Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
17,112
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
03

“AMANINA?”

Gadis yang berambut ekor kuda itu berkalih ke belakang apabila terdengar namanya disahut. Roti Twiggies yang berada di tangan diletakkan ke dalam bekas plastik yang berada di atas bangku.

“Anas! Duduklah,” ajak Amanina ceria. Badannya digerakkan ke hujung bangku untuk memberi laluan kepada Anas. Dia seterusnya menyambung semula suapan roti Twiggies yang tergendala sebentar tadi.

“Sorang aje? Kawan-kawan mana?” Wajah Anas memerah. Rambut hadapannya yang jatuh ke dahi ala Justin Bieber itu diperkemaskan ke belakang.

“Oh dia orang pergi library tadi. Niena tak ikut,” jawab Amanina yang menggelarkan dirinya Niena. Kertas pembalut Twiggies yang kosong itu dimasukkan ke dalam bekas plastik oleh Amanina. Mulutnya yang comot itu dilap dengan sapu tangan kecil.

“Kenapa tak ikut?”

“Sebab Niena tunggu Anaslah! Tadi pagi tak jumpa,” bicara Amanina sambil memuncungkan wajah.

Anas tersenyum hingga ke telinga. Keletah Amanina ini memang merentap hatinya. “Alah Anas sampai lambatlah Niena. Sian Niena tunggu Anas,” balasnya dengan memuncung wajah seperti Amanina sebentar tadi.

Amanina galak ketawa. Anas pandai menambat hatinya. Sikap bersahaja Anas membuatkan dia mudah ketawa. Oleh sebab itulah hatinya mudah terpaut pada Anas daripada mana-mana lelaki lain yang ada di sekolah ini.

“Anas! Tak baik tau perli Niena.” Amanina menjeling. Senyumannya masih bersisa namun cepat-cepat dikendurkannya apabila terlihat kelibat Cikgu Ramlee yang sedang mengintai mereka dari balik kantin.

“Niena, nanti petang kita balik sama tau…” Anas masih belum menyedari perubahan pada wajah Amanina. Mindanya masih dikaburi bunga-bunga cinta.

Amanina menjegil. Lengan kemeja Anas ditarik. “Jom kita jalan ke kolam. Ada orang tengah mengintip kita kat sini.”

“Haa?” Anas tergaru-garu kepala. “Siapa? Cikgu Ramlee lagi?”

“Jomlah!” Amanina bingkas bangun dari bangku kantin. Langkahnya bergerak laju keluar dari perkarangan kantin.

Anas mengejar dari belakang. Huh! Cikgu Ramlee itu mata-mata ayah si Amanina. Entah mengapa dia cemburu benar melihat Anas berkawan dengan Amanina. Tiap-tiap hari tugasnya adalah menyatakan laporan mengenai perilaku Amanina di sekolah. Tidak tertinggal menokok tambah cerita dengan mengatakan Anas selalu mengganggu Amanina di sekolah.

Sorry, Anas tak sedarlah tadi ada Cikgu Ramlee.” Anas cuba mengembalikan mood Diyana yang bersepai tadi.

“Tak apalah.” Diyana memberhentikan langkahnya di hadapan kolam sekolah yang airnya sudah keruh. Dia kemudian duduk di salah sebuah kerusi kayu yang berhadapan dengan kolam tersebut.

“Anas… lepas habis SPM ni awak rancang nak buat apa?” soal Amanina.

“Saya ingat nak apply matriks. Saya nak sambung dalam bidang sains. Awak?” Anas mengambil keputusan untuk berdiri jauh sedikit dari Amanina. Bimbang jikalau mereka masih diintip Cikgu Ramlee.

“Saya nak ambil diploma di UiTM dalam bidang komunikasi. Nampaknya haluan kita berbeza,” ujar Amanina dengan nada sedih.

“Jangan risaulah. Walaupun haluan kita berbeza, kita masih boleh contact antara satu sama lain kan? Sekarang ada Facebook, Twitter… nanti bila saya ada duit saya beli smartphone. Kita boleh chat melalui Whatsapp!” balas Anas positif. Walaupun begitu hatinya masih lagi di dalam kegusaran. Bimbang Amanina menjadi milik orang lain nanti bila mereka berjauhan nanti.

“Tak sama Anas. Ayah saya mungkin akan tetapkan jodoh saya nanti bila umur saya dah mencecah 21 tahun. Kalau awak lambat… nampaknya lupakan sajalah rancangan awak nak kahwin dengan saya tu. Apatah lagi nak berhubung melalui media sosial yang awak cakap tadi.” Amanina mengeluh panjang.

Memang usia mereka muda dan juga terlalu muda untuk berbicara soal kahwin. Tetapi itulah yang selalu Anas janjikan kepadanya. Mereka akan berkahwin bila Anas sudah mencapai impiannya nanti. Cumanya… tempoh masa itu terlalu lama. Amanina kenal sungguh dengan ayahnya. Ayahnya tidak akan menerima Anas yang tidak berharta itu untuk dikahwinkan dengannya. Bagi ayah, harta itu penting. Lelaki tanpa harta tidak dapat memberikan anaknya kebahagiaan!

“Saya janji saya akan berusaha Niena. Awak pun tahukan yang saya harus mula semuanya dari bawah. Saya orang biasa. Tak berharta. Saya harap awak boleh tunggu…” janji Anas.

“Saya boleh tunggu. Tapi ayah? Saya tak pasti macam mana. Walaubagaimana cara sekalipun, awak kena janji dengan saya. Awak akan berjaya. Awak akan jadi kaya dan berharta… lepas tu barulah awak boleh fikir untuk berkahwin dengan saya,” kata Amanina tegas.

Anas hanya mengangguk perlahan. Ya, aku akan berusaha. Aku akan berjaya. Biar semua orang buka mata bila sampai masanya!

***

GULAI ayam dan sayur kangkung masakan Zara Aisya dihidangkan ke atas meja. Mak Zaiton dan Pak Mustapha menjamu selera tanpa menghiraukan Anas yang tidak ikut serta bersama mereka kerana merajuk berkaitan hal pagi tadi. Manakala Zara pula, dia memilih untuk tidak makan malam. Hatinya tidak senang jikalau Anas mula menunjukkan protesnya terhadap emak dan bapanya.

Zara menolak pintu bilik Anas yang tidak berkunci. Kelihatan anak teruna itu sibuk menelaah mata pelajaran kegemarannya, fizik. Anas pernah memberitahunya dulu yang cita-citanya bila besar nanti ingin menjadi saintis terkemuka.

“Nas…” tegur Zara perlahan. Bahu Anas dicuit lembut.

Anas berpaling dan tersenyum pada ibunya. Risaulah tu kalau anak teruna dia yang seorang ni tak turun makan.

“Bu dah makan, bu?” soal Anas.

“Ibu tak ada seleralah sayang. Sayang kenapa tak nak makan?” soal Zara kembali. Rambut lurus panjangnya itu ditolak ke tepi. Terserlah wajah putih mulusnya yang lembut bagaikan kapas.

Anas menggeleng sambil mengherotkan bibirnya. “Tak selera jugak. Kalau makan nanti nenek bising. Ada ajelah perkara yang dia nak cakapkan dekat Anas. Tak habis-habis.”

“Anas…” Tangan Anas disentuh lembut. Zara mula menunjukkan muka seriusnya. “Ibu tak nak Anas bermasam muka dengan nenek dan atuk. Ibu tak pernah ajar Anas berperangai macam ni tau. Anas kena hormat orang tua. Mereka bapa dan emak, ibu!”

Tangan kanan Anas menekup mulutnya. Dia tidak puas hati. “Ibu, Anas ni bukan budak kecillah ibu nak cakap macam tu. Anas tahu yang mereka tu nenek dan atuk Anas. Ibu tak perlu nak ulang banyak kali. Anas dah besar. Cuma Anas tak puas hati bila nenek buat kita macam bukan darah daging dia. Ibu sepatutnya cakap benda ni pada nenek dan bukan pada Anas.”

Terbeliak mata Zara Aisya mendengar bicara anak tunggalnya ini. Sudah pandai menjawab dan menunjukkan perasaan tidak puas hatinya. Sejak bila dia jadi begini? Ataupun Zara sudah salah didikan sehingga Anas berani berkata begitu kepadanya!

“Anas! Anas sedar tak apa yang Anas cakap ni?” Zara masih bercakap dengan nada suara yang lembut walaupun dalam keadaan tegas.

“Anas betul-betul cakaplah ibu… bila Anas dah habis SPM, Anas nak kerja sikit dan kumpul duit. Lepas tu kita pindah dari sini. Kita duduk KL. Anas rancang nak study dekat Universiti Malaya kalau keputusan Anas bagus,” usul Anas dengan beraninya. Dia tidak mahu jadi selembutnya ibu yang membiarkan orang pijak kepala. Sampai bila mereka harus begini? Anas sudah tidak tahan dengan pandangan orang terhadap mereka!

Zara mendengus halus. Amarahnya masih lagi terkawal walaupun di dalam hatinya dia terasa bagai nak sekolahkan Anas cukup-cukup. Takut pula dia kalau Anas tiba-tiba merajuk dan nekad meninggalkan dia. Jikalau Anas boleh berfikiran begitu kepada emak dan bapanya, tidak mustahil juga Anas bisa berbuat begitu kepadanya.

“Anas, satu aje pesan ibu… Sebelum buat apa-apa keputusan, ingat ALLAH, sayang,” ucap Zara sebelum berlalu keluar dari bilik anak bujangnya.

***

ZAMIR menyuapkan nasi yang berlauk ayam masak kicap ke dalam mulutnya dengan kasar. Dalam pada itu mata kecilnya asyik menjeling Amanina yang tertib menikmati makan malam.

Hati Zamir terasa disiat-siat apabila mengingati bicara Cikgu Ramlee kepadanya mengenai perilaku Amanina semasa di sekolah petang tadi. Kata Cikgu Ramlee, Amanina sedang bermain cinta dengan Anas, anak Zara Aisya yang tidak bersuami itu.

Perasaannya makin menggelegak pula apabila Cikgu Ramlee mengatakan bahawa Anas selalu menemani Amanina pulang ke rumah bersama-sama. Tak cukup dengan itu, Cikgu Ramlee ada mendengar gosip-gosip dari pelajar lain yang mengatakan bahawa Anas dan Amanina memang benar pasangan bercinta. Mereka berdua juga ada merancang untuk berkahwin selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Bam! Gelas kaca yang berisi air putih dihentak Zamir ke atas meja sehingga retak. Isterinya, Eliza dan Amanina tersentak dari menjamu selera. Mereka berdua saling berpandangan dan seterusnya mengalihkan mata ke arah Zamir yang sudah membengis. Wajah Amanina ditatap bagai nak telan.

“Papa! Kenapa pandang Niena macam tu?” tanya Amanina pelik.

Eliza juga turut curiga dengan sikap suaminya yang berangin semacam pada malam itu. Selalunya Zamir tidak begitu.

“Papa ada perkara sikit nak tanya dengan Niena…” tutur Zamir dengan nada tegas.

Amanina berhenti menyuapkan nasi ke mulut. Pandangan terarah pada Zamir dan kerap kali menjeling mamanya, Eliza.

“Amanina berkawan dengan budak Anas tu ke?”

Mata Amanina terbeliak seketika. Sudah dia agak! Mesti ini kerja Cikgu Ramlee. “Ya papa. Kenapa? Niena memang tak boleh berkawan dengan dia ke?”

“Tak boleh!” Sekali lagi Zamir mengejutkan anak dan isterinya dengan mengetuk meja makan mereka kuat. Eliza yang tidak suka dengan sikap Zamir bergaduh di hadapan rezeki itu mula bingkas bangun dan mengangkat mangkuk-mangkuk berisi makanan masuk ke dapur.

“Kenapa pulak papa? Niena kawan aje. Bukan buat apa-apa. Lagipun Anas tu pandai, pa. Dia selalu tolong Niena belajar,” bicara Amanina yang cuba melindungi Anas.

“Kawan… sekarang memang kawan. Lama-lama jadi kawan rapat lepas tu bercinta. Perempuan dengan lelaki memang tak boleh berkawan sangat-sangat. Papa dah makan garam dah tentang hal ni semua!” balas Zamir. Dia kemudiannya menoleh ke belakang sambil melihat kelibat isterinya yang masih belum keluar dari dapur.

Amanina bangun dari kerusi yang didudukinya. Dia menuju ke dapur. Telinganya bingit mendengar ceramah papa.

“Eh Niena! Nak ke mana pula tu? Papa tak abis cakap lagi!” halang Zamir.

“Niena penatlah pa. Semuanya tak boleh! Kalau Niena bercinta dengan dia pun apa masalahnya pa? Dia tu baik… cerdik dan tertib orangnya.” Amanina meningkah berani. Matanya menjeling tajam pada papanya. Susah benar jadi remaja di usia seperti dia. Ada saja yang tak kena.

Zamir menarik lengan Amanina kuat dan membawa anak perempuannya itu masuk ke ruang tamu. Eliza yang sedang membasuh pinggan di dapur hanya mampu menggeleng. Bukan dia tak mahu masuk campur. Dia sebenarnya sudah faham benar dengan sikap Zamir. Kalau putih katanya putihlah. Hitam itu hitamlah! Tidak boleh dibantah.

“Papa kata papa tak suka… papa tak suka! Niena jangan sekali-kali nak melawan cakap papa dan berkawan lagi dengan anak si Zara tu,” ucap Zamir dengan perasaan amarah berapi-api di dada.

Amanina memuncungkan wajah. Dia kurang mengerti mengapa papa bertindak demikian. Apa yang membuatkan papa benci dengan Anas dan keluarganya? Apa salah Anas dan Mak Cik Zara?

“Niena tak faham! Papa ni bencikan Mak Cik Zara dan Anas sebab apa? Sebab mereka orang miskin ke?”

Zamir ketawa kecil mendengar pertanyaan Amanina. Masih tak mengalah rupanya anaknya ini. “Kalau sebab dia miskin, papa kaya tu… papa rasa kejam sangat kalau papa diskriminasi dia dengan cara begitu. Tapi ada hal yang lebih dasyat dari tu Niena. Papa tak nak nanti Niena menyesal. Dia bukan orang yang berketurunan baik-baik.”

“Apa maksud papa ni? Niena tak faham!” rungut Amanina. Matanya mengerling pada mamanya yang baru memasuki ruang tamu dan memeluk bahunya erat.

“Niena… Anas tu anak luar nikah! Mak Cik Zara tu perempuan jahat,” kata Zamir lancang sambil memberi isyarat mata kepada isterinya, Eliza.

Amanina menggeleng-gelengkan kepalanya. Mindanya tidak dapat menerima pernyataan papa. Papa menipu! Mana mungkin lelaki sebaik Anas itu anak luar nikah! Takkanlah pula Mak Cik Zara yang lemah lembut itu perempuan jahat seperti yang dikatakan papanya.

Zamir menjeling pada Eliza. Sekarang giliran Eliza pula untuk menaburkan jarum pada Amanina.

“Niena… mama tahu Niena sukakan Anas. Tapi Niena, mama tak nak nanti keturunan kita tercemar sebab orang macam tu,” ujar Eliza perlahan sambil mengusap rambut Amanina lembut.

“Tak mama! Tak!” jerit Amanina. Tangannya cuba menolak jejari Eliza dari mengelus rambutnya. Dia tidak dapat menerima segala apa yang dituturkan mama dan papanya. Semuanya dusta!

“Niena… anak mama budak pandaikan?” Eliza cuba menggunakan cara yang lebih lembut. Matanya sempat mengerling pada Zamir. “Niena pernah nampak mana ayah Anas? Anas pernah ceritakan pada Niena tak tentang ayah dia? Tak ada kan? Takkanlah mama dan papa nak tipu Niena…”

Mata Amanina mula berair. Kata-kata mamanya mula menusuk ke dalam hati. Ada benarnya juga. Tetapi masih ada kemusykilan di sebalik semua ini! Oh TUHAN, apa yang seharusnya dia lakukan?

Previous: 02
Next: 04

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.