Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,439
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 4

IMA mengetuk pintu bilik ayahnya beberapa kali.

            “Ayah, Ima bawakan makanan tengah hari,” laung Ima. Beberapa saat kemudian kedengaran selak pintu dibuka. Ima memulas tombol pintu dan menolak sedikit daun pintu itu untuk ditelusi tubuhnya dan dulang makanan.

            Kelihatan seorang lelaki berkaca mata seusia Pak Abu menanti di sebuah meja kecil di dalam bilikitu. Pandangannya terlempar sepi ke luar jendela. Dia kelihatan cukup tidak terurus. Rambutnya yang putih sudah menyentuh bahunya. Rerambut juga telah tumbuh meliar di sekitar pipi, bibir dan dagunya. Wajahnya muram durja.

            “Ayah, Ima nak maklumkan yang Ima sudah dapat seorang pekerja untuk rumah tumpangan kita ini. Namanya Putra. Hidangan tengah hari ini dia yang masak. Ayah makanlah ya, sedap masakannya.” Ima menjelas dengan wajah yang berseri.

          Namun, ayahnya itu tidak memberi apa-apa reaksi. Pandangannya masih terlempar sepi ke luar jendela. Ima kemudian mengemas katil ayahnya. Selesai tugas itu, dia mengutip pinggan dan cawan yang dihantarnya waktu sarapan pagi tadi di satu sudut meja. Masih ada sisa makanan di dalam pinggan. Begitulah seleranya ayah setiap hari. Setiap makanan yang dihidang  dijamah sedikit sahaja. Hanya cawan yang dikutip kosong.

            “Ayah makanlah ya, Ima keluar dulu,” ujar Ima sebelum keluar dari bilik ayahnya itu.

            Di ruang dapur, Putra masih meneruskan tugasannya. Sambil membilas pinggan dan gelas di singki, dia tersenyum sendirian tatkala angin sepoi-sepoi bahasa menyapanya dari jendela ruang dapur itu. Rasa tenang mengunjunginya. Anak matanya dihantarkan ke horizontal. Senyumnya menjadi semakin lebar apabila terpandang jet ski yang tersadai di gigi pantai. Rasa teruja tiba-tiba menguasai hatinya. Lewat petang nanti akan dilunaskan hajatnya itu.


LEWAT petang itu, Ika baru sahaja tiba dari tanah besar. Ima menyambutnya di ruang utama Blue Inn. Belum sempat gadis berusia 25 tahun itu menghilangkan penat di sofa, tiba-tiba halwa telinganya dikejutkan dengan jeritan dari arah laut. Mendorong dia bangun dan memanjangkan lehernya ke arah itu. Ima tersenyum melihat perlakuan zirafah kakak sulungnya itu. Jeritan tad isebenarnya bukan jeritan cemas, tapi adalah jeritan-jeritan keriangan. Sudah puas Ima mendengar keriangan itu sejak beberapa ketika yang lalu lagi.

            “Siapa tu? Pelancong ke?” Soal Ika yang kehairanan. 

            “Pekerja kita,” balas Ima dengan senyuman.

            “Siapa?” Ulang Ika yang antara dengar dan tidak  jawapan Ima tadi. Pandangannya masih tidak lepas ke pinggir pantai.

            “Abang Putra, pekerja kita,” jawab Ima kembali.

            “Pekerja kita!”Jelas Ika terkejut dengan penjelasan Ima itu.

            “Ya, pekerja kita,” tukas Ima dengan satu lirikan senyum. Kali ini lebih lebar.

            “Semacam sahaja. Biar betul Ima ambil pekerja semacam itu.” Ika dilanda keraguan. 

            “Semacam apanya? Along belum kenal dia lagi. Kalau dah kenal nanti, mesti tangkap cintan. Macam orang selalu kata, tak kenal maka tak cinta.” Ima membalas. Senyum masih melirik di bibirnya.

            Ika berkalih dan memandang Ima dengan dahi yang berkerut. Keningnya di angkat serentak, sebagai isyarat mahu lebih kesahihan. Ima mengangguk. Ika dengan wajah cengangnya berkalih semula ke arah pantai. Bebola matanya mengekori semula setiap gerak-geri Putra yang sedang melepaskan kemaruknya. Keletah Putra yang menunggang jet ski ke sana dan ke sini itu lantasmengingatkan dia kepada seseorang.  

            “Blue Inn akan kembali ceria.” Ima bersuara setelah tercipta ruang kesunyian antara mereka berdua beberapa jenak.  Senyuman dibibirnya makin lebar. Ika sekali lagi memandangnya dengan wajah yang ketidakpastian.

            “Macam tak betul sahaja Along tengok,” gerutu Ika, menyimpulkan kata hatinya. Ima ketawa kecil.

            “Nanti bila Along dah berkenalan dengan dia, Ima gerenti persepsi Along itu akan berubah.Lebih-lebih lagi bila Along dah rasa masakannya. Fuh, terbaik! Ada kelas! Macam chef hotel lima bintang,” ujar Ima dengan air liur yang kecur, seakan masih terasa masakan Putra tengah hari tadi di hujung lidahnya.

            “Ya lah tu?” Masih lagi tebal keraguan Ika.

            “Betul, Ima tak tipu. Sampaikan menjilat jari. Ayah pun macam suka masakannya. Kali pertama ayah jamah makanan sampai habis hari ini. Tetamu kita pun macam puas hati dengan masakan Abang Putra. Sampai licin pinggannya.” Ima terus cuba meyakinkan Ika.

            “Betul ayah makan sampai habis?” Soal Ika, mula teruja.

            Ima mengangguk kepalannya dengan bersungguh.

            “Alhamdulillah. Baguslah begitu. Oh, kita dah ada pengunjunglah hari ini ya,” ucap Ika. Di bibirnya juga mula ada senyuman. Ima sekali lagi mengangguk kepalanya. 

            “Berapa orang?” Soal Ika yang menggamit ceria.

            Sudah sekian lama rumah tumpangan mereka itu tidak dipandang pengunjung. Entah di mana silapnya? Pernah juga dia terfikir,mereka sekeluarga telah terkena sihir seseorang yang menyimpan dendam terhadap mereka sekeluarga. Dulu rumah tumpangan mereka itu cukup maju. Selepas sahaja ibunya lari mengikut seorang pelancong asing, bilangan pengunjung ke situ jatuh merundum. Seperti juga ada satu sumpahan di situ.

            Ima kemudian perlahan-lahan menunjuk dua jarinya. Senyum Ika bertambah panjang. Baginya,nilai itu sudah besar maknanya kepada mereka. Kalau sebelum ini, dalam seminggupun, belum tentu ada yang menjengah Blue Inn, melainkan Pak Abu yang membawa pengunjung ke situ.

            “Pak Abu yang membawa mereka ke mari,” jelas Ima.

            “Pak Abu memang selalu membantu kita. Kalau tak ada Pak Abu, entah dah lama rumah tumpangan kita ini terpaksa ditutup.” Ima melepaskan satu keluhan yang berat.

            “Sebab itulah kita perlukan seorang pekerja macam Abang Putra. Kita berdua tak terdaya nak melakukan semuanya. Dengan adanya Abang Putra, kerja-kerja di dapur dan mengambil pengunjung di jeti akan menjadi ringan. Bukan itu sahaja, kita perlukan idea-idea baru untuk membangunkan semula rumah tumpangan kita ini.” Ima memberi satu rasional. Perlahan-lahan Ika mengangguk, mula bersetuju dengan Ima. Menyerap kemudian semangat dalam diri dua beradik itu.

            “Harap ada sinar di hujung terowong.” Satu harapan diucap oleh Ika.

            Dua beradik itu menghantar semula pandangan masing-masing ke pinggir pantai. Gelagat gila-gila Putra yang riang bermain jet ski sedikit sebanyak menghiburkan hati Ima. Ika yang pada mulanya bersikap prejudis itu juga mula rasa terhibur. Sudah bertahun dia tidakmelihat keriangan seperti itu di Blue Inn.

            Dari jendela sebuah bilik, Amran turut menonton keriangan itu. Dia yang sekian lama berkurung di biliknya, turut terkesan dengan telatah Putra yang riang melunaskan keinginannya. Sesekali, terbit juga rasa cemburu terhadap Putra. Putra seakan-akan tidak mempunyai apa-apa beban fikiran.

            Ada dua pasang mata lagi yang memerhati gelagat Putra itu. Satu, dari balik cermin jendela sebuah lagi bilik tidur. Manakala satu lagi dari pandangan seorang anak remaja yang ketika itu sedang menunggang sebuah vespa dari arah jalan raya menuju masuk ke pekarangan Blue Inn.

           “Sewel!” gerutu remaja bersepatu Doc Martens paras betis, berkemeja-t Fred Perry hitam dan berseluar jeans Levi’s 501 ketat yang digayakan pula dengan braces itu ketika menongkat vespanya. Dia terus menonong masuk ke ruang lobi. Langkahnya menapak pantas menuju ke biliknya.

           “Adik dah makan?” Ima menyapa anak remaja berambut tipis menampakkan kulit kepala itu.

           Namun, sedikitpun adik lelakinya itu  tidak endah. Usahkan berpaling, pandang pun seperti tidak mahu, terus menonong menuju ke arah bilik tidurnya. Ima dan Ika saling berpandangan. Mereka sudah kebuntuan memikirkan sikap dingin adik lelakinya itu. Sudah sekian lama juga berlarutan begitu. Kebelakangan pula, sikap memberontak adik bongsu mereka itu makin menjadi-jadi. Sudah pandai tidak pulang ke rumah berhari-hari.

           Hari tika itu kian menghampiri senja. Putra menolak jet ski ke labuhan semula selepas puas melepaskan hajatnya. Satu jeritan kepuasan diluahkannya ke arah lautan luas sebelum melangkah ke arah Ima dan Ika yang ketika itu menantinya di tebing pantai.

          “Hai, saya Putra. Awak yang cantik manis ini pastinya Ika,” ucapnya sambil menghulurkan tangan kepada Ika, Ika yang mulanya sedikit kurang selesa untuk menyambut huluran itu, akhirnya menyambut jua salam itu. 

           “Ika Zulaikha,” balas Ika, memberi nama penuhnya.

           "Wow, cantik namanya macam orangnya juga." Putra pandai mengambil hati.

            Ika sekadar mengukir senyum. Kembang juga hatinya bila dipuji sebegitu oleh seorang jejaka. Sudah sekian lama sebenarnya dia tidak dipuji sebegitu.

            “Sorry, over excited sikit tadi. Dah lama mengidam,baru hari ini dapat lunaskan,” ungkap Putra lagi.

            “Tak mengapa. Pantai ini sememangnya perlukan orang seperti kamu,” balas Ika. Kata-katanya itu diiringi senyuman di bibir Ima. Putra  turut meleret senyum. Dia cuba     memahami maksud Ika itu.

            “Hmm, hari dah nak senja ni, pasti semua dah lapar. Saya tukar pakaian dulu, lepas itu saya masak.” Walaupun mahu berbual lebih lama di situ dengan Ika dan Ima, Putra menyedari peranananya.

            “Okey, Ima tunggu di dapur ya. Ima nak jadi pembantu chef petang ini boleh?” sambut Ima dengan wajah berseri. 

            “Cantik!” balas Putra sambil menunjukkan  isyarat thumb up

             Putra kemudian berlalu ke biliknya.

 

LEPAS maghrib semua berkumpul di meja makan, termasuk Amran. Hanya Jessica sahaja yang tidak menampakkan diri. Sejak keluar bersiar-siar tengah hari tadi, dia belum pulang ke Blue Inn. Mereka mula menikmati hidangan yang disediakan oleh Putra dan Ima. Satu set hidangan yang ringkas tapi menyelerakan.

           “Wah, sedap!” Ungkap Ika saat dia mula menjamah hidangan.

            “Hah! Kan Ima dah cakap, takkenal maka tak cinta,”  cetus Ima. Semuatersenyum, kecuali Amran yang masih tidak menunjukkan kemesraan.

            “Belajar daripada siapa resepi masakan ini semua?” Soal Ika.

            “Err... belajar daripada buku dan Encik Google,” balasPutra dengan merendah diri. Tak mahu lagi juga tersasul seperti tengah hari tadi. Anak matanya kemudian bertembung dengan anak mata Amran. Putra sempat memberi satu senyuman. Namun, tak dibalas Amran yang segera melarikan pandangannya.

            “Sebelum ini Putra bekerja di mana?” Ika jadi makin berminat untuk mengetahui latar belakang Putra.

             Sejenak Putra menggaru kepalanya. Dia serba salah sebenarnya kerana harus berbohong lagi.

            “Err… Macam-macam. Saya tiba di KL dari kampung halaman sewaktu usia seawal 18 tahun. Orang yang tak berpelajaran macam saya ni terpaksa lakukan macam-macam kerja rencam untuk hidup di KL,” jelas Putra  seakan menghafal skrip drama.

           “Abang Putra asal dari mana sebenarnya?” Ima mencelah. Rasa ingin tahu juga mula bermain di mindanya. Dia sebenarnya mula rasa kagum dengan keperibadian Putra.

           “Err… Perlis.” Kali ini suara Putra berubah sedikit perlahan. Riak wajahnya juga sedikit berubah menunjukkan dia semakin rasa serba salah. Sejauh negeri di hujung Utara itu, sejauh itu juga fikirannya mengembara.

           “Tak Ada bunyi loghat sanapun.”  Ika meragui.

           “Err… dah lama merantau di KL. Dah terasimilasi.” Putra membalas dengan satu sengihan dan cuba berjenaka. Namun kali ini lagak bersahajanya sedikit janggal.

           “Khabarnya, Putra anak yatim piatu, betul ke?” Ika terus mengasak dengan kata tanya. Di fikirannya, masih ada keraguan terhadap Putra.

            Putra makin diserang rasa serba salah. Namun begitu, dia cuba juga mengukir satu senyum. Dalam waktu yang sama juga dia cuba mencari jawapan balas yang paling kukuh.

          “Macam itulah.” Dia meringkaskannya seperti tidak mahu memanjangkan perihal hidupnya selepas gagal mencari jawapan yang lebih baik. Seperti jawapannya itu acuh tak acuh sahaja.

          Mendengar sahaja jawapan Putra itu, semua di meja makan itu jadi simpati, termasuk Amran. Dia yang sekadar memasang telinga sejak dari tadi menyelinap lagi rasa cemburu dalam hatinya. Dia mula membandingkan Putra dengan dirinya. Rupa-rupanya, Putra telah melalui kehidupan yang lebih perit daripadanya. Namun begitu, di matanya Putra tetap bersahaja dan tenang seperti tiada apa-apa perasaan. Seolah-olah juga tiada apa yang berlaku. Jauh beza dengan dirinya yang baru diuji satu dugaan sudah tak keruan.

        “Encik Amran datang dari KL juga kan?” Soal Putra cuba melarikan subjek kerana rimas diasak dengan soalan tentang keperibadiannnya. Mood sebegitu juga amat tidak digemarinya selain mahu mendorong Amran membuka mulutnya yang seperti berzip itu.

         Amran sedikit tersentak. Ika dan Ima seraya mengalih pandang kepada Amran. Reaksi Amran dinanti.

        “Err… saya sebenarnya berasal dari Selangor.” Akhirmya Amran membuka jua mulutnya.

        “Selangor dekat mana?” Putra terus mendorong.

        “Shah Alam,” lambat-lambat Amran membalas.

        “Oh, saya selalu juga ke situ,” sambut Putra kembali. Seulas senyum diukirnya kepada Amran.

        “Encik Amran kerja apa ya?” Ima mengikut rentak Putra. Dia sememangnya juga ingin mencungkil perihal pelanggan Blue Inn yang banyak waktu memencilkan diri itu.

        “Err… Project Manager,”jawab Amran walau pada hakikatnya dia telah kehilangan jawatan itu.

        “Berjawatan tinggi rupanya Encik Amran ini ya?” Ika mencelah. Menyelinap rasa senang di hatinya. Di wajahnya  juga berbunga ceria. Ima yang mengerti perlakuan kakaknya itu, menjeling nakal. Ika sekadar memandangnya dengan senyuman. Satu senyum balas diukir Amran, namun seperti keterpaksaan.

         Dalam kerancakan sesi suai kenal itu, muncul Indra. Anak remaja yang baru tamat sekolah menengah itu menapak menuju ke peti ais. Dia kemudian menuang air putih ke dalam sebiji gelas. Air dingin itu kemudian diteguknya senafas. Seperti dia baru lepas mengejar Usain Bolt.

         “Adik, mari makan sekali. Boleh kenal dengan Abang Putra dan tetamu kita, Encik Amran.” Ika menyapa adik lelakinya itu.

         “Tak apalah, tak lapar,” balas Indra.

         “Marilah jamah sikit. Sedap masakan Abang Putra ini.” Ima pula mendorong.

         “Tak sempat, nak keluar.” Indra membalas dan terus berlalu meninggalkan ruang itu. Kemudian, kedengaran bunyi enjin vespa meraung. Seperti sengaja tali minyaknya dipulas kuat-kuat.

         “Itu adik bongsu kami. Namanya Indra. Maaflah, dia agak kurang friendly sikit.” Ika memperkenalkan Indra kepada Putra dan Amran.

         “Biasalah, budak remaja. Ada anginnya kan?” balas Putra tidak mengambil hati. Amran tidak memberi apa-apa reaksi walaupun terlintas juga bayang Fariz di fikirannya saat itu.


Previous: BAB 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan