4
Kini: “Kenapa diungkit semula semalam itu?”
SEMENTARA
menunggu kepulangan anak-anakku dari sekolah ganti, aku memanjat tangga menuju
ke bilik tidur. Aku ingin merebahkan badanku ke katil untuk seketika. Kuakui,
sejak Waheeda membangkitkan semula nama Ilham ketika menghubungiku melalui
telefon malam tadi, fikiranku jadi tidak ketentuan. Tidak tenteram!
Tiba-tiba
sahaja aku diserang penyakit resah gelisah. Tiba-tiba sahaja fikiranku jadi ding-dong!Aku juga dapat merasai rintik-rintik
debar membadai jiwaku yang lemah ini.
“Kau ni,
Leya, bila dengar aje nama tu, terus gelabah semacam. Kau ada apa-apa dengan
pemilik nama tu ke? Kau masih tak dapat lupakan dia?” Kata-kata yang terlontar
dari mulut Waheeda malam tadi menerbak semula ruang ingatanku.
Apa perlunya
Waheeda membangkitkan semula nama itu setelah ianya terpadam berkurun lamanya?
Mengapa perlu dibongkar-bongkar semula kenangan semalam sedangkan semua tahu
aku kini telah mempunyai kehidupanku sendiri? Aku bahagia dengan hidup yang
kususuri kini. Aku mempunyai segala-galanya; kehidupan yang selesa, suami yang
kucintai dan anak-anak yang teramat aku sayang.
Jadi, kenapa
Waheeda mengungkit semula nama itu dalam perbualan telefon kami walaupun
hakikatnya kami pernah berjanji untuk tidak menyentuh lagi tentang si dia?
Membangkitkan semula nama itu seumpama menghidupkan semula orang yang telah
mati. Apakah gelaran yang diberi terhadap orang mati yang hidup semula? Zombi?
Tidak! Aku
tidak mahu membangkitkan semula kenangan yang telah mati itu. Aku tidak mahu ianya
bangkit semula sebagai zombi yang kelak menghantui hidupku. Bukankah aku kini
telah mempunyai kehidupan yang cukup selesa ditemani oleh suami dan
anak-anakku? Aku tidak mahu kehilangan semua itu hanya kerana diganggu oleh
zombi.
Bukannya
rehat yang aku dapat, sebaliknya kepalaku pula yang berdenyut. Dengan hati yang
geram, aku mencapai bantal guling lalu memeluknya erat-erat. Tetapi, entah
mengapa tiba-tiba sahaja aku membayangkan seolah-olah aku sedang memeluk Ilham.
Dia sedang merenung aku sambil tersenyum.
Isy! Kenapa
ni? Tidak selesa dengan situasi itu, aku bingkas bangkit. Apa yang tak kena
dengan aku ni? Kenapa fikiranku tergamak membayangkan wajah lelaki lain di
kamar tidur yang sekian lama telah kukongsi bersama suamiku? Syaitan apakah
yang telah merasukku hingga aku tega membayangkan yang bukan-bukan dengan dia?
Aku yang
bernama Nur Aleya ini adalah seorang isteri yang setia pada perkahwinanku. Juga
seorang isteri yang taat pada suamiku. Dan, menurut firasatku... aku adalah
seorang muslimah yang baik; yang taat pada perintahNYA. Tapi kenapa fikiranku
masih digasak oleh Syaitan? Kerja siapakah yang membawa fikiranku terlanjur
jauh hingga aku membayangkan memeluk Ilham sedang hakikatnya aku sedang memeluk
bantal guling, kalau bukan kerja Syaitan? Takkan itu kerja Malaikat pula?
Oh TUHAN,
tidak cukup kuatkah perisai yang membentengi diriku selama ini?
Aku jijik
dengan diriku kerana tergamak berfantasi sedang memeluk Ilham di kamar tidurku
dengan suami. Apakah aku hendak menjadi replika seorang isteri yang curang
seperti yang dipaparkan dalam filem berlatarbelakangkan peperangan pada tahun
1943, Hanover Street, yang dilakonkan
oleh Harrison Ford dan Lesley Anne Down?
Aku masih
ingat dengan jelas tentang filem yang diterbitkan pada tahun 1979 itu. Bagiku,
filem itu cukup romantik. Ianya memaparkan tentang Leftenan David Halloran yang
telah bertemu secara tidak sengaja dengan Margaret Sellinder, seorang jururawat
British, di sebatang jalan yang bernama Hanover. Mereka tertarik antara satu
sama lain dan akhirnya jatuh cinta walau hakikatnya Margaret telahpun
berkahwin.
Di akhir
cerita ini, pasangan itu terpaksa berpisah. Halloran mencintai Margaret cukup
untuk melepaskannya semula ke pangkuan suaminya.
Atau,
meletakkan diriku sebagai Katharine Clifton, si isteri yang bermain kayu tiga
dalam novel The English Patient karya
Michael Ondaatje?
Hakikatnya,
baik dalam Hanover Street mahupun The English Patient, seorang isteri yang
berlaku curang dalam rumah tangganya tidak pernah aman daripada digasak rasa
bersalah. Persoalannya, mahukah aku menjadi seperti Margaret Sellinder dan
Katharine Clifton?
Tidak! Tidak
mungkin aku menjadi seperti mereka.
Denyut di
kepalaku semakin parah. Aku mengalih posisiku dan duduk di birai katil.
Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi menandakan aku menerima satu mesej.
Rupa-rupanya daripada Waheeda.
“Leya, kau ok, ke? Sorrylah
aku terungkit nama Ilham. Aku dalam perjalanan balik KL ni. Nanti kita jumpa, okey.”
Geram aku
membaca mesej daripada Waheeda itu. Di sebalik membalas SMSnya, aku terus
menghubunginya. Di hujung talian, kudengar dia memberi salam kepadaku. Aku
segera membalas ucapan salamnya.
“Kau marah
ke? Sorry yek...”
“Banyaklah sorry kau! Kau dah lupa ke pada janji
yang kita buat dulu?”
“Janji apa?”
Isy, Waheeda ni... betul-betul lupa atau sengaja buat-buat lupa?
“Yang kita
tak akan sebut atau bangkitkan semula tentang dia?”
“Tentang
dia? Siapa ‘dia’ tu?”
Isy, Waheeda
ni, sengaja mahu menaikkan darahku, atau apa?
“Kenapa kau
ni, Eda? Kau sengaja buat-buat tak faham kan?”
Waheeda
sanggup ketawa setelah menyelar hatiku.
“Kan aku dah
tulis dalam SMS aku tu... aku terungkit. Kau faham maksud, ‘ter’ tu kan? ‘Ter’
tu maksudnya tak sengaja!” terangnya setelah tawanya terhenti.
“Dah
berbelas tahun kita tutup fail tu, Eda. Kenapa kau bangkitkan semula?” Aku
masih tidak puas hati dengan jawapan Waheeda. Aku rasa dia sengaja hendak
mengenakan aku.
“Leya, kan
aku dah kata... aku tak sengaja. Aku dah minta maafkan. Lagipun aku tak faham
kenapa kau nak padamkan kenangan kau bersama Ilham. Benda yang dah berlalu tu,
biarkanlah berlalu. Ilham bukannya pernah buat jahat pun dengan kau sampai kau
tergamak nak padamkan kenangan yang kau kongsi bersamanya?” Waheeda berhujah.
“Tapi apa
gunanya kita ungkit hal yang dah berlalu tu?”
“Kenapa? Kau
rasa tak selesa?”
“Dah tentu.”
Di hujung
talian, Waheeda tergelak besar. “Ni aku nak tanya sikit, kau masih simpan
perasaan pada Ilham ke?”
“Isy, apa
punya soalan ni?”
“Jawab
ajelah soalan aku tu.”
“Tak! Aku
tak ada simpan apa-apa perasaan pun pada dia. Puas hati?”
“Habis tu,
apa yang kau nak risaukan sangat? Okeylah, Leya, nanti kita berbual lagi. Bye.” Sepantas kilat jugalah perbualanku
dengan Waheeda terputus.
Aku tak ada
simpan apa-apa perasaan pun pada dia. Benarkah? Kalau benar, kenapa aku perlu
resah gelisah mengenangkannya? Dan kalau benar, kenapa aku perlu berilusi yang
bukan-bukan tentangnya?
Argh...
denyut di kepalaku semakin mencengkam.
AKU
memasukkan ke mulutku dua butir Panadol sebelum melalukannya dengan air. Sambil
menunggu anak-anakku pulang, aku merehatkan fikiranku di ruang tamu sambil
mendengar lagu-lagu dari cakera padat yang dinyanyikan oleh Allahyarham
Sudirman. Kebetulan pula aku dan suamiku begitu meminati lagu-lagu yang
dinyanyikan oleh allahyarham.
Perlahan-lahan
pil paracetamol yang aku telan tadi mula menunjukkan kesannya. Pening kepalaku
mula berkurangan dan akhirnya hilang terus. Fikiranku juga tidak lagi seberat
tadi. Mungkin lagu-lagu yang didendangkan oleh Sudirman itu juga mempunyai
kesan sebagai penenang jiwa.
Konsentrasiku
yang sedang menghayati lagu Milik
Siapakah Gadis Ini terganggu apabila telefon bimbitku tiba-tiba berbunyi. Aku
segera menoleh ke skrin dan mendapati satu nombor baru tertera. Dalam
tertanya-tanya siapakah yang menelefon, kupekapkan juga telefon kecil itu ke
telingaku lalu segera memberi salam. Agaknya, kalau yang menelefon itu orang
yang bukan beragama Islam, tentu serba salah hendak meneruskan perbualan.
“Waalaikumussalam.
Ni Nur Aleya ke?” Suara seorang lelaki.
“Iye, saya
Nur Aleya. Siapa ni?”
“Leya, kau
dah tak kenal aku ke? Ni akulah... Nazim.”
Ingatanku
mengimbas semula wajah itu. “Ya, ALLAH, Nazim! Lama tak jumpa ye? Mana kau
dapat nombor telefon aku ni?”
“Daripada
siapa lagi, kawan baik kaulah... Eda. Semalam aku terserempak dengan dia kat
Kota Tinggi. Nombor telefon kau ni dialah yang bagi.”
Isy, Eda
ni... ikut suka dia aje nak jaja nombor telefon aku pada orang. Gerutu hatiku.
“Kau tak
kisah aku hubungi kau ni kan, Leya?”
“Err... tak!
Tak kisah. In fact aku gembira kau
hubungi aku hari ni. Kita kan kawan lama. Banyak cerita pernah kita kongsi
bersama kan? Aku pun dah lama tak dengar cerita tentang kau ni.” Aku sedikit
teruja.
“Leya, apa
kata kalau senang-senang nanti kita jumpa? Aku bercadang nak kumpulkan balik
kawan-kawan kita yang dah lama terpisah. Eda dah setuju. Apa pendapat kau?”
“Maksud kau
nak buat reunion?”
“Iye.”
Sepantas
kilat wajah Ilham menerpa ke ruang ingatanku.
“Bagus jugak
cadangan kau tu. Kau menetap kat mana sekarang, Nazim?”
“PJ.”
Telingaku
menangkap bunyi kereta jiranku memasuki perkarangan rumahnya. Kemudian
terdengar pula suara anak-anakku.
“Okeylah,
Nazim. Nanti kita bincang balik tentang hal ni, ye. Anak-anak aku dah balik
dari sekolah ganti, tu.”
“Berapa
orang anak kau, Leya?” Nazim bertanya.
“Sepasang.”
“Iye?
Baguslah tu. Okey, Leya, nanti kita jumpa. Bye.”
“Bye.”
“MA,
telefonlah papa!” Muhammad Daniel menggesa lagi.
Aku
menalakan pandanganku ke arah jam yang melekap di dinding. Jarum jam
menunjukkan tepat ke pukul 3.30 petang.
“Ma! Mama
dengar tak ni? Telefon papa!!” Suara Muhammad Daniel yang seolah-olah sengaja
beradu dengan lagu Hindi yang sedang berkumandang di televisyen, menyakitkan
telingaku mendengarnya.
“Cubalah Danny
SMS papa.” Aku memberikan cadangan. Sebenarnya, aku tidak suka menelefon
suamiku di tempat kerjanya. Mungkin dia sedang sibuk, dan aku tidak mahu
panggilanku kelak dianggap sebagai pengganggu.
“Dah dua
kali Danny SMS papa. Tapi papa tak jawab pun!”
Aku menoleh
ke arah Muhammad Daniel. Wajahnya yang mendung itu membuatkan aku jadi belas
memandangnya. Sebagai anak lelaki tentu Muhammad Daniel mahukan lebih perhatian
daripada papanya yang sentiasa sibuk itu. Pun begitu, aku masih enggan
menelefon Zamarul.
“Apa kata
kalau Danny cuba telefon papa pula?”
“Mamalah
telefon!” Suara Muhammad Daniel keras.
“Masa papa
hantar Sa dan Danny ke sekolah tadi, Danny dah cakap dengan papa nak pergi
Restoran KFC petang ni. Papa dah setuju.” Nur Samira mencelah.
“Kejap, mama
telefon papa.” Kataku sambil mencapai telefon bimbitku lalu bergerak menjauhi
anak-anakku yang sedang menonton filem Hindi yang entah apa tajuknya, di televisyen.
Aku terpaksa
mendial nombor telefon suamiku sebanyak dua kali sebelum dia menjawab
panggilanku. Itupun aku terpaksa menunggu lama sebelum dia menjawabnya.
“Leya ni,
bang. Maaflah mengganggu abang, tapi anak-anak tengah tunggu abang balik ni.
Mereka kata abang dah setuju nak bawa mereka ke KFC. Betul ke?”
“ALLAH!
Memang abang ada berjanji dengan Danny dan Sa nak bawa mereka keluar jam 5.00
petang ni, tapi abang dah terlupa. Jam 4.00 nanti abang ada meeting dengan bos
dan bahagian marketing. Leya ajelah
bawa anak-anak keluar. Lagipun bukannya jauh Restoran KFC tu dengan rumah
kita.”
“Jauh atau
dekat tu bukan persoalannya, bang. Anak-anak hanya nak abang luangkan masa
dengan mereka.” Terluah kata-kata itu dari mulutku. Kata-kata yang membuatkan
aku menyesal kemudiannya.
“Leya,
tolonglah faham! Abang keluar ni bukannya untuk suka-suka. Abang ni sedang
mencari rezeki untuk kita anak-beranak. Leya suka tengok abang duduk aje kat
rumah macam sesetengah suami tu? Nanti bukan setakat KFC, dapur kita pun tak
berasap tau.” Zamarul menempelak. Sengit.
Terasa luruh
jantungku disergah begitu oleh suamiku sendiri. Aku menalakan pandanganku ke
arah anak-anak. Mujurlah bukan Muhammad Daniel yang menelefon papanya, hatiku
berbisik.
“Okeylah,
bang, Leya faham abang sibuk. Abang tak usahlah risau. Leya akan uruskan
anak-anak. Assalamualaikum, bang.” Aku masih memberikan ucapan salam sejahtera
padanya, walau kata-katanya seketika tadi membuatkan airmataku menubir.
AKU
mengambil sedikit masa untuk bertenang sebelum menghubungi Waheeda.
“Kenapa ni,
Leya? Lain macam aje suara kau?”
“Tak ada
apalah. Eh, kau ada jumpa Nazim di Kota Tinggi, ye?” Aku segera mengalih topik
perbualan kami supaya kesedihanku tidak dapat dihidu Waheeda.
“Iye. Aku
terserempak dengan dia malam tadi semasa aku bawa emak, ayah dan adik-adik aku
keluar makan kat sebuah restoran di bandar Kota Tinggi. Dia ada telefon kau?”
“A’ah!
Terkejut aku bila dia perkenalkan diri. Rupa-rupanya dia tinggal di Petaling Jaya
aje.”
Waheeda
ketawa kecil. “Nanti bila lapang bolehlah kita jumpa dia. Emm... apa hal kau
telefon aku ni, Leya?”
“Kau dah
sampai KL, ke?”
“A’ah. Aku
tengah berehat depan tv ni.”
“Aku nak
bawa budak-budak turun KL petang ni. Danny sibuk nak makan KFC. Terlanjur tu
aku teringin nak jumpa kau. Aku singgah ambil kau kat rumah, ye. Boleh kita
sembang.”
“Aku no hal! Zam ikut?”
“Zam kat office lagi.”
“Heh! Dah
pukul 4.00 petang ni... dia tak balik lagi? Kau kena ingatkan sikit suami kau
tu, Leya, dia sekarang ni bukannya bujang lagi. Dia dah berkeluarga, ada isteri
dan anak-anak. Sepatutnya petang Sabtu macam ni, dia kenalah luangkan masanya
untuk keluarga. Bukan asyik berkampung di office.
Lagipun, office tu bukan dia yang
punya! Dia hanya bekerja aje kat situ.” Waheeda mula menceceh.
“Zam sibuk,
kot.” Suaraku kedengaran longlai di telingaku sendiri.
“Boleh kalau
nak sibuk. Tapi kenalah ingat juga pada keluarga. Okeylah, Leya, pukul berapa
kau nak ambil aku?”
“Dalam pukul
5.30?”
“Okey. Aku
tunggu di rumah, ye.”
“Okey, Eda, bye.”