Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 6


Selesai merapikan tudung di kepala, Suraya bergegas keluar dari bilik. Kedua orang tuanya sedang duduk di ruang tamu dalam persalinan baju kurung dan melayu. Segak sekali penampilan bapanya bersampin tenun tangan hadiah daripada mummy bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 25 tahun. Kalau bab melaram, berilah kepada bapanya itu. Sakan!

Tetapi, Suraya gemar akan rupa bapanya ketika bergaya. Rambut ikal yang dipotong pendek sentiasa disapu minyak agar tidak kering. Sebagai seorang pegawai kerajaan, pekerjaan banyak mempengaruhi penampilan bapanya. Jikalau tidak ke pejabat, bapanya gemar mengenakan kemeja berlengan panjang dan sepasang seluar slack hatta ke kedai kopi apabila dipelawa oleh teman kejiranan. Namun, apabila santai di rumah cukup sehelai pagoda dan berkain pelikat.

"Marilah kita pergi... Tak sabar mummy nak tengok apa lagi yang tak cukup." kata Puan Norlin sebaik terpandangkan Suraya di situ.

"Mummy ni macam dia pulak nak terima menantu." usik Encik Ahmad Fauzi membuatkan Suraya tergelak kecil.

"Apa tu?" soal Suraya sebaik tawanya mati. Sambil duduk bertenggek di tepi sofa, lirikannya jatuh kepada sebuah bungkusan plastik putih di atas meja kopi.

"Kain alas meja. Mummy Yaya ni punya tak sabar nak dapat menantu sampaikan senyap-senyap dia beli kain tu secara online. Dua jenis pulak tu." sahut Encik Ahmad Fauzi terlebih dahulu.

Suraya kehilangan kata. Amboi, dah dua kali perkataan menantu terlepas di mulut abah. Ada apa-apa ke? Jangan-jangan, mummy dah terpengaruh dengan kata-kata Mak Jah dahulu!

"Abang jangan fitnah Nor, ye. Nor bukan tak sabar nak bermenantu... Nor cuma geram tengok kain-kain ni semua. Dahlah coraknya cantik, murah pulak tu."

Suraya menarik lega mendengar penjelasan mummy itu.

"Tapi, kenapa mummy beli kain alas meja? Bukan kain pasang?" soalnya kehairanan.

Puan Norlin, tersipu-sipu dengan senyuman.

"Nak buat macam mana, Yaya. Kain pasang dalam almari tu banyak lagi yang belum berjahit. Nak beli cadar mummy baru beli tiga bulan lepas. Kali ni sengaja mummy buat kelainan sebab mummy tak pernah ada stok kain alas meja ni."

Suraya menepuk dahi. Bapanya tergelak besar. Karenah mummy yang satu ini kadang kala mengundang perasaan geram kepada dirinya. Tabiat yang gemar berbelanja tanpa berfikir panjang itu sering mendatangkan kesan yang buruk sahaja. Tetapi, kata mummy, berbelanja begitu mampu menjadi terapi minda buatnya.

'Alasan, mummy... Alasan!'

"Habis tu, kenapa sampai dua?" Dia memprotes. Sedikit tidak puas hati dengan bilangan yang dibeli.

"Mummy tak tahu yang mana satu mummy nak. Dua-dua kain ni cantik sangat."

Makin galak pula bapanya ketawa. Suraya mengeluh perlahan. Kesal pulak kerana disebabkan oleh dialah mummy pandai berbelanja di atas talian. Sebelum ini, beria-ia mummy meminta mengajarkan cara-cara menggunakan aplikasi membeli-belah itu. Kerana tidak mahu mummy ketinggalan dengan kemajuan teknologi, diajarkan juga kaedah menggunakan beberapa aplikasi atas talian. Sekarang, hadapilah hasil tuaiannya itu!

"Alah, tapi tak rugi pun... Mummy dah tanya Mak Long, dia berkenan dengan warna maroon ni." sahut mummy menafikan sebarang risiko dalam pelaburannya itu.

Suraya menjeling kain berwarna merah bata yang ditarik keluar sedikit oleh mummy dari bungkusan. Tidak dinafikan sememangnya pilihan mummy itu memang cantik. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Bapanya langsung tidak mahu campur tangan. Bagi bapanya, apa saja yang menjadi kegembiraan isterinya, kebahagiaan juga bagi dirinya.

"Yaya tak tahu nak cakap apa lagi. Tapi, kalau boleh, mummy janganlah membeli sampai tahap membazir." Dia mengingatkan dengan lemah-lembut.

Sambil berjalan beriringan dengan mummy ke arah dua buah khemah yang dipasang di tengah-tengah jalan, dia memerhatikan keadaan sekitar. Lorong di hadapan rumah sekali lagi ditutup buat sementara bagi meraikan majlis yang bakal berlangsung. Keadaan itu mengingatkan dirinya akan majlis kesyukuran yang diadakan sebelum ini. Cuma, ianya berbeza kerana majlis kali ini lebih meriah dengan lantunan selawat dan alunan nasyid yang tidak henti dari tadi.

Jauh di sanubari, terdetik perasaan sayu mengenangkan langkah demi langkah yang bakal diambil oleh Hanis selepas ini. Rupa-rupanya, nekad Hanis bulat. Walaupun puas dia memujuk agar perkenalan mereka itu dilanjutkan buat satu tempoh lagi, gadis itu enggan. Tempoh pertunangan yang diizinkan oleh Pak Long dan Mak Long sudah seperti satu rahmat buat Hanis dari terus terjun melangsungkan perkahwinan. Dan, walaupun nampak buru-buru, Suraya sentiasa menyokong keputusan temannya itu. Lagipun, mereka buat benda baik kot!

"Yaya, mari tolong mummy." pinta Puan Norlin.

Masing-masing memegang hujung kain yang berbidang lebar itu untuk dihamparkan di meja panjang yang bakal diletakkan dengan dulang lauk pauk. Raj, anak bongsu Aunty Lela yang baru tamat persekolahan datang menghampiri dengan membawa sebiji bakul mengandungi kotak tisu dan sudu garpu pakai buang. Lalu, remaja itu mula menyusun kerusi ke setiap meja makan yang ada. Suraya pula terus sibuk menghamparkan kain alas di setiap meja bulat. Mummy pula sedang mengeluarkan kotak tisu untuk diagihkan ke setiap meja yang ada.

"Nor!"

Sapaan seorang tetamu wanita yang baru tiba mengejutkan dirinya yang hanyut dalam dunia sendiri. Seperti magnet, Suraya berpaling untuk melihat gerangan tetamu yang menyapa itu. Terkesima dirinya buat seketika menyaksikan kehadiran yang anggun dari wanita itu. Bukan sahaja penampilan yang menawan, rupa klasik seperti seniwati era hitam putih itu membuatkan dia tenggelam dalam pesona.

"Ya ALLAH, Kak Azah!.. Lamanya tak jumpa!.." sahut Puan Norlin sambil merangkul wanita yang bernama Azah itu.

"Yaya, mari sini. Mummy rasa Yaya dah lupa siapa ni."

Tersipu-sipu Suraya mendekati sambil tersenyum malu. Dihulurkan tangan menyalami wanita itu. Puan Azah, terus menariknya ke dalam pelukan. Suraya terpempan. Setelah beberapa detik barulah wanita itu meleraikan rangkulan sambil tersenyum memandangnya.

"Teringat dekat Azura, Nor."

Tangannya terasa erat dipegang. Sedangkan dia, masih dibiar kekeliruan.

'Siapa pulak Azura?'

"Yaya, inilah makcik Azah. Makcik Azah ni Mak Usu kepada Hanis." jelas Puan Norlin menyedari wajah keliru yang terpamer di hadapannya.

"Panggil Maksu aje, Yaya." Puan Azah menyampuk.

Suraya senyum sebelum mengangguk kecil.

"Kali terakhir Maksu jumpa Yaya rasanya lebih lima belas tahun lalu. Yaya kecil lagi waktu tu. Tentu dah lupa dekat Maksu."

Suraya masih tersipu. Patutlah dia tidak mengecam wanita itu. Mummy, mempelawa Puan Azah duduk di meja bulat berhampiran. Dia pula kembali menyambung tugas mummy yang tertangguh sebentar tadi. Sesekali, terdengar suara mummy dan Maksu Azah ketawa. Dia tertanya sendirian. Hanis, tidak pernah menyebut nama Maksu Azah sebelum ini. Mungkinkah dia yang tidak begitu prihatin sewaktu Hanis bercerita?

"Akak datang dengan siapa?"

Suraya mendengar mummy menyoal ketika kotak tisu terakhir diletakkan di atas meja. Kemudian, dia kembali ke meja panjang untuk menguruskan bungkusan sudu dan garpu.

"Azlan. Tu, dia yang berbaju hijau tu."

Entah kenapa Suraya turut menoleh melihat empunya diri yang merupakan sepupu kepada Hanis. Seorang lelaki muda di dalam t-shirt polo berwarna hijau gelap sedang berbual dengan ahli keluarga Hanis di bawah khemah kecil di perkarangan rumah. Dari agakannya, lelaki itu lebih kurang sebaya dengannya.

Selesai kerja-kerja di bawah khemah itu, mereka bertiga beransur pula ke dalam rumah. Suraya sudah tidak sabar untuk bertemu dengan teman baiknya itu. Senyap-senyap, dia menyelinap ke dalam bilik tidur Hanis yang dipenuhi dengan sanak saudara yang sedang menjadi penonton memerhatikan wajah Hanis disolek oleh seorang juru mekap.

Terpandangkan dirinya di muka pintu, melingkar sebuah senyuman di bibir Hanis. Suraya membalas. Sebaik Hanis berpaling, dia keluar dari situ. Beredar ke sebuah anjung yang terletak bersebelahan bilik temannya itu. Sesungguhnya, selok belok di dalam rumah itu sudah berada di dalam kepalanya. Rumah keluarga Hanis itu sudah seperti rumah keduanya. Setiap sudut dalam rumah itu menjadi saksi keakraban hubungan persahabatannya dengan Hanis. Dan, setiap sudut itu juga menyimpan pelbagai kenangan ketika dia datang bertandang untuk bermain di rumah itu.

"Yaya, apa kata tahun pertama kita kerja, kita explore pulau dulu."

"Wow, bagus tu. Sepanjang kita belajar, bebudak marine tak habis-habis promote ke pulau. Tak sabar aku nak jejak kaki. Biasa tengok gambar aje." luahnya dengan perasaan teruja.

Ketika itu, mereka baru menamatkan pelajaran dan masih menunggu untuk panggilan berkerja. Di halaman rumah itu, mereka duduk berbual dan berbincang tentang masa hadapan. Tentang perancangan yang ingin dilaksanakan bersama-sama, tentang impian kehidupan dan tentang bucket list!

Sebu di dada yang ditahan sejak tadi terluah jua. Hanis, bakal menjadi tunangan orang sebentar lagi. Fakta yang dalam diam membuatkan perasaannya bertukar hiba. Hilanglah satu-satunya teman baik yang dia ada selama ini. Mungkin juga, impian mereka kelmarin. Sebenarnya, sejak dari mula Hanis bersuara untuk melangsungkan pertunangan, dia sudah berasa kehilangan. Dia belum bersedia menghadapi hari di mana Hanis akan memulakan satu fasa baru di dalam kehidupannya. Irfan, akan membawa Hanis jauh dari hidupnya. Dan jauh dari impian yang mereka berjanji untuk melaksanakan.

"Yaya!"

Suraya terkejut. Cepat-cepat disapu setitis air mata yang berjaya tumpah.

"Oh, dah siap mekap ke?" soalnya, pura-pura ceria.

"Dah. Aku nak bergambar dengan kau."

"Laa.. Kejap lagilah waktu majlis berlangsung nanti." tolak Suraya sambil otaknya memerah alasan untuk menolak dari mengambil gambar ketika itu.

"Yaya, kau kenapa? Aku tengok kau macam tak suka aku bertunang ni?" tanya Hanis sekaligus mendapat jawapan tatkala wajah yang sedang mengukir senyuman kelat itu tiba-tiba berubah sepintas lalu.

"Tak payah nak sorok. Dari hari tu lagi aku perasan, Yaya." tambah Hanis enggan lagi memendam rasa sangsi yang mencuit tatkala melihat wajah muram itu tiba-tiba muncul tatkala hal ehwal pertunangannya ditimbulkan.

"Biar aku berterus-terang jelah," sahut Suraya, juga enggan memendam lebih lama perasaan itu.

"Dalam masa yang singkat kau bertunang. Tak mustahil bulan depan atau hujung tahun ni kau nak kahwin pulak. Aku, macam mana?"

Sepi.

Hanis senyum nipis. Kebimbangan Suraya menyenangkan dirinya. Dia, benar-benar bersyukur memilki seorang teman yang kasih kepadanya.

"Suami dan tunang dua perkara berbeza, Yaya. Selagi aku masih bergelar tunangan orang kau menjadi orang yang aku hidup bersama-sama. Kita nikmati momen kehidupan tu sebelum aku bertukar status, okay."

Suraya terkedu. Ya. Betul kata Hanis. Mengapa dia sibuk memikirkan perkara jangka panjang yang entahkan bila akan berlaku. Sedangkan dia patut memikirkan sisa-sisa keemasan yang mereka punyai untuk dinikmati bersama-sama.

"OK. Sorry sebab overthinking tadi." akuinya sedikit segan.

"Hmm..," sahut Hanis sebelum melepaskan satu keluhan.

"I hate you, Yaya."

"I hate you, Han."

Serentak keduanya berkata sebelum sama-sama terpaku. Lama mereka begitu lalu kedua-duanya tergelak kecil. Lucu memikirkan keseragaman mereka dalam berkata-kata.

"Jom." ucap Suraya terlebih dahulu.

Hanis mengangguk.

"I love you to death, Yaya." bisik Hanis.

"I know you do." sahut Suraya dengan perasaan puas sebelum mereka tertawa bersama-sama.

Majlis pertunangan itu berjalan dengan lancar. Pihak lelaki membawa tiga buah dulang hantaran dibalas lima daripada pihak perempuan. Wang hantaran dan tempoh pertunangan dibincangkan. Jurucakap pada hari itu adalah bapanya. Patutlah lain macam abah melaram!

Hanis yang duduk menunggu di dalam bilik dibawa keluar oleh Puan Sharifah Hassanah menuju ke sebuah pelamin comel yang dihias indah dengan bunga-bungaan. Sepersalinan baju kurung moden berona pic lembut itu menyerlahkan penampilan Hanis yang sedia cantik jelita. Senyuman tidak putus di bibirnya. Ibu Irfan mendekati dan duduk di sisi. Acara menyarung cincin mulai riuh dengan sanak saudara yang tidak mahu ketinggalan mengabadikan detik bahagia itu. Masing-masing berebut dengan jurugambar untuk mendapatkan shot yang terbaik. Suraya tersenyum. Sempat juga dia bergambar dengan Hanis yang kini sudah sah bergelar tunangan orang itu di atas pelamin.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.