Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 29

PROSEDUR PENDAFTARAN

Bunyi enjin kenderaan yang datang dari luar mengejutkan lamunan Ilham. Pantas dia menoleh ke arah muka pintu untuk melihat si gerangan yang bertandang ke rumah. Sejak dari awal pagi dia sudah bersedia di hadapan pintu. Bagasinya juga sudah turut tersedia di sisinya.

"Ilham, mereka dah sampai ke?" soal Mariah yang baru datang dari arah dapur.

"Hmm." Ilham menjawab ringkas. Mariah mengambil tempat di sisi Ilham.

Kauthar yang berada di halaman menyambut kedatangan tetamu itu. Dia mempersilakan tetamu itu masuk ke rumah.

"Ilham Hakimi, kamu dah ready nak pergi? Barang semua dah siap?" soal Akhtar di muka pintu.

Ilham mengangguk sedikit sebagai jawapan. Dia kelihatan tidak gembira sahaja dipaksa sebegitu. Bagasi yang berada di sebelahnya diambil lalu diserahkan kepada Akhtar. Bagasi miliknya bertukar tangan lalu dimasukkan ke dalam but kereta.

Tatkala Ilham ingin melangkah keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta, ibunya memanggil. Wajah ibu dan bapanya berubah sayu menghantar pemergian si anak tunggal.

"Ilham...."

Ilham menoleh ke arah ibunya. Mariah berjalan merapati Ilham yang telah pun berada di hadapan pintu kereta. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas bahu Ilham. Pelbagai kata nasihat dititipkan buat si anak. Ilham mendengarnya dengan teliti.

"Ilham ... Ilham perlu ingat ya. Ilham belajar betul-betul ya. Bila Ilham dah berjaya nanti, jangan sombong. Jangan perlekehkan orang lain. Jadilah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Gunakan ilmu tu untuk dimanfaatkan pada orang lain, bukan untuk memperbodohkan orang lain. Jadikanlah ilmu tu satu cara untuk Ilham mengenal sang pencipta, dan bukan sebaliknya," nasihat Mariah bersungguh-sungguh.

Kauthar hanya berdiri di sisi Mariah dan turut sama mendengar. Kebiasaannya, tugas memberi nasihat memang tugas kaum ibu. Kaum bapa pula hanya menyerahkan segala urusan kepada si ibu. Jika si bapa ingin memberi nasihat sekalipun, hanyalah sepatah dua yang dirasakan penting.

Usai habis memberi nasihat, Mariah memeluk Ilham seerat yang boleh. Lama mereka berdua berpelukan. Ilham turut membalas pelukan. Entah kenapa hatinya berasa sebak tiba-tiba. Dia dapat rasakan pertemuan ini seolah-olah kali terakhir dia akan bersama dengan ibu dan bapanya.

Setelah beberapa minit, Mariah meleraikan pelukannya. Kauthar pula diberi peluang untuk berbalas pelukan dengan Ilham. Akhtar hanya menanti dengan senyap. Dia memberi peluang kepada mereka sekeluarga untuk menikmati saat itu sebelum mereka berpisah. Lagipun, dia tahu ini mungkin kali terakhir Ilham bersama mereka.

***

Pandangan dilepaskan ke luar tingkap. Pemandangan di sepanjang jalan ditatap Ilham tanpa rasa jemu. Pemandu yang berada di hadapan tidak dipedulikannya. Fikirannya jauh menerawang mengingati saat-saat akhir bersama ibunya. Kata-kata nasihat ibunya masih terngiang-ngiang di telinga.

"Kamu boleh tidur jika kamu mahu. Perjalanan masih jauh lagi ni. Mesti kamu penat nanti," sapa Akhtar yang duduk di sisi Ilham.

Ilham tidak mempedulikan sapaan pegawai itu. Langsung dia tidak menoleh. Tidak berminat untuk berbalas bicara dengan lelaki itu. Dia hanya ingin terus hanyut dengan perasaannya sendiri ketika ini.

***

"Dah, bangun. Kita dah sampai, Ilham," kejut Akhtar sambil menepuk perlahan bahu Ilham.

Ilham membuka matanya perlahan. Wajah Akhtar yang sedang mengejutkannya menyapa pandangan. Ilham pun tidak ingat sejak bila dia tertidur. Mungkin dia terlalu penat dan bosan kerana perjalanan yang jauh. Mungkin juga kerana malam tadi dia hampir tidak boleh melelapkan mata kerana memikirkan berbagai-bagai perkara.

Ilham bangun perlahan-lahan. Air liur basi yang meleleh ke tepi dikesat perlahan-lahan dengan jarinya. Nasib baik Akhtar tidak nampak. Jika tidak, pasti dia berasa malu. Ilham menggeliat sebentar mengusir kantuk yang masih bersisa di tubuh.

Pintu kereta dibuka oleh seorang lagi pegawai universiti yang sudah bersedia di luar kereta. Ilham pun tidak perasan sejak bila pegawai itu berada di situ. Ilham keluar dari perut kereta. Akhtar turut keluar bersama.

Nampaknya dia bukan berada di kolej kediamannya. Pasti dia datang ke sini untuk mendaftar di fakulti terlebih dahulu sebelum mendaftar kolej. Beg-begnya tidak dikeluarkan. Hanya dibiarkan di dalam but kereta.

Ilham cuma membawa sebuah beg sandang di bahunya. Dalam beg itu terdapat dokumen-dokumen yang diperlukan untuk mendaftar. Ilham memerhatikan bangunan yang tersergam indah di hadapannya dengan seribu tanda tanya di benak. Dia tertanya-tanya di mana dia berada sekarang. Dia turut berasa pelik dengan layanan istimewa yang diberikan.

"Okey, jom kita pergi. Mereka dah lama tunggu kedatangan kamu," ajak Akhtar sambil menepuk bahu Ilham. Ilham ingin terus bertanya tetapi tubuhnya telah didorong oleh seorang lagi pegawai lain yang membuka pintu untuk Ilham tadi.

'Mereka? Siapa mereka tu?' soal Ilham di dalam hati.

Ilham dibawa masuk ke dalam sebuah bangunan yang berada di hadapannya. Dia tidak dapat memastikan apa fungsi bangunan ini. Bangunan ini nampaknya tidak kelihatan seperti sebuah pejabat. Biasanya urusan pendaftaran dilakukan di pejabat. Akan tetapi, lain halnya dengan bangunan ini.

Ilham melewati beberapa buah koridor sebelum dibawa masuk ke sebuah bilik. Pintu bilik itu cuma pintu bilik biasa, tidak memerlukan kata laluan atau alat pengimbas di sisi pintu untuk masuk. Akhtar mengetuk pintu beberapa kali sebelum mendengar orang di dalamnya memberi kebenaran.

Pintu dibuka. Debaran secara tiba-tiba menyesakkan dada seolah-olah ingin menghadiri temuduga. Mungkin juga universiti ini ada temuduga sebagai salah satu syarat untuk masuk. Memandangkan hanya pelajar terpilih sahaja yang layak untuk melanjutkan pengajian di universiti ini.

Air liur yang ditelan ke kerongkong terasa pekat secara tiba-tiba. Ilham menilik dirinya sendiri. Dia hanya mengenakan pakaian biasa, bukannya pakaian formal yang sepatutnya dikenakan oleh orang yang menghadiri temuduga. Akhtar tidak pula memberitahu apa-apa mengenai temuduga ini. Walau apa-apa pun, dia harus bersedia untuk menghadapi apa yang bakal mendatang.

"Ilham Hakimi. Kenapa tak masuk lagi?" panggil salah seorang pegawai universiti yang berada di dalam bilik itu. Dek terlalu takut, Ilham hanya berdiri tercegat di luar sahaja.

"Jangan takut, kami bukannya makan orang pun," seloroh seorang lagi pegawai lain yang kelihatan lebih berusia.

Selorohnya itu sedikit sebanyak mengusir rasa cuak yang bersarang di kalbu. Ilham melangkah masuk dengan perlahan. Debaran di dadanya masih belum hilang. Melihatkan suasana di dalam bilik ini, dia tidak dapat mengagak bilik ini untuk tujuan apa.

Terdapat sebuah meja dan beberapa buah kerusi di dalam bilik ini. Beberapa orang pegawai memakai baju kemeja kelihatan sedang berdiri berhampiran sebuah meja. Kesemuanya memerhatikan tindak-tanduk Ilham sedari tadi. Tidak selesa Ilham dibuatnya.

Hanya seorang sahaja pegawai yang duduk di kerusi. Akhtar menyerahkan sebuah dokumen kepada salah seorang pegawai yang sedang berdiri. Ilham dipelawa duduk di sebuah kerusi kosong yang berada di hadapan meja itu.

'Mereka nak suruh aku buat apa ni? Ah, aku nak balik! Menyesal aku terima tawaran ni,' luah Ilham di dalam hati.

Ilham mengambil tempat di kerusi kosong seperti yang dipinta. Pegawai yang berada di hadapannya ini memakai tag nama Malik. Dia mengukir senyuman kepada Ilham. Namun Ilham tidak membalasnya.

Ilham masih berasa takut dengan pegawai-pegawai yang berada di dalam bilik ini. Dia takut dia akan diperlekehkan dan dimalukan oleh mereka. Bukan apa, keputusan akademiknya biasa-biasa sahaja. Langsung tidak layak untuk menjejakkan kaki ke universiti ini.

"Dia dah buat medical check-up belum?" Telinga Ilham menangkap butir perbualan salah seorang pegawai yang berada di bilik itu.

"Belum. Aku ingatkan dia kena lalui prosedur ni dulu," balas Akhtar.

"Okey. Takpa, lepas dia jalani ujian ni, bawa dia pergi medical check-up dulu." Mendengarkan itu menyebabkan Ilham bertambah cuak.

'Ujian? Prosedur? Medical check-up? Kena buat lagi ke? Pakai laporan perubatan sebelum ni tak boleh ke? Takpa takpa. Mungkin prosedur kat universiti ni lain sikit kot.' Ilham cuba menyedapkan hatinya.

"Ilham...," panggil Malik yang berada di hadapannya meminta perhatian Ilham.

Ilham mengangkat wajahnya yang tadi menunduk. Riak wajah penuh muslihat lelaki itu ditenung Ilham. Malik kelihatan mengeluarkan beberapa helai kertas yang dikepilkan bersama dari sebuah fail berwarna jingga di atas meja. Kertas itu diserahkan kepada Ilham bersama sebatang pen.

Berkerut dahi Ilham. Kertas apa yang diserahkan itu dan apa tujuan kertas itu diserahkan kepadanya?

'Borang kot. Tak pun surat perjanjian.' Sekali lagi Ilham cuba menyedapkan hatinya.

Ilham mengambil sebatang pen yang ada di atas meja. Kertas itu diselaknya. Tatkala helaian pertama dibuka, sekali lagi Ilham berasa terkejut. Ternyata kertas itu merupakan kertas ujian. Dapat dilihat melalui soalan-soalan yang diberikan.

'IQ test ke? Bapak ah! Masuk-masuk je dah kena IQ test.' Kejutan demi kejutan diterima Ilham.

Tangan Ilham terasa sejuk secara tiba-tiba. Mungkin lebih sejuk daripada suhu bilik berpenghawa dingin itu. Jari-jemarinya menggigil-gigil. Pen yang berada di dalam genggamannya terlepas serta-merta.

"Kalau kamu tak selesa, saya boleh bagi kamu jawab soalan ni dalam bilik khas."

Ilham ingin menolak tetapi Malik telah bangun terlebih dahulu. Kertas dan pen yang berada di atas meja diambil. Dia mengajak Ilham ke sebuah bilik yang pintunya turut berada di dalam bilik itu. Dalam bilik itu hanya terdapat sebuah meja dan sebuah kerusi. Pen dan kertas ujian tadi diletakkan di atas meja. Kerusi ditarik. Ilham dipelawa duduk di kerusi itu.

Ilham akur mengikut permintaan Malik seperti robot. Tangannya pula semakin dingin. Bukan sebab suhu di dalam bilik ini, tetapi disebabkan panik yang menjalar di seluruh tubuh. Malik pula berjalan meninggalkan Ilham seorang diri di bilik itu.

"Kalau dah selesai, panggil saya tau. Saya kat bilik sebelah je," pesan Malik sebelum menutup pintu.

Ujian yang diberikan hanyalah ujian untuk mengukur kepintarannya atau dikenali sebagai Intelligent Quotient Test. Ilham cuba menyelesaikan soalan-soalan itu sebaik mungkin. Dia tidak mahu menghampakan ibu bapanya lagi.

Kebanyakan soalan ujian itu terdiri daripada soalan yang menguji tahap pemikiran logik seseorang. Soalan berbentuk kira-kira Ilham hanya selesaikan dalam otak. Dia tidak mahu menconteng jalan kerjanya di atas kertas. Dia mahu menunjukkan dirinya mampu mencongak kesemuanya dalam kepala.

Setelah selesai, Ilham berjalan ke pintu lalu mengetuknya beberapa kali. Malik menyambutnya di muka pintu. Kertas yang berada di tangannya bertukar tangan. Pen itu tidak pula disambutnya walaupun Ilham cuba untuk menyerahkan pen tersebut.

"Boleh lagi ke tak? Ke nak rehat dulu?" Soalan yang dilemparkan Malik membuatkan Ilham berasa pelik.

"Kalau boleh, kita teruskan dengan ujian seterusnya." Mendengarkan itu menyebabkan mata Ilham terbuntang luas.

Ujian sebelum ini pun sudah cukup untuk membuatkan dia sakit kepala. Ada berapa banyak ujian lagi yang perlu dia lalui?

"Okey, kalau macam tu...." Malik faham akan reaksi yang ditonjolkan Ilham. Dia mahu rehat.

"Bagi dia buat medical check-up dululah, sementara dia rehat ni. Medical check-up ni pun ada beberapa fasa," sampuk seorang lagi pegawai yang turut berada di bilik itu.

Ilham mengintai melalui celah pintu. Pegawai-pegawai lain telah pun beransur pergi termasuklah Akhtar melainkan dua orang pegawai ini.

"Okeylah kalau macam tu. Kamu pergi ikut Encik Mustaqim buat medical check-up dulu. Dah siap nanti datang sini balik." Ilham berasa semakin cuak mendengar arahan Malik. Kalau boleh, dia mahu melarikan diri sejauh yang boleh. Dia sangat takut berjumpa dengan doktor. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa.

"Ilham Hakimi, sila ikut saya," arah pegawai yang dipanggil Mustaqim itu dengan tegas.

Kaki Ilham terus automatik mengikut gerak langkah Mustaqim. Sekalipun hatinya meronta-ronta tidak mahu menurut pergi.

Ilham dibawa ke sebuah bilik yang turut berada di dalam bangunan itu. Sangkanya, dia akan dibawa ke klinik. Jikalau begitu, dapatlah dia melarikan diri terlebih dahulu. Nampaknya, niat jahatnya itu terpaksalah dibatalkan sahaja.

Bilik yang dimasukinya kini kelihatan seperti sebuah bilik doktor. Ada seorang doktor menyambut kedatangan Ilham. Dia melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas Ilham. Sampel darahnya turut diambil.

Ilham sendiri berasa hairan. Saringan kesihatan yang perlu dijalaninya sebelum ini semasa dia mula-mula memasuki universiti tidaklah sebanyak ini. Tidak selesa Ilham dibuatnya. Dia sehingga disuruh untuk membuka baju untuk diletakkan stetoskop ke atas tubuhnya.

Setelah itu, Ilham dibawa pula ke sebuah bilik lain. Apa yang berada di dalam bilik ini menyebabkan rasa panik yang terkumpul di kalbu semakin membuak-buak. Tinggal tunggu masa untuk meletus sahaja.


Previous: BAB 28
Next: BAB 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.