Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,445
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

PAGI itu, Putra sendiri menghantar Jessica ke jeti Pulau Pangkor. Kebetulan pagi itu dia mahu ke jeti nelayan untuk membeli hasil-hasil laut untuk mengisi semula peti ais yang hampir kosong. Lagipun juga, dia akan mengambil beberapa orang pengunjung baru yang bakal tiba di jeti itu kurang sejam sahaja lagi.

            “Terima kasih,Putra,” ucap Jessica sebelum berpisah.

            “Sama-sama, Jessie. Jumpa lagi nanti,” balas Putra dengan mesra. Mereka berjabat tangan. Jessica kelihatan sedikit serba salah walaupun di bibirnya terukir senyum. Seperti ada sesuatu keresahan di fikirannya. Sememangnya dia akan datang lagi ke pulau itu sedikit masa lagi.

             Selepas Jessica Hilang dari pandangan mata, Indra kembali ke parkir van. Van tua itu kemudian dipandunya ke arah jeti nelayan. Dia tidak mahu berlengah kerana perlu kembali semula ke jeti itu secepat mungkin. Membeli hasil laut terus daripada para nelayan yang baru pulang dari lautan adalah lebih murah berbanding jika dibeli di pasar. Hasil laut seperti ikan,udang, sotong dan ketam juga segar-bugar. Bak kata orang-orang tua, mata ikan belum lagi merah.

            Kala dia tiba labuhan nelayan itu, beberapa buah bot nelayan kelihatan baru berlabuh. Dia mengukir senyum girang. Pastinya, hasil tangkapan yang segar-bugar akan mengisi semula peti ais yang kosong di Blue Inn kerana bekalan sebelumnya telah telah habis digunakan untuk barbeku malam tadi.

            Pagi itu juga agak sibuk kepada semua warga Blue Inn yang lain. Amran dan Indra mengambil tugas mengiringi rombongan pelajar UMT yang sudah masuk tiga hari menginap di Blue Inn menjalankan kajian mereka di taman laut. Ika pula ke sekolah tempatnya mengajar kerana perlu menghadiri satu kursus dalaman yang dianjurkan pihak sekolah walaupun ketika itu sesi persekolahan sedang bercuti. Realitinya, begitulah guru-guru di Malaysia sekarang. Mengikut kajian yang dilakukan oleh OECDTeaching and Learning International Survey pada tahun 2013, guru di Malaysia didapati guru yang kedua paling rajin di dunia selepas guru di Jepun.

            Hanya tinggal Ima sahaja bertugas seperti biasa di kaunter Blue Inn.

            “Hello, brother.” Saat Putra sedang memilih ikan, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang. Fikirannya jadi sedikit resah, takut-takut Jamal dan konconya datang mahu membalas dendam. Dia kalau boleh tidak mahu perkara itu berlaku di tempat awam kerana dia takut kejadian itu sampai ke pengetahuan pihak polis. Anggota seragam itu kalau boleh mahu dielaknya sejauh mungkin. Dengan berhati-hati dia berpaling.

            Seorang lelaki Cina kelihatan mengukir senyum kepadanya. Hatinya sedikit lega, kemudian mengundang tanya. Lelaki Cina itu menghulurkan salam. Tanpa mengesyaki apa-apa Putra menyambut huluran salam lelaki itu walaupun tidak dikenalinya.

            “Brother pekerja Blue Inn kan?” Soal lelaki Cina berperut buncit dan berkepala botak itu. Pakainya kemas berkemeja cerah lengan panjang. Jam tangan Rolex melilit di tangan kirinya menunjukkan lelaki itu bukan calang-calang orang. Putra sekadar mengangguk.

            “Oh, patutlah tadi saya lihat brother pandu Volkswagen Kamarul. Buat apa di sini?” kata lelaki itu kemudian berserta satu lagi soalan.

            “Nak beli barang basah sikit,” ujar Putra bersahaja. Diukirnya juga satu senyuman, cuba untukmenunjukkan kemesraan.

            “Bukan sikit itu, banyak.” Lelaki yang masih belum memperkenalkan namanya itu makin memperlihatkan kemesraan.

            “Guest dah bertambah, terpaksalah beli lebih sikit.” Putra berbasa-basi.

            “Guest?” Dahi lelaki Cina itu sedikit berkerut.

            “Ya, pelancong yang menginap di Blue Inn,” balas Putra lebih terperinci. Senyumannya diukir makin lebar. Keriangannya itu tak mampu disembunyikan. Sememangnya keadaan di Blue Inn bertambah baik sekarang.

            “Berapa ramai?” Entah kenapa lelaki Cina itu semakin berminat. Yang jelas, di wajahnya mula ada jejalur resah. 

            “Masuk yang akan tiba sekejap lagi, 9 orang. Tapi seorang sudah mendaftar keluar awal pagi tadi,” balas Putra sambil menghitung menggunakan jemarinya.

            Raut wajah lelaki Cina itu terus berubah. Makin kelat tatkala mendengar jawapan Putra itu. Dia kemudian berlalu pergi begitu sahaja. Sikap pelik lelaki Cina itu sedikit mengundang rasa tanda tanya kepada Putra. Namun, dia tidak mahu menyerabutkan kepalanya untuk  memikirkan hal itu lebih lanjut. Dia menyambung semula memilih ikan yang dilonggok oleh para nelayan di hadapannya.

            Selepas membeli semua hasil laut yang diperlukan, Putra kembali semula ke jeti. Dari jauh dia sudah dapat melihat sebuah feri menghampiri jeti itu. Dia tersenyum sendiri kerana tiba di situ tepat pada masanya. Senang hatinya kerana menyusun masa dengan sebaiknya.

            If you love life, don’t waste time, for time is what life is made up of.

            Kata-kata daripada lagenda seni mempertahankandiri Bruce Lee itu sememangnya sentiasa menjadi pedomannya. Dia sudah mendisiplinkan dirinya dengan kata-kata hikmah itu sejak di bangku sekolah dahulu lagi selepas terpesona dengan karisma Bruce Lee dalam wayang gambar Enter The Dragon. Waktu budak-budak dulu, dia selalu berfantasi nak jadi seperti Bruce Lee sampaikan poster gergasi ikon seni bela diri itu terpampang di belakang pintu biliknya.

           Selepas meletak van di petak parkir, dia menapak ke pintu utama jeti. Sempat juga dia menjeling ke arah beberapa buah van yang sudah terparkir di sekitar kawasan itu. Namun bayang van yang ditumpanginya ke Blue Inn seminggu yang lalu tidak ada kelihatan di situ. Masih segar di ingatannya senyuman sinis pemandu van bermisai tebal itu bila diberitahu tujuannya ke Blue Inn. 

            Putra tiba di pintu utama jeti. Feri baru sahaja berlabuh. Dia memanjangkan lehernya, mencari tetamu yang sudah menempah perkhidmatan Blue Inn di kalangan batang-batang tubuh yang beratur dan melangkah keluar dari perut feri. Perang suara meraih penumpang mula kedengaran. Sesekali juga Putra liar meninjau, takut-takut Jamal dan rakan-rakannya itu turut berada di situ. Tengok daripada gaya berang Jamal ketika kejadian di Samudra Bar tempoh hari, pasti dia dan konco-konconya itu menaruh dendam. Hati Putra sedikit lega, bila bayang Jamal dan kawan-kawannya tidak kelihatan.

             Lehernya terus dipanjangkan ke arah jeti, menjejak kedudukan tiga orang tetamu Blue Inn.

            “Az!” Laung Putra selepas dia dapat menjejak gadis tomboi yang membantunya seminggu yang lalu. Az tersenyum panjang setelah melihatnya. 

            “Assalamulaikum, apa khabar bro?” ucap Az dengan lengok bahasa biasa seorang tomboi. Senyuman yang mekar dibibirnya menampakkan seimbas lalu perwatakan femininnya.

            “Waalaikumussalam. Alhamdullilah, sihat seadanya,” balas Putra. Tangan mereka bertaut.

            “Bagaimana kerja?” Soal Az lagi.

            “Everything is good,” jawab Putra. Senyumannya makin mekar. Gembira hatinya dapat bersua muka kembali dengan Az. Nyata dia terhutang budi dengan gadis itu.

            “Good. Okey, ini Az kenalkan sepupu Az dari Singapura, Remy dan isterinya Marissa. Datang nak berbulan madu di sini.” Az memperkenalkan dua pengunjung yang baru tiba bersamanya itu kepada Putra. Remy dan Marissa tersenyum mesra. Putra segera menghulur salam kepada Remy dan menunduk hormat kepada Marissa. 

            Kemudian dia mengajak kesemua tetamu Blue Inn itu ke parkir. Para tetamu itu dipelawa masuk ke perut van Volkswagen. 

           “Wow, so classic! What year?” Puji Remy bersama satu soalan tatkala melihat Volkswagen itu.

            “1967,” balas Putra dengan senyuman. Hatinya senang bila ada yang tahu menilai van antik itu.

            “My granpa got one, 1970 edition,” sambut Remy lagi.

            “Really?” Putra mengikut rentaknya.

            Remy mengangguk. Marissa dan Az sekadar memasang telinga dan berbalas senyum. Faham benar mereka berdua, lelaki kalau berbual topiknya tak lari pasal kereta atau bola, selain pasal perempuan.

            Selepas meletakkan semua beg tetamu di di tempat menyimpan barang di bahagian atas bumbung van, Putra memandu pulang ke Blue Inn.

            Beberapa minit di atas jalan raya, Volkswagen berwarna merah dan berbumbung putih itu memasuki perkarangan Blue Inn. Dari kejauhan Ima sudah kelihatan menunggu di ruang parkir. Saat Putra memberhenti van di petak parkir, Ima datang menyambut Az, Remy dan Marissa. Dia kemudian membawa mereka ke lobi. Putra pula mengangkut bagasi tetamu. Selepas menghantar semua bagasi itu ke lobi. Dia kembali semula ke arah van untuk mengambil sebuah kotak polisterinyang terisi hasil tangkapan laut yang dibeli di labuhan nelayan tadi. Kotak berwarna putih itu kemudian dibawanya ke arah dapur. Az turut datang membantunya seketika Ima menguruskan pendaftaran Remy dan Marissa.

            “Mana yang lain? Tak nampak pun?” Soal Az kepada Putra ketika mereka melangkah ke arah dapur.

            “Mereka semua busy hari ini. Ada yang bawa tetamu ke taman laut. Ika pula ke sekolahnya kerana ada kursus.” Putra menjelas.

            “Patutlah. Jadinya terpaksalah bro buat semua kerja ya?”

            “Nampak gayanya begitulah,” balas Putra dengan satu sengihan.

           “Tak apa, gua ada. Gua boleh tolong bro. Tapi tolong sediakan bahan-bahan ajelah, nak suruh masak gua tak tahu,” kata Az  jujur, pekat dengan slanganya.

           “Alhamdullilah. Ringan sikit kerja abang nanti, terima kasih. Tak apa, bantu sediakan bahan pun dah cukup.” Putra membalas dengan ukiran senyum.

            Selesai tugasannya menghantar Remy dan Marissa ke bilik mereka, Ima menyertai Putra dan Az di ruang dapur. Putra kemudian meminta izin untuk ke bilik air terlebih dahulu.Perutnya entah mengapa, tiba-tiba sahaja memulas.

            Ima mula menyiang ikan, udang, sotong dan ketam yang baru dibeli oleh Putra di singki. Sementara menunggu Ima menyiapkan kerjanya. Az duduk menghilang penat di kerusi yang ditariknya dari bawah meja makan dengan Ima membelakanginya. Ima telah menghidangnya segelas teh o ais limau.

            “Bagaimana?” Soal Az selepas kering ditekaknya dibasahkan.

            “Bagaimana apa?” Ima tidak mengerti maksud soalan rakan baiknya itu.

            “Abang kacak kitalah,” balas Az nakal.

            Tangan lincah Ima terhenti. Seraya dia memusingkan tubuhnya mengadap Az. Satu senyuman nakal turut dilemparkan kepada Az.

            “Mesti lu dah tangkap cintan kan?”Ungkap Az yang mengerti maksud senyuman Ima itu. Ima tertawa kecil.

            “Betul tak cakap gua?” ungkap Az lagi. Ima yang malu-malu kucing perlahan-lahan mengangguk.

            “Dari pandang pertama lagi, gua dah rasa senang dengan dia. Gua rasa macam ada sesuatu yang special tentang diri dia,” ulas Az.

            “Betul cakap kau.Sejak dia datang, rumah tumpangan ini seolah-olah kembali bernafas. Macam dia itu pembawa tuah. Seminggu ini, bermula dari seorang pelanggan, menjadi dua, selepas itu lima orang dan hari ini dua lagi datang. Suasana dekat sini juga, sejak dia datang tak rasa sunyi lagi. Kesepian yang selama ini menyelubungi Blue Inn seolah-olah sedikit demi sedikit berlalu pergi.” Ima menyokong bersama rumusan yang panjang lebar dengan aturan kata pinjaman daripada novel yang pernah dibacanya.

            “Mana guest yang lu cakap dah jadi pekerja tu?”Soal Az selepas teringatkan kisah yang diceritakan oleh Ima di ruangan Facebook dua hari lepas.

            “Dia teman Indra bawa pelajar-pelajar Universiti Malaysia Terengganu buat research di taman laut,” jawab Ima yang menyambung semula kerjanya di singki.

            “Bagaimana pula orangnya?” Soal Az tiba-tiba jadi berminat.

            “Orang mana pulak ni?” Putra yang kembali dari biliknya tiba-tiba menyampuk. Tersentak Az dan Ima dibuatnya.

            “Hisy, Abang Putra ni. Terkejut kita, nasib baik tak terpotong jari dengan pisau ini,” keluh Ima. Putra mengekek tawa.

            “Itulah, buat kerja di dapur ini tak boleh mengumpat, lebih-lebih lagi anak dara macam Ima. Kata mahaguru abang dulu, kalau anak dara suka mengumpat di dapur, nanti dapat suami tua,” sakat Putra dengan senyum sumbingnya. Az ketawa berdekah-dekah. Ima buat-buat mencebik bibir, seakan menahan geram apabila dia pula yang terkena sakat, padahal rakannya itulah yang memula dan merancakkan perbualan mereka tadi.

            “Ya lah tu.” Ima meragui penjelasan Putra.

            “Eh, tak percaya pulak dia.” Putra buat-buat serius.

            “Betul lah Ima, mak gua pun ada cakap macam itu,” tambah Az, cuba menambah perisa.

            “Kau diam Az, tak pasal-pasal aku siang kau nanti!”

             Ruang dapur itu kemudian bergema dengan hilai tawa. Putra paling kuat tawanya. Ima turut ikut ketawa, geli hati dengan buah jenakanya sendiri.

             Putra kemudian memulakan tugasnya menyediakan makan tengah hari. Ima dan Az setia membantunya. Tengah hari itu, dia perlu memasak lebih dari hari-hari sebelumnya kerana tetamu di Blue Inn kini telah bertambah. Ketika hampir selesai masakannya, Ika yang baru pulang dari sekolahnya menyertai mereka.

            Memandangkan jarak antara Blue Inn dan taman laut agak jauh, Putra harus menghantar makanan dan minuman kepada Amran, Indra dan lima pelajar UMT di situ kerana mereka hanya akan pulang semula ke Blue Inn lewat petang nanti.



Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan