Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
17,117
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
04

CAHAYA bulan yang terang pada malam itu memasuki kamar kecil Zara Aisya dari jendelanya yang tidak bertutup. Zara masih belum tidur meskipun badannya sudah terbaring di atas katil. Pandangan matanya hanya terfokus pada kipas siling yang berputar laju. Malam itu tidak terlalu dingin seperti selalu. Haba panas seperti tidak mahu keluar dari biliknya. Itulah yang membuatkan Zara masih lagi terjaga.

Badan Zara dikalihkan ke arah jendela. Matanya berkelip-kelip saat melihat taburan bintang yang luar biasa pada malam ini. Langit tidak diselubungi awan. Bagi orang kampung sepertinya, permandangan ini permandangan biasa. Udara di kawasan kampung kurang tercemar. Oleh itu langitnya lebih cerah berbanding di kawasan bandar.

Zara cuba melelapkan matanya namun dia tidak mampu. Dirinya menggelisah akibat panas dan perasaan hatinya yang kurang senang. Seperti ada yang mengganggu fikirannya. Nak kata dia teringatkan Anas dan peristiwa pagi tadi yang membuatkannya begini pun tidak. Hal itu sudah lama dia tolakkan ke tepi sebelum masuk tidur lagi. Dia tidak mahu membebani fikirannya dengan masalah apabila ingin merehatkan badan. Dia perlukan banyak lagi tenaga untuk menghadapi ke semua ini esok pagi.

Setelah hampir 10 minit berkeluh kesah, Zara bangun dari pembaringan. Dia ke meja solek yang berada di ceruk bilik. Laci meja solek itu ditarik buka lalu tangan kanannya menggagau ke dalam laci. Bola kecil bersaiz bola golf yang berlekuk-lekuk heksagon pada permukaannya dikeluarkan.

Bebola berlekuk heksagon itu berkelip-kelip apabila Zara menyentuhnya. Cahaya ungu kebiru-biruan mula bernyala dari dalam. Butang merah yang timbul di atasnya pula mengeluarkan cahaya merah tanpa berkelip. Pada pandangan kasar, bebola itu kelihatan ringan seperti bola golf namun beratnya berganda-ganda bagai memegang bebola besi yang tumpat.

Bola itu dibawa Zara ke tengah bilik. Cahaya yang keluar dari bola tersebut makin bersinar terang. Tanpa teragak-agak Zara membaling bola itu ke atas siling.

“Terbang…” sebut Zara Aisya perlahan.

Bola itu berpusing-pusing laju. Ia terapung-apung di udara tanpa jatuh semula ke lantai mengikut hukum graviti Isaac Newton. Sepertinya, graviti tidak memberi sebarang kesan kepada bebola tersebut.

Zara tersenyum. Itulah permainannya untuk menghilangkan duka lara semenjak ditinggalkan suaminya 18 tahun lalu.

“Ke mari…” bisik Zara sambil tangannya digamitkan ke arah bebola itu.

Bebola yang mempunyai hampir 30 lekuk heksagon pada permukaannya itu mematuhi arahan Zara. Perlahan-lahan pusingannya tadi diberhentikan dan bebola itu terbang mendekat ke wajah Zara.

Zara menyentuh salah satu lekuk heksagon pada permukaan bola tersebut. Bola itu berundur ke belakang. Kemudian, Zara menggerakkan jari telunjuknya dengan membuat bentuk bulatan. Bebola tersebut mengikut gerak tangan Zara.

‘Zara rindukan sayang…’ bisik hati Zara Aisya sedih. Perlahan-lahan tangannya berhenti berpusing. Bola itu kembali ke wajahnya.

Bola itu dicapai tangan Zara dan digenggam erat. Mata Zara dipejamkan lalu kenangan lalu datang menujah ke mindanya.

***

Imbas Kembali: Kampung Selamat, 1997

TOK! TOK! Pintu rumah kayu berhadapan dengan bendang ini diketuk kuat. Pak Mustapha menjengah keluar dari kamarnya. Siapa pula yang datang tak berjemput di tengah-tengah malam begini?

Selak pintu rumah dibuka dan daun pintu ditolak. Kelihatan empat orang lelaki berkot gelap yang masing-masing memegang empat buah beg jinjing berwarna hitam tercegat di hadapan tangga.

“Assalamualaikum pak cik…” tegur lelaki yang paling hadapan di antara empat orang lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki itu memakai cermin mata bulat berwarna hitam.

“Waalaikumussalam… anak-anak ni cari siapa?” tanya Pak Mustapha sambil menggaru-garu kepala. Pelik-pelik rupa orang dihadapannya ini. Dalam gelap malam masih memakai cermin mata hitam.

“Kami cari Tuan Azaryl. Dia ada?” jawab lelaki itu.

“Azaryl? Menantu pak cik? Ada! Tapi…” Pak Mustapha masih lagi musykil. Siapa mereka ni? Azaryl setahunya tak pernah pula kenalkan ahli keluarganya kepada dia anak bini. Kata Azaryl dia sebatang kara di sini. Oleh sebab itulah Pak Mustapha tidak banyak cerita apabila mengahwinkan Zara Aisya dengan Azaryl. Lelaki itu hanyalah seorang lelaki dari bandar yang ingin berbakti di kampung.

“Boleh kami masuk?” tanya seorang lagi lelaki yang berambut pacak di belakang lelaki yang bersuara tadi.

“Aah…”

Belum sempat Pak Mustapha memberikan jawapan, keempat-empat lelaki itu merempuh masuk ke dalam rumah dengan menolak Pak Mustapha ke tepi.

“Tuan! Tuan Azaryl!” jerit mereka berempat sambil menggeledah rumah kayu kecil tersebut.

Mak Zaiton keluar dari dapur tercengang-cengang melihat perilaku lelaki-lelaki yang tidak dikenalinya ini. Dia mendekati Pak Mustapha yang sudah tersandar di dinding rumah.

“Abang? Siapa mereka ni?” soal Mak Zaiton keresahan.

Pak Mustapha hanya mampu menggeleng. Dia sendiri tidak faham dengan apa yang sedang berlaku. Namun apa yang dia pasti, dia sudah membuat satu kesalahan besar. Azaryl mungkin bukan lelaki yang terbaik untuk dikahwinkan dengan Zara yang menjadi rebutan jejaka-jejaka kampung ini kerana kecantikannya.

“Mana dia Tuan Azaryl?” sergah lelaki yang berkaca mata putih kepada Pak Mustapha dan Mak Zaiton.

Mak Zaiton menelan air liurnya laju. Matanya terarah pada pintu bilik Zara yang bertutup. Lalu bibirnya dijuihkan ke arah itu.

Lelaki berkaca putih itu memanggil tiga lagi rakannya. Mereka berkumpul di hadapan bilik tersebut dan salah seorang dari mereka mengetuk pintu bilik itu kuat.

“Tuan! Tuan Azaryl Aziz! Tolong beri kerjasama kepada kami, tuan. Kami datang untuk membawa tuan balik,” kata lelaki yang mengetuk pintu bilik tersebut.

Disebalik pintu itu Zara dan Azaryl sedang berdakapan erat. Azaryl seperti tidak mahu melepaskan Zara daripada dirinya walaupun dia tahu dia tidak boleh lagi melarikan diri buat kali ini.

“Zara…” Azaryl melepaskan rangkulannya dari si isteri. “Saya minta maaf dengan awak kerana tidak jujur dengan awak selama ini.”

Zara menggigit bibirnya. Matanya redup memandang ke lantai kayu. “Saya tak faham… siapa mereka? Apa yang mereka nak dari awak?”

“Mereka akan bawa saya pergi Zara. Saya nak minta maaf banyak-banyak dengan awak. Saya cintakan awak tapi saya terpaksa tinggalkan awak buat seketika waktu,” bicara Azaryl lembut. Rambut Zara dielusnya perlahan. Wajah Zara yang putih kemerah-merahan itu ditatapnya dengan penuh rasa sayu.

Air mata Zara mula mengalir pantas. Akibat tangisan itu, bahagian mata dan hidungnya memerah. Bibir nipisnya dikebam untuk menahan bunyi tangisan yang semakin menguat.

“Syy jangan menangis,” pujuk Azaryl. “Saya janji yang saya pergi takkan lama…”

“Awak nak ke mana sebenarnya ni? Saya tak faham…”

“Satu hari nanti awak akan faham. Simpan ni… Tekan butang merahnya bila awak betul-betul dilanda masalah besar.” Azaryl mengeluarkan bebola yang permukaannya dilatari lekuk-lekuk heksagon dari kocek. Lalu bebola itu diserahkan ke tangan Zara Aisya.

Kemudian Azaryl melepaskan pegangan tangannya dari Zara. Dia berjalan ke muka pintu kamar dan membuka selak kamar tersebut.

Azaryl menyerahkan dirinya kepada empat orang lelaki tadi. Keempat-empat mereka memegang tangan Azaryl kuat dan salah seorang dari mereka memakaikan Azaryl cermin mata besar seperti adiwira Cyclops di dalam filem X-Men.

Mak Zaiton dan Pak Mustapha masih lagi tercengang melihat apa yang terjadi di hadapan mata mereka. Manakala Zara pula hanya mampu merintih sendirian. Semenjak itu, hidupnya berubah 360 darjah dengan serta merta.

***

Previous: 03
Next: 05

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail