Home Novel Fantasi Reality Override
BAB 32

HARI PERTAMA

Pagi esoknya, Ilham bangun dalam keadaan malas. Katil, bantal dan selimut seperti biasa menyeru nama Ilham untuk menyambung tidurnya. Mahu sahaja Ilham ponteng kelas untuk hari pertamanya di sini, tetapi dia tidak mahu menunjukkan reputasi buruk. Dia tidak mahu orang lain melihat sisi buruknya di universiti ini pula.

Ilham sudah berazam. Dia mahu berubah. Dia mahu mengusir jauh-jauh tabiat buruknya dahulu. Dia mahu memulakan kehidupan baru.

Usai menunaikan solat subuh dan menyidai sejadah ke ampaian, Ilham terus mengambil tuala dan berjalan ke bilik air. Dia mandi sekadarnya. Cukup untuk mengusir keletihan yang bersarang di tubuh dan menghilangkan bau-bau yang tidak enak.

Ilham mengenakan pakaian biasa sahaja hari ini. Tidak mahu terlalu menonjol. Tragedi mengenakan pakaian formal pada hari selain isnin tempoh hari masih tidak mampu diusir dari lubuk ingatan.

Baju-T dan seluar slack disarungkan di badan. Beg sandang yang sudah disiapkan malam sebelumnya diambil dan disangkut di bahu. Setelah memastikan semuanya lengkap, Ilham melangkah keluar dari bilik. Kunci bilik turut tidak dilupakan. Kalau tidak, alamatnya tidur di luarlah Ilham malam ini.

Ruang koridor kelihatan sunyi-sepi. Tiada satu bunyi pun kedengaran melainkan bunyi derapan tapak kaki Ilham. Kelibat pelajar lain langsung tidak kelihatan walau seorang pun. Mungkin mereka tiada kelas pada pagi ini.

Ilham turun ke tingkat bawah menggunakan lif. Setelah sampai di tingkat bawah, hanya kelihatan dua orang sahaja di ruang legar. Kedua-duanya kelihatan sebaya dengan Ilham. Mereka berdua sedang duduk di sebuah sofa. Menunggu kedatangan bas barangkali.

Tatkala Ilham berjalan menghampiri dua insan itu, mereka berdua memandang serentak lalu menghadiahkan senyuman. Ilham membalas senyuman mereka dengan kekok. Dia sungguh tidak menyangka kemesraan yang mereka tonjolkan. Sangkanya, pelajar-pelajar di sini pasti sombong dan enggan bertegur-sapa dengannya. Maklumlah, pelajar genius.

Ilham mengamati wajah mereka satu-persatu. Seorang daripadanya ialah orang yang menegur Ilham tatkala dia mula-mula sampai, Haikal Raimi.

Seorang lagi ini dia tidak kenal, atau masih belum kenal. Dia memakai cermin mata seperti Ilham. Kulitnya cerah. Tubuhnya tinggi-lampai. Dia kelihatan benar-benar tampan dan berkarisma. Membuatkan Ilham berasa rendah diri tatkala duduk bersamanya.

"Pelajar baru ke?" soal pelajar lelaki bercermin mata itu sambil menghulurkan tangan.

"Ya." Ilham menjawab ringkas lalu menyambut huluran tangan.

Tangan pelajar itu terasa panas. Bukan disebabkan suhu badan lelaki itu, tetapi disebabkan tangannya yang terasa sejuk pagi-pagi ini.

"Siapa nama?" soal pelajar itu lagi.

Ilham mengeluh kasar. Dia mula berasa tidak selesa dengan kehadiran pelajar itu. Tidak seperti Raimi, Ilham cukup tidak selesa dengan pelajar ini. Ada sesuatu tentang pelajar ini yang menyebabkan perasaan tidak selesa itu hadir dalam dirinya.

"Ilham. Ilham Hakimi," balas Ilham. Dia tidak mahu memanjangkan bicara, tetapi lelaki ini pula beria-ia ingin mengenali dirinya.

"Course?" Lelaki bercermin mata itu mengajukan lagi soalan.

"Fizik," balas Ilham sepatah. Jauh di sudut hatinya, dia sudah memanjatkan doa agar lelaki ini berhenti mengajukan soalan seperti polis menyoal siasat.

"Oh ... Ta...." Pelajar itu ingin mengajukan lagi soalan tetapi telah dipintas Raimi terlebih dahulu. Sedari tadi Raimi hanya bersandar di sofa sambil memerhatikan mereka.

"Asyik kau je yang tanya. Cuba kau intro sikit diri kau tu," pintas Raimi sambil menegakkan tubuhnya.

"Bukan kau dah kenal aku ke, Raimi?"

"Bukan akulah, budak baru tu dia tak kenal kau lagi," ujar Raimi sambil memuncungkan mulut ke arah Ilham yang masih terpinga-pinga.

"Oh, haha. Sibuk tanya orang, aku sendiri lupa nak perkenalkan diri. Patut kekok je kau dari tadi. Nama aku Fizri Naufal. Boleh panggil Fizri. K...."

Belum sempat Fizri memperkenalkan dirinya, bas sudah pun memanggil mereka dari luar blok asrama itu. Bas itu diparkir betul-betul di hadapan blok X-11.

"Bas dah sampailah. Jom pergi naik bas dulu sebelum bas tu tinggalkan kita," ajak Raimi yang sudah mula bangun.

Fizri dan Ilham turut bangun lalu menuju ke arah bas. Bas itu tiada pemandu kerana ia merupakan salah sebuah kenderaan self-drive yang diaplikasikan di kawasan kampus ini. Tambang untuk menaiki bas-bas ini sudahpun ditolak siap-siap melalui akaun setiap pelajar di universiti ini.

Jadi, amat rugilah sekiranya para pelajar tidak memanfaatkan kemudahan ini sebaik mungkin. Duit mereka akan hangus begitu sahaja.

Fizri mengambil tempat di hadapan sekali. Ilham yang masuk selepas Fizri pada mulanya ingin mengambil tempat di sisi Fizri, tetapi Raimi telah menariknya terlebih dahulu ke bahagian jauh ke belakang.

"Jom, kita ambil tempat kat belakang," ajak Raimi sambil menarik tangan Ilham secara paksa. Ilham hanya menuruti langkah rakan barunya itu.

Setelah masing-masing mengambil tempat, barulah bas itu mula bergerak.

"Eh, kita je ke? Orang lain takda ke?" soal Ilham.

"Ya, memang kita bertiga je. Nasib baik kau dengan Fizri ada sekali, kalau tak memang aku seorang je hari-hari naik bas ni," jawab Raimi tanpa dipinta.

Ilham memandang ke arah Raimi pelik, memohon penjelasan.

"Ya, mungkin kita bertiga je kat blok ni. Blok lain aku tak tahulah. Sebab aku tak pernah nampak pelajar lain sejak aku tinggal di kolej ni," terang Raimi.

"Takkanlah kau langsung tak nampak pelajar lain?" soal Ilham pelik.

"Setakat ni aku memang tak pernah nampak."

"Mungkin universiti ni besar sangat kot sampai kita tak jumpa pelajar lain," balas Ilham cuba menyedapkan hatinya.

"Takpa, kat fakulti nanti kau akan nampak pelajar-pelajar lain. Kau jangan risau."

Ilham menarik nafas lega mendengarnya. Sejak dia datang ke universiti ini, dia langsung tidak nampak pelajar lain. Mungkin kawasan kampus ini terlalu luas baginya. Lagipun, dia baru sampai di universiti ini semalam. Dia tidak sempat meronda-ronda di kawasan universiti ini lagi.

"Nak tahu apa yang lagi pelik, bila aku tanya kat pelajar lain, takda pula diorang cakap ada peraturan ketat macam kat kolej kita tu. Hostel diorang pun macam biasa je. Tak macam hotel. Macam asrama biasa je. Air-cond pun takda," ujar Raimi separa berbisik.

Padanlah Raimi mengajak Ilham untuk duduk di tempat yang jauh ke belakang, rupa-rupanya ada perkara sulit yang hendak dibincangkan. Nada bisikan yang digunakan sudah cukup untuk memberitahu Ilham bahawa perkara yang dibincangkan ini adalah rahsia. Tidak harus diketahui sesiapa.

Walau bagaimanapun, ada beberapa persoalan yang menjengah di benak Ilham. Kenapa Fizri tidak diajak berbincang sekali dalam perbincangan ini? Kenapa hanya Ilham yang diajak berbincang sedangkan dia baru sampai semalam?

Kenapa Raimi mesti mengajaknya di tempat duduk belakang? Ada sesuatu ke di bahagian hadapan yang menyebabkan dia memilih untuk berbicang di sini?

Setelah beberapa minit melalui perjalanan, bas itu akhirnya tiba di sebuah hentian bas yang berhampiran dengan Fakulti Kejuruteraan Universiti Eurasia. Raimi terus bangun untuk turun dari bas.

Sebelum berlalu pergi, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Ilham, "Hati-hati. Jangan terlalu obvious sangat guna kuasa kau. Mereka ada di mana-mana memerhatikan kita. Dan orang tu mungkin tak disangka-sangka." Raimi kelihatan menjeling ke suatu arah sebelum memulakan langkah.

Ilham mengerutkan dahi. Dia tidak faham dengan apa yang dikatakan Raimi. Apa yang dimaksudkan Raimi dengan kuasa itu? Siapa pula mereka yang dimaksudkannya?

Bas yang dinaiki mereka meneruskan perjalanan ke persinggahan seterusnya. Persinggahan yang menjadi destinasi Ilham.

Ilham berpindah tempat ke bahagian hadapan. Dia mengambil tempat di bahagian hadapan tetapi di sebelah kiri. Fizri pula mengambil tempat di sebelah kanan. Sejurus punggung dilabuhkan, Fizri menoleh ke arah Ilham lalu mengukir senyuman. Ilham membalas senyuman Fizri sedikit kekok. Tidak mahu digelar sombong. Jadi, dia cuba untuk senyum walaupun dalam keadaan terpaksa.

Ilham membuang pandang ke arah jendela di sisinya. Bangunan-bangunan yang tersergam indah di sepanjang perjalanan diperhatikan Ilham dengan penuh minat. Sudah lama dia tidak melihat suasana itu. Sudah lama dia tidak merasai suasana di universiti.

Sungguhpun suasana di universiti ini amat berlainan dengan tempat pengajian sebelumnya, sedikit sebanyak rasa rindu di hati kian terubat.

Ternyata bangunan-bangunan itu kelihatan mewah sekali. Berbeza dengan keadaan di universitinya yang agak daif dan uzur. Satu keluhan berat dilepaskan. Ilham mengenang nasib rakan-rakan sekuliahnya yang turut sama tidak sempat menghabiskan pengajian sepertinya. Apa agaknya yang mereka sedang lakukan sekarang?

Bas yang dinaiki mereka berhenti di sebuah hentian bas berhampiran Fakulti Sains Universiti Eurasia. Lamunan Ilham terhenti. Dia melirik pandang ke arah pintu bas yang sudah terbuka. Fizri kelihatan mula bangkit dari kerusinya untuk turun. Nampaknya dia turut belajar di fakulti ini.

"Ilham, jom! Kita dah sampai Fakulti Sains." Dengan mesra sekali Fizri mengajak Ilham untuk turun bersama.

Ilham turut bangkit lalu berjalan keluar dari bas. Ada sesuatu yang Ilham berasa pelik dengan pelajar bernama Fizri ini. Dia kelihatan terlalu mesra dengan Ilham walaupun mereka baru berjumpa. Namun rasa tidak sedap itu cuba diusir jauh-jauh. Mana mungkin dia berprasangka terhadap orang yang baru ditemuinya ini.

Turun sahaja dari bas, Ilham dapat lihat beberapa orang pelajar lain sedang berjalan ke kelas masing-masing. Langsung tidak kisah akan suasana di persekitaran. Mungkin tingkah pelajar genius memang begini. Entah-entah ada bom jatuh di sebelah pun mereka tidak sedar.

Fizri yang turun bersamanya tadi sudah hilang entah ke mana. Tinggal Ilham seorang diri di fakulti ini.

Dengan berpandukan peta kawasan Fakulti Sains, Ilham mencari di mana keberadaan kelasnya. Jadual kelasnya pada hari ini telah disemak siap-siap sebelum keluar dari biliknya. Jadual kelasnya dan peta kawasan kampus yang diberikan Akhtar tidak dibawa Ilham. Bagi Ilham, agak leceh untuk merujuk jadual dan peta tersebut semasa dalam perjalanan untuk ke kelas.

Sebaliknya Ilham lebih bijak. Dia memuat turun satu aplikasi untuk memasukkan jadual ke dalam telefon pintarnya. Oleh itu, tidak perlulah dia bersusah-payah untuk menyemak jadual kelasnya setiap kali hendak ke kelas seterusnya. Semuanya sudah dimasukkan ke dalam telefon pintar.

Peta kawasan kampus pula Ilham telah memuat turunnya melalui laman sesawang rasmi Universiti Eurasia. Peta kawasan Fakulti Sains turut dimuat turun bersama. Hanya peta kolej kediamannya sahaja tidak ditemui di laman sesawang rasmi tersebut.

Ilham mengeluarkan telefon pintar yang tersimpan di dalam kocek seluar. Peta kawasan Fakulti Sains digodeknya. Dia mencari bangunan berlabel C-17. Kelasnya pada pagi ini ditempatkan di situ, di dewan kuliah 109. Subjek pertama pada hari ini yang perlu dihadapi Ilham ialah Quantum Mechanics I.

Entah bagaimanalah pensyarah yang akan mengajarkan subjek kegemaran Ilham ini? Adakah dia seperti Prof. Zahran?

Setelah bangunan berlabel C-17 ditemui Ilham, dia mencari pula dewan kuliah berlabel 109. Nombor satu di awal menunjukkan dewan kuliah itu di tingkat satu. Ilham berasa lega kerana tidak perlu bersusah-payah memanjat tangga awal-awal pagi begini.

Setelah dewan kuliah 109 ditemui, Ilham menguak pintu dewan kuliah itu dengan teragak-agak. Sangkanya, dewan itu pasti sudah dipenuhi pelajar-pelajar lain memandangkan jam sudah menghampiri pukul 8.00. Hanya tinggal beberapa minit sahaja sebelum kelas dimulakan.

Akan tetapi, sangkaannya meleset. Hanya dua tiga kerat yang memenuhi tempat duduk. Itu pun kebanyakannya terdiri daripada kaum hawa. Ke mana perginya kaum adam?

'Ceyh, aku ingatkan budak-budak universiti ni cemerlang sangat. Rupanya sama je,' gerutu Ilham di dalam hati.

Ilham mengambil tempat duduk di bahagian hadapan dan tepi kelas. Tempat kegemarannya. Tempat yang paling kurang perhatian. Pelajar-pelajar lain yang turut berada di dalam dewan kuliah itu seperti tidak menyedari kehadiran Ilham. Semua sibuk dengan urusan masing-masing.

Satu detik.

Dua detik.

Tiga detik.

Ilham menunggu kehadiran pensyarah bagi subjek ini. Jam sudah menunjukkan hampir pukul lapan pagi. Tidak berapa lama kemudian, pensyarah pasti sampai. Tidak akanlah universiti cemerlang ini pensyarahnya datang lambat. Debaran dan keterujaan bercampur-gaul di dalam hati. Membentuk satu sebatian perasaan yang sukar diterangkan dengan mana-mana persamaan.

Ilham sudah lama meninggalkan pelajarannya. Entah dia mampu ingat atau tidak pelajarannya sebelum ini.

Sejurus kemudian, pintu kelas dibuka. Ilham sudah membeliakkan matanya. Menjangkakan pensyarah telah sampai ke kelasnya. Akan tetapi, sangkaannya meleset. Pensyarah yang dinanti tidak hadir tetapi sekumpulan pelajar lelaki pula yang masuk ke kelas. Sebahagian daripada mereka memandang pelik ke arah Ilham.

Ilham mula berasa tidak selesa tatkala ditenung sebegitu oleh mereka. Dia melarikan pandangannya daripada terus bertentang mata dengan mereka. Nampaknya mereka telah menyedari kehadiran pelajar baru di kelas ini. Sekumpulan pelajar tadi mengambil tempat masing-masing. Sudah tentu jauh dengan kedudukan Ilham yang agak terpencil.

Pintu dewan kuliah dibuka semula. Ilham mengembalikan fokus ke arah pintu dewan kuliah. Susuk tubuh yang berada di balik pintu dinantikannya. Bukannya dia ingin sangat pun untuk melihat wajah pensyarah itu, tetapi dia sudah tidak sabar untuk memulakan pengajiannya yang sudah lama terhenti.

Apa yang berada di balik pintu dewan kuliah itu benar-benar mengejutkan Ilham. Dia kenal akan pensyarah itu. Malah, dia kenal sangat.

"Professor Zahran? Apa dia buat kat sini?" soal Ilham dengan matanya terbeliak luas.

Prof. Zahran menutup pintu dewan kuliah. Seperti menyedari kehadiran Ilham, dia memfokuskan pandangan ke arah tempat duduknya. Senyuman penuh agenda dilirik di bibirnya. Ilham pula sudah mula tidak keruan. Sungguh dia tidak menyangka dia akan berjumpa lagi dengan pensyarah ini.

"Oh, nampaknya kita ada pelajar barulah. New student, please introduce yourself," arah Prof. Zahran secara tiba-tiba.

Alangkah terkejutnya Ilham tatkala disuruh sebegitu oleh Prof. Zahran secara tiba-tiba. Semua pelajar di dalam dewan itu terus memfokuskan pandangan ke arah Ilham serentak. Panik tiba-tiba menyerang kalbu lalu menjalar di segenap tubuh. Serta-merta tangannya menjadi sejuk seperti baru keluar dari peti ais. Denyutan jantungnya berdetak semakin laju secara medadak.

Nasib malang apakah yang menimpanya pada hari pertama ini?


Previous: BAB 31
Next: BAB 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari