CAHAYA
bulan yang terang pada malam itu memasuki kamar kecil Zara Aisya dari
jendelanya yang tidak bertutup. Zara masih belum tidur meskipun badannya sudah
terbaring di atas katil. Pandangan matanya hanya terfokus pada kipas siling
yang berputar laju. Malam itu tidak terlalu dingin seperti selalu. Haba panas
seperti tidak mahu keluar dari biliknya. Itulah yang membuatkan Zara masih lagi
terjaga.
Badan Zara dikalihkan ke arah
jendela. Matanya berkelip-kelip saat melihat taburan bintang yang luar biasa
pada malam ini. Langit tidak diselubungi awan. Bagi orang kampung sepertinya,
permandangan ini permandangan biasa. Udara di kawasan kampung kurang tercemar.
Oleh itu langitnya lebih cerah berbanding di kawasan bandar.
Zara cuba melelapkan matanya namun
dia tidak mampu. Dirinya menggelisah akibat panas dan perasaan hatinya yang
kurang senang. Seperti ada yang mengganggu fikirannya. Nak kata dia teringatkan
Anas dan peristiwa pagi tadi yang membuatkannya begini pun tidak. Hal itu sudah
lama dia tolakkan ke tepi sebelum masuk tidur lagi. Dia tidak mahu membebani
fikirannya dengan masalah apabila ingin merehatkan badan. Dia perlukan banyak
lagi tenaga untuk menghadapi ke semua ini esok pagi.
Setelah hampir 10 minit berkeluh
kesah, Zara bangun dari pembaringan. Dia ke meja solek yang berada di ceruk
bilik. Laci meja solek itu ditarik buka lalu tangan kanannya menggagau ke dalam
laci. Bola kecil bersaiz bola golf yang berlekuk-lekuk heksagon pada
permukaannya dikeluarkan.
Bebola berlekuk heksagon itu
berkelip-kelip apabila Zara menyentuhnya. Cahaya ungu kebiru-biruan mula
bernyala dari dalam. Butang merah yang timbul di atasnya pula mengeluarkan
cahaya merah tanpa berkelip. Pada pandangan kasar, bebola itu kelihatan ringan
seperti bola golf namun beratnya berganda-ganda bagai memegang bebola besi yang
tumpat.
Bola itu dibawa Zara ke tengah bilik.
Cahaya yang keluar dari bola tersebut makin bersinar terang. Tanpa teragak-agak
Zara membaling bola itu ke atas siling.
“Terbang…” sebut Zara Aisya
perlahan.
Bola itu berpusing-pusing laju. Ia
terapung-apung di udara tanpa jatuh semula ke lantai mengikut hukum graviti
Isaac Newton. Sepertinya, graviti tidak memberi sebarang kesan kepada bebola
tersebut.
Zara tersenyum. Itulah permainannya
untuk menghilangkan duka lara semenjak ditinggalkan suaminya 18 tahun lalu.
“Ke mari…” bisik Zara sambil
tangannya digamitkan ke arah bebola itu.
Bebola yang mempunyai hampir 30
lekuk heksagon pada permukaannya itu mematuhi arahan Zara. Perlahan-lahan
pusingannya tadi diberhentikan dan bebola itu terbang mendekat ke wajah Zara.
Zara menyentuh salah satu lekuk
heksagon pada permukaan bola tersebut. Bola itu berundur ke belakang. Kemudian,
Zara menggerakkan jari telunjuknya dengan membuat bentuk bulatan. Bebola
tersebut mengikut gerak tangan Zara.
‘Zara rindukan sayang…’ bisik hati
Zara Aisya sedih. Perlahan-lahan tangannya berhenti berpusing. Bola itu kembali
ke wajahnya.
Bola itu dicapai tangan Zara dan
digenggam erat. Mata Zara dipejamkan lalu kenangan lalu datang menujah ke
mindanya.
***
Imbas Kembali: Kampung Selamat,
1997
TOK!
TOK! Pintu rumah kayu berhadapan dengan bendang ini diketuk kuat. Pak Mustapha
menjengah keluar dari kamarnya. Siapa pula yang datang tak berjemput di
tengah-tengah malam begini?
Selak pintu rumah dibuka dan daun
pintu ditolak. Kelihatan empat orang lelaki berkot gelap yang masing-masing
memegang empat buah beg jinjing berwarna hitam tercegat di hadapan tangga.
“Assalamualaikum pak cik…” tegur lelaki yang paling hadapan di
antara empat orang lelaki yang berada di hadapannya. Lelaki itu memakai cermin
mata bulat berwarna hitam.
“Waalaikumussalam… anak-anak ni cari
siapa?” tanya Pak Mustapha sambil menggaru-garu kepala. Pelik-pelik rupa orang
dihadapannya ini. Dalam gelap malam masih memakai cermin mata hitam.
“Kami cari Tuan Azaryl. Dia ada?”
jawab lelaki itu.
“Azaryl? Menantu pak cik? Ada!
Tapi…” Pak Mustapha masih lagi musykil. Siapa mereka ni? Azaryl setahunya tak
pernah pula kenalkan ahli keluarganya kepada dia anak bini. Kata Azaryl dia
sebatang kara di sini. Oleh sebab itulah Pak Mustapha tidak banyak cerita
apabila mengahwinkan Zara Aisya dengan Azaryl. Lelaki itu hanyalah seorang
lelaki dari bandar yang ingin berbakti di kampung.
“Boleh kami masuk?” tanya seorang
lagi lelaki yang berambut pacak di belakang lelaki yang bersuara tadi.
“Aah…”
Belum sempat Pak Mustapha memberikan
jawapan, keempat-empat lelaki itu merempuh masuk ke dalam rumah dengan menolak
Pak Mustapha ke tepi.
“Tuan! Tuan Azaryl!” jerit mereka
berempat sambil menggeledah rumah kayu kecil tersebut.
Mak Zaiton keluar dari dapur
tercengang-cengang melihat perilaku lelaki-lelaki yang tidak dikenalinya ini.
Dia mendekati Pak Mustapha yang sudah tersandar di dinding rumah.
“Abang? Siapa mereka ni?” soal Mak
Zaiton keresahan.
Pak Mustapha hanya mampu menggeleng.
Dia sendiri tidak faham dengan apa yang sedang berlaku. Namun apa yang dia
pasti, dia sudah membuat satu kesalahan besar. Azaryl mungkin bukan lelaki yang
terbaik untuk dikahwinkan dengan Zara yang menjadi rebutan jejaka-jejaka
kampung ini kerana kecantikannya.
“Mana dia Tuan Azaryl?” sergah
lelaki yang berkaca mata putih kepada Pak Mustapha dan Mak Zaiton.
Mak Zaiton menelan air liurnya laju.
Matanya terarah pada pintu bilik Zara yang bertutup. Lalu bibirnya dijuihkan ke
arah itu.
Lelaki berkaca putih itu memanggil
tiga lagi rakannya. Mereka berkumpul di hadapan bilik tersebut dan salah
seorang dari mereka mengetuk pintu bilik itu kuat.
“Tuan! Tuan Azaryl Aziz! Tolong beri
kerjasama kepada kami, tuan. Kami datang untuk membawa tuan balik,” kata lelaki
yang mengetuk pintu bilik tersebut.
Disebalik pintu itu Zara dan Azaryl sedang
berdakapan erat. Azaryl seperti tidak mahu melepaskan Zara daripada dirinya
walaupun dia tahu dia tidak boleh lagi melarikan diri buat kali ini.
“Zara…” Azaryl melepaskan
rangkulannya dari si isteri. “Saya minta maaf dengan awak kerana tidak jujur
dengan awak selama ini.”
Zara menggigit bibirnya. Matanya
redup memandang ke lantai kayu. “Saya tak faham… siapa mereka? Apa yang mereka
nak dari awak?”
“Mereka akan bawa saya pergi Zara. Saya
nak minta maaf banyak-banyak dengan awak. Saya cintakan awak tapi saya terpaksa
tinggalkan awak buat seketika waktu,” bicara Azaryl lembut. Rambut Zara
dielusnya perlahan. Wajah Zara yang putih kemerah-merahan itu ditatapnya dengan
penuh rasa sayu.
Air mata Zara mula mengalir pantas.
Akibat tangisan itu, bahagian mata dan hidungnya memerah. Bibir nipisnya dikebam
untuk menahan bunyi tangisan yang semakin menguat.
“Syy jangan menangis,” pujuk Azaryl.
“Saya janji yang saya pergi takkan lama…”
“Awak nak ke mana sebenarnya ni?
Saya tak faham…”
“Satu hari nanti awak akan faham.
Simpan ni… Tekan butang merahnya bila awak betul-betul dilanda masalah besar.”
Azaryl mengeluarkan bebola yang permukaannya dilatari lekuk-lekuk heksagon dari
kocek. Lalu bebola itu diserahkan ke tangan Zara Aisya.
Kemudian Azaryl melepaskan pegangan
tangannya dari Zara. Dia berjalan ke muka pintu kamar dan membuka selak kamar
tersebut.
Azaryl menyerahkan dirinya kepada
empat orang lelaki tadi. Keempat-empat mereka memegang tangan Azaryl kuat dan
salah seorang dari mereka memakaikan Azaryl cermin mata besar seperti adiwira
Cyclops di dalam filem X-Men.
Mak Zaiton dan Pak Mustapha masih
lagi tercengang melihat apa yang terjadi di hadapan mata mereka. Manakala Zara
pula hanya mampu merintih sendirian. Semenjak itu, hidupnya berubah 360 darjah
dengan serta merta.
***