Home Novel Fantasi Pada Suatu Masa Hadapan
Pada Suatu Masa Hadapan
Syaida Ilmuna Ismail
24/10/2014 18:17:35
16,487
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
02

BEG sekolah berwarna hitam diletakkan perlahan ke atas meja kayu yang terletak di barisan pertama lajur kedua kelas tingkatan 5 Sains 1. Setelah itu, Anas duduk di kerusi plastik berwarna kuning cair sambil merenung ke luar tingkap kelasnya yang mempamerkan permandangan sawah padi yang kian menguning.

‘Ya ALLAH, bilalah dugaan hidup kami bakal berakhir?’ bicara hati Anas hiba. Air matanya bergenang namun ia ditahan dari melimpah turun. Hati lelakinya yang keras itu tidak membenarkan. Anas masih berpegang kepada pepatah yang lelaki tidak pernah menangis!

Dalam diam, Syamil menatap rakannya dari arah belakang. Hasrat di hati ingin menegur. Walau bagaimanapun, takut pula dia mengganggu rakannya yang sedang larut melayan perasaan ini.

“Anas…” panggil Syamil perlahan.

Anas tidak menyahut. Remaja berumur 17 tahun ini hanya membisu bagai pekak dari segala bunyi yang berada di sekelilingnya.

“Anas? Anas?” Syamil mendekat. Bahu Anas dicuitnya lembut.

Anas menoleh. Wajah Syamil yang tersenyum kambing itu dipandang sayu. Kepalanya beralih semula ke jendela kelas.

“Kenapa termenung ni? Sampai lambat pulak tu! Teringatkan mata air ke?” usik Syamil nakal. Kerusi yang berada di meja sebelah ditariknya mendekati meja Anas.

“Tak adalah. Apa pulak teringat mata air! Entahlah… hidup aku berliku-liku, banyak dugaan,” keluh Anas.

Syamil menongkat dagunya. Dugaan? Dah pulak! “Dugaan apa? Dugaan yang selalu-selalu tu ke?”

“Dugaan yang mana lagi? Itu je lah dugaan yang selalu menimpa aku dengan ibu aku.” Beg hitam yang berada di hadapan Anas ditarik dekat dengannya. Buku fizik tingkatan lima dikeluarkan.

“Alahai… Kalau pasal nenek kau tu… abaikan je lah. Sejak dari kau lahir lagi dia memang macam tu. Memang benci kau dengan mak kau tu. Jadi sekarang ni dah masuk 17 tahun! Bagi aku caranya mudah saja kalau kau nak nenek kau tu berubah,” kata Syamil tegas. Kerusinya didekatkan ke meja. Buku fizik Anas diangkat ke muka.

“Macam mana?” Kening Anas dijungkit-jungkit.

Bam! Buku fizik yang berwarna kuning cair itu dihempas ke meja. “Kau kena berjaya! Buktikan yang orang macam kau ni… yang tak ada kasih sayang seorang ayah boleh jadi seorang yang berjaya! Itu saja peluang kau, Nas!”

Anas tergelak kecil melihat telatah Syamil yang beriya-iya. Macam dia pula yang berada di tempat aku sekarang ni. “Hmm… itulah yang sedang aku usahakan. Insya-ALLAH, kalau SPM aku cemerlang… aku nak apply matriks dan seterusnya ambil degree jurusan berkaitan fizik.”

“Bagus! Bagus! Itulah semangat yang aku nak tengok!” Syamil menepuk-nepuk belakang Anas kuat. Sengaja diubah sikapnya menjadi keloloh tak tent pasal. Biar Anas ketawa melihat kelakuannya.

So sekarang ni bercakap tentang fizik… Cikgu Lim See Ken mana? Dia tak datang kelas ke?” tanya Anas.

Syamil tersengih. “Dia ada meeting,” bicaranya berbisik. Kemudian dia kembali menyambung, “Satu kelas tak tahu lagi. Sengaja aku tak nak beritahu. Takut nanti dorang semua berjimba! Biar dorang study hard sikit. Lagipun percubaan dah nak dekat.”

Anas menyengetkan bibirnya sambil mengerdipkan mata berkali-kali. Bagus juga si ketua tingkatan ni. Berfikiran jauh.

“Emm… kau ada nampak Amanina tak hari ni?” Soalan Anas tiba-tiba berubah arah. Dari berkaitan pelajaran, terus melompat ke topik berkaitan mata air.

“Haiii… tiba-tiba tanya Amanina ni?” Syamil tersengih lagi. Bahu Anas ditonjol-tonjol jari telunjuknya.

“Alah… lari topik sikitlah! Dia datang sekolah tak?” tanya Anas dengan mata yang bercahaya. Amanina gadis pujaan seisi sekolah. Dari pelajar sehinggalah ke pengetua. Semua gilakan Amanina. Cantik manis orangnya. Budak aliran sastera.

“Datang! Macam biasa tunggu kau kat tepi tangga. Tapi kau datang lambat dia masuk kelaslah,” jawab Syamil pantas.

“Emm… takpe nanti masa rehat aku jumpa dialah.”

Buku fizik yang berada di tangan Syamil dirampas Anas. Muka surat 15 dibuka. Sungguhpun matanya tertumpu pada formula-formula wavesdan resonance, namun hatinya berbunga-bunga mengingatkan Amanina yang berambut ekor kuda dan senyumannya yang menawan seindah mentari. Oh Amanina! Terbang seketika masalah yang menghimpitnya tadi.

***

ZARA AISYA mengelap habuk-habuk yang melekat di meja juruwang kedai runcit Pak Hashim. Sudah hampir lima tahun Zara bekerja di sini. Ia juga sudah menjadi mata pencarian utama bagi menampung kehidupan dia dan anaknya, Anas. Yang selebihnya, kebanyakan hal kewangan banyak dibantu oleh Pak Mustapha. Manakala Mak Zaiton pula tidak mahu langsung ikut campur dalam soal kebajikan dia anak beranak.

Dia terpaksa akur. Emaknya amat membenci dia dan Anas. Malah kebencian Mak Zaiton terhadap Zara sudah mula berkembang semenjak Zara masih kecil lagi. Entah di mana silapnya Zara. Dia sendiri tidak mengerti.

Kemudian, apabila suaminya meninggalkan dia selepas berkahwin, kebencian Mak Zaiton kepada Zara kian memuncak. Benci dan amarah itu pula beralih kepada Anas selepas anaknya itu dilahirkan. Entah apalah lagi yang harus Zara lakukan supaya emaknya berhenti dari memandang buruk terhadap dia dan anaknya. Zara tidak kisah mengenai dirinya. Namun apa yang Zara bimbangkan adalah Anas! Sejak dari kecil lagi, dendam dan kebencian kepada neneknya itu sudah terbentuk tanpa sengaja walaupun Zara cuba untuk melenturkannya.

Setelah selesai mengemas di ruangan juruwang, Zara Aisya masuk ke dalam stor. Barangan yang sudah habis stok dan juga perlu diisi diperiksa satu persatu. Semuanya dicatat di dalam buku tiga lima yang bakal ditunjukkan kepada Pak Hashim nanti. Begitulah pekerjaannya sehari-harian. Bosan atau tidak mencabar itu sudah tidak menjadi kepentingannya lagi walhal dia adalah pelajar lepasan ijazah perakaunan di sebuah universiti awam. Dek kerana pengorbanan terhadap anaknya, Anas cita-cita dan impiannya dulu diketepikan.

“Zara!”

Zara Aisya berhenti dari mencatat bilangan stok di dalam buku tiga limanya itu. Kepalanya mendongak ke atas sambil tercari-cari bayang manusia dari celah-celah rak barangan yang tersusun secara memanjang di hadapannya.

“Ooo Zara!” Seorang wanita yang berusia antara 50 ke 60-an bersuara lagi. Bayangan langkah kakinya dapat ditangkap Zara yang sedang duduk mencangkung di belakang rak yang bersusun kotak Milo dan Nestum.

“Mak Piah! Zara kat belakang ni!” sahut Zara. Dia seterusnya bangun dan bergerak ke meja juruwang.

“Haa ingatkan tadi hang nak bagi free saja barang-barang kat kedai ni!” seloroh Mak Piah dalam longat utara. Plastik merah yang berisi beberapa biji bawang merah dan juga bawang putih diletakkan di atas meja kashier.

Zara menggeleng-geleng sambil tersenyum. Pipinya yang putih melepak itu kemerah-merahan apabila diusik Mak Piah. “Kalau saya bagi free… esok saya dah tak kerja dah kat sini, Mak Piah.”

“Ish! Tak maulah dok cakap lagu tu! Doa tu hang tau!” Mak Semah menciut-ciutkan bibirnya tanda kurang senang dengan bicara Zara. Sambil itu tangannya menggapai sekotak cereal Coco Crunch dan beberapa paket keropok Toki. Mungkin buat cucunya yang baru dihantar ke kampung minggu lepas.

“Yang ni aje ke Mak Piah?” kata Zara.

“Haa yang ni sajalah. Nak beli banyak-banyak sat lagi cucu aku tu tak mau makan. Depa ni susah sikit bab-bab makan. Asyik nak makan western saja! Aku tak taulah macam mana mak bapak depa ajaq anak makan!” rungut Mak Piah. Matanya sempat mengerling kepada wajah Zara yang menawan itu. Putih melepak budak ni. Sayang tak berlaki!

“RM10 semuanya.” Zara siap membungkuskan kesemua barangan itu ke dalam dua plastik merah besar. Plastik itu diserahkan ke tangan Mak Piah. Namun Mak Piah tidak menyambut huluran Zara. Wanita itu sekadar tersengih dan membiarkan Zara meletakkan semula barangan beliannya ke atas meja.

“Mak Piah? Awat ni?” tegur Zara. Jarinya dipetik-petik untuk menyedarkan Mak Piah dari lamunan.

“Eh! Opocot mak hang! Aippp!” latah Mak Piah. Dia mengetuk meja juruwang itu berkali-kali sambil menggaru-garu kepalanya.

“Mak Piah kenapa? Saya tengok dok termenung je?”

Mak Piah kembali tersengih. “Bukan… aku bukan termenung. Tapi dok teringat sesuatu. Ni mak hang sihat ka?”

Zara ketawa kecil melihat gelagat Mak Piah yang sedikit kelam kabut. Memang orang tua itu begitu. Cepat sangat melatah tak tentu pasal.

“Alhamdulillah sihat.”

“Dia dok marah hang macam dulu jugak ka?” tanya Mak Piah berbisik. Tangannya menyentuh jejari kanan Zara yang sedang mengelap-ngelap meja.

“Taklah…” Zara melarikan matanya dari bertembung dengan mata helang Mak Piah yang asyik meniliknya dari tadi.

“Hang jangan tipu aku noh! Aku tau…” Jejari Zara digengam erat oleh Mak Piah.

Zara mengeluh kecil. Kepalanya diangkat dan matanya kembali memandang tepat ke mata Mak Piah. “Apa saya boleh buat Mak Piah? Takkan saya nak menderhaka kepada mak ayah sendiri?”

“Aku tak suruh hang buat lagu tu. Tapi bersuaralah sikit. Hang ada hak! Bukan lagi budak-budak. Dia tak boleh suka-suka marah hang. Lagipun, bukan salah hang… laki hang tu kena tangkap,” bicara Mak Piah tanpa berselindung lagi. Dia kasihan dengan Zara. Selalu diumpat oleh mak sendiri yang menyebarkan berita buruk mengenai anaknya sendiri. Tak sangka wujud lagi orang begitu di zaman serba moden ini.

“Dahlah Mak Piah… pasal laki saya tu… saya tak mau cakap lagi tentang dia! Dia dah tak wujud lagi dalam hidup kami,” balas Zara tegas. Air mata mula bergenang di kolam matanya. Sengsara ini dia tanggung sendiri sejak 17 tahun lalu. Setelah tiga hari berkahwin, suaminya lesap begitu saja dibawa pergi oleh empat orang lelaki yang tidak dikenali.

Mak Piah menggeleng-geleng laju. Dia tahu Zara sudah tiada daya lagi untuk menahan kesedihan dan apa saja bencana yang dia lalui kini. Biarlah apa yang emaknya nak bicara atau orang kampung hendak mengutuknya. Zara hanya fikirkan kebahagiaan Anas!

“Hang takkan tak tau suami hang tu berasal dari mana? Manalah tau kut-kut dia duduk kat sana la ni… tengok gaya dia lagu orang bandar. Asal KL kut,” usul Mak Piah.

“Tak tahu Mak Piah. Saya tak tahu!” bicara Zara kekeliruan. “Kalau saya tahu, dah lama saya tinggalkan kampung ni. Dah lama saya pi kat dia… Masalahnya, saya pun tak tahu yang sama ada dia ditangkap polis pada malam tu atau…”

Kata-kata Zara tergantung. Air matanya lebat membasahi pipi. Emosinya terganggu apabila bayangan suami menjengah di mata. Masih lagi terbayang wajah lelaki yang menikahinya itu cuba untuk tersenyum kepadanya saat pintu bilik mereka diketuk kuat bagai nak runtuh. Empat orang lelaki yang berpakaian kot gelap ala James Bond menceroboh rumahnya pada malam 24 Ogos 1997.

“Saya janji yang saya pergi takkan lama…” ujar si suami meyakinkan. Matanya memandang tepat ke mata Zara sambil menggenggam tangan isterinya kuat.

“Awak nak ke mana sebenarnya ni? Saya tak faham…” Zara tidak mahu melepaskan genggaman tangan si suami. Bahu lelaki itu pula dicengkamnya.

“Satu hari nanti awak akan faham. Simpan ni… Tekan butang merahnya bila awak betul-betul dilanda masalah besar.” Lelaki yang dicintai Zara itu mengeluarkan sesuatu dari kocek seluar. Bola kecil yang dipenuhi lekuk heksagon berwarna putih pada permukaannya. Sekilas pandang, bentuk bola itu bagaikan bola golf. Namun cahaya ungu dan biru yang menyala dari dalamnya serta butang merah yang berada pada atas bola tersebut membezakan ia dari bola permainan termahal dunia itu.

“Zara Aisya! Zara!” Mak Piah menepuk-nepuk meja kayu.

Zara kembali ke alam nyata. Duit not RM10 yang berada di tangan Mak Piah dicapai. Barang-barangan yang sudah dibungkus dihulurkan kepada wanita tua itu dengan cermatnya.

Previous: 01
Next: 03

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syaida Ilmuna Ismail