Selesai membersihkan diri tadi, dia mengambil angin dengan menikmati pemandangan dari balkoni bilik tidur itu sendirian. Melakukan terapi mata dengan melihat keindahan alam kehijauan dan bukit-bukau sebelum pintu gelongsor itu ditarik rapat lalu dia keluar menuju ke dapur. Dibuka pintu peti sejuk. Senyum dia apabila melihat ia terisi dengan kelengkapan berbanding sebelum ini. Nampaknya, awal-awal lagi lelaki itu sudah merancang untuk membawanya pulang ke banglo.
Setelah membelek dapur itu sana sini mulalah rasa lapar datang. Mungkin juga kerana kepenatan berkerja yang membuatkan dia rasa sebegitu. Dia berkira-kira untuk memasak sesuatu.
Sebenarnya, walaupun sebentar berada di samping Dr. Adrian, Suraya tidak lepas dari memerhati tabiatnya. Makannya terlalu sedikit dan kurang gemar pula memakan nasi. Stok spaghetti dan mi tarik segera penuh di dalam salah satu ruang kabinet.
'Hmm... Picky eater?'
Setelah mencongak sebentar, cendawan shitake, cili kembung dan hirisan daging dikeluarkan dari peti sejuk itu. Kemudian, dicapai sebotol serbuk cili, bawang kuning dan bawang putih di dalam kabinet.
Alright!
Kesemua bahan yang diperlukan tersedia. Tidak sampai setengah jam menu campak-campak itu siap. Kemudian, dia ke sinki. Mencuci bekas masakan yang telah digunakan.
"Masak apa?"
Bukan main terkejut Suraya. Hampir terlepas penapis mi yang sedang dibasuh ketika dua tangan menjalar di pinggang. Jantung yang dipam dengan adrenalin enggan lagi bertenang dengan keintiman itu.
"Saya goreng mi aje. Nak makan?" tenang dia menjawab padahal sedang gugup. Terlalu gugup hinggakan hendak bergerak seinci pun tidak berani dengan kedudukan lelaki itu yang rapat di belakangnya.
"Dah siap basuh?"
Suara Dr. Adrian kedengaran dekat di cuping telinga. Sekali lagi dia tersentak kerana terkejut.
"Erm." sahutnya malu-malu.
Penapis pada tangan yang kaku itu diambil oleh Dr. Adrian. Segan. Dan diketap bibir tatkala melihat tangan lelaki itu menutup paip yang belum ditutup. Terkejut punya pasal air paip yang dibuka juga langsung dibiarkan mengalir. Dilirik dengan ekor mata melihat sebelah tangan lelaki itu menjangkau pula beberapa keping tisu dapur daripada kotak yang melekap pada dinding. Lalu, kedua belah tangannya yang kebasahan dikeringkan. Makin menebal pipinya mengenangkan layanan mesra dari suaminya itu.
"OK. Sekarang saya nak makan," ujar Dr. Adrian lalu dipusingkan tubuh Suraya. Segaris senyuman bermain di wajahnya. Aksi tidak tentu arah gadis itu benar-benar menghiburkan dirinya. Apron yang dikenakan oleh Suraya dileraikan lalu satu kuisan di hidung membuatkan gadis itu makin tersipu.
"Terima kasih sebab masak dan cuci. Next time kalau nak makan, bagitau saya. Boleh saya masakkan." katanya lagi ketika memerhati Suraya mencedok mi goreng ke pinggan. Ada rasa bersalah dalam diri kerana dia tahu gadis itu tentu kepenatan kerana telah keluar berkerja seharian. Kini, terpaksa memasak pula.
"Takpe. Saya rasa awak busy kot. Jadi, saya tak nak ganggu," sahut Suraya dengan satu senyuman yang lebar. Dia tidak kisah menyediakan makanan itu. Lagipun, dia sendiri tengah lapar. Dan dia masih ingat akan tanggungjawab dalam berumah tangga. Apabila suami dan isteri sama-sama memainkan peranan barulah harmoni kehidupan yang dijalani itu.
Dr. Adrian, terdiam. Hanya merenung sang pujaan tanpa berkelip.
"Makanlah." ucap Suraya sebelum duduk di sisi lelaki itu. Dia pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran lelaki itu melihatkannya lebih gemar termenung dan tidak banyak bercakap berbanding kelaziman.
Hidangan itu dijamah dalam senyap dan setelah selesai, Dr. Adrian kembali ke tingkat atas. Sekali lagi, sengaja dia memberikan masa dan ruang untuk lelaki itu bersendiri.
"Awak nak menonton?"
Suraya berpaling dan melihat Dr. Adrian datang dengan wajah tenang yang berselindung di balik kaca mata. Buku yang sedang dibaca segera ditutup dan diletakkan di atas ribaan. Ketika ini dia sedang membaca di ruang tengah setelah puas berbaring di dalam bilik tidur tadi. Uzur syarie membuatkan hari terasa panjang pula. Daripada membuang masa dengan bermain telefon dia lebih gemar membaca buku-buku ilmiah yang diambil di tingkat atas.
"Kenapa pakai spek?"
Soalan suaminya tidak bersambut sebaliknya dia pula yang menyoal apabila lelaki itu duduk berlabuh di sisinya.
"Sakit kepala." jawab Dr. Adrian ringkas. Semenjak berada di universiti lagi dia mengalami keadaan itu. Setelah melakukan pemeriksaan, kesan cahaya menjadi puncanya. Oleh itu doktor menyarankan kepadanya penggunakan cermin mata apabila terlalu lama berkerja di hadapan skrin.
"Sakit kepala?" sedikit bimbang Suraya menyoal.
"It's fine. Bila terlalu lama tengok skrin jadi macam nilah."
"Oo..."
"Dah solat?" tanya Dr. Adrian sebagai menunaikan tanggungjawab mengetuai keluarga kecilnya itu.
Wajah Suraya mulai merona. Mata memandang tembok putih di hadapan. Hanya kepala yang menggeleng.
"Kenapa?"
"Datang kotor." jawabnya perlahan. Menunduk mukanya ketika membocorkan rahsia itu kepada suami sendiri.
"Apa yang kotor?"
Dr. Adrian kebingungan. Apa benda yang kotor sampai tak boleh solat? Duduknya dimiringkan. Sebelah tangan selamba berlabuh di belakang sofa. Kaki yang bersilang hampir-hampir bertemu dengan kaki Suraya. Dia, merenung gadis itu yang sedang menundukkan kepala. Dan dia mahu tahu alasan sebenar kewajiban itu tidak ditunaikan.
"Urm, saya tengah haid." kata Suraya perlahan.
"Oh." sahut Dr. Adrian ringkas sebelum dia pula yang termalu.
Sepi.
"Nak menonton?"
Dr. Adrian mengulang soalan yang sama. Topik segera diubah. Segan dengan soalan bodoh yang ditanyakan sebentar tadi masih bersisa.
'Alasan wajib orang perempuan aku tak dapat tangkap. Malu betul!'
"Tonton apa?" soal Suraya. Lega kerana isu terkait dirinya sudah tamat..
"Whatever. Drama, movie... You pick."
"Di mana?"
"Here."
"Over... here?" soal Suraya kehairanan.
Tanpa bertangguh, Dr. Adrian mengeluarkan sebuah tablet dari salah satu laci meja konsol yang berada di belakang mereka. Satu butang ditekan dan suasana tiba-tiba bertukar gelap gelita. Sejalur cahaya pun tidak terbias.
Terkejut, pantas tangan kiri Suraya meraba. Baju yang dikenakan Dr. Adrian dicapai dan digenggam. Imbalan perbuatan spontan itu terasa bahunya dirangkul kemas.
"Are you afraid of dark?" tanya Dr. Adrian perlahan. Sejuring senyuman terukir. Lucu mengenang sikap sedikit penakut isterinya itu. Luaran nampak garang. Rupa-rupanya, ada sisi tersembunyi. Haha!
Debaran, segera muncul di dada Suraya. Genggaman lantas dilepaskan dan kedua belah tangan berlabuh memegang buku di ribaan. Segan, datang mengusik apabila memikirkan aksi spontannya sebentar tadi.
"Tak takut kalau ada cahaya sedikit. Tapi, takut kalau terlalu gelap macam ni." akuinya dengan suara yang perlahan. Rasanya perkara itu normal bagi sesetengah orang jadi dia tidak pernah merasakan sikap takut akan gelap itu sesuatu yang boleh dikaitkan dengan multifobia itu.
"That means I must reset the system. Saya tak tahu isteri saya takut gelap. Sorry." kata Dr. Adrian lantas menggosok bahu Suraya beberapa kali sebelum meleraikan rangkulan itu. Sesal pula mentertawakan isterinya tadi walaupun hanya dalam fikiran.
Suraya tersenyum kelat. Berterima kasih dalam diam atas keprihatinan lelaki itu. Tablet yang dipegang oleh Dr. Adrian kembali bercahaya. Dia memerhati satu per satu ikon ditekan oleh jari lelaki itu.
"Movie?"
"Hmm... Tak pasti. Bersiri, kot?"
"Name?"
"Erased."
"Erased?"
"Erm... Anime Jepun."
"Oh. Anime fans?"
Suraya geleng. Kemudian bersuara,
"Saje nak tengok."
Dr. Adrian mula mencari tajuk itu pada sebuah laman yang memaparkan pelbagai nama-nama drama dan filem. Sebuah poster filem animasi yang dikatakan olehnya terpapar.
"Ini ke?"
Dia mengangguk. Jari telunjuk lelaki itu menyentuh skrin kemudian, tembok putih di hadapan mereka disuluh oleh satu cahaya yang datang dari meja konsol di belakang. Bunyian muzik latar dan gambaran mula bermain pada dinding itu. Barulah jelas akan tujuan ruang rehat dan binaan tembok itu.
"That's, spectacular." getus Suraya.
Dr. Adrian tertawa halus.
"Saya jarang tengok."
"Kenapa? Oh. Busy eh?.."
Suraya menyoal dan dia sendiri menjawab. Dr. Adrian senyum.
Apabila filem yang menayangkan kisah seorang lelaki yang boleh kembali ke masa lampau itu bermula, mereka menonton di dalam senyap. Dr. Adrian tampak relaks bersandar. Suraya mengikuti. Tanpa sedar, khusyuk mereka menonton dan menghayati. Dan apabila babak Saturo menjumpai mayat ibunya yang mati dibunuh, Suraya disambar satu perasaan yang telah sedetik berjaya dipinggirkan sebelum ini. Bungkam sebentar dia melihat babak itu sebelum kembali fokus tatkala adegan melarikan diri dan kembali ke masa lampau muncul. Namun, dia berasa terkejut kerana tiba-tiba skrin terpadam dan keadaan di ruang itu kembali cerah seperti sedia kala.
"Eh, kenapa?" soalnya sedikit hairan.
Dr. Adrian meletakkan tablet di sisi sebelum mendepakan tangan di atas sofa di belakangnya. Mata merenung dalam ke arah gadis itu.
"It's not good."
"Apa yang tak bagus? Cerita tadi tu?"
Dr. Adrian tersenyum tipis lalu menganggukkan kepala. Suraya mengetap bibir. Baru satu episod berlalu. Ingatkan mahu menonton lagi.
"Kenapa pulak?" soalnya dengan kerutan muncul di dahi.
"Idea yang melawan hukum alam. Saya tak berminat cerita macam tu." Dr. Adrian beralasan. Sebenarnya dia enggan membiarkan Suraya terus menonton kisah itu. Babak kematian ibu itu tentu memberi kesan kepada gadis itu meskipun wajahnya kelihatan bersahaja ketika menontonnya.
"Tapi, saya minat." bohong Suraya. Sebenarnya, dia bukanlah seorang peminat anime apatah lagi peminat drama dan filem. Dia cuma mengikutinya kerana Hanis. Temannya itu peminat setia drama dan filem dari Jepun dan Korea. Sama ada anime mahupun aksi sebenar.
"Nak tengok lagi?" tanya Dr. Adrian pula. Sedikit serba salah kerana mengganggu tontonan gadis itu. Nampaknya akhir-akhir ini banyak sekali berlaku kesilapan dalam percaturannya.
"Takpelah. Sebenarnya, saya tak minat pun anime," akui Suraya jujur. Mula menyedari niat lelaki itu. Tentu tiada lain melainkan babak kematian sebentar tadi.
"Pertama kali tengok." tambahnya lagi sebelum tersenyum kelat.
Dr. Adrian membalas. Tipis.
"Kalau macam tu apa kata awak masuk tidur. Macam mengantuk sangat. Saya kira dah lima kali awak menguap tadi." tutur Dr. Adrian.
Suraya tertunduk malu. Ingatkan lelaki itu tidak perasan gelagatnya menguap sepanjang menonton tadi. Dianggukkan kepala. Buku di tangan ditinggalkan di atas meja kopi. Dr. Adrian bangun kemudian menarik tangannya untuk turut bangun.
Suraya, menapak dalam debar. Tetapi, dia sedar tak mungkin tanggungjawab yang satu itu dapat ditunaikan mengenangkan keuzuran dirinya.
Keluar dari bilik air, lampu bilik tidur sudah malap. Dr. Adrian sedang berbaring sambil bermain dengan telefon pintar. Dia mara lalu melabuhkan duduk di birai katil dan merebahkan tubuh di spot yang sama sebelum ini. Dimiringkan tubuh menghadap ke arah lelaki itu sebelum mata dipejamkan. Hampir saja mahu lena dirasakan satu pergerakan mendekati. Jantung mula berdetak kencang apabila tangan yang terkulai di atas tilam disentuh dan berada di bawah tangan lelaki itu. Hangat. Makin hangat apabila tangannya itu dielus lembut. Makin lama, makin hanyut fikirannya untuk masuk ke alam mimpi.
"I miss you." bisik Dr. Adrian.
Kelopak mata yang memberat tidak dapat dihalangi lagi. Dia benar-benar mengantuk. Ucapan lelaki itu sayup kedengaran sebelum dia langsung tidak sedarkan diri.
Sepi dan suram. Dilirik ke sekeliling. Kosong. Dalam bermalasan, dia bangkit. Menuju ke pintu bilik dan terus ke dapur. Air kosong dituang ke dalam gelas. Diteguk beberapa kali dan dia kembali ke bilik. Tidurnya terganggu semata-mata kerana tekaknya terasa sedikit kering.
Dia duduk berdiam di birai katil. Tangga besi dikerling. Terlihat biasan cahaya lampu yang samar dari tingkat atas.
'Masih berkerja lagi jam begini?'
Entahkan pukul berapa ketika itu. Niat untuk sambung tidur dibatalkan. Anak tangga ke tingkat atas didaki. Sebaik tiba, keadaan di atas itu sunyi sekali. Manakala hanya sebiji lampu siling yang malap terpasang dan sedang menerangi meja studi. Lelaki itu pula tidak kelihatan di mana-mana. Namun, dia dapat melihat sesuatu. Kerusi meja studi itu menghadap ke belakang dan dia tahu Dr. Adrian sedang duduk di situ.
Langkah yang perlahan tanpa sebarang bunyi diatur mendekati lelaki itu sebelum dia berdiri berhadapan.
'Tidur?'
Melihatkan mata yang terpejam rapat itu membuatkan dia teragak pula untuk menyentuh. Mahu dibiarkan kasihan. Mahu dikejutkan juga kasihan andai lena itu diganggu. Dia mengetap bibir. Dan memikir-mikir. Dalam kesempatan itu diambil peluang memerhati wajah lelaki itu semahunya. Tubuhnya ditundukkan sedikit. Rasanya itulah kali pertama dia dapat mengamati wajah itu dengan jarak yang dekat tanpa lelaki itu sedari. Baru perasan tiada langsung persamaan dengan Haruma. Erk!
Puas memerhati, dia kembali menegakkan tubuh. Namun, belum sempat dia menegakkan tubuh, pergelangan tangannya tiba-tiba disambar. Spontan tubuh yang tak stabil terduduk di atas ribaan lelaki itu. Jantung memacu lompat bintang. Darah merah menyerbu wajah.
"Kenapa tak tidur lagi?" soal Dr. Adrian. Dengan selamba dipusingkan kedudukan Suraya sebelum meletakkan sebelah tangan di atas arm rest dan sebelah lagi memegang mata lutut gadis itu.
"S-saya haus... Awak?" getus Suraya sedikit bergetar.
"Kerja, sayang."
Kelu. Walaupun acapkali dipanggil dengan panggilan sayang dia tetap berasa segan setiap kali mendengarnya.
"Kerja apa?" soalnya pura-pura tenang berbicara.
"Macam-macam. Semak report, design, analisis," terang lelaki itu.
Terangguk-angguk kepalanya beberapa kali sebelum dia menarik nafas yang dalam. Menstabilkan diri dan dada yang belum henti dari bersenam itu. Melalui ekor mata, dijeling reaksi lelaki itu. Tampak senang dan relaks. Tidak sepertinya yang gelabah tak tentu arah.
Sambil menyepikan diri, dia menunduk melihat kedua tangan yang bertautan di atas ribaan. Sebenarnya, dia, betul-betul malu melihat dirinya dalam kedudukan sebegitu meskipun dia tahu membahagiakan hati suami dengan perkataan dan perbuatan merupakan suatu tanggungjawab yang besar ganjarannya.
"Kenapa, Suraya? Segan?" soal Dr. Adrian separuh berbisik.
Lambat-lambat, dia menganggukkan kepala. Dr. Adrian senyum.
"Kita kan dah jadi suami isteri. Suami pakaian isteri dan isteri pakaian suami." titip Dr. Adrian lagi.
Suraya tersenyum kelat. Dalam maksud yang dipetik daripada kalam suci itu.
"Urm... Tapi, saya tak biasa." tuturnya perlahan.
Dr. Adrian merenung.
"Jadi, apa boleh saya buat supaya perasaan malu awak tu hilang dan supaya awak jadi biasa dengan saya?" tanya Dr. Adrian.
Suraya diam. Menjeling sekilas lelaki yang tidak henti menatap wajahnya kemudian, bersuara,
"Saya nak tahu segala-galanya tentang awak, Adrian. Saya rasa terlalu sedikit yang saya tahu." ucapnya perlahan.
"Bermula dengan?.."
"Kehidupan awak dari kecil hingga dewasa."
"Oh. That's a very long story. Kalau cerita sekarang akan ganggu tidur awak." kata Dr. Adrian selamba.
Dalam diam Suraya terkecewa. Hajatnya mahu mengetahui sisi hidup lelaki itu dengan lebih mendalam nampaknya belum kesampaian.
"Next?" tambah Dr. Adrian seakan dapat membaca fikirannya.
"Office matter. Kenapa awak cuti tanpa saya tahu? Dan macam mana dengan kes awak tu?" pertuturannya bertukar serius. Jika lelaki itu enggan, dia tidak memaksa. Jadi lebih baik ditanyakan persoalan yang lain.
"Awak memang tak sabar kan?"
Suraya buat muka tak bersalah lalu mengangguk kecil. Memang dia tak sabar pun!
"Saya tak ambil cuti tapi saya direhatkan sebentar kerana kes tu. Itu prosedur biasa." jelas Dr. Adrian kemudian.
Suraya diam. Memaksa diri berpuas hati dengan penjelasan tersebut walau menjeruk rasa kerana tidak dimaklumkan terlebih dahulu.
"Kenapa? Rindu bila saya tiada?"
Baru sebentar mahu memujuk diri serta-merta perasaannya membeku. Segan mendengar soalan berbaur romantis itu.
"Is that a yes, Suraya? A yes?" soal Dr. Adrian teruja.
Segan. Langsung tak berani mengangkat wajah lagi.
"Diam tanda betul, kan?"
Lagilah tak terkutik dirinya untuk mengiyakan.
"Pagi tadi saya dipanggil lagi untuk disoal siasat. Mereka tanya tentang banglo ni..." cerita Dr. Adrian seraya menarik Suraya untuk mengangkat pandangan.
"Awak tahu?.. Rumah ni sebenarnya rumah kawan baik saya di U dahulu."
"Kawan baik awak ada rumah macam ni?" soal Suraya dengan perasaan kagum. Juga hampa. Ingatkan banglo ini milik keluarga lelaki itu.
Dr. Adrian mengangguk.
"Yup. Dia, prof saya."
Suraya tidak menyahut. Hanya kepala mengangguk sedikit.
"Juga, salah satu kawan baik yang pernah saya ada. Dia orang seberang tetapi menetap di sini bersama keluarganya. Cuma, umurnya tak panjang. Waktu saya di tahun akhir, dia meninggal kerana heart attack. Long story short, isterinya mahu kembali ke tanah air mereka dan nak jual rumah ni. Saya terus bagi kesemua duit simpanan yang ada. Tak memadai tapi, isterinya faham niat saya. Sampai sekarang, saya masih berhutang dengan mereka." cerita Dr. Adrian panjang lebar. Sebenarnya, alasan hutang itu sengaja diberikan kepada Puan Rifda iaitu balu kepada Profesor Emrizal. Padahal, dia mampu sahaja untuk melangsaikan bayaran itu secara penuh. Tetapi, melalui bayaran hutang itulah dia dapat terus menghubungi keluarga kecil itu. Baru-baru ini dia mendapat berita, Puan Rifda bakal berkahwin lagi. Baguslah. Dia kasihan kepada dua anak arwah Profesor Emrizal yang masih kecil itu. Tentu rindukan sentuhan dan kasih sayang dari seseorang yang bergelar ayah.
Suraya, terangguk-angguk. Patutlah ketika pertama kali menjejakkan kaki ke banglo ini dia dapat merasakan ciri-ciri rumah ini mempunyai beberapa perbezaan jika digandingkan dengan ciri-ciri lelaki itu. Banglo ini mempunyai nilai tambah kekeluargaan sedangkan penghuninya seorang lelaki bujang. Sekarang jelaslah pertanyaan yang pernah melewati benaknya dahulu.
"Adrian, kenapa awak beli rumah ni?" soalnya ingin tahu.
"Sebab saya kerap datang ke sini. Keluarga mereka baik dan mesra dengan saya. They're like family to me." ujar Dr. Adrian. Lalu dipejam kelopak mata. Bayangan lelaki bernama Profesor Emrizal melewati ruang minda. Kemudian, Puan Rifda dan si kembar Aura dan Ariel. Dia dibalut rasa rindu pada keluarga kecil itu. Juga rasa pilu. Mengapa kehidupan yang dihujani kasih dan sayang seringkali hadir cuma sebentar dalam hidupnya.
"Awak, membeli kenangan," ucap Suraya perlahan sekali. Makin lama mengenali lelaki itu makin banyak rahsia hati yang diketahui.
Dr. Adrian membukakan kelopak mata. Kemudian tersenyum kelat. Dia benar-benar mengharap anugerah yang sedang digenggam ketika ini bakal menghujaninya dengan kebahagiaan yang berpanjangan.
"Adrian, ada orang di pejabat yang tak sukakan awak ke?"
Lirikan Dr. Adrian, singgah tepat di wajah Suraya.
"Kenapa?" getus Suraya kehairanan. Lain macam lelaki itu merenungnya.
"Saya, tak tahu macam mana nak cakap. Tapi, pertama kali saya jumpa dengan seseorang yang dapat memahami saya walaupun baru kenal dengan saya. Who are you, Suraya?" ujar Dr. Adrian perlahan.
Suraya menjungkitkan kedua belah bahunya. Langsung tidak memahami maksud lelaki itu.
"Adrian, sebenarnya kepada siapa yang awak nak rahsiakan perkahwinan kita ni? Selain dari syarikat, siapa lagi? Saudara? Kawan?" soalnya membangkitkan kembali isu yang pernah disuarakan oleh lelaki itu sebelum ini.
"Seseorang."
"Yelah. Tapi, siapa dia tu?" pujuknya lagi ingin tahu.
"Just somebody, Suraya."
Dia terkedu sebaik mendengar intonasi yang berubah tinggi itu. Namun, dia tahu had bersoal jawab itu sudah sampai.
"Boleh tak kalau saya nak tahu tentang kes awak tu dengan terperinci. Macam mana awak kena tuduh? Apa puncanya?" Dialih persoalan. Dan melihatkan wajah Dr. Adrian yang tegang bertukar relaks membuatkan dia menarik nafas yang lega. Mungkin, lain waktu yang lebih sesuai dia akan mengulangi persoalan itu.
"Marketing department. Mereka dapat banyak komplen dari customer tentang modem yang diorang gunakan sejak akhir-akhir ni."
"Semuanya?"
Dr. Adrian menggeleng.
"Mixed up. Bila disiasat komplen ni bermula bila syarikat bertukar menggunakan modem baru. Dan, dah tentulah disiasat siapa yang luluskan dari awal."
"Maksudnya, awak yang luluskan?"
Dr. Adrian senyum tipis berserta satu anggukan.
"Are you someone important, Adrian? Ada yang kata awak CTO di syarikat."
Dr. Adrian tiba-tiba tergelak.
"CTO? Haha! Kenapa tak kata saya CEO terus."
Suraya mengetap bibir. Ditarik cuping telinga lelaki itu sedikit kuat. Dr. Adrian mengaduh sebelum kembali tertawa. Tak menjangkakan serangan kecil itu. Begitu juga Suraya sendiri yang tidak menyangka seberani itu telah bertindak.
"Mari tidur." ujar Dr. Adrian membiarkan pertanyaannya sebentar tadi lewat begitu sahaja.
Tanpa banyak soal Suraya mengangguk. Dia sedar keadaan mood lelaki itu ketika ini. Lagipun, masih banyak waktu untuk bersoal jawab. Rasanya, dia mampu untuk bersabar.
"Awak, memang kerap tidur lewat ke?" soalnya ketika bangun dari atas ribaan lelaki itu.
Dr. Adrian turut bangun. Disauk bahu gadis itu seraya menanggalkan cermin mata dan meletakkan ia di atas meja studi.
"Ermm..," sahut Dr. Adrian ringkas.
"Just sleep, okay. Enough about me." tutur Dr. Adrian lagi sebelum sempat dia menanya lanjut.
Sementara lelaki itu menghilang ke bilik air dia pula terus memanjat katil dan berselubung di bawah selimut. Kelopak mata dipejamkan dan hanya sebentar masa yang diperlukan untuknya dibawa ke alam mimpi.
Dia, melihat bayangan arwah abah di rumah mereka di kampung. Berpakaian serba putih dan berwajah jernih. Belum sempat dia menyeru untuk memanggil, kedengaran sayup satu suara membisik,
"Good night, sayang."
"Ermm... Aa-ba..."