Cattleya yang terkenal sebagai ratu orkid dibelek teliti. Rona merah gelap dan kuning pada dua kuntum bunga yang mekar berkembang mempesonakan mata yang memandang. Dia memerhati dedaun hijau terang dengan perasaan puas kerana penanda itu menunjukkan ia sebatang pokok yang sihat.
Tangan yang memakai sarung tangan, cuba mengeluarkan pokok renek itu daripada pasu asal yang diperbuat daripada plastik lutsinar. Dengan sekali cubaan yang berhati-hati, dia berjaya menarik keluar pokok itu. Diperhatikan pula akar pokok dengan medium tanah yang membaluti ia selama ini. Diurai sedikit demi sedikit medium yang hampir keras kehitaman itu. Setelah dirasakan baki medium agak liat untuk ditanggalkan, dia bangun dari duduknya. Menuju ke sinki lalu dibuka paip air. Akar pokok yang masih bergumpal dengan tanah dialiri air supaya tanah keras itu lembut dan mudah untuk dibersihkan.
Lima minit kemudian, dia kembali ke meja kerja. Tinggal beberapa tompok kecil tanah yang keras beku. Namun, dibiarkan sahaja kerana bilangan anasir itu tidak menjejaskan pertumbuhan akar Cattleya. Dibelek-belek lagi akar pokok tersebut. Tercari-cari akar yang sudah mati atau berubah warna. Hujung akar yang lembik dipotong dan dibuang menggunakan sebilah gunting yang sudah disteril menggunakan alkohol. Akar berwarna kuning dan coklat pula ditekan-tekan sedikit. Sekiranya masih keras, ianya akar yang masih sihat. Setelah selesai proses itu, dia mengambil botol yang mengandungi hidrogen peroksida. Cecair itu disemburkan ke arah akar tersebut. Tujuannya adalah untuk melindungi akar yang telah dipotong daripada sebarang infeksi. Puas membelek, dia mencapai sebiji pasu seramik yang sudah diisi dengan batu-batu sungai bersaiz kecil. Pokok itu mahu dipindahkan kepada pasu itu pula.
Hari itu, dia harus menyiapkan tiga jenis tempahan. Dua tempahan untuk orkid dan bakinya untuk bungaan campuran.
"Sarah!" laungnya kepada pekerjanya yang sedang memunggah pek-pek tanah lima kilo di hadapan kedai.
"Ya, Kak Azah! Sebentar!" sahut Sarah. Wanita itu berasal dari Sabah. Dan, telah berkhidmat dengannya sejak dari hari pertama dia mengambil pekerja.
"Sarah tolong ambilkan kotak tempahan ye." arahnya tanpa berlengah.
"OK."
Dia senyum ketika menerima balasan itu. Tidak perlu menunggu lama, permintaannya diterima sebelum Sarah kembali sibuk menyambung kerja yang tertangguh.
"Mama, jom."
Dia, tersentak. Hampir satu jam dia berada di meja dekorasi itu tanpa menyedari kegiatan yang berlaku di sekeliling. Ralit benar dia tadi. Kepala, mendongak melihat anak bujang berusia hampir tiga puluhan itu. Azlan namanya. Berketinggian sederhana dan mempunyai raut yang bersih. Mata yang sering menggunakan kanta lekap itu tidak pula kelihatan pada hari ini. Cermin mata membentengi sepasang matanya.
"Ke mana?" soalnya hairan.
"Laa... Pagi tadi janji nak lunch sama." ujar Azlan kemudian duduk. Tersengih-sengih memandangnya.
Puan Azah, merenung anak lelakinya dengan perasaan keliru.
"Bila masa mama buat janji? Rasanya tak ada pulak mama cakap nak keluar makan dengan Lan." sahut Puan Azah dengan wajah berkerut. Puas dia memikir sejak bila dia jadi pelupa. Rasanya inilah kali pertama dia terlupa setelah membuat janji.
"Lan pun tak cakap tentang keluar. Lan cuma kata kita lunch sama-sama. Jadi, kita makan dekat sini ajelah," jawab Azlan berjenaka. Tawa kecil meletus di bibir. Bungkusan yang disorokkan diletakkan di atas meja.
"Lan dah tapau nasi. Untuk Kak Sarah pun ada." tambah Azlan sebelum tersengih kembali.
Satu senyuman terukir di wajah Puan Azah. Anak bujang itu sedang mengusik rupanya. Mati-mati dia ingat dia dah jadi pelupa. Al maklumlah, umur pun dah makin meningkat!
"Iyelah. Nanti kita ajak Sarah makan sama-sama. Tapi, kerja mama belum siap lagi. Ada satu lagi tempahan mama nak buat ni." maklum Puan Azah sambil bangun dari atas kerusi membawa tempahan yang siap untuk disimpan.
Tempahan bunga campuran itu telah dipersetujui oleh pelanggan yang menempah. Pelanggan tersebut mahukan bunga daripada jenis ros, daisy dan semestinya orkid. Digabungkan bungaan tersebut bersama-sama dengan sekotak coklat dan kad ucapan. Ucapan yang dititipkan pula puitis sekali. Barangkali pelanggan itu mahu menghadiahkan jambangan itu kepada seseorang yang istimewa.
Puan Azah, kembali ke meja. Senyum melihat Azlan sedang ralit meneliti tempahan yang sedang disiapkan itu.
"Kalau Lan ada makwe, nanti mama boleh tolong gubah bouquet. Percuma aje. Khas untuk bakal menantu mama tu." usik Puan Azah lalu duduk. Dua biji pasu yang berisi orkid bersedia untuk digubah pula. Bahan gubahan juga sedia bersusun di atas meja panjang yang luas itu. Dia mendekatkan sebiji pasu. Mencapai sehelai kertas pembalut dan mula membungkus pasu tersebut.
Azlan, tergelak kecil.
"Lan mana ada makwe. Tak sempatlah nak cari." katanya selamba.
"Memang tak sempatlah sebab asyik sibuk dengan kerja," rungut Puan Azah.
Azlan pura-pura tidak mendengar. Sibuk menilik pokok bunga di hadapannya.
"Mama nak tanya, kawan-kawan Lan dekat ofis tu semua single macam Lan ke?" tanya Puan Azah sedikit tidak puas hati mendengar jawapan anaknya tadi. Acapkali soal jodoh dibangkitkan mulalah alasan kerja diberikan. Namun, kali ini, dia enggan menerima bulat-bulat alasan itu lagi.
"Tak. Tapi, adalah tiga empat orang macam Lan." jawab Azlan jujur.
Puan Azah menggeleng. Patutlah anak bujangnya tak kisah bab kahwin. Ada geng rupanya!
"Lan, umur Lan dah nak masuk tiga puluh tau. Sudahlah Zura buat tak endah dengan permintaan mama... Sekarang, Lan pun sama nak ikut jejak langkah kakak tu?" rungut Puan Azah berpura-pura mempamer wajah mendung kepada anaknya.
Namun, terselit satu kebenaran dalam kata-katanya itu. Anaknya yang sulung itu awal-awal lagi dah tutup buku bila dia mula bercerita soal jodoh. Kata Zura, setelah dia pulang dari Ireland barulah soal perkahwinan boleh dibincangkan. Pulak!
Mungkin, selama ini dia terlalu berlembut dengan kemahuan anak-anak. Apabila melihat Azlan, barulah dia tersedar. Naluri seorang ibu, dia bimbangkan Azlan. Ilman yang berusia sembilan belas tahun itu pun dah ada teman wanita. Azlan pula langsung tak pernah ada. Di fikirannya ketika ini tiada lain yang terbayang melainkan Suraya Anne. Berkenan betul dia kepada anak dara arwah Norlin tu. Sudahlah cantik dan bijak. Bersopan santun orangnya. Dia tak perlu merisik dengan Norlin. Cukup ditanyakan kepada Ana birasnya itu, memadai segala informasi tentang Suraya yang diinginkan.
"Belum sampai jodoh, mama."
Amboi! Mudah betul anak muda sekarang bercakap!
"Memang tak sampai kalau tak cari. Mama carikan, eh?" pujuk Puan Azah dengan seribu harapan ditadahkan agar anaknya itu bersetuju.
"Tunggulah lagi satu tahun. Kalau Lan tak ada girlfriend jugak baru mama boleh carikan." tutur Azlan bersahaja.
Puan Azah menggeleng perlahan. Namun, tidak pula dia cuba untuk menawar kata pujukan lagi. Kalau dah kakak jenis kepala batu, adik apatah lagi. Dua kali lima. Tapi, senang juga hatinya bila Azlan mahu memberinya peluang mencarikan jodoh. Siapa lagi dalam benaknya ketika ini jikalau bukan Suraya.
"Mama..."
Panggilan daripada Azlan mengejutkan lamunan pendeknya. Dia menoleh dengan segaris senyuman di bibir.
"Mama masih cari anak tiri mama tu?"
Tersentak perasaannya seketika.
"Kenapa? Lan dah jumpa dia?" soalnya tidak sabar. Sebenarnya, tiada rahsia di antara mereka anak-beranak. Kesemua mereka mengetahui tentang sejarah lampau kehidupannya sebelum ini. Tiada satu pun yang disembunyikan dengan harapan mereka semua memahami perasaan yang ditanggungnya itu.
"Sorry, mama. Belum lagi. Tapi, siapa saja yang pernah Lan jumpa yang bernama Adrian atau Rudy, Lan akan selidik orang tu. Terbaru, seorang bos di TSL. Dr. Adrian namanya."
"Bos Yaya tu, Lan?" seru Puan Azah dengan perasaan berdebar. Pertama kali bertemu pemuda itu, dia terpikat dengan peribadi yang ditonjolkan. Bentuk wajah dan ketinggian itu pula membuatkan dia terkenangkan seseorang yang telah lama disimpan sebagai memori silam.
"Oh, macam mana mama tahu?"
"Mama ada jumpa masa hari pengebumian arwah Che Nor." maklum Puan Azah perlahan. Debaran yang dirasakan makin memuncak. Benarkah Dr. Adrian itu orang yang dicari selama ini?
"Oo..," disambut oleh Azlan yang semenjak tadi merenung ke arahnya.
"Lan dah tanya ramai orang tentang dia. Tapi, tak banyak pulak maklumat yang dapat. Cuma, kata diorang, Dr. Adrian tu anak orang berada...dan, bersaudara dengan Tan Sri Johari. Entahlah..." cerita Azlan panjang lebar.
"Nampaknya, belum ada rezeki mama nak jumpa balik dengan anak mama yang sorang lagi tu." sahut Puan Azah sedikit hiba. Harapan yang baru digantung terputus. Sisi peribadi Dr. Adrian jauh berbeza dengan permata hatinya itu. Mujurlah Azlan cekap melakukan siasatan. Tidaklah dia terlalu kecewa setelah berita itu sampai kepadanya.
"Inshaallah, mama. Sabarlah... Lan akan tolong carikan selagi Lan mampu." janji Azlan bersungguh-sungguh. Demi kebahagiaan mama, dia rela mencari anak tiri mamanya itu. Meski mama tidak pernah jelaskan dengan terperinci, dia tahu mama amat menyayangi anak tirinya itu. Sungguh, ingin benar dia merealisasikan harapan mama dalam waktu yang terdekat. Namun, dia cuma mampu hingga sebatas usaha. Ketentuannya adalah milik ILAHI.