Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,447
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 3

SUDAH beberapa ketika Amran bermalas-malasan di atas buai hammocks yang terikat pada dua batang pohon ketapang yang renek dan teduh di tepi pantai. Sejak dua hari lalu, tempat itu seperti sudah menjadi tempat kegemarannya.

            Walaupun Blue Inn agak usang dan terperuk daripada pengunjung, dia tidak kisah. Malah kesunyian itu didambakannya. Jauh dari hiruk-pikuk. Jauh juga dari segala pencemaran angkara manusia yang haloba dan pentingkan diri sendiri. Udara segar dapat dihirupnya sepuas mungkin. 

            Sedang dia menikmati deburan ombak dan angin lembut dari arah Laut Selat Melaka, sepintas dia teringatkan telefon tangannya. Telefon tangan itu sudah masuk dua hari dimatikannya. 

            Dia menyeluk poket seluar bandananya. Sebuah I phone 7 dikeluarkan dari poket itu. Jemarinya kemudian menekan butang untuk mengaktifkan semula telefon pintar itu. Beberapa saat kemudian, ritma aplikasi WhatsAppnya berbunyi bertalu-lalu.

            Seperti dijangkanya,terlalu ramai yang sedang mencarinya. Isi kotak mesej itu dibacanya satu persatu. Sudah pasti paling banyak daripada ibunya. Kemudian, teman wanita yang juga merangkap setiausahanya.

            Ketika dia membaca deretan mesej daripada teman wanitanya, telefon tangan itu tiba-tiba berdering. Mulanya, dia ingin membiarkan saja deringan itu. Namun, rasa tidak sampai hati pula.

            “Hello Sayang,You dekat mana ni? Sejak dua hari lepas I call you. I betul-betul risaukan you”.

            “I’m fine. Don’t worry about me,” balas Amran.

            “You dekat mana ni?” ulang pertanyaan dalam talian.

            “Sorry Min, I think for right now, I want alone,

            “You dekat mana?” Sharmine terus mengulangi soalan yang sama.

            “ Somewhere,” jawab Amran acuh tak acuh.

            “Okay. I understand, but if you need help, just call me. Anytime.” Sharmine akhirnya akur.

            “Okey,” balas Amran sebelum mematikan talian. Telefon itu juga terus dimatikan semula. Bimbang takut-takut muncul pula deringan daripada ibunya. Takut dia tak kuat untuk menghadapi sedu-sedan kebimbangan orang tuanya itu. Dia sudah nekad, dia mahu bersendirian untuk beberapa ketika demi merangka satu rencana kehidupan barunya.

             Dalam kesepian itu fikirannya kembali mengimbau apa yang telah terjadi 3 hari yang lalu di bilik mesyuarat Menara Hashim.

             “Hari ini, saya ingin membuat satu pengumuman. Fariz telah saya lantik sebagai CEO Hashim Holdings yang baru menggantikan saya yang akan bersara.

             Riuh seketika ruang mesyuarat itu tatkala mendengar pengumuman yang kiranya agak tergempar.

             “Why him!” Amran yang tergamam dengan pengumuman ayahnya itu sudah tidak mampu lagi menahan perasaannya. Memancul pertanyaan tidak puas hatinya itu.

             Riuh sekelip mata jadi terdiam. Semua mata kini tertumpu ke arah Amran.

             “Because he deserve! Tan Sri Hashim cuba membalas dengan tenang.

             “I did everything for this company, ini balasan ayah kepada Am!” Suara Amran      bergetar.

            “Your brother better than you,” Tan Sri Hashim menokok untuk menyokong pendiriannya tadi.

              “Better than me? Bagus dengan memboroskan duit syarikat!”

              “How dare you said me like that!” Fariz bingkas bangun menyangkal kata-kata Amran. Marah sekali dia bila dituduh sebegitu walaupun pada hakikatnya tuduhan Amran itu berasas.

             “Itu adalah kebenaran! Kau tak pernah membawa apa-apa kepada syarikat. Yang kau tahu berfoya-foya dengan mengguna duit syarikat. Semua orang tahu apa yang kau buat!” Balas Amran tanpa berselindung lagi. Hatinya benar-benar tercabar dengan keputusan ayahnya itu.

             “Prove it!” Jerit Fariz. Wajahnya merah menyala, menahan geram.

             “Stop it! Both of you, stop it! My decisionis is final! Amran, kamu harus menerimanya. Bukankah jawatan sebagai pengarah projek sudah besar pangkatnya dalam syarikat?” tegas Tan Sri Hashim.

            “Pangkat bukan perkiraannya, tapi orang yang lebih layak harus dilantik untuk membawa hala tuju syarikat ini! Bukannya orang yang hanya pandai membodek!” balas Amran.

           Fariz mengetap bibirnya. Hatinya makin berapi bila soal kelayakannya dipertikai.

           “Encik Amran, jika kamu tidak boleh menerima kenyataan, kamu boleh hantar surat resign!”Letus Fariz dengan sinis.

           “Okey, kalau itu kehendak kamu, I resign for right now!”


 AMRAN kembali ke alam nyata dari imbauannya itu.

          “Damn you, Riz!” Satubentakan keras dilepaskannya.

          Tiga hari yang lalu sememangnya satu keputusan nekad telah dibuatnya. Nyata, pengumuman yang telah dibuat ayahnya cukup menyakitkan hati. Terasa bagai hatinya dirobek dan dicarik-carikkan. Selama ini, dia bertungkus-lumus membangunkan syarikat Hashim Holdings. Siang malam dia memberi jiwa raganya dan banyak sudah projek mega kelolaannya membawa keuntungan berlipat ganda kepada syarikat. Sungguh dia tidak menyangka keputusan yang telah dibuat oleh ayahnya.

          Faham benar dia dengan sikap sebenar Fariz. Baginya, Fariz hanya pandai bercakap daripada membuat kerja. Kehidupan luar pejabat adiknya itu juga cukup diketahuinya.

         Sebenarnya dia tidak kisah siapa pun yang duduk di kerusi CEO, asalkan bukan Fariz.  Fariz baginya tidak layak sama sekali. Dia bimbang adiknya itu akan meruntuhkan legasi Hashim Holdings yang cukup disegani.

           Ayahnya sejak dulu lagi kurang yakin terhadap dirinya. Dia selalu tewas kepada Fariz di mata ayahnya. Fariz disayangi bagaikan menatang minyak yang penuh. Segala kehendak Fariz dituruti dengan hanya bermodalkan kemanisan kata-kata dan pujuk rayu.

           Amran sedar, Fariz mempunyai kelebihan dari segi taraf pendidikan berbanding dirinya. Dia sekadar lepasan sebuah universiti tempatan berbanding Fariz yang berkelana menuntut ilmu hingga ke bumi England. Adiknya itu diakui pintar dalam teori selok-belok perniagaan. Namun, dari segi praktikal sebaliknya. Adiknya itu tiada tolenrasi dengan para klien, menyebabkan klien tidak senang bekerjasama dengannya.

          Dia juga berpatah arang berkerat rotan dengan sikap liar dan melulu adiknya itu dalam membuat sesuatu keputusan. Dia cukup bimbang, adiknya itu akan tersilap langkah dan memudaratkan Hashim Holdings. Ditambah pula sikap adiknya yang suka berfoya-foya di luar waktu pejabat hinggakan kadang-kadang menjejaskan kualiti kerjanya.

          Walaupun ibunya cuba memujuk supaya dia menarik balik perletakan jawatannya, namun dia tidak berganjak daripada keputusan yang membawa implikasi dia kehilangan segala kelebihan yang dimilikinya selama ini. Kereta, rumah, kad kredit syarikat untuk perbelanjaan hariannya dan segala kelebihan yang lain telah ditarik balik oleh Fariz selaku CEO baru Hashim Holdings. Dia tidak kisah hilang semua itu kerana dia masih memiliki simpanan duit gaji bulanan yang tak pernah diusik selama menjalankan tugasnya.

          Merasakan dia perlukan ketenangan sebelum merangka kehidupan barunya, secara senyap-senyap dia membawa diri ke pulau itu. Tiada seorang pun tahu di mana dia sedang berada.


PUTRA memulakan tugasnya di Blue Inn hari itu secara rasminya.Semalam dia sekadar melalui fasa berkenalan dengan warga dan persekitaran rumah tumpangan itu. Tidak banyak tugas yang perlu dilakukan kerana seolah-olah Blue Inn tidak dilihat langsung oleh para pelancong. Seperti ada tembok sihir yang menghalang dan memagari persekitarannya daripada dilihat. Dari pagi membawa ke tengah hari, masih belum ada seorangpun pengunjung yang kunjung tiba.

            Putra duduk menunggu di lobi bersama Ima seperti menunggu buah yang tidak gugur. Kerja-kerja rencam seperti membersih kawasan persekitaran sudah dibereskan sebentar tadi.

            “Beginikah situasi Blue Inn selama ini?” Soal Putra, seperti dia mula mengerti maksud Ima semalam betapa Blue Inn sedang mengalami kemerosotan. Juga mula mengerti maksud senyuman sinis pemandu van sapu bermisai tebal yang menghantarnya ke situ semalam.

            “Hmm, beginilah bang.” Ima yang menongkat dagu di kaunter membalas.

            “Sayang seribu kali sayang. Pemandangan yang cantik sebegini pun tiada siapa yang menghargainya.” Putra melepaskan satu keluhan sambil bingkas bangun dari labuhan punggungnya. Dia kemudian menapak ke pintu utama yang mengadap hamparan pasir yang memutih dan lautan yang membiru. Satu nafas dihelanya panjang sambil memejam matanya. Saat itu juga angin sepoi-sepoi menyapanya dari dataran laut. Tiada rasa jemu dia menikmati ketenangan itu. Ima sekadar memerhati telatahnya.

            Tiba-tiba dari arah denai, Putra terdengar bunyi enjin kenderaan. Dia segera memanjangkan lehernya ke arah jalan masuk itu.

            “Hah, itu macam ada orang datang!” ujar Putra dengan membibit senyum girang.

            “Betul ke?” Ima segera bangkit dari labuhan punggungnya dengan wajah teruja. Dia menghampiri Putra. Putra mengangguk kepalanya. Ima kemudian memanjangkan juga lehernya, meninjau ke arah jalan.

            “Itu van Pak Abu,” ujar Ima dengan wajah bersinar. Kawan baik ayahnya itu selalu membantu membawa pengunjung ke Blue Inn sebelum ini. Ima melangkah melewati pintu utama dan segera mendapatkan Pak Abu yang sudah keluar dari vannya untuk membuka pintu di perut van. Melihat Ima mendapatkan lelaki bernama Pak Abu itu, Putra mengekori dari belakang.

            “Ini Pak Abu bawakan seorang lagi guest,” kata Pak Abu selepas melihat Ima dating menghampirinya. Semalam, dia jugalah yang membawa Amran ke situ. 

            “Ya ke? Terima kasih banyak-banyak Pak Abu. Pak Abu banyak membantu kami,” ucap Ima dengan riang.

             Kalau tak ada Pak Abu, mungkin sudah lama Blue Inn itu ditutup. Hanya Pak Abu dan beberapa orang penduduk pulau yang lain lagi sahaja tidak percaya akan fitnah liar yang ditabur oleh manusia yang berhati busuk dan menyimpan dendam terhadap mereka sekeluarga. Rezeki mereka bagaikan sengaja disekat-sekat.

            “Ini aje Pak Abu dapat bantu.” Pak Abu membalas. Pengunjung yang menumpang van Pak Abu kemudian keluar dari van.

            “Cik Jessica, ini Ima anak kepada pengusaha rumah tumpangan ini. Insha Allah perkhidmatan di sini akan memuaskan hati Cik Jessica.” Pak Abu memperkenalkan pengunjung yang dibawanya kepada Ima. 

            “Hai, Saya Jessica Lim, boleh panggil Jessie aje,” ucap pengunjung itu mesra, bersama satu kuntum senyuman. Orangnya sederhana tinggi dan cantik persis Marion Caunter, bekas pengacara tv yang kahwin dengan salah seorang pewaris empayar Naza itu. 

            “Hai, Cik Jessie.Saya Ima, selamat datang ke Blue Inn. Cik Jessie datang dari mana?” Sambut Ima dengan formal.

            “Saya datang dari Ipoh,” jelas Jessica.

            Putra di sisi Ima pura-pura terbatuk.

            “Oh, terlupa pula saya nak kenalkan. Ini Putra.” Ima yang tersedar dengan dehaman itu segera memperkenalkan Putra kepada Jessica. Putra yang tersengih-sengih macam kerang busuk menunduk hormat. Satu senyuman kemudian diukirnya. Namun,senyumnya itu hanya dibalas tawar sahaja oleh Jessica.

            “Boleh saya bawakan beg Cik Jessie?” Pinta Putra lembut. 

            “Tak mengapa, saya boleh bawa sendiri,” balas Jessica dengan wajah yang berubah hambar. Seperti dia ada isu dengan lelaki. 

            “Cik Jessie,silakan.” Ima yang tak mahu kehambaran itu berlarutan kemudian mempelawa Jesiica ke lobi untuk membuat urusan pendaftaran. Jessica tanpa bersoal panjang membuntuti Ima ke arah lobi.

              Putra yang sedikit terpinga dengan sikap Jessica, bersama Pak Abu sekadar menghantar mereka berdua hingga ke muka pintu utama Blue Inn.

            “Eh, lupa pula nak kenalkan diri saya kepada Pak Abu. Saya Putra, pekerja baru di sini,” ujar Putra sambil menghulurkan tangan kepada Pak Abu. Pak Abu menyambut salamnya itu dengan mesra.

            “Oh begitu rupanya.Ingatkan siapa tadi. Baguslah, Blue Inn ini memang perlukan seorang tenaga lelaki. Ima dan Ika  termampu untuk menguruskan semuanya. Jikalah adik lelaki mereka itu boleh membantu, pasti Blue Inn tak jadi begini,” ujar Pak Abu. Di hujung ujarannya itu seakan dia melepaskan satu keluhan yang berat.

            “Insha Allah, PakAbu. Saya akan cuba buat yang termampu.” Putra membalas.

            “Senang hati Pak Abu mendengarnya. Tak apalah Putra, Pak Abu tak boleh lama ni. Pak Abu nak kembali ke jeti semula. Mana tahu ada lagi rezeki Pak Abu untuk hari ini. Nanti kita berbual lagi,” ujar Pak Abu sebelum masuk semula ke dalam vannya.

            “Terima kasih, Pak Abu kerana bawakan pengunjung ke sini, ” laung Putra sebelum Pak Abu memulakan pemanduannya. Pak Abu sekadar membalas dengan ukiran senyum dan mengangkat tangannya.

            Selepas van Pak Abu hilang dari pandangan mata, Putra kembali semula ke lobi. 

           Tiba di situ, dilihatnya Ima dan pengunjung bernama Jessica Lim itu sudah tiada di situ. Pasti Ima sudah membawa pengunjung itu ke bilik inapan. 

            “Okeylah, baik aku ke dapur. Tengok apa yang boleh aku masak. Guest perlu diraikan dengan menu yang istimewa!” ungkap Putra kepada diri sendiri dengan penuh bersemangat. Kebiasaanya, Ima menempah makanan dari luar sahaja seperti mana sarapan pagi tadi. Namun, Putra telah memberi jaminannya untuk mengambil tanggungjawab itu  bermula dengan penyediaan makan tengah hari pada hari itu.

            Putra sedar dia bukan sahaja perlu menyediakan makan tengah hari kepada tetamu, tetapi juga kepada Ima dan seluruh ahli keluarganya yang lain. Inilah masanya dia menunjuk kebolehannya dan juga meyakinkan mereka. Masih terngiang-ngiang kata-kata ibunya suatu ketika dahulu, daripada makanan juga kebahagian boleh dikecapi. Tapi waktu itu ibunya berkata dalam konteks keharmonian rumah tangga sewaktu menasihati kakaknya yang liat ke dapur. Dia tersenyum sendirian bila mengenangkan wajah merah padam kakaknya itu. Namun,senyumnya itu tak sempat berpanjangan apabila dia cepat-cepat menokhtahkan imbauan itu. Takut hati kentalnya berubah sentimental pula.

           Kaki Putra menapak terus ke bahagian dapur. Memandangkan Blue Inn berkonsepkan kekeluargaan, segala makan minum para pengunjung akan diuruskan seperti sebuah keluarga sendiri. Tiba di dapur, dia memulakan tugasannya dan tekun untuk beberapa ketika selepas itu. Ima kemudian muncul di situ selepas hidungnya ditarik aroma yang menyelerakan.

            “Wah, sedapnya bau! Daripada baunya pun dah dapat agak rasanya sedap,” sergah Ima dengan hidung yang kembang kempis menangkap aroma masakan.

            “Apocot,terkejut kita tau!” Terkejut Putra disergah sebegitu, hinggakan terkeluar dialog ajuk suara Chef Wan dari mulutnya. Ima terkekek-kekek.Tercuit hatinya dengan telatah Putra itu.

            "Eh, Abang Putra ada latah ke?" Soal Ima di hujung tawanya.

            "Latah tu, tak adalah. Tapi, kalau dah disergah macam itu, mayat pun boleh bangkit semula," balas Putra. Mujur tak diayunnya senduk ke kepala Ima tadi. Kekekan Ima bersambung kembali. 

            “Abang Putra masak apa?”

            “Hmm, ini aje abang mampu masak hari ini dengan sumber-sumber yang ada dalam peti ais. Nama masakan ini ialah Ketam Masak Lemak Cili Api. Yang ini pula Ayam Goreng Berempah. Untuk seratnya abang masak Kangkung Goreng Belacan Rencah Sotong, dan yang terakhir ini kerabu mangga.” Diam tak diam, Putra sudah selesai menyediakan beberapa menu dalam masa dua jam.

            “Wah, dahsyat! Amazing! Marvelous! Boombastic! Fantastic! Mr. Lover Lover! Tak sangka pula saya Abang Putra betutl-betul boleh memasak. Bukan calang-calang masakan pulak tu.”  Segala mak bapak pujian dihambur oleh Ima. Nyata dia terkagum dengan apa yang terhidang di depan matanya.

            “Err… wait! Ada satu lagi terlupa nak diperkenalkan. Ini dia dessertnya, Japanese Purin.”

            “Marvelous! Marvelous!Dessert ni nampak sungguhmenyelerakan! Mana abang belajar resepi dessert ini?” Ima bersorak riang, berseloroh dengan meminjam nada suara Jarjit Singh dalam siri animasi Upin Ipin. Penggemar makanan manis sepertinya pasti teruja dengan apa yang disua itu.

            “Abang belajar waktu kat Jepun du…” Kata-kata tanpa sedar itu segera dinoktahkan oleh Putra apabila tersedar yang dia hampir membocorkan rahsia siapa sebenar dirinya?

            “Apa?” Soal Ima.Ternyata kata-kata tergantung Putra itu makin menarik perhatiannya.

            “Err… abang belajar dari satu filem Jepun. Judulnya Little Forest.” Cepat-cepat Putra melencongkan jawapannya. Pintu rahsia dirinya perlu dikunci sekemas-kemas mungkin.

            “Filem apa tu? Tak pernah dengar pun.” Ima terpedaya dengan helahnya itu.

            “Hmm... filem tentang seorang gadis seusia Ima yang pulang ke kampung halamannya untuk menjadi seorang petani selepas bosan dengan kehidupan di bandar. Sepanjang plot cerita itu, banyak diajar cara-cara memasak pelbagai menu yang menyelerakan. Best filem ni, diadaptasi dari sebuah kisah manga Jepun. Versi Korea pun guna tajuk yang sama.” Putra memperkemaskan jalan lencongannya itu.

            “Oh, ya ke?” Ima makin termakan helahnya.

            Putra mengangguk kepalanya. Lega hatinya bila Ima percaya. Tapi ada juga rasa kesal di sudut itu kerana terpaksa berbohong.

            “Okey, Ima nak rasa semuanya sekarang,” ujar Ima yang sudah kecur air liurnya.

            Baru sahaja Ima mahu menjamah hidangan, Amran yang bertembung dengan Putra petang semalam tiba-tiba muncul di ruang itu. Cuaca yang membahang ketika itu membuatnya sedikit tidak selesa. Walaupun bilik inapannya mempunyai kipas, namun ia tidak cukup untuk menghapus bahang musim panas. Cuaca panas itu juga membuatkan tekaknya kering.

            “Eh, Encik Amran! Silakan, makanan tengah hari dah siap.” Ima segera memjemput tetamu yang sudah masuk dua hari menginap di situ.

            “Saya masih kenyang. Saya cuma mahu minuman,” balas Amran seraya menarik sebuah kerusi di meja makan.

            Putra terus mengambil sebiji gelas dan menuang jus oren yang telah siap dibancuhnya dalam sebuah jug. Gelas itu kemudian disuakan kepada Ima untuk diberi kepada Amran. Amran menyambut huluran Ima itu. Dalam senafas sahaja dia meneguk. Segelas lagi dipintanya. Seperti dia benar-benar haus. Ima yang melihat keletahnya itu melirik senyum. Putra berkalih dan menarik muka, sedikit tidak senang dengan sikap Amran yang tak pandai nak berterima kasih. 

           Segelas lagi jus oren Putra tuang ke gelas. Kali ini, jus itu untuk  Ima.

           “Terima kasih,” ucap Ima beradab. Senyum di bibirnya makin mekar. Senang sekali hatinya. Sudah lama dia tidak mengukir senyum sebegitu. Dia mula merasakan seperti ada sesuatu aura sedang tersebar di persekitaran itu.

            “Sama-sama,” balas Putra. Sengaja suaranya ditinggikan sedikit. Niatnya mahu memerli pengunjung yang bernama Amran itu supaya lebih bertatasusila. Wajah kerek Amran sewaktu berlaga bahu dengannya petang semalam sedikit menjengkelkannya.

             Amran duduk di situ seketika tanpa bersuara. Matanya hanya di hantar ke arah lautan. Seperti ada kebosanan di wajahnya itu. Maklum sajalah, sebelum ini dia bukan jenis yang suka melancong dan bersiar-siar melihat tempat orang. Komitmennya hanya ditumpahkan sepenuh kepada kerjayanya. Boleh dikatakan dia seorang yang workaholic. Kerja kuatnya itu tidak lain tidak bukan demi menarik hati ayahnya agar Hashim Holdings diserahkan kepadanya kerana sayangnya tak pernah berbelah bagi kepada syarikat itu. Namun, apa yang diimpikannya itu telah hancur lebur.

            Ima terpaksa membantut dahulu hasratnya mahu merasmikan hidangan yang sudah terhidang di atas meja. Terpaksa jua dia menahan nafsunya yang sedang dihasut hebat aroma setiap hidangan itu.

           “Kalau Encik Amran mahu bersiar-siar di sekitar pulau ini, Encik Amran boleh gunakan skuter di parkir sana.Tak perlu tambah bayar apa-apa, dah termasuk dalam pakej.” Ima bersuara, cuba memecah kebisuan tika itu.

           “Oh, ya ke? Nice,” balas Amran, mula menunjukkan sedikit reaksi.

           “Kalau Encik Amran mahu guna skuter itu, ambik sahaja kuncinya di kotak kunci yang tergantung berdekatan dengan kaunter. Encik Amran hanya perlu tulis maklumat penggunaan di dalam buku log di atas meja konsol di bawah kotak kunci itu.” Ima memberi penjelasan lanjut.

           “Okey. Maybe malam nanti saya akan gunakannya. Saya hanya mahu lihat sekitar rumah tumpangan ini sahaja dahulu,” balas Amran. Cuaca yang panas ketika itu membuatkan dia kemalasan. Selepas menghabiskan sisa minumannya,dia bangkit dari labuhan punggung dan terus menapak ke arah lobi. Saat Amran melewati pintu dapur, dia berselisih dengan Jessica. Namun, sedikit pun dia tidak mengendahkan gadis itu, walaupun dihadiahi sekutum senyuman yang manis.

          “Cik Jessie, sila duduk.” Melihat kedatangan Jessica itu, Ima segera mempelawanya.

           “Terima kasih,” ucap Jessica.

            Putra pula segera  mengambil gelas yang ditinggal kosong oleh Amran di atas meja dan mengelap meja yang sedikit basah akibat wap ais pada gelas. Kemudian dia mengisi segelas jus oren ke dalam sebiji gelas kaca baru dan menghidangkannya kepada Jessica.

           Sama juga seperti Amran, tiada terucap kata terima kasih daripada mulut gadis itu kepadanya. Berlegar kembali anggapan liar di fikirannya betapa gadis itu mempunyai isu dengan lelaki. Namun,anggapannya itu cepat-cepat tergugah kerana sebentar tadi dia perasan Jessica ada melemparkan senyum kepada Amran, melainkan Amran itu sebenarnya ialah seorang perempuan. Tapi, tak mungkin! Sebab dia  ada nampak halkum di leher Amran. 

           Apa yang aku merepek ni! sampai ke situ! Putra menyumpah diri sendiri dalam hatinya.

           “Berapa orang pekerja di rumah tumpangan ini?” Soal Jessica selepas meneguk minumannya seteguk dua.

            “Empat orang aje. Saya, kakak saya dan juga abang chef kita ini.” Ima membalas. Jessica sekadar menjeling Putra seimbas lalu sahaja. Sekali lagi senyum Putra tidak dibalasnya.

            “Seorang lagi? Kata empat orang,” soal Jessica lagi.

            “Oh, adik bongsu saya, Indra. Dia kadang-kadang sahaja membantu.” Ima menyedari kelupaannya.

            “Oh begitu, ayah Ima?”

             Ima sedikit tersentap. Sekilas fikirannya merasa sedikit hairan, mengapa Jessica tiba-tiba bertanya tentang ayahnya?

             “Err… ayah saya tak berapa sihat. Jadi, kami adik-beradik mengambil alih tugas mengurus rumah tumpangan ini buat masa sekarang.” Ima segera menjelas.

             “Cik Jessie ini wartawan ke?” Celah Putra. Dia juga diserang sedikit rasa pelik dan sudah tidak tertahan rasa ingin tahunya menggunakan peluang itu. Firasatnya kuat mengatakan gadis cantik berbangsa Cina itu seorang wartawan melihatkan gayanya. Tapi, kenapa pula seorang wartawan mahu membuat liputan di Blue Inn?

            “Tak apalah, Ima. Saya nak bersiar-siar di sekitar pulau ini dahulu.” Jessica seperti mahu mengelak untuk menjawab soalan Putra itu. Hampir untuk menyingung  

perasaan Putra. Namun, rasa itu segera dibuang jauh-jauh oleh Putra.Siapalah dia untuk berasa sebegitu?

            “Eh, Cik Jessie tak mahu makan dulu ke? Makan tengah hari dah siap,” soal Ima, cuba menahan Jessica dari berlalu.

            “Saya masih kenyang, sebelum datang ke sini tadi saya dah makan dua bungkus nasi lemak di Lumut sementara menunggu feri. Lagipun, selera saya belum berbangkit.” Gadis sederhana tinggi dan bergaya eksklusif itu memberi alasannya. Jika yang mendengar alasannya itu berhati serapuh tisu, pasti sudah tersinggung perasaannya. Ima sekilas menjeling ke arah Putra. Putra sekadar mengukir senyum berbasa-basi.

           “Kalau begitu, Cik Jessica boleh menggunakan skuter di parkir sana untuk bersiar-siar di sekitar pulau. Kunci skuter Cik Jessica boleh ambil dalam peti kunci berhampiran kaunter. Cik Jessica hanya perlu merekod penggunaan skuter itu sahaja dalam buku log yang telah tersedia di situ.” Ima mengulangi sama penerangan yang telah diberinnya kepada Amran sebentar tadi.

            “Okey,” balas Jessica ringkas sebelum berlalu.

            Seketika Ima dan Putra menghantar Jessica ke pintu keluar. 

            “Abang, Ima nak rasmi masakan abang ini.” kata Ima tak mahu menunggu lama lagi sambil tangannya menyenduk nasi ke pinggan. 

            “Silakan tuan puteri, don’t be shy. Buat macam rumah sendiri,” balas Putra dengan seloroh. Ima mengekek kelucuan.

            “Wah, sedapnya!”puji Ima tatkala suapan pertamanya.

            Putra  dengan aksi bersahaja menunduk sambil membuka topi kepalanya. Persis gaya dan lagak Captain Jack Sparow dalam filem The Pirates of Caribbean. Ima tertawa lagi. Mujur tidak tersembur makanan yang belum lumat dikunyahnya. Hati gadis 23 tahun itu riang bukan kepalang.

            Dalam keasyikan Ima menjamu selera itu, Amran muncul semula. Dari riak wajah seperti perutnya minta diisi.

            Hah! Tadi bukan main jual mahal. Gerutu Putra dalam hati. Sudahlah dia berbulu dengan pemuda sombong itu.

            “Encik Amran,silakan” Ima sekali lagi mempersilakan Amran ke meja makan. Amran tanpa banyak soal terus menarik sebuah kerusi. Putra kemudian menyertai  mereka.

            Suasana jadi diam seribu bahasa. Ima  jadi segan untuk bersuara apabila Amran turut berada di situ. Putra lagilah, sudahlah sikap Amran menjengkelkannya.

            Amran menjamah makanannya dengan pantas. Seperti dia juga tidak selesa untuk berada lebih lama di situ. Seperti sikap terdahulunya, selesai saja menikmati hidangan dia segera meninggalkan ruang dapur itu. Berlalu tanpa sepatah kata. Putra dan Ima sekali lagi saling berpandangan melihat telatahnya itu.

            “Sombong semacam saja dia itu, tak pandai nak ucap terima kasih.” Benteng kesabaran Putra runtuh jua walaupun dia tahu dia tiada hak untuk mengkritik tetamu.

            “Begitulah, AbangPutra. Ragam pengunjung, bermacam ragam. Tak boleh kita nak jangka. Terpaksalah kita ikut rentak mereka. Customer is the king!” Balas Ima. Nyata ada rungutan dalam kata-katanya itu.

            “Dia datang dari mana?” Soal Putra, ingin sedikit pencerahan.

            “KL. Orang KL memang macam itu ke bang?” Jawab Ima bersama satu soalan.

            “Tak adalah. Tapi, maybe ada kut seorang dua. Bergantung kepada statusnya,” balas Putra antara pasti dan tidak.

            “Apa-apapun,masakan abang ini memang ada kelas. Dah rasa macam makan kat hotel lima bintang.” Ima mengubah topik perbualan. Nyata hasil tangan Putra lebih menarik perhatiannya.

            “Ye ke ada kelas?” Duga Putra. Terasa hidungnya sedikit mengembang.

            “Betul, tengok ini.Sedap sampai menjilat jari. Betul-betul sedap. Kalau tak sedap, masakan sampai licin-licau pinggan customer kita tadi.” Ima menyahihkan pendapatnya. Tingkahnya itu membuatkan Putra mengekeh tawa. Menyelinap rasa bangga ke hatinya bila dipuji sebegitu. 

            “Sebuah tempat yang cantik begini perlu diseimbangkan dengan sentuhan menunya!” Ungkap Putra sambal mengenggam tangan dan mengayunnya ke udara, cukup bersemangat. Gayanya sepert ilagak pengacara The Iron Chef, rancangan tv bercorak masakan kegemarannya suatu ketika dahulu.

             Ima menggangguk dengan senyuman. Apa yang difahaminya, cara masakan seseorang itu juga mencerminkan hati tukang masaknya. Rasa riang Ima makin melonjak. Lantas terpohon sepotong doa, moga-moga kedatangan Putra itu memberi rahmat kepada Blue Inn setelah sekian lama dipinggirkan seperti sebuah rumah hantu yang selalu menjadi latar lokasi layar perak.

            Selepas menolong Putra mengemas meja makan, Ima menatang makanan dan minuman untuk dibawa ke bilik ayahnya. 


Previous: BAB 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan