aisyah??" herdik si Imam sebaik menarik kepalanya keluar dari kolah tersebut.

Burrrrr!!!

Untuk kesekian kali sesak nafasnya kerana langsung tidak diberikan peluang melegakan corong dada yang sendat. Dia cuba melawan. Sehabis kudrat. Namun, tiada apa-apa pun yang berlaku. Seluruh tubuhnya seperti akur untuk menerima sahaja seksaan yang sedang ditimpakan.

'Papa. Selamat tinggal...'

"Kau dengar sini budak baru! Kalau aku nampak Ibu Aisyah bagi kau apa-apa lagi, siap kau!!" ugut si Imam kemudian ketika dia ditinggalkan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan di atas lantai bilik air tersebut. Seandainya dia berdaya, mahu sekali dia menjerit dan memohon kepada si Imam supaya ambil sahaja nyawanya pada malam itu.

Gerakan halus di sisinya ketika ini mengusir kenangan silam yang sering menjadi tayangan fikiran ketika larut malam. Dia menoleh. Tipis bibirnya tersenyum. Wajah yang sedang lena itu direnung dalam. Dia, play safe selama ini. Hanya mahu Suraya melihat dirinya yang sempurna. Yang hebat dalam semua segi. Tapi dia, tak boleh lagi bohongi diri. Sikap Suraya terlalu berbeza dari tanggapan yang dia miliki. Dunia yang dilihatnya sangat berbeza dari dunia yang dilihat oleh gadis itu. Kali ini, ingin benar dia melihat dunia yang dilihat oleh Suraya. Sebab itulah sebaik sedar dari kecelakaan kelmarin lalu mendapati perbuatan Suraya dibelakangnya hanya membuatkan dia tidak sabar untuk berterus-terang kepada isterinya itu. Dia, telah bersedia untuk memulakan langkah pertamanya. Iaitu, dengan membongkar kisah peribadinya terlebih dahulu. Melihat kejujuran dan keikhlasan Suraya makin dia bertambah yakin bahawa gadis itu siap menerima keadaan dirinya sama ada yang baik mahupun buruk.


Mata yang masih layu perlahan-lahan dicelikkan. Suram. Berbalam-balam pandangannya melihat meja studi dan drum kit lelaki itu.

'Mimpi ke apa?'

Dia kembali memejamkan kelopak mata sebelum memusingkan tubuh ke arah berlawanan. Sebelah tangan berlabuh pada sesuatu yang agak pejal. Memikirkan ia sebiji bantal, dipeluk kemas 'bantal' itu. Tetapi dia berasa hairan. Haruman yang menjadi aromaterapi sejak akhir-akhir ini kuat melekat pada bantal itu. Dibukakan kelopak mata selebar-lebarnya.

Oh. Dia tertidur dengan memeluk kaki Dr. Adrian. Kepala lantas didongakkan. Melihat Dr. Adrian yang sedang duduk bersandar di sofa hanya diam melihat gelagatnya. Kerana malu, dia berpusing kembali tetapi pantas ditahan oleh sebelah tangan lelaki itu yang kejap memegang bahunya. Akhirnya, kedua matanya kembali dipejamkan sambil mindanya melayari adegan terakhir yang diingati. Oo... Baru dia teringat. Sewaktu Dr. Adrian meminta izin untuk menjawab satu panggilan yang penting, dia sabar menanti di sofa rendah itu. Entahkan bila, dia tidak pasti bagaimana dia boleh terlelap dan lena di situ. Penat sangat, kot?

"Morning." bisik Dr. Adrian.

"Morning? Pukul berapa ni?" soalnya dengan suara serak-serak basah.

"2.30 pagi."

"Erm... Awal lagi." omelnya sebelum kembali memejamkan mata.

Terdengar tawa kecil dari Dr. Adrian. Tak jadi dia nak sambung tidur. Nada lelaki itu jelas masih cergas padahal seharian dia melihat lelaki itu langsung tidak melelapkan mata.

"Kenapa tak tidur lagi?" soal Suraya kemudian bangkit dan duduk bersebelahan lelaki itu. Dengan bersahaja, tangannya digapai dan digenggam. Dia tunduk memerhati tanpa menyedari perasaan halus yang menjalar itu makin melebar jajahannya di ruang hati.

"Urmm... Saya biasa tidur lewat." jawab Dr. Adrian.

"Pukul berapa?" soalnya lalu melirik sekilas ke arah lelaki itu.

"Dua. Kadang-kadang tiga."

"Lewatnya. Tak mengantuk ke?" soalnya kehairanan.

"Dah biasa."

"Sejak bila?"

"Hmm? Bila, apa?" tanya Dr. Adrian pula tidak memahami.

"Tidur lewat?.."

Dr. Adrian terdiam sejenak.

"Sejak dari hari pertama tinggal di rumah anak yatim."

Suraya terkelu. Begitu juga lelaki itu dan suasana.

Bisu.

"Suraya..." seru Dr. Adrian memecahkan kesunyian itu.

"Erm..."

"Dalam beberapa minggu kita kahwin ni, boleh saya tahu kalau-kalau kehadiran saya dah memberi makna bagi awak?"

Suraya menarik panjang. Kemudian, termenung sebentar. Ketika pandangan mereka bersatu, pipinya merona kemerahan di saat satu anggukan diberikan. Untuk mengucapkan ia di bibir dia malu. Teramat malu.

"Terima kasih." sahut Dr. Adrian sebelum mengemaskan tautan. Dia, enggan bertanya lanjut. Menjadi seseorang yang bermakna bagi Suraya seakan mimpi menjadi realiti. Jawapan ringkas sebagai permulaan itu sudah pun mencukupi bagi dirinya.

"Saya harap, tak lama lagi bukan saja kehadiran saya yang memberi makna. Tapi, ketiadaan saya juga."

Suraya terkaku. Terlalu dalam maksud lelaki itu. Tidak tersedar ketika ini tangannya pula yang erat menggenggam tangan lelaki itu. Dan, tidak terlewat perasaan bahagia yang sedang dikecapi oleh lelaki bersebelahannya itu dengan reaksi yang tidak disengajakan olehnya itu.

"Adrian..." bisiknya pula. Satu jelingan diberikan dan dia melihat dengan ekor visual sepasang mata itu sedang asyik merenungnya.

"Saya dah fikir masak-masak." ucapnya lagi sebaik tangan yang sedang dipegang itu dileraikan.

"Maksud awak?" tanya Dr. Adrian tidak memahami.

"Awak, tak mampu ugut saya. Saya tak kisah pun kalau musuh awak tu tahu siapa saya. Tapi, awak tak kan dapat ugut saya untuk keluar dari TSL kecuali jika saya sendiri yang rela untuk berundur."

Diam. Lalu, satu tawa kecil terhambur. Suraya memandang lelaki di sisinya hairan.

"Saya dah agak dah awak akan lawan cakap saya. Haha." tutur Dr. Adrian lalu tersenyum riang.

Suraya menggigit bibir menahan perasaan. Ceh! Ingatkan dia betul-betul serius!

"Suraya..." seru Dr. Adrian pula.

"Erm." sahut Suraya ringkas.

"Awak nak dengar lagi kisah saya?"

Segera dia memalingkan wajah. Sudah tentulah dia mahu seandainya lelaki itu sedia. Kepalanya, mengangguk perlahan.

"Saya, tak tahu apa punca papa dan Maksu Azah bercerai. Tapi, selepas penceraian tu perniagaan papa jatuh bangkrap. Kami tiada rumah. Dan saya kerap tercicir dalam persekolahan."

"Kenapa?" sampuk Suraya hairan.

"Sebab kami terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain."

"Kenapa pula?" soalnya masih tidak faham.

"Saya sendiri tak pasti. Masa tu memang susah untuk papa nak dapatkan kerja walaupun kerja sebagai buruh kasar," jelas Dr. Adrian.

"Tapi, papa tak mengalah. Saya pula tak kisah asalkan ada bersama-sama dengan papa. Masjid, bawah jambatan, stesen bas, lorong belakang... Semua tu, tempat-tempat yang pernah saya bermalam. Hujan, ribut, lapar, dahaga, sejuk, saya dan papa dah puas merasa," cerita lelaki itu lagi.

Suraya, tidak mampu lagi membohongi diri. Pilu menyelubungi tatkala merasai pahit getir sisi tersembunyi lelaki itu.

"Kemudian, bila saya dah bersekolah menengah, kehidupan kami mula tenang. Kami sewa sebuah bilik dan saya boleh bersekolah tanpa berpindah-randah lagi. Papa pulak boleh berkerja tanpa sebarang gangguan. Dan, saya mula cari duit sendiri dengan ambil upah mengajar. Papa tak membantah sebab dia tahu sejak dari dulu saya sering buat kerja-kerja mudah. Ambil upah buang sampah, jual barang terpakai atau bersihkan longkang,"

Sepi.

"Tapi, waktu saya umur lima belas, ada sesuatu yang berlaku. Papa bawak saya untuk tinggal di rumah anak yatim. Pesan papa cuma dua saja. Duduk sini dan tamatkan persekolahan kalau nak jumpa dengan papa lagi dan, jangan percayakan lelaki bernama Jay."

Hening. Dr. Adrian tiba-tiba berdiam diri.

"Awak, tak lari?" soal Suraya memandang tepat ke dalam mata lelaki itu.

Dr. Adrian menggeleng.

"Papa segala-galanya bagi saya. Dan papa, bukan seseorang yang gemar mungkir janji. Kata-kata dia pula tak pernah sekali saya ingkar. Sebab tu walaupun saya sedih dan marah, saya tetap tinggal dekat rumah tu dengan harapan satu hari nanti papa akan datang ambil saya."

"Tapi, papa tak pernah datang, kan?" teka Suraya perlahan. Terlalu dalam simpati yang tercurah ketika ini.

Dr. Adrian mengangguk.

"Dan awak, tetap duduk di situ?"

Dr. Adrian angguk lagi.

"Pada hari saya dihantar ke rumah anak yatim, hari itulah papa ceritakan segala kemelut yang melanda dirinya bersama arwah ibu. Sungguh saya tak tahu betapa sengsaranya kehidupan papa dan arwah ibu sebelum kehadiran saya di dunia ni." cerita Dr. Adrian lagi.

Suraya menarik dalam. Sayu pandangannya merenung ke dalam sepasang mata yang menyimpan pelbagai kisah duka dan perit itu sendirian.

"Dekat rumah tu, Zik saja kawan rapat saya. Zaf masih kecil. Zia pernah datang melawat beberapa kali. Setiap kali datang dia akan bercakap dengan saya. Kasar tapi, sangat bermakna."

"Apa katanya?"

"Hidup jangan bergantung pada manusia. Itu lemah. Kalau nak lawan guna strategi. Ada akal, kan?" ucap Dr. Adrian mengajuk kembali kata-kata Zia lama dahulu.

Suraya tersenyum tipis.

"Dia, baik sangat..." pujinya.

"Hmm."

"Jadi, awak belajar bersungguh-sungguh untuk balas dendam pada Tun Sidek, ke?.. Atau, untuk cari papa?" soalnya ingin tahu.

Dr. Adrian membawa sebelah tangannya mencubit lembut bibir bawah itu. Suraya, mengetap bibir yang baru disentuh.

"Hey, you know it is rude to go against your Atuk." ucap Dr. Adrian lalu tertawa halus. Seketika.

Suraya tersipu. Kesal dengan kesilapan tutur katanya.

"Sorry." ucapnya.

"Bagi saya Tun Sidek berhak marah. Siapa tak marah bila satu-satunya harapan memilih haluan hidup dengan cara yang memalukan. Tentulah orang tua tu kecewa, merajuk dan geram." ulas Dr. Adrian.

"Jadi, kerana papa, awak jadi diri awak sekarang?"

Dr. Adrian mengangguk kecil.

"Siapa lelaki bernama Jay, Adrian? Tan Sri Johari ke?"

Dr. Adrian diam. Terkenang amaran papa suatu masa dahulu.

"Rudy, jangan percayakan lelaki bernama Jay jikalau dia datang cari Rudy."

Amaran itu dipahat dalam benaknya seperti mana dia mengingati maklumat peribadi dirinya sendiri. Dan, kerana yakin alasan lelaki bernama Jay itulah yang memaksa papa menghantarnya ke rumah anak yatim, kemarahan yang ditabur membenih menjadi gumpalan dendam yang hitam. Kini, menunggu waktu sahaja untuk dicurahkan.

"Sekarang, saya tak pasti, Suraya. Sebelum ni saya fikir dialah orang yang papa maksudkan tapi, sekarang tak lagi."

"Kenapa?"

"Pergerakan dia langsung tak sama dengan siasatan kami. Rumours tentang papa sebelum ni dan juga rumours saya sendiri, saya pasti datang daripada Jay. Tapi, bukan Uncle Jo. Jay, seseorang yang berkerja di syarikat. Kalau bukan pun, seseorang yang ada kaitan dengan TSL," ujar Dr. Adrian sebelum diam buat seketika.

"Kita, berhenti dulu tentang Jay. Saya, masih siasat..." pinta lelaki itu kemudian.

Suraya mengangguk. Memahami.

"Adrian..." bisiknya perlahan.

"Hmm?.."

"Mungkin, awak boleh berhenti dari mudah berprasangka. Macam awak ingatkan dekat saya sebelum ni," ujarnya penuh hati-hati. Bimbang niat baiknya disalah erti sedangkan dia cuma mengambil berat. Dia sedar kata hati tidak boleh dijadikan penguat kepada firasat. Boleh jadi benar boleh jadi salah.

"Mungkin, doa yang kita perlukan. Mohon pada TUHAN untuk segala-galanya. Lagipun, kita makhluk yang lemah yang sentiasa perlukan pertolonganNYA." tambahnya separuh berbisik.

"Hmm... Thanks." sahut Dr. Adrian ringkas sebelum mencapai dan mengelus lembut tangannya.

Suraya senyum kecil. Mengambil kata-kata itu sebagai reaksi positif kepada nasihatnya sebentar tadi.

"Suraya..." seru Dr. Adrian pula setelah lama mereka berdua menyepi.

"Hmm?.." sahut Suraya sambil mengerling sekilas.

"Saya ada rahsia besar yang belum lagi saya bagitau awak."

Suraya merenung pula lelaki itu dengan wajah penuh tanda tanya.

"Adrian, awak ni...terlalu misteri. Terlalu banyak rahsia. Apa lagi yang tertinggal?" ujarnya dengan satu senyuman kecil.

Lelaki itu tersenyum tipis lalu, mengiringkan tubuhnya.

"Masa di U, kehidupan saya terlalu bebas. Dulu, ada Ibu Aisyah di rumah anak yatim. Dan Zia memberi nasihat. Tetapi, di kolej, tiada sesiapa. Jadi, saya bebas buat apa saja yang saya mahu,"

Suraya mengangguk mengerti.

"Kawan-kawan saya pulak kebanyakannya budak-budak Cina. Saya senang berkawan dengan mereka sebab saya boleh berbahasa Mandarin dan masa tu mereka ingat saya ni sekulit dengan diorang." kata Dr. Adrian lagi.

Suraya tertunduk menyetujui dalam diam. Sekali pandang, wajah lelaki itu memang macam orang Cina. Tetapi bagi diri Suraya, wajah lelaki itu lebih iras seperti orang Jepun.

"Saya tak pernah solat,"

Suraya mengangkat wajahnya. Mata bertentang mata. Renungan itu penuh dengan rasa bersalah.

"Saya minum arak,"

Bertambah kekesalan dalam pandangan itu.

"Tapi, saya tak pernah tinggal puasa. Tak pernah sekali pun. Sebab, bila berpuasa kenangan dengan papa akan jadi kuat dalam ingatan saya. Mungkin, sebab papa selalu ingatkan keseronokan berpuasa. Tapi, sebenarnya saya tahu sebab apa... Sebab tak ada duit untuk beli makanan jadi papa ajarkan saya supaya suka berpuasa." tutur Dr. Adrian kemudian senyap.

Suraya menjatuhkan pandangan. Sisi gelap yang diperlihatkan oleh lelaki itu ternyata seratus-peratus berjaya merobohkan kubu di hatinya. Hanya membuatkan dia ingin sentiasa berada dekat di samping lelaki itu bukan lagi menjauhi.

"Adrian, awak... masih minum arak lagi?" soalnya penuh hati-hati. Diangkat pandangannya kembali. Melihat Dr. Adrian menggeleng.

"Tak. Sebelum awak masuk berkerja dalam syarikat saya dah berhenti minum. Mungkin salah satu sebabnya, saya pernah terlanjur ceritakan pada Mr. Lee tentang identiti saya dan bagaimana saya mampu beli rumah ni. Sejak dari hari tu saya tahu ianya boleh jadi senjata untuk melawan saya balik. Jadi, saya nekad untuk berhenti." cerita Dr. Adrian mendapat ucapan syukur yang terzahir dalam diri Suraya.

"Boleh saya tanya sesuatu?" soalnya lagi.

Dr. Adrian tidak menjawab. Hanya merenung menanti persoalannya.

"Gosip kaki perempuan yang awak sebut tadi tu...betul ke?" soalnya ingin tahu. Jikalau ada arak bukankah ada perempuan untuk melayani? Namun, persoalan yang bermain mati tatkala mendengar Dr. Adrian tertawa sebentar.

"Tak betul, Suraya. Satu-satunya perempuan yang saya rapat, Zia seorang. Sebenarnya ramai yang nak dekati saya cuma, saya yang tak ada perasaan tu. Hmm... Entahlah."

Suraya membisu. Legakah dirinya setelah mendengarnya sendiri?

"Sekarang, saya nak tanya awak pulak." tutur Dr. Adrian.

"Hah? Apa?" soalnya terkejut. Tidak menyangka dirinya pula akan disoal ketika sedang asyik mengelamun.

"Awak rasa saya masih layak untuk jadi suami awak?"

Spontan dia terpana. Soalan itu bagaikan sebilah belati yang menghunus tepat ke dalam dada.

"Tak, Adrian. Sebenarnya saya yang patut tanya macam tu. Layakkah saya untuk jadi isteri awak?"

"Jangan, Suraya. Awak terlalu baik untuk saya."

Tebal pipi Suraya kerana perasaan bersalah. Benar-benar terasa salahnya sebaik menyedari dirinya dinilai semulia begitu di sisi lelaki itu. Sejenak, dia membawa diri membisu sebentar. Memikir sedalam-dalamnya untuk berterus-terang sahaja pada malam itu bagi merungkaikan semua kekusutan.

"Adrian..," serunya sebaik turut mengiringkan tubuh seperti mana lelaki itu.

"Sebenarnya, saya-.." tuturnya kemudian terdiam. Dada, mulai berdebar. Dan makin berdebar apabila ibu jari lelaki itu menyentuh bawah matanya. Mengusap perlahan.

"Saya-.."

Bertambah pula getar di dadanya untuk mengungkapkan kata-kata tersebut.

"Saya, sukakan awak, Adrian!" ucapnya dengan mata yang terpejam dan wajah yang menunduk. Lain yang mahu diperkatakan lain pula yang terucap meski apa yang meluncur itu merupakan salah satu dari kebenaran.

Ketika lelaki itu mendekatkan dahi mereka berdua, dia hanya diam membisu. Getaran di dada usah dicakap. Hebat bergema. Jiwa diseru bersedia. Meski mempunyai matlamat yang berbeza ketika memeterai perkahwinan itu tanggungjawab yang satu itu tetap terakui untuk disempurnakan.

"Tidur, sayang. Saya dah mengantuk sangat ni."

'Erk?'

Previous: Bab 64
Next: Bab 66

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.