Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 52


"Sedap tak kek tu?"

Suraya tersentak. Jauh dia mengelamun. Cuma, dalam mengelamun, sepotong kek di hadapannya itu tak henti disudu ke mulut. Kini, berbaki sedikit sahaja lagi.

"Oh. Sedap. Rasa mangga."

Hanis dan Kak Rin serentak ketawa. Suraya memandang pelik. Apa benda yang lucu dengan jawapannya tadi?

"Apesal ketawa?" soalnya kebingungan.

"Memanglah rasa mangga. Kau order kek mangga. Tak kan rasa durian. Maksud aku, sedap tak berbanding semua jenis kek yang pernah kau makan sebelum ni," jelas Hanis panjang lebar.

Tersipu-sipu Suraya setelah menyedari situasi sebenar. Juga, kerana gelagatnya duduk termenung tadi diperhati oleh mereka berdua.

"Sinilah aku rasa." kata Hanis sebelum 'mencuri' suapan terakhir yang berbaki itu.

"Erm... Sedap sangat-sangat. Rasa kek dia pun lain dari kedai-kedai yang pernah kita pergi. Mana Kak Rin tau tempat ni?" ujar Suraya menutupi rasa segan dengan ikut berbual.

"Ha'ah. Sedaplah." celah Hanis.

"Dari kawan-kawan. Tak sangka, kan? Dekat aje dengan rumah kita." kata Kak Rin sebelum mencapai seketul tart telur yang berinti keledek.

"Syok lah. Ada port lepak baru." sampuk Hanis bergembira.

Lebih kurang satu jam mereka menghabiskan masa di bakeri itu. Menjamah hidangan makan malam yang ringkas berserta pencuci mulut sebelum masing-masing sepakat untuk ke pasar malam yang berlangsung tidak jauh dari kawasan itu.

"Nak cari apa dekat sini?" tanya Kak Rin ketika mereka bertiga berjalan bergandingan menuju ke arah tapak pasar malam.

"Yong taufu."

Suraya menyahut sambil matanya melilau melihat keadaan sekeliling yang agak hingar-bingar pada jam 9 malam. Makin larut hari, makin meriah kawasan itu dengan kehadiran pengunjung yang mahu membeli di situ. Sebenarnya, dia baru tiba dari Kota Kinabalu pada awal petang tadi. Sebaik Hanis pulang dari kerja dan mewar-warkan rancangan untuk keluar makan malam, terus disambut perancangan itu dengan tangan terbuka. Dah lama betul mereka tidak keluar bersama-sama. Kesempatan yang ada digunakan sebaiknya.

"Eh, baru lepas makan kan? Lapar lagi? Biar betul?" celah Hanis kehairanan.

Suraya tidak menyahut. Tetapi, memang perutnya terasa lapar ketika ini.

"Yaya... Mengandung ke?"

Luas mulut Suraya melopong. Serta merta dia berhenti berjalan. Kak Rin dipandang dengan perasaan tidak percaya.

"Akak?!.. Yaya baru je kahwin kan?.." tuturnya sedikit bengang.

"Laa... Akak tanya je. Lagipun, tak peliklah, Yaya. Bunting pelamin ni bukan benda rare." sahut Kak Rin seraya menarik tangannya untuk kembali bergerak ke tempat yang dituju.

Terkebil-kebil, dia menuruti langkah Kak Rin.

"Ha'ah. Selama aku dok dekat ofis tu, berapa banyak kes bunting pelamin ni aku dengar. Bukan kes bunting aje, kes perang dunia ketiga, affair, cerai dan rujuk. Ah, macam-macam lagilah."

Hanis yang diam tiba-tiba mencelah. Mencelah pula dengan suara yang berbaur kemarahan. Suraya dan Kak Rin sama-sama memandang teman mereka itu. Dalam pada itu, Suraya menarik lega. Selitan Hanis berjaya mematahkan cubaan Kak Rin untuk menghurai dengan lebih lanjut perkara berkaitan dirinya. Dia, benar-benar tidak selesa dihimpit oleh perkara adat setelah berkahwin. Apatah lagi berbicara secara terang-terangan begitu. Dan, apatah lagi ianya perkara yang sulit.

"Err, kau dah kenapa?" tanya Suraya prihatin. Jelas ada yang tidak kena dengan sikap Hanis itu.

"Takde papelah. Cuma bengang hari-hari ngadap cerita rumah tangga. Kalau yang elok tu takpelah jugak. Ini, dah macam pejabat agama ofis aku tu. Lama-kelamaan, aku rasa aku nak mintak tukarlah." luah Hanis dengan spontan. Jika sebentar tadi remang kemarahan jelas terpancar kini, selamba pula reaksi gadis itu.

"Han, ini intro kau nak bagitau yang kau naik pangkat ke apa?" risik Suraya setelah menyedari ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh teman karibnya itu.

Tanpa menyahut, Hanis sengih hingga menampakkan barisan giginya.

"Drama." sampuk Kak Rin membuatkan Hanis tergelak besar.

Siapa di antara mereka berdua yang tidak kenal dengan lagak Hanis yang seumpama wartawan hiburan itu. Apabila pulang dari pejabat, pelbagai kisah dalam lipatan dibukanya. Pelbagai jenis gosip dan skandal dijamunya. Sehinggalah kepada pertikaian, pergaduhan dan perpecahan yang berlaku. Suraya dan Kak Rin terkadang menjadi pendengar setia. Terkadang, mereka memberi nasihat mudah. Laksanakan tanggungjawab atau, jadilah golongan neutral.

"Nak kata naik pangkat tu taklah. Tapi, memang aku bertukar ofis lepas ni." jelas Hanis sebelum mempercepatkan langkah mendekati sebuah gerai yang menjual pakaian dan aksesori. Hiruk-pikuk suasana di sekeliling tidak diendahkan. Masing-masing turut menyerbu gerai itu sambil membelek-belek pelbagai jenis aksesori yang dipamerkan.

"Oo...sebab nilah kau ajak kitorang keluar makan dan belanja kitorang?" soal Suraya sambil mencapai seutas gelang tangan dan menilik rekaan yang dirasakan unik pada pemerhatiannya itu.

"Ha'ah."

"Jadi, kau tukar ke jabatan apa pulak?" soalnya lagi.

"Bertukar level je. Masih jabatan yang sama tapi dikembangkan kepada unit-unit yang khusus." terang Hanis lalu mengambil sekotak kecil kerongsang dan membuat pembayaran.

"Anis seronok tak dengan kerja tu?" celah Kak Rin turut sama membeli sekotak kerongsang. Dia turut prihatin dengan situasi Hanis. Jikalau gadis itu gembira dengan suasana kerjanya tentulah tugasan menjadi lebih produktif. Tetapi, jika sebaliknya mungkin kesulitan demi kesulitan bakal dihadapi.

"Tentulah, kak. Dan jabatan baru ni lagilah Anis suka. Sebab, jabatan ni lebih banyak explore site. Taklah terperap saja dekat ofis." jawab Hanis kemudian tersengih kepada si penjual dan Kak Rin.

"Kau ada nak beli apa-apa, tak?" tanya Hanis kepadanya.

Suraya angguk. Gelang unik itu menjadi miliknya setelah dia membuat bayaran.

"Eh, Adrian ke mana? Kenapa kau tak balik banglo?" tanya Hanis lagi.

Suraya menelan air liur. Tak menjangkakan soalan tentang dirinya akan kembali ditanya.

"Aku mintak izin balik sini. Lagipun, dia takde di banglo." jawabnya separuh betul. Siang tadi sebelum terbang, lelaki itu ada menghubungi. Meminta dia terus pulang ke apartmen kerana lelaki itu mempunyai urusan penting untuk diuruskan. Dia langsung tidak bertanya lanjut. Meneka urusan penting itu tentulah terkait dengan kes yang dihadapi oleh lelaki itu ketika ini.

"Oh. Seronok jugak eh kahwin macam kau. Bebas nak ke mana-mana." getus Hanis bersahaja.

"Isy, apa seronok macam tu? Bagi Kak Rin tak seronok langsung. Tengok akak ajelah. Saling merindu. Bukan terpisah oleh daerah. Benua dan lautan lagi," sahut Kak Rin berupa syarahan.

Suraya pura-pura tidak mendengar. Apabila mendapati terdapat sebuah gerai yong taufu berada tidak jauh dari situ cepat-cepat dia beredar.

"Tapi, ada bagusnya, kak." kata Hanis mempertahankan hujahnya.

"Apa yang bagus tu?" tanya Kak Rin pula.

"Akak sendiri sebut tadi. Saling merindu. Huhu..." jawab Hanis lalu tergelak kecil. Kak Rin turut sama-sama ketawa setelah menyedari point yang diberikan bernas.

"Yaya, kau rindu tak kat Adrian sekarang ni?" soal Hanis sambil berbisik di telinganya.

Merah padam wajah Suraya ketika sedang memilih menu yang dimahukan. Dijeling kedua teman yang sedang menyembunyikan tawa. Mujurlah gerai makanan itu tidak dikerumuni oleh ramai pembeli. Hanya seorang wanita sahaja sedang menunggu pesanannya disiapkan. Tanpa mempedulikan perbuatan mereka berdua, dia terus mencari menu yang dimahukan. Setelah dirasakan cukup, diserahkan pinggan polisterin itu kepada sang penjual untuk disiapkan.

"Yaya mana sempat nak rindu. Kerja satu ofis. Untunglah."

Dia mendengar Kak Rin berkata. Nampaknya mereka berdua belum puas mahu mengenakannya.

"Tapi, jangan kantoi sudah." titip Hanis.

Suraya masih berlakon bisu. Pura-pura tidak mengendahkan.

"Alah, kantoi pun takpe. Dah jadi suami isteri apa lagi diorang boleh buat?"

Dia terpana. Ulasan Kak Rin seperti mengetuk mindanya. Ya. Jika perhubungan itu diketahui oleh syarikat sekalipun apa yang mereka boleh lakukan hanyalah menukarkan mereka ke jabatan yang berlainan. Tetapi, bagaimana pula jikalau lelaki itu ketahui apa yang disimpan di dalam hatinya. Dia tidak nampak jalan lain kecuali perpisahan. Berpisah? Mengapa perkataan itu seperti berat pula untuknya menyebut. Adakah dia mulai suka kepada lelaki itu? Isy, taklah. Masih terlalu awal untuk buat kesimpulan. Dia, cuma menyenangi kehadiran lelaki itu buat masa ini. Lelaki itu tidak membuat sebarang paksaan, begitu juga dengan dirinya. Masing-masing mungkin sedang memberi ruang untuk sesi perkenalan berlabuh lebih lama.

Usai mendapatkan makanan yang dibelinya, mereka duduk pula di sebuah gerai yang menjual minuman dan makanan bergoreng. Sedar tak sedar sudah lebih dari satu jam mereka menapak di pasar malam itu. Perut yang kembali berkeroncong mula meminta diisi. Tanpa berlengah, makanan yang dibeli dijamu di situ juga.

"Lapar betul aku tengok kau ni." tegur Hanis sambil memandang hairan.

"Dah aku makan kek dengan tart je tadi. Mana tak lapar."

"Yaya yang jual mahal. Kata makan kek pun boleh kenyang. Hah, sampai mana kenyangnya? Baru berapa langkah keluar kedai dah mintak makan." sindir Kak Rin sebelum tergelak kecil.

Suraya membuat muka tak puas hati. Nampaknya malam itu teruk dia dikenakan oleh mereka berdua. Macam dah berpakat untuk mengasaknya dengan pelbagai soalan. Tetapi, pakatan mereka sedikit pun tidak disimpan dalam hati. Dengan bersahaja dia menjamah makanan sehingga licin dikerjakan.

"Kak Rin hari ni lain macam happylah. Dari siang tadi Yaya tengok. Ada apa ni?" tanya Suraya usai siap menjamu selera.

"Haha! Perasan jugak Yaya, eh?" sahut Kak Rin sambil tersenyum simpul.

"Ha'ah. Anis pun perasan. Sejak dua menjak ni selalu dengar Kak Rin menyanyi sorang-sorang. Happy betul." tokok Hanis sebelum ketawa kecil.

"Alaa... Ingatkan nak bagi surprise. Tak sangka kantoi pulak."

"Surprise apa, kak?" tanya Suraya terlebih dahulu. Tak sabar mahu tahu kejutan yang bakal diterima dari wanita itu.

"Ada dua surprise. Satu, husband akak akan tamat kontrak kerja cukup bulan ni-.."

"Kontrak kerja tamat Kak Rin happy? Biar betul, kak?" sampuk Hanis hairan.

Kak Rin tersengih lalu tertawa kecil.

"Adoii... Kau ni Anis, tak nyempat-nyempat. Sabar..." sahut Kak Rin ceria.

"Kan kitorang akan mulakan bisnes. Bila kontrak dia tamat, secara rasmi bisnes kami dapat bermula."

"Oo.." ucap Hanis diiringi rasa segan kerana telah tersalah menafsir.

Suraya menggelengkan kepala melihat aksi teman baiknya itu. Sudahlah menyampuk cakap orang, tersalah faham pula.

"Yang kedua?" soalnya lagi. Ingin mendengar keseluruhan berita yang mahu disampaikan.

"Fasa pertama bisnes dah berjaya. Semuanya fully booked!"

"Yeayy!!!" sahut Suraya dan Hanis serentak. Melihat reaksi gembira Kak Rin bercerita, mereka berdua turut ikut teruja. Setahu Suraya, agensi pelancongan yang dimiliki oleh Kak Rin tidak sama seperti agensi yang pernah diikuti sebelum ini. Agensi Kak Rin tertumpu kepada percutian mengikut jalan darat daripada udara. Bermakna, agensi itu menawarkan pakej pelancongan ke negara-negara di daratan Asia sahaja.

"Tapi, apa yang surprise tu?" tanya Hanis merasakan ada sesuatu yang masih tertinggal.

Kak Rin spontan tergelak. Kedua keningnya terangkat-angkat bermain dengan emosi teman-temannya itu. Hanis buat muka tidak sabar. Begitu juga Suraya.

"Untuk kenalan rapat, akak tawarkan 30 peratus off. Termasuk korang dan keluarga korang berdua. Tawaran ni sekali sahaja." umum Kak Rin dengan senyuman yang tidak putus diukirkan.

"Wah, banyak tu tiga puluh. Destinasi?"

Suraya mengajukan soalan. Gelas minuman berperisa soda di hadapannya dicapai lalu disedut.

"Asia."

"Asia? Wow. Tak kira mana-mana destinasi. Tapi, sekali tu apa maksudnya?" tanya Hanis pula.

"Satu trip sahaja. Next trip kena bayar penuh." terang Kak Rin lagi.

Hanis mengangguk kecil. Pandangannya terarah kepada Suraya yang sesekali melirik memerhati gelagat pengunjung.

"Kau nak honeymoon kat mana, Yaya?"

Serta merta Suraya terbatuk kecil. Gelas minuman disedut lagi sebelum dia menggelengkan kepala beberapa kali.

"Kau ni!.. Lain kali kalau nak beri soalan cepumas sila bagi amaran dulu." getusnya tidak puas hati.

Hanis bermuka selamba.

"Mana ada plan honeymoon. Aku busy, dia pun sama." tambahnya. Kurang senang kerana sisipan dirinya belum habis digali. Lagi kurang senang kerana perkara itu perkara peribadi!

"Laa... nama pun plan. Bukanlah sekarang...Lagipun, Kak Rin bagi offer sekali seumur hidup. Tak tahun ni, tahun depan." omel Hanis lagi bagai emak emak yang bimbangkan anak perempuannya.

"Kalau macam tu, tahun depan ajelah kau tanya aku." tuturnya acuh tak acuh.

"Takpe, Yaya. Akak tak kisah pun bila korang nak buat trip. Yang penting, doakan bisnes akak berjaya. Untung-untung, kita tunggu Anis kahwin. Kita buat triple date sama-sama." cadang Kak Rin langsung disambut oleh Hanis.

"Wah, menarik tu Kak Rin. Tapi, kena tunggu Anis lah, eh? Sanggup ke?"

"Alah, trip Anis masuk third round pun boleh, kan? Sebab akak mungkin malas nak tunggu." balas Kak Rin disambut tawa halus oleh Hanis.


"Adrian, okay layan Yaya?"

Suraya yang sedang menyidai kain di balkoni tergamam sebaik menyedari kehadiran Kak Rin di situ. Dia mengangguk kecil dan menempelkan satu senyuman sebelum menyambung kerja menyangkut baju pada rak sidaian itu. Sebaik pulang tadi, baru dia teringat baju yang dibasuh menggunakan mesin basuh belum sempat dijemur. Mujurlah dia masih ingat daripada terus membiarkan pakaiannya itu berbau kerana dibiarkan semalaman tidak berjemur.

"Eloklah tu. Dan Yaya, kena faham. Perkahwinan macam ni perlukan masa untuk saling memahami. Tak mengapa jikalau ada perbezaan pendapat atau berbeza minat. Nak terus beri komitmen, kepercayaan dan kesetiaan tu perlukan masa,"

Spontan dia berpaling. Kata-kata terakhir Kak Rin menarik perhatiannya. Kak Rin senyum. Dan tanpa perlu menyoal, Kak Rin seakan memahami apa yang bermain di fikirannya. Masa, sesuatu yang diperlukan olehnya dalam perhubungan itu. Tetapi, masa juga seperti sedang mengejarnya. Supaya tidak berlengah dalam usahanya itu.

"Yang penting hormati, ambil berat, memahami dan berusaha. Inshaallah, perasaan tu lama-kelamaan akan muncul. Dan, bila dah muncul jangan pendam atau padam. Balas."

Dia, termangu lagi. Usaha. Dan selepas kalimah itu dia meletakkan tanda titik.

Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.