8
BANGUNAN LAMA, TEMPAT
LUAHAN RASA
Perlahan
sahaja langkah Natasha. Hatinya berbelah bahagi. Separuh kata hati
menghalangnya mendekati bangunan lama itu dan sebahagian lagi beria-ia mendesak
Natasha untuk bertemu dengan si dia.
“Ah! Apa kena aku ni? Kenapalah aku
ni bodoh sangat datang ke sini!” kemarahan, Natasha luahkan dalam nada
perlahan. Khuatir lelaki yang sedang berdiri membelakangkan dirinya itu
menyedari akan kehadirannya.
Natasha berpaling semula. Niat sudah
dibulatkan! Dia mahu bergegas pergi dari bangunan lama yang sudah lama
‘diabaikan’ akan kewujudannya oleh para penghuni Sekolah Menengah Kenanga Indah.
Namun baru langkah sulung hendak diatur…
“Eh! Nak pergi mana tu?” Cepat
Danish mendapatkan Natasha.
“Saya… saya nak…” Kata-kata Natasha
tersangkut.
“Baru je sampai. Takkan nak terus
balik. Dah lama dah saya tunggu awak dekat sini.” Jujur Danish. Entah mengapa
saat berdekatan dengan gadis polos ini hati Danish menjadi tenang.
Kebisuan menyebabkan Danish
melahirkan rayuannya. “Saya rasa tertekan. Saya perlukan seseorang untuk
mendengar luahan hati saya. Boleh awak jadi pendengar tu?”
Kesayuan yang terukir di wajah kacak
milik Danish mencairkan hati Natasha. “Tapi… saya bukannya pendengar yang baik.
Lagipun kita tak kenal rapat antara satu sama lain. Macam mana kalau saya
hebohkan apa yang awak luahkan dekat saya? Awak tak takut?” uji Natasha.
“Tak. Walaupun kita tak kenal rapat.
Tapi saya dapat rasakan keserasian antara kita. Mungkin kita bukannya sahabat
tapi sekurang-kurangnya kita berusaha untuk menjadi teman yang saling
menyokong.”
“Maksud awak?” soal Natasha, polos.
“Yalah, saya ada masalah saya
sendiri. Begitu juga dengan awak. Masalah awak dengan minah yang panggil awak
balaci tu dah selesai?”
“Jangan sebut pasal minah senget tu
lagi!” Tanpa sedar Natasha meninggikan suaranya dan semerta imbauan kejadian
pagi tadi berulang semula.
Kejadian yang benar-benar meragut
kesabaran Natasha. Marlina yang sememangnya terkenal dengan sikap angkuh dan
bongkak terus sahaja mencampakkan buku sekolahnya di hadapan muka Natasha saat
dia meminta gadis itu menyiapkan kerja sekolahnya. Malik yang turut berada di
situ hanya membisukan mulutnya. Satu patah kata berbentuk teguran langsung
tidak ditujukan kepada kekasih hatinya itu.
“Awak okey ke?” soal Danish saat
dilihatnya wajah Natasha berubah menjadi sedikit bengis. Petanda yang gadis itu
sedang menahan amarah.
“Okey.” Sepatah jawapan Natasha
sambil melangkah menghampiri ‘portnya’. Tapi sayangnya ‘portnya’ itu sudah
‘ditakluki’ oleh lelaki yang turut berdiri di sebelahnya.
Kedua mereka menebarkan pandangan ke
hadapan. Melihat keindahan alam dari bangunan yang sudah lama sepi dari
keriuhan manusia.
“Tenang, kan dekat sini.” Danish
memulakan sekali lagi perbualan.
“Dulu lagi tenang.” Selamba Natasha
menjawab. Tidak dihiraunya andai lelaki di sebelahnya itu terasa.
“Saya faham maksud awak. Tapi saya
tak kisah kalau awak anggap saya ni penyibuk atau pengganggu… sebab saya
sukakan tempat ni. Tampat ni dapat menghilangkan resah dan kegusaran di hati
saya.”
“Baguslah. Tapi saya tak rasa yang
saya perlu datang ke sini untuk menemankan awak setiap hari dan mendengar
bebelan awak tu.” Ternyata emosi Natasha belum pulih sepenuhnya selepas imbauan
kejadian yang melibatkan dirinya dengan Marlina itu kembali lagi sebentar tadi.
Ah! Kalaulah dia mempunyai kuasa
luar biasa, sudah lama ‘dilenyapkan’ minah senget itu dari muka dunia ini!
“Habis tu kenapa awak datang juga?”
duga Danish.
“Sebab mama saya tak dapat ambil
saya.” Tegas Natasha. Dia tidak mahu lelaki di sebelahnya itu tersalah tafsir
akan kehadirannya.
“Ooo… saya ingatkan awak datang sini
sebab nak berjumpa dengan saya. Habis tu… macam mana awak nak balik nanti?”
“Tak… maksud saya, mama saya tak
dapat ambil saya tepat pada waktunya. Dia terlambat sikit. Ada hal katanya.”
Habis memberikan penjelasan Natasha terdiam semula.
Diam Natasha bukan sia-sia. Diamnya
disulamkan dengan usaha. Usaha untuk membetulkan semula emosinya yang sudah
‘rapuh’ dimamah si minah sengat, Marlina!
Danish seolah-olah mengerti apa yang
diperlukan oleh Natasaha. Ya! Dia tahu gadis itu memerlukan ruang. Maka
diberikan ruang kepada gadis itu untuk bersendiri. Dia melangkah dan menjauhi
gadis itu.
“Awak pernah dikecewakan?” Natasha
sendiri tidak sedar entah bila mulutnya itu gatal mempersoalkan perkara itu
kepada Danish saat dilihatnya lelaki itu hendak berlalu dari sisinya.
Perlukah dia mempersoalkan itu
kepada lelaki yang tidak pernah dikenali akan hati budinya itu? Ah! Mulut! Mengapa
perlu engkau melahirkan persoalan itu?
Danish kembali berdiri di sisi
Natasha. Dia tersenyum dan hatinya berbunga semula saat dia merasakan yang
dirinya diperlukan oleh gadis yang masih membuang pandangannya ke hadapan itu.
“Pernah.” Sepatah jawapan Danish.
“Mesti sakitkan? Maksud saya…
apabila kita dikecewakan oleh seseorang yang amat kita sayangi dan kasihi…
mesti kesakitan di hati ini tak tertanggung rasanya…”
“Kalau kita nak bahaskan erti
kekecewaan… memang takkan ada kesudahannya. Tapi, kita tak boleh biarkan
kekecewaan itu menguasai jiwa kita. Kalau tak, tidak mungkin kita dapat berdiri
dan menongkah kesulitan yang bakal kita hadapi selepas kekecewaan menjadi
dendam.”
Natasha menoleh ke sisi. Wajah
lelaki itu berubah menjadi tegang.
‘Berat benarkah kekecewaan yang
harus dipikulnya sehingga begitu sekali riak wajahnya?’ Persoalan bergema di
hati Natasha.
“Natasha… saya tak tahu apa kaitan
kekecewaan awak dengan minah yang bernama Marlina tu. Tapi percayalah dalam
dunia ni, ada insan yang lebih malang daripada awak. Awak akan rasa bertuah
bila awak sedar yang diri awak hanya dikecewakan oleh ‘orang luar’ dan bukannya
insan yang sepatutnya melindungi serta menyayangi awak. Awak akan rasa lebih
bertuah bila mendapat tahu kesakitan yang awak rasai akibat dikecewakan oleh
insan yang bernama Marlina itu tidak seberapa dengan kekecewaan yang dirasai
insan lain akibat ‘ditikam’ oleh ahli keluarganya sendiri!”
‘Benarlah… dirinya sedang
menderita.’ Yakin hati Natasha.
Otak Natasha ligat berfikir. Cuba
mencari jalan penyelesaian agar kesedihan tidak terus ‘menghantui’ mereka
berdua dan akhirnya saat ‘mentol’ di kepalanya sudah menyala, petanda ideanya
sudah tiba. Dia tersenyum.
Natasha mengambil beg galasnya. Dia
membuka laju zip beg sekolahnya itu. Danish yang menyedari akan tingkah gadis
itu mengerutkan dahinya. Sesaat kemudian sebuah plastik yang mempunyai logo Bun’s
Girl Bakery House diambil keluar.
“Nah! Makanlah.” Natasha
menghulurkan seketul roti coklat kegemarannya.
Danish sudah tersenyum lebar dan
tangannya laju mengambil apa yang dihulurkan kepadanya itu.
“Terima kasih,” tutur Danish.
“Sama-sama. Makanlah. Roti coklat
istimewa ciptaan papa saya ni dapat menghilangkan kesedihan serta kekecewaan di
hati tau.” Bangga Natasha.
“Ooo… kiranya roti ni hasil tangan
papa awaklah ya? Saya ingatkan mama awak yang hasilkan resepi istimewa roti
ni.” Sambil mengunyah, sambil menuturkan bicara. Terdengar ‘tempang’ bicara
Danish.
“Taklah. Mama saya tak berapa reti
sangat bab-bab memasak ni. Mama saya dia lebih kepada menguruskan kedai dan
bukannya menyediakan resepi roti ataupun kek.” Penerangan ringkas Natasha
berikan.
“Memang sedap sangat roti ni. Saya
ingat lagi saat pertama kali saya datang ke kedai awak. Masa tu saya langsung
tak sangka yang awak ni pelajar sekolah ni. Kalaulah saya tahu awak ni anak
tauke kedai tu dah lama saya kirim roti istimewa ni hari-hari pada awak.”
Natasha tersenyum lebar. Bangga
hatinya mendapat pujian di atas hasil air tangan papanya itu.
“Kelazatan roti ni memang melupakan
saya sebentar pada penderitaan yang saya rasai,” kunyahan makanan terhenti dan
raut wajah kesuraman muncul semula di wajah Danish.
“Saya… tak tahu secara mendalam
tentang masalah yang awak rasai. Tapi yang macam awak nasihatkan saya tadi.
Kita tak boleh biarkan kekecewaan terus menguasai jiwa kita sebab andai kita
biarkan ianya berlaku pasti sukar untuk kita menongkah kesulitan yang bakal
kita hadapi apabila kekecewaan bertukar menjadi dendam.” Natasha mengulangi
kata-kata nasihat yang ‘dihadiahkan’ oleh Danish kepadanya.
Danish menganggukkan kepalanya. Dia
tersenyum semula dan dengan laju menguyah semula roti yang masih tertinggal
suku di tangannya itu.
“Sedap sangat roti ni.” Entah untuk
kali keberapa Danish memuji.
“Baguslah kalau awak rasa sedap.
Saya nak awak ingat kelazatan roti ni sampai bila-bila terutama sekali setiap
kali awak rasa sedih mahupun kecewa,” tersenyum Natasha.
“Betul tu. Saya akan ingat kelazatan
roti ni sampai bila-bila dan mulai esok awak kena bawa roti ni setiap hari ke
sini. Okey?” Senyuman juga terukir di wajah Danish.
‘Esok aku kena datang sini lagi ke?’
Bergema soalan itu di hati Natasha. Tetapi yang peliknya tiada pula perbalahan
di hatinya seperti saat awal dia hendak melangkah ke bangunan lama ini tadi.
Ternyata saat ini kedua-dua belah hatinya bersetuju dan menyokong akan
kehadirannya untuk hadir semula ke tempat yang mendamaikan ini esok dan mungkin
jua hari-hari seterusnya.