ANAS
memanjangkan langkahan kaki saat matanya tertancap pada batang tubuh Amanina
yang sedang mengayuh basikal laju keluar dari perkarangan sekolah. Sepanjang
hari ini, dia langsung tidak bertemu dan mempunyai masa untuk berbicara dengan
Amanina. Gadis itu tampak sibuk dengan halnya sendiri dan Anas tidak berhasrat
untuk mengganggu.
“Amanina!” jerit Anas dari belakang.
Dia berlari-lari anak mendekati kekasih hatinya yang kian memecut basikal laju
mendekati jalan kecil berhadapan dengan bendang.
Basikal yang dikayuh Amanina tiada
tanda-tanda untuk berhenti malah makin melaju. Anas dibiarkan tercungap-cungap
berkejaran di belakang. Hati Amanina masih lagi ragu-ragu mengenai apa yang dibicarakan
papanya semalam. Namun ini tidak bermakna yang dia membenci Anas. Dia cuma
perlukan ruang untuk berfikir masak-masak mengenai soal perhubungan mereka.
“Niena! Berhenti!” Anas masih tidak
mengalah. Kakinya berlari laju. Tempat duduk pembonceng di belakang basikal Amanina
ditariknya sehingga basikal gadis itu berhenti dalam keterpaksaan.
“Awak ni kenapa?” Amanina menjeling.
Akhirnya dia terpaksa turun dari basikal dan berhadapan Anas yang tidak tahu
erti mengalah ini.
“Awak tu yang kenapa? Kenapa lari
dari saya? Tak jumpa saya langsung!” soal Anas kembali. Dia juga ikut menjeling
dalam keadaan nafas yang tercungap-cungap.
“Dah lepaskan basikal ni. Saya nak
balik…” Amanina memanjat semula naik ke atas basikalnya. Pandangan tajam Anas
ke arahnya tidak diendahkan.
“Hey!” Kedua-dua hendal basikal
ditahan Anas. Matanya menjegil. Amanina dipandangnya dengan penuh amarah.
“Lepaslah! Pergi dari saya! Saya tak
nak cakap dengan awak hari ni,” tingkah Amanina.
“Tapi kenapa? Saya ada buat salah
ke?” tanya Anas. Amanina tidak pernah berperilaku pelik begini.
“Tak… tapi saya rasa lebih baik awak
jauhkan diri awak dari saya.”
“Tapi sebab apa?!” Anas mula
menaikkan suara. Kesabarannya teruji. Sikap Amanina yang degil ini membuatkan
hatinya sakit.
Amanina turun dari basikalnya. Beg
sekolah yang tersauk di bahu diturunkan ke kerusi belakang basikal.
“Papa saya cakap… awak…” Amanina tidak
pasti apa yang bakal diperkatakannya ini akan memberi kesan buruk atau tidak
kepada Anas dan perhubungan mereka. Namun ditekadkan hatinya untuk berbicara
demi sekelumit kebenaran.
“Apa? Apa yang papa awak cakap?”
“Awak anak luar nikah dan mak awak
perempuan jahat.” Amanina menutup mulutnya sebaik saja kata-kata itu keluar
dengan hati yang tanpa rela. Dia takut Anas berang. Siapapun pasti akan berang
kalau ada orang berbicara buruk mengenai mereka dan keluarga mereka.
Anas terpempan mendengar bicara
Amanina. “Apa?! Apa awak cakap? Saya anak luar nikah? Anak haram? Mak saya
perempuan jahat?”
Amanina menunduk. Kepalanya
tergeleng-geleng. “Saya tak bermaksud nak sakitkan hati awak… tapi papa yang
cakap macam tu…”
“Awak percaya cakap papa awak?” soal
Anas tegas. Nafasnya mulai tidak terkawal. Tubuh kecil molek Amanina itu sudah
dipandang bagaikan ular yang berbisa.
“Saya tak tahu. Saya cuma nak dengar
semuanya dari mulut awak… Mana papa awak Anas? Kenapa sekalipun awak tak pernah
ceritakan tentang dia kepada saya?” Perasaan bersalah mulai menyelinap ke hati
Amanina. Sungguh tidak wajar dia berkata begitu pada Anas.
“Jadi awak dah mula nak percayalah…”
Anas bersuara perlahan. Dia berpaling dari menatap wajah Amanina. Hatinya
sakit. Kenapa orang kampung selalu mengutuk dia dan ibu begitu?
“Anas? Saya tak nak percaya semua
tu. Tapi kalau awak tak jelaskan kepada saya… saya mungkin akan percaya. Buat
apa papa dan mama saya nak menipu?” balas Amanina.
Mata Anas memerah. Dia tidak tahu
bagaimana mahu menjelaskan ia pada Amanina. Dia sendiri tidak tahu di mana
ayahnya berada. Ibu tidak pernah menceritakan padanya. Kata ibu ayah tiada. Itu
saja! Kata nenek pula, ayah orang jahat. Ditangkap polis ketika dia masih belum
dilahirkan lagi. Manakala atuk, lelaki tua itu lebih gemar diam dari berbicara!
“Saya… tak tahu macam mana nak cakap
dengan awak, Amanina.”
“Ceritakan aje pada saya. Saya boleh
terima semuanya kalau awak jujur,” pujuk Amanina.
“Saya tak tahu. Ibu tak pernah
ceritakan kepada saya tentang ayah. Saya benar-benar tak tahu, Niena.” Anas
berpaling wajahnya ke arah Amanina. Matanya yang memerah tadi sudah bergenang
air mata.
“Awak berhak fikir apa saja tentang
saya. Mungkin saya anak luar nikah. Mungkin benar ibu saya jahat. Sebab itulah
dia tak pernah ceritakan apa-apa kepada saya mengenai ayah,” sambung Anas.
Anas menghelas nafas berat. Dia
berjalan ke hadapan meninggalkan Amanina terpinga-pinga di belakang. Sungguh
memang dia tidak layak untuk bersama Amanina. Amanina berketurunan orang baik-baik.
Manakala dia pula, anak luar nikah!
***
ZARA
AISYA mengelap peluh yang merindik di dahi menggunakan hujung lengan baju kurung
putihnya yang bercorak bunga kecil. Selesai memasak, dia mengemas dapur yang
semakin uzur rupanya itu. Kebanyakan pinggan mangkuk sudah retak dan ada yang
tidak cukup rangkapnya. Ada cawan tak ada piring ada piring tidak ada cawan!
Pekerjaannya di kedai runcit Pak
Hashim hanya setengah hari saja hari ini. Pak Hashim menyuruh Zara pulang awal
kerana dia hendak menutup kedai tersebut untuk proses pengubahsuaian. Kedai
yang sudah uzur rupanya itu, sekilas pandang bagai kedai runcit zaman 60-an.
Atap kayu dan lantai simennya semakin berlubang-lubang.
Nasi dan lauk asam pedas ikan
kembung serta sup sayur bayam dihidangkan ke atas meja. Setelah itu, Pak
Mustapha dan Mak Zaiton dipanggil Zara untuk menjamu selera.
“Anak kau tak balik lagi, Zara?” Pak
Mustapha bersuara apabila Zara mulai menarik kerusi untuk duduk bersebelahan
dengannya.
“Belum lagi, ayah.” Mata Zara
mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan pukul 2.20 petang. Lambat pulak
budak Anas ni. Selalunya pukul 2.00 petang dah sampai rumah. Sekolah tamat
pukul 1.50 petang hari ini.
“Meleconglah tu. Berdating ke apa…” Mak Zaiton menyampuk. Ada saja prasangka buruknya
terhadap si cucu.
Zara terdiam. Hatinya menahan rasa
nanar yang makin berkembang ke seluruh jiwa. Biarlah apa kata mak, dia percaya
Anas bukan begitu.
“Zara… ayah nak tanya sikit boleh?”
Mulut Pak Mustapha berhenti mengunyah. Matanya beralih ke wajah Zara yang
cantik manis itu.
“Apa dia ayah?”
“Kamu… masih berhubungan dengan
Azaryl?”
Nasi yang bersisa di dalam mulut
Zara ditelan laju. Pertanyaan ayah bagaikan guruh yang mengejutkannya dari
tidur. “Apa ayah cakap ni. Kan sejak dari hari tu… Zara dah langsung tak
berjumpa atau berhubung dengan dia.”
“Zara… dah 18 tahun berlalu. Takkan
Zara masih nak menunggu. Ayah yakin dia takkan kembali kepada kamu lagi.”
Zara mengangkat wajahnya dan
memandang ke arah Pak Mustapha dan bersilih ganti ke arah Mak Zaiton yang sibuk
menyumbatkan nasi ke dalam mulutnya.
“Apa maksud ayah ni?” soal Zara
curiga.
Mak Zaiton menghela nafas berat.
Lalu dia pula yang bersuara. “Kamu minta fasakh. Ayah kamu nak kahwinkan kamu
dengan orang lain.”
Bibir Zara bergetar. Tangannya tiba-tiba
seram sejuk. “Kahwinkan Zara? Kenapa? Mak dan ayah dah tak nak Zara tinggal kat
rumah ni lagi ke? Zara menyusahkan ayah dan mak ke?”
“Haa baguslah kalau kamu dah faham.
Kami ni dah makin tua. Tak larat dah nak menanggung biaya hidup kamu dengan si
Anas tu. Elok juga budak Anas tu ada ayah. Dapat juga dipatah-patahkan sikap
biadap dia tu,” bicara Mak Zaiton lancang. Tangannya diketuk-ketuk ke pinggan
dan teko berisi air bersih dibasahi ke tangan.
“Tapi… Zara…” Zara Aisya kelu dari
kata-kata. Azaryl… Azaryl kata dia akan kembali. Dia masih setia pada Azaryl
walaupun lelaki itu telah mendustainya selama 18 tahun lamanya.
“Zara fikirkanlah masak-masak. Ayah
tahu Zara masih teringatkan Azaryl. Ayah memang rasa bersalah kahwinkan kamu
tanpa usul periksa dengan lelaki tu. Kali ini, ayah dah fikir masak-masak.
Zahri, anak Pak Fatih yang arkitek tu dah lama berkenan dengan kamu. Hari tu
dia ada cakapkan hal ni dengan ayah,” kata Pak Mustapha. Dia juga ikut membasuh
tangannya. Nasi dipinggan sudah licin.
Hanya nasi di pinggan Zara saja yang
masih penuh. Selera makannya tergendala. Tiba-tiba Zara terasa seperti anak
dara yang hendak dikahwin paksa. Walhal dia seorang ibu beranak satu. Dia ada
hak untuk menolak atau menerima lamaran itu.
“Zara, nasihat mak, kau terima
ajelah. Hidup senang kau nanti. Esok-esok boleh juga kami merasa nak kereta
Mercedes. Apalah lagi yang difikir-fikirkan!” putus Mak Zaiton. Matanya
menjeling tajam ke arah Zara yang dianggapnya bodoh. Tak tahu menilai yang mana
satu intan dan yang mana satu kaca.
Zara hanya mampu terdiam membisu.
Maknya langsung tidak memahami gelora yang dihadapinya. Mungkin soal Azaryl dia
boleh ke tepikan. Tapi Anas! Bolehkan Anas menerima kehadiran orang baru dalam
hidup mereka? Ya ALLAH, berat dugaanku kali ini!
***