Perjalanan yang mengambil masa kira-kira dua jam itu tiba sebelum masuk waktu tengah hari.
Sesampai di rumah, suasana masih sunyi dan sepi. Hanis, masih belum tamat dari menjalani kursus. Lokasi kursus itu pula tidak jauh. Sekitar ibukota sahaja. Begitu juga dengan Kak Rin yang sudah lama tidak ketemu. Jadual wanita itu lagilah padat berbanding teman baiknya.
Malam tadi, Suraya mengirimkan pesanan kepada Kak Rin memaklumkan kedatangan orang tuanya ke rumah itu. Seperti biasa, Kak Rin mempelawa kedua orang tuanya agar bermalam sahaja di rumah itu. Namun abah dan mummy terpaksa menolak. Abah, perlu bertugas pada keesokannya pula. Dia juga ada menerima satu pesanan daripada Dr. Adrian. Oleh kerana di saat-saat akhir lelaki itu mempunyai urusan yang lain, Dr. Adrian mencadangkan supaya pertemuan itu diadakan di lobi apartmen sahaja. Setelah ditanyakan pendapat abah, persetujuan dicapai.
Hati kecil Suraya gusar semenjak semalam lagi. Dia tidak dapat lari dari rasa berdebar setiap kali teringatkan pertemuan yang bakal berlangsung itu. Abah pula seperti sengaja mendera emosinya. Apabila ditanya, dikunci rapat mulut. Enggan membocorkan tujuan pertemuan itu nanti. Nak tanya mummy? Langsung tiada apa-apa hint. Nampaknya rahsia itu pecah di perut abah seorang.
Setelah merapikan dirinya, Suraya keluar dari bilik tidurnya. Menyertai abah dan mummy yang sedang mengambil angin di balkoni.
"Yaya tak rasa mahal ke sewa sebanyak tiga ratus sebulan?"
Suraya terkedu ketika soalan itu yang menyapa kemunculannya di situ. Sambil bersandar pada pintu gelongsor, kedua belah tangan berpeluk tubuh. Kedua orang tuanya yang sedang duduk berdampingan itu ditatap penuh kasih.
"Tak, mummy. Ada yang sewakan lagi mahal daripada apa yang Yaya dan Hanis dapat. Kitorang berdua ni kira beruntung sangat-sangat dapat tuan rumah macam Kak Rin." jelasnya.
Abah dan mummy berbalas pandang. Kedengaran ucapan syukur keluar dari mulut mummy.
"Kawasan tengah bandar ni, Nor. Tentulah dah jadi normal kadar tu pada zaman sekarang ni." ucap Encik Ahmad Fauzi kepada isterinya. Mummy terangguk-angguk tanda faham sambil tersipu.
"Kalau macam tu, bersyukurlah dapat Kak Rin sebagai tuan rumah. Nanti, jangan lupa sampaikan ucapan terima kasih dari mummy kepada Rin, ye. Sekali dengan hadiah tu." pesan mummy.
"Alright." sahut Suraya bersahaja.
Mummy yang dikenali sentiasa memiliki sikap mengenang budi. Kain pasang untuk membuat kebaya nyonya bakal menjadi buah tangan kepada Kak Rin. Belum puas berbual, bunyi telefon pintar yang ditinggalkan di dalam bilik kedengaran. Bergegas dia kembali ke bilik dan seperti dijanjikan tepat jam 2.00 petang dia mendapat panggilan daripada Dr. Adrian.
"Suraya, saya dah sampai." ucap lelaki itu sebaik menyambut panggilannya.
"Okay. Tunggu kejap, bos. Nanti kami turun." sahutnya melayani perasaan gemuruh yang makin asyik mengacau.
Abah dan mummy dimaklumkan akan kedatangan Dr. Adrian. Sambil menyarungkan tudung ke kepala dia membukakan pintu dan mempersilakan kedua orang tuanya untuk keluar.
Setibanya mereka di perkarangan lobi yang seringkali lengang itu, Dr. Adrian sudah terpacak menunggu. Lelaki itu tampak santai dalam t-shirt polo putih berlengan pendek dan sepasang jeans hitam. Sebaik pandangan mereka bertemu cepat-cepat Suraya melarikan lirikan. Malu dan bimbang saling berlumba ketika ini. Menghampiri Dr. Adrian, barulah dia membuka mulut.
"Suraya."
Dr. Adrian terlebih dahulu menyapa. Terkelu Suraya buat seketika.
"Dr. Adrian, kenalkan abah dan mummy saya. Abah, mummy, ini bos Yaya, Dr. Adrian." ucapnya memperkenalkan diri mereka bertiga.
Dr. Adrian terlebih dahulu menghulurkan tangan. Digenggam tangan abah dan alangkah terkejut Suraya tatkala menyaksikan lelaki itu tunduk dan menciumi tangan abah. Seperti Suraya, riak abah bersamaan dengan mummy. Ketiga-tiga mereka diserbu kekagetan.
"Eh, Dr. Adrian tak perlulah sampai macam tu." kata Encik Ahmad Fauzi sedikit segan ketika menarik tangannya kembali.
Dr. Adrian hanya senyum.
"Panggil saja Adrian. Dan, memang patut saya buat macam tu. Yang tua, kan perlu dihormati."
Bibir Suraya terbuka sedikit mendengarkan kata-kata Dr. Adrian itu. Tetapi, cepat-cepat ditutup kembali.
'Amboi, pandai pulak Dr. Adrian ni bermanis mulut ye.' Sempat hati kecil mengomen tindakan bosnya itu.
"Eh, marilah kita duduk dulu dari berdiri macam ni." seru Encik Ahmad Fauzi lalu keempat-empat mereka mendekati tempat duduk yang disediakan.
Meski keluasan ruang itu agak terhad, reka bentuk minimalis mengurangkan keadaan yang kelihatan sempit. Dinding dengan wainscoting putih dilatari dengan warna hijau lumut yang lembut. Ia diserikan pula dengan sofa dua tempat duduk dan dua buah kerusi single. Sebuah meja kopi yang diperbuat daripada kayu menjadi pelengkap.
Suraya dan Dr. Adrian mengambil tempat masing-masing ketika abah dan mummy duduk di sofa.
"Pak cik dan mak cik sihat?" tanya Dr. Adrian sejurus duduk. Sebenarnya dia terlalu gembira pada hari itu. Tak sangka betul dia dapat bertemu dengan dua orang insan kesayangan Suraya dalam masa terdekat ini.
"Alhamdulillah, sihat. Pertama, pak cik nak minta maaf sebab panggil Adrian untuk berjumpa. Tapi, pak cik kena jumpa jugak sebab pak cik bimbangkan keselamatan anak pak cik bila diberitahu dia akan turun ke site pada waktu malam." terang Encik Ahmad Fauzi akan tujuan sebenar pertemuan itu.
Spontan, Suraya menutup mulut dengan kedua belah tangan. Melindungi senyuman yang meleret sebaik mendengar bicara itu. Nampaknya abah tiada hasrat nak suruh dia berhenti kerja.
'Yeay!'
Kini senang betul hatinya setelah mengetahui duduk pangkal pertemuan itu.
"Saya faham, pak cik," kata Dr. Adrian. Sempat dia mengerling ke arah Suraya dan reaksi gadis itu tertangkap di layar mindanya. Terfikir entah perkara apa yang telah membuatkan gadis itu tiba-tiba kelihatan gembira.
"Untuk pengetahuan pak cik, site yang kami uruskan merangkumi kawasan bandar saja. Dan kebanyakan tugas adalah pada siang hari. Waktu malam tu memang ada tapi, atas keadaan tertentu. Lagipun, pak cik tahukan keadaan bandar KL pada waktu malam. Juga bandar-bandar lain di sekitar Selangor. Tak pernah sunyi. Tapi, kalau pak cik khuatir juga, saya akan usahakan supaya Suraya dapat melakukan kerja pada waktu siang sahaja. Cuma, saya tak berani nak janji." jelas Dr. Adrian panjang lebar dengan perasaan tenang. Dia, sudah terbiasa menerima pertanyaan tentang sistem kerja itu daripada mereka yang kurang berpengetahuan tentang bidang itu.
"Macam mana pulak dengan driver yang bawa anak pak cik? Boleh dipercayai ke?" soal Encik Ahmad Fauzi meluahkan keraguan yang satu itu. Apa tidaknya. Berapa banyak kes berkaitan dengan salah laku pemandu sejak akhir-akhir ini. Memandu secara berbahaya dan melanggar peraturan jalan raya itu kerap didengari. Berkelakuan kurang sopan terhadap penumpang wanita itu yang menjadi masalah bagi Encik Ahmad Fauzi. Walaupun dia sedar anaknya itu mempunyai kemahiran dalam seni pertahanan diri tetapi, apalah yang mampu menghalangi seorang bapa dari perasaan kebimbangan.
"Inshaallah boleh, pak cik. Kami tak sekadar tangkap muat. Pemilihan driver pun perlu dibuat dengan berhati-hati walaupun mereka cuma bertugas sebagai pemandu. Sebab, kerja kami berkait rapat dengan kualiti dan masa,"
Suraya, mencuri pandang kepada lelaki itu kemudian, kedua orang tuanya. Wajah mummy tak lekang dengan senyuman. Senang agaknya mendengar penjelasan itu. Manakala abah pula seperti masih memikirkan sesuatu. Baru saja mahu bertenang rasa resah mencuit kembali.
'Tolonglah, abah. Izinkan Yaya teruskan dengan kerja ni.'
"Tapi, kalau pak cik masih bimbang, saya tak boleh buat apa-apa. Nama Suraya terpaksa saya gugurkan dari team dan dia boleh teruskan kerja-kerja buat report di pejabat seperti biasa." ujar Dr. Adrian. Satu senyuman dipamerkan. Menunjukkan dia mampu mengotakan kata-kata itu meski hatinya memekik jangan.
Encik Ahmad Fauzi melirik ke arah Suraya kemudian, Dr. Adrian. Satu sentuhan di lengan daripada isteri tercinta membuatkan wajah kekasih hati itu ditenung sebentar. Dikalih ke arah Suraya kembali.
"Yaya, macam mana dengan Yaya sendiri?" soalnya.
Suraya tergamam seketika. Kesemua mata memandang dan menunggu. Menanti maklum balas darinya.
"Yaya percayakan syarikat Yaya, abah. Dah jadi polisi syarikat melindungi hak-hak pekerja. Soal tu Yaya tak bimbang." ucap Suraya sekaligus membuatkan Encik Ahmad Fauzi kembali bersuara.
"Baiklah. Abah izinkan Yaya dengan pekerjaan Yaya tu."
Lebar senyuman Suraya hingga menampakkan barisan giginya. Tidak perasan seseorang yang sedang memerhati turut mempamerkan segaris senyuman.
"Dr. Adrian, tolong jaga anak pak cik baik-baik." pesan Encik Ahmad Fauzi berbaur pengharapan.
"Inshaallah. Terima kasih, pak cik, mak cik. Percayalah. Suraya cekap dalam berkerja. Dan, sudah tentu kerana didikan pak cik dan mak cik juga. Sejak kali pertama jumpa Suraya, saya sedar sikap dia bakal membawa dia lebih jauh lagi. Tak kira sebarang tugasan, saya yakin Suraya mampu melaksanakannya." ulas Dr. Adrian menyebabkan Encik Ahmad Fauzi tidak dapat lari dari perasaan berbangga.
Suraya pula tersipu malu. Juga tertanya-tanya. Sikap apa yang dia ada hinggakan Dr. Adrian memandang tinggi kepadanya?
"Saya minta maaf. Saya tak dapat duduk lebih lama sebab ada janji yang lain. Kalau awal-awal saya tahu pak cik nak berjumpa, tentu saya kosongkan jadual saya hari ini." tambah Dr. Adrian setelah jam di pergelangan tangannya dikerling sekilas.
Encik Ahmad Fauzi mengangguk kecil. Faham akan kesibukan bos muda itu.
"Terima kasih sebab sudi jumpa pak cik." katanya benar-benar memaksudkan.
"Eh, tak pak cik. Saya yang perlu berterima kasih pada pak cik sebab kalau pak cik tak jumpa saya, takkan saya tahu masalah segelintir staf bawahan saya." luah Dr. Adrian jujur.
Encik Ahmad Fauzi bingkas bangun diikuti oleh isterinya, Dr. Adrian dan Suraya. Kedua orang lelaki itu berjalan beriringan di depan manakala Suraya dan mummy pula di belakang. Bersama-sama, mereka melangkah menuju ke pintu utama.
"Mummy tengok bos Yaya tu tak annoying pun."
'A...la...mak!!!'
Wajah Suraya pucat lesi. Suara mummy walaupun perlahan tetap dapat didengari kerana jarak di antara mereka sangat kecil. Dia terdengar Dr. Adrian tiba-tiba berdehem beberapa kali.
'Ah, sudah!'
Sambil menggigit hujung kuku matanya terkelip-kelip melirik ke arah Dr. Adrian.
'Dengarkah dia?'
Ketika berada di luar perkarangan pintu masuk, Dr. Adrian meminta izin daripada abah untuk berbincang dengannya tentang tugasan mereka pada minggu hadapan. Abah memberi keizinan. Keduanya menjarakkan diri namun tetap memerhati.
"Phone." kata Dr. Adrian menyeluk poket jeans dan telefon pintar itu dikeluarkan. Wajah gadis itu nampak keliru namun dihulurkan juga telapak tangannya.
"So, I'm Mr. Annoying?"
Wajah Suraya serta-merta merah padam. Terlalu malu hinggakan wajah itu dibawa memandang ke bawah.
"Sorry." ucapnya perlahan. Terlalu ketara wajah malu yang tak mampu disembunyikan itu.
Dr. Adrian ingin sekali melepaskan ketawa besar. Namun, menyedari perlakuan mereka sedang dalam perhatian membuatkan dia harus mengawal gerak-gerinya itu.
"Tak mengapa. Saya tahu awak tak sengaja. Dan, saya pun nak mintak maaf."
Suraya mengangkat wajah. Dahinya sedikit berkerut.
"There's no task for you next week, Suraya."
'Hah?'
Suraya terpinga-pinga. Masih belum mengerti maksud lelaki itu.
"Jadi, untuk apa telefon ni?"
Telefon di tangan dihulur ke depan.
"Keep it. Nanti bila saya nak saya akan suruh awak pulangkan." ujar Dr. Adrian selamba. Helahnya berjaya. Minggu hadapan dia mempunyai alasan untuk gadis itu sendiri datang berjumpa dengannya.
"Oh. Awak main-mainkan saya, ye?" ucap Suraya sedikit marah. Kalaulah kedua orang tuanya tiada di situ dah lama dipijak kaki lelaki itu. Geram!
Dr. Adrian tergelak kecil. Namun, seketika sahaja.
"Okaylah, Suraya or Yaya. See you." kata Dr. Adrian mengenyitkan mata sebelum pantas beredar menuju ke kereta yang diparkir tidak jauh dari kawasan itu.
"Hei, berani awak!!!" Terkejut dengan aksi spontan lelaki itu Suraya pantas memarahi dengan suara sedikit tinggi. Terlupa akan keberadaan orang tua yang setia memerhati. Apabila dipusingkan tubuh barulah dia sedar akan perlakuannya itu berada di dalam radar abah dan mummy. Gulp!