Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 61


"Anis, tarikh kahwin dah ada?"

Hanis tersentak sedikit. Paket kecil yang mahu dikoyakkan itu tidak jadi dibukakan. Dia berpaling dengan senyuman tipis dihadiahkan.

"Inshaallah awal tahun depan," tuturnya sedikit segan tiba-tiba ditanyakan hal peribadi itu.

"Err...Kak Rin nak air? Saya buatkan." katanya lagi. Paket di tangan lantas dikoyakkan. Mencurah isi kandungan berupa serbuk berwarna hitam kecoklatan sebelum air yang panas itu dikacau-kacau. Aroma berperisa coklat dan kopi mula bertebaran memenuhi rongga hidung.

"Tak naklah. Akak rasa nak minum air sejuk memalam ni," sahut Kak Rin menolak pelawaan ikhlas Hanis sebentar tadi. Pintu peti sejuk dibuka lantas sekotak jus campuran dikeluarkan.

"Erm, dah berapa percent berjalan?" tanya Kak Rin sambil tercari-cari cawan minuman kegemaran yang tersangkut di rak. Alang-alang bertanya mahu juga dia tahu dengan lebih mendalam berkaitan persediaan majlis bersejarah penyewa biliknya itu.

"Erm, lebih dari thirty." jawab Hanis lalu bergerak ke arah meja makan.

"Maknanya tak lama lagilah tu... Baguslah cepatkan majlis. Lagipun, bertunang lama-lama ni ada kalanya tak bagus jugak." ulas Kak Rin melemparkan pandangan ke arah Hanis yang baru sahaja melabuhkan punggung ke kerusi. Gelas dan satu tin kecil biskut turut dibawa bersamanya ketika ikut serta duduk di meja makan itu.

"Apa pulak tak bagus? Bagus apa?.. Barulah kita betul-betul kenal pasangan kita tu. Dan, kalau dah tau lebih banyak sikap buruk dari baik kan mudah kalau kita nak angkat kaki. Takdelah bila dah kahwin baru rasa menyesal." omel Hanis pula. Sekeping biskut dicapai lalu dibawa ke mulut.

"Betul tu," ujar Kak Rin spontan.

Hanis sengih mempamer wajah angkuh.

"Tapi, Anis lupa satu perkara..." tutur Kak Rin tersenyum tawar.

"Apa?.."

"Rezeki, ajal dan jodoh tu bukan pada tangan kita."

"Ohh..."

"Andai kita bertemu jodoh dengan pasangan kita tu, redhalah dengan ketetapan takdir. Terima setiap kekurangan dia seperti mana dia terima kekurangan kita. Jikalau sebelum kahwin kita dah sibuk teropong keburukan dia, bertunanglah dengan seribu orang pun pasti tiada satu yang sempurna,"

Tersindir, Hanis pantas melarikan pandangan.

"Takut-takut, kita akhirnya bersendirian tanpa teman kalau sikap macam tu kita amalkan." titip Kak Rin melengkapkan nasihatnya. Dikerling ke arah Hanis yang fokus merenung minumannya.

"Anis, terasa betul-.."

"Eh!.. Kak Rin tak perli atau sindir, tau?.. Kak Rin cuma bagi nasihat macam Kak Rin pernah terima dulu. Dari orang tua-tua. Kata orang, orang tua ni lebih dulu makan garam. Kalau Hanis terasa, akak minta maaf." sahut Kak Rin terlebih dahulu. Wajah kelat Hanis berbalik kepadanya pula.

"Laa... Bukan tu maksud Anis. Maksud Anis, lepas dengar kata-kata akak tu, baru Anis tersedar yang Anis sendiri pun banyak kekurangan sebenarnya. Patutnya, Anis bersyukur dapat tunang yang sabar macam Irfan tu." jelas Hanis bimbang kata-katanya tadi disalah erti.

Kak Rin, menarik sebuah senyuman. Lega kerana niatnya ditafsir dengan baik.

"Alhamdulillah. Baguslah kalau Anis faham maksud akak tadi."

"Tapi, tak seronok ke kalau bercinta lama-lama sebelum kahwin?"

"Kalau belum kahwin dah bercinta bukan tak seronok. Cuma, serba-serbi hal dia, rahsia dia, kita dah tahu. Kureng sikitlah kejutan tu."

"Oo... Kak Rin dulu, terus kahwin macam Yaya ke? Atau, bercinta dulu?" soal Hanis kepingin untuk tahu kisah romantis Kak Rin suatu ketika dahulu. Sambil senyum-senyum, Kak Rin membuka mulut,

"Bercinta jugak tapi lima bulan je. Bulan seterusnya nikah. Mama tak bagi kawan lama-lama. Kitorang pulak sibuk manjang. Jadi, daripada berjumpa tak tentu hala baik terus nikah aje."

"Oo... Macam tu kisahnya. Singkat jugak tempoh tu," komen Hanis kemudian.

"Tapi, macam mana akak boleh hidup dengan perkahwinan macam ni? Jauh sangat jaraknya. Cinta antara dua benua, tau?.." tambah Hanis belum puas merisik cerita.

Kak Rin tergelak kecil sebaik mendengar omelan Hanis itu.

"Yang penting setia dan percaya. Banyakkan berdoa dan sentiasa bersangka baik."

Hanis, terangguk-angguk. Melihat kehidupan wanita itu yang mempertaruhkan kepercayaan dan kesetiaan sebagai kunci ikatan dalam berumah tangga memberinya banyak panduan dan pengajaran dalam mengaplikasikan aspek itu di dalam hubungannya dengan Irfan. Juga seakan menyedarkan dirinya yang sebenarnya sedang berperang dengan perasaan sendiri tanpa pengetahuan sesiapa.

'Kau memang seorang yang penyabar, Irfan. Tapi, setiakah kau pada aku?'

"Anis..." seru Kak Rin lembut.

"Erm." sahut Hanis setelah tersedar dari lamunan.

"Anis rasa Yaya tu okay ke kahwin dengan Adrian? Ada tak dia cakap apa-apa? Akak bukan nak busy body. Tapi, kita sama-sama tau yang Yaya tak nak kahwin. Betul ke Yaya okay tu?.. Akak bimbanglah."

"Kak Rin, Anis nak tanya akak pulak."

"Hurm?.."

"Apa yang akak nampak pada malam nikah diorang?"

"Maksud Anis?"

"Kak Rin tengok sikap Adrian macam mana?"

"Oh..,"

Sejenak Kak Rin memikir. Memberi lintasan minda memutar memori beberapa minggu yang lalu.

"Pandangan dia pada Yaya macam Yaya tu Puteri Gunung Ledang."

"Haa... Kan?.. Kan?.," sahut Hanis dengan wajah terpamer gembira.

"Setiap kali dia pandang Yaya muka dia senyum aje walaupun Yaya tak pandang pun dekat dia." ulas Kak Rin akan pemerhatian singkatnya terhadap lelaki bernama Dr. Adrian. Perhatian lelaki itu terhadap Suraya teramat jelas di mata orang sekeliling andai diberikan perhatian.

"Ha!.. Itulah yang Anis perasan masa dekat hospital dulu. Mungkin, arwah abah pun perasan sebab tu abah boleh pinangkan Adrian tu untuk Yaya. Dan Anis, berharap sangat-sangat, Inshaallah Yaya akan berbahagia dengan Adrian." luah Hanis penuh pengharapan.

"Aamiin..." sahut Kak Rin turut terkandung pengharapan yang serupa.

Hanis senyum tipis. Kak Rin membalas sebelum masing-masing melayari perasaan dan selera dalam diam.

"Tapi, akak sempatlah bercinta, kan? Tahulah serba sedikit tentang peribadi husband akak tu." ujar Hanis setelah mereka berdua mengunci mulut buat seketika itu.

"Oh!.. Erm... Bolehla." balas Kak Rin sempat termangu sebelum mengingati kembali topik yang baru sebentar ditinggalkan.

"Macam mana kalau tak tahu? Tak ke naya kalau dapat yang jenis tak bertanggungjawab atau kasar perangainya." ngomel Hanis lagi.

"Kalau nak tahu, tuu... Tanya kawan baik Anis tu. Contoh depan mata. Dia kahwin dulu lepas tu baru nak kenal-kenalan. Cuba tanya macam mana kehidupan diorang," saran Kak Rin dengan mulut memuncung ke arah pintu bilik Suraya.

Tanpa mereka berdua menduga, pintu bilik itu tiba-tiba terkuak. Muncul Suraya dengan wajah tidak bersemangat. Spontan Hanis mengembalikan lirikan ke arah Kak Rin. Sambil tersengih kerang busuk, dia mengangkat cawan minuman dan diteguk air yang sudah berbaki sedikit itu.

"Yaya!.." Sengaja, Hanis melaung kuat.

"Ermm?.." sahut Suraya tidak bermaya. Pintu bilik ditarik rapat sambil matanya tunduk melekat pada skrin telefon. Khusyuk memerhati beberapa keping gambar dan maklumat yang disimpan.

"Yaya..." panggil Hanis lagi.

"Apa?.." sahutnya malas.

"Aku nak tanya ni..."

"Tanyalah..." jawabnya acuh tak acuh sambil berjalan ke arah ruang tamu.

"Adrian tu macam mana? Jenis pakai kain pelikat tinggal atas lantai ke atau jenis pengemas?" soal Hanis disahut dengan tawa besar daripada Kak Rin.

"Erm," sahut Suraya berbaur jengkel. Satu jelingan diberikan kepada dua orang temannya itu.

"Aku tak pernah tengok dia pakai kain pelikat jadi aku tak tahu. Tapi, dia jenis pengemas kot sebab rumahnya bersih dan teratur je." tuturnya sebelum lirikan kembali jatuh pada skrin telefon.

"Kau dah jatuh cinta belum pada Adrian?"

Uhuk.. Huk.. Huk! Suraya terbatuk kecil. Tersedak air liur sendiri.

"Kurang asam jawa betul!" bidasnya separuh geram sebelum merebahkan tubuh ke sofa.

Hanis dan Kak Rin sama-sama tertawa geli hati.

"Cepatlah jawab!"

Suraya buat tak endah.

"Hisy!.. Nak merajuklah macam ni. Mentang-mentang dah ada suami, kawan baik pun ditinggalkan."

Hanis pura-pura merungut. Suraya mengerling. Termakan juga dengan rajukan temannya itu.

"Yelah...yelah. Apa dia?"

"Kau dah ada perasaan belum pada Adrian?"

'Isy, soalan ni lagi!'

"Soalan kau tu tak kena masa, lah. Baru je berapa minggu aku kahwin? Tak boleh ke kau peram tiga bulan lagi pastu baru tanya."

Hanis tertawa riang mendengar respon itu.

"Okay, okay. Kalau macam tu apa perasaan yang kau rasa sebelum kahwin dan selepas kahwin?"

Bibir Suraya terkunci rapat. Soalan itu juga terlalu privasi bagi dirinya.

"Alahai, Yaya malu, lah..." usik Kak Rin.

Suraya merona lagi sambil berpura-pura tidak mendengar. Perbuatannya itu disambut dengan sorakan dari Hanis. Amboi, amboi... Seronok mereka berdua mengenakannya!

"Yaya, Kak Rin nak tanya ni. Sampai bila Yaya dan Adrian kena hidup macam ni?"

Tiada lagi kedengaran tawa daripada Kak Rin. Wanita itu bertukar serius dalam sekelip mata dan langsung bertanyakan soalan yang agak berat. Hanis, turut sama terdiam. Suraya mengangkat tubuh lantas pandangannya dilayangkan ke arah meja makan.

"Entah, lah kak. Saya sendiri tak ada jawapan."

"Mintak Adrian usahakan cepat-cepat. Akak rasa tak elok korang berdua buat begini. Sorang rumah sana, sorang rumah sini. Kalau pjj tu lainlah." tegur Kak Rin membuatkan Suraya terasa serba salah pula.

Bukan kemahuannya yang sedang diperkatakan ketika ini tetapi kehendak lelaki itu.

"Kata Adrian, dia terpaksa buat semua ni. Bukan saja-saja, kak... Dan, buat masa sekarang saya tunggu saja masa yang sesuai tu." ceritanya. Bukanlah dia mahu membuka pekung di dada tetapi, biarlah situasinya itu jelas pada pandangan kedua teman rapat itu.

"Terpaksa?" soal Kak Rin penuh tanda tanya.

Suraya menjungkitkan kedua belah bahunya. Jawapan kepada tindakan Dr. Adrian juga belum dia perolehi. Namun, dari gerak-geri lelaki itu dia sedar, ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh lelaki itu dari pengetahuannya.

"Kalau sebab Adrian memang ada alasan yang kukuh, kita hormatilah keputusan dia tu. Tapi ingat, jangan biarkan berlarutan pulak." Kak Rin mengingatkan.

Suraya, hanya mampu mengangguk kecil menerima ingatan itu.

"Kak Rin masuk bilik dululah. Penat tak habis lagi ni." ujar Kak Rin lantas bangun. Wanita itu baru pulang dari Timur Tengah pada sebelah pagi tadi. Barangkali belum puas merehatkan dirinya.

"Good night, kak!" kata Suraya dan Hanis serentak.

Keduanya tampak terkejut dengan ucapan senada itu. Kak Rin yang melihat tergelak kecil sebelum berlalu.

"Yaya, jom!" seru Hanis setelah mendengar pintu bilik Kak Rin ditarik rapat.

Suraya mengangkat kedua belah keningnya.

"Jom, lah." desak Hanis lagi sambil bangkit menuju ke dapur mencuci gelas yang kotor. Kemudian, gadis itu berarak pula ke arah bilik tidur Suraya.

Terkebil-kebil, Suraya memerhati sebelum bangun dari duduknya.

"Kenapa?" soalnya sambil duduk bersandar di atas katil. Direnung teman baik yang tercegat di muka pintu kemudian menutupnya rapat.

"Kau, okay?" soal Hanis pula lalu mengambil tempat di sebelahnya.

Suraya memandang rakannya hairan.

"Maksud kau?"

"Yelah, dah dua minggu kau kahwin. Macam mana hidup dengan Adrian?"

"Oo... OK je."

"Okay aje? Lain-lain?" tanya Hanis belum puas hati.

"Eh, okay ajelah. Nak apa lagi?" soal Suraya pula kehairanan.

"Dah dua minggu kau kahwin... Tak kan belum ada perasaan suka, sayang, cinta?.." tanya Hanis meluahkan rasa yang dipendamkan itu.

"Oh, aku ingat apa tadi," sahut Suraya sedikit lega. Fikirnya Hanis tahu tentang kes rasuah lelaki itu. Sebenarnya, tiada sesiapa di rumah itu yang mengetahui masalah yang telah menimpa Dr. Adrian. Hal ehwal rumah tangga mahupun pejabat biarlah tidak dikongsikan kepada temannya itu kecuali jika dia benar-benar terdesak memerlukan bantuan.

"Aku berterus-terang ajelah dengan kau... Belum." jawabnya bersahaja.

"Sumpah?"

"Isy, apesal main sumpah-sumpah pulak ni?" ujar Suraya sedikit tidak senang.

"Tak kan sekelumit pun takde?" risik Hanis tidak berputus asa mahu menyelami keadaan kawan baiknya itu.

Suraya terdiam seketika. Sempat dia menggigit bibir sebelum mulutnya menggetus,

"Rasa sakit hati adalah. Entahlah, Han... Aku sendiri tak faham dengan diri aku sekarang ni."

"Laa...kenapa ni? Kenapa sampai sakit hati? Adrian ada buat apa-apa ke kat kau? Dia abaikan tanggungjawab ke?" soal Hanis bimbang.

Spontan Suraya merenung tajam teman di sisi.

'Isy, over!'

"Bukanlah. Dia okay... cuma, aku yang tak okay. Tengok dia bercakap dengan perempuan pun aku boleh rasa semacam. Padahal, bukannya aku tak biasa nampak dia bercakap dengan coordinator perempuan." keluhnya lantas menarik kedua tangan berpeluk tubuh. Mata merenung jauh. Siapa lagi yang sedang di fikiran ketika ini jikalau bukan lelaki itu.

"Maksudnya, kau dah ada perasaanlah tu. Ewah... Tak sangka aku tau!" tutur Hanis ceria lalu menampar lembut bahunya.

Suraya, memandang Hanis dengan perasaan hairan.

"Aku tengah meluahkan rasa tak puas hati boleh pulak kau happy macam ni?" ujarnya bengang.

"Laa... Apa yang kau rasa tu tak salah pun, Yaya. Perasaan tu semua perasaan yang baik."

"Baik?.. Rasa cemburu? Bengang? Marah-marah kau kata baik? Kau biar betul, Han?"

"Haha... Takpe takpe... Aku tak perlu jelaskan. Lambat laun kau akan faham apa yang aku cakapkan ni, okay," kata Hanis sebelum menyambung tawanya.

Makin bertambah rasa hairan Suraya melihat kelakuan Hanis itu.

"Tapi, kau kena tekan butang speed, Yaya. Jangan peram perasaan kau tu. Usahakanlah, okay. Lagipun aku rasa Adrian tu memang sukakan kau dari dulu."

"Hmm... Masalahnya, walau dia sukakan aku dulu, aku tak pulak. Dari dulu aku tak pernah ada sebarang perasaan pada dia. Aku cuma ada perasaan senang bila dia ada."

"Habis tu, kenapa kau kahwin jugak?" soal Hanis terkejut.

"Kan aku dah cakap dulu. Arwah abah yang suruh aku kahwin. Aku memang tak nak." ungkap Suraya bersahaja.

"Tapi, kenapa kau teruskan jugak padahal arwah dah takde? Yaya, aku ingat, kau bersetuju nak teruskan perkahwinan ni sebab kau ada perasaan suka pada Adrian!" tutur Hanis panjang lebar. Bercampur-baur perasaannya sebaik mengetahui alasan sebenar gadis itu berkahwin.

"Taklah. Aku teruskan sebab aku nak tunaikan hasrat arwah abah. Perkahwinan tu diputuskan sebelum arwah meninggal jadi, walau abah dah takde aku tetap fikir ianya dah jadi tanggungjawab untuk aku melaksanakannya." jelas Suraya membuatkan Hanis terpaku.

"Adrian tahu?" soal Hanis perlahan. Tak sangka sungguh temannya itu seseorang yang kuat berpegang pada janji.

"Tahu..."

"Dia cakap apa?"

"Takde apa-apa."

Hanis menarik panjang.

"Kalau masing-masing dah tahu kenapa teruskan jugak. Dan, setahu aku, tak salah pun kalau kau nak tarik diri dari perkahwinan ni. Cukup syarat sebagai laksanakan tanggungjawab sudah. Lepas tu bawak haluan masing-masing." syarah Hanis panjang lebar.

Suraya termangu sebentar. Mudah cara fikir temannya itu. Tetapi tidak sesuai untuk diaplikasikan olehnya.

"Entahlah. Tapi, aku tak pernah terfikir nak bercerai bila dah berkahwin. Takde alasan untuk aku mintak penceraian."

"Laa...dah tadi kau jugak yang takde perasaan."

"Memanglah. Tapi, walaupun kahwin sebab arwah abah, aku rasa tenang je hidup dengan dia. Adrian tak pernah paksa aku untuk terima dia. Dan-.."

Suraya terjeda. Baru tersedar perkara sulit itu tidak harus diluahkan.

"Dan apa?" tanya Hanis menunggu-nunggu temannya itu habiskan bicara.

"Apa?" desak Hanis lagi sambil menggoyang lengan Suraya beberapa kali. Tak sabar betul dia nak tahu.

"Erm, sampai ke hari ni dia belum sentuh aku."

"Apa??" ucap Hanis terkejut. Tubuhnya yang merapat dijarakkan menunjukkan betapa dia terkejut besar mendengar pengakuan itu.

"Oo... Baguslah." tambahnya kemudian.

"Bagus?" soal Suraya pelik.

"Ha'ah. Dia sedang bagi kau masa, Yaya."

"Erm, ye kot,"

Boleh jadi benar apa yang dikatakan oleh Hanis itu. Melihatkan Hanis diam dia turut mendiamkan diri. Mungkin, baru muncul kejanggalan setelah topik itu dibincangkan.

"Disebabkan aku tak termasuk dalam golongan yang fall in love at first sight jadi, biarkan masa yang menentukan." kata Suraya memecahkan kesunyian.

"Erm, betul tu," sokong Hanis seraya mengelus perlahan belakang telapak tangan Suraya.

"Tapi kan, hairanlah. Muka macam Tackey tu pun tak dapat tackle hati kau." getus Hanis susah untuk percaya hati temannya itu belum dapat diganggu oleh lelaki yang punyai rupa itu.

"Eh, tolong sikit. Takde iras langsung!" bantah Suraya sambil mencebirkan bibir.

"Habis tu?"

"Erm... Haruma..." jawabnya bersahaja. Padahal, sebelum ini dia juga yang mengakui tiada iras juga wajah lelaki itu seperti yang disebutkan. Tetapi, entahlah. Hati kecil tetap berkeras dengan pilihan itu.

"Miura?" tanya Hanis.

Angguk.

"Oii!!.."

Suraya menyeringai.

"Alah... Aku tau dia dah takde, tapi aku cuma teringat-ingat muka tu bila tengok Adrian." belanya bersahaja.

Hanis menjeling kemudian termenung sebentar.

"Erm... Takde lah sama sangat tapi, bolehlaa... Japanese looked gitu." tutur Hanis lebih kurang.

Meletus satu tawa kecil dari mulut mereka berdua.

"Han, aku nak minta tolong."

Hanis berpaling. Tiada lagi tawa melihatkan wajah serius Suraya. Kedua kening yang lebat dan cantik terbentuk itu terangkat.

"Apa sekali pun jadi pada aku, kau jangan tinggalkan aku tau." ucap Suraya perlahan. Sebelah tangannya spontan dirangkul oleh Hanis sebelum kepala itu melentok pula di atas bahunya. Tidak sikit pun Hanis mengesyaki betapa dadanya ketika ini bergemuruh sakan memikirkan hala tuju perkahwinannya. Dia tidak tahu status dirinya kepada Dr. Adrian andai rahsia yang disimpan itu terbongkar. Maukah lelaki itu menerimanya lagi? Boleh jadi, tidak. Dia, teramat pasti dengan tekaan itu.

"Yaya... Sampai hati kau fikir aku akan tinggalkan kau," ujar Hanis pura-pura merajuk.

"Percayalah... Kalau pun jodoh kau tak panjang, aku percaya pada kau, Yaya. Kau seorang yang berdikari dan berani hadapi cabaran. Setakat jadi janda lepas kahwin beberapa bulan bukan masalah besarlah." tutur Hanis bersahaja.

"Hanis!.." ucap Suraya sedikit meninggi.

Hanis pantas menarik tangannya lalu menjauhkan diri. Sengih menempel pada wajahnya. Muka tak bersalah langsung!

"Sorry, Yaya. Aku gurau je tadi," tuturnya setelah mendapat jelingan maut daripada teman baiknya itu.

"Aku sentiasa doakan kebahagiaan kau, Yaya. Sumpah." tambahnya sambil tersengih-sengih.

Suraya menganggukkan kepala dengan bibir turut menguntum senyum.

"Terima kasih, Han." ucapnya.

Jam 11.00 malam, dia masih terkebil-kebil di atas katil. Telefon pintar ditilik. Tiada sebarang missed call atau pesanan yang diterima daripada Dr. Adrian sepanjang hari itu.

Lama dia termenung. Memikir dan menilik keupayaan diri hinggakan dia berasa geram dengan perkembangan usahanya itu. Mengapa susah sangat untuknya mencari dan mengumpul bukti? Dan, dia juga hairan. Apabila terfikirkan sahaja lelaki itu misi utamanya seakan tergantung buat seketika. Apatah lagi ketika berhadapan. Melayang segala rencana dan perancangan. Dia benar-benar bagaikan dipukau apabila berada berdekatan dengan lelaki itu.

Ditarik satu nafas yang dalam. Dia perlu ingatkan dirinya akan tujuan utamanya sebaik mulut berani melafazkan kata setuju untuk menjadi isteri kepada lelaki itu. PERLU.

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.