Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 67


Daihatsu Sirion yang dipandu berhenti di bawah sebatang pokok hutan di tepi jalan. Enjin kereta lantas dimatikan dan dia menapak keluar. Terik dan bahang melingkari diri meskipun mendapat perlindungan daripada bayangan pokok tersebut.

Cermin mata hitam yang melekat di wajah dibetulkan. Pokok hutan yang menjadi saksi bisu kejadian itu diamati. Atas dan bawah kemudian, dihampiri. Hanya mampu untuk mengelilingi pokok itu separuh bulatan sahaja kerana kedudukannya yang condong sedikit ke arah tebing landai yang tandus tidak memberi sebarang ruang untuknya meneruskan pijakan.

Sana sini, dia memerhati. Lalu, berpaling meneruskan agenda. Campur hari ini, sudah kali ketiga dia hadir ke situ. Dan kali ini, dia benar-benar berharap ada penemuan baharu. Dia melangkah pula ke atas jalan tar dua hala yang lengang. Kiri dan kanan pokok kelapa sawit menabiri pandangan. Tidak jauh dari tempat itu terletak sebuah kebun yang dipagari tanpa penjaga. Hmm... Tiada apa yang boleh diharapkan daripada pemilik kebun tersebut. Puas sudah dia bertanya dan bercerita.

Pandangannya jatuh kira-kira lima puluh meter ke arah timur. Kepada sebuah kolam memancing yang masih aktif. Pemilik kolam itu juga telah dia temui. Sekali lagi kebetulan menjadi alasan. Hari itu kolam tersebut tidak beroperasi. Begitu juga jawapan yang diterima daripada penduduk setempat yang berada di sekitar kawasan itu. Masing-masing tidak tahu menahu sehinggalah setelah setengah jam kejadian itu berlaku.

Dia menarik nafas yang dalam. Logamaya pada jam 3.00 petang menari-nari di atas jalanan. Peluh mula merecik walaupun baru sebentar dia melarikan diri dari ruang lingkup teduhan. Angin Barat yang kering berhembus menambah gersang daratan yang sedia kering. Baju kemeja jenis cotton yang bersarung di tubuh terasa berkuap tetapi dia santai melangkah. Hampir dua puluh meter ke timur dan barat dia menapak ulang dan alik. Beberapa kali. Apabila terdengar bunyi kenderaan yang melewati cepat-cepat dia turun ke bahu jalan. Memberi laluan.

Sambil berjalan perlahan-lahan, skid mark yang terputus-putus garisannya dan makin pudar warnanya ditilik. Mabuk? Mungkin tidak. Dia telah siap selidik latar belakang penduduk yang berapa kerat bilangannya itu. Masing-masing saling mengenali. Menjadi mudah untuk menyiasat tabiat mereka.

Sekali lagi dia menemui jalan buntu apabila berada di kawasan itu. Dia kembali ke kereta. Menapak dengan lebih laju. Jikalau saksi hidup tiada dia mahu mencari saksi bisu pula. Enjin Sirion lantas dihidupkan kembali. Dia membuat pusingan U. Mengambil lorong yang bakal membawanya ke arah petempatan yang sedikit ramai berbanding kampung koboi itu.

Tatkala tiba di kawasan penduduk yang agak padat, kelajuan yang diberikan mula diperlahankan. Di sepanjang jalan, deretan rumah penduduk terletak saling bersebelahan. Kereta dihentikan dan dia memarkir di bahu jalan. Gear ditukar dan dia mula memerhati satu demi satu rumah yang kelihatan. Pemerhatian dilakukan dengan teliti. Atas, bawah, kiri, kanan, dalam dan luar. Mujurlah kebanyakan rumah itu tidak berpagar. Lagi sekali, hampa menjadi habuan.

Gear dimasukkan dan kereta bergerak lagi. Dia masih belum menemui apa yang dicari. Akhirnya, apa yang diintai tertangkap pada layar penglihatan. Sebuah stesen timbang sawit yang memiliki kamera litar tertutup di bahagian tepi bangunan yang menghala ke arah pintu masuk menarik perhatiannya. Sekaligus turut meliputi sebahagian jalan yang dilalui itu. Pantas enjin kereta dimatikan dan dia turun.

Pengalaman lalu sebagai sub inspektor memudahkan negosiasi di antara dirinya dan pengurus stesen timbang tersebut. Kerjasama berjaya dan dia diberikan salinan rakaman litar tertutup sebelum dia melihat sendiri dengan mata kepalanya adegan yang berlaku kira-kira jam lapan malam itu. Tipis. Shot yang dipaparkan hanya menampakkan sebahagian bawah kenderaan yang agak laju ketika dipandu. Kira-kira setengah jam rakaman yang sama diteliti dan diulang tayang.

"Terima kasih Encik Zaki atas kerjasama. Saya perlu bergerak dahulu."

Sekeping not berwarna biru diselitkan di bawah papan kekunci sebelum dia bergegas keluar meskipun dia terdengar Encik Zaki melaung-laung memanggil namanya.

Jalan yang lurus itu ditelusuri lagi. Mencari sebarang premis yang lengkap dipasang dengan CCTV. Kosong. Tiada yang memasang alat itu dengan sudut pandangan ke arah jalan raya.

Kenderaan lalu dihentikan. Memikir apa langkah seterusnya. Setelah lebih sepuluh minit melihat kenderaan yang lalu lalang akhirnya dia mengambil keputusan untuk bermula dari kawasan pekan kecil berhampiran.

"Mau tengok CCTV, ah? You polis ke?" soal seorang lelaki Cina bertubuh gempal dengan ketinggian sederhana.

Wajahnya bulat dan bermisai. Berumur dalam lingkungan empat puluhan.

"Saya PI, tauke. Waris mangsa yang upah kami." jelasnya.

Si tauke itu mengangguk. Tiada lagi soal jawab. Dia senyum. Urusannya masih berjalan lancar. Kali ini dia tidak lagi menonton sebaliknya hanya mengambil salinan rakaman sahaja.

"Terima kasih banyak, tauke."

Lalu, lima keping not merah dihulurkan. Ada atau tiada bukti yang berjaya tertangkap di dalam rakaman itu belakang kira. Setiap maklumat yang diterima telah diarahkan supaya dibalas dengan habuan. Dan dia sendiri sedar, rutin yang sedang dilakukan itu telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa. Namun, informasi itu mahu dilihat dengan matanya sendiri. Mahu dinilai oleh dirinya sendiri. Biarpun terpaksa mengulang skrip yang sama berulang kali.

Skrip yang sama? Ya. Bagaimana dia mengulangi soalan yang sama kepada Dr. Adrian ketika lelaki itu mengupahnya menyiasat kes ini. Untuk apa disiasat secara peribadi? Jawapan lelaki itu mudah.

"Saja. Aku kan banyak duit."

Huh! Seratus peratus dia tak percaya dengan jawapan lelaki itu. Memang dia akui lelaki itu berharta. Orang kaya katakan. Dan bagi lelaki itu, cash is king. Tetapi, makin hari tidak lagi dia melihat kegilaan lelaki itu di dalam mengumpulkan harta dunia tersebut. Jika dahulu, nak berjumpa pun susah. Alasannya sibuk mereka jaringan untuk dijual kepada pelanggan atau, sibuk dengan kerja-kerja konsultasi. Tetapi, kebelakangan ini kegilaan lelaki itu tiba-tiba bertukar. Tidak lagi kepada harta benda namun kepada seseorang.

"Aku nak kahwin."

Air kosong yang baru diteguk bersembur keluar. Dia terbatuk beberapa kali. Lantas dicapai beberapa helai tisu dari kotak yang ada di atas meja makan itu sebelum mengelap mulut. Kemudian, meja. Pengumuman itu mendapat reaksi daripada Zik. Lelaki itu yang sedang berdiri di ruang tamu menghampiri lalu menarik kerusi dan duduk.

"Kahwin siot!!" Zaf yang sedang mencuci mangkuk selepas menjamu mi segera melaung,

"Dengan siapa?" soalnya.

"Siapa lagi kalau bukan Miss Anne!.." sahut Zaf terlebih dahulu.

"Miss Anne? Siapa pulak?" dia bertanya lagi kerana itulah pertama kali dia mendengar nama seorang perempuan melekat di bibir lelaki itu selain dari Miss Carol. Kalau dah sampai tahap berkahwin memang dia terkejut. Lelaki muka beku ni tiba-tiba nak kahwin? Pelik!

"Suraya Anne. Budak DT baru masuk." jawab Zaf lagi dari ceruk dapur.

Budak baru? Baru kenal terus nak kahwin? Biar betul?

"Anne nak dekat kau atau kau nak kat dia?" soalnya buat kesekian kali.

"Ad-.."

"Kau diam Zaf!!! Bila masa kau jadi jurucakap Adrian ni??" marahnya. Geram dengan perangai adik bongsunya itu yang tak sudah-sudah menyampuk perbualannya.

"Aku nak dekat dia." tutur Adrian dengan wajah selamba.

Dia terbatuk lagi. Tersedak air liur sendiri mendengar pengakuan selamba itu. Lelaki muka beku ni bila berterus-terang memang jujur. Tak perlu bertapis-tapis. Ditoleh ke arah Zik. Senyap menjadi pendengar. Dipandang kembali ke arah Adrian. Tiada perasaan!

"Bila?" soalnya.

"Lagi tiga minggu." jawab Adrian.

Jelas. Tak payah nak risik lebih-lebih, tak payah nak giatkan konsultasi. Bila dah diputuskan bermakna ia muktamad.

Bunyi hon yang agak panjang memaksa lamunan singkatnya terhapus. Dia mengerling ke arah sebuah lori 3 tan yang belum berhenti menekan hon akibat laluannya dihalang oleh sebuah kereta yang diparkir.

Sambil berjalan ke kereta, dia tersenyum sinis mengenang memori beberapa bulan yang lalu itu. Lelaki itu, telah jatuh tergolek di kaki si manis Suraya Anne. Dia gembira dan berbahagia untuk lelaki itu. Benar-benar bergembira. Dia masih ingat dan segar dalam ingatannya. Kali pertama bertemu ketika usianya belum masuk dua puluh tahun dan lelaki itu pula baru belasan. Melihat keakraban adik-adiknya dengan lelaki itu secara automatik lelaki itu dianggap sebahagian ahli keluarganya. Malah, dia tidak segan untuk menyoal apa saja berkaitan diri lelaki itu yang dirasakan sesuai oleh seorang kakak terhadap adik-adik lelakinya.

Perjalanan penyiasatannya diteruskan lagi di pekan lama dengan sebatang lampu isyarat itu. Deretan bangunan kedai yang segan hidup mati tak mahu menjadi sasaran. Sebuah bengkel kereta, kedai membaiki alatan elektronik, kedai alatan memancing dan sebuah kedai runcit. Dia mendongak. City Bajet Hotel. Itulah yang dicari melihatkan sebiji kamera litar tertutup yang menghadap pintu masuk ke hotel tersebut yang terletak di tengah-tengah deretan kedai.

"Boleh saya tahu cik dari mana?" soal seorang gadis manis yang bertugas sebagai penyambut tetamu.

"Saya PI. Ini kad saya."

Dihulurkan sekeping kad bisnes dari dalam dompet yang diselit pada poket belakang seluar yang dipakai. Gadis itu menyambut lalu melihat kad itu sebentar kemudian memintanya menunggu.

"Tarikh?"

"29 Mac."

Gadis itu angguk. Dari balik kaunter itu dia memerhati jari jemari penyambut tetamu itu menekan tetikus sambil mata menatap ke arah skrin Acer versi 2008 dengan kerutan di dahi. Sesuatu yang tidak menyenangkan mula dihidu.

"Kenapa, dik?"

Dia menyoal dengan tenang.

"Fail 29 Mac tiada."

"Maksud adik?"

Gadis itu mengalihkan fokus. Membalas tatapannya.

"Sebelum ni ada. Memang ada. Sebab komputer ni saya seorang aje yang guna. Tapi, kesemua fail sejak dari dua bulan yang lalu dah takde. Macam kena delete."

"Dah check dekat bin?"

Gadis itu mengangguk.

"Pasti adik sorang aje yang guna komputer ni? Tak ada orang lain?"

Angguk lagi.

"Sebelum ni ada tak orang datang mintak copy?"

Gadis itu kelihatan terpaku.

"Ada." sahutnya dengan wajah sedikit terkejut.

"Orang tu pun minta fail 29 Mac."

Kali ini giliran dia pula yang terkaku. Ada orang lain?

"Polis?"

"Bukan. Kalau polis, mereka akan perkenalkan diri terlebih dahulu. Orang ni pulak datang dan terus minta copy. Katanya dari PI juga."

PI? Siapa pula yang selain dirinya yang turut menyiasat kes ini?

"Lelaki?"

"Perempuan."

'Perempuan?'

"Bawah mata kiri perempuan tu ada tiga biji tahi lalat kecil? Tinggi lebih kurang macam ni?" soalnya lagi sambil mengagak ketinggian Suraya.

"Tak. Orangnya lebih tinggi. Dan, cantik sangat." cerita gadis itu lagi.

Kebingungan. Siapa? Dia termenung sejenak di kaunter itu. Memikir dan mengimbas wajah-wajah yang pernah ditemui atau dilihat berpadanan dengan gambaran yang diberikan. Kosong.

"Tak mengapalah, dik. Terima kasih sudi tolong." ujarnya setelah dirasakan tiada gunanya dia berlama-lamaan di situ.

"Nanti, cik!" seru gadis itu ketika dia menarik pintu untuk keluar.

Dia berpaling.

"Kalau cik nak cuba lagi, cik boleh tanya

Uncle Edwin dekat kedai kopi dia tu. Sebenarnya, dia ada pasang CCTV dekat tingkap rumah dia tu. Nak tangkap budak-budak motor yang kerap buat bising depan kedai dia malam-malam."

Bibir mula menguntum senyum. Harapan yang kelam kembali bersinar.

"Apa nama kedai dia, dik?"

"Kedai Kopi Ah Wang. Bangunan kayu dua tingkat selepas traffic light."

Previous: Bab 66
Next: Bab 68

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.