Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 53


Puan Sharifah Hassanah sedang memunggah beberapa alatan memasak ketika bunyi kuali kawah dan periuk belanga berlaga kedengaran. Keadaan di luar dan dalam stor ketika ini sama-sama sibuk. Dia menjenguk ke luar sebentar. Melihat Luqman sedang galak mengusik pembantunya yang bernama Latifah. Terkekek-kekek ketawa sambil memercikkan air bilasan ke arah Latifah yang sedang membilas alatan utensil. Tetapi, aksi Latifah berlawanan sekali. Dingin seperti cuka. Puan Sharifah Hassanah tersenyum simpul sebelum kembali ke dalam. Dia tahu, Latifah berpura-pura berwajah masam begitu. Padahal, hati sedang berbahagia.

Sebenarnya, pada hari itu sengaja dia dan suaminya memberi over time kepada pekerja yang mahu membantu membersihkan rumah stor dan alatan yang telah lama tidak digunakan. Bukan alatan sahaja yang berhabuk malah, stor itu dipenuhi dengan sawang labah-labah. Masa yang banyak dihabiskan di kedai membuatkan stor itu seringkali terabai dari diuruskan.

"Mama, kalau Kak Long balik kan best." tutur Ehsan mengejutkan lamunan Puan Sharifah Hassanah.

Dia menoleh ke arah anak lelakinya yang sedang menolak air keluar ke muka pintu. Pinggan yang sudah dibasuh di dalam besen di capai lalu di lap menggunakan kain pengelap sebelum ia di susun di atas para.

"Kak Yaya pun! Bila dah kahwin tentu Kak Yaya dah tak nak balik sini kan, mama?" sampuk Dani yang baru berusia tiga belas tahun. Dia turut membuat kerja yang sama seperti abangnya itu.

Puan Shariah Hassanah merenung kedua anak terunanya silih berganti. Tengah meluah rindu rupa-rupanya. Mendengar nama Suraya disebut, dia juga jadi rindu pada anak itu.

"Tak baik fikir macam tu, Dani. Yaya tu ada suami. Bila dah kahwin semuanya kena dapat izin dari suami dulu. Mungkin Yaya sibuk tu. Suami dia pun sama." sahut Puan Sharifah Hassanah lebih kepada memujuk hati sendiri daripada perasaan anaknya.

"Kak Long ni, time nilah nak ada kursus. Tak sudah sudah kursus dia tu..." bebel Ehsan pula.

"Macam tulah orang berkerja, Ehsan. Bukan mudah. Masing-masing ada halangan tersendiri,"

Ehsan, melabuhkan pandangan kepadanya. Wajah itu terpamer kecewa sebelum dia kembali meneruskan kerja-kerjanya.

"Alah, baru lagi jumpa dengan diorang, kan?.. Tak kan dah rindu. Kalau nak sangat, nanti kita jalan-jalan ke KL." celah Encik Syed Yusuf yang sejak tadi diam menjadi pendengar. Kerja mengelap kesemua rak di dalam stor itu sejak tadi belum selesai. Teliti dan cermat dia melakukan kerjanya itu. Alang-alang mahu membersih, biarlah dibersihkan betul-betul supaya keadaan itu kekal dalam jangka yang agak lama.

"Yeay!.. Cantiklah ayah!" sahut Dani dengan perasaan teruja.

Puan Sharifah Hassanah senyum. Gembira apabila ahli keluarganya bersetuju sebulat suara.

"Ehsan, Dani... Dah siap tolak air tu pergi tolong Abang Chik cuci kuali." arah Encik Syed Yusuf kepada kedua anak lelakinya.

Kedua-duanya spontan menganggukkan kepala. Lapang dada Encik Syed Yusuf kerana kedua anak lelakinya itu ringan tulang. Dia dah naik kasihan melihat Luqman bersendirian membasuh alatan memasak yang bersaiz besar itu. Pekerjanya yang lain bukan enggan membantu tetapi, pelawaan itu yang tidak kena dengan masa.

Masing-masing sudah ada perancangan sendiri pada hujung minggu itu. Yang berkelapangan siapa lagi kalau bukan Luqman dan Latifah sahaja.

Sesekali, Encik Syed Yusuf memerhati teruna dan dara itu yang dari dulu asyik bermain tarik tali. Tetapi yang jelas menolak adalah Latifah. Yang tidak berputus asa menarik pula adalah Luqman. Dia tidak mengerti mengapa Latifah seakan menjual mahal padahal wanita itu sedar sejak dulu lagi pemuda itu tanpa malu berterus terang akan perasaannya itu. Di hadapan para pekerjanya yang lain pula tu.

"Ana..." seru Encik Syed Yusuf kepada isteri yang sedang menyusun alatan yang sudah kering.

"Ye, bang?" sahut Puan Sharifah Hassanah sambil mengangkat kepala. Jauh lamunannya. Teringatkan siapa lagi jikalau bukan kedua anak gadisnya itu.

"Yaya ada telefon?" soal Encik Syed Yusuf lalu beredar ke arah papan suis elektrik. Kelajuan kipas angin ditingkatkan kepada maksima sebelum dia mendekati bahagian tingkap pula. Mengelap cermin nako yang telah disembur dengan air sabun.

"Ada. Sebelum dia ke KK dia ada telefon. Waktu nak balik ke KL pun ada jugak. Kenapa?" soal Puan Sharifah Hassanah sebelum mendekati suaminya dan melakukan kerja yang sama pada panel tingkap bersebelahan.

"Baguslah dia ada telefon. Abang ingatkan dia dah lupakan kita."

"Isy, abang ni... Perangai macam Dani," tegur Puan Sharifah Hassanah tidak senang melihat suami dan anaknya berprasangka terhadap Suraya.

"Bukan macam tu, Ana. Abang sebenarnya risau. Takut lepas apa yang jadi...dengan Yaya pun dah ada suami sekarang mungkin, dah takde alasan untuk dia balik ke sini kecuali nak menziarahi kubur arwah." jelas Encik Syed Yusuf terhadap perkara yang sering bermain-main di fikirannya sebelum ini.

Puan Sharifah Hassanah senyum sedikit. Lega mendengar luahan suaminya itu.

"Ana pun sama, bang. Ada terfikir macam tu. Tapi, selepas dapat panggilan tu, Inshaallah... Ana yakin dengan Yaya. Tak mungkin dia tiba-tiba berubah. Lagipun, dia rapat dengan kita. Tak kan macam tu aje dia nak tinggalkan kita."

"Ermm... Agaknya abang yang terlalu ikutkan mainan perasaan." tutur Encik Syed Yusuf perlahan.

"Tau pun... Dah dahlah fikir yang buruk, bang..."

"Yelah." sahut Encik Syed Yusuf dengan hati dan perasaan yang senang.

"Ana..." panggil Encik Syed Yusuf lagi.

"Ape lagi, bang?.." tanya Puan Sharifah Hassanah sambil melayangkan pandangan kilas ke arah suami di sisi.

"Tu..."

Dengan menjuihkan bibir Encik Syed Yusuf melorongkan wajah ke arah pasangan merpati dua sejoli itu. Isterinya mencebik.

"Hisy, apa abang ni? Biarlah diorang. Dari dulu lagi kan macam tu." tegur Puan Sharifah Hassanah tidak puas hati. Dia tiada hak untuk melarang Luqman dan Latifah berhubungan lebih dari sekadar teman sekerja. Lagipun, selama ini kelakuan Luqman dan Latifah sentiasa terjaga adabnya. Belum pernah lagi dia melihat Latifah kalah pada usikan dan pelawaan Luqman yang belum pernah berputus asa mempelawanya keluar bersama-sama.

"Ana, abang tak cakap apa-apa pun." ujar Encik Syed Yusuf pura-pura tersinggung dengan kata-kata isterinya itu.

Puan Sharifah Hassanah pura-pura tidak melihat reaksi suaminya itu. Dilirik ke luar. Melihat Ehsan dan Dani telah mengambil alih kerja-kerja mencuci manakala Luqman dan Latifah pula sedang duduk di tepi longkang berehat-rehat.

"Alah, Ana taulah abang tu... Setiap kali nampak diorang berdua, macam tulah gelagat abang yang Ana tengok." sahutnya kembali memandang ke arah suaminya.

Encik Syed Yusuf ketawa geli hati. Dengan isterinya mana boleh nak berbohong.

"Sorang tak habis habis mengusik. Sorang lagi macam kayu."

"Abang! Abang ajak Ana mengumpat ke? Ana tak nak." tutur Puan Sharifah Hassanah sebelum menjauh ke arah panel yang lain pula.

Buat seketika, Encik Syed Yusuf terpinga sebelum cepat-cepat mendapatkan isterinya.

'Hisy, bini aku ni... Belum habis cakap dia dah lari dulu.'

"Abang bukan nak mengumpatlah. Abang nak cakap tengok diorang terkenang kita dulu dulu. Cuba Ana ingat balik." kata Encik Syed Yusuf sambil mengelap cermin terpaling atas yang tidak mampu dijangkau oleh isterinya.

Puan Sharifah Hassanah tersipu sebentar. Encik Syed Yusuf tergelak kecil.

"Eeiii... Yang pergi ingatkan balik kenangan lama tu kenapa? Saje nak malukan Ana, ye?" tukas Puan Sharifah Hassanah sedikit geram.

Mengimbau kenangan lama itu, sering membuatnya termalu sendirian. Seperti Luqman, begitulah suaminya. Bertahun berusaha untuk menambat hati dan perasaannya. Cuma, waktu itu dia terpaksa menjual mahal demi keluarga. Tak mungkin dia mengorbankan keluarga semata-mata mahu membahagiakan dirinya sendiri. Namun, suaminya terlebih dahulu memahami situasi. Akhirnya, lamaran suami diterima dan bukan dia seorang yang berbahagia dengan lamaran itu. Keluarganya turut sama berbahagia dengan kehadiran suaminya itu.

"Abang tau Ana malu. Abang bukan sengaja nak bangkitkan kenangan tu. Tapi, inilah yang abang nak bincangkan dengan Ana."

"Maksud abang?" soal Puan Sharifah Hassanah serta-merta menghentikan kerja yang sedang dibuat.

"Ana dah bercakap dengan Ipah?"

"Dah, bang."

"Dia kata apa?"

"Nak habiskan kursus komputer dulu."

"Oh, baguslah. Maknanya lepas tu bolehlah kita teruskan dengan hajat kita tu." kata Encik Syed Yusuf dengan perasaan lapang.

"Ye, bang. Ana pun tak nak tangguh-tangguhkan lagi urusan diorang tu. Umur dah meningkat, belanja pun dah cukup. Apa tunggu lagi?" tutur Puan Sharifah Hassanah pula.

"Yelah. Kalau macam tu habis aje kursus dia tu kita langsungkan terus. Kalau ikut hati abang, hari ni jugak abang nikahkan budak berdua tu."

"Eh, sabar bang. Chik tu masih ada keluarga lagi di kampung. Bukan anak kita nak dibuat sesuka hati." bidas Puan Sharifah Hassanah sebelum disambut oleh tawa kecil oleh suaminya.

Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.