“AMANINA?”
Gadis yang berambut ekor kuda itu
berkalih ke belakang apabila terdengar namanya disahut. Roti Twiggies yang
berada di tangan diletakkan ke dalam bekas plastik yang berada di atas bangku.
“Anas! Duduklah,” ajak Amanina ceria.
Badannya digerakkan ke hujung bangku untuk memberi laluan kepada Anas. Dia
seterusnya menyambung semula suapan roti Twiggies yang tergendala sebentar
tadi.
“Sorang aje? Kawan-kawan mana?”
Wajah Anas memerah. Rambut hadapannya yang jatuh ke dahi ala Justin Bieber itu
diperkemaskan ke belakang.
“Oh dia orang pergi library tadi. Niena tak ikut,” jawab Amanina
yang menggelarkan dirinya Niena. Kertas pembalut Twiggies yang kosong itu dimasukkan
ke dalam bekas plastik oleh Amanina. Mulutnya yang comot itu dilap dengan sapu
tangan kecil.
“Kenapa tak ikut?”
“Sebab Niena tunggu Anaslah! Tadi
pagi tak jumpa,” bicara Amanina sambil memuncungkan wajah.
Anas tersenyum hingga ke telinga.
Keletah Amanina ini memang merentap hatinya. “Alah Anas sampai lambatlah Niena.
Sian Niena tunggu Anas,” balasnya dengan memuncung wajah seperti Amanina sebentar
tadi.
Amanina galak ketawa. Anas pandai menambat
hatinya. Sikap bersahaja Anas membuatkan dia mudah ketawa. Oleh sebab itulah
hatinya mudah terpaut pada Anas daripada mana-mana lelaki lain yang ada di
sekolah ini.
“Anas! Tak baik tau perli Niena.” Amanina
menjeling. Senyumannya masih bersisa namun cepat-cepat dikendurkannya apabila terlihat
kelibat Cikgu Ramlee yang sedang mengintai mereka dari balik kantin.
“Niena, nanti petang kita balik sama
tau…” Anas masih belum menyedari perubahan pada wajah Amanina. Mindanya masih
dikaburi bunga-bunga cinta.
Amanina menjegil. Lengan kemeja Anas
ditarik. “Jom kita jalan ke kolam. Ada orang tengah mengintip kita kat sini.”
“Haa?” Anas tergaru-garu kepala.
“Siapa? Cikgu Ramlee lagi?”
“Jomlah!” Amanina bingkas bangun
dari bangku kantin. Langkahnya bergerak laju keluar dari perkarangan kantin.
Anas mengejar dari belakang. Huh!
Cikgu Ramlee itu mata-mata ayah si Amanina. Entah mengapa dia cemburu benar
melihat Anas berkawan dengan Amanina. Tiap-tiap hari tugasnya adalah menyatakan
laporan mengenai perilaku Amanina di sekolah. Tidak tertinggal menokok tambah
cerita dengan mengatakan Anas selalu mengganggu Amanina di sekolah.
“Sorry,
Anas tak sedarlah tadi ada Cikgu Ramlee.” Anas cuba mengembalikan mood Diyana
yang bersepai tadi.
“Tak apalah.” Diyana memberhentikan
langkahnya di hadapan kolam sekolah yang airnya sudah keruh. Dia kemudian duduk
di salah sebuah kerusi kayu yang berhadapan dengan kolam tersebut.
“Anas… lepas habis SPM ni awak
rancang nak buat apa?” soal Amanina.
“Saya ingat nak apply matriks. Saya nak sambung dalam bidang sains. Awak?” Anas
mengambil keputusan untuk berdiri jauh sedikit dari Amanina. Bimbang jikalau
mereka masih diintip Cikgu Ramlee.
“Saya nak ambil diploma di UiTM dalam bidang
komunikasi. Nampaknya haluan kita berbeza,” ujar Amanina dengan nada sedih.
“Jangan risaulah. Walaupun haluan
kita berbeza, kita masih boleh contact
antara satu sama lain kan? Sekarang ada Facebook, Twitter… nanti bila saya ada
duit saya beli smartphone. Kita boleh
chat melalui Whatsapp!” balas Anas
positif. Walaupun begitu hatinya masih lagi di dalam kegusaran. Bimbang Amanina
menjadi milik orang lain nanti bila mereka berjauhan nanti.
“Tak sama Anas. Ayah saya mungkin
akan tetapkan jodoh saya nanti bila umur saya dah mencecah 21 tahun. Kalau awak
lambat… nampaknya lupakan sajalah rancangan awak nak kahwin dengan saya tu.
Apatah lagi nak berhubung melalui media sosial yang awak cakap tadi.” Amanina mengeluh
panjang.
Memang
usia mereka muda dan juga terlalu muda untuk berbicara soal kahwin. Tetapi
itulah yang selalu Anas janjikan kepadanya. Mereka akan berkahwin bila Anas
sudah mencapai impiannya nanti. Cumanya… tempoh masa itu terlalu lama. Amanina kenal
sungguh dengan ayahnya. Ayahnya tidak akan menerima Anas yang tidak berharta
itu untuk dikahwinkan dengannya. Bagi ayah, harta itu penting. Lelaki tanpa
harta tidak dapat memberikan anaknya kebahagiaan!
“Saya
janji saya akan berusaha Niena. Awak pun tahukan yang saya harus mula semuanya
dari bawah. Saya orang biasa. Tak berharta. Saya harap awak boleh tunggu…”
janji Anas.
“Saya
boleh tunggu. Tapi ayah? Saya tak pasti macam mana. Walaubagaimana cara
sekalipun, awak kena janji dengan saya. Awak akan berjaya. Awak akan jadi kaya
dan berharta… lepas tu barulah awak boleh fikir untuk berkahwin dengan saya,”
kata Amanina tegas.
Anas
hanya mengangguk perlahan. Ya, aku akan berusaha. Aku akan berjaya. Biar semua
orang buka mata bila sampai masanya!
***
GULAI
ayam dan sayur kangkung masakan Zara Aisya dihidangkan ke atas meja. Mak Zaiton
dan Pak Mustapha menjamu selera tanpa menghiraukan Anas yang tidak ikut serta
bersama mereka kerana merajuk berkaitan hal pagi tadi. Manakala Zara pula, dia
memilih untuk tidak makan malam. Hatinya tidak senang jikalau Anas mula
menunjukkan protesnya terhadap emak dan bapanya.
Zara menolak pintu bilik Anas yang
tidak berkunci. Kelihatan anak teruna itu sibuk menelaah mata pelajaran
kegemarannya, fizik. Anas pernah memberitahunya dulu yang cita-citanya bila
besar nanti ingin menjadi saintis terkemuka.
“Nas…” tegur Zara perlahan. Bahu
Anas dicuit lembut.
Anas berpaling dan tersenyum pada
ibunya. Risaulah tu kalau anak teruna dia yang seorang ni tak turun makan.
“Bu dah makan, bu?” soal Anas.
“Ibu tak ada seleralah sayang.
Sayang kenapa tak nak makan?” soal Zara kembali. Rambut lurus panjangnya itu
ditolak ke tepi. Terserlah wajah putih mulusnya yang lembut bagaikan kapas.
Anas menggeleng sambil mengherotkan
bibirnya. “Tak selera jugak. Kalau makan nanti nenek bising. Ada ajelah perkara
yang dia nak cakapkan dekat Anas. Tak habis-habis.”
“Anas…” Tangan Anas disentuh lembut.
Zara mula menunjukkan muka seriusnya. “Ibu tak nak Anas bermasam muka dengan
nenek dan atuk. Ibu tak pernah ajar Anas berperangai macam ni tau. Anas kena
hormat orang tua. Mereka bapa dan emak, ibu!”
Tangan kanan Anas menekup mulutnya.
Dia tidak puas hati. “Ibu, Anas ni bukan budak kecillah ibu nak cakap macam tu.
Anas tahu yang mereka tu nenek dan atuk Anas. Ibu tak perlu nak ulang banyak
kali. Anas dah besar. Cuma Anas tak puas hati bila nenek buat kita macam bukan
darah daging dia. Ibu sepatutnya cakap benda ni pada nenek dan bukan pada
Anas.”
Terbeliak mata Zara Aisya mendengar
bicara anak tunggalnya ini. Sudah pandai menjawab dan menunjukkan perasaan
tidak puas hatinya. Sejak bila dia jadi begini? Ataupun Zara sudah salah
didikan sehingga Anas berani berkata begitu kepadanya!
“Anas! Anas sedar tak apa yang Anas
cakap ni?” Zara masih bercakap dengan nada suara yang lembut walaupun dalam
keadaan tegas.
“Anas betul-betul cakaplah ibu… bila
Anas dah habis SPM, Anas nak kerja sikit dan kumpul duit. Lepas tu kita pindah
dari sini. Kita duduk KL. Anas rancang nak study
dekat Universiti Malaya kalau keputusan Anas bagus,” usul Anas dengan
beraninya. Dia tidak mahu jadi selembutnya ibu yang membiarkan orang pijak
kepala. Sampai bila mereka harus begini? Anas sudah tidak tahan dengan
pandangan orang terhadap mereka!
Zara mendengus halus. Amarahnya
masih lagi terkawal walaupun di dalam hatinya dia terasa bagai nak sekolahkan
Anas cukup-cukup. Takut pula dia kalau Anas tiba-tiba merajuk dan nekad
meninggalkan dia. Jikalau Anas boleh berfikiran begitu kepada emak dan bapanya,
tidak mustahil juga Anas bisa berbuat begitu kepadanya.
“Anas, satu aje pesan ibu… Sebelum
buat apa-apa keputusan, ingat ALLAH, sayang,” ucap Zara sebelum berlalu keluar
dari bilik anak bujangnya.
***
ZAMIR
menyuapkan nasi yang berlauk ayam masak kicap ke dalam mulutnya dengan kasar.
Dalam pada itu mata kecilnya asyik menjeling Amanina yang tertib menikmati makan
malam.
Hati Zamir terasa disiat-siat
apabila mengingati bicara Cikgu Ramlee kepadanya mengenai perilaku Amanina semasa
di sekolah petang tadi. Kata Cikgu Ramlee, Amanina sedang bermain cinta dengan
Anas, anak Zara Aisya yang tidak bersuami itu.
Perasaannya makin menggelegak pula
apabila Cikgu Ramlee mengatakan bahawa Anas selalu menemani Amanina pulang ke
rumah bersama-sama. Tak cukup dengan itu, Cikgu Ramlee ada mendengar
gosip-gosip dari pelajar lain yang mengatakan bahawa Anas dan Amanina memang
benar pasangan bercinta. Mereka berdua juga ada merancang untuk berkahwin
selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Bam! Gelas kaca yang berisi air
putih dihentak Zamir ke atas meja sehingga retak. Isterinya, Eliza dan Amanina tersentak
dari menjamu selera. Mereka berdua saling berpandangan dan seterusnya
mengalihkan mata ke arah Zamir yang sudah membengis. Wajah Amanina ditatap
bagai nak telan.
“Papa! Kenapa pandang Niena macam
tu?” tanya Amanina pelik.
Eliza juga turut curiga dengan sikap
suaminya yang berangin semacam pada malam itu. Selalunya Zamir tidak begitu.
“Papa ada perkara sikit nak tanya
dengan Niena…” tutur Zamir dengan nada tegas.
Amanina berhenti menyuapkan nasi ke
mulut. Pandangan terarah pada Zamir dan kerap kali menjeling mamanya, Eliza.
“Amanina berkawan dengan budak Anas
tu ke?”
Mata Amanina terbeliak seketika.
Sudah dia agak! Mesti ini kerja Cikgu Ramlee. “Ya papa. Kenapa? Niena memang
tak boleh berkawan dengan dia ke?”
“Tak boleh!” Sekali lagi Zamir
mengejutkan anak dan isterinya dengan mengetuk meja makan mereka kuat. Eliza
yang tidak suka dengan sikap Zamir bergaduh di hadapan rezeki itu mula bingkas
bangun dan mengangkat mangkuk-mangkuk berisi makanan masuk ke dapur.
“Kenapa pulak papa? Niena kawan aje.
Bukan buat apa-apa. Lagipun Anas tu pandai, pa. Dia selalu tolong Niena
belajar,” bicara Amanina yang cuba melindungi Anas.
“Kawan… sekarang memang kawan.
Lama-lama jadi kawan rapat lepas tu bercinta. Perempuan dengan lelaki memang
tak boleh berkawan sangat-sangat. Papa dah makan garam dah tentang hal ni
semua!” balas Zamir. Dia kemudiannya menoleh ke belakang sambil melihat kelibat
isterinya yang masih belum keluar dari dapur.
Amanina bangun dari kerusi yang
didudukinya. Dia menuju ke dapur. Telinganya bingit mendengar ceramah papa.
“Eh Niena! Nak ke mana pula tu? Papa
tak abis cakap lagi!” halang Zamir.
“Niena penatlah pa. Semuanya tak
boleh! Kalau Niena bercinta dengan dia pun apa masalahnya pa? Dia tu baik…
cerdik dan tertib orangnya.” Amanina meningkah berani. Matanya menjeling tajam
pada papanya. Susah benar jadi remaja di usia seperti dia. Ada saja yang tak
kena.
Zamir menarik lengan Amanina kuat
dan membawa anak perempuannya itu masuk ke ruang tamu. Eliza yang sedang
membasuh pinggan di dapur hanya mampu menggeleng. Bukan dia tak mahu masuk
campur. Dia sebenarnya sudah faham benar dengan sikap Zamir. Kalau putih
katanya putihlah. Hitam itu hitamlah! Tidak boleh dibantah.
“Papa kata papa tak suka… papa tak
suka! Niena jangan sekali-kali nak melawan cakap papa dan berkawan lagi dengan
anak si Zara tu,” ucap Zamir dengan perasaan amarah berapi-api di dada.
Amanina memuncungkan wajah. Dia
kurang mengerti mengapa papa bertindak demikian. Apa yang membuatkan papa benci
dengan Anas dan keluarganya? Apa salah Anas dan Mak Cik Zara?
“Niena tak faham! Papa ni bencikan
Mak Cik Zara dan Anas sebab apa? Sebab mereka orang miskin ke?”
Zamir ketawa kecil mendengar
pertanyaan Amanina. Masih tak mengalah rupanya anaknya ini. “Kalau sebab dia
miskin, papa kaya tu… papa rasa kejam sangat kalau papa diskriminasi dia dengan
cara begitu. Tapi ada hal yang lebih dasyat dari tu Niena. Papa tak nak nanti
Niena menyesal. Dia bukan orang yang berketurunan baik-baik.”
“Apa maksud papa ni? Niena tak
faham!” rungut Amanina. Matanya mengerling pada mamanya yang baru memasuki
ruang tamu dan memeluk bahunya erat.
“Niena… Anas tu anak luar nikah! Mak
Cik Zara tu perempuan jahat,” kata Zamir lancang sambil memberi isyarat mata
kepada isterinya, Eliza.
Amanina menggeleng-gelengkan
kepalanya. Mindanya tidak dapat menerima pernyataan papa. Papa menipu! Mana
mungkin lelaki sebaik Anas itu anak luar nikah! Takkanlah pula Mak Cik Zara
yang lemah lembut itu perempuan jahat seperti yang dikatakan papanya.
Zamir menjeling pada Eliza. Sekarang
giliran Eliza pula untuk menaburkan jarum pada Amanina.
“Niena… mama tahu Niena sukakan Anas.
Tapi Niena, mama tak nak nanti keturunan kita tercemar sebab orang macam tu,”
ujar Eliza perlahan sambil mengusap rambut Amanina lembut.
“Tak mama! Tak!” jerit Amanina.
Tangannya cuba menolak jejari Eliza dari mengelus rambutnya. Dia tidak dapat
menerima segala apa yang dituturkan mama dan papanya. Semuanya dusta!
“Niena… anak mama budak pandaikan?”
Eliza cuba menggunakan cara yang lebih lembut. Matanya sempat mengerling pada
Zamir. “Niena pernah nampak mana ayah Anas? Anas pernah ceritakan pada Niena
tak tentang ayah dia? Tak ada kan? Takkanlah mama dan papa nak tipu Niena…”
Mata Amanina mula berair. Kata-kata
mamanya mula menusuk ke dalam hati. Ada benarnya juga. Tetapi masih ada
kemusykilan di sebalik semua ini! Oh TUHAN, apa yang seharusnya dia lakukan?