Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,655
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

PAGI menjelma. Putra sebelum subuh lagi sudah bangun walaupun dia yang paling lewat melelapkan mata malam tadi. Lelapnya cuma beberapa jam sahaja. Rutin yang cuba dibiasakannya, menyibukkan diri di ruang dapur menyediakan sarapan. Ika kemudian muncul di situ.

              “Selamat pagi,” ucap Putra dengan senyuman semekar mentari. Satu semangat baru telah meresap dalam tubuhnya.

              Ika sekadar membalas dengan satu senyuman hambar. Barangkali masih terkesan dengan peristiwa malam tadi. Dia kemudian membancuh minuman tanpa bersuara. Selang beberapa minit, Ima pula muncul. Sekali lagi Putra mengucapkan selamat pagi dengan wajah riangnya, tidak mahu peristiwa malam tadi mengganggu mood dan berlajutan membawa ke hari itu.

              “Selamat pagi Abang Putra, selamat pagi Along,” balas Ima. Kali ini Ika memberi tindak balas dengan mengucapkan kata yang sama kepada adiknya itu. Kemudian muncul Jessica pula. Satu senyuman juga diberi Putra kepadanya. Namun, Jessica masih dengan kedinginannya.

              “Awal bangun Cik Jessie?” Soal Ima.

              “A’ah, tidur tak berapa lena malam tadi.” Jessica membalas. Daripada nadanya ada sedikit keluhan. Nampak juga dia sedikit lesu.

              “Kenapa? Aircond tak berfungsi ke?” Soal Ika pula. Risau juga dia takut-takut Jessica tidak selesa menginap di situ. Maklum sahajalah musim panas sedang berlangsung. Dia sendiri sampai ke tahap kesejukan maksimum penghawa dingin dipasangnya.

             “Aircond okey, tapi entahlah… pasal kerja saya kut.” Jessica menjawab sambil menarik sebuah kerusi di meja makan dan melabuhkan punggungnya.

             “Oh.” Pendek sahaja daripada Ima. Soal peribadi pengunjungnya tidak mahu dilanjutkan dengan soal jawab yang berjela.

              “Wah, nasi dagang! Di Perak? Amazing!”Jessica memuji saat dia membuka tudung saji. Wajahnya berbunga. Setahunya hidangan itu popular di Terengganu. Pandangan Ika dan Ima secara automatik berkalih tatkala mendengar kata-kata Jessica itu. Pantang mereka mendengar tentang makanan yang sedap. Lebih-lebih lagi makanan tradisi satu masyarakat di Malaysia.

              “Siapa yang masak ini?” Soal Jessica lagi.

               Ima dan Ika segera melurus jari telunjuk mereka ke arah Putra. Putra sekadar mengukir sengih, menampakkan giginya yang tersusun rapi. Bunga-bunga di wajah Jessica perlahan-lahan layu. Entah apa yang tak kena dengan Putra dimatanya?

               Ima laju sahaja menyenduk nasi ke pinggannya dan kemudian terus menyua ke mulut. Lupa sudah pada disiplin dietnya sejak berminggu yang lalu. Rasa segan kepada tetamu juga hilang begitu sahaja. Ika juga menurutinya.

               “Wah, sedapnya! Mana Abang Putra belajar resepi nasi dagang ini? Aroma dan rasanya macam original dari tempat asalnya. Bukan seperti nasi dagang yang Ima selalu beli di pasar malam.” Ima mengulangi soalannya semalam bersama kata-kata pujian. Manakala Ika terangguk-angguk kepalanya, tanda menyokong pendapat adiknya itu.

               “Err… abang belajar dengan mak abang dulu. Mak abang memang asal Terengganu.” Putra sedikit tergagap menjawab soalan itu.

                “Oh, patutlah. Betul-betul sedap rasanya.” Ima terus dengan kata pujian.

                Jesssica yang masih berperang dengan egonya sedaya upaya menahan untuk berkata-kata walaupun hatinya serupa Ika dan Ima. Namun, wajahnya tidak dapat menyembunyikan perasaan itu. Hidangan  itu sememang tak boleh dinafikannya sungguhs sedap walaupun dimasak oleh seseorang jejaka yang kalau dilihat dari segi gayanya  seperti pegang senduk pun tak pandai. Jadi, peribahasa Inggeris don't judge book by its cover kini difahaminya lebih dalam lagi.

               “Terima kasih,” balas Putra dan secara automatik hidungnya juga bertindak balas refleks. Hidung siapa tak kembang weh kalau dipuji seperti itu?

                Nasi dagang Terengganu itu nyata telah mengembalikan semula mood di Blue Inn pagi itu. Mereka berserapan dengan  girang seolah-olah tiada apa yang berlaku malam tadi. Saling usik-mengusik antara satu sama lain. Jessica juga seperti sudah hilang rasa kekoknya walaupun baru mengenali Ika dan Ima. Namun, sikapnya terhadap Putra masih tidak berubah.

               Putra dan Ika kemudian meninggalkan Ima dan Jessica yang masih rancak berceloteh. Putra ke bilik Amran dan Indra, manakala Ika pula ke bilik ayahnya. Sarapan pagi perlu dihantar mereka berdua kepada tiga lelaki yang berbeza usia tapi satu perangai itu. Kalau dah sama berkurung seperti banduan, satu perangailah kan?

              Putra menolak troli yang terisi dua set sarapan pagi. Langkahnya menuju ke bilik Amran terlebih dahulu. Sejak peristiwa malam tadi, Amran tidak menampakkan dirinya. Pintu bilik Amran diketuknya. Selepas menunggu seketika, Amran membuka pintu dengan bingkai mata yang masih bengkak. Tubir bibirnya juga sudah menampakkan kebiruan.

             “Encik Amran, saya bawakan sarapan pagi,” ujar Putra, cuba untuk bermanis muka walaupun ada sedikit rasa jelik dengan sikap lelaki bandar itu sebelum ini. Amran yang masih mamai sekadar menggangguk. Dia menyambut huluran daripada Putra dan menutup semula pintu biliknya. Putra sedikit terpinga  melihat Amran berlalu begitu saja tanpa ucapan terima kasih.

            “Okey, terima kasih,” ucapnya kepada diri sendiri. Tak mahu melayan sikap kurang sopan Amran itu, dia menolak troli itu pula ke arah bilik Indra yang terletak paling hujung dan sedikit tersorok. Lumrah anak remaja yang mahukan lebih privasi. Pintu bilik tidur anak remaja berusia 18 tahun itu diketuknya. Fikiran Putra masih mengingati sikap Indra terhadapnya malam tadi. Namun, sedikitpun dia tidak berasa hati. Dia faham keadaan emosi Indra ketika itu.

            Selepas menunggu berapa ketika, bunyi kunci tombol dibuka. Namun, tidak pula pintu itu dibuka. Memaksa Putra menolak sedikit pintu itu. Dari celah bukaan pintu dia dapat melihat Indra yang menguap panjang dan duduk di birai katil.

           “Selamat pagi, abang ada bawakan sarapan untuk Indra. Boleh abang masuk?” ucap Putra dengan lembut. Indra tidak memberi apa-apa respons. Dia merebahkan semula tubuhnya ke tilam. Seolah perangai malas bangun pagi anak sekolah masih sebati dalam dirinya.

            Tanpa dijemput Putra masuk ke perut bilik bujang itu. Matanya melilau ke sekeliling. Sekilas teringat dia kepada rupa biliknya sewaktu awal remaja dahulu, tidak ubah seperti bilik Indra itu. Di dinding penuh dengan tampalan poster band-band muzik kegemaran.

            “Wah, A.C.A.B, Rancid, The Interrupters, The Bussines, The Official, Root and Boot, peminat skinhead, ska dan punk sejati rupanya Indra ya! Siga Saga! Siga Saga! Yeah, Punk is not Dead!” Putra membilang setiap poster yang tertampal dengan perasaan yang teruja.

           Bilik budak lelaki juga tidak sah kalau tidak ada poster-poster atau merchandise pasukan bola sepak kegemaran, kecualilah kaki bangku yang tak minat bola. Atau juga budak hipster yang lebih suka membelek diri di depan cermin seperti budak-budak perempuan yang dihantui barang mekap dan fesyen sepanjang hidup. Mungkin disebabkan terlebih DNA feminin.

         “YNWA! Walk on, walk on, with hope in your heart, and you’ll never walk alone. Abang pun peminat Liverpool!” Putra terus menunjukkan keterujaannya selepas terpandang poster gergasi Steven Gerrard. Sempat juga dia menyanyikan bait-bait lirik lagu rasmi pasukan bola sepak itu. Bersemangat sekali.

          Indra sudah tahu tentang itu kerana pernah tercuri dengar Putra bersiul melodi lagu itu ketika mandi di bilik air. Sememangnya mereka berdua berkongsi satu bilik air. Namun, tiada juga reaksi daripada si budak skinhead itu. Dia hanya membungkam dengan bola matanya tak berkelip merenung siling. Seolah-olah fikirannya sedang kosong.

         Putra menapak lagi jauh ke dalam bilik itu, ke arah satu rak di satu sudut. Banyak koleksi cd muzik tersusun di atas rak itu. Kebanyakkan cd-cd band skinhead, ska, punk dan band-band rock 80-an dahulu.

         Di sebelah rak itu pula ada sebuah rak yang lain. Bersusun buku-buku fotografi dan seni filem di atas rak itu bersama koleksi novel urban dan indie.Di rak bahagian bawah pula, tersusun dengan rapi majalah hiburan dalam dan luar negara. Indra rupanya juga seorang yang gemar membaca. Juga seorang kolektor.

         Pandangan Putra melilau pula ke arah meja tulis. Beberapa keping foto dilihatnya terlekat pada satu board di hadapan meja tulis itu. Di satu sudut lain pula tersandar sebuah gitar elektrik Epiphone SG berwarna hitam.

         Lagu Bangun dari band A.C.A.B, sebuah band skinhead paling ulung di Malaysia suatu ketika dahulu sayup-sayup berkumandang dari speaker laptop di atas meja. Barangkali dari malam tadi laptop itu terpasang kerana terasa bahangnya pada meja.

         Selepas puas mencuci mata, Putra tersenyum sendirian. Susun atur dan segala barang di dalam bilik bujang Indra itu cukup menggamit kenangan kepadanya. Dia kemudian kembali semula ke troli dan mengambil dulang yang terisi pinggan nasi dagang dan secawan kopi. Dulang itu disuakan kepada Indra.

        “Bangun makan, dah hampir pukul 10 ni. Tak elok biar perut kosong,nanti penuh dengan asid gastrik pulak,” ungkap Putra mengambil semangat lagu Bangun yang sedang berkumandang. Dalam kemalasan Indra bangun semula dari baringannya. Makin jelas kelihatan warna kebiruan di tepi bibirnya, kesan tumbukan Jamal malam tadi. Dalam keterpaksaan dia menyambut huluran Putra. Putra mengukir seulas senyum tatkala melihat reaksinya itu. Faham benar dia dengan semangat memberontak anak remaja. 

         Indra mula menyudu nasi dagang itu ke mulutnya, namun kelihatan sedikit payah untuk mengunyah. Impak daripada tumbukan padu dan tepat Jamal, bibir dan gusinya juga pecah.

        “Kunyah perlahan-lahan. Nanti abang ambil ais, tuang pada lebam itu,” kata Putra persis seorang ayah atau ibu memujuk anak manjanya. Tanpa dijemput Putra melabuh punggung pada kerusi di meja tulis, betul-betul mengadap Indra yang duduk di birai katil. Dia memerhati Indra makan dengan senyuman yang melirik panjang.

       “Sedap?” Soal Putra lagi, tak jemu dia untuk mendorong Indra agar berasa selesa dengannya.  Indra mengangguk sedikit kepalanya. Senyum puas terukir di bibir Putra. Usahanya menampakkan tanda positif. Sememangnya dia mahu memenangi hati Indra terlebih dahulu. Pandangannya berkalih semula.

       “Cantik gambar-gambar di board itu. Sekata pengimejannya. Indra yang hasilkan semua gambar itu?” Putra terus menyusun ayat-ayat untuk menarik perhatian Indra. Pujian itu bukan sekadar mengambil hati sebenarnya, tapi juga ikhlas dari hatinya. Gambar-gambar itu sememangnya cantik. Indra sekali lagi mengangguk kepalanya.

        “Tona warna setiap gambar itu hampir sempurna. Angle gambar-gambar itu diambil juga ada nilai kreativitinya, cukup kreatif dan ada kehalusan seninya.” Putra mengungkap lagi. Tutur katanya seolah dia seorang yang mahir dalam bidang itu.

       “Tahu seni fotografi juga ke?” Indra bersuara buat pertama kali, dalam kepayahannya untuk membuka mulut. Putra mengalih pandang kepadanya semula. Satu lagi senyuman diukir kepada Indra. Satu senyuman yang benar-benar ikhlas dari lubuk sanubari seorang abang persisnya.

        “Dulu abang ada juga belajar sikit-sikit tentang fotografi daripada kawan abang. Pernah juga bantu dia buat kerja-kerja fotografi secara sambilan,” balas Putra. Walaupun sebahagian jawapannya itu hanya direka-reka, tapi tetap ada kebenaran dalam jawapannya itu. Kata orang menipu sunat.  

         Indra selepas itu  kembali diam. Dia sekadar menikmati nasi dagangnya. Nampak dia berselera dengan hidangan itu.

         “Kata Ima, Indra juga minat buat filem pendek ya?” Putra tidak mahu suasana yang sedang berbangkit mesra itu kembali berubah hambar. Sekali lagi, Indra mengangguk kepalanya.

        “Wah, bagus! Kata Ima juga Indra sedang menunggu jawapan untuk sambung belajar di bidang itu, betul ke?” Soal Putra lagi, terus membina keselesaan untuk berkomunikasi.

        “Betul, sedang menunggu jawapan daripada UiTM,” jawab Indra. Mulutnya mula ringan.

         “Course?”

         “Teknologi Kreatif Skrin.”

         “Moga-moga Indra akan berjaya ke sana nanti,”

         "Terima kasih."

          Putra mengukir senyum. Usahanya untuk membina kemesraan dengan Indranampaknya menuju  ke laluan yang betul.

          “Okeylah, Indra pun dah sarapan. Abang tak nak ganggu Indra berehat. Nanti kita berbual lagi. Abang pun nak belajar juga teknik mengambil gambar daripada Indra, sebab abang dulu tak sempat khatam dengan kawan abang tu. Mana tahu juga boleh menjadi pelakon dalam filem pendek Indra nanti.” Putra meminta izin untuk kembali ke dapur. Sempat juga dia berbuah senda. Indra mengukir senyum. Walaupun pendek, sudah cukup untuk melegakan hati Putra.

         “Bang, terima kasih pasal malam tadi.” Ucapan itu hadir dari mulutIndra saat Putra mahu melewati pintu bilik. Putra mengangguk dengan senyuman. Senyuman yang makin lebar.

        “Terima kasih juga untuk sarapan yang best ini. Tak pernah saya makan nasi dagang sesedap ini,” ucap Indra lagi.

        “Sama-sama. Kalau mahu makan yang lagi best, nanti tengah hari datang ke dapur ya.” Putra membalas dengan satu dorongan.

        “Okey,” balas Indra dengan anggukan.

         Putra kembali ke dapur dengan hati yang girang dan penuh kelegaan. Ketika dia melewati pintu dapur, dilihat Ika juga sudah kembali ke ruang itu. Namun,  si dara 25 tahun itu tidak menyedari kehadirannya kerana sedang tekun membasuh pinggan mangkuk di singki. Jessica dan Ima sudah menghilang entah ke mana.

        Tidak mahu mengganggu Ika, Putra melangkah perlahan ke arah pintu yang ternganga mengadap lautan luas. Dia kemudian bersandar pada bingkai pintu itu. Matanya dihantarkan ke lautan luas. Suasana pagi sungguh menenangkan. Anak matanya asyik melihat riak ombak yang beralun di pinggir pantai. Deburannya ibarat melodi iringan yang indah. Kelihatan juga burung-burung laut berterbangan memulakan rutin kehidupan.

        Selesai membasuh pinggan di singki, Ika berpaling dan sedikit terkejut apabila terpandangkan Putra. Buat seketika dia merenung Putra yang termenung sepi.

        “Macam mana? Dah bangun mereka?” Tegur Ika selepas puas merenung Putra.

        “Hah?” Putra sedikit tersentak dari lamunannya, seraya dia berpaling kepada Ika.

        “Guest kita dah bangun?” Tukas Ika dengan aturan kata yang baru.

        “Dah, baru bangun,” jawab Putra. Mata mereka bertemu. Ika entah mengapa jadi malu bila bertembung mata sebegitu. Dia pantas melarikan arah pandangannya.

        “Indra?” Soal Ika ketika menyembunyikan rasa malunya.

        “Indra pun dah bangun. Habis sepinggan nasi dagang dijamahnya,” jelas Putra lagi. Senyum kelegaan masih melekat di bibirnya.

        “Alhamdulillah. Ayah pun begitu. Okeylah saya ke depan dulu,” ucap Ika sebelum berlalu pergi meninggalkan Putra di ruang itu.

         Putra tersenyum sendirian melihat riak-riak malu Ika yang masih bersisa di wajahnya. Sepintas dia menjeling satu potret yang tergantung di satu sudut dinding dapur. Satu hela nafas kemudian dilepaskan. Seperti dia menyerap satu aura positif  ke dalam jiwa dan raganya.  

         "Everythings gonna be allright, Nona Manis..." cetusnya kepada gadis di dalam potret itu. 





Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan