Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 34

PILIHAN

'Mereka saling mengenal?' Terkejut Ilham dibuatnya tatkala melihat Fizri dan Luqman kelihatan berbual mesra.

Kejutan demi kejutan diterima Ilham hari ini. Nasib baiklah Ilham cukup kuat untuk menerima segala kejutan pada hari ini. Jika tidak, pasti jantungnya sudah tercampak keluar dari tubuhnya.

Zahran meminta perhatian semua pelajar-pelajar di dalam makmal itu. Dia ingin memulakan ucapannya. Para pelajar yang sedari tadi berbual kosong sesama mereka mula menumpukan perhatian masing-masing ke hadapan. Suasana makmal itu yang dipenuhi suara para pelajar berbual-bual bak dengungan lebah menjadi senyap dalam sekelip mata.

Ilham yang sedari tadi memerhatikan Fizri turut mengembalikan fokus ke hadapan. Mahu mendengar apa yang bakal disampaikan pensyarah itu. Dia sudah tidak sabar ingin pulang. Mahu melepaskan keletihannya setelah penat menghabiskan masanya di fakulti sepanjang hari.

Jam di tangan sekali lagi dikerling sekilas. Menanti bilakah professor ini akan menghabiskan ucapannya. Dia nampaknya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk berhenti bercakap. Ilham sudah mula bosan. Mindanya sudah menerawang jauh ke tempat lain sehingga butir ucapan professor itu hanya melintas sekali lalu di telinganya sahaja.

***

"Ilham, kamu tunggu sekejap ya." Teguran daripada Fizri itu menyebabkan perbuatannya yang sedang mengemas beg terbantut seketika.

Masa yang dinantikan berakhir jua. Akan tetapi, pemberitahuan daripada Fizri itu benar-benar membunuh semangatnya untuk pulang.

'Apalagilah ni,' rungut Ilham di dalam hati.

Ilham yang sudah bangun pada waktu itu kembali duduk di tempatnya. Fizri pula tanpa disuruh mengambil tempat di sisi Ilham. Pelajar-pelajar lain sudah pun beransur pulang ke kolej kediaman masing-masing.

Luqman turut berjalan menghampiri Ilham yang sedang menundukkan wajahnya.

"Ilham Hakimi, kan? Kamu ingat saya lagi, kan?" soal Luqman memulakan bicaranya. Senyuman di bibir diukir, buat hadiah kepada Ilham setelah lama tidak berjumpa.

Dengan rasa berat hati, Ilham perlahan-lahan mengangkat wajahnya. Senyuman Luqman tidak dibalasnya. Sebaliknya, hanya raut wajah sugul dipamerkan. Tidak tahu sebab apa, sama ada sebab dia ingin pulang cepat, atau kehadiran pensyarah itu di sini mengundang kenangan pahitnya kembali menjengah ruang ingatan.

'Kalau suruh tunggu ni semata-mata untuk reunion ni baik aku balik aje. Dah dekat pukul enam ni. Solat asar tak lagi ni. Ni bas datang entah pukul berapa ni,' gerutu Ilham di dalam hati.

"Oh, kalau kamu risau pasal tu takpa. Nanti aku suruh Dr. Luqman hantarkan kita pulang kalau bas takda. Sebab dia yang suruh tunggu ni. Boleh, kan Dr. Luqman?" seloroh Fizri sambil menjeling sekilas ke arah pensyarah itu.

"Jangan risaulah. Bas ada lagi ni," ujar Luqman sambil mengerling jam tangannya.

"Saya tahu. Saja je bergurau." Fizri menggunakan kata ganti nama diri saya sebagai tanda hormat kepada orang yang lebih tua daripadanya.

"Macam ni, memandangkan kamu ni student baru dan baru hari ni diserap dalam program ni, kamu takda projek lagi, kan? Kamu nak buat projek under saya? Nanti tahun depan PSM, kamu boleh proceed je dengan projek ni. Ni Fizri. Kamu dah kenal, kan? Dia ni pun student under saya juga. Dia tengah buat PhD under saya. Kalau ada apa-apa tak faham, kamu minta tolong je dengan dia, jangan segan-segan, okey," terang Luqman panjang lebar.

Mendengarkan penerangan Luqman, menyebabkan mata Ilham terbeliak luas. Dia memandang ke arah Fizri hampir tidak percaya. Fizri pula hanya membalas pandangan Ilham dengan senyuman tipis.

'Student PhD rupanya dia ni. Berapa umur dia ni? Nampak macam sebaya je dengan aku,' getus hati Ilham.

"Saya, saya baru 24 tahun," jawab Fizri dengan selamba, seperti boleh membaca fikiran Ilham.

'24? Bukankah itu terlalu muda?' Terkejut Ilham mendengarnya. Sedikit sebanyak timbul rasa cemburu Ilham terhadap pelajar yang bakal bergelar doktor falsafah ini.

Luqman memandang sekilas ke arah Fizri seketika sebelum memandang semula Ilham. Tidak pula dia berasa pelik dengan jawapan yang tiba-tiba keluar dari mulut Fizri. Ilham pula masih terlampau terkejut dengan kenyataan yang baru diterimanya sehingga tidak menyedari fenomena pelik itu.

"Oh ya, nama projek kamu nanti ...." Belum sempat Luqman menghabiskan bicaranya, dia telah dipintas seseorang.

"Ehm, Luqman. Biar dia buat projek under saya je," pintas Zahran dengan tegas. Dia telah pun berada di belakang Luqman, mencengkam bahu pensyarah itu dengan kuat.

Tanpa mereka bertiga sedari, Zahran mencuri dengar perbualan mereka bertiga.

"Tapi ...." Luqman ingin membantah tetapi sekali lagi dia dipintas Zahran.

"Saya ketua dalam projek ni. Ilham Hakimi biar saya yang handle," tegas Zahran dengan riak wajah serius. Cengkaman di bahunya semakin kuat.

Luqman hanya mampu menunduk setelah diberi penegasan daripada ketua projek itu. Fizri pula memandang wajah Zahran dan Luqman silih berganti. Riak kerisauan terbit pada wajahnya. Sementara itu, Ilham hanya mampu terpinga-pinga di tempatnya. Tidak dapat menghadam situasi tegang di hadapannya kini.

"Err ... saya ... tak kisah buat projek under siapa-siapa pun. Yang penting, projek tu siap." Ilham memilih untuk bersuara demi meleraikan ketegangan yang terbentuk.

Kalau dia tidak mengambil inisiatif seperti itu, entah bilalah dia boleh pulang ke biliknya. Tubuhnya sudah terasa melekit satu badan. Tidak sabar-sabar Ilham dibuatnya untuk pulang dan mandi bagi menyegarkan tubuhnya. Lagipun, hari sudah lewat petang. Kewajipan untuk solat asar harus ditunaikan segera.

Ketiga-tiga Zahran, Luqman dan Fizri memandang ke arahnya serentak. Masing-masing dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Namun, pandangan daripada Zahran-lah yang paling menikam sanubarinya kala ini. Luqman dan Fizri pula kelihatan lebih risau akan sesuatu, tetapi Ilham sendiri tidak tahu, apa yang mereka risaukan.

'Aku ada salah cakap ke?' Ilham senyum senget sambil menelan liurnya ke dalam kerongkong.

Fizri pula tiba-tiba tersenyum, seolah-olah ingin meredakan ketegangan di benak Ilham.

"Baiklah, Ilham. Esok kamu bagitahu saya keputusan kamu. Kamu yang decide, sama ada kamu nak buat projek under saya, atau Dr. Luqman." Kata putus diberikan Zahran sebelum berlalu meninggalkan tempat itu. Cengkamannya di bahu Luqman dilepaskan.

Momen senyap terbentuk seketika sebelum masing-masing menghembuskan nafas lega hampir serentak. Mereka bertiga seperti berkongsi satu perasaan yang sama akan professor itu. Mereka dapat rasakan seperti ada aura pembunuh yang keluar dari tubuh professor tersebut.

"Ilham, sorry buat kamu rasa takut. Professor tu memang macam tu. Okeylah, malam ni kamu fikir masak-masak dulu. Esok kamu decide. Okey." Luqman meninggalkan pesanan terakhir sebelum turut beransur pulang.

"Dah, jom Ilham. Kita pulang sama," ajak Fizri lalu mematikan lamunan Ilham.

Ilham pantas mengangkat punggungnya untuk sama-sama meninggalkan tempat itu. Hanya tinggal mereka berdua yang belum meninggalkan makmal itu.

Sejurus sahaja mereka berdua keluar, lampu dan penghawa dingin dalam makmal itu terus terpadam sendiri. Semua bangunan di dalam universiti itu menggunakan sistem Bangunan Pintar.

Oleh itu, kesemua sistem pengudaraan, pencahayaan, penghawa dingin serta sistem keselamatan dikawal secara automatik. Lampu dan penghawa dingin akan terpadam setelah sistem itu mengesan tiada lagi kewujudan manusia di dalam bilik tersebut.

Fizri dan Ilham sama-sama menuju ke arah hentian bas tempat mereka turun pagi tadi. Sebuah bas self-driving yang menuju ke kolej kediaman mereka telah pun menunggu di hentian bas tersebut. Nasib mereka memang baik kerana sempat menaiki bas tersebut sebelum meninggalkan mereka berdua.

Naik sahaja mereka berdua ke dalam bas itu, Raimi sudah pun menunggu lama di tempat duduk paling hadapan. Dia kelihatan bosan menunggu kedatangan mereka. Ilham mengambil tempat di sisi Raimi. Fizri pula hanya duduk seorang diri di tempat duduk bertentangan.

Bas itu terus mula bergerak setelah Fizri dan Ilham mengambil tempat masing-masing. Ilham memandang Fizri sejenak dengan riak hairan. Satu persoalan terdetik di mindanya.

'Dia ni takda kereta lagi ke? Kenapa naik bas? Mungkin dia tak mampu beli kereta kot,' desis Ilham di dalam hati.

Fizri hanya membalas pandangan Ilham dengan senyuman penuh misteri.

"Dia bukan takda duit tu. Dia datang dari keluarga senang, tak macam kita. Cuma kita tak dibenarkan bawa kereta sendiri kat sini. Sebab tu dia tak bawa kereta sendiri," bisik Raimi secara tiba-tiba menjawab soalan Ilham tanpa dipinta.

"Hah? Tapi tadi aku nampak ada je pelajar-pelajar lain bawa kereta sendiri," bidas Ilham turut memperlahankan nadanya. Semasa di fakulti, dia memang ada nampak beberapa orang pelajar membawa kereta masing-masing.

"Kejap. Aku belum habis cakap lagi ni. Peraturan tu hanya apply untuk kita yang menghuni di kolej kediaman tu. Pelik, kan?"

Ilham terdiam sejenak sambil merenung Raimi tidak percaya. Tidak tahu apa yang patut dikatakan sekarang. Otaknya masih cuba menghadam apa yang dikatakan rakannya itu kepadanya.

"Kamu berdua berbual pasal apa?" soal Fizri menyampuk perbualan.

Ilham baru ingin membuka mulutnya untuk bersuara tetapi telah dipintas oleh Raimi terlebih dahulu.

"Takda apalah." Raimi menyampuk dari belakang Ilham.

Ilham menoleh ke arah Raimi di sisinya. Raimi membuat satu isyarat yang tidak mampu difahami oleh Ilham. Ilham ingin terus bertanya, tetapi Raimi telah terlebih dahulu meletakkan jari telunjuk di hujung bibir sebagai isyarat senyap. Niatnya untuk terus bertanya dimatikan sahaja.

Mereka bertiga terus melayan perasaan masing-masing tanpa mengeluarkan sepatah bicara pun selepas itu. Suasana kekal senyap sehinggalah bas itu sampai ke Kolej Psi.

***

Malam itu, Ilham hampir-hampir tidak dapat melelapkan matanya. Otaknya ralit memikirkan jawapan yang patut diberikan kepada professor itu esok. Dia masih belum membuat keputusannya lagi.

Kalau ikutkan hati, dia teringin menerima tawaran Luqman untuk membuat projek di bawah beliau. Lagipun, dia sudah selesa dengan pensyarah ini. Walau bagaimanapun, dia harus memikirkan minatnya juga. Mungkin ada tajuk yang menarik perhatiannya di bawah selian pensyarah yang mengajar subjek Quantum Mechanics itu.

Ilham bangun dari katilnya lalu berjalan mundar-mandir di segenap biliknya. Tidak senang duduk Ilham dibuatnya memikirkan apa yang berlaku siang tadi.

Kenapa Zahran kelihatan serius sahaja tatkala bercakap dengan Luqman tadi? Kenapa mereka berdua kelihatan berebut-rebut untuk mendapatkan Ilham tadi? Kenapa professor itu kelihatan terlalu memaksa Ilham untuk membuat projek di bawahnya?

Persoalan demi persoalan terbit di benak Ilham. Jika dia terus memikirkan persoalan itu semua, alamatnya tidak tidurlah dia sepanjang malam ini. Walau bagaimanapun, dia tidak kisah jika tidur terlalu lewat. Memandangkan esok kelas paling awal pun pukul 11.00 pagi. Dia masih ada masa untuk sambung tidur pada keesokan harinya jika dia tidur lewat malam ini.

***

Sejadah dilipat lalu disidai ke ampaian. Jam yang tertera di skrin telefon pintar dikerling sekilas. Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi. Masih ada masa beberapa jam lagi sebelum kelas yang pertama bermula. Ilham bercadang untuk menyambung tidurnya sahaja. Memandangkan kantuk masih bersisa di tubuhnya kala ini.

Walau bagaimanapun, deringan daripada telefon pintar itu mematikan niatnya serta-merta. Pantas tangan Ilham mencapai telefon pintarnya yang terletak di atas meja belajar. Nombor yang tidak dikenalinya tertera di skrin.

Ilham mengerutkan dahinya. Siapa pula yang menelefonnya pagi-pagi buta ini? Mungkinkah rakan sekuliahnya? Akan tetapi, dia belum sempat bertukar nombor telefonnya dengan sesiapa lagi semalam.

Jari Ilham dilalukan di atas ikon berbentuk gagang telefon berwarna hijau untuk menjawab panggilan itu.

"Hello. Siapa ... tu?" Dengan teragak-agak, Ilham menjawab panggilan itu. Risau juga dia kalau-kalau seorang penyeleweng yang menelefonnya pada waktu ini.

"Hello. Assalamualaikum. Ha, Ilham. Ni Fizri." Individu yang berada di balik corong telefon itu memperkenalkan dirinya.

"Waalaikumussalam. Ada apa?" jawab Ilham dengan satu perasaan yang pelik. Bagaimana Fizri boleh mendapat nombornya pula? Dia mana pernah memberitahu nombornya kepada lelaki itu.

"Aku telefon ni nak bagitahu kau. Pagi ni ada perjumpaan Apprentice Scientist kat lab semalam. Pukul 9.00. Kau datang tau. Aku tunggu kat bawah macam biasa," beritahu Fizri sebelum mematikan talian.

Ilham meletakkan semula telefon pintarnya di atas meja lalu berjalan ke katilnya. Punggung dihenyak di atas katil. Satu keluhan berat dilepaskan.

'Pukul 9.00? Baik-baik kelas pukul 11.00, tapi sebab ada perjumpaan tu aku dah kena datang dua jam awal. Dua jam tau dia curi masa aku. Kacau je,' rungut Ilham sendirian.

***

"Macam mana? Kamu dah buat keputusan?" soal Zahran kepada Ilham.

Ilham hanya menunduk memandang lantai. Wajah pensyarah itu tidak dipandangnya. Malu untuk berhadapan dengannya. Luqman dan Fizri turut berada di dalam makmal itu. Mereka berdua menanti jawapan daripada Ilham.

Ya, hanya mereka berempat sahaja yang menghadiri perjumpaan itu. Orang lain tidak hadir. Zahran mengadakan perjumpaan itu untuk mendengar jawapan daripada Ilham segera. Ilham merasakan dia tidak diberi cukup masa untuk membuat keputusan. Tidak cukup dengan itu, hatinya mendidih menahan geram saat ini.

Pertama, masa senggang dua jam sebelum kelasnya bermula telah dicuri begitu sahaja. Kedua, hanya mereka berempat sahaja yang hadir dalam perjumpaan ini. Entah-entah, pelajar lain sedang enak dibuai mimpi di atas katil empuk masing-masing. Memikirkan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan hati Ilham mendidih.

"Ilham Hakimi!" panggil Zahran mematikan lamunan Ilham.

"Kamu dah buat keputusan?" desak Zahran lagi.

Ilham mengerling sekilas ke arah Luqman dan Fizri yang berdiri menyandar di meja paling hadapan di sisinya. Pandangan dikembalikan ke hadapan. Menghadap wajah Zahran.

Setelah mendiamkan diri sejenak, Ilham akhirnya bersuara, "Dah. Saya nak buat under prof."

Keputusannya itu disampaikan dengan sekali nafas. Dia telah pun fikir masak-masak pada malam sebelumnya walaupun masa yang diberikan agak terhad.

Secara tiba-tiba sahaja, Luqman mendengus kecewa. Fizri pula telah memandang ke arah lain. Mereka seperti kecewa dengan keputusan yang diambil Ilham. Zahran pula sudah mengukirkan senyuman penuh agenda di bibirnya.

Ilham tidak perasan akan reaksi yang ditonjolkan mereka bertiga, atau dia malas ambil peduli itu semua. Dia fikir, kali ini dia mahu benar-benar mengejar cita-citanya dan minatnya. Inilah peluangnya. Walau bagaimanapun, dia tidak tahu, yang keputusannya ini bakal mengubah kehidupannya 360 darjah.


Previous: BAB 33
Next: BAB 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.