Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 14

PSEUDOSAINS

Syafiyah membuka matanya. Pemandangan langit berwarna biru kehitaman menjamu pandangan mata. Bintang-bintang berkerdipan memagari sang bulan yang bertakhta turut menghiasi langit. Syafiyah terpanar seketika melihat pemandangan itu.

Syafiyah bingkas bangun dari pembaringannya. Selimut yang melitupi tubuhnya ditolak ke tepi sehingga jatuh ke atas lantai. Baru dia tersedar dan teringat bahawa dia sekarang sedang tidur di dalam biliknya sendiri. Buktinya, katil yang empuk menjadi sarang tempat dia terlena diulit mimpi.

"Eh, a... apa dah berlaku ni? Kenapa bumbung terbuka pula ni? Mana bumbung rumah aku?" tanya Syafiyah sendiri.

Dia menatap pula tubuhnya yang masih termangu di atas katil. Alangkah terkejutnya Syafiyah tatkala melihat tubuhnya sendiri. Apa yang dilihatnya bukanlah tubuhnya yang selalu dilihat setiap hari. Sebaliknya, sekarang tiada kulit yang menutupi tubuhnya. Organ-organ dalaman jelas kelihatan di segenap inci tubuhnya.

Kedua-dua belah tangannya diangkat lalu ditatap. Salur darah jelas kelihatan berselirat di kedua-dua belah tangannya. Mata Syafiyah membuntang luas. Mulutnya terbuka luas. Sungguh, dia terkejut dengan apa yang dilihatnya sekarang.

Syafiyah turun dari katil. Dia memandang bawah, menjangkakan akan ada lantai yang sepatutnya menjadi tempat dia berpijak. Akan tetapi, ada sesuatu perkara lebih mengejutkan menantinya sebaik dia melihat ke bawah.

Tiada lantai yang berada di bawah. Apa yang ada hanyalah ruang tamu yang berada di tingkat satu rumahnya, seolah-olah dia dan segala perabot dalam bilik ini sedang terapung. Sekali lagi mulut Syafiyah melopong sejenak, sebelum ditutup semula.

"Ah, ianya berlaku lagi," lirih Syafiyah lalu melepaskan keluhan.

Syafiyah mengalihkan pandangannya ke dinding biliknya pula. Seperti yang dijangka, pandangannya mampu menembusi dinding bilik. Apa yang berada di luar bilik mampu dilihatnya.

Syafiyah tersenyum sendiri memikirkan kuasa anehnya ini. Keadaan ini mengingatkan Syafiyah akan masa mula-mula dia mengaktifkan kuasa pelik ini. Pada waktu itu, dia masih kanak-kanak. Sebelum kuasanya diaktifkan, dia memang tidak pernah meminati akan bidang perubatan atau Biologi. Malah, dia tidak pernah mempelajari pun sebelum ini mengenai organ dalaman manusia.

Hari bersejarah itu mengubah segala-galanya. Hari di mana kali pertama dia mampu melihat ke dalam tubuh badan manusia tanpa sebarang alat, seperti mesin X-ray. Ya, matanya seperti boleh mengeluarkan X-ray. Tidak cukup dengan itu, matanya turut boleh melihat menembusi apa sahaja seperti dinding dan lantai rumahnya.

Bermula dari hari itu, Syafiyah mula menunjukkan minat untuk meneroka ke dalam tubuh manusia. Dia mampu menunjukkan kedudukan organ yang tepat pada tubuh manusia, sehingga orang di sekelilingnya menganggap dia sebagai genius. Walhal dia cuma menggunakan kuasanya sahaja.

Walau bagaimanapun, kuasa matanya itu tidak mampu dikawal Syafiyah. Waktu kemunculannya tidak boleh dijangka. Oleh sebab itulah Syafiyah tidak pernah menggunakan kuasanya itu untuk mengesan penyakit pada orang lain. Lagipun, dia ada sebab lain kenapa dia bertindak sebegitu, walaupun ada terlintas niat di hatinya untuk berbuat sebegitu.

Bapanya yang berkerja sebagai doktor menyebabkan dia melupakan hasratnya untuk menolong orang lain dengan kuasanya. Baginya, lebih baik dia menghormati kerjaya bapanya. Dia risau tindak tanduknya akan mengganggu tugas bapanya merawat pesakit. Sebagai seorang doktor, bapanya bersikap amat skeptikal terhadap perubatan berasaskan pseudosains. Lagi pula, rata-rata pengamal perubatan pseudosains bersikap memusuhi perubatan konvensional.

Akhirnya, Syafiyah mengambil keputusan untuk mengambil bidang perubatan dan meneruskan minatnya. Keinginannya disokong penuh ahli keluarganya sendiri terutamanya abang dan bapanya sendiri. Syafiyah yakin, itulah cara terbaik baginya untuk menolong orang lain. Dapatlah dia menggunakan kuasanya seandainya dia berjaya bergelar sebagai seorang doktor.

Gegendang telinga Syafiyah menangkap bunyi derapan tapak kaki menaiki tangga rumahnya. Spontan, pandangannya dikalihkan ke arah tangga untuk melihat siapakah yang baru pulang pada waktu sebegini.

Abangnya, Imran Syauqi dilihat sedang berjalan ke arah biliknya. Dia baru pulang dari kerja. Kepenatan jelas dilihat pada riak wajahnya. Dia ingin cepat sampai ke bilik agar mampu direhatkan tubuhnya setelah penat seharian berkerja. Tugasnya sebagai seorang doktor di hospital kerajaan memerlukan komitmen yang tinggi.

Pintu bilik Syafiyah dikuak dari dalam. Sejalur cahaya dari dalam biliknya menerangi laluan ke bilik tidur rumah itu.

Imran yang terkejut mendengar bunyi pintu dikuak terus mematikan langkahnya. Dia menoleh ke belakang. Adiknya, Syafiyah dilihat sedang berdiri tercegat di muka pintu. Senyuman manis dihadiahkan buat si abang, berharap dapat meredakan kepenatan yang bersarang di tubuh abangnya.

"Eh, Fiya! Kenapa tak tidur lagi?" Imran mengajukan soalan, sedikit terkejut.

"Taklah, dah tidur, cuma terjaga semula." Syafiyah menjawab dengan nada mesra.

"Oh, macam tu. Dahlah. Sambunglah tidur semula. Tidur lewat-lewat tak bagus untuk kesihatan," nasihat Imran prihatin.

"Habis tu abang?" Syafiyah sengaja melontarkan soalan, ingin mengusik abangnya.

"Abang ni lain. Abang kerja. Dah pergi tidur," arah Imran semula dengan nada cuba ditegaskan.

Syafiyah menahan ketawa memikirkan usikannya mengena.

"Kenapa Fiya gelak?" soal abangnya tidak mampu membaca situasi.

"Ah, takda apa-apa," balas Syafiyah masih dengan sisa tawanya. "Abang penat? Macam mana hari ni kerja abang? Okey ke?" soal Syafiyah cuba mengalih topik perbualan.

Mendengarkan soalan itu, Imran hanya mampu melepaskan keluhan berat. Dia tidak menjawab soalan itu. Rasa malas pula hendak menjawab soalan itu.

"Kenapa abang?" Syafiyah mengerutkan hatinya, menyedari ada sesuatu yang menggusarkan hati abangnya.

"Takda apa-apalah. Kang kalau cerita ni sampai subuh tak habis. Nantilah abang cerita. Dah, Fiya pergi tidur sekarang," arah abangnya lagi buat sekian kalinya.

"Baiklah!" balas Syafiyah penuh semangat. Dia membuat gaya tabik hormat seperti seorang tentera.

Syafiyah menutup pintu biliknya. Lampu biliknya dipadam lalu berjalan ke arah katil. Syafiyah melabuhkan punggungnya di atas katil. Tubuhnya didekatkan dengan meja belajar yang terletak di sebelah katil. Pandangan matanya dilirikkan ke atas sampul surat yang berada di atas meja. Lama dia menatap sampul surat itu sebelum mengukirkan senyuman tipis.

"Abang pasti suka kalau dengar berita ni," bisik hati Syafiyah.

***

Pada keesokan harinya, pada malam hari baru Syafiyah ada kesempatan untuk sambung bercerita dengan abangnya. Pada siangnya, Imran amat sibuk dengan tugasnya.

Syafiyah melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Surat tawaran ke Universiti Eurasia Kampus Nusantara turut dibawa bersama. Sepanjang perjalanan, bibirnya tidak lekang dari senyuman, berasa tidak sabar untuk menyampaikan berita gembira itu.

Bapanya, Bakri dan Imran sedia menanti Syafiyah di ruang tamu. Ketika Syafiyah sampai, mereka nampaknya sedang ralit membincangkan sesuatu. Daripada riak wajah mereka, jelas menunjukkan keseriusan perbincangan mereka.

Syafiyah menarik nafas dalam sebelum memulakan bicara.

"Abang...." Syafiyah berhasrat untuk menyampaikan berita itu sebelum dipotong abangnya terlebih dahulu.

"Fiya dapat tawaran ke Universiti Eurasia dalam course Medic, kan?" pintas abangnya dengan senyuman lebar terukir di bibirnya.

Syafiyah mengangguk laju.

"Ayah dah cerita dulu." Imran memberitahu sambil memandang wajah bapanya yang turut tersenyum.

"Oh, jadi... itu ke yang ayah dengan abang bincangkan dari tadi?" soal Syafiyah inginkan kepastian.

"Ha'ah. Kami bincang pasal tu tadi. Tapi kami bukan cakap pasal tu je. Ha... Fiya nak tahu sangat kan semalam?" Imran mengingatkan semula Syafiyah akan perkara yang mahu dibincangkan mereka sebelum ini.

"Semalam? Oh, yang tu ke? Fiya hampir terlupa pula!"

Tiba-tiba sahaja riak wajah Imran berubah daripada ceria kepada muram. Pandangannya ditekur ke lantai, tetapi otaknya sudah menerawang jauh. Dia termenung memikirkan sesuatu.

"Kenapa?" soal Syafiyah tidak sabar-sabar.

"Fiya pernah dengar pasal pseudosains?" Imran memulakan bicaranya dengan soalan. Pandangannya tajam menikam muka Syafiyah.

"Pseudosains?" soal Syafiyah semula, tidak faham dengan soalan yang diajukan kepadanya secara tiba-tiba.

"Pseudosains tu macam Sains tapi bukan Sains." Imran cuba menerangkan dengan bahasa paling mudah walaupun dia tahu adiknya itu sangat bijak.

"Oh, macam tu! Rasa macam pernah dengar. Macam Astrologi, kan? Apa kena-mengenanya dengan abang pula?" Syafiyah masih tidak faham apa yang cuba disampaikan abangnya.

Sekali lagi Imran melepaskan keluhan berat sebelum menyambung semula bicaranya, "Macam ni. Semenjak dua menjak ni ramai pesakit abang yang mula percaya dengan perubatan pseudosains."

"Aik? Bukan ke perubatan tu semua dah berkubur ke? Sebab mereka tak dapat nak teruskan business mereka tu pasal ekonomi tengah gawat sekarang ni, kan? Yalah, siapa lagi yang mampu nak bayar kos perkhidmatan diorang yang mahal nak mati tu. Semua orang mana ada duit sekarang ni." Syafiyah turut mengutarakan pendapatnya.

"Memang. Memang ekonomi tengah gawat sekarang. Tapi, Fiya kena ingat, tak semua perubatan alternatif bermatlamatkan keuntungan." Bakri yang senyap sejak dari tadi mula bersuara.

"Habis tu mereka nak apa sebenarnya?" soal Syafiyah inginkan jawapan.

Senyap. Tiada satu patah pun perkataan keluar dari mulut mereka, baik dari Bakri, atau Imran. Mereka berdua berpandangan, sebelum berpaling semula ke arah Syafiyah yang masih menanti jawapan.

"Entah. Kami pun tak faham apa yang mereka nak sebenarnya." Akhirnya Imran mengalah tanpa jawapan setelah puas memikirkan jawapannya.

Imran menghela nafas kesar, lalu membiarkan angin lalu mengisi keheningan.

"Yang pesakit abang jumpa tu, pseudosains yang macam mana?" soal Syafiyah ingin tahu.

"Macam mana? Oh. Pesakit abang tu cakap, ada pengamal perubatan alternatif tu boleh tengok penyakit kat badan orang lain tanpa guna apa-apa alat pun," jelas Imran.

"Habis tu guna apa?" Tanpa mengesyaki apa-apa, Syafiyah terus mengorek lebih dalam akan kisah yang disampaikan abangnya.

"Guna dua biji mata dia." Imran menjawab malas, berasa meluat dengan penipuan pengamal perubatan alternatif itu.

"Guna dua biji mata dia? Errr... maksud a... bang, macam... mata X-ray ke?" Syafiyah mula berasa tidak sedap hati.

"Iya." Bakri dan Imran menjawab hampir serentak.

Syafiyah terus membeliakkan matanya, hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Jika benar dakwaan orang itu, maka sahlah orang itu mempunyai kuasa sama dengan dirinya. Keadaan ini bermakna, jika mereka mengetahui mengenai kuasanya, pasti dia akan menjadi musuh kepada ahli keluarganya sendiri.

Syafiyah tidak mahu keadaan ini berlaku. Oleh sebab itulah dia merahsiakannya dari ahli keluarganya. Memandangkan rata-rata ahli keluarga belah bapanya terdiri daripada doktor perubatan, pasti mereka akan berasa skeptikal dengan perkara sebegini. Lagipun, perubatan alternatif memang menjadi musuh tradisi perubatan konvensional sejak sekian lama.

Bertentangan pula dengan ahli keluarga ibunya yang terdiri daripada tok bomoh. Raimi sepupunya itu datang dari keluarga belah ibunya. Syafiyah sendiri berasa hairan bagaimana ibu dan bapanya boleh berkahwin. Betullah kata pepatah, kalau sudah jodoh, tidak ke mana.

"Fiya! Kenapa?" Imran melalukan tangannya di hadapan muka Syafiyah yang sudah mengelamun jauh.

Hairan benar Imran melihat riak terkejut yang ditayangkan adiknya.

"Hahah. Tak... da apalah. Fiya cuma ngantuk je ni." Syafiyah membuat mata kuyu secara tiba-tiba. Sebelah tangannya menggosok matanya supaya kepura-puraannya menjadi.

Pantas Syafiyah bangkit dari sofa lalu berjalan ke arah tangga. Imran mula pelik dengan tingkah Syafiyah secara tiba-tiba.

"Aik, cepatnya adik abang ni nak tidur. Tadi bukan main beriya nak tahu." Imran mengerutkan dahinya. Pelik benar dengan tingkah adiknya secara tiba-tiba.

Syafiyah teringatkan sesuatu. Dia berpatah balik ke ruang tamu untuk mengambil surat tawaran yang ditinggalkannya di atas meja.

"Ayah, abang. Fiya tidur dululah. Selamat malam." Syafiyah menutup bicara sebelum berlalu pergi.

"Ak, Fiya!" Imran ingin memanggil semula adiknya.

"Biarlah dia Imran. Adik kamu dah mengantuk tu," tutur bapanya lembut.

***

Pada keesokan harinya, Marisa dan Raimi dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang tidak dikenali ke rumah mereka. Kelihatan beberapa orang lengkap memakai kot keluar dari perut kereta.

Marisa yang pada masa itu sedang beristirehat di dalam biliknya terus mengintai dari balik jendela. Dia ingin melihat siapakah yang datang ke rumah mereka secara tiba-tiba itu. Dia langsung tidak mengenali mereka.

Raimi pula pada masa itu sedang membersihkan halaman rumahnya. Aktivitinya tergendala tatkala melihat sebuah kereta diparkir di hadapan rumah mereka berdua. Memandangkan rumah Marisa dan Raimi sebelah menyebelah, dia turut dapat melihat kereta itu.

Beberapa orang yang keluar dari kereta itu terus berjalan ke arah bapa Raimi yang turut berada di perkarangan rumah. Raimi yang berada tidak jauh dari situ hanya memerhatikan.

"Assalamualaikum." Salah seorang daripada mereka memberi salam kepada bapa Raimi.

"Waalaikumussalam. Ya, ada apa?" balas Othman berbasa-basi.

"Tumpang tanya, adakah ini rumah Haikal Raimi Bin Othman?" Raimi yang mampu mendengar butir perbualan mereka meneguk liurnya. Dia amat tidak menyangka bahawa dia yang dicari mereka.

"Ya, dia tu anak saya. Ada apa tuan cari mereka?" Riak wajah tenang Othman berubah pucat.

"Ah, sudah! Apa pula yang mereka nak?" desis Raimi yang mula mengalirkan peluh di dahinya.

"Oh, jadi dia tu anak encik. Boleh kami bincang dengan encik, mengenai Haikal Raimi. Panggil dia sekali ya." Tenang lelaki itu menyatakan hajatnya.

"Raimi!" panggil Othman serta-merta.

Penyapu yang berada di tangan Raimi terlepas tatkala mendengar namanya dipanggil. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia lari sekuat yang boleh dari tempat ini. Hatinya berasa tidak sedap. Akan tetapi, kakinya enggan berkerjasama, lalu membiarkan dirinya terpacak di situ.

"Raimi!" panggil Othman lagi sekali setelah mendapati tiada tindak balas daripada anak lelakinya.

"Y... Ya, ayah! Saya datang ni." Perlahan-lahan kaki diatur Raimi penuh debaran, menanti apalah bala yang akan menimpa dirinya kelak.

Lelaki yang berbual dengan bapanya tadi hanya melirikkan senyuman penuh makna memandang Raimi. Raimi pula berasa tidak selesa dipandang sebegitu.

"Oh, ya! Sebelum kami lupa. Marisa Khairina Binti Amran tinggal di sebelah, kan? Boleh panggil dia dan ibu bapanya sekali untuk bincang bersama?"

Raimi yang mendengarnya bertambah terkejut. Tidak cukup dengan dirinya, Marisa turut dijemput sekali. Raimi bertambah hairan dengan permintaan lelaki itu.

"Entah apalah yang mereka ingin bincangkan tu. Apa yang pasti, ini bukan perkara baik." Raimi berkata di dalam hati.

Marisa pula terus memerhati dari jendela biliknya, sebelum dia turut dipanggil ibunya.


Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.