Home Novel Cinta DiBius Cinta Encik Arahan
DiBius Cinta Encik Arahan
Nkal
22/5/2018 10:50:28
33,647
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

BAB 6


            Adilla menyusuri bandar Kuala Terengganu yang sudah banyak perbezaannya kini. Jalan raya semakin sibuk, bangunan pencakar langit semakin banyak dibina. Ia tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Selepas diisytiharkan menjadi Bandaraya Persisir Air, Terengganu semakin maju dan pesat membangun. Peluang pekerjaan juga nampaknya sudah luas terbuka. Mungkin suatu masa nanti Adilla akan kembali juga ke sini. Untuk menaburkan bakti pada tanah air sendiri.

Puas Adilla meronda. Dia mengambil keputusan untuk singgah di Mydin Mall. Melihat apa yang ada di sana, dan mungkin juga boleh membeli sedikit barangan keperluan peribadi dan juga rumah.  Adilla membawa Irwan sekali, hari ini Fikru dan Mila berkerja. Jadi Adilla  yang mengambil tugas mengasuh dan menjaga Irwan. Kebetulan orang gaji Fikru bercuti hari ini.

Adilla mendukung Irwan menggunakan mama carier. Dari satu kedai ke satu kedai dia singgah. Akhirnya Adilla melangkah ke dalam pasaraya Mydin untuk membeli sedikit barangan dapur. Irwan diletakkan di dalam troli. Adilla menolak troli  menuju ke tempat sayur-sayuran dahulu. Memilih sayur mayur yang segar-segar untuk dimasak tengahari nanti. 

“ Oppss, maafkan saya.” Ucap seorang lelaki yang tidak sengaja melanggar Adilla dari belakang. Adilla segera berpaling. Dan..

“ Daniel!”

“ Adilla.”

Adilla tidak menyangka akan bertemu Daniel di sini petang itu. 

“ Awak buat apa kat sini?” Terluncur soalan itu dari bibir Daniel. Adilla menunjukkan sayur-sayur yang bertimbun di dalam troli. Daniel faham dan tersenyum.

“ Awak pula buat apa kat sini? Tak kerja ke?”

“ Saya cuti. Dah dua hari saya balik sini.” Terang Daniel ringkas.

“ Maafkan saya.” Seorang wanita mencelah di tengah-tengah perbualan mereka. Adilla mengalihkan troli yang menghalang perjalanan wanita tersebut. Sekaligus meminta maaf.

“ Saya rasa tak sesuailah tempat ni. Apa kata kita duduk minum-minum sambil berbual dulu. Lagipun dah lama kita tak jumpa.” Cadang Daniel. Mengharap Adilla tidak menolak ajakannya.

Adilla bersetuju. “ Ok, tapi saya kena bayar sayur-sayuran ni dulu.”

“ Baiklah. Saya tunggu kau kat KFC atas ni ok.?”

Adilla bersetuju lalu beratur. Mujurlah hari ini bukan hari minggu. Orang pun tidak ramai. Jadi tidak perlulah Adilla beratur panjang untuk membuat bayaran.

Set Dinner Plate dan Milo Ais menjadi menu pilihan Adilla petang ini. Buat Irwan, Adilla suapkan kentang putar padanya. Mereka mengambil tempat yang agak tercorok daripada ganguan manusia. Bukan apa, banyak yang ingin dibualkan, bimbang seandainya perbualan mereka berdua menggangu kententeraman pengunjung yang datang untuk menjamu selera di sini.

“ So! apa perkembangan terbaru awak sekarang?” Adilla memulakan perbualan pada petang itu.

“ Emm, so far so good. Saya macam nilah. Dari dulu sampai sekarang tetap maintance.” Puji Daniel ketawa.

“ Yelah tu.  Saya tengok awak  makin berisi sekarang. Orang katalah, bukan saya yang kata ni. Kalau lelaki dah berisi dari biasa ni tandanya dia sudah dimiliki seseorang. Hai takkan nak simpan dalam almari kot.” Duga Adilla sekadar bergurau. Daniel tidak menjawab sebaliknya hanya tersenyum lebar.

“ Dahlah Dilla. Setakat orang macam saya ni siapalah yang nak.” Ujar Daniel merendahkan dirinya.

“ Emm. Dari dahulu. Ayat yang sama Daniel. Ubahlah ayat tu!” Sinis Adilla pedas.

“ Betul Dilla, buat masa ni saya masih lagi mencari.” Sambung Daniel berterus terang. Serius kenyataannya.

“ Baguslah tu.  Sekurang-kurangnya terbuka juga hati awak tu nak cari pasangan hidup. Awak kerja kat mana sekarang?” Adilla cuba mengalihkan topik perbualan mereka. Dia tidak mahu kenangan lama menggamit kembali.

“ KL.  Awak?”

“ La, samalah. Saya pun kerja kat sana.  Dekat Puchong.” Beritahu Adilla terus menyuapkan kentang putar pada Irwan. Irwan hanya diam, tidak banyak kerenah. Mungkin masih tidak biasa dengan kehadiran Daniel yang agak asing buat dirinya.

“ Emm, kalau macam tu bolehlah kita jumpa selalu kat sana kan?” 

“ Saya no hal. Anytime, tapi kalau saya tak busylah.”  Balas Adilla riang.

Milo Ais di hadapannya dihirup perlahan. Hatinya masih tidak menyangka akan bertemu Daniel di sini hari ini. Berkali-kali tangannya dicubit. Bimbang semua ini hanya mimpi. Namun sah. Semua ini adalah kenyataan.

Daniel bermain-main dengan Irwan. Anak kecil itu ketawa riang apabila Daniel menggeletek kakinya. Daniel menyuapkan kentang goreng pada Irwan, tanpa rasa malu lagi Irwan membuka mulutnya lalu menggigit tangan Daniel. Irwan ketawa apabila Daniel mengadu kesakitan. Adilla turut ketawa melihat telatah mereka berdua.

Mesti orang di sekeliling tidak mensyaki yang mereka ini bukannya satu keluarga. Yalah kehadiran Irwan dan Daniel sudah cukup melengkapkan sangkaan orang yang mereka bertiga ini satu keluarga. Padahal..

‘ Hai..Jatuh saham aku hari ni.’ Gelak Adilla dalam hatinya.  

“ Comel dia. Apa namanya?” Soal Daniel menghulurkan botol sos cili yang diminta Adilla.

“ Irwan.”

“ Emm comel. Macam mak dia juga.” Berkerut dahi Adilla mendengar kata-kata Daniel.

“ Mak? Awak kenal ke mak dia?” Hati Adilla mula hairan. Bagaimana Daniel boleh mengenali Kak Mila. Sedangkan semasa perkahwinan Fikru dahulu, Daniel pun Adilla tak jemput.

Daniel mengeluh kecil.

“ Takkanlah saya tak kenal. Depan mata saya sekarang ni siapa?”

Adilla ketawa. Geli hati mendengar tekaan Daniel yang langsung tidak masuk akal.

“ Kenapa awak ketawa?” Soal Daniel tidak berpuas hati melihat keasyikan Adilla mentertawakannya.. 

Adilla cuba menghentikan tawanya. Membetulkan suara sebelum bertutur menjelaskan situasi sebenar.

“ Daniel, ini memang anak saya. Tapi anak saudara.” Ungkai Adilla terus tertawa namun kali ini lebih bersopan tawanya.

“ Hai. Bila masanya saya kahwin awak?”

Daniel diam tanpa suara. Memikirkan tekaannya yang tidak tepat itu. Dan Adilla? Terus menanti reaksi Daniel seterusnya.

“ Oh, maknanya awak belum dimiliki lagi?” Soal Daniel mencapai satu kepastian dari Adilla sendiri. Adilla mengerdip mata perlahan sebagai isyarat jawapan pada soalan Daniel tadi. Adilla pasti Daniel mengerti jawapan yang telah diberikan sebentar tadi.

“ Maafkan saya.” Pinta Daniel termalu sendiri.

“ It’s ok.”

“ So, Ikram masih menggangu awak ke?”

Ikram? Sudah lama Adilla tidak mendengar nama itu. Sejak peristiwa malam itu Ikram terus menghilangkan diri. Entah apa yang dia lakukan sekarang Adilla sendiri tidak tahu. Dan Adilla memang tidak mahu ambil tahu langsung. Biarlah Ikram dengan hidupnya. Apa yang pasti, Adilla lebih bahagia dengan hidupnya kini.

“ Saya ingat awak masih berhubung dengan dia.” Luah Adilla perlahan.

Daniel menggelengkan kepalanya.

“ Sejak malam tu, Ikram terus hilang. Dengar kata dia dah keje dengan pak cik dia dekat Penang.” Terang Daniel menjelaskan semua pertanyaan yang menjadi tanda tanya bagi Adilla.

Malam itu. ya malam itu….


          “ Kau nak lari kemana hah?” Berdekah-dekah Ikram mentertawakan ketakutan Adilla malam itu. Dia semakin hampir mendekati Adilla dengan gayanya yang menggila. Bagai singa yang kelaparan ingin meratah mangsanya.

Adilla mengesok tubuhnya ke belakang.Perlahan-lahan. Peluh mula memercik di dahi dan segenap ruang tubuhnya. Dada Adilla berdegup kencang. Nafasnya seakan tersekat.

“ Ikram! Kau jangan buat kerja gila. Kalau tidak aku jerit?” Tersekat-sekat suara Adilla mengugut Ikram. Namun Ikram tidak peduli malah makin lantang mentertawakan Adilla. Matanya bulat merenung Adilla dari atas ke bawah. Berulang-ulang.

“ Ikram, tolonglah aku. Jangan buat aku macam ni.” Pinta Adilla terus merayu-rayu minta dilepaskan. 

“ Hah!!”

Ikram tidak mempedulikan rayuan Adilla. Langkahnya semakin hampir pada Adilla. Dia melutut. Matanya  terus merenung Adilla tajam. Jantung Adilla terus berdegup laju. Dadanya betul-betul sesak kini. Air liur ditelan berkali-kali.

Ikram lantas menyentuh pipi milik Adilla. Mengusapnya lembut. Nafas Adilla turun naik, matanya mengekori setiap perlakuan gila lelaki itu.

“ Kau takut? Kau nak menjerit? Jeritlah, jerit sekuat hati kau!” Jerkah Ikram kuat. 

“ Kau ingat ada orang yang akan dengar jeritan kau?”

Ikram menggeleng beberapa kali.

“ Tak ada Dila, tak ada! Hanya aku dan kau di sini. Kita berdua je.” Bisik Ikram tepat ke cuping telinga Adilla. Berderau darah Adilla, seram sejuk tubuhnya. 

“ Kau nak apa sebenarnya Ikram? Kenapa kau buat aku macam ni?” Adilla cuba mengumpul tenaga untuk berbicara. Dalam ketakutan lidahnya kelu. Tubuh Ikram bagai menghimpit Adilla untuk bernyawa.

“ Aku nak kau. Aku sayangkan kau. Dah puas aku merayu. Tapi,hati kau tetap keras!” Ujar Ikram dengan jari telunjuknya liar menyentuh pipi, hidung dan bibir Adilla. Adilla mengetap bibir ketakutan. Terus merhatikan perlakuan Ikram yang kian berani.

Esakan tangisan Adilla semakin deras. Dia tidak berdaya untuk melawan. Ikram sudah mengunci kedua belah tangannya. Adilla memalingkan mukanya, tidak sanggup melihat wajah Ikram yang semakin berahi untuk menyentuh tubuh kecilnya.  

Adilla berusaha menolak tubuh Ikram. Namun tenaga yang ada pada dirinya tidak cukup kuat untuk menentang tenaga lelaki seperti Ikram. Ikram semakin berani, tanpa segan dia cuba mencium leher Adilla. Meronta hati Adilla minta dilepaskan, air matanya berderai..

Ikram……….!

Sebiji penumbuk hinggap di pipi Ikram. Tanpa membuang masa Ikram terus mengatur langkah lari dari situ. Daniel menghampiri Adilla, memberikan sweter bagi menutupi tubuhnya yang sedikit terdedah kerana perbuatan Ikram. Buat pertama kali Daniel memimpin tangan Adilla keluar dari bilik Ikram.

Daniel mengarahkan Adilla duduk di sofa rumah itu. Dia menuju ke dapur lalu membawa segelas air sejuk buat Adilla.  Adilla menyambutnya dengan tangan yang masih menggigil ketakutan. Air itu diteguk perlahan-lahan. Gelas itu dikembalikan pada Daniel semula.

Kesejukan malam itu langsung tidak menyaman dan mententeramkan jiwa Adilla yang sedia kacau. Perbuatan Ikram ligat bermain di matanya. Tanpa dipinta air mata jatuh lagi, mengalir. Hangat membasahi pipi Adilla.

Daniel menyentuh bahu Adilla. Memujuk agar  Adilla memperbanyakkan istighfar dan memohon doa kepada Allah.

“ Saya takut Daniel,saya takut!” Luah Adilla teresak-esak menahan sendu di jiwa.

“ Shhh..Awak tak perlu takut. Allah ada bersama awak.” Pujuk Daniel tenang. Setenang hatinya yang tulus itu. 

Daniel menjatuhkan kepala Adilla di atas sofa perlahan. Tanpa membantah Adilla mengikut sahaja. Lantas mata Daniel yang redup itu ditenung Adilla sayu. Beberapa minit kemudian Adilla memejamkan mata yang sedia kepenatan.


Matahari pagi memancar tepat mengenai mata Adilla. Dia membuka mata perlahan, menutup sinaran mentari yang menyilaukan itu dengan tangannya. Adilla bangkit, melihat keadaan sekeliling. Lantas Adilla melihat tubuhnya. Masih seperti semalam, dibaluti sweter hitam yang menutupi tubuhnya. Seperti tidak disentuh atau diusik oleh tangan-tangan yang tidak sepatutnya.

“Awak jangan risau. Saya masih waras lagi.” Tegur Daniel membawa beberapa bungkus nasi lemak bersama beberapa biji pinggang dari arah dapur rumah bujangnya.

“ Tasha.” Adilla memeluk Natasha. Melepaskan semua kesedihan pada sahabatnya. Natasha berusaha memujuk dan menyabarkan Adilla. 

Dengan linangan air mata yang masih mengalir Adilla bersuara.

“ Macam mana kau boleh ada kat sini?”Pelukan dileraikan.

“ Daniel yang telefon aku semalam. Dia dah ceritakan semuanya pada aku. Kitaorang semua risaukan keselamatan kau. Nasib baik Daniel bagitahu yang kau ada bersama dia dan dalam keadaan selamat. Selepas panggilan tu, aku terus berkejar ke sini bersama Azura.” Cerita Natasha panjang.

Adilla mengucap syukur kepada Illahi kerana dikurniakan kawan-kawan yang baik hati serta perlindungan yang sempurna. Syukur jua dipanjatkan kepada Illahi kerana dilindungi dari perbuatan keji seorang manusia yang hanya bertopengkan kejahatan. 

Adilla tersedar dari mimpi buruk itu. Peluh yang membasahi muka diusap perlahan sambil mengucap panjang.  Ingauan mimpi buruk itu menghantui Adilla setelah sekian lama. Segera dia ke bilik air, mengambil wudhuk untuk menunaikan solat sunat tahajud.

Selesai menunaikan solat, Adilla menadah doa memohon pada Illahi agar semua perkara buruk itu berlalu dan tidak pernah kembali lagi. Adilla termenung lagi, mengenang peristiwa itu. Mujurlah Daniel tiba tepat pada masanya. Kalau tidak?
















Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.