Home Novel Keluarga BUDAK PANTAI
BUDAK PANTAI
Miko Yan
6/3/2019 11:54:14
79,368
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 17

ASSALAMUALAIKUM, saya sudah pulang,” ucap Putra dengan nada suara riang selalunya. Ketika itu Ima, Az dan Kamarul sedang berbual-bual di lobi.

              “Waalaikumussalam,” balas Kamarul, Ima dan Az serentak.

              “Apa yang rancak sangat tu?” Soal Putra.

              “Ni hah, berita tentang penahanan Ustaz Johari, penceramah terkenal itu.” Ima menjelas sambil menunjukkan tajuk muka depan sebuah akhbar.

              Raut wajah Putra terus berubah. Seakan dia sangat terkejut denganberita yang baru didengarinya itu. Pantas dia menyambut huluran surat khabar daripada Ima. Isi berita     tergempar itu dibacanya.

             Penceramah dan personalititv terkenal, Mohamad Johari Samad atau lebih dikenali sebagai Ustaz Joe telah ditahan oleh pihak berkuasa Jordan di sempadan Jordan-Syria   ketika cuba menyeberangi ke Syria. Bekas pemuzik terkenal itu sebelum ini telah diburu oleh pihak berkuasa Malaysia atas penglibatannya dalam aktiviti ektremis dan terroris. Jurucakap Wisma Putra mengatakan, Pihak berkuasa Malaysia sedang memohon daripda Kerajaan Jordan untuk mengekstradisinya ke Malaysia secepat mungkin untuk proses pendakwaan.

             Begitulah isi berita yang menghiasi halaman muka depan surat khabar perdana itu. Putra kemudian memberi semula surat khabar itu kepada Ima. Terus dia hilang kata-kata. Riak wajah riangnya juga berubah pudar. Ima, Ika dan Kamarul sedikit hairan melihat perubahannya itu.

            “Abang ke dapur dulu.”

             Putra terus berlalu begitu sahaja. Pelik sekali tingkahnya, cukup untuk membuatkan Ima, Az dan Kamarul saling berpandangan.

            Apa kena-mengena Ustaz Johari dengan Putra?

            Sebenarnya, lelaki itu sebelum ini pernah berkonflik dengan Putra. Konflik antara mereka berdua cukup tegang sekali. Kerana lelaki itu jugalah Putra mengambil keputusan ke pulau itu.

           Sungguh Putra tidak menyangka apa yang baru dibacanya. Tiba di dapur, dia meletak beg-beg plastik yang terisi barang dapur yang dibelinya sebelum pulang tadi ke atas meja. Fikirannya masih dikacau dengan apa yang baru dibacanya sebentar tadi.

          Dhea…

          Nama itu sekilas masuk ke kotak fikirannya. Rasa simpatinya tumpah. Pasti gadis itu kini cukup terkesan dengan apa yang telah terjadi. Sebelum dia membawa dirinya ke pulau itu, diketahuinya majlis perkahwinan gadis itu dengan Ustaz Johari akan dilangsungkan.

          Apakah Dhea dan Ustaz Johari sudah diijab-kabulkan? Atau mungkinkah majlis itu tak sempat berlangsung?

          Dua persoalan menyerbu ke benak fikirannya.

         Aduhai… hatinya mengeluh sepi.

        “Abang Putra, abang kena pergi ke jeti semula!” Tiba-tiba lamunan sepinya itu disentak oleh laungan Ima.

       “Err… apa dia?” Soal Putra yang antara dengar dan tidak dengar laungan Ima itu.

       “Abang Putra kena pergi ke jeti semula,” tukas Ima.

       “Kenapa? Sofea dan kawan-kawannya ada tertinggal barang ke?” Soal Putra kembali.

       “Dia ke mana?” Putra sedikit keberatan. Setahunya Amran tak ke mana-mana hari itu kerana Indra yang membawa Remy dan Marissa bersiar-siar di sekitar pulau.

        “Abang Am kena ke sekolah Along. Along telefon tadi minta tolong Abang Am kemas stor sukan sekolah.” Ima membalas.

        “Hmm, masak macam mana? Kejap lagi Encik Remy dan Puan Marissa mesti balik. Tak sempat abang nak masak kalau abang ke jeti,” ujar Putra menyatakan sedikit kerisauannya itu.

        “Soal masak kau jangan bimbang. Aku boleh ambik alih. Lagipun da hlama aku tak ke dapur.” Tiba-tiba Kamarul datang mencelah.

        “Az pun boleh bantu pak cik di dapur,” tambah Az pula, yang muncul bersama Kamarul.

       “Kalau begitu, okey,” kata Putra dan tanpa berlengah terus menapak ke arah van yang di parkir di halaman Blue Inn.

        Van itu meluncur semula ke arah jeti. Lima belas minit kemudian, Putra sampai di perkarangan jeti. Sepanjang perjalanan tadi fikirannya masih memikirkan nasib yang menimpa diri gadis yang bernama Dhea itu. Gadis yang sudah dikenalinya sewaktu sama-sama menyambung pelajaran di kota Tokyo dahulu. Hatinya gusar dan bimbang, takut-takut gadis itu tidak kuat untuk menghadapi situasi itu. Pernah terjadi sesuatu yang buruk kepada gadis itu sewaktu mereka berada di bumi negara matahari terbit dahulu ekoran daripada tekanan perasaan.

       “Aduh!” Putra menepuk dahinya sendiri.

        Lantaran terlalu memikirkan tentang gadis bernama Dhea itu, dia terlupa untuk bertanya siapa nama tetamu yang bakal dijemputnya. Satu masalah untuknya, kerana dia tidak memiliki telefon bimbit untuk menelefon Ima bertanyakan nama pengunjung itu.

        “Harap-harap Pak Abu ada di jeti,” Akhirnya dia mendapat satu solusi.Terbit secangkir senyum di bibirnya bila terpandang Toyota Lite Ace Pak Abu ada terparkir di satu sudut.

        Tak semena-mena dari kejauhan dia terlihat dua lelaki sedang bertikam lidah di bawah sebuah pondok menunggu. Seumpama cuaca yang membahang ketika itu, pertikaman itu juga agak panas dan salah seorang daripada lelaki itu ialahPak Abu. Pantas kakinya menapak ke arah pondok itu. Suara lelaki yang seorang lagi makin kuat menengking Pak Abu.

        “Kenapa Pak Abu?” Sapa Putra saat dia tiba di pondok itu.

        “Hah, inilah orang luar yang aku dengar menunjuk lagak di pulau ini sejak seminggu ini ya!” Belum sempat Pak Abu membalas pertanyaan Putra, lelaki yang menjadi lawan Pak Abu berdebat itu menempelak Putra dengan nada suara kasarnya.

        “Maaf pak cik, pak cik jangan cakap sebarangan,” balas Putra yang sedikit terpanar. Namun, nada suaranya masih cuba dikawal.

        “Kamu semua dengar, bukan main berlagak lagi dia. Suruh aku jangan cakap sebarangan. Mentang-mentang Blue Inn dah hebat sekarang, makin ramai yang datang berkunjung. Entah bomoh mana pulak mereka pakai kali ini? Ikut lojiknya, Blue Inn itu dah mati.” Lelaki berbadan sederhana dan bermisai tebal itu bersuara lagi seolah-olah mahu memperlekehkan Blue Inn pula. Putra sedikit tercengang. Dia merenung tepat ke wajah lelaki itu. Rasa hormatnya kepada lelaki itu terus hilang. Lebih-lebih lagi kata-kata lelaki itu disambut dekah-dekah yang seperti sengaja dibuat-buat oleh beberapa orang pemandu van yang turut berada di situ.

        “Pakai bomoh siam dalam cerita Hantu Kak Limah Balik Kampung kut. Sekali kena karate dengan Kak Limah,” tokok seorang lelaki berambut ekor kuda pula. Dekah tawa menjadi bertambah kuat.

         Putra mula menggenggam buku limanya. Di hatinya mula membara rasa geram. Tapi, dia kalau boleh tidak mahu menimbulkan kekecohan di situ. 

         "Pelancong bodoh saja yang pergi menginap di Blue Inn itu. Engkau pun sama bodoh! Apa yang ada di Blue Inn itu sampaikan kau sanggup kerja kat situ? Dua beradik itu dah bagi kau tidur dengan mereka ke? Bestlah kau dapat kongsi dua beradik tu!" Lelaki bermisai tebal itu terus bermulut lancang dan kali ini betul-betul menguji kesabaran Putra.

        “Astaghfirullahalazim, bawak mengucap Rani!” Tegur Pak Abu. Namun teguran Pak Abu itu hanya disambut dekah tawa oleh lelaki bernama Rani dan rakannya yang berambut ekor kuda itu. Seperti orang tiada agama lagak mereka.

         Tahap kesabaran Putra sampai ke puncak akhirnya. Dia memang pantang kalau maruah seorang perempuan dipermain-mainkan.

        “Buat pengetahuan pak cik-pak cik tua bangka yang busuk hati sekalian, yang datang menginap di Blue Inn sejak seminggu yang lalu ialah dari kalangan eksekutif, engineer dari Singapura, pelajar-pelajar universiti dan hari ini yang saya ingin jemput sebentar lagi khabarnya seorang peguam. Jadi kalau nak dibandingkan taraf mereka dengan pak cik berdua yang tak ada seri wajah ini, rasanya perkataan bodoh itu ada pada pak cik berdua! Memalukan orang Melayu sahaja. Dah tua bangka pun tak tahu beradab! Macam manalah orang muda macam saya ini nak buat contoh! Sedar dirilah sikit, rumah kata pergi kubur kata mari. Bawak-bawaklah bertaubat!” Putra meletuskan rasa geramnya secara sinis.   Pantas kata-katanya itu memberi kesan. Dua wajah di hadapannya berubah seperti udang kena bakar.

          “Sudahlah, Putra. Jom kita ke jeti. Feri dah nak berlabuh tu.” Pak Abu kemudian menarik tangan Putra, cuba untuk menenangkannya supaya perbalahan itu tidak berlanjutan dan pastinya mahu mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Tahu benar dia dengan sikap pak manakan Jamal dan rakannya yang berambut ekor kuda itu. Dari zaman muda sampai ke tua,masih lagi nak jadi samseng di pulau itu.

          Putra menuruti ajakan Pak Abu dan segera menapak ke arah jeti. Ketika itu sebuah feri yang sarat dengan penumpang mula menghampiri jeti itu. 

         “Putra nak jemput guest ke?” Soal Pak Abu ketika mereka menghampiri tempat menunggu.

         “Ya, Pak Abu. Ima baru dapat call daripada guest itu. Saya nk pinjam telefon Pak Abu sekejap boleh? Tadi saya terlupa nak tanya Ima nama guest itu,” jelas Putra bersama satu pintaan.

         “Eh, apa tak bolehnya. Nah, ini telefonnya!” Pak Abu membalas.

         “Putra!”

         Belum sempat Putra mendail nombor Ima, kedengaran satu suara melaung namanya.

         “Jessie!”.

         Jadi Jessielah peguam yang dimaksudkan oleh Ima tadi.

        “Berjumpa lagi kita.” Jessica mengungkap sambil menghulurkan tangan kanannya kepada Putra. Di bibirnya terukir senyuman. Putra segera menyambut salamnya itu. Kemudian tangan Jessica bertaut pula dengan dengan tangan Pak Abu.

        Putra menyerahkan semula telefon kepada Pak Abu dan mereka kemudian berpisah. Pak Abu juga telah mendapat beberapa orang penumpang.

       “Oh, jadi Jessie ini seorang peguam rupanya, mati-mati saya ingatkan wartawan.” Putra mengomel sambil mengambil dua buah beg yang dibawa oleh Jessica. Lalu beg-beg itu dijinjing setiap belah tangannya. Jessica sekadar melebarkan lagi senyumannya. Mereka kemudian beriringan menuju ke parkir van.

        Daripada berat kedua-dua beg itu Putra dapat simpulkan betapa Jessica tidak akan menginap lama di Blue Inn. Barangkali semalam dua sahaja. Dia juga mendapat firasat betapa Jessica sedang mengendali sesuatu kes bersangkut-paut dengan penduduk di pulau itu.

       Dalam aturan langkah menuju ke van, sempat juga Putra menjeling ke arah dua lelaki yang masih berusaha memancing penumpang di perut jeti. Sempat juga dia memberi senyum sumbing kepada dua lelaki itu tatkala mereka memandangnya dengan wajah yang geram.

 

SEMENTARA itu di bilik stor sukan Sekolah Kebangsaan Sri Pangkor, Ika sibuk mengemas bilik itu. Kesempatan sesi persekolahan yang sedang bercuti diisinya untuk memastikan keadaan stor itu kembali teratur, kemas dan bersih. Sebelum cuti yang lalu, telah berlangsung sukan tahunan sekolah. Jadi pelbagai peralatan yang digunakan sewaktu kejohanan itu tidak diletakkan di tempat asalnya. Selaku Setiausaha Sukan sekolah, Ika perlu bertanggungjawab untuk memastikan stor itu sentiasa dalam keadaan kemas dan selamat untuk digunakan, terutamanya kepada murid-murid. Mujur Amran yang tiada apa-apa tugasan khusus di Blue Inn hari itu datang membantunya. Kerjanya menjadi lebih mudah dan ringan.

            “Ika tahu, waktu sekolah dulu Am pernah masuk acara lumba lari,” kata Amran sewaktu menyusun baton-baton yang bertaburan di dalam sebuah bakul plastik. Baton-baton itu dimasukkan semula ke dalam kotak asalnya.

            “Ya ke? Tentu Am selalu menangkan?” Ika membuat telahan. Amran menggeleng kepalanya bersama satu sengihan. Ika mengerut dahinya, seperti mahu kepastian yang sebenar.

             Amran memahami maksudnya itu.

            “Selalu Amlah dapat nombor last,” ujar Amran dengan sengihan makin melebar di bibirnya.

            “Kenapa tak ambil nombor satu?” Soal Ika dengan niat nak mengusik.

            “Ramai sangat berebut nak nombor satu, jadi Am bagi ajelah pada mereka.” Amran membalas. Ika menderai tawa, tercuit dengan jenaka Amran itu. Amran ikut ketawa.

            “Sebenarnya, memang Am lari tak laju pun. Masuk acara pun sebab ganti murid yang tak hadir aje.” Amran menjelas yang sebenar di hujung tawanya.

            Suasana kembali terdiam. Masing-masing menyambung kerja mengemas semula. Ika yang masih terngiang-ngiang lawak jenaka Amran tadi, sesekali tersenyum sendirian.  Amran yang perasan tingkahnya itu pantas menegur.

            “Kenapa Ika senyum sorang-sorang?”

            “Hah!” Ika seperti sedikit tersentak.

            “Kenapa Ika senyum sorang-sorang?” tukas Amran.

            “Oh, Ika teringat lawak Am tadi. Ramai yang berebut nak nombor satu ya? Baik betul Am,mudah-mudah saja bagi mereka menang ya.” Ika menjawab dengan ukiran senyum. Amran mengekek kecil.

            Dalam diam-diam, Ika mula senang dengan Amran. Dia mula tertawan dengan senyuman pemuda maskulin itu. Sesekali, tanpa disedari Amran dia mencuri merenung Amran. Hatinya entah kenapa terasa bahagia berada di sisi Amran ketika itu. Mungkin kerana perasaannya terhadap Amran mula berputik.

            “Am ada hubungi keluarga Am?” Mulut Ika tiba-tiba ringan untuk bertanya soalan itu. Amran yang sekian waktu dibuai rasa bahagia sedikit berubah wajahnya bila diaju soalan itu. Perlahan-lahan dia menggeleng kepalanya.

            “Jadi mereka tak tahu Am berada di mana sekarang?” Soal Ika lagi. Amran mengangguk kepalanya.

            “Teman wanita Am pun?” Ika menyoal lagi, seperti mahukan sebuah kepastian yang lebih.

            “Dia bukan teman wanita Am lagi!” Amran memberi penegasan itu. Wajahnya seperti menahan marah kepada bekas teman wanitanya itu. Moodnya tiba-tiba seperti terganggu. Ika cepat mengerti maksud Amran itu. Dia sudah mendengar dengan jelas pengakuan Amran berkaitan kecurangan teman wanitanya itu tempoh hari.

            Diam kembali mengisi ruang. Masing-masing menyambung semula kerja-kerja mereka dengan perasaan sendiri.

            “Assalamualaikum, dah siap ke kemasnya?” Dalam mereka kebisuan itu, tiba-tiba seorang pemuda menyapa mereka.

            “Waalaikumussalam.” Ika membalas. Dia dan Amran segera berpaling. 

           “Dah siap ke kemasnya?” Pemuda yang memberi salam itu mengulangi soalannya.

           “Dah siap. Eh, Cikgu Saiful belum balik kampung lagi ke?” jawab Ika bersama satu soalan balas.

            “Belum lagi. Pagi ini baiki motor Ika dulu. Dah boleh hidup motor itu. Ingat nak hantar ke rumah Ika tadi. Tapi terlihat Ika ada kat sekolah, itu yang datang sini.” Pemuda sederhana tinggi dan berkulit cerah itu membalas.

            “Oh, ya ke? Apa pulak rosaknya kali ini?”

            “Masala plugnya aje. Tukar plug dah okey.”

            “Berapa perlu saya bayar pada Cikgu Saiful?”

            “Eh, tak payah bayar. Saya tolong ikhlas aje tu. Berapa sangatlah harga plug tu.”

            “Terima kasih banyak-banyak, menyusahkan CIkgu Saiful sahaja.”

            “Tak adalah menyusah. Perkara kecil aje. Ini siapa?”

            “Eh, lupa pula saya nak kenalkan! Ini Amran, bekerja di rumah tumpangan keluarga saya.”

            “Saya Saiful,’

            “Amran,”

            Kedua-dua mereka berjabat tangan.

            “Ini Cikgu Saiful nak terus ke jeti ke?”

            “Ha’ah,”

            “Kalau macam itu, Ika hantarkan.”

            “Okey.”

            “Am, tolong bawak balik motor ini ke rumah ya. Ika bawa van hantar Cikgu Saiful  ke jeti sekejap.”

            “Okey.”

            Amran hanya mampu memandang Ika dan Cikgu Saiful melangkah ke arah van Daihatsu putih solid yang diparkir di bawah sepohon Akasia yang rendang. Memandang dengan satu rasa hati yang terpendam.




Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan