Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
19,144
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

HARI yang sedikit membosankan kepada Putra pagi itu. Dia terpaksa menjaga Blue Inn seorang diri kerana semua warga Blue Inn yang lain berbahagi tugas pada hari itu. Indra membawa Remy dan Marissa melakukan aktiviti scuba diving. Amran juga pergi bersama mereka kerana dia akan menjadi penjaga bot sewaktu mereka bertiga menyelam di dasar laut. Ika pula masih perlu ke sekolahnya untuk menyiapkan beberapa tugasan tertangguh.

Ima dan Az juga mempunyai tugas pagi itu. Mereka berdua membawa Sofea,Aisyah, Luna, Esther dan Khatijah melawat tempat-tempat menarik di sekitar pulau kerana hari itu merupakan hari terakhir 5 sekawan itu di Pulau Pangkor. Esok mereka akan pulang semula ke Terengganu.

            Putra mundar-mandir di ruang lobi itu. Lagaknya seperti anak kecil yang tak senang duduk, serba gelisah kerana tidak tahu hendak membuat apa. Tugasan menyediakan makanan tengah hari telah  disiapkannya. Menyapu dedaun kering di halaman Blue Inn itu juga sudah dilakukannya. Kerja-kerja mengemas bilik pula sudah dilakukan oleh Ika sebelum dia keluar ke sekolahnya tadi.

           Perasaannya makin resah. Satu lumrah kepada orang yang suka bekerja,pasti hati jadi gundah-gulana jika sekadar duduk saja dan tidak berbuat apa-apa. Melintas di kotak fikirnya kata falsafah daripada Sherlock Holmes, to great mind, nothing is little. Dia tersenyum sendirian, kerana mula memahami maksud kata-kata itu.   Sesekali dia bangun dari kerusi dan menjenguk persekitaran halaman Blue Inn setiap kali perasaannya merasakan ada seseorang yang datang. Namun, itu cuma mainan perasaan bosannya sahaja. Sesekali juga dia menatap kosong potret-potret yang tergantung di dinding walaupun berpuluh kali sudah ditatapnya semua potret itu sejak dia menjadi warga Blue Inn tanpa rasa jemu. Kemudian dia membelek-belek pula majalah Mingguan Wanita yang bertimbun tersusun di tepi meja kaunter. Ima pelanggan tetap majalah itu. Sekali lagi dia tersenyum sendirian. Ima dirasakannya seperti seorang pesilat yang sedang memasang kekuda, bersiap siaga untuk memasuki alam wanita.

            Putra kemudian beralih tempat. Kali ini dia melabuh punggungnya di sofa. Gitar kapok yang tersandar di dinding dicapainya, tapi sekadar memetiknya tanpa jiwa. Gitar itu diletakan kembali dan dia bangun semula. Rasa gelisahnya semakin berperang.

           “Ah, bosannya!” Satu keluhan dilepaskannya.

           Dia bersandar pada sofa sambil kedua-dua tangannya dibawa ke belakang kepala. Fikirannya ligat mencari idea untuk mengisi kebosanannya itu. Sejenak memerah otak, dia tersenyum sendirian lagi. Kali ini senyumnya ada aura semangat. Satu idea yang diyakini paling bernas ketika itu telah datang ke kotak fikirannya. Dia bingkas bangun dan menapak ke arah kaunter. Senyumnya makin lebar bila memandang sebuah komputer di situ. Punggungya dilabuhkan ke kerusi. Suis komputer itu dipetiknya. Seketika dia menunggu komputer loading, pandangannya tak semena-mena terpandang satu flyer. Flyer itu diambilnya. Sebelum ini dia sudah melihat hebahan  tentang  pertandingan itu di banner yang banyak digantung  di sekitar pulau.

            Budak Pantai Challenge... wah, hadiahnya boleh tahan! Hatinya berbisik.

            Namun, dia tidak berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang iklan itu. Kertas flyer itu diletak kembali di tempat yang diambilnya tadi. Komputer kini sedia untuk digunakan. Anak matanya liar meninjau folder di skrin. Senyuman kembali terukir ditubir bibirnya bila folder aplikasi yang dimahukannya ada terpapar di skrin.  Ketika tangannya mula menggoyangkan anak panah tetikus menuju ke folder itu, hatinya sekilas dipujuk supaya menjenguk laman Facebooknya yang sudah sekian lama tak dibuka. Namun, pujukkan itu tidak berjaya. Dia kemudian tekun menyiapkan sesuatu menggunakan komputer itu. Setengah jam berlalu, kerjanya itu berjaya disiapkan. Senyum berbunga tatkala melihat hasil kerjanya itu. Cukup puas hatinya dapat melepaskan kerinduan kepada rutin yang selalu dibuatnya dahulu.

           Selepas menutup kembali suis komputer, kakinya menapak ke arah pintu utama.

          “Ah, nak buat apa lagi ni!” gumamnya pada diri sendiri sambil menggeliat malas. Tubuhnya disandarkan ke bingkai pintu sambil memeluk tubuh. Matanya dililaukan ke sekeliling. Pasir yang memutih,laut yang membiru, dedaun pohon kelapa yang meliuk-liuk ditiup lembut sang bayu. Segala itu mengisi pandangan matanya.

          I have not told the half of what I saw. Sekonyong-konyong dia teringat kata-kata yang pernah dipetik oleh Marco Polo itu.

         “Baik aku berjalan-jalan,” cetusnya dengan senyuman. Serentak itu, kakinya menapak melewati pintu utama itu. Blue Inn sememangnya memiliki persekitaran yang luas. Hampir 5 hektar keluasan tanahnya. Namun begitu, kawasannya masih ada yang lapang dan belum terusik.

         Barangkali, boleh dibangunkan empat buah bilik berbentuk chalet di sini. Beri sentuhan eksklusif, sesuai dengan pemandangan di hadapannya. Atau mungkin boleh dikhas kepada pasangan-pasangan yang datang berbulan madu seperti Remy dan Marissa. Buatkannya lebih romatik dan privasi. Lebih-lebih lagi persekitaran Blue Inn yang persis Zazen Resort di Koh Samui, Thailand.

         Mula datang idea ke kotak fikirnya ketika dia menapak di satu kawasan lapang di sebelah kiri Blue Inn. Dari situ, kedudukan matahari terbenam lebih jelas. Pasti kehangatan cinta pasangan yang datang berbulan madu itu jadi lebih membara.

         Kakinya terus menapak.

         Di hamparan pasir yang memutih itu boleh juga di bina beberapa buaian seumpama di Pantai Gili Trawangan, Lombok. Tak pun seperti di pantai Teluk Ketapang dan Pantai Batu Buruk di Terengganu. Pasti nanti menjadi lokasi wajib kepada pengunjung untuk mengabadikan diri dalam potret atau berswafoto. Pasti juga menjadi lokasi paling romantis kepada pasangan kekasih untuk menikmati matahari terbenam.

         Buaian hammocks juga perlu ditambah di sekitar pokok ketapang sana. Lokasi itu sememangnya sangat sesuai untuk bersantai, terutama di kala mentari di atas kepala kerana suasana di situ sungguh redup dan berangin.

         Di situ pulak, sesuai untuk buat pentas kecil. Pasti suasana malam akan ada jiwa bila ada persembahan busking atau unplugged session. Berdekatan dengan pentas itu pula, boleh juga bina sebuah mini bar atau ruang makan untuk pengunjung-pengunjung bersantai sambil melayan lagu-lagu akustik. Konsep meja dan kerusinya pula boleh gunakan palet kayu sahaja. Kosnya lebih murah. Kalau buat sendiri lagi bagus. Pasti tidak lagi sunyi malam di sini. Tapi, bar itu harus dipastikan hanya menghidang minuman yang halal sahaja. Kan tak pasal-pasal si mamat kota itu jadi setan semula.

         Fikirannya terus merencana. Satu senyum sumbing terbit di bibirnya. Kakinya terus melangkah, melalui bilik-bilik yang sudah sekian lama terbina. Dari luar, sudah nampak usang dinding bilik-bilik itu akibat dimamah panas terik dan titis-titis hujan.

         Barangkali perlu di cat baru. Mungkin juga perlu divariasikan warnanya seperti  Brighton Beach Huts di Victoria, Australia. Pasti menjadi lebih mesra kamera.

         Kotak fikirannya terus memberi buah idea. Saat dia melewati belakang sebuah bilik, matanya tak semena-mena terpandang Kamarul di balik cermin jendela. Dia seraya mengangkat tangan kepada Kamarul bersama dengan ukiran senyum. Namun, Kamarul segera menarik langsir bilik itu, menutup terus pandangannya. Dia sedikit tercenggang. Bertandang juga sedikit rasa hampa di hatinya. Dia sememangnya mencari peluang untuk bersua muka dan bertegur sapa dengan Kamarul. Walaupun sudah lebih seminggu dia di Blue Inn, dia masih tidak berpeluang bertemu dengan Kamarul. Hanya wajah Kamarul sahaja dikenalinya melalui potret yang tergantung di lobi dan ruang dapur.

            Dia menyambung semula rondaannya. Matanya kemudian tertarik kepada sebuah bangsal kayu yang agak besar di belakang Blue Inn itu. Dari pandangan jauhnya, seakan ia sebuah garaj. Strukturnya bersaiz hampir 30 meter lebar dan 70 meter panjang. Jika ia sebuah garaj, pasti ia boleh mengisi dua atau tiga buah kenderaan.

           Dia segera menghampiri bangunan itu dan cuba mengintai apa yang ada di dalam bangunan kayu itu melalui lubang-lubang dinding. Hatinya kemudian menjadi teruja apabila melihat bayang-bayang seperti ada sesuatu yang tersimpan di dalamnya. Pantas dia menapak ke arah pintu. Nasib menyebelahinya, pintu itu tidak berkunci. Hanya berselak sebatang kayu panjang sahaja. Selepas mengangkat kayu panjang itu, perlahan-lahan dia menolak pintu kayu itu. Cahaya matahar ikemudian menerobos masuk ke ruang dalam garaj kayu itu. Keadaan di dalam garaj itu seumpama sudah sekian lama tidak dikunjungi orang. Jelas juga di pandangan matanya dua buah kenderaan yang berbungkus kanvas. Kanvas yang menutupi dua kenderaan itu kemudian ditariknya satu-persatu.

            “Wah!” Mulutnya ternganga untuk beberapa saat. Di depan matanya terpampang dua buah kenderaan klasik. Sebuah beroda empat dan sebuah lagi beroda dua. Pada fikirannya, Kamarul sudah pasti seorang kolektor. Dia tersenyum panjang. Hatinya mula melonjak riang. Sememangnya dia seorang yang menggemari sesuatu yang vintaj. Ditilik setiap kenderaan itu dengan lebih teliti. Dia cuba membuka pintu Mini Cooper Morris itu, namun kereta klasik itu berkunci. Dia beralih kepada Norton pula. Suatu ketika dulu, dia pernah mengimpikan untuk memiliki motosikal klasik sebegitu.

            “Itu Norton yang pertama dijual di Perak. Ayah aku membelinya daripada seorang kerabat Di Raja.” Saat Putra terbongkok-bongkok meneliti motosikal klasik itu, tiba-tiba dia disapa seseorang. Pantas dia berpaling ke arah suara itu.

            “Bos!” Putraterperanjat besar. Lelaki yang sudah bertahun tidak keluar dari bilik tercegak di hadapannya. Rupa lelaki itu persis Sasterawan Negara, A. Samad Said dengan rambut panjang, kumis dan janggutnya serba putih.

            “Motor itu seusia Perang Dunia Kedua,” jelas Kamarul lagi. Wajahnya nampak tenang.

            “Big 4, satu jentera dua roda yang lasak.” Putra mengikut rentak. Senyuman kembali melirik di bibirnya. Nyata dia juga serba sedikit mengetahui tentang motosikal yang mengikut sejarahnya mula dibina di Birmingham, United Kingdom pada tahun 1898. Jentera dua roda itu terkenal dengan kelasakannya dan pernah digunakan sebagai kenderaan ketenteraan sewaktu Perang Dunia Kedua dahulu.

            “Tapi sayang, sudah sekian lama ia tidak menderu di jalanan. Enjinnya perlu diperbaiki.” Kamarul bersuara lagi. Nada suaranya sedikit kesal. Punggungnya dilabuhkan pada sebuah kerusi kayu.

            “Itu pula Mini Cooper Morris buatan 1974. Tak banyak ada di Malaysia. Aku tukar Toyota AE86 aku dengan seorang mekanik di Ipoh. Waktu itu aku dah tak larat nak berlumba di jalanan lagi.” Kamarul merujuk kepada sebuah kereta yang berwarna merah saga. Putra mengangguk kepalanya. Dia sememangnya tahu akan model itu kerana ayahnya dulu juga mempunyai sebuah kereta yang cute itu.

            “Yang kau selalu bawa kat luar itu pulak Volkswagen Type 2 atau lebih dikenali sebagai Kombi. Dekat US dipanggil Bus, tapi di Uk dipanggil Camper. Dibina oleh kejuruteraan Jerman selepas Type 1 yang semua orang panggil Beetle atau kereta kura itu.” Kamarul menjelas lagi. Nyata pengetahuannya tentang kenderaan tinggi sekali. Putra sekadar memasang telinga.

            “Dulu waktu aku muda-muda sebaya kamu, aku sering gunanya untuk tour band muzik aku. Dah keliling hamper satu Semenanjung Malaysia. Cuma Kelantan dan Perlis sahaja band aku tak sempat masuk, sebab isu halal-haram dan isu domestik. Paling aku ingat waktu main mini konsert di Pantai Batu Buruk, Terengganu. Tak silap aku waktu itu Pesta Pantai. Kami berempat berhimpit tidur dalam van itu, sebab tak cukup duit nak sewa hotel. Waktu itu, aku tak dapat support dari ayah aku, sebab dia marah aku main muzik. Ayah aku orang kuat agama kat sini dulu. Tapi, harta pusakanya akhirnya jatuh jugak kepada aku sebab aku dua beradik saja. Tanah ini, rumah, duit simpanan dalam bank, sebuah bot layar… semualah harta dia jatuh kepada aku. Sebahagian lagi, adik perempuan aku dapat. Aku berhenti main band, aku besarkan sikit rumah pusaka ini jadi rumah tumpangan. Itu yang wujudnya Blue Inn ini.” Kamarul terus bercerita tentang perihal kenderaan itu yang membawa kepada kisah lampaunya dan asal-usul terbinanya Blue Inn. Entah mengapa dia menjadi ringan mulut sebegitu? Padahal dia tidak mengenali pun Putra. Putra cuba menjadi pendengar yang setia. Walaupun dia terkejut dengan kemunculan Kamarul itu, namun hatinya gembira kerana akhirnya dapat berjumpa dengan Kamarul. Paling menggembirakannya, Kamarul tidak lagi menyembunyikan dirinya.

            “Boleh saya baiki kedua-duanya?” Pinta Putra. Kamarul memandang tepat ke wajahnya. Wajah lelaki lewat 50-an itu berubah sedikit serius. Putra mula terasa kecut. Perlahan-lahan kemudian, Kamarul mengangguk kepalanya. Putra tersenyum lega. Satu semangat kini terkumpul dalam dirinya.

            “Terima kasih. Saya akan mulakan dengan Norton ini dahulu,” jelas Putra sambil menepuk lembut kusyen jentera dua roda itu dengan wajah girang. Kamarul sekali lagi mengangguk kepala.

            “Kamu boleh minta bantuan Ah Chong di pekan Pangkor. Dia tahu semuanya,” ujar Kamarul  kemudian. Giliran Putra pula mengangguk kepalanya, bersetuju.

            “Bos tentu dah lapar, jom kita ke dapur. Ika balik lewat sikit hari ini,” ujar Putra selepas menyedari waktu sudah melewati masa makan tengah hari. Sebelum keluar tadi, Ika telah berpesan kepadanya supaya menghantar makanan tengah hari ke bilik Kamarul. Kamarul mengangguk kepalanya. Mereka kemudian beriringan melangkah ke arah ruang dapur Blue Inn.

            Tengah hari itu pertama kali Putra melayani Kamarul makan. Kemesraan antara mereka mula terjalin. Mereka meneruskan perbualan sambil menikmati hidangan yang telah siap dimasak oleh Putra sejak awal lagi.

            “Kenapa kamu datang ke sini? Di sini bukannya ada apa-apa. Hanya sebuah rumah tumpangan yang usang.” Kamarul bersuara kembali.

             Putra mengukir satu senyum panjang. Masih terngiang-ngiang di telinganya, soalan itu pernah ditanya oleh Amran dan Jessica. Satu hela nafas ditariknya.

            “Sebenarnya, di sini ada apa yang saya cari,” jawab Putra.

            “Apa dia? Wang ringgit?” usul Kamarul kemudian.

            “Satu benda yang lebih berharga daripada wang ringgit.” Putra menyusun kata-katanya dengan teliti. Dahi Kamarul sedikit berkerut tatkala mendengar kata-kata Putra itu.

            “Manusia zaman sekarang hamba duit. Mengatakan ada yang lebih berharga dari wang ringgit adalah suatu yang penuh kepura-puraan,” ungkap Kamarul dengan wajah yang sedikit serius.

           “Betul, masa kini wang itu raja. Tapi, kemewahan tak menjamin kebahagiaan. Ada orang banyak dui, tapi hidupnya tidak tenteram. Ada pula orang itu tak berduit, tapi hidupnya tenang. Kesimpulannya, ketenangan itu tak boleh dibeli.” Putra menyusun kata-kata balasnya dengan tenang. Kamarul terdiam buat seketika. Seperti dia mula bersetuju dengan Putra.

           “Tempat ini makin hari makin sunyi. Aku tak nampak apa-apa kelebihan lagi di sini.” Kamarul berkata separuh mengeluh selepas beberapa ketika terdiam. Putra sekali lagi tersenyum sendirian tatkala mendengar keluhan Kamarul itu.

            “Kesunyian itu kita boleh isinya dengan keriangan jika kita mahu. Mencipta keriangan bukan hanya disebabkan satu perkara. Banyak punca boleh kita ciptakan keriangan. Mahu tak mahu sahaja. Jika mahu terus dengan dibelenggu sejarah lalu, pasti tak mungkin kita akan boleh mencipta sejarah baru.” Putra berhujah. Hujahannya itu membuatkan Kamarul sedikit tergamam. Lama juga dia terdiam. Seperti dia sedang  mencari kebenaran kata-kata Putra itu. Seperti juga kesangsiannya terhadap diri Putra sedikit demi sedikit disingkirkan.

            “Moga esok semua itu akan berubah, bos” ungkap Putra dengan lembut selepas melihat Kamarul terdiam. Ada sedikit kerisauan dihatinya bila melihat Kamarul begitu, bimbang Kamarul terasa hati dengan kata-katanya tadi. Niatnya tidak lain, hanya cuba untuk  memberi kembali semangat dan keyakinan kepada Kamarul.

            Kamarul masih terdiam. Dia masih memikirkan apa yang telah diucapkan oleh Putra sebentar tadi. Dia mula sedar, selama ini dia telah mengambil jalan yang tidak betul. Seharusnya dia menunjukkan ketabahan kepada anak-anaknya, bukan meratapi kesedihannya.

            “Saya dah balik,Putra sudah hantar makanan kepada… eh, ayah!” Ika yang baru pulang dari sekolahnya sungguh terkejut dengan apa yang dilihatnya. Manakan tidak terkejut, sudah 17 tahun ayahnya tidak keluar dari bilik. Tapi hari ini, ayahnya di depan mata di ruang dapur itu. Kamarul memaling wajahnya kepada Ika. Satu senyum diukirnya kepada Ika.

            “Alhamdullilah,”ucap Ika terus mendapatkan Kamarul dan mencium tangan ayahnya itu. Dia menjeling ke arah Putra dan meminta kepastian daripada Putra dengan Bahasa wajahnya. Sungguh dia tertanya-tanya bagaimana Putra berjaya membawa ayahnya keluar dari bilik? Sedangkan bertahun-tahun dia dan adik-adiknya cuba membawa ayahnya itu keluar dari bilik. Pelbagai cara telah dilakukan mereka, namun ayahnya itu tetap pendirian dan keras kepalanya. Putra sekadar mengangkat bahu sambil tersenyum.

            “Tak dengar pun bunyi motor Ika balik tadi,” kata Putra selepas itu.

            “Motor buat hal.Tinggal kat sekolah,” balas Ika selepas meneguk minuman sirap yang dihulur kanoleh Putra. Raut wajahnya jelas dia kepenatan.

            “Habis itu, macam mana Ika balik?”

            “Kawan hantar,” jawab Ika malu-malu.

            “Oh, Cikgu Saiful eh?” Putra mengusik.

            Ika yang tertunduk malu mengangguk sedikit kepalanya.

            Mereka bertiga kemudian menikmati makan tengah hari dengan riang. Banyak gelak tawa yang telah kedengaran di ruang itu.


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan