BEBERAPA HARI Hajah Afida menanggung rasa resah itu,
sendirian. Dia ingin segera memberitahu suaminya segala hajat Qisya itu.
Beberapa kali dia mencuba, namun mulutnya terlalu kelu.
Tidurnya terganggu.
Makan minumnya juga tidak sempurna.
“Abang tengok sehari
dua ni awak gelisah dan lain macam saja Ida, kenapa?” Akhirnya, keresahan itu
mampu diintai juga oleh suaminya.
Dia serba salah. Dia
masih dicengkam bimbang yang melata.
“Kalau ada masalah,
terus terang. Tak payah simpan dan tanggung sendiri. Ida tu bukannya kuat
sangat. Nanti darah naik, abang juga yang susah,” sambung Haji Hasnan lagi.
Hajah Afida
mengiakan kata-kata itu di dalam hati.
Dia sudah mula rasa pernafasannya yang semakin berat dan kepalanya yang selalu
pening. Itu petanda buruk untuk kesihatannya. Qisya sedang membawa satu masalah
dalam rumah itu.
Hendak atau tidak, dia
terpaksa melaluinya. Dia nekad.
“Memang Ida ada hal nak
bincang dengan abang.” Hajah Afida membetulkan duduknya sekali gus membetulkan
semangatnya yang goyah. Dia perlu kuat. Hal itu tidak boleh bertangguh lagi.
Haji Hasnan kerdipkan
mata. Dia memberi izin kepada Hajah Afida untuk berkata-kata. Tanpa membuang
masa, Hajah Afida memenuhi peluang yang diberi. Dia menceritakan apa yang Qisya
beritahu. Dia ceritakan semuanya. Sebuah permintaan seorang anak disampaikan
dengan baik.
Ketika cerita usai,
mata Haji Hasnan menatap tajam ke arah Hajah Afida. Dia mengetap bibir. Darah
yang sudah lama beku tiba-tiba panas mendidih.
Apa yang baru didengarnya dari mulut isterinya itu sungguh tidak
terduga. Dia terkejut dan tersentak. Ia seperti mengejutkan harimau yang sedang
tidur.
“Mana budak tu? Panggil
dia keluar!” arah Haji Hasnan dengan kuat. Suara itu seperti guruh membelah
langit.
Hati Hajah Afida bergetar,
gerun.
“Abang, janganlah
berkasar sangat dengan dia. Mari kita bincang dengan baik,” kata Hajah Afida
dengan perlahan.
“Dia ada bincang dengan
kita ke? Tiba-tiba saja beritahu nak kahwin.” Haji Hasnan menjengilkan biji
mata ke arah isterinya.
“Ini dia nak bincanglah
ni,” Hajah Afida cuba mempertahankan Qisya.
“Ini bukan bincang, ini
nak maklumkan. Dia dah buat keputusan akan kahwin baru dia nak cakap dengan
kita. Kita ni apa? Kawan-kawan dia?”
Hajah Afida segera ke
bilik Qisya. Hatinya memang gementar dan bimbang. Firasat seorang ibu, sesuatu
yang buruk pasti akan berlaku di rumah itu. Dia kenal dengan sikap suaminya
yang panas baran. Dia juga kenal dengan perangai anaknya yang pendiam tetapi degil.
“Sya, abah nak jumpa,”
kata Hajah Afida di muka pintu bilik Qisya. Berkeriut bunyi pintu dibuka.
Tersembul wajah anaknya yang muram. Dia tahu Qisya juga gelisah menanti hari
itu. Kalau seorang banduan gerun dengan tali gantung, begitulah perasaan mereka
dua beranak.
“Abah marah?” tanya
Qisya, sedikit gugup. Dirasakan seram sejuk seluruh anggota. Dia tahu dia akan
berdepan dengan sebuah ‘peperangan’.
“Abah memang marah.
Tapi mama harap, Sya tak melawan cakapnya. Dengar apa yang nak dicakapkan. Tak
usah menjawab,” kata Hajah Afida memegang bahu anaknya.
Qisya angguk perlahan.
Langkah mereka diatur ke ruang tamu.
“Abah,” sapa Qisya
sambil duduk berhadapan dengan Haji Hasnan.
Mata Haji Hasnan
menatap sekujur tubuh Qisya dengan tajam.
“Betul kamu dah nak kahwin?”
Angguk.
“Kamu tahu apa yang
kamu rancang ini akan menghampakan kami?”
Angguk lagi.
“Kamu tahu kami tak
akan setuju?”
Masih angguk.
“Jawaplah! Kenapa
angguk saja? Dah bisu?” jerkah Haji Hasnan dengan kuat. Qisya dan Hajah Afida
tersentak.
“Sya tahu abah. Sya
tahu Sya salah. Tapi, Sya dah tak boleh nak tarik balik keputusan Sya ini,”
jawab Qisya, cuba memberanikan diri.
“Siapa yang paksa kamu?
Atau kamu dah...”
“Tak abah. Sumpah. Sya
masih suci. Kami tak terlanjur. Ajaran agama yang abah berikan masih kuat Sya
pegang,” kata Qisya memotong cakap Haji Hasnan.
“Habis, apa masalahnya?
Kenapa kelam kabut buat keputusan? Kenapa tak boleh tunggu satu semester lagi.
Kenapa? Dah gatal sangat?” tengking Haji Hasnan semakin kuat.
Qisya menelan air liur.
“Abang, tak payahlah
nak bising-bising macam ni. Kalau orang dengar kan malu. Kita kan nak
berbincang dengan baik, bukan nak bergaduh,” kata Hajah Afida, menepuk belakang
tangan suaminya.
“Apa tak bising kalau
dapat anak yang macam ni! Kita penat-penat kerja nak sekolahkan dia, macam ni
je dia buat kita. Belum sempat nak balas jasa, dah nak kahwin!”
“Abang...”
“Sudah! Awak suka
agaknya nak dapat menantu! Awak sukalah anak buat macam ni?” Haji Hasnan
berpaling kepada Hajah Afida dengan lorotan mata, garang!
“Saya tak kata macam
tu. Tapi, kalau kita bising macam ni masalah tak akan selesai.”
“Masalah akan selesai
kalau dia tarik balik hajatnya itu dan tumpukan pada pelajaran. Itu keputusan
saya. Tidak ada rayuan!” Haji Hasnan terus bangun dan meninggalkan ruang tamu.
Qisya menangis
teresak-esak. Keputusan muktamad abahnya
merelaikan harapannya.
“Sya, janganlah
menangis. Semua ni Sya dah duga dari awalkan?”
“Tak bolehkah abah
bertolak ansur sekali ini? Tak bolehkah
mama pujuk dia. Tolonglah mama... Sya nak kahwin juga dengan Affian. Kami dah
janji,” kata Qisya dengan esakannya.
“Sya, apa yang abah
kata tu betul. Kami bukan tak mahu Sya kahwin. Tapi kami nak Sya habiskan
pelajaran dulu. Sya adalah harapan abah. Selama ini abah sangat bangga dengan
Sya. Tak ada dalam keluarga kita yang ambil jurusan kedoktoran. Sya akan jadi
doktor pertama dalam keluarga kita. Tolong kasihankan abah...” kata Hajah
Afida. Dia menahan sebak.
Hati Qisya tersentuh.
“Mama, maafkan Sya. Sya
tak bermaksud nak lukakan hati mama dan abah. Sya tak nak derhaka kepada mama
dan abah.” Qisya menarik tangan ibunya. Dia mengucup dengan hormat takzim.
Titik-titik air mata berderaian.
Hajah Afida terasa
belakang tangannya panas dek kehangatan air mata Qisya. Dia terharu. Apa yang
ditahan terlerai juga. Dia menangis.
“Kalau Sya tak nak
lukakan kami, Sya tolonglah ikut cakap kami. Untuk sekali ini dan untuk
habiskan semester ini. Tolonglah berikan kami penghormatan dengan segulung
ijazah bukan sekeping surat nikah. Tolonglah Sya... demi kami. Demi air muka kami...” Giliran Hajah
Afida pula merayu.
Qisya tidak mengangguk
dan tidak juga menggeleng. Dia terus menangis.
“Hanya tunda Sya, bukan
batalkan. Tolonglah... mama tak nak keluarga kita huru-hara nanti. Sya faham
perangai panas baran abah Sya kan?”
“Sya faham perangai
abah. Tapi kenapa abah tak nak faham perasaan Sya. Sya sayang mama dan abah.
Dan Sya sayang Affian juga.” Qisya mengongoi.
Hati Hajah Afida bagai
direntap. Bukan dek tangis Qisya, tetapi juga dek kata-kata Qisya yang tidak
berganjak itu. Anak dan bapa, masing-masing tidak mahu mengalah. Akhirnya dia
rasa nanti dia yang akan tersepit di tengah keadaan.
Beberapa hari, telinga
Hajah Afida tersumbat dengan leteran panjang Haji Hasnan.
“Tak sangka dia nak
buat saya malu macam ni. Memang dia sangat kurang ajar dan sengaja nak malukan
saya!”
“Abang, bertenanglah
dulu. Berilah masa untuk dia berfikir. Kita kena ikhtiar dengan doa agar dia ubah
fikirannya tu. Kalau asyik nak marah saja, buntu fikiran dia nanti.”
“Itulah awak, manjakan
sangat dia tu!”
“Abang yang lebih
manjakan dia. Kalau dia minta apa-apa tak dapat, dia akan pergi kepada abang. Abang
tak pernah tolak semua permintaannya selama ini. Sebab itu kali ini abang tak
boleh nak berkasar sangat dengan dia,” kata Hajah Afida, cuba mempertahankan
diri dari tuduhan.
Haji Hasnan terdiam. Dia
termenung. Qisya adalah anak sulung yang sangat diharapkan. Kepadanya banyak digantungkan
harapan. Memang seluruh perhatiannya tertumpu kepada anak itu. Dia selalu
membayangkan Qisya dengan segulung ijazah. Kadang-kadang muncul wajah Qisya
yang tersenyum manis dengan baju doktornya. Sudah dicanang kepada saudara mara
dan teman-teman bahawa dia bakal menjadi ayah kepada seorang doktor.
“Saya tak nak dia
kahwin. Saya nak dia jadi doktor. Itu keputusan muktamad saya. Tolong beritahu
dia!” tegas Haji Hasnan, cuba menutup kehampaannya.
“Abang, dia hanya nak kahwin.
Bukan nak berhenti belajar.”
“Kalau dah kahwin, tak
payah belajar lagi. Ingat senang nak jalankan dua tugas dalam satu masa? Sedangkan
yang bujang pun selalu gagal, apakan lagi yang dah kahwin. Saya tetap tak
setuju dan tetap tidak sampai bila-bila!” Suara Haji Hasnan tetap meninggi dan
keras.
Hajah Afida tidak mampu
bertelingkah lagi. Dia perlu berdiam diri dari terus berkata-kata. Hanya doa
mampu terucap di dalam hati: KAU lembutkan hati mereka, ya ALLAH!