Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 59


Setelah memarkirkan kereta yang dipandu, dia bergegas turun. Subaru dijeling dengan perasaan berdebar. Masak! Dia dah terlewat lima belas minit. Tetapi, kelewatan itu bukan berpunca darinya. Siapa tahu laluan yang selama ini lengang boleh sesak teruk akibat sebuah kemalangan. Gugusan kunci yang disimpan dalam poket tas tangan digagau kasar. Dalam benak, dia memikir menu yang bakal disiapkan. Sudahlah lewat, tempoh masa untuk menyediakan makanan juga hampir tamat. Selain merencana resepi, mindanya siap membayangkan hadiah istimewa yang bakal diterimanya sebentar lagi akibat kelewatan yang tidak disengajakan itu.

"Surprise!!"

Dia tergamam sebaik daun pintu ditolak. Sejambak mawar merah disuakan betul-betul di hadapan mukanya. Sebaik wajah yang berselindung di balik jambangan itu dipamerkan, andaian yang berlegar dalam kepalanya sebentar tadi lupus. Suara yang ceria dan wajah gembira itu langsung tidak berjaya meredakan debaran yang makin sakan bergendang. Sebaliknya menambah kebimbangan.

"Just for you. Ambillah."

Andai tidak diperingatkan, barangkali dia masih tegak dan kaku di situ. Lambat-lambat, kedua tangannya dihulurkan menyambut pemberian yang tidak dijangkakan itu.

"Er-erm, thanks. Err... I- I...pergi masak dulu." tergagap-gagap dia meminta izin untuk beredar.

"Eh, tak perlu. I dah siapkan dinner malam ni. Jom."

Pudar warna wajahnya sebaik pengumuman itu diterima. Dinner? Rasanya dah terlalu lama mereka berdua tidak duduk makan semeja. Dia betul-betul terlupa bilakah kali terakhir situasi itu dinikmati bersama. Belum sempat dia mencari alasan untuk melarikan diri, bahunya kemas dipaut. Terpaksa, dia menuruti sahaja apabila dibawa ke ruangan makan.

"Duduklah."

Dia tersentak sebagai tindak balas akibat mendengar nada lembut yang dituturkan itu. Lamunan pendek mati. Tas tangan dan jambangan bunga diletakkan di atas meja sebelum punggungnya berlabuh di atas kerusi yang sedang ditarik oleh lelaki di belakangnya itu. Kemudian, lelaki itu beredar untuk duduk bertentangan.

"Your favourite dishes. I harap you suka."

Biji matanya terbeliak melihat menu yang dihidangkan di atas meja makan itu. Menu yang telah lama tidak nikmati olehnya setelah kejadian makanan itu sengaja dibuang begitu sahaja. Dia, senyum kelat. Sebal perasannya sebaik teringatkan peristiwa itu. Ditutup dari dapat dibaca dengan melirik panjang senyuman yang tiada seri.

"Makanlah."

Ucapan demi ucapan yang dilafazkan dalam nada rendah itu makin menggusarkan dirinya. Tidak tentu arah jiwanya memikirkan keanehan demi keanehan yang sedang ditontonkan ketika ini.

Apabila mendapati lelaki di hadapannya mulai menjamah hidangan makaroni udang bersos keju itu, dia tunduk akur. Garpu yang terhampar digapai lalu makanan itu dijamah dengan rasa bercampur baur bergumpal dalam dada.

"Sial!!!"

Dia yang sedang menjamah makaroni bakar terperanjat besar ketika kole besi itu mengenai permukaan meja yang diperbuat daripada batu marmar sebelum terpelanting di sudut ruangan. Mangkuk yang sedang dipegang segera diletakkan ke atas meja makan. Kunyahannya laju seperti mana bunyi tapak kaki yang sedang menghampiri.

"Arghhhh!!.." Dia mengaduh sebaik rambutnya ditarik kasar dari arah belakang.

"Pembelot!! Kau ingat aku tak tahu apa rancangan kau???" herdikan kasar di cuping telinganya seiring dengan kuatnya rambutnya dipulas.

"R-rancangan apa?" soalnya berani.

"Penipu!! Masih nak berbohong dengan aku? Ini! Kau tengok sendiri!" marah lelaki itu sambil mencampakkan sesuatu ke atas meja makan.

Kepalanya yang masih dicengkam kuat disorongkan ke arah dokumen yang terdampar. Dia membulatkan biji mata sebaik membaca sepintas lalu isi kandungan dokumen tersebut. Macam mana dia boleh tahu??

"Huh!! Kau nak perangkap aku, kan? Jangan harap!" kata lelaki itu sebelum kepalanya dihantukkan ke permukaan meja.

Sakit. Berpusing kepalanya akibat hentakan itu. Dan pasti, benjol dan merah menempek di situ.

"Haha!! Kau fikir kau boleh lari dari aku? Kau fikir kau boleh duduk bersantai sambil makan-makan kemudian kenakan aku?? Tak payah nak bermimpi! Kau tak kan dapat lepas dari aku selamanya, perempuan!!" sembur lelaki itu lagi sebelum satu hentakan ke permukaan meja diperolehi dan dia ditolak kasar ke belakang.

Terjelepuk dia terduduk di atas kerusi sambil menahan kesakitan di bahagian kepalanya itu. Dalam suasana berpinar, dia melihat mangkuk makanannya diambil sebelum dicampakkan ke dalam tong sampah.

"Selagi kau bini aku, kau buat apa yang aku suruh. Bukan membantah. Tengok, apa dah jadi? Kalau kau tak belot pada aku, tentu dahi kau masih cantik dan licin." tutur lelaki itu sebelum beredar.

"Sefia, sikit je makan. Kenapa? Tak sedap ke?"

Berdenting bunyi garpu yang dipegang jatuh tercampak ke lantai. Dia membesarkan biji mata. Dia tidak sengaja! Jauh dia mengelamun tadi. Tanpa berlengah, cepat-cepat dia menolak kerusi. Namun, satu tangan terlebih dahulu menggapai garpu yang jatuh itu sebelum beredar ke dapur dan kembali dengan satu batang garpu baharu.

"Kenapa, ni? Penat sangat ke?" tanya lelaki itu sambil menghulurkan garpu itu. Satu senyuman dilemparkan. Lalu, dia beredar kembali ke tempatnya.

"Hah? Oh. Erm..." tuturnya perlahan. Situasi yang sedang dialami ketika ini makin meresahkan jiwanya. Apa kena ni? Apa sebenarnya yang berlaku?

"Well, you mungkin hairan kenapa I tiba-tiba ajak you dinner petang ni," ujar lelaki di hadapannya sambil tersenyum tipis.

Diam. Pandangannya dijatuhkan setelah melirik lelaki itu sepintas lalu. Kekeliruan di wajahnya sah dapat dikesan.

"I tak sabar tunggu berita baik dari TSL. Semuanya kerana usaha you. Thanks sebab sokong I selama ni."

Tiada balasan. Ucapan itu menjelaskan kekusutan yang bersarang. Dia telah pun faham.

"Boleh jadi, apa yang you impikan bakal jadi kenyataan."

Mendengar kata-kata itu hatinya dicuit. Benarkah? Benarkah apa yang didengari itu?

"Mungkin, dalam masa terdekat."

Oh, tak sangka! Dia ingin menangis. Di situ juga. Namun, air matanya telah lama kering. Dia ingin melompat girang. Tetapi, rasa itu juga telah lama mati. Akhirnya, dia diam tanpa sebarang reaksi.

"Tugas terakhir you, pastikan tak ada sebarang keraguan yang terlepas. Walau sebesar zarah. Kalau ada, you tahu apa you patut buat."

'Lupuskan.'

Hati kecil berbisik mantra yang sering digunakan oleh lelaki itu apabila mengarahkan melakukan sesuatu demi cita-citanya itu.

"Sesiapa saja yang tolong dia..."

'Diamkan.'

Sekali lagi dia berbisik pesanan keramat itu.

Bukan sekali dua penolong-penolong itu didiamkan. Dia terkenangkan Mr. Lee yang pernah membela imej lelaki itu yang tercalar akibat khabar angin tentang clubbing dan pemabuk disebarkan. Sisi gelap Mr. Lee pula lantas dibongkar. Bukan untuk tontonan staf pejabat tetapi, Mr. Lee sendiri. Kesan dari ugutan yang dilayangkan melalui email itu, lelaki Cina itu memahami amaran yang diberikan. Sehingga ke hari ini mendiamkan diri dari memberi sebarang bantuan apabila satu demi satu serangan khabar angin dihantar.

Dia juga teringatkan Encik Faiz yang diam-diam berangan untuk menjadi pengurus itu. Dia tahu lelaki itu jujur sejak masuk ke syarikat. Dan, lelaki itu juga antara si orang kuat. Namun, kerana lelaki itu telah memilih untuk berada dalam kandang pihak lawan, dia tidak terkecuali dari diberi amaran. Sikap tidak amanah yang dipakai ketika berada di syarikat sebelum ini dijadikan penanda sempadan. Encik Faiz lantas terdiam. Kebingungan kerana aib kelmarin yang ditutup rapat berjaya diselongkar olehnya.

"Hmm... Sekarang, I terfikir bila you dah tak bersama I nanti. Tentu susah hidup I."

Dia, menepis luahan yang entahkan ikhlas itu. Lorong sempit suatu masa dulu makin lebar terlihat di matanya. Suram yang menemani laluan itu kelihatan dipalit sinar di hujungnya. Dia, tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke dalam laluan itu. Dia ingin berlari sekuat hati sehingga ke hujung lorong itu untuk melihat cahaya yang sedang menantinya di situ.

"Tapi, kalau jadi apa-apa, you tunggu akibatnya. Akibat yang belum pernah you lihat sebelum ini. Selama berpuluh tahun I berusaha, kesilapan sekecil zarah pun I tak boleh terima. Pastikan you tak ulangi sebarang kesilapan sebelum ni. You tentu tak nak buat I marah, kan?"

Dia, menggeleng lemah.

"Habiskan makanan you. Penat I rancang untuk raikan you pada hari ni. Jangan hampakan I." tambah lelaki itu dan dia mengangguk kecil.

Meski tawar tekaknya untuk menikmati hidangan, amaran lelaki itu kuat melekat dalam benaknya. Mood tenang pada petang itu enggan dirosakkan dengan aksi bantah-membantah.

Previous: Bab 58
Next: Bab 60

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.