Home Novel Cinta DiBius Cinta Encik Arahan
DiBius Cinta Encik Arahan
Nkal
22/5/2018 10:50:28
11,536
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

BAB 3


“ Baiklah. Adik jaga diri. Jangan lupa solat ya. Assalamualaikum.” Puan Salmi meletakkan ganggang telefon. Hatinya terhibur mendengar suara anak bongsu yang disayangi itu. Sudah lama dia tidak mendengar khabar Adilla. Tambah girang hatinya apabila Adilla menyatakan hasratnya untuk bercuti di kampung selama seminggu.

“ Hai Sal. Apa yang dimenungkan tu?  Dari tadi saya tengok awak senyum sorang-sorang. Awak menang peraduan ke?” Tegur Haji Amran bergurau sinis. Kedengaran tawa kecil di hujungnya.

“ Ishh, abang ni. Ke situ pulak. Peraduan apa pulak yang saya masuk?” Puan Salmi mematikan senyumannya. Langkah diatur menuju ke arah suaminya. 

“ Habis saya tengok bukan main gembira hati awak lepas berbual tadi. Siapa yang telefon awak?” Haji Amran mengambil akhbar di atas meja. Akhbar Harian Metro tersebut dibelek satu persatu. Mencari tajuk-tajuk menarik untuk dibaca.. Berita-berita yang dipaparkan seakan sama setiap hari. Isu harga barang semakin naik, kemalangan di sana-sini, rompakan dan pelbagai lagi. Membaca akhbar kini bukan sahaja untuk pengetahuan malah ia lebih berkisar pada perkembangan dunia yang semakin menghimpit sekarang. Krisis kemanusiaan yang melanda dunia kini menjadi satu topik hangat yang kerap dibincangkan di televisyen, radio mahupun akhbar sendiri. 

“ Saya bercakap dengan Adilla tadi. Dia kirim salam kat awak. Dia ada bagitahu saya nak ke Langkawi. Ada kursus kat sana.” Beritahu Puan Salmi duduk di salah satu kerusi sofa yang terletak di ruang tamu mereka.

“ Oh, Waalaikumussalam..” Salam disambut girang.

“ Adik sihat? Bila dia nak balik kampung? Dah lama rumah ni sunyi tanpa suara dia.” Haji Amran bersuara pilu. Terbayang wajah Adilla di ruang matanya. Hatinya sayu, jiwanya merindu. Merindu pada seorang anak.

“ Lepas habis je kursus tu adik balik. Dia dah ambil cuti seminggu. Katanya nak habiskan masa bersama kita di rumah ni. Dah lama dia teringin nak makan sambal bilis petai yang saya masak.” Girang Puan Salmi bercerita. Cerita tentang perbualan dia dan Adilla.


“ Hum nanti kita pergi pasar sama-sama. Carikan ikan bilis dan petai banyak-banyak. Nanti bolehlah awak masak untuk adik.” Bersemangat Haji Amran mengajak Puan Salmi ke pasar. Teruja dia mendengar cerita tentang kepulangan anak perempuannya Adilla.

“ Ishh abang ni. Lagi tiga hari adik nak balik. Kalau beli petai tu awal-awal nanti kecut tak sedap nak makan. Hum saya tahu abang rindukan adik. Nanti lusa kita pergi beli petai tu ya Haji Amran.” Ujar Puan Salmi memujuk hati Haji Amran. Dia tahu Haji Amran memang merindui anak bongsunya itu. Cuma suaminya itu tidak pernah meluahkannya. Semua rindu yang mendatang hanya dipendam dalam hati. Hanya gambar dan panggilan telefon menjadi pengubat rindu Haji Amran pada Adilla.

Petang itu mereka berdua sama-sama bertukar-tukar cerita tentang Adilla. Macam-macam keleteh, perangai, kesukaan dan kenangan bersama Adilla dibualkan. Mereka nampak ceria apabila menerima khabar anak kesayangan mereka akan pulang tidak lama lagi.


****************

Adilla tekun mengemas pakaian-pakaian yang akan di bawa ke Langkawi esok. Beberapa helai blouse, seluar slack, shawl dan keperluan lain disusun dengan teratur dan rapi. Dua pasang baju kurung turut disusun bersama. Adilla meneliti barang-barang tersebut. Takut-takut ada yang tertinggal nanti. Satu persatu keperluan ini dimasukkan ke dalam beg mengikut susunan yang telah dibuat. Adilla menarik nafas lega. Semuanya sudah siap disimpan dan dikemaskan. Cuma menunggu masa untuk bertolak sahaja esok.

“ Cik Dilla. Dah siap kemas semuanya?” Intan masuk membawa segelas air oren lalu dihulurkan kepada Adilla.

Adilla mengambil cawan yang diberikan Intan. Perlahan dia meneguk air oren itu. Basah anak tekaknya. Lega rasa dadanya, di basahi air yang begitu dingin sekali. Gelas diletakkan di hujung kepala katil.

“ Dah. Semuanya dah settle. Cuma pagi esok saya nak ke pejabat sekejap. Ada tugas yang saya nak mintak Faizal selesaikan.” 

Intan tidak bersuara. Sebaliknya hanya tersenyum. Mujurlah Adilla sudah punya pembantu sekarang. Sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan yang ditanggung. Kadang-kadang timbul rasa simpati di hati Intan. Melihat pada kesungguhan Adilla bekerja, dia hairan bila masanya Adilla bercinta. Sepanjang dia tinggal bersama Adilla, belum pernah dia nampak Adilla bergayut, atau keluar dengan mana-mana lelaki. Di pejabat, bukan tak ada staff dan pegawai di situ yang cuba masuk jarum. Namun kesemuanya gagal. 

 Adilla bermesra hanya sebagai rakan sepejabat. Dan dia juga tahu ada seseorang yang menyimpan perasaan pada Adilla. Ingin juga Intan cuba merisik-risik siapakah jejaka yang bertahta di hati Adilla sekarang. Mungkin sampai waktu dan ketikanya Intan akan cuba beranikan diri untuk mendapatkan jawapan pada soalan yang bermain dihatinya kini.

“ Emm Intan. Nanti awak jangan lupa tutup pintu bilik sekali ya.” Pinta Adilla terus mematikan lamunan Intan.

“ Baiklah Cik Adilla.” Intan bangun, membawa bersama gelas yang berisi air oren tadi. Suis lampu dimatikan. Daun pintu bilik Adilla di tutup perlahan. 

Adilla menyelimuti tubuhnya dengan selimut tebal. Kedinginan malam itu begitu mencengkam urat tubuhnya. Terkadang kenangan-kenangan lama singgah di benak fikiran.

Wajah-wajah yang hadir dalam kotak fikirannya kini silih berganti. Masing-masing punya peranan dan kenangan yang tersimpan. Ada yang serius dalam menyatakan hasrat hati, ada yang terus memandam rasa, ada yang teruskan hubungan atas dasar setia kawan. Dan macam-macam lagi. 

Hati, ya hati ini memang terlalu sepi tanpa cinta. Cinta yang tertabur dalam hati kini hanya cinta pada ibu bapa dan cinta pada Yang Maha Esa. Cinta ibu bapa cinta tulus, cinta pada Allah kekal abadi. Biarlah isi hati ini hanya Allah yang mengetahuinya. Akan tiba jua masanya nanti untuk dia membuka hati bagi menerima sebuah cinta.


*********************

“ Encik Faizal. Cik Adilla nak jumpa di biliknya sekarang.” Melalui interkom Intan menyampaikan pesanan pada Faizal. Tanpa berlengah Faizal bangun menuju ke bilik Adilla yang tidak jauh dari tempat duduknya.

“ Sila duduk Faizal.” Arah Adilla sambil memberikan beberapa arahan dan tunjuk ajar kepada Intan. Selepas mengucapkan terima kasih Intan meminta diri untuk keluar. Namun  Adilla menghalang dan menyuruh Intan duduk bersama Faizal.

Intan duduk tanpa sebarang bantahan.

Adilla berdehem beberapa kali. Namun mata Adilla masih asyik membaca nota di hadapannya itu. Beberapa senarai tugas yang akan dipertanggungjawabkan pada Faizal sudah siap di printout. Cuma tunggu untuk diserahkan sahaja.

“ Faizal, seperti yang awak sedia maklum. Saya sudah diarahkan oleh Encik Zahim untuk menyertai kursus di Langkawi bersamanya.”

“ Ya Cik Adilla.” Semalam dia sudah dimaklumkan tentang perkara ini.

“Jadi ada beberapa tugas yang akan saya pertanggungjawabkan pada awak. Ini ada beberapa senarai tugasan yang akan awak ambil alih sepanjang ketiadaan saya kat sini.” Adilla menghulurkan nota tersebut pada Faizal. Nota beralih tangan.

Faizal tunduk, tekun meneliti senarai tugasan yang perlu dilakukan nanti. Dia cuba memahami setiap tugasan yang tertulis pada kertas putih bersaiz A4 itu.

“ Pasal CCTV, awak jangan risau. Semua pemasangan sudah siap dilaksanakan. Tugas awak sekarang cuma backup apa yang dirakamkan oleh CCTV ke dalam hard disk baru. Ini  bagi memberi ruang pada CCTV tersebut untuk membuat rekod seterusnya. CCTV ini dapat merekod sehingga kapasiti  900 GB, dan dalam masa hampir satu minggu.” Terang Adilla menjelaskan serba sedikit tentang apa yang perlu dibuat disamping mencurahkan apa yang dia tahu. 

Harapan Adilla semoga Faizal dapat mempelajari dengan baik pengetahuan yang telah disampaikan padanya sebentar tadi.

“ Kalau awak tidak faham jugak, awak boleh tanya Intan. Saya dah ajarkan serba sedikit pada Intan. Walaupun ini bukan bidang dia, tapi dia banyak tahu tugas-tugas yang saya lakukan di sini.” Sekilas anak mata Adilla memandang Intan yang hanya tunduk malu apabila bosnya memujinya.

“ Baiklah Cik Adilla. Saya akan cuba yang terbaik.” Janji Faizal yakin. Dia pasti akan memberikan persembahan yang baik dalam kerjanya. Dia sangat mengharap kepercayaan Adilla padanya. Itu yang paling utama.

“ So..ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?” Adilla membuka peluang untuk Faizal bersuara bertanyakan sesuatu.

“ Lama ke Cik Adilla bercuti?” Hanya soalan itu yang bermain di fikiran Faizal kini.

“ Emm seminggu.” 

Faizal mengangguk faham.

“ Ada apa-apa lagi.?” Faizal menggeleng. Adilla beralih pada Intan, bertanya hal yang sama. Intan turut memberi jawapan yang sama seperti Faizal.

“ Okeylah kalau macam tu. Saya harap awak berdua boleh melakukan tugas dengan baik sepanjang ketiadaan saya di sini. Kalau ada sebarang masalah yang awak berdua tidak tahu, just call me anytime okey.” Pesan Adilla pada dua bekerja bawahannya itu. 

“ All the best to you all  and take care!” Ucap Adilla sebelum melangkah dari ruang biliknya.

Adilla harus pulang ke apartment untuk mengambil beg yang sudah siap dikemaskan semalam. Malam ini selepas maghrib Zahim akan datang bersama pemandunya untuk mengambil Adilla. Mereka akan bertolak ke Langkawi malam ini dengan menaiki kapal terbang.


************

Kursus yang dihadiri berjalan lancar. Walaupun ia tidak menjurus kepada bidang yang diterajui Adilla sekarang, namun ia tetap punya unsur-unsur teknologi di dalamnya. Zaman arus pembangunan seperti sekarang, teknologi memainkan peranan yang sangat penting dalam konteks memajukan sesebuah syarikat yang menjalankan perniagaan berasaskan perkhidmatan seperti Insky Copration. Yang berpengalaman dalam bidang perkhidmatan dan mempunyai beberapa rangkaian pasaraya dan hotel di seluruh Malaysia. Mengekalkan konsep ‘Customer is always true’, syarikat ini terus gah berdiri di atas tapaknya sendiri.

Satu lagi tanggungjawab yang harus Adilla pikul selepas projek pemasangan CCTV baru-baru ini. Baru sebentar tadi Zahim memaklumkan pada Adilla meminta gadis itu bekerja sama dengan sebuah organisasi yang menjalankan pembangunan laman web bagi 

syarikat.  Projek ini dijangka perlaksanaannya selepas Adilla pulang dari bercuti di kampung. 

‘ Hai, nampak gayanya cuti kali ni sama je macam tak cuti. Hal kerja perlu juga difikirkan.’ Rungut hati kecil Adilla.

“ Adilla.” 

Adilla segera berpaling. Zahim terpacak di hadapan Adilla dengan senyum manis di bibir. Dia nampak segak dengan T-shirt putih berkolar dengan line biru di dada. Tampak lebih kemas kerana dipadankan dengan seluar jeans biru dan baju yang dimasukkan ke dalam seluar.

Adilla memandang Zahim dari atas ke bawah dengan ekor mata kecilnya. Beberapa kali Adilla mengulangi perbuatan yang sama. Lain benar dia melihat Zahim dengan pakaian seperti ini. Boleh nampak tubuhnya yang tegap persis hero drama Shahrul Riduan.

“ Adilla, kenapa dengan awak ni? Dari tadi saya tengok awak perhatikan saya dari atas ke bawah, bawah ke atas. Ada apa-apa yang tak kena ke di mata awak ?”

Adilla tidak menjawab sebaliknya terus memandang dan tersenyum.

“ Adilla.” Encik Zahim memetik jarinya beberapa kali. Tepat ke muka Adilla.

Adilla tertawa kecil.  Menyembunyikan rasa malu sebenarnya. Zahim semakin kebingungan.

“ Rasa macam tak percaya je.” Akhirnya keluar juga kata-kata itu dari bibir Adilla setelah lama ia tersimpan dalam otaknya. Zahim mengerut dahi. Lantas melihat pada badannya sendiri. Apa yang tidak kena di mata Adilla sebenarnya? Apa yang gadis ini pandang sedari tadi?”

“ Apa yang tak percayanya?” Zahim mengalah. Dia sendiri tidak dapat pastikan apa yang bermain di fikiran Adilla sebenarnya.

“ Sejak bila Encik Zahim suka pakai jeans? Setahu saya, Encik Zahim tak suka seluar lain selain yang berjenis slack.” Soal Adilla berterus terang.

“ Wait the minute. Macam mana awak boleh tahu yang saya tak suka pakai seluar jeans?”Tiba-tiba hati Zahim melonjak ingin tahu.

Opss! Alahai mati aku! Aduh! Gatal betul mulut ni.

“ Emm, bukan ke semalam Encik Zahim ada bagitahu Encik Firdaus tentang ni. Masa kita keluar jalan-jalan kat pekan semalam.”Beritahu Adilla cuba menipu untuk  berselindung dan menutup kesalahan sendiri.

Zahim termenung. Tangannya menggosok dagunya beberapa kali. Mungkin cuba mengimbas kembali perbualan antara dia dan Firdaus semalam. Ada ke dia berbual pasal perkara ini dengan Firdaus?

“ Tak payahlah Encik Zahim fikirkan soal tu. Yang penting Encik Zahim tetap smart dengan seluar jeans ni.” Puji Adilla lagi. Mematikan ingatan Zahim pada perbualannya dengan Firdaus semalam. Kalau dibiarkan mahu Zahim syak sesuatu nanti.

Ikhlas ke? Entah, Adilla sendiri tidak pasti. Mungkin benar, lagipun dia memang nampak smart dengan gayanya yang santai itu.

“ Pandailah awak nak kelentong saya ya.” Zahim melepaskan renungan matanya terus ke sudut hati. Adilla hanya diam. Mengukir senyum tipis, menampakkan lesung pipit di sudut kiri bawah bibirnya.

Sebenarnya perihal seluar jeans tu. Adilla ada terbaca diari Zahim dua hari lepas. Masa tu mereka sama-sama menaiki kapal terbang. Dia dan Zahim duduk di seat yang bersebelahan antara satu sama lain. Waktu itu Zahim asyik mencoretkan sesuatu pada diarinya. Adilla membiarkan sahaja sehinggalah Zahim tertidur di atas bahunya. Adilla tersentak, ingin dialihkan timbul rasa simpati di hati. Sudah dua malam Zahim tertidur di pejabat menguruskan kerja yang bertimbun di atas mejanya. 

Tiba-tiba diarinya terjatuh di atas peha Adilla. Ada sesuatu yang tercatat di atas kertas putih itu termasuklah perihal seluar jeans itu. Bukan Adilla ingin membacanya, namun secara tidak sengaja matanya terpandang dan terbaca apa yang tertulis dalam diari tersebut.

Zahim memandang Adilla pelik. Betul ke apa yang Adilla bagitahu tadi? Entah-entah memang Adilla ada membaca coretannya di dalam diari itu..Ahh..Adilla..kenapa mesti kau yang baca?

Harap-harap Adilla tidak membaca diarinya lebih dari perihal seluar jeans itu.

Fuhh..Zahim mengeluh resah.












Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.