Hajah Afida
teresak-esak ketika talian dimatikan. Perkhabaran yang baru diterima dari
Affian, sangat menyentuh hatinya. Ia mengundang tangisnya. Air mata memang amat
murah dan senang sekali mengalir.
“Kesian anakku...”
rintihnya. Sejak dua minggu ini, dia hanya mendengar kisah sedih mengenai
anaknya. Qisya sedang menghadapi dugaan untuk menjadi ibu. Anaknya itu sedang
terlantar.
Siang malam dia berdoa
agar ALLAH berikan kesejahteraan untuk Qisya. Selain berdoa, dia juga tidak
jemu memujuk Haji Hasnan agar berlembut hati dan mengizinkan dia pergi melihat
Qisya di hospital.
“Abang, bolehkah saya
minta sesuatu dari abang?” tanya Hajah Afida sebelum suis lampu dimatikan.
“Apa dia?”
Hajah Afida menelan air
liur. Dia keberatan kerana bimbang suara suaminya akan meninggi di tengah malam
itu.
“Ada apa? Kalau nak
tanya tu, tanyalah.”
“Boleh tak izinkan saya
ke hospital esok.”
Haji Hasnan segera
berpaling.
“Nak buat apa? Siapa
yang sakit?”
“Anak kita, Qisya.
Sejak dia mengandung ni, dia keluar masuk hospital. Kesian dia bang. Saya nak
tengok dia,” jawab Hajah Afida beranikan diri.
“Anak awak, bukan anak
saya!” tengking Haji Hasnan dengan kuat. Sangkaan Hajah Afida benar. Dia
menelan air liur yang mula pahit. Kenapa begitu keras hati suaminya...
“Saya tak akan izinkan.
Noktah.” Haji Hasnan menarik selimut. Dia berpusing tubuhnya membelakangi Hajah
Afida.
“Abang, sampai bila
abang nak dendam Sya macam ni? Kalau terjadi apa-apa pada dia, abang akan
menyesal nanti,” kata Hajah Afida, masih ingin mencuba.
“Aku memang dah
menyesal kerana besarkan dia. Kalau aku tahu dia nak balas semua jasa aku
dengan cara macam ni, dari kecil aku tak akan biarkan dia hidup!”
Hati seorang ibu lebur.
“Sampai hati abang...”
“Dia lebih sampai hati
buat saya macam ni. Sudahlah. Jangan ganggu fikiran saya dengan budak tu. Kalau
dia nak sakit ke? Nak mati ke? Bukan saya punya pasal. Itu dia punya pasal.
Yang awak nak sibuk-sibuk hal dia tu kenapa?” leter Haji Hasnan, tanpa menoleh.
“Sebab dia anak saya.
Saya yang mengandungkan dia. Walau sebesar mana pun dosa dia, dia tetap anak
kita. Darah daging kita.”
“Sudah!” tengking Haji
Hasnan lagi. Hajah Afida terus matikan diri. Air matanya dibiarkan merembes
keluar tetapi esakannya cuba ditahan. Dia rasa sangat sengsara.
Hari terus berlalu.
Namun setiap hari berita yang didengar mengenai Qisya tetap sama. Kalau dia
dibawa pulang ke rumah, keadaannya tetap sama. Terlantar lemah dan tidak
bermaya.
Sehingga kandungan
Qisya masuk bulan ke tujuh. Sekali pun Hajah Afida tidak berpeluang untuk
melihat dan merawat anaknya. Mujur Affian begitu setia memberi khabar kepada
Hajah Afida mengenai keadaan Qisya. Setiap kali mendapat khabar, setiap kali
itu juga air mata dan esakannya kedengaran.
Pagi itu, seperti biasa
dia mendapat panggilan telefon dari Affian selepas Haji Hasnan keluar ke tempat
kerja.
“Mama, Fian ada hal nak
cakap dengan mama.”
“Ada apa Fian? Sya macam
mana?”
“Sya dah sihat sikit.
Tapi dia masih tidak kuat untuk bangun,” jawab Affian.
Suasana sepi. Lama.
“Fian, ada apa?
Cakaplah. Fian tak perlu nak malu dengan mama,” kata Hajah Afida selepas lama
membiarkan Affian senyap.
“Fian nak minta maaf
dari mama,” kata Affian dengan perlahan. Hati Hajah Afida berdebar.
“Fian, katakan. Apa
yang berlaku?”
“Fian dah dapat tawaran
kerja di sebuah hospital. Nak kena lapor diri minggu depan. Tapi, keadaan Sya
macam ni...”
Hajah Afida segera
faham. Affian tentunya tidak sampai hati untuk meninggalkan Qisya sendirian di
rumah. Dia diam berfikir.
“Lagi satu mama, dah
tiga bulan Fian dah tak bayar sewa rumah. Duit kami dah habis. Fian dah tak ada
duit langsung. Jadi, Fian nak minta tolong pada mama. Tolong pinjamkan Fian
sedikit duit. Lepas Sya dah sihat, Fian akan cari kerja dan bayar hutang mama,”
jawab Affian, lancar.
Hajah Afida sebak. Dia
rasa sangat belas dengan pengakuan jujur menantunya itu. Apa lagi bila
membayangkan ketika Qisya akan melahirkan anak pertamanya, dia diduga dengan kesakitan
dan kesusahan itu.
“Fian, hal itu jangan
susah hati. Nanti mama masukkan dalam akaun Sya. Fian, tolong mama. Jaga Sya.
Kesian dia,” rintih Hajah Afida.
“Itulah yang Fian
tengah risau, mama. Dengan siapa Fian nak tinggalkan Sya ketika Fian keluar bekerja.
Fian serba salah, mama.”
Fikiran Hajah Afida
tersendat gelisah. Benar kata Affian.
Dengan siapa Qisya yang lemah itu akan ditinggalkan. Kalau apa-apa terjadi
kepada Qisya, kepada siapa dia harus mengadu.
“Kalau macam tu, biar
mama bincang dengan Kak Sara dan Abang Is dulu. Mungkin mereka ada cara nak
selesaikan masalah ni. Fian janganlah susah hati. ALLAH bersama orang-orang
yang sabar,” pujuk Hajah Afida. Dia rasa seperti sedang memujuk Qisya.
Selepas habis bercakap
dengan Affian, Hajah Afida menghubungi Qaisara.
“Mama, kalau macam tu
mama pujuklah abah sekali lagi. Kalau dia tak nak bagi Sya balik ke rumah pun,
mintalah dia izinkan mama jumpa Sya.”
“Itu perkara yang tak
mungkin berlaku, Sara. Sara tahu perangai abah tu macam mana, kan?”
“Tak salah kalau mama
terus mencuba. Mungkin lama kelamaan dia jatuh kesian pada mama,” balas
Qaisara.
Hajah Afida terdiam. Mungkin
benar kata Qaisara. Dia perlu terus merayu. Biarlah dia diherdik dan dimaki
hamun, demi Qisya dia rela.
“Kalau dia tak izinkan
juga?” tanya Hajah Afida dengan sangsi.
“Kita cari rumah sewa
yang berdekatan. Kita bawa Sya tinggal dekat-dekat dengan mama.”
Sekali lagi Hajah Afida
terdiam. Kali ini dia amat ragu-ragu dengan usul Qaisara.
“Mama, jangan bebankan
fikiran mama dengan hal ini. Mesti ada jalan untuk kita bantu Sya. Nanti Sara
dengan Is akan pergi tengok Sya,” kata Qaisara selepas Hajah Afida terdiam
lama.
“Kalau abah tahu?”
“Biarlah kami dianggap
derhaka. Tapi kami tak akan biarkan adik kami dalam keadaan macam tu,” jawap
Qaisara.
Sepanjang hari itu,
fikiran Hajah Afida memang terganggu. Dia gelisah memikirkan hal Qisya. Dia
resah menanti malam, untuk berdepan sekali lagi dengan kemarahan Haji Hasnan.
Dalam kegelisahan itu,
dia mengisi masanya dengan mengait stokin dan pakaian bayi yang sudah separuh
siap. Dia mencuri-curi masa ketika suaminya tiada. Dia tidak mahu Haji Hasnan
nampak apa yang dibuatnya.
Malam itu selepas solat
isyak, Hajah Afida bersimpuh di hadapan Haji Hasnan dengan penuh doa dan
harapan.
“Ada apa lagi ni? Kalau
pasal anak derhaka tu, baik awak lupakan saja!”
“Abang, beri peluang
saya cakap dulu. Kita baru saja mengadap ALLAH.”
Hajah Afida menarik
tangan Haji Hasnan. Dia menggenggamnya erat. Dia bersedia menerima apa sahaja
tindakan suaminya.
“Cakaplah, apa dia?” sergah
Haji Hasnan ketika Hajah Afida masih termangu-mangu mencari ayat yang sesuai.
“Abang, kita akan dapat
cucu.”
“Cucu awak, bukan cucu
saya!”
“Sya sedang sakit
teruk. Affian pula akan mula bekerja.”
“Tak ada kena mengena
dengan saya!”
“Dia risaukan keadaan
Sya kalau dia tinggalkan pergi kerja. Sya akan tinggal sendirian dalam keadaan
lemah begitu.”
“Jadi, awak nak usung
dia bawa balik ke rumah ini? Tidak. Jangan buat yang saya tak suka. Kalau awak
nak saya terus tinggal di sini, jangan bawa anak derhaka itu balik! Kalau
tidak, awak kena pilih antara dua. Dengar tu?” tengking Haji Hasnan. Dia
menarik tangannya dari genggaman Hajah Afida dengan kuat.
“Abang, saya tahu hati
abang memang dah keras macam batu. Sedangkan nabi ampuni umat, tapi abang tetap
dengan ego abang.”
“Jangan bandingkan aku
dengan nabi. Nabi itu utusan ALLAH. Mereka bersifat maksum. Tapi, aku manusia
biasa yang ada perasaan. Anak awak tu dah conteng arang ke muka saya. Saya tak
akan ampunkan dia sampai bila-bila!” tegas Haji Hasnan.
“Apakah dosa dia? Dia
tak melakukan perkara berdosa. Dia berkahwin mengikut hukum.” Hajah Afida masih
ingin cuba memberikan pendapat. Dia tidak mahu Qisya terus dianggap anak
berdosa, hanya kerana dia berkahwin ketika sedang belajar.
“Aku tak nak bincang
hal ini lagi dengan kau. Kalau kau rasa dia tak berdosa, terserah kau. Tapi
jangan suruh aku ubah fikiran aku!”
Haji Hasnan cuba
bangun. Tetapi, Hajah Afida menarik tangannya.
“Abang, terserah abang
juga abang nak anggap dia anak jenis apa. Saya cuma nak minta sungguh-sungguh
dengan abang, tolonglah izinkan saya pergi tengok dia. Dia anak saya. Dia
sedang sakit. Busuk macam mana pun, dia tetap darah daging kita. Kalau terjadi
apa-apa pada dia, kita juga yang menyesal,” kata Hajah Afida dengan suara
bergetar, sedih.
Haji Hasnan diam
membatu.
“Tak apalah kalau abang
tak sudi tengok dia. Saya mak yang kandungkan dia. Sakit dia tetap sakit saya.
Tolonglah bang...”
Haji Hasnan tetap
matikan diri. Sepatah pun dia tidak bersuara.
“Saya tak akan bawa dia
balik ke sini. Saya tak akan kotorkan rumah abang ini dengan langkah kaki dia.
Saya cuma minta abang izinkan saya pergi melihat dia. Berilah saya izin. Hanya
izin abang itu yang saya minta. Tolonglah...” rayu Hajah Afida. Kali ini dia
mula teresak-esak. Sungguh pilu rasa hati mengenangkan nasib Qisya.
Lama Hajah Afida
menangis. Lama juga Haji Hasnan mendiamkan diri. Akhirnya, dia bangun dan cuba
melangkah pergi dari situ.
“Baiklah, dah awak nak
sangat tengok anak awak tu saya izinkan awak pergi. Awak boleh tengok, boleh
jaga dan apa saja asal awak tak bawa cerita dia ke rumah ini dan awak jangan
menyusahkan saya. Pergilah. Saya tahu awak ada di rumah semasa saya ada,” kata
Haji Hasnan menoleh sebelum melangkah.
Hajah Afida mendongak. Dengan
cepat air matanya diseka. Kelibat suaminya dihantar dengan ucapan syukur. Dia tersenyum. Hatinya berbuai gembira. Akhirnya,
dia dapat juga bertemu anaknya.
Dia segera mencapai telefon.
Dia mesti berkongsi rasa gembira itu dengan Qaisara. Namun sebelum sempat dia mendail
nombor Qaisara, telefon itu berdering. Dia
segera menekan butang ‘jawab’.
“Mama, Sya masuk hospital
lagi. Dia pengsan!” Suara Affian kedengaran cemas. Hati Hajah Afida yang mula berputik
riang, kembali berdebar!