Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,469
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

MALAM itu, persisir pantai di hadapan Blue Inn itu diterangi cahaya dari unggun api. Aktiviti barbeku yang baru sahaja ditambah dalam pakej perkhidmatan Blue Inn telah bermula. Putra dan Amran sibuk membakar ayam, daging, ikan, udang dan sotong di atas dapur bara. Dibantu oleh Indra yang menguruskan pinggan,cawan dan minuman. Ika dan Ima kemudian muncul dengan membawa bekas yang berisi nasi goreng.

            Riuh-rendah suara di perkarangan Blue Inn malam itu. Riang mereka menikmati hidangan yang baru dibakar bersama nasi goreng. Cuaca juga elok dengan langit digemerlapkan dengan bintang-bintang yang indah. Ditambah pula angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, sungguh tenang dan damai sekali suasana malam itu.

            Suasana menjadi lebih meriah apabila Putra berlagu dengan gitar Kapoknya. Indra juga menyertainya dengan sebuah lagi gitar. Esther yang pada mulanya malu-malu kemudian juga menunjukkan bakat nyanyiannya. Nyata betul apa yang dikataka nrakan-rakannya. Gadis genit dari Sabah itu mempunyai suara lunak dan merdu. Jessica dan pelajar UMT yang lain turut bernyanyi bersama mereka sambil bertepuk tangan. Riang mereka bukan kepalang dirai sebegitu.

            Sementara Putra dan Indra berlagu, Ika dan Amran mengambil tugas di dapur bara. Amran tersenyum sendirian melihatkan suasana itu. Dia betul-betul rasa gembira malam itu. Tidak pernah dirasainya pengalaman itu selama ini walaupun dia datang dari keluarga berada yang mampu serba-serbinya.

           Tak disedarinya Ika yang betul-betul mengadapnya sedang merenung. Dia kemudian jadi malu sendiri bila matanya menyabung mata Ika. Tercuit hati Ika melihat telatah malu-malu kucingnya itu.

            “Amran gembira?”

            Amran menggangguk. Rasa malu masih menguasainya. Entah mengapa setiap kali menatap wajah Ika dia tewas. Kalau dulu ramai wanita yang tewas dengannya dalam pertandingan permainan mata seumpama itu.

            “Ika juga,” balas Ika dengan senyuman yang lebih manis. Cair hati  Amran seketika melihat senyuman yang menghiasi dua bibir Ika itu. Dirasakannya lebih manis daripada senyuman mana-mana gadis yang pernah ditemuinya sebelum ini. Jauh lebih menawan daripada Sharmine, pastinya.

            “Apa perasaan Amran sekarang?” Soal Ika lagi.

            “Boleh panggil saya Am aje”

            “Okey, apa perasaan Am sekarang?” Ika menukas kembali soalannya dengan senyuman.

            “Hmm… damai dan cukup tenang.”

            Amran selepas itu seolah-olah khayal dibuai suasana. Matanya terpegun kepada wajah manis Ika. Dirasakan saat itu Ika lebih cantik daripada gadis-gadis kota yang pernah ditemuinya.

            “Kenapa tenung Ika macam itu?” Ika yang sedikit pelik dengan tingkahnya itu segera menegur.

            “Oops, sorry…” Amran tersedar dari lamunan sepinya. Pantasjalur-jalur merah muncul di wajahnya. Tercuit lagi hati Ika melihat telatahnyaitu.

            “Masih di sini atau dah ke bulan?” Senda Ika. Amran tertawa kecil. Warna malu makin jelas di wajahnya. Ika ikut ketawa.

            Keriangan di persisiran pantai itu berterusan. Mereka menikmati keenakan menu bakar yang hangat dan kaya dengan protein. Ditambah pula bahan-bahan itu telah diperap  

rempah-ratus yang sempurna. Rasanya sungguh menyelerakan. Nyata Putra seorang yang cukup berbakat dalam seni dapurnya.

            Keraian itu berakhir tepat jam 12 malam. Kelima-lima pelajar UMT sudah pulang ke bilik masing-masing. Begitu juga Ika, Ima dan Indra. Amran pula memberi alasan untuk ke tandas, padahal sebenarnya dia bermalas-malasan dan sengaja mahu mengenakan Putra, membalas dendam apa dilakukan oleh Putra terhadapnya sewaktu bermain bola tampar pantai petang tadi. Tinggallah Putra seorang diri mengemas ruang barbeku itu.

           Menyedari Putra masih di situ Jessica datang menghampirinya. Dia seperti mencari peluang untuk berbual dengan Putra. Seperti juga kedinginannya telah dihangatkan. Lantas dia mengambil peluang membantu Putra mengemas tapak barbeku itu.

          Putra sekadar mengukir senyum melihat tingkahnya itu. Rasa pelik tidak sempat muncul di fikirannya kerana rasa gembira terlebih dahulu menyingkirkan rasa itu. Selepas selesai mengemas,mereka berdua duduk  di hamparan pasir mengadap unggun api yang masih hangat membakar. Nyata batang rhu mati yang menjadi kayu unggun api itu mampubertahan lama.

          “Cik Jessica esok check out ya?” Soal Putra menyedari malam itu malam terakhir Jessica di Blue Inn.Walaupun sudah beberapa hari Jessica menginap di situ, tujuan sebenar kedatangan gadis peranakan Cina itu tidak diketahui. Yang jelas di matanya, Jessica bukan seperti Amran yang mencari kedamaian di pulau itu.

           “Awak boleh panggil saya Jessie sahaja. Rimaslah bercik-cik ini. Ya, esok saya akan balik ke Ipoh. Tapi, saya akan datang lagi ke sini. Maybe dua minggu lagi,” sambut Jessica sambil bersahaja melepaskan ikatan rambutnya. Rambutnya itu kemudian terbuai-buai ditiup bayu malam. Menyerlahkan lagi kejelitaannya.

           “Oh, ya ke? Urusan Jessie di sini belum selesai ya?”

           “Begitulah,” balas Jessica. Wajahnya berubah sedikit hambar.

           Melihat reaksinya itu, Putra tidak mahu bersoal lebih lanjut.

           Masing-masing terdiam sejenak. Mengisi ruang yang tenang itu dengan bunyi-bunyi irama alam dan malam.

           “Kenapa awak nak jadi beach boy di sini?” Jessica memecah kebisuan itu.

            Putra tersenyum. Firasatnya yang mengatakan Jessica itu seorang wartawan kembali ke kotak fikirnya. Cara Jessica menyoalnya itu jelas menampakkan ciri-ciri seorang wartawan. Siapa lagi suka bertanya soalan kalau bukan wartawan?

           “Jessie sedang tulis kisah budak pantai ke?” usik Putra sepintas.

           Riak wajah Jessica sedikit berubah, namun secangkir senyum terukir di bibirnya. Walaupun dalam kesamaran malam, senyum itu menyerlahkan satu lekuk kecil di pipinya.

Kemudian, lambat-lambat Jessica mengangguk.

           “Really?” Putra jadi teruja.

           Jessica sekadar mengiyakan dengan satu sengihan.

           “Kenapa awak nak jadi budak pantaidi Blue Inn ini?” Jessica kemudian menukas kembalis oalannya, mula terikut-ikut dengan frasa yang disebut oleh Putra. Riak wajahnya memberi isyarat betapa dia masih menunggu jawapan daripada Putra.

           “Hmm, entahlah. Saya tak merancang apa-apa. Saya hanya datang sahaja ke sini untuk meneruskan hidup saya. Alhamdullilah, urusan saya tampak dipermudahkan oleh Yang Maha Pencipta.” Putra memberi jawapannya selepasmenarik satu nafas pendek.

          “Apa awak tahu tentang Blue Inn ini?” Jessica terus dengan kata tanya. Cukup berminat sekali dia dengan topik itu. Indra mula berasa sedikit pelik.

          “Err… saya baru sampai di sini. Jadi tak banyak yang saya tahu tentang rumah tumpangan ini,” jelas Putra dengan jujur. Soalan Jessica itu dirasakan tersirat sesuatu makna.

Jessica menunjuk wajah akur. Namun begitu, ada juga nafas hampa dilepaskannya.

          “Apa yang menyebabkan awak datang ke sini? Bukankah di KL lebih banyak peluang untuk membuat duit.” Jessica semakin rancak dengan soalan. Putra tertawa kecil. Entah berapa kali sudah dia ditanya soalan seumpama itu. Jessica mengerutkan sedikit dahinya kerana tiada apa yang lucu dalam soalannya tadi.

          “Saya dah penat dan bosan mengejar duit. Duit bukan segala-galanya.Banyak duit sekalipun, tak bermakna kita akan bahagia. Bak kata Nelson Mandela, Money won’t create success, the freedom to make it will.” Putra membalas. Ada nada sinis dalam jawapannya itu. Jessica terdiam seketika.Kata-kata Putra itu menujah terus ke fikirannya. Membuatkan dia terfikir Putra bukan seorang yang biasa-biasa, jauh meleset dari anggapannya ketika pertama kali memandang Putra beberapa hari yang lalu. Sebelum ini dia memandang rendah terhadap Putra.

          “Tapi mesti ada satu sebab spesifik yang mendorong awak ke sini?” Jessica seperti tercabar dengan jawapan yang telah diberi oleh Putra tadi. Putra melirik senyum   

lagi. Banyak senyum telah terbit di tubir bibirnya sepanjang hari itu. Sudah tidak terhintung dengan jemarinya. Perlahan-lahan dia berpaling kepada Jessica. Mata bertemu mata.

         “Itu… keindahan dan lautan yang luas itulah yang mendorong saya datang ke sini. Saya ingin menikmati keindahan ciptaan Ilahi di sini,” ungkap Putra. Ada bau-bau falsafah dalam kata-katanya itu. Jessica yang termalu, melarikan sedikit pandangannya ke lautan. Pintu hatinya makin terbuka untuk mengenali lebih jauh tentang diri Putra. Dirasakan ada sesuatu yang istimewa dalam diri Putra.

         “Pasti Jessie juga sebagai seorang wartawan datang ke sini disebabkan itu juga kan? Pasti keindahan di sini akan memberi Jessie ilham untuk menulis rencana atau laporan tentang keindahan di pulau ini.” Sekali lagi Putra mencipta kesimpulan sendiri.

          Senyum kelat terukir di bibir Jessica, serentak anggukan kepala. Seperti ada sesuatu yang berlegar-legar di benak fikirnya.

          Ruang sepi kemudian tercipta antara mereka. Masing-masing hanya melayan perasaan sendiri sambil menikmati keindahan malam. Bulan penuh cukup untuk menerangi lautan. Dari kejauhan kelihatan airnya yang beralun mengikutrentak bayu malam yang bertiup. Sesekali ombak berdesir seumpama ritma iringan bagi lagu alam itu.

         Jikalau Nikola Basic, iaitu seorang jurubina berbangsa Eropah datangke pulau itu, pasti Pulau Pangkor akan menjadi lebih terkenal seperti persisir laut Zadar di Croatia. Hasil sentuhan jurubina berpengalaman itu, telah terhasil satu instrumen alam yang dikenali sebagai Organ Laut atau dalam Bahasa tempatan disebut sebagai ‘Morske orgulje’. Dengan menggunakan kuasa angin dan ombak, Organ Laut yang dibina mengadap Laut Adriatic itu telah mengeluarkan bunyi-bunyian muzikal yang cukup mengasyikan sehinggakan mengubah lekuk-lekuk kerosakkan akibat peperangan yang pernah meletus di negara Balkan itu. Lokasi itu kini menjadi satu lokasi pelancongan tumpuan antarabangsa dan juga mengubati luka-luka warganya.

          Selepas beberapa ketika lagi menikmati keindahan dan ketenangan malam, kedua-duanya bangkit dari labuhan punggung dan kembali ke bilik tidur masing-masing.

          Tiba di biliknya, terus Putra merebahkan tubuhnya ke tilam. Kepenatanmula rasa menyucuk sendi dan seluruh tubuhnya. Amran ketika itu masih juga belum tidur.

          “Kau pergi mana?” Tegur Amran yang ketika itu sedang mengambil angina di jendela bilik sambil mencemarkan udara segar dengan asap rokoknya.

          “Pergi mana kau tanya aku? Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Mana lagi? Kemas apa yang patut ler!” Putra menempelak, panas juga hatinya. Mujur rasa panas itu diredakan oleh Jessica yang menemaninya.

           Amran menderai tawa. Puas hatinya dapat membalas dendam terhadap Putra.

           “Takkan mengemas sampai satu jam?” ungkap Amran di hujung tawanya.

           Putra mengukir senyum sinis. Pantas datang idea bergeliga untuk membalas dendam di fikirannya.

           “Aku swimming dengan Cik Jessica tadi. Fuh, Cik Jessieca seksi habis,” ujar Putra dengan lirikan senyum di bibirnya.

          “Biar betul kau? Kenapa tak panggil aku sekali?”

          “Betullah, buat apa nak panggil kau. Mengganggu ketenteraman aje!” Putra membalas. Rasa ingin ketawanya ditahan-tahan.

          “Bakhillah kau ni! Kedekut nak berkongsi pengalaman seindah itu dengan aku!” Amran yang terpedaya menunjukkan rasa tidak puas hatinya. Mudah sekali dia terpedaya. Kata orang, percaya memerut ibarat ikan menelan umpan sampai ke perut.

          “Oh, bab ini kau nak berkongsi pulak. Waktu aku kemas mengemas tadi, kenapa kau tak nak berkongsi?” Sekali lagi Putra menempelak. Wajahnya cuba disahajakan sebaik mungkin. Cukup bermutu sekali lakonannya. Kalau Mamat Khalid buat screen test, pasti mudah-mudah aje dia akan dapat watak utama filem pengarah itu seterusnya.

           Amran tersengih, mati kata.

          Akhirnya terburai jua tawa Putra melihat Amran sebegitu.

          “Sial punya member!” Letus Amran bila menyedari dia dikenakan oleh Putra.

          “Aku tak pergi swimming lah, just duduk berbual dengan Cik Jessica  di pinggir pantai,” Putra berterus terang.

         “Kau berbual apa lama-lama?” Amran kembali berasa teruja.

         “Hmm, tak ada apa-apa. Dia cuma tanya aku beberapa soalan, mungkin untuk penulisan rencananya tentang pulau ini.” Putra membalas acuh tak acuh. Seraya dia bangkit semula dari baringan dan mencapai tuala. Badannya rasa melekit. Selepas menanggal seluar dia berlalu ke dalam bilik air. Walaupun dia pernah membaca artikel tentang keburukan mandi lewat malam, dia terpaksa buat-buat lupa akan artikel itu.

         Seketika ditinggalkan Amran melayan perasan di tepi jendela sambil melampiaskan tabiatnya. Kepulan-kepulan asap dilepaskan ke udara. Anak mata Amran merenung jauh ke lautan luas. Dirasakan kekecewaan yang ditanggungnya beberapa hari lalu hilang entah ke mana. Fikirannya kini mula bersetuju dengan kata-kata Putra tempoh hari. Lautan luas di depan matanya itu telah menghadirkan ketenangan kepadanya. Baru dia mengerti, kata-kata Putra itu bukannya datang dari novel yang Putra selalu baca sebelum tidur.

          “Ingatkan dah buat peta Pulau Pangkor, belum lagi rupanya,” sindir Putra yang baru keluar dari bilik air. Dia kemudian menyarung seluar pendek sebelum mengelap rambut dengan tuala. Amran tidak memberi sebarang reaksi. Matanya masih dihantarkan ke lautan luas, menikmati bulan yang sedang mengambang. Persis seekor pungguk.

          “Kau ni kenapa?” Tanya Putra selepas melihat Amran masih kaku di tepi jendela. Amran menghabiskan hisapan terakhirnya sebelum membuang putung rokok keluar jendela, perlakuan yang cukup tak digemari Putra. Mujur Putra tak melihat dia berbuat demikian kerana sedang mengeringkan rambutnya dengan tuala. Kalau tak, pasti makan bebelan lah dia jawabnya.

          Perlahan-lahan kemudian Amran memusingkan tubuhnya dan melabuhkan punggung ke tilam. Dia bersandar pada dinding dan menyilangkan kedua-dua tangan di belakang kepalanya. Perlakuan Amran itu kelihatan sedekit pelik di mata Putra.

         “Sentimental pulak dia di keheningan malam ini,” keluh Putra lagi sebelum merebahkan kembali badannya ke katil. Sempat tangannya mencapai novelTenggelamnya Kapal Van Der Wijck tulisan Pak Hamka yang dipinjamnya daripada Ima dari pojok meja di sisi katilnya. Seakan dia malas untuk melayani Amran. Dia mula membaca sambungan bacaannya lewat malam tadi.

           Amran masih tidak memberi apa-apa reaksi, seolah-olah dia sedikitpun tidak mendengar keluhan yang keluar dari mulut Putra sebentar tadi. Matanya terus pegun kepada siling bilik. Sebenarnya, di fikiran Amran tika itu berlegar-legar wajah Ika.

           “Kenapa sepanjang tiga hari aku jadi customer di sini tak ada pun barbeku?”Tiba-tiba Amran bersuara selepas perkara itu sekilas lalu di kotak fikirnya, persis seperti satu serpihan meteor yang melayang lalu.

          “Apa dia?” Putra antara dengar dan tidak. Dia berpaling sedikit wajahnya kepada Amran. 

          Amran menukas sekali lagi soalannya.

         “Oh, jadi perkara itulah yang berlegar dalam fikiran kau tadi ya. Jawapannya mudah aje, sebab kau bukan special pun.” Pantas Putra memberi satu kesimpulan. Sememangnya sudah terpasang niat di hatinya mahu menyakat Amran.

         “Kurang asam!” Balas Amran sambil membaling bantalnya ke arah Putra. Putra yang sudah bersedia dengan kemungkinan itu pantas menepis bantal itu dengan tangannya. Berdekah tawa terbit dari mulutnta. Amran turut ikut ketawa, menggegarkan seketika ruang bilik bujang itu dan lebih banyak lagi kedengaran dekah tawa dari bilik dua orang budak pantai itu sebelum tabir sunyi mengirai.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan